HANA
EFRYNA
Izinkan aku menyintaimu
PROLOG
Angin bertiup kencang menyapa wajah. Dinginnya kian
mencengkam sanubari. Sedingin ketenangan yang ingin dicari untuk meleraikan
segala rasa duka, lara yang kian mengekori. Seorang wanita masih lagi menangis
teresak-esak sambil beberapa kali cuba menyeka air mata yang kian laju
membasahi pipi. Sudah hampir dua minggu si suami meninggalkan dia. Namun,
bayangan arwah masih belum bisa diusir jauh. Dia duduk di atas buaian sambil memeluk
lutut. Tanpa sedar, dirinya diperhatikan satu susuk tubuh tegap.
Di sinilah
segala kenangan antara dia dan Fuad Qairel bermula. Ya, di sini! Banyak
kenangan manis yang Qairel tinggalkan untuknya. Meskipun dia dan Qairel
berkahwin pada usia muda, namun dia bahagia. Dia bahagia bergelar isteri kepada
lelaki itu walaupun kehidupan mereka tak seindah pasangan lain. Tapi, sungguh
singkat gelaran itu dibawa kerana dia kini hanyalah seorang.. Ah, sukarnya
bibir hendak menyebut. Lagi sukar hati hendak menerima. Sungguh, dia rasakan
tubuhnya sudah separuh lumpuh. Bagaikan turut dibawa bersama dengan jasad arwah
suaminya yang terkubur sepi. Pada usia 26 tahun, Qairel akhirnya bersemadi untuk selamanya.
Anak mata jatuh pada tangan
kirinya yang tergenggam kemas sebuah potret seorang lelaki yang pernah mencuri
hatinya, manakala di tangan kanannya tergenggam utuh sebentuk keychain yang pernah menjadi hadiah
perkenalan daripada Fuad Qairel.
Keychain yang berbentuk hati itu dibawa
rapat ke dada. Kata Qairel, keychain
yang berbentuk hati itu melambangkan keikhlasannya untuk berkawan dengan dia.
Entahkan betul atau tidak, dia sendiri tidak pasti.
Mata Emiera
singgah pada potret perkahwinan antara dia dan Fuad Qairel. Walaupun hanya
dengan majlis ringkas, tapi dia bahagia. Tapi, kebahagiaan itu bagaikan
direntap pergi bila suami tersayang mula meninggalkan dirinya dalam menyahut
seruan Ilahi. Betapa dia terseksa dengan perpisahan kekal ini. Namun, bagi Cempaka
Emiera, cinta itu terpaksa dibiarkan berkubur kerana perginya Qairel bukan
untuk kembali lagi. Suaminya sudah pergi untuk selama-lamanya. Itulah hakikat,
itulah qada’ dan qadar yang dia harus terima. Sungguh, dia rindu dan sakit
rindu ini hampir buat dia sukar untuk bangkit berdiri.
Kenapa awak
tinggalkan saya tanpa pesan, Arel? Kenapa tak bawa saya sekali? Bisik hati
Emiera sendu. Air mata masih menderu-deru membasahi pipi mulusnya. Ya Allah,
betapa kuat diri ini diuji. Bantulah aku untuk terus bangkit meneruskan sisa
baki perjalanan hidup ini, Ya Allah. Rintih hati Emiera tanpa henti. Di setiap
sudut rumah itu, wajah arwah suaminya
terbias. Tangan naik memegang dada. Sebak, luka dan sayu bercampur baur menjadi
satu sebatian yang maha menyakitkan. Ah, Miera tak kuat.. Arel! Miera tak
kuat!!
“ Miera,
abang nak jumpa Miera sekejap.” Suara seseorang membawa Emiera ke alam nyata.
Pantas, kepala dipanggung. Terkejut. Wajah abang iparnya terbias di laman mata.
Oh, mungkin kurang tepat. Bekas abang ipar kerana dia kini hanyalah bergelar
balu. Perit.. hanya itu perasaan yang bisa Emiera gambarkan. Perlahan-lahan Emiera
bangkit dengan gontai. Wajah lelaki yang tegak memandangnya direnung tanpa
kata. Fuad Qaiser hela nafas perlahan.
“ Ada apa,
abang?” soal Emiera lemah. Qaiser terdiam. Bibirnya bergerak-gerak hendak
menutur kata. Tapi, dia tidak tahu dari mana hendak mula kerana dia yakin apa
yang dia bakal sampaikan akan merobekkan wanita tabah di hadapannya ini. Emiera
akhirnya senyum hambar. Cara lelaki itu sudah bisa ditebak apa pokok pangkal
yang ingin disampaikan.
“ Mama nak Miera
keluar dari rumah ni ke, abang?” soal Emiera lagi. Sedikit bergetar. Qaiser tunduk
bersama wajah yang muram. Emiera yang ketika itu sedang duduk santai di atas
buaian berdiri sambil dirinya masih menanti jawapan. Kuat Miera, kau kena sedar
diri. Dari dulu mama tak sukakan kau. Jadi, kau jangan rasa terlalu lemah
dengan apa saja dugaan mendatang. Kuat, Miera. Kau kena kuat.. suara hati
membisik kata-kata semangat. Tangan kecilnya digenggam kemas.
“ Abang,
kenapa ni?” soal Emiera lagi. Kebisuan Qaiser meyakinkan andaiannya seratu
peratus benar. Pantas, Emiera liarkan mata ke segenap ruang. Sekejap lagi, aku
perlu tinggalkan rumah ini. Abang, kenangan kita Miera tinggalkan di sini ye? Tapi, percayalah Miera takkan pernah
lupakan abang. Tapi, kedudukan Miera bukan lagi dalam keluarga besar ni. Miera
perlu bawa diri. Ke mana? Miera sendiri tidak tahu, abang. Miera tidak punya
sesiapa. Ya Allah, sekali lagi diri ini bakal teruji. Titipkanlah semangat buat
hambaMU yang kerdil ini.
“ Miera..
abang.. abang..” Qaiser masih lagi tergagap-gagap. Riaknya resah. Dan belum
sempat dia nak buka mulut, wajah mencerun Datin Zetty muncul di antara mereka.
Qaiser telan liur.
“ Hei
perempuan, nah ambil beg pakaian kau ni. Aku nak kau berambus dari rumah aku
sekarang juga!” Serentak dengan kata-kata kasar itu, sebuah beg besar berwarna
hitam dicampak betul-betul di kaki Emiera. Emiera tersentak. Wajah bekas ibu
mertuanya dipandang dengan riak memohon simpati.
“ Mama..
tolong bagi Miera masa, ma. Miera janji Miera akan keluar dari rumah ni. Tapi,
hari dah malam, ma. Miera nak ke mana? Kasihanlah dekat Miera, ma. Miera tak
ada sesiapa. Arel pun dah tinggalkan Miera..” Emiera sudah mula merayu-rayu.
Tangan tua Datin Zetty cuba diraih, namun tamparan yang menjadi hidangan.
Qaiser terlopong. Emiera pula sudah mula memegang pipi. Perit, pedih.. tapi
hatinya lebih berdarah. Datin Zetty sudah mula bercekak pinggang.
“ Hei, just shut up! Kalau bukan sebab kau,
anak aku tak mati tahu tak?? Kau ni memang dari dulu lagi aku dah agak. Bawa
sial!” tempik Datin Zetty marah sekaligus menyebabkan Emiera terpaksa
men‘zip’kan mulutnya rapat.
“ Mama!!”
Suara Qaiser yang dari tadi membisu mula kedengaran. Wajah lelaki itu tegang.
Rahangnya sudah bergerak-gerak. Emiera pandang wajah Qaiser. Menghantar
isyarat.. ‘ Tak apa, bang. Miera dah biasa.’ Namun, melihat Qaiser sudah
melangkah rapat pada Datin Zetty, Emiera bisa merasakan akan ada sesuatu yang
buruk bakal berlaku. Hatinya kuat menyatakan itu.
“ Berani
Qais tinggi suara dengan mama? Qais ni kenapa, hah?? Kurang ajar betul
anak-anak aku sekarang. Sama aje macam Arel!” Tersirap darah Qaiser mendengar
omongan mamanya. Emiera pula sudah terkedu.
“ Ma, adik
dah tak ada! Kenapa perlu ungkit orang yang dah tak ada?” jerkah Qaiser berang.
Rasa marahnya kini mengatasi rasa hormatnya pada seorang yang bergelar ibu.
Datin Zetty mendengus.
“ Kalau
bukan sebab perempuan ni.. adik Qais tak mati!!” Terus ditunjal kepala Emiera
menyebabkan tubuh yang sedikit lemah itu hampir terdorong ke balakang. Qaiser
bersitighfar panjang. Subhanallah, ke mana iman seorang yang bernama Zaiton
Qamariah? Kata-kata mama bagaikan melawan kehendak Tuhan. Bukan salah Emiera,
tapi takdir sudah tertulis ini pengakhiran hidup adiknya. Qaiser meraup wajah.
“ Bukan
salah Miera, ma. Ini semua takdir..” Mendatar suara Qaiser berlagu sekaligus
menyebabkan darah Datin Zetty semakin menggelegak. Tanpa teragak-agak, tubuh
kecil molek Emiera ditarik kasar lalu diseret ke arah pintu pagar utama. Emiera
sudah pejam matanya. Sakit, bang.. Miera sakit.. hatinya mengalun pilu.
“ Mama,
mama buat apa ni? Ya Allah..” Qaiser meluru mendapatkan dua susuk tubuh itu.
Pegangan mamanya pada lengan Emiera cuba dileraikan.
“ Qais, jangan
cuba nak halang mama!!” tengking Datin Zetty bengang. Namun, pendirian Qaiser
tetap tak berganjak. Dia perlu bantu Emiera. Itu janjinya.. janji pada insan
yang amat dia sayangi. Dan itu juga kata hatinya. Kata hati yang selama ini dipendam sendiri.
“ Qais
takkan benarkan mama apa-apakan Miera. Dan Miera takkan keluar dari rumah ni!”
Tegas Qaiser bersama wajah pilu. Terbuntang biji mata Datin Zetty memandang
wajah satu-satunya anak lelaki yang dia punya kini.
“ Dia bukan
sebahagian daripada keluarga ni lagi, Qais. Dia dah jadi balu. Suami dia, anak
mama dan buat pengetahuan abang long Qais juga, dah tak ada. Puncanya,
perempuan sundal ni. Qais faham tak? Dia tak layak duduk dalam rumah ni lagi!!”
jerkah Datin Zetty meluap-luap dengan rasa marah.
Kenyataan
mama ada benarnya. Tapi, dia tetap tak boleh lepaskan Emiera pergi. Janjinya
pada arwah Qairel masih tersemat kukuh. Satu lagi kenyataan mama yang salah
sama sekali, Qairel pergi bukan kerana Emiera. Bukan! Mata dipejam seketika.
Emiera yang masih menunduk direnung dengan riak penuh simpati.
“ Emiera
tetap akan tinggal dekat sini..” Perlahan Qaiser menutur. Emiera yang tadi
menikus panggung kepala. Mencerna maksud kata-kata Qaiser.
“ Abang..
jangan keruhkan keadaan. Miera akan pergi, bang..” Lirih suara Emiera. Datin
Zetty mencebik. Qaiser geleng perlahan.
“ Ya, Miera
akan pergi. Tapi, hanya bersama abang..” Zap! Terus kepala Datin Zetty
berdengung hendak meledakkan amarah. Matanya sudah memerah menunjukkan betapa
dia sakit hati dengan tutur kata si anak. Emiera pula sudah terkedu. Apa
maksud, Qaiser?? Hatinya berbisik.
“ Miera tak
fa.. tak faham..” Suara Emiera tenggelam-timbul. Qaiser jeda.
“ Qais
jangan nak memandai lawan cakap mama. Apa maksud Qais sekarang ni?? Jangan nak
bela sangat perempuan jalang ni,” soal Datin Zetty lantang. Wajah si anak
direnung tajam. Kalaulah pandangan itu bisa membunuh, tentu Qaiser sudah
terkubur seperti arwah Qairel.
“ Abang,
cukuplah. Jangan ada pergaduhan antara abang dengan mama. Miera pergi, bang.
Ingat, syurga abang ada pada mama. Miera pergi, Miera tak nak keruhkan keadaan
lagi..” Emiera sudah bersuara. Air mata menderu-deru mengotori pipi mulus itu.
Dia tunduk mengutip beg usang yang pernah diusung ke mari suatu ketika dahulu.
“ Miera!”
Tegas suara Qaiser. Langkah Emiera terhenti. Qaiser terus berjalan mendapatkan
Emiera. Lengan Emiera disauk perlahan. Emiera tergamam. Terus direnung wajah
tenang Qaiser. Qaiser menarik perlahan Emiera mengikuti langkahnya.
“ Qais!!”
Suara Datin Zetty meninggi. Mungkin berang melihat si anak masih berusaha
hendak mempertahankan bekas menantunya itu. Qaiser tetap cuba untuk bertenang.
“ Ma..”
seru Qaiser perlahan. Wajah Emiera dikerling sekilas. Seketika, dia kembali
menghadap wajah tegang si ibu. Maaf, ma.. Qais terpaksa ingkar kata-kata mama
kali ini. Ampunkan Qais, ma..
“ Miera
takkan pergi. Kalau mama tekad nak halau Miera, bermakna mama juga dah halau
Qais..” Datin Zetty terlopong.
“ Abang..”
Baru Emiera hendak berkata-kata. Qaiser dah angkat tangannya tinggi. Menyuruh
Emiera diam.
“ Kau
memang anak kurang ajar, Qais!” Bergetar suara Datin Zetty. Menggigil tubuh
gempal itu mengepung marah. Sungguh, ini kali pertama Qaiser ingkar kata-kata
mamanya. Maaf, ma.. Qais dah gagal jadi anak yang soleh. Sendu Qaiser
bermonolog.
“ Qais
minta ampun, ma. Tapi, Qais tetap dengan kata-kata Qais tadi..” Sekali lagi
Qaiser menyuarakan tekadnya.
“ Kenapa
kau nak bela sangat perempuan ni, Qais??” selar Datin Zetty. Suaranya dah
bergetar. Dijeling wajah Emiera tajam.
“ Sebab..
sebab.. Qais akan menikah dengan Miera bila dia tamat tempoh edah nanti..” Dum! Emiera terus terpusing 360
darjah. Benarkah kata-kata Qaiser? Tangan naik menekup mulut. Kepala dia
menggeleng-geleng. Tak.. tak.. dia salah dengar. Bisik hatinya berkali-kali.
Sedangkan
Datin Zetty sudah mula menayangkan senyum sinis.
“ Aku tak
faham kenapa dua anak lelaki aku boleh terpikat pada perempuan macam kau ni.
Tapi, ingat Qais.. kalau Qais tekad dengan keputusan Qais.. anggap mama Qais ni
dah mati. Dan mulai hari ni.. mama tak nak tengok muka Qais lagi! Think, Qais.. Think!” Serentak dengan itu, Datin Zetty melangkah masuk. Qaiser
masih selamba. Dia mula menarik beg di tangan Emiera. Emiera yang masih
terkejut langsung hilang kosa kata.
“ Mari..
kita pergi dari sini..” Mendengarkan kata-kata tenang itu, Emiera hampir hilang
kekuatan diri. Kepalanya benar-benar berserabut. Apa lagi kali ini? Ya Allah!!
suka
ReplyDeletemenarik ��
ReplyDeleteterima kasih akk.. tpi, ni belum edit lg.. :)
DeleteAs salam...kat mna saya bole beli novel nih..plzzz
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteBest lah crta ne
ReplyDeleteBest lah crta ne
ReplyDeleteBest lah crta ne
ReplyDeleteBestla cter nie d mna Novel dye boleh d dapati
ReplyDeleteBestla cter nie d mna Novel dye boleh d dapati
ReplyDeleteBestla cter nie d mna Novel dye boleh d dapati
ReplyDelete