PeNgiKuT sEtiA..

Friday, December 6, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 4)


BAB 4

Emiera membetulkan tudung yang bertiup disapa angin bayu. Kelu bibirnya hendak memulakan bicara. Qaiser juga terdiam bisu. Menambahkan lagi rasa kekok yang dah mula menemani sedari tadi.

   Emiera menjeling sekilas wajah tampan yang berdiri di hadapannya dengan tangan dikilas ke belakang kepala. Tampak segak sekali tubuh itu berdiri gagah. Lama dia merenung wajah Qaiser dan dia sedar ada satu sisi yang sama pada wajah itu dengan arwah Qairel. Hidung. Ya, hidung yang mancung itu menambahkan lagi kesempurnaan wajah kacak itu.

   “ Miera..” Qaiser sudah menoleh ke belakang. Tersentak Emiera yang ralit merenung wajah Qaiser itu. Terpinga-pinga Emiera seketika. Ah, macam mana dia boleh terleka? Hati mengutuk diri sendiri.

   Qaiser berjalan rapat, duduk dilabuhkan di sisi Emiera sambil mata merenung si kembar yang ralit bermain di gigi air. “ Abang terlalu memaksa ke?” Soalan tiba-tiba yang terpancul dari bibir sensual itu.

   “ Huh?” soal Emiera bimbang andai telinganya silap mendengar. Qaiser masih nampak selamba sambil merenung ke hadapan. Langsung tidak menoleh ke sisi.

   “ Abang terlalu memaksa Miera untuk terima abang ke?” Qaiser ulang soalan sama. Kali ini, wajah itu sudah berpaling mencari wajah Emiera. Emiera terdiam. “ Jujur, Miera. Supaya abang boleh ubah cara abang. Abang tahu Miera tak selesa macam ni..” desak Qaiser agar Emiera berlaku jujur.

   “ Miera tak suka dipaksa..” Sebaris ayat yang sudah cukup untuk memahamkan Qaiser. Qaiser senyum hambar.

   “ Jadi, betullah abang memaksa..” keluh dia seakan kesal. “ Maaf, Miera. Abang terlalu ikutkan perasaan..” luah Qaiser lagi. Lemah dan gontai saja suaranya.

   “ Kenapa abang sukakan Miera? Miera nak tahu alasannya. Miera bukan sesiapa abang. Malah, tiada apa yang tersisa untuk Miera. Mama pun bencikan Miera..” luah Emiera seakan mengadu. Qaiser kemam bibir lama. Dia tahu hati wanita itu sering dilapah dengan perbuatan Datin Zetty.

   “ Maafkan mama ye, Miera? Walau apa sekalipun mama buat pada Miera, maafkanlah mama. Dia masih tak tahu hati budi Miera yang sebenarnya dan dia masih tak tahu apa yang menimpa arwah..”

   Please.. jangan ungkit..” cantas Emiera siap-siap. Ketenangan Qaiser tadi berlalu pergi bila Emiera sudah mula dengan kedegilannya. Dia mendengus sedikit.

   “ Abang tak suka Miera degil macam ni.” Kasar sikit nada Qaiser. Wajahnya mula memerah menahan geram.

   “ Miera tak pernah minta abang suka macam mana sekalipun cara Miera. Cuma kali ni satu Miera pinta, hormat apa jua keputusan Miera. Mama tak boleh tahu pasal kejadian tu.” Emiera masih bertegas. Kalau begitu katanya, dia nak Qaiser jangan buka mulut. Dia yakin lelaki itu akan berpegang pada janjinya.

   “ Kenapa dengan Miera ni?” Geram saja nada Qaiser. Emiera menoleh. Wajahnya jelas tergambar riak kesayuan.

   “ Cuba jawab soalan Miera, bang..” Emiera tarik nafas seketika. “ Andai kata Miera ceritakan semuanya pada mama, boleh ke Arel balik ke pangkuan Miera? Dan andai kata Miera ceritakan semuanya pada mama, apa perasaan mama nanti? Boleh ke mama terima hakikat sebenarnya, abang? Abang nak hilang seorang lagi yang abang sayang? Miera tak nak, abang. Kehilangan itu satu yang menyakitkan..” soal Emiera penuh maksud tersirat. Qaiser kunci bibirnya rapat. Ah, tertekannya dia dalam situasi ini.

   “ Abang tak faham kenapa hati Miera terlalu suci? Miera nak jaga hati orang lain, tapi hati Miera.. ada Miera fikir?” selar Qaiser tidak puas hati.

  “ Hati Miera tak ada yang penting, bang. Hati ni dah lama terluka. Hati ni dah lama kesunyian. Arel dah bawa separuh hati Miera pergi bersama dia..” jelas Emiera dengan tubir mata bergenang sayu. Qaiser sudah mengucap panjang.

   “ Miera, Miera tahu tak cara Miera ni seakan menyalahkan takdir? Seolah-olah Miera dah tak sanggup nak hidup semenjak kehilangan suami Miera tu??” marah Qaiser sedikit. Emiera terdiam. Mata dia kedipkan sekali sebelum wajah dia raup perlahan.

   “ Miera rindukan dia.. Allah, sakitnya dada ni..” Tangan naik memegang dadanya sendiri. Tiba-tiba emosinya berubah dengan sendiri. Qaiser yang lancang berkata-kata turut terkedu.

   “ Miera..” Qaiser ingin menyentuh tangan kecil itu. Tapi, perbuatannya terhenti. Bimbang andai Emiera tidak suka. Sudahnya dia hanya sekadar memerhatikan riak itu tanpa bisa menenangkan Emiera.

   “ Arel.. Miera rindu Arel..” rintih Emiera sembari menundukkan wajah. Qaiser ketap bibirnya rapat. Bukan kerana cemburu. Tapi, kerana hatinya turut terluka melihat betapa terseksanya Cempaka Emiera menanggung beban rindu itu sendirian. Kalaulah tubuh itu halal untuk disentuh sesuka hati, sudah lama dia tarik ke dalam pelukan.

   Qaiser bangkit. Membawa diri sedikit jauh daripada Emiera. Bimbang andai hati tidak bisa mengawal kehendaknya untuk memeluk sekujur tubuh itu. Dia perlu bertenang untuk seketika.

   “ Abang tak suka Miera macam ni, sayang..” gumam Qaiser perlahan. Mata masih merenung wajah yang tampak sedih itu dari tempatnya berdiri.

   “ Abang Qais..” Aqilah dan Amni yang berdiri tegak di hadapannya dipandang dengan riak pelik.

   “ Kenapa adik-adik abang ni, hmm?” Qaiser usap kepala si kembar. Senyuman tipis dihadiahkan pada Aqilah dan Amni yang jelas nampak sedih. Mata si kembar melirik pada wajah Emiera sebelum kembali tertancap pada wajahnya.

   “ Kak Miera..” Aqilah berjeda. “ Dia menangis, abang..” lirih suara itu turut bersimpati pada kakak iparnya. Qaiser mengeluh dalam. Dia usap kepala Aqilah perlahan bersama sebuah senyuman tipis.

   “ Amni tak suka Kak Miera macam tu..” Amni sudah mula hendak menangis. Qaiser matikan senyuman. Ubun si adik dia kucup perlahan dengan hati yang bercampur baur.

   “ Abang akan cuba pujuk Kak Miera, tak mahulah nangis.. Amni. Adik abang ni kalau menangis, macam beruang comot..” sakat Qaiser cuba meredakan riak kesedihan si kembar. Tapi, Amni dan Aqilah tetap menunduk dengan wajah sayu.

   “ Tiap kali kami tengok Kak Miera macam tu, kami rindukan arwah Abang Arel..” Aqilah pula menyampuk.

   “ Tapi, Abang Qais ada kan? Atau korang tak sayang abang?” Sengaja Qaiser menduga dan sekelip mata dia rasa pinggangnya dipeluk erat oleh Aqilah dan Amni.

   “ Kami tak nak Abang Qais pergi macam Abang Arel. Janji dengan kami, abang.. jangan tinggalkan kami..” Amni sudah teresak-esak sayu. Qaiser pejam matanya sesaat. Janganlah ada aiar mata di wajahnya kerana dia perlu kuatkan diri sendiri sebelum menasihati orang lain.

   “ Sayang-sayang abang.. mati itu pasti. Ingat.. kita dicipta daripada tanah dan ke situ jualah kita akan kembali. Jangan macam ni, Qilah.. Amni. Kalau kata ajal abang esok, lusa atau bila-bila pun, abang nak adik-adik abang ni bersedia. Jangan bersedih macam ni sebab abang yakin Arel sendiri tak suka adik-adik manja dia menangis macam ni. Percayalah cakap abang..” pujuk Qaiser penuh sikap penyayang. Aqilah dan Amni renggangkan pelukan mereka. Dicari wajah tampan si abang dan dia pandang dengan riak penuh makna.

   “ Boleh abang kembalikan Kak Miera kami?” soal Amni tiba-tiba. Kening Qaiser hampir bercantum.

   “ Maksud Amni?” soal dia lalu air mata pada wajah si kembar dia sapu perlahan. Amni pegang tangan si abang.

   “ Kembalikan Kak Miera yang kami pernah kenal. Kak Miera yang tabah, yang ceria.. bukan macam sekarang. Yang selalu nampak berduka..” Giliran Aqilah pula menambah. Qaiser terdiam lama sebelum kepala itu diangguk bersama senyuman.

   “ Dengan izin Allah, sayang. InsyaAllah Abang Qais akan cuba. Doakan yang baik-baik untuk Kak Miera..” ujar Qaiser bijak mengatur ayat.

   Qaiser menoleh pandang wajah Emiera. Dalam hati dia menyimpan tekad.. abang akan kembalikan Cempaka Emiera yang abang pernah kenal. Monolog Qaiser penuh semangat sebelum dia senyum kembali pada si kembar.

   “ Jom, kita cuba pujuk Kak Miera.. nak?” ajak Qaiser bersuara ceria. Amni dan Aqilah berpandangan sesame sendiri. Seketika, mereka sekadar mengikut langkah Qaiser menuju pada Emiera.

   “ Dah puas nangis?” Kepala Emiera menegak memandang Qaiser yang menghulur sehelai sapu tangan untuknya. Teragak-agak dia hendak mencapai. Tapi, tak sempat bila Aqilah terlebih dahulu sambar sapu tangan itu sebelum dia mengelap pipi Emiera yang basah.

   “ Jangan menangis, Kak Miera. Sebab Abang Qais cakap arwah takkan suka kalau kita bersedih macam ni..” Aqilah sudah mengambil tempat di sebelah Emiera. Mendengar tutur kata Aqilah, Emiera senyum hambar.

   Dia tidak mampu berjanji untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi, dia akan cuba untuk kurangkan kesedihan ini. InsyaAllah..

   “ InsyaAllah, Qilah..” sahut Emiera sedikit lega. Terharu hatinya dengan layanan si kembar dan juga Qaiser pada dirinya. Rupa-rupanya dia masih tidak bersendirian.

   “ Qilah, Amni.. tunggu abang dekat kereta. Kita dah nak balik ni. Dah lewat, nanti abang nak hantar korang ke kolej pula,” ujar Qaiser berbaur arahan. Pantas saja Aqilah dan Amni mengangguk. Kedua susuk tubuh itu sudah mula bangkit lalu berlalu meninggalkan Qaiser dan Emiera berduaan.

   Melihat si kembar sudah berlalu, Emiera turut bangkit dari duduknya.

   “ Miera nak ke mana?” soal Qaiser mematikan langkah Emiera. Emiera menoleh dengan riak kepelikan.

   “ Abang cakap dah lewat..”

  “ Tahu.. tapi, ada benda abang nak cakap dengan Miera. Tak payah duduk, berdiri macam ni pun tak apa. Sekejap saja.” Qaiser nampak tenang.

   “ Abang nak cakap apa?” soal Emiera sedikit serak kerana terlalu banyak menangis.

   “ Abang cuma nak cakap, abang bagi Miera masa untuk berfikir tentang lamaran abang. Ambillah seberapa banyak masa pun. Tapi, abang harap jawapannya tidak mengecewakan sebab abang memang dah lama jatuh cinta pada Miera..” ucap Qaiser penuh perasaan. Mata mereka saling beradu. Emiera seakan terpaku dengan renungan lembut itu.

   “ Abang sayang Miera. Abang nak jaga Miera.. cukup dengan alasan itu abang bagi pada Miera sebab cinta abang memang tak pernah perlukan alasan yang banyak..” selar Qaiser lagi. Terbuai hati Emiera mendengarnya. Terleka dia untuk seketika.

    Mula hati dia berbelah bagi. Apatah lagi melihat wajah penuh mengharap daripada Qaiser. Dia menunduk seketika sebelum wajahnya dipanggung untuk memandang Qaiser.

   “ Bagi Miera masa, Miera akan fikirkan..” Jawapan yang benar-benar membuatkan mata Qaiser bersinar galak. Ya Allah, hati mula mengucap rasa syukur walaupun itu bukanlah jawapan penuh kepastian.

   “ Miera nak bagi abang peluang tu?” soal Qaiser sukar untuk menyembunyikan riak terujanya.

   “ Miera akan fikirkan nanti..” jawab Emiera penuh teka-teki sebelum dia berlalu meninggalkan Qaiser yang jelas tayang wajah bahagia. Sepanjang perjalanan, Emiera benar-benar berharap.. dia bakal membuat keputusan yang tepat kelak.

 

 

 

No comments:

Post a Comment