PeNgiKuT sEtiA..

Saturday, December 7, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 6)




BAB 6

Duduk disandar rapat pada bahu kerusi. Matanya masih merenung wajah sahabat yang bertentang dengannya. Fatah menongkat dagu.

   “ Kau okey ke, Qais?” soal Fatah sekadar menunjukkan sikap mengambil berat. Mendengarkan soalan Fatah, Qaiser menghela nafas lemah.

   Entah kenapa, sejak kebelakangan ini.. rasa ingin memiliki Emiera seakan memburu dirinya. Semakin mendesak-desak. Sungguh dia katakan hatinya sakit menanggung rindu. Walhal, semenjak kejadian Aqilah menumpang di rumah sewa Emiera dan Dafina, baru lima hari dia tidak menatap wajah cantik itu. Qaiser, kau memang dah angau. Desis suara hatinya.

   Bro!” Fatah hentak meja sekali. Terus terangkat bahu Qaiser dibuatnya. Pantas Qaiser masamkan wajah.

   “ Suka betul terkejutkan akulah..” rungut dia sedikit. Fatah ketawa senang.

   “ Kalau kau yang berangan tak sudah-sudah, jangan nak salahkan aku.. okey?” gurau Fatah cuba menceriakan raut tampan itu. Tapi, Qaiser nampaknya lebih senang melayan perasaannya. “ Qais, kau apa hal ni? Lain macam aje..” tegur Fatah mulai serius. Qaiser senyum senget.

   “ Sejak bila kau kisah hal aku ni, Fatah?” selar Qaiser sambil meletakkan tangan pada dahi. Lagak orang yang sedang menghadapi masalah besar. Fatah gelak perlahan.

   “ Nama pun kawan.. Qais. Mestilah aku kisah. Apa kena kawan aku sorang ni? Nampak angau pun ada..” sakat Fatah terus. Langsung Qaiser raba wajahnya sendiri.

   “ Nampak sangat ke?” soal Qaiser bersungguh-sungguh. Hampir bercantum kening Fatah dengan soalan Qaiser.

   “ Nampak apa?”

   “ Angau..” Dan serentak dengan jawapan itu, Qaiser gelak habis-habisan. Fatah dah telan liur. Kawan dia ni waras ke tak?

   “ Apa yang lawaknya sampai kau gelak beria ni, bro?” sergah Fatah kurang senang. Mati tawa dari bibir Qaiser. Kali ni, dia dah renung Fatah dengan riak yang sukar untuk dimengertikan.

   Bro, aku nak tanya kau sikit. Tapi kau jujur.. okey? Jangan ada isu bias dengan jawapan kau nanti.” Fatah sekadar angguk dengan permintaan Qaiser. Fail di atas meja dia belek-belek sementara menanti bibir Qaiser menyoal dirinya.

  “ Aku ni tak cukup handsome ke?” Kepala Fatah terus mendongak pandang wajah Qaiser. Bibir Fatah sudah merekah dengan senyuman sindir.

   “ Ni mesti soal Miera kan?” tebak si kawan. Lambat-lambat Qaiser angguk dengan bibir menguntum senyum. “ Honestly.. kau memang ada rupalah. Menipu kalau perempuan nampak kau, tapi tak toleh untuk kali kedua..” Jawapan jujur dari bibir Fatah. Qaiser simpan senyum bangga dia.

   “ Aku.. tak cukup baik ke?” soal Qaiser lagi. Fatah geleng.

   “ Kalau kata aku tak kenal kau, memang aku akan ingat kau jenis lelaki buaya. Sebab mustahillah dengan muka, harta dan pangkat yang kau ada.. kau tak layan perempuan. Tapi, Fuad Qaiser yang aku kenal.. memang seorang lelaki budiman. Payah nak beri harapan pada perempuan kalau dah kata hati dia memang tak nak.” Kali ni, Qaiser sudah mula rasa hendak ketawa. “ Hah, kau jangan nak buat muka perasan pulak!” sergah Fatah bila dia lihat Qaiser sudah semacam aje dengan senyuman di bibir. Pantas, Qaiser gelak sesaat.

   “ Mana ada, bro..” sangkal Qaiser pantas. “ Okey.. soalan terakhir..” Qaiser diam lama sebelum dia kembali bersuara. “ Aku.. tak layak untuk dicintai atau mencintai ke?” Kali ni suara Qaiser benar-benar serius. Terus Fatah terdiam dibuatnya. Tidak tahu soalan jenis apakah yang Fuad Qaiser tanya dia? Oh.. sungguh pelik! Hati Fatah membidas dalam bisu.

   “ Peliknya soalan kau..” komen Fatah sepintas lalu. Qaiser menyandar selesa pada kerusi miliknya.

   “ Jawablah soalan aku, Fatah. Aku nak sangat tahu..”

   “ Bro.. tak ada sesiapa yang tak layak. Semua berhak untuk disayangi, dicintai ataupun membalas balik rasa cinta dan sayang tu. Dah memang Allah S.W.T cipta kita untuk berkasih sayang. Tapi, pada garisan syariat yang betullah. Kenapa perlu timbul isu tak layak pula ni?” Giliran Fatah pula menyoal. Qaiser menjongket bahu.

   “ Aku cintakan dia, Fatah..” Perlahan tapi kedengarannya benar-benar menyentuh tangkai hati. Ikhlas dan tulus. Fatah herotkan bibirnya seakan berfikir.

   “ Mengenai Miera ke?” Qaiser angguk mengiyakan. “ Kau dah luahkan?” Fatah ingin tahu.

   “ Banyak kali, Fatah. Sampai kadang-kadang aku rasa dah berputus asa. Miera tu sukar benar untuk dilembutkan. Tapi, ini bukan saja soal perasaan aku. Melibatkan amanah arwah adik aku, Fatah. Kalau aku tak tunaikan, hati aku tak tenteram..” luah Qaiser kesal. Wajahnya suram.

   “ Kau yakin hati kau memang inginkan dia? Bukan sebab amanah tu aje?” Psiko Fatah. Terus tegak tubuh Qaiser.

   “ Aku memang cintakan Cempaka Emiera. Yes, I do. Tapi, dia tak pernah bagi aku peluang tu..” Bersungguh-sungguh Qaiser bersuara. Yakinlah Fatah dengan omongan Qaiser itu.

   “ Kalau berbincang soal cinta bertepuk sebelah tangan, memang aku tak tahu sangat.. bro. Cuma, aku boleh nasihatkan kau.. jangan pernah berhenti untuk rebut hati dia kalau kau benar-benar yakin dialah yang tercipta untuk kau. Yakin dengan hati dan berusaha, selebihnya kau serahkan pada DIA.” Tulus sekali nasihat Fatah kedenengaran pada peluput telinga Qaiser.

   “ Itulah yang sedang aku cuba buat..” Lemah nada Qaiser. Tapi, bibir itu tetap mengukir senyum. Fatah angguk menyokong.

  “ InsyaAllah hati dia bakal lembut. Hati wanita ni keras manalah sangat. Bila kau belai dia dengan kasih sayang, pujuk dia dengan ungkapan cinta.. cairlah. Percaya cakap aku, Qais. Suatu hari nanti, dia akan jadi milik kau kalau betul Tuhan dah ciptakan kau berpasangan dengan dia..”

   “ Aku pun harap macam tu. Sebab hati aku memang dah sepenuhnya inginkan dia, Fatah..” gumam Qaiser sebelum dia menepuk dahi. “ Maaf, bro. Aku dah melalut dan bawa kau sekali dalam masalah hati dan perasaan aku ni..” Qaiser gelak nipis. Fatah sengih saja.

   “ Tak ada hallah. By the way, kau belum lupa kan esok kau kena fly ke Jerman?”

   Oh, god!” Qaiser dah menjerit kecil. “ Nyaris aku terlupa. Nasib baik kau ingatkan..” luah Qaiser lagi sambil meraup wajahnya. Fatah sekadar tersenyum segaris. Dia dah agak sebenarnya.

Lama Qaiser menunggu di hadapan pintu pagar rumah sewa milik Emiera. Teragak-agak dia hendak melaung nama itu. Bimbang Emiera tidak suka akan kehadiran dia. Tapi, memikirkan panggilan daripada si kembar.. Qaiser perlu juga berhadapan dengan Emiera. Bukan dia tidak boleh sekadar menelefon atas berSMS.. tapi hatinya sejujurnya ingin menatap wajah Emiera sebelum berangkat ke Jerman esok.

   Dua kali salam dihulur, tapi tidak berjawab. Pantas Qaiser keluarkan gajet miliknya sebelum nombor Emiera didail. Tak tunggu lama, panggilan dah bersahut.

   “ Assalamualaikum.. Miera, abang ada dekat luar ni. Dua kali abang bagi salam, tak ada yang jawab..” ujar Qaiser meluahkan bicara. Emiera terkaku seketika. Mahu tidak.. lima hari wajah Qaiser tidak menyapa ruangan mata, alih-alih hari ni terpaksa dia hadap pula seraut wajah tampan itu.

   “ Waalaikumussalam.. err, Miera solat Isyak tadi. Abang tunggu kejap, nanti Miera keluar.”

   “ Okey.. abang tunggu dekat sini..” Terus Qaiser matikan panggilan. Memberi ruang untuk Emiera merapikan diri.

   Hampir lima minit menunggu, barulah dia nampak kelibat Emiera muncul bersama kain batik dan sehelai t-shirt lengan panjang tersarung pada tubuh itu. Serta-merta rasa rindu bagaikan luruh pergi satu-persatu. Qaiser senyum dari jauh.

   “ Miera..” Lembut suara itu menyeru namanya. Emiera yang berdiri memeluk tubuh pandang wajah Qaiser dengan hati yang libang-libur.

   “ Kenapa abang datang sini?” Tak sempat Qaiser nak sambung ayat, Emiera dah mencelah dulu. Qaiser menunduk dengan nafas berat dihela payah.

   “ Miera tak suka abang datang?” soal Qaiser kecil hati. Emiera gigit bibir.

   “ Bukan macam tu. Tapi, kalau kerap sangat nanti orang salah faham..” Emiera betulkan balik tuduhan Qaiser.

   “ Abang outstation mulai esok..” Qaiser berjeda. Wajah lelaki itu sudah berubah sedikit. Pastilah kerana berkecil hati dengan reaksi Emiera. “ Abang cuma nak tengok Miera, seminggu abang dekat sana. Sekadar untuk buat bekal kalau abang rindu..” tutur bibir itu romantis. Emiera diam seketika. Lelaki ini sering membuainya dengan kata-kata indah.

   “ Miera tak kisah kan andai dekat sana nanti abang rindukan Miera?” soal si dia lagi. Soalan yang benar-benar pelik.

   “ Hati orang siapa kita untuk menghalang kan?”

   Mata Qaiser terus galak. “ Jadi, Miera izinkan abang untuk mencintai Miera?” soal suara itu teruja. Emiera sudah telan liurnya sendiri.

   “ Kita bercakap soal rindu, bukan soal cinta..” sangkal Emiera. Qaiser senyum hambar.

   “ Kalau tak ada cinta, abang takkan rindu..” sahut dia memaksudkannya. Jawapan yang benar-benar membuat Emiera tidak mampu untuk membalas. Melihat Emiera diam tanpa bereaksi, Qaiser terus ke topik asalnya. “ Kembar call abang..”

   “ Ya? Sihat ke mereka?” soal Emiera pantas. Sudah seminggu kejadian si kembar bermalam di rumah sewanya dan Dafina. Qaiser angguk.

   “ Sihat. Mereka rindukan Miera. Sebab tu juga abang datang ke sini untuk tanya Miera, boleh ke kalau Miera jemput mereka untuk bermalam dekat sini nanti?” soal Qaiser menyampaikan hasrat si kembar. Emiera senyum kelat. Tentu Qaiser lupa. Detik hatinya.

   “ Miera nak jemput dengan apa, abang? Miera bukannya pakai kereta..” sahut Emiera tersenyum tipis. Qaiser diam. Ah, terlupa pula dia soal itu. Benaknya sudah merencana sesuatu.

   “ Miera guna kereta abang..” Cepat saja dia buat keputusan. Emiera dah tergamam. Matanya tunak pada kereta mewah milik Qaiser.

   “ Kereta ni?” soal Emiera kurang percaya. Qaiser angguk. “ Tak naklah..” Emiera geleng cepat-cepat. Dahi Qaiser berlapis.

   “ Kenapa?”

   Emiera masih lagi menggeleng-geleng. “ Kalau rosak nanti, niaya aje Miera kena bayar..” sahut Emiera separa bergurau. Tak naklah dia menanggung risiko. Jadi apa-apa pada kereta mewah itu, siapa nak jawab?

   Qaiser tepuk dahinya sendiri. “ Miera.. kalau abang sendiri yang tawarkan, maknanya abang tak kisah. Lagipun, Miera guna untuk jemput adik-adik abang juga. Tak salah kan? Abang takkan claim apa-apa kalau rosak sekalipun. Dan satu Miera perlu tahu.. kalau kereta tu remuk sekalipun, I just don’t care..” Lancar saja kata-kata Qaiser sebelum dia berjeda.

    “ Tapi kalau tubuh orang yang abang sayang tercalar walaupun sedikit, itu memang sangat-sangat abang kisah..” Sambung bibir itu lagi sambil merenung dalam mata Emiera. Emiera sudah terkelu lidah. Kenapalah lelaki ini selalu bermanis mulut? Dia dilema.

   “ Bila abang fly?” soal Emiera mengubah topik hangat mereka. Qaiser seluk kedua-dua tangan ke dalam poket jeansnya.

   “ Pagi esok..” jawab lelaki itu tenang. Dia tahu Emiera sengaja menukar topik, jadi dia pun sudah tidak mahu memanjangkan isu. “ Dah lewat, esok abang kena bangkit awal..” Qaiser keluarkan kunci kereta dari poket seluarnya. Dia bergerak rapat sedikit pada Emiera.

   “ Tangan Miera..” pinta dia tanpa nada.

   “ Nak buat apa?”

   “ Miera nak abang sentuh tanpa izin ke macam mana ni?” Suara itu mengugut sedikit. Emiera ketap bibirnya. Perlahan-lahan tangan dia dihulurkan ke hadapan wajah tampan itu. Qaiser simpan senyum. Dalam degil, Emiera ada juga mendengar kata.

   Kunci kereta Mazda 6 Sedan miliknya diletak di atas tapak tangan itu. Emiera sudah terkebil-kebil. “ Guna kereta ni sewaktu abang tak ada. Kalau kata Miera nak terus, abang boleh bagi..”

   “ Merepek abang ni!” marah Emiera sedikit terkejut.

   “ Laa.. abang maksudkannya, Miera..”

  “ Miera tak nak..”

   Then I will buy you another one.. nak?” selar Qaiser dengan kening terjungkit sebelah. Emiera dah mula rasa geram.

   “ Miera tak nak, okey?” Emiera sebut satu-persatu ayatnya. Berharap lelaki itu bisa mengerti.

  “ Miera ni terlalu memilih, tahu?” Qaiser seakan mengeluh. Terjongket kening cantik terbentuk milik Emiera. “ Yelah.. abang offer diri abang untuk Miera, Miera tolak. Abang offer kereta, pun Miera tak nak. Habis, Miera nak apa?” Sambung Qaiser bila dia lihat Emiera seperti tertanya-tanya.

   “ Jangan melencong boleh tak?” bentak Emiera tidak selesa. Qaiser angkat kedua-dua belah tangannya tanda mengalah.

   “ Okey, maaf.” Tegas saja suara Qaiser. “ Apa-apa pun abang serahkan kunci tu pada Miera sepanjang ketiadaan abang. Miera boleh guna ke mana saja Miera nak. Abang takkan marah.” Qaiser toleh pandang jam tangannya lama sebelum dia menjengah sedikit ke dalam rumah sewa milik Emiera. “ Fina ada ke? Sunyi aje..” soal Qaiser. Emiera geleng

   “ Fina balik rumah mak dia. Esok pagi balik sini semula.”

   Kening Qaiser terjungkit. “ Miera tak takut sorang-sorang?” Qaiser soal dengan riak bimbang. Kalau dia dan Emiera halal, sudah dia angkut Emiera sekali. Pasti! Emiera geleng.

   “ InsyaAllah tak ada apa-apa..” Emiera jawab soalan Qaiser. Qaiser angguk perlahan. Mudah-mudahan.. hatinya berdoa untuk keselamatan Emiera.

   “ Abang balik dulu. Jaga diri Miera nanti..” ujar Qaiser menitip pesanan. “ I’m gonna miss you, Cempaka Emiera..” gumam suara itu lagi. Emiera terkedu. Tak sangka Qaiser berani meluahkan secara terang-terangan untuk sekali lagi. Akhirnya Emiera hanya melorek senyum yang jelas nampak kekok.

Friday, December 6, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 5)


BAB 5

“ Qilah.. dari mana ni?” Suara garang Datin Zetty sudah kedengaran di pelosok banglo mewah itu. Langkah Aqilah dan Amni terhenti di muka pintu kamar mereka. Datin Zetty lebih memilih Aqilah untuk menjawab soalannya memandangkan Aqilah merupakan kakak kembar kepada Amni.

   “ Err.. kami..” Aqilah tergagap-gagap hendak menjawab. Melihat langkah Datin Zetty semakin mendekat, hati Aqilah semakin gerun. Amni juga.

   “ Mama tanya, korang dari mana??” Bergema suara itu meniti di halwa telinga si kembar. Hampir hendak pecah gegendang telinga mereka. “ Hei.. mama tanya ni!!” bentak Datin Zetty berang bila si kembar masih membisu.

   “ Kami.. kami.. jumpa Abang Qais..” Dan serentak dengan jawapan dari bibir Aqilah, tangan tua Datin Zetty cepat saja hinggap pada pipi Aqilah. Tergamam kedua-dua suduk si kembar.

   “ Mama!!” marah Amni terkejut. Aqilah pula sudah tergamam sambil memegang pipinya yang terasa berdenyut.

   “ Berapa kali aku nak cakap dengan korang berdua.. jangan jumpa Abang Qais korang lagi! Aku dah buang dia, berapa kali aku perlu cakap?? Kalau ada Qais, tentu perempuan sial tu ada!!” jerkah suara itu meninggi. Melotot biji mata Datin Zetty benar-benar boleh menggegarkan jantung sesiapa yang melihat.

   “ Tapi.. kami rindu abang. Bukan salah Kak Miera, mama..” Amni sudah mula tumpang rasa perit yang dirasai kembarnya. Datin Zetty dah mendengus kasar.

   “ Fuad Qaiser tu bukan abang korang lagi. Semenjak aku dah buang dia! Jadi, tak ada sebab untuk korang rindu dia. Aku tak suka korang rapat dengan perempuan sial tu. Kenapa masih degil, hah??” Berapi-api kata-kata Datin Zetty. Aqilah menggeleng-geleng kepalanya.

   “ Mama tak pernah berubah. Semenjak arwah Abang Qairel ada, mama juga macam ni. Qilah kecewa dengan mama. Mama dah berubah!!”

   “ Qilah!!” Tangan tua itu sudah terangkat tinggi. Tapi.. Amni terlebih dahulu memeluk tubuh tua itu. Menghalang dari tangan milik Datin Zetty sekali lagi hinggap pada pipi kakak kembarnya.

   “ Jangan, mama..” rayu Amni bersama tangisan hambar. Datin Zetty keraskan hatinya. Tipu kalau dia tidak rasa tersentuh, tapi kabus hitam sudah membelit tangkai hatinya. Membutakan hatinya dalam menilai erti kasih sayang yang sebenar.

   “ Kalau mama rasa puas dengan tampar Qilah, buatlah mama. Tapi, tolong jangan halang kami untuk jumpa Abang Qais. Dia satu-satunya abang yang kami ada. Abang Qairel dah pergi dan tolong jangan buat kami terasa kehilangan sekali lagi..” Begitu berani Aqilah berkata-kata. Bukan niatnya hendak berkurang ajar. Tapi, kerana sayangnya dia pada Qaiser mengatasi segala rasa takut untuk berdepan dengan kemarahan Datin Zetty.

   “ Menjawab kau sekarang, Qilah..” Datin Zetty senyum sindir. Tanpa kata.. tubuh Aqilah dan Amni dia seret kasar.

   “ Mama.. mama nak buat apa ni??” Panik Amni. Sedangkan Aqilah hanya tenang mengikuti langkah Datin Zetty. Sampai saja di muka pintu, tubuh kedua-dua itu ditolak keluar.

   “ Nak sangat jumpa Abang Qais korang kan? Baik.. pergi! Pergi dan jangan balik ke rumah ni lagi. Aku dah tak ada anak-anak macam korang semua!” Sebaik saja kata-kata itu diluncurkan tanpa sedar, Datin Zetty menutup pintu dengan kuat. Langsung tidak memberi ruang untuk si kembar membalas kata-katanya.

   Aqilah dan Amni sudah terjelopok jatuh. Tangisan mereka bersatu. Kenapa sampai begini perubahan mama? Hati mereka merintih pilu.

“ Abang..” Jelas riak terkejut terpamer pada wajah Emiera tatkala pintu utama rumahnya dibuka perlahan. Kelihatan tiga susuk tubuh sedang berdiri dihadapannya. Qaiser dengan wajah kusut. Manakala si kembar dengan wajah yang jelas nampak sedih sambil menekur lantai.

   Qaiser memandang wajah Emiera dengan seribu satu perasaan. Kusut hatinya tatkala ini. Apatah lagi baru sejam dia menghantar si kembar pulang ke banglo mewah milik keluarganya, Amni sudah menelefonnya kembali untuk menjemput mereka. Dan puncanya sudah tentu Datin Zetty.

   “ Maaf abang ganggu Miera. Miera dah tidur ke?” soal Qaiser serba-salah. Emiera yang masih diburu persoalan menggeleng perlahan. Walhal, dia baru saja berura-ura untuk beradu tadi. Qaiser memandang wajah si kembar sebelum pandangan dihala kembali pada wajah cantik di hadapannya.

   Dalam hati terselit rasa kagum pada Emiera. Mahkota yang satu milik wanita itu sering saja dilitupi tudung. Sepanjang Emiera menjadi isteri arwah Qairel juga dia tidak pernah melihat kepala itu tanpa hijab.

   “ Qilah, Amni.. kenapa ni?” Emiera mula menyoal si kembar bila dia lihatAqilah dan Amni seakan membisu dari tadi. Amni mengangkat wajah dengan riak sedih, manakala Aqilah terusan menunduk. Seakan menyembunyikan sesuatu.

   “ Boleh abang tumpangkan Qilah dan Amni dekat sini tak? Dekat rumah abang ada Fatah. Tak manis nanti..” Tiba-tiba Qaiser menyoal. Emiera sudah mengerut kening. Bagaikan bisa menghidu sesuatu yang tidak enak.

   “ Kenapa?” soal Emiera sepatah.

  “ Boleh atau tidak, Miera?” Suara Qaiser seakan merayu pula. Lambat-lambat Emiera angguk.

  “ Boleh. Lagipun, tak perlu tanya macam tu pun abang tentu tahu Miera akan izinkan. Qilah dan Amni dah macam adik kandung Miera. Tapi, Miera pelik kenapa mereka ada dekat sini? Bukan ke abang cakap nak hantar mereka ke kolej tadi?” Mendengarkan soalan Emiera, Qaiser mengeluh lemah. Perlahan-lahan dia menapak pada Aqilah. Dagu si adik diangkat dan saat ini, mata Emiera seakan ingin terjojol keluar. Ya Tuhan..

   “ Kenapa dengan pipi Qilah?” soal Emiera kalut dan risau. Terus dia menerpa pada Aqilah yang sudah mengalirkan air mata. Tak tunggu lama, Aqilah memeluk sekujur tubuh kecil milik Emiera. bagaikan sedang meluahkan rasa sedih dan kecewanya.

   “ Mama tampar Qilah..” Sebaris ayat daripada Qaiser yang bisa meremukkan hati Emiera. Terus Emiera tersandar pada dinding batu itu. Tangan yang ralit membelek pipi Aqilah melorot jatuh perlahan-lahan. Dia yakin. Malah, sangat yakin bahawa Aqailah menerima habuan sebegitu rupa tentu kerana dirinya. Ah, Miera! Apa kau dah buat pada Qilah? Hatinya membidas geram.

“ Miera rasa abang patut jarakkan diri abang daripada Miera. Kalau tak, makin ramai mangsa untuk mama lepaskan kemarahan dia. Abang tahu kenapa mama jadi macam tu? Semua kerana Miera, abang..” Emiera duduk bersandar pada pintu pagar. Jelas wajah cantik itu nampak suram dan sendu.

  Tubuh Qaiser yang santai bersandar pada pintu kereta pantas tegak.  Tajam anak matanya menyoroti wajah Emiera. Rasa geram mula hadir. “ Miera cakap apa ni?” Keras suaranya membidas kata-kata Emiera. Emiera panggung kepala.

   “ Miera bercakap pasal Qilah sekarang ni. Abang tak nampak macam mana keadaan adik abang tu??” Naik satu oktaf suara Emiera. Qaiser mendengus.

   “ Miera sekarang sedang meminta sesuatu yang sukar untuk abang tunaikan.” Qaiser senyum hambar sebelum menggeleng kepalanya. “ Sorry, I can’t.. Cempaka Emiera. Hidup tanpa kehadiran Miera memang satu perkara yang abang takkan pernah mampu buat. Miera boleh minta apa saja daripada abang, tapi bukan untuk meninggalkan Miera..”

   “ Habis tu, abang nak mama terus bencikan Miera?” jerkah Emiera sedikit. Qaiser menapak dekat.

   “ Sebab tu abang nak mama tahu perkara sebenar..”

   No! Abang dah janji pada Miera..” halang Emiera gelabah. Qaiser raup wajahnya. Tertekan!

   “ Tak habis-habis dengan janji. Campak ke longkang saja janji abang tu. Sampai bila Miera nak tanggung kesalahan yang bukan Miera buat? Cuba cakap, Cempaka Emiera!” Giliran Qaiser pula naik angin. Terangkat bahu Emiera. Terkejut. Wajah lelaki itu benar-benar nampak bengis.

   “ Miera..” Qaiser cuba sentuh tangan si gadis. Tapi, pantas Emiera mengelak. Wajahnya sudah berubah keruh. Emiera kemam bibir.

   “ Abang takkan faham perasaan Miera..” ujar Emiera kecewa. Qaiser mula dihujani rasa bersalah. Dek tertekan dengan tingkah Emiera, bonet hadapan kereta mewahnya dihentak kuat dengan tangan.

   “ Miera pun tak pernah faham perasaan abang. Miera yang tak habis-habis nak seksa diri Miera sendiri..” selar Qaiser tanpa memandang ke belakang. Menatap waima sedikit pun wajah yang dia cinta itu.

   “ Miera masuk dulu. Abang baliklah.. Miera akan jaga kembar..” Emiera sudah penat berbalah. Kaki mula dipusing untuk melangkah, namun tak sempat bila tangan kekar itu dengan beraninya dah rentap tangan kecil miliknya.

   Qaiser pandang wajah Emiera dengan riak buntu. Jujur Emiera katakan, dia kasihan melihat kondisi Qaiser. Lelaki itu nampak benar kehilangan. “ Tak boleh ke Miera tenangkan hati abang untuk seketika? I need you, Cempaka Emiera. I really-really need you..” Lemau suara itu bertutur. Emiera terpana.

   “ Abang..” Emiera cuba menolak tangan kekar itu. Tak susah untuk dia mengatasi tenaga Qaiser kerana lelaki itu sendiri yang mengalihkan tangannya. “ Miera dah cakap, bagi Miera masa kan?” pujuk Emiera pabila dia lihat tubir mata lelaki itu bergenang.

   “ Tapi.. abang perlukan sokongan Miera. Tak sangka sampai macam ni keluarga abang boleh berpecah-belah..” sungut Qaiser perlahan. Wajah itu menunduk sayu.

   “ Inilah namanya takdir, abang. Tak selalunya bahagia itu akan muncul. Sesekali Allah S.W.T akan uji kita juga untuk tengok betapa kuatnya kita dalam mengharungi dugaanNya. Abang kena kuat. Kalau betul abang kata abang nak jaga Miera, abang tak boleh macam ni..” Emiera masih menggunakan ayat memujuk. Dia bimbang juga andai Qaiser pulang dalam keadaan bercelaru sebegitu.

   “ Abang sayang Miera. Abang sayang Qilah dan Amni dan abang sayang.. mama..” Perlahan perkataan ‘mama’ itu meluncur dari bibir Qaiser. Emiera pegang dadanya yang terasa ngilu. Kasihannya Qaiser.. lelaki itu ‘kehilangan’ kerana dirinya. Kerana wujudnya nama Cempaka Emiera!

   “ Memang kita diciptakan untuk berkasih sayang, abang. Tapi, jangan disebabkan kasih sayang itu membunuh semangat abang. Kalau betul abang sayang, cuba untuk bangkit. Rebut kembali kasih sayang tu agar ia tak bisa menjauh. Hubungan darah daging takkan terpisah lama, abang. Percayalah cakap Miera..” Kata-kata positif yang Emiera titipkan untuk Qaiser. Qaiser mengangguk lemah. Dia alpa tika ini. Terlalu mengikut kata hati.

   “ Abang minta maaf..” pinta Qaiser tiba-tiba.

   “ Tak ada apa yang nak dimaafkan..”

   “ Abang akan tunggu jawapan Miera..” Qaiser mendongak pandang. Emiera senyum. Senyuman yang benar-benar ikhlas.

   “ Kalau benar jodoh kita..” Hanya itu yang Emiera balas. Sebagai penyedap hati Qaiser.

   Qaiser hela nafas panjang. “ Boleh abang jenguk Qilah tak?” soal Qaiser melencong. Emiera pandang ke dalam rumahnya sebelum pandangan kembali dihala pada Qaiser.

   Emiera angguk. “ Boleh, tapi sekejap aje. Nanti jiran-jiran tengok tak manis..” putus Emiera memberi izin. Qaiser angguk pantas.

Qaiser menapak perlahan ke dalam bilik yang menempatkan Aqilah dan Amni. Jelas si kembar sudah lena dibuai mimpi. Perlahan-lahan kaki tegap itu duduk berjuntai kaki di birai katil.

   “ Kesian adik abang..” tutur Qaiser perlahan. Pipi Aqilah yang sedikit lebam disentuh hangat. Entah kenapa, dia memang dikurniakan sifat penyayang yang sukar dicari pada lelaki lain. Fuad Qaiser.. lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab. Segala-galanya sempurna tentang lelaki itu.

   Emiera yang duduk di muka pintu hanya mampu mengukir senyum. Melihat panorama kasihnya seorang abang. Begitu beruntung Aqilah dan Amni punya abang seperti Qaiser. Hatinya memuji.

   “ Abang janji abang akan kembalikan keluarga kita.. Qilah, Amni..” Suara itu masih beralun lembut. Walaupun sedikit garau dan serak, merdunya masih ada. Menyentuh hangat tangkai hati Emiera. Membuatkan Emiera yakin dengan gerak hatinya sendiri.

   Qaiser bangkit. Bergerak dekat pada Aqilah dan Amni sebelum bibir itu lembut mengucup dahi si kembar. “ Abang balik dulu. Qilah dan Amni jaga diri, sayang. Nanti abang akan jemput korang. Tidur lena, adik-adik abang..” Qaiser tuturkan kata-kata itu perlahan. Seolah-olah si kembar bisa mendengar. Lama Emiera lihat Qaiser berdiri menatap wajah si kembar sebelum tubuh tegap itu berpaling untuk melangkah ke arahnya.

   “ Dah?” soal Emiera. Qaiser angguk dalam senyuman. Hatinya terasa sedikit tenang kini.

   “ Tolong jaga adik-adik abang. Nanti abang jemput mereka untuk hantar ke kolej. Tak menyusahkan Miera kan?”

   Emiera menggeleng dengan soalan Qaiser. “ Abang jangan risau. Miera sayang mereka, tak mungkin Miera nak aniaya adik-adik abang..” Janji Emiera membuatkan Qaiser berasa lega. Lelaki tampan itu sudah mampu bernafas dengan sempurna. Dada yang sempit juga mula lapang. Yakinlah dia bahawa dirinya memang menginginkan Cempaka Emiera dalam hidupnya.

   Sampai mati abang tetap akan tunggu Miera.. hati Qaiser berlagu indah.

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 4)


BAB 4

Emiera membetulkan tudung yang bertiup disapa angin bayu. Kelu bibirnya hendak memulakan bicara. Qaiser juga terdiam bisu. Menambahkan lagi rasa kekok yang dah mula menemani sedari tadi.

   Emiera menjeling sekilas wajah tampan yang berdiri di hadapannya dengan tangan dikilas ke belakang kepala. Tampak segak sekali tubuh itu berdiri gagah. Lama dia merenung wajah Qaiser dan dia sedar ada satu sisi yang sama pada wajah itu dengan arwah Qairel. Hidung. Ya, hidung yang mancung itu menambahkan lagi kesempurnaan wajah kacak itu.

   “ Miera..” Qaiser sudah menoleh ke belakang. Tersentak Emiera yang ralit merenung wajah Qaiser itu. Terpinga-pinga Emiera seketika. Ah, macam mana dia boleh terleka? Hati mengutuk diri sendiri.

   Qaiser berjalan rapat, duduk dilabuhkan di sisi Emiera sambil mata merenung si kembar yang ralit bermain di gigi air. “ Abang terlalu memaksa ke?” Soalan tiba-tiba yang terpancul dari bibir sensual itu.

   “ Huh?” soal Emiera bimbang andai telinganya silap mendengar. Qaiser masih nampak selamba sambil merenung ke hadapan. Langsung tidak menoleh ke sisi.

   “ Abang terlalu memaksa Miera untuk terima abang ke?” Qaiser ulang soalan sama. Kali ini, wajah itu sudah berpaling mencari wajah Emiera. Emiera terdiam. “ Jujur, Miera. Supaya abang boleh ubah cara abang. Abang tahu Miera tak selesa macam ni..” desak Qaiser agar Emiera berlaku jujur.

   “ Miera tak suka dipaksa..” Sebaris ayat yang sudah cukup untuk memahamkan Qaiser. Qaiser senyum hambar.

   “ Jadi, betullah abang memaksa..” keluh dia seakan kesal. “ Maaf, Miera. Abang terlalu ikutkan perasaan..” luah Qaiser lagi. Lemah dan gontai saja suaranya.

   “ Kenapa abang sukakan Miera? Miera nak tahu alasannya. Miera bukan sesiapa abang. Malah, tiada apa yang tersisa untuk Miera. Mama pun bencikan Miera..” luah Emiera seakan mengadu. Qaiser kemam bibir lama. Dia tahu hati wanita itu sering dilapah dengan perbuatan Datin Zetty.

   “ Maafkan mama ye, Miera? Walau apa sekalipun mama buat pada Miera, maafkanlah mama. Dia masih tak tahu hati budi Miera yang sebenarnya dan dia masih tak tahu apa yang menimpa arwah..”

   Please.. jangan ungkit..” cantas Emiera siap-siap. Ketenangan Qaiser tadi berlalu pergi bila Emiera sudah mula dengan kedegilannya. Dia mendengus sedikit.

   “ Abang tak suka Miera degil macam ni.” Kasar sikit nada Qaiser. Wajahnya mula memerah menahan geram.

   “ Miera tak pernah minta abang suka macam mana sekalipun cara Miera. Cuma kali ni satu Miera pinta, hormat apa jua keputusan Miera. Mama tak boleh tahu pasal kejadian tu.” Emiera masih bertegas. Kalau begitu katanya, dia nak Qaiser jangan buka mulut. Dia yakin lelaki itu akan berpegang pada janjinya.

   “ Kenapa dengan Miera ni?” Geram saja nada Qaiser. Emiera menoleh. Wajahnya jelas tergambar riak kesayuan.

   “ Cuba jawab soalan Miera, bang..” Emiera tarik nafas seketika. “ Andai kata Miera ceritakan semuanya pada mama, boleh ke Arel balik ke pangkuan Miera? Dan andai kata Miera ceritakan semuanya pada mama, apa perasaan mama nanti? Boleh ke mama terima hakikat sebenarnya, abang? Abang nak hilang seorang lagi yang abang sayang? Miera tak nak, abang. Kehilangan itu satu yang menyakitkan..” soal Emiera penuh maksud tersirat. Qaiser kunci bibirnya rapat. Ah, tertekannya dia dalam situasi ini.

   “ Abang tak faham kenapa hati Miera terlalu suci? Miera nak jaga hati orang lain, tapi hati Miera.. ada Miera fikir?” selar Qaiser tidak puas hati.

  “ Hati Miera tak ada yang penting, bang. Hati ni dah lama terluka. Hati ni dah lama kesunyian. Arel dah bawa separuh hati Miera pergi bersama dia..” jelas Emiera dengan tubir mata bergenang sayu. Qaiser sudah mengucap panjang.

   “ Miera, Miera tahu tak cara Miera ni seakan menyalahkan takdir? Seolah-olah Miera dah tak sanggup nak hidup semenjak kehilangan suami Miera tu??” marah Qaiser sedikit. Emiera terdiam. Mata dia kedipkan sekali sebelum wajah dia raup perlahan.

   “ Miera rindukan dia.. Allah, sakitnya dada ni..” Tangan naik memegang dadanya sendiri. Tiba-tiba emosinya berubah dengan sendiri. Qaiser yang lancang berkata-kata turut terkedu.

   “ Miera..” Qaiser ingin menyentuh tangan kecil itu. Tapi, perbuatannya terhenti. Bimbang andai Emiera tidak suka. Sudahnya dia hanya sekadar memerhatikan riak itu tanpa bisa menenangkan Emiera.

   “ Arel.. Miera rindu Arel..” rintih Emiera sembari menundukkan wajah. Qaiser ketap bibirnya rapat. Bukan kerana cemburu. Tapi, kerana hatinya turut terluka melihat betapa terseksanya Cempaka Emiera menanggung beban rindu itu sendirian. Kalaulah tubuh itu halal untuk disentuh sesuka hati, sudah lama dia tarik ke dalam pelukan.

   Qaiser bangkit. Membawa diri sedikit jauh daripada Emiera. Bimbang andai hati tidak bisa mengawal kehendaknya untuk memeluk sekujur tubuh itu. Dia perlu bertenang untuk seketika.

   “ Abang tak suka Miera macam ni, sayang..” gumam Qaiser perlahan. Mata masih merenung wajah yang tampak sedih itu dari tempatnya berdiri.

   “ Abang Qais..” Aqilah dan Amni yang berdiri tegak di hadapannya dipandang dengan riak pelik.

   “ Kenapa adik-adik abang ni, hmm?” Qaiser usap kepala si kembar. Senyuman tipis dihadiahkan pada Aqilah dan Amni yang jelas nampak sedih. Mata si kembar melirik pada wajah Emiera sebelum kembali tertancap pada wajahnya.

   “ Kak Miera..” Aqilah berjeda. “ Dia menangis, abang..” lirih suara itu turut bersimpati pada kakak iparnya. Qaiser mengeluh dalam. Dia usap kepala Aqilah perlahan bersama sebuah senyuman tipis.

   “ Amni tak suka Kak Miera macam tu..” Amni sudah mula hendak menangis. Qaiser matikan senyuman. Ubun si adik dia kucup perlahan dengan hati yang bercampur baur.

   “ Abang akan cuba pujuk Kak Miera, tak mahulah nangis.. Amni. Adik abang ni kalau menangis, macam beruang comot..” sakat Qaiser cuba meredakan riak kesedihan si kembar. Tapi, Amni dan Aqilah tetap menunduk dengan wajah sayu.

   “ Tiap kali kami tengok Kak Miera macam tu, kami rindukan arwah Abang Arel..” Aqilah pula menyampuk.

   “ Tapi, Abang Qais ada kan? Atau korang tak sayang abang?” Sengaja Qaiser menduga dan sekelip mata dia rasa pinggangnya dipeluk erat oleh Aqilah dan Amni.

   “ Kami tak nak Abang Qais pergi macam Abang Arel. Janji dengan kami, abang.. jangan tinggalkan kami..” Amni sudah teresak-esak sayu. Qaiser pejam matanya sesaat. Janganlah ada aiar mata di wajahnya kerana dia perlu kuatkan diri sendiri sebelum menasihati orang lain.

   “ Sayang-sayang abang.. mati itu pasti. Ingat.. kita dicipta daripada tanah dan ke situ jualah kita akan kembali. Jangan macam ni, Qilah.. Amni. Kalau kata ajal abang esok, lusa atau bila-bila pun, abang nak adik-adik abang ni bersedia. Jangan bersedih macam ni sebab abang yakin Arel sendiri tak suka adik-adik manja dia menangis macam ni. Percayalah cakap abang..” pujuk Qaiser penuh sikap penyayang. Aqilah dan Amni renggangkan pelukan mereka. Dicari wajah tampan si abang dan dia pandang dengan riak penuh makna.

   “ Boleh abang kembalikan Kak Miera kami?” soal Amni tiba-tiba. Kening Qaiser hampir bercantum.

   “ Maksud Amni?” soal dia lalu air mata pada wajah si kembar dia sapu perlahan. Amni pegang tangan si abang.

   “ Kembalikan Kak Miera yang kami pernah kenal. Kak Miera yang tabah, yang ceria.. bukan macam sekarang. Yang selalu nampak berduka..” Giliran Aqilah pula menambah. Qaiser terdiam lama sebelum kepala itu diangguk bersama senyuman.

   “ Dengan izin Allah, sayang. InsyaAllah Abang Qais akan cuba. Doakan yang baik-baik untuk Kak Miera..” ujar Qaiser bijak mengatur ayat.

   Qaiser menoleh pandang wajah Emiera. Dalam hati dia menyimpan tekad.. abang akan kembalikan Cempaka Emiera yang abang pernah kenal. Monolog Qaiser penuh semangat sebelum dia senyum kembali pada si kembar.

   “ Jom, kita cuba pujuk Kak Miera.. nak?” ajak Qaiser bersuara ceria. Amni dan Aqilah berpandangan sesame sendiri. Seketika, mereka sekadar mengikut langkah Qaiser menuju pada Emiera.

   “ Dah puas nangis?” Kepala Emiera menegak memandang Qaiser yang menghulur sehelai sapu tangan untuknya. Teragak-agak dia hendak mencapai. Tapi, tak sempat bila Aqilah terlebih dahulu sambar sapu tangan itu sebelum dia mengelap pipi Emiera yang basah.

   “ Jangan menangis, Kak Miera. Sebab Abang Qais cakap arwah takkan suka kalau kita bersedih macam ni..” Aqilah sudah mengambil tempat di sebelah Emiera. Mendengar tutur kata Aqilah, Emiera senyum hambar.

   Dia tidak mampu berjanji untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi, dia akan cuba untuk kurangkan kesedihan ini. InsyaAllah..

   “ InsyaAllah, Qilah..” sahut Emiera sedikit lega. Terharu hatinya dengan layanan si kembar dan juga Qaiser pada dirinya. Rupa-rupanya dia masih tidak bersendirian.

   “ Qilah, Amni.. tunggu abang dekat kereta. Kita dah nak balik ni. Dah lewat, nanti abang nak hantar korang ke kolej pula,” ujar Qaiser berbaur arahan. Pantas saja Aqilah dan Amni mengangguk. Kedua susuk tubuh itu sudah mula bangkit lalu berlalu meninggalkan Qaiser dan Emiera berduaan.

   Melihat si kembar sudah berlalu, Emiera turut bangkit dari duduknya.

   “ Miera nak ke mana?” soal Qaiser mematikan langkah Emiera. Emiera menoleh dengan riak kepelikan.

   “ Abang cakap dah lewat..”

  “ Tahu.. tapi, ada benda abang nak cakap dengan Miera. Tak payah duduk, berdiri macam ni pun tak apa. Sekejap saja.” Qaiser nampak tenang.

   “ Abang nak cakap apa?” soal Emiera sedikit serak kerana terlalu banyak menangis.

   “ Abang cuma nak cakap, abang bagi Miera masa untuk berfikir tentang lamaran abang. Ambillah seberapa banyak masa pun. Tapi, abang harap jawapannya tidak mengecewakan sebab abang memang dah lama jatuh cinta pada Miera..” ucap Qaiser penuh perasaan. Mata mereka saling beradu. Emiera seakan terpaku dengan renungan lembut itu.

   “ Abang sayang Miera. Abang nak jaga Miera.. cukup dengan alasan itu abang bagi pada Miera sebab cinta abang memang tak pernah perlukan alasan yang banyak..” selar Qaiser lagi. Terbuai hati Emiera mendengarnya. Terleka dia untuk seketika.

    Mula hati dia berbelah bagi. Apatah lagi melihat wajah penuh mengharap daripada Qaiser. Dia menunduk seketika sebelum wajahnya dipanggung untuk memandang Qaiser.

   “ Bagi Miera masa, Miera akan fikirkan..” Jawapan yang benar-benar membuatkan mata Qaiser bersinar galak. Ya Allah, hati mula mengucap rasa syukur walaupun itu bukanlah jawapan penuh kepastian.

   “ Miera nak bagi abang peluang tu?” soal Qaiser sukar untuk menyembunyikan riak terujanya.

   “ Miera akan fikirkan nanti..” jawab Emiera penuh teka-teki sebelum dia berlalu meninggalkan Qaiser yang jelas tayang wajah bahagia. Sepanjang perjalanan, Emiera benar-benar berharap.. dia bakal membuat keputusan yang tepat kelak.

 

 

 

Monday, December 2, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 3)



 
 
BAB 3

Cempaka Emiera kerah mindanya. Berfikir mengenai kelogikan Fuad Qaiser menghadiahkan dia hadiah sebegitu rupa. Namun, langsung tiada sebarang klu yang datang menyinggah.

   Kenapa dia bagi aku semua ni? Apa maksud dia? Bermacam-macam soalan muncul di benaknya. Bagaikan meminta untuk dileraikan satu-persatu. Cincin dan sepasang stoking bayi di tangan, Emiera pandang berkali-kali. Seketika, dia pandang pula tangan kiri dia yang elok memegang patung koala itu. Cakap.. hadiah dari Australia. Kalau koala ni memang dari sana, habis tu yang dua benda alah ni? Apa maksud semuanya? Ah, dia buntu!

   Agaknya dia silap nak bagi pada orang lain kot? Mungkin untuk teman wanita dia, tapi dia silap termasuk sekali dalam paper bag hari tu? Monolog Emiera berterusan sebelum bunyi deringan telefon menganggu dia daripada tanpa henti membuat spekulasi.

   Gajet miliknya diintai. Fuad Qaiser? Kening Emiera terjongket sebelah.

   “ Assalamualaikum..” Suara di sana kedengaran cukup garau menyentuh gegendang telinga Emiera. Entah kenapa, ada debar yang mengundang tatkala suara itu menyapa. Emiera telan liur. Panjang umur sungguh mamat ni.. desis hatinya.

  “ Ya, abang ada apa call Miera?’ soal Emiera sehabis lembut. Qaiser di sana sudah terdiam sejenak. Kusut bagaimana hendak mengatur bicara agar tersusun rapi.

   “ Err.. Miera dah buka hadiah tu?” soal Qaiser sudahnya. Terkelu Emiera sejenak. Memang itu pun yang merungsingkan dia.

   “ Kenapa abang bagi semua ni pada Miera?” Emiera berpura-pura berani. Sedangkan hati dia sudah longlai semacam menanti jawapan daripada Qaiser di hujung sana.

   “ Abang yakin Miera faham maksud pemberian tu..” Qaiser bagaikan mahu bermain tarik tali. Emiera mengeluh. Sudah tidak fahamkah lelaki ini soalan melayu? Kalau dia faham, dia takkan susah-payah bertanya. Aduh!

   “ Kalaulah Miera faham..” Meleret jawapan Emiera. Sedikit menyindir.

   “ Jadi, Miera tak faham?” selar Qaiser pantas. Dahinya berkerut.

   “ Miera takkan tanya kalau Miera dah tahu, bang..” balas Emiera mulai bosan. Kedengaran Qaiser bagaikan menarik nafas panjang di sana.

   “ Abang.. abang nak kahwin dengan Miera.” Senafas Qaiser bertutur. Terpempan Emiera seketika. Begitu beranikah lelaki itu? Hampir terlepas pegangan telefon pada tangan Emiera. Bibir langsung lumpuh hendak berkata-kata. Fikir dia.. Qaiser sekadar tidak serius dengan lamaran tempoh hari.

   “ Abang.. Miera ni isteri Arel!” tekan Emiera. Mengingatkan Qaiser.

   “ Bekas, Miera. Arel dah tak ada. Tak salah kalau abang nak jaga Miera. Tolonglah, bagi abang peluang untuk jaga Miera. Miera tahu kan, abang perlukan Miera? Mama dah buang abang..” soal Qaiser meraih simpati. Emiera sudah terkedu. Dia tahu maksud Qaiser. Sudah tentu mama yang lelaki itu maksudkan.

    “ Tapi, Miera tak cintakan abang. Abang perlu sedar akan hakikat itu! Abang takkan mampu gantikan tempat arwah dalam hati Miera..” Emiera masih dengan nada yang sama.  Qaiser pula terasa dunianya seolah-olah berhenti berputar. Ya Allah, perlu ke berterus-terang macam tu? Detik hati Qaiser sebak. Tangannya digenggam kuat. Dia tak boleh cepat melatah. Dia perlu bertenang.

   “ Abang perlukan Miera dalam hidup abang..” Bagaikan mengemis cinta, luahan Qaiser pada kali ini. Emiera terdiam. Nada lelaki itu yang longlai menjentik rasa simpati di sudut hatinya. “ Arel dah tinggalkan abang. Mama dah buang abang. Pada siapa lagi Miera nak abang luahkan rasa sakit ni? I need you, Cempaka Emiera.” Sambung suara itu lagi.

   “ Abang.. Miera tak selesa kalau hubungan ni kita lebihkan batasnya. Maksud Miera, dulu abang adalah abang ipar Miera, macam mana Miera nak latih diri untuk terima abang sebagai suami Miera pula?” keluh Emiera berharap benar Qaiser bisa mengerti gelodak hatinya.

   “ Tapi.. abang nak Miera. Abang nak Miera jadi isteri abang. Abang tak nak perempuan lain. Fahamilah abang.. Miera..” rayu Qaiser terusan. Emiera mengeluh dalam.

   “ Tolonglah, abang. Jangan desak Miera..”

   “ Kita jumpa esok, Miera? Abang nak bincang dari hati ke hati. Kita jumpa esok ye?” celah Qaiser pantas. Suara itu menyimpan seribu harapan.

   “ Miera tak nak..”

   “ Miera dah tak sudi tengok abang? Miera dah benci abang sama macam mama bencikan abang?” Qaiser menggunakan cara licik. Mengumpan simpati.

   “ Abang ni..” Emiera sudah mula geram. “ Okey, kita jumpa. Tapi, pastikan Aqilah dan Amni ada sama. Kalau kembar tak ada, Miera takkan jumpa abang.” Keras saja nada Emiera. Mungkin Kesabaran sudah memuncak bila Qaiser terusan memaksa.

   “ Tapi.. abang cuma nak berdua dengan Miera..”

   “ Pilih, sama ada Aqilah dan Amni ada atau kita tak payah jumpa langsung. Abang yang buat keputusan..” Tegas Emiera tidak mahu beralah kali ni. Kalau terusan dia mendengar pujuk rayu Qaiser, tak mustahil hatinya bisa cair.

   Fuad Qaiser dan Fuad Qairel.. darah sama mengalir dalam tubuh mereka. Sudah pasti ragamnya juga sama. Bisa menawan hati mana-mana wanita. Apatah lagi, diserikan dengan kekacakan yang mereka punya.

   Fine.. abang jemput Miera esok.” Terpaksa mengalah sudahnya.

   “ Miera pergi sendiri..”

   “ Miera.. kembar ada. Abang takkan buat macam-macam dengan Miera. Teruk sangat ke abang ni pada pandangan Miera?” Suara itu sudah bertukar sayu.

   “ Bukan macam tu maksud Miera. Miera tak nak susahkan abang terpaksa jemput dan hantar Miera..”

   “ Tiada apa yang susah kalau semuanya berkaitan dengan Cempaka Emiera sebab dialah amanah abang dan abang cintakan dia. Sangat-sangat..” Emiera sudah terdiam bisu mendengar ungkapan manis itu. Tipulah kalau hatinya tidak terbuai. Apatah lagi, Qairel juga selalu membisik kata yang sama. Tapi dia harus sedar. Fuad Qaiser dan Fuad Qairel adalah dua insan yang berbeza.

   “ Kenapa diam?” soal Qaiser memecah kesunyian. Nafas Qaiser sedut lama sebelum kembali berbicara. “ Abang tahu kami tak sama. Tapi, cinta kami sama. Kami jatuh cinta pada perempuan yang sama. Dan perempuan tu adalah..”

   “ Abang, stop it! Miera tak nak dengar.” Emiera dah terjerit kecil. Dia tidak suka perkara itu diungkit-ungkit. Qiaser terdiam seketika. Terkejut dengan jeritan kecil Emiera.

   “ Miera minta maaf tinggikan suara..” ujar Emiera serba-salah. Qaiser tetap diam. Tahulah Emeira, lelaki itu terasa dengan jerkahannya. Bukan niat dia sebenarnya.

   “ Abang..” panggil Emiera perlahan. Hatinya gundah bila Qaiser memilih untuk terus berdiam diri.

  “ Cempaka Emiera.. abang nak Miera dengar baik-baik apa abang nak cakap.” Qaiser mula membuka mulut. Agak keras nadanya. Mungkin sakit hati dengan kedegilan Emiera.

   “ Abang harap abang takkan sekadar bermimpi. Suatu hari nanti, abang nak cincin yang abang hadiahkan pada Miera tu akan tersarung pada jari manis Miera..” Jeda seketika.  “ Dan abang harap stoking bayi itu juga akan bertambah suatu hari nanti. Kalau Miera tanya apa yang abang nak dalam dunia ni.. cuma dua saja Miera.” Qiaser berhenti seketika.

   “ Abang.. Miera tak nak dengar..”

   “ Miera kena dengar sebab lepas ni abang akan terus ulangnya lagi supaya Miera faham yang abang memang hendakkan Cempaka Emiera sangat-sangat. Bukan sekadar hubungan biasa, tapi hubungan yang halal di sisi Allah. Seperti yang abang cakap, perkara yang abang perlukan dalam hidup abang cuma dua, Miera. Pertama.. keredhaan seorang ibu. Kedua.. abang perlukan Cempaka Emiera. Sebagai isteri abang dan juga ibu kepada anak-anak abang. Mark my words, Emiera.” Usai saja Qaiser berkata-kata, talian terus dimatikan tanpa isyarat.

   Emiera mengeluh panjang. Sukarnya dia hendak fahamkan seorang Fuad Qaiser.

Langkah gontai dibawa keluar dari kamarnya. Kepala Emiera sudah cukup berserabut tika ini. Hati pula seakan gundah memikirkan esok bakal ada pertemuan di antara dia dan Qaiser. Bolehkah dia berpura-pura tenang berhadapan dengan lelaki itu?

   “ Miera..” panggilan seseorang mematikan langkah Emiera. Emiera menoleh. Jelas Dafina sednag tersenyum penuh makna pada dia. Kening dijungkitkan.

   “ Kenapa?” soal Emiera kurang arif. Dafina angkat gajetnya sedikit. Berkerut dahi Emiera hendak memahami bahasa isyarat Dafina.

   “ Encik Qais baru call..” Jantung Emiera spontan berdegup laju. Wajah pun mula berubah riak. Tapi, dia cuba kawal agar tidak terlalu ketara pada pandangan Dafina.

   “ Dia nak apa, Fina?” soal Emiera berdebar. Dafina sengih.

   “ Hanya nak pastikan kau okey. Hmm.. so sweet..” Dafina dah sepetkan mata dia sambil bawa gajet rapat ke dada. Terbuntang biji mata Emiera. Tentu lelaki itu bimbang dengan keadaan dia selepas apa yang diluahkan sebentar tadi. Ah, Fuaq Qaiser yang prihatin. Hatinya mendesis seketika. “ Eh, kau tak suka Encik Qais ke?” soal Dafina kepelikan. Emiera menarik nafas dalam. Mungkin Dafina lupa.

   “ Fina.. aku baru lepas edah. Aku rasa berdosa kalau aku menyukai lelaki lain sedangkan suami aku baru saja pergi..” ujar Emiera sehabis teratur. Bimbang Dafina teerasa hati dengan tegurannya. Terus hilang senyuman pada bibir Dafina.

   “ Maaf, aku lupa.. Miera. Aku minta maaf..” Kalut suara Dafina. Emiera senyum seraya menggeleng.

   “ Tak apa. Manusia sering saja lupa, Fina. Tapi aku selalu ingatkan diri aku, di mana aku berpijak sekarang. Aku harap aku takkan pernah lupa. Dengan izinNya..” Kelibat Emiera terus saja menghilang sebaik dia tuturkan kata-kata itu. Meninggalkan Dafina yang terkebil-kebil mencerna maksud kata-katanya. Dia yakin.. Dafina tentu bakal faham.