PeNgiKuT sEtiA..

Wednesday, June 12, 2013

Dia Yang Kau Pilih (Bab 4)


BAB 4

“ Kenapa Rif buat Fea macam ni, nek? Kenapa? Apa salah Fea??” Suara hiba Sofea bergema memecah kesunyian rumah kampung yang nampak meriah dengan kunjungan para tetamu. Namun, tidak pula semeriah dan seceria hati si pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinan sebentar lagi. Hatinya gundah dan sayu. Nek Cah terduduk di birai katil. Kuat tangan tuanya menggenggam tangan Sofea.

   “ Rif pergi sebab nak sambung belajar, Fea..” pujuk suara Nek Cah bergetar. Sofea menuntaskan pandangan pada wajah tua itu. Dia bangkit dari tempat yang diduduki sebelum dia melurut jatuh berlutut dekat dengan kaki Nek Cah. Tangan tua Nek Cah dicapai sebelum dia merapatkan kepalanya pada ribaan Nek Cah.

   “ Fea rayu pada nenek.. tolong bagitahu Fea perkara sebenar. Fea tahu nenek dan Rif ada sembunyikan sesuatu dari Fea. Dia tak pernah pergi tanpa kata, nek. Fea kawan baik dia. Dia takkan buat Fea macam ni tanpa sebab.” Sofea bersuara diselangi esak kecilnya. Di dalam kamar pengantin yang dihias indah itu hanya ada mereka berdua saja.

   “ Apa lagi yang Fea nak nenek cakap?” Sayu kedengaran. Sesekali Nek Cah mengelap tubir matanya. Rif.. nenek rindu Rif. Detik hati tuanya.

   “ Tolonglah nenek. Cakap dan jelaskan pada Fea semua yang nenek tahu dan sorok daripada Fea. Kenapa Rif pergi, nek??” sela Sofea sambil menggoncang lembut tangan tua itu. Nek Cah pejam mata. mutiara jernih mengalir lewat celah matanya yang terkatup rapat itu.

   Rif.. perlu ke nenek cakap perkara sebenar? Nenek tak tahu, Rif. Nenek kasihan pada Fea. Kalaulah Rif lihat keadaan dia sekarang, Rif tentu takkan pergi pada hari berbahagia dia. Tapi, nenek faham situasi Rif. Nenek faham. Hanya kerana ‘dia’ yang Fea pilih, Rif undur diri. Nenek faham.. desis Nek Cah sendu.

   “ Nek.. Fea nak tahu, nek..” Suara merayu-rayu milik Sofea menyentakkan Nek Cah. Spontan dia membuka matanya. Wajah yang lencun dek air mata itu dipandang sayu.

   “ Rif pergi sebab dia cintakan Fea.” Sebaris ayat itu menyebabkan mulut Sofea terlopong luas. Matanya terkebil-kebil menanti mulut itu bersuara meyakinkan. Perlahan-lahan Nek Cah angguk kepalanya sekali.

   “ A.. apa nenek cakap? Fe.. Fea tak faham, nek..” Tergagap-gagap Sofea memuntahkan kata. Bibirnya nyaris terkelu bisu. Nek Cah tarik nafas panjang. Pipi Sofea diusap sayang. Dia menarik Sofea bangun. Duduk di sebelahnya. Sofea menurut tanpa banyak soal. Namun, benaknya banyak inginkan jawapan pada persoalan yang muncul satu persatu.

   “ Rif cintakan Fea. Fea tahu tak?” soal Nek Cah lembut. Sekali lagi, Sofea rasa kepalanya berpinar-pinar. Jadi, selama ini kata-kata cinta yang keluar dari bibir itu semuanya benar? Bukan sekadar mainan kata? Ya Allah.. Sofea menekup mulutnya. Terkejut benar dia mendengar pernyataan itu.

   “ Fea.. Fea..” Sofea ketandusan kata. Nek Cah tersenyum hambar.

   “ Fea tak percaya kan? Fea anggap apa yang Rif luah semuanya gurauan? Nenek tahu.. nenek tahu..” Nek Cah menggumam sendiri. Sofea masih lagi dalam kondisi terkejut.

   “ Tapi, nek..” Termati terus kata-kata Sofea pabila Nek Cah sudah mencelah laju.

   “ Ya, hati Fea bukan milik dia. Dia tak dapat sentuh hati Fea. Sebab tulah Rif sedar kedudukan dia. Dia cuba terima hakikat. Tapi Fea.. Rif insan biasa. Dia tak mampu nak butakan hati dan matanya melihat saja Fea menjadi milik orang lain. Sebab tu cucu nenek yang selama ni kuat pergi juga dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran. Dia tak sanggup kehilangan orang yang dia sayang untuk kali kedua. Cukuplah ketika mak ayah Rif dijemput pemilik asalnya dulu. Rif dah tak kuat, cu..” Luluh hati Sofea mendengarnya. Ya Allah.. Rif, maafkan Fea. Maafkan Fea.. rintih hati Sofea.

   “ Nek.. sumpah Fea tak pernah tahu. Kalaulah Fea tahu Rif cintakan Fea, Fea akan cuba..”

   “ Tak, cu. Rif tak nak macam tu. Dia tahu Fea cintakan Had. Dia redha. Memang Fea bukan untuk Rif..” Nek Cah sekali lagi mencelah. Bahu Sofea diramas lembut. Tiba-tiba, Sofea bangkit.

   “ Nek.. Fea nak pergi jumpa Rif. Fea kena jumpa Rif!!” Sofea mula hendak berlari keluar. Nek Cah spontan berdiri. Tangan Sofea dipegang. Menghalang gadis itu daripada berlalu.

   “ Fea nak ke mana? Fea nak akad nikah kejap lagi.” Suara Nek Cah cemas. Wajah Sofea dipandang lama menantikan sebuah jawapan. Sofea tersenyum paksa.

   “ Fea nak batalkan, nek. Ya, memang Had yang Fea pilih. Memang Had yang Fea cinta. Tapi, Rif juga penting dalam hidup Fea. Fea kenal Rif lebih lama daripada Fea kenal Had. 24 tahun, nek. Bukan satu jangka masa yang singkat. Kami membesar sama-sama. Terlalu banyak kenangan Fea dan Rif. Fea perlu cari Rif. Nek, restuilah Fea..” Sofea menjelaskan. Tangisannya semakin lebat.

   “ Jangan, Fea. Jangan keruhkan keadaan..” Nek Cah menghalang. Sofea pegang kepalanya sendiri. Sungguh, dia buntu.

   “ Jangan malukan keluarga Fea. Kalau Rif tahu, dia akan kecewa Fea. Demi Rif.. Fea kena langsungkan perkahwinan ni. Fea baca surat Rif kan? Dia cakap pada nenek walau apa sekalipun, Fea kena jadi isteri Had. Dia tak nak kelak dia terbeban dengan kesalahan andai perkahwinan ini dibatalkan,” jelas Nek Cah merayu. Sofea terjelopok jatuh sudahnya.

   “ Kenapa Rif buat Fea rasa terbeban, nek? Rif.. sampai hati Rif..” ngongoi Sofea kuat. Nek Cah pantas memeluk Sofea. Bertindak untuk menenangkan si gadis. Bahu Sofea diusap lembut.

   “ Tunaikan permintaan Rif. Teruskan perkahwinan ni ye, cu..” Lembut kata itu menusuk hati Sofea. Lambat-lambat Sofea membalas pelukan Nek Cah.

**************

Tiga tahun berlalu..

“ Sayang..” Lembut suara Hadri memecah gegendang telinga Sofea. Sofea berpaling. Perlahan-lahan senyuman dilemparkan buat suami tercinta. Ya Allah, sekali lagi dirinya terduga. Wajah pucat Hadri dipandang sayu. Wajah yang kelak akan meninggalkan dirinya jua.

   Semenjak Hadri disahkan menghidap leukimia, hidup mereka terus berubah 360 darjah. Tiada lagi tawa mesra, yang ada cuma linangan air mata duka.

   “ Mari sini, sayang..” Suara lemah itu sekali lagi kedengaran. Sofea bangkit perlahan-lahan. Wajah yang penuh berselirat dengan wayar itu dipandang lagi. Fea.. kau kena kuat. Jangan buat suami kau semakin lemah dengan tangisan kau. Tabah, Fea. Kau boleh hadapi semua ni.. suara hati membisik semangat.

   “ Abang nak air?” soal bibir itu bersama senyuman menguntum. Senyuman yang jelas hendak mengaburkan mata si suami. Hadri tersenyum lagi.

   “ Tak nak, abang nak sayang. Boleh?” Jelas nada si suami hendak mengusik. Sofea mengulum senyum.

   “ Fea memang untuk abang..” Suara itu membalas. Hadri lebarkan senyuman.

   “ Tapi, bukan untuk selamanya. Kelak.. Fea akan jadi milik lelaki lain. Abang dah nak ‘pergi’, sayang..” Hadri bersuara dalam kepayahan. Tangan si isteri dicapai lalu digenggam lembut. Sofea sudah menarik nafas panjang. Sebak mula bertamu. Dia memalingkan wajah sebelum dia kembali menatap wajah kacak Hadri.

   “ Abang tetap suami Fea untuk selamanya..” Lembut suara Sofea mencantas kata-kata si suami. Hadri menggeleng. Tangannya yang terketar-ketar diangkat untuk menyentuh pipi si isteri.

   “ Fea perlukan seseorang untuk jaga Fea. Jaga anak kita.. abang dah tak boleh jaga Fea. Cuma tempoh tiga tahun yang dijanjikan Allah untuk abang bergelar suami kepada Sofea Liyana. Tapi, abang bersyukur. Tempoh tiga tahun itu terlalu bermakna untuk abang ‘bawa bersama’ nanti. Kenangan bersama Fea dan Haiqal merupakan kenangan terindah dalam hidup abang..” Sofea pantas meletakkan jemarinya pada bibir si suami.

   “ Tolong, bang. Jangan cakap macam tu. Fea tak sanggup dengar. Abang akan sembuh kan? Abang akan sembuh. Abang takkan kejam tinggalkan Fea dan Haiqal. Haiqal tak nak jadi yatim piatu pada usia dua tahun, bang. Tolonglah..” rintih Sofea hiba. Matanya memancarkan sinar. Berharap mungkin si suami akan mengiyakan kata-katanya. Menyedapkan hatinya. Ya Allah.. Sofea rapuh.

   “ Shhh..” Hadri kebuntuan kata. Mana mungkin dia akan menidakkan kenyataan yang satu itu. Hakikatnya hayat dia tidak lama. Perlahan-lahan tubuh Sofea dibawa ke dalam dakapan. Erat tubuh itu dipeluk.

   “ Maafkan abang kerana abang tak boleh nak mengiyakan kata-kata Fea. Takdir Allah, Fea. Redhalah, sayang..” bisik Hadri lembut di peluput telinga Sofea. Mendengarkan kata-kata si suami, semakin kuat Sofea menghamburkan tangisan.

   “ Fea tak nak abang ‘pergi’..” Sofea turut berbisik.

   “ Tunggu Rif balik. Lepas ni, abang akan serahkan Fea pada dia.” Dan serentak dengan itu, Sofea sudah merenggangkan pelukan. Tajam anak matanya memandang wajah si suami. Hadri tersenyum lebar. Kepalanya dianggukkan sekali.

   “ Abang.. abang cakap apa ni?” soal Sofea terketar-ketar. Hadri tersenyum hambar.

   “ Fea rindukan dia kan? Tiga tahu abang jadi suami Fea, abang nampak sinar rindu tu. Meskipun cinta Fea untuk abang, tapi abang yakin dia juga jodoh Fea. Sebab tu abang tak dijanjikan untuk menjadi suami Fea lagi. Abang akan dijemputNya, sayang. Abang yakin Rif lelaki yang terpilih menjadi suami Fea nanti..” Ya Allah.. peritnya jiwa. Lukanya hati. Kenapa begini kesudahannya? Jerit batin Sofea.

   “ Abang..” Sofea tidak mampu meneruskan kata. Seketika, Hadri mula mencapai sepucuk sampul putih yang diselitkan di bawah bantalnya. Sampul putih itu dihulur ke arah Sofea. Lama Sofea memandang tanpa niat untuk mencapai.

   “ Surat ni surat terakhir abang untuk Fea. Fea janji dengan abang, boleh?” Hadri menagih janji. Sofea teragak-agak mencapai surat itu. Tubir mata yang lencun sudah tidak dihiraukan.

   “ Abang nak Fea berjanji. Hanya baca surat ni selepas abang ‘pergi’ ye, sayang? Dan tolong jaga permata hati abang dengan sebaiknya. Haiqal Danish bin Hadri, abang serahkan pada Fea. Jaga dia, kasihi dia sebagaimana Fea kasihi abang. Janji dengan abang..” tagih si suami lagi. Tika ini, air mata semakin laju mencurah-curah. Fea tak nak hilang abang!! Jerit hati Sofea. Kenapa? Kenapa perpisahan ini satu rasa yang menyakitkan??? Kenapa??

   “ Fea janji, bang. Fea juga akan janji yang Fea akan jaga Haiqal melebihi nyawa Fea. Haiqal tanda cinta kita. Fea janji, bang..” Hadri terus menarik nafas lega. Sekali lagi tubuh si isteri dibawa ke dalam pelukan. Sebuah kucupan dihadiahkan pada ubun si isteri. Hadri pejam mata sesaat. Air mata jantannya mengalir jua.

   Sofea Liyana, ketahuilah sayang.. menjadi suamimu merupakan anugerah terindah dalam hidup abang. Jujur.. abang tak puas bersamamu. Banyak lagi bahagia yang abang nak kecap bersama Fea. Tapi, abang hanya mampu merancang. DIA yang menentukan segalanya.

   Fea, terima kasih untuk segalanya. Terima kasih untuk cinta, kasih dan sayang yang Fea hulurkan buat abang meskipun ianya hanya sementara. Cuma satu pinta abang.. sudikanlah hati Fea untuk sentiasa sedekahkan abang dengan alunan suci Al-Quran jika abang sudah dijemputNya nanti.

   Anak papa, Haiqal.. menyandang gelaran seoarang ayah merupakan hadiah paling bererti dalam hidup papa. Dua tahun memang singkat. Tapi, papa bersyukur kerana papa tetap diberi kesempatan. Haiqal Danish.. kelak andai anak papa sudah dewasa, jaga mama dengan baik. Jadi anak yang soleh, sayang. Papa sayang Haiqal dan mama. Tersangat sayang.. rintih hati Hadri panjang.

   Nafas dihela perlahan sebelum Hadri mula rasa dadanya semakin sempit. Akhirnya, Hadri terkulai layu dalam pelukan si isteri. Ya Allah.. sungguh tenang wajah itu beradu. Sofea yang perasan Hadri tidak memberi sebarang reaksi,  merenggangkan pelukan. Wajah Hadri dengan mata terpejam itu dipandang sebelum bibirnya diketap rapat. Sekilas, dia tunduk mencium kedua-dua belah pipi itu.

   “ Pergilah, bang. Pergilah.. bawa bersama kenangan kita. Fea cintakan abang. Mungkin sampai di sini saja jodoh kita. Fea redha.. pergilah. Semoga abang tenang di sana,” ucap Sofea lagi sebelum sampul putih itu digenggam kemas.