PeNgiKuT sEtiA..

Tuesday, November 11, 2014

MAIN-MAIN CINTA & JIKA AKU JATUH CINTA (JAJC)

PENGUMUMAN PENTING! 


Assalamualaikum pengunjung blog yang hana sayangi, maaf sebab dah lama xupdate blog. Hana busy sejak masuk DEGREE ni, Tak sempat nk smbung cerita. Tapi, sedang cuba utk siapkan cerita2 yg tertangguh. Sebenarnya ada dua berita yang hana nak khabarkan di sini.

PERTAMA..  hana dah terbit novel KETIGA under IDEA KREATIF PUBLICATION. Novel ketiga Hana bertajuk MAIN-MAIN CINTA.


SINOPSIS :


Mulanya, sekadar main-main. Lama-lama, hati terasa lain. Memenuhi permintaan seorang sahabat untuk menundukkan player terhebat, akhirnya Shazia Thahirah terjerat.

Kata Qalsum Annur, Raed Zayaz a.k.a sepupunya dan juga merangkap bakal pensyarah ganti mereka adalah buaya darat yang harus diajar agar lebih menghargai wanita.

Tapi persoalannya, puas Shazia cari dari mana datang perwatakan buaya darat itu pada Raed Zayaz, namun tidak ditemui. Yang dia nampak hanyalah seorang lelaki Melayu-Arab yang selalu bikin dia hilang punca.

“Dr. Raed nak beli apa?”- Shazia
“Beli hati you, boleh tak macam tu?” – Raed

Mengenali Raed, banyak budi yang lelaki itu hulurkan. Terasa diri dijaga rapi bak puteri. Cumanya, Raed Zayaz itu sangat perahsia orangnya dan penuh kejutan.

“Kan I tak benarkan?” - Raed
“Dr. Raed bukan suami saya. Jadi, Dr. Raed tak ada hak nak arahkan saya macam tu.” - Shazia
“Jadi, beri I hak tu. Boleh kan? I nak jadi suami you. Bukan sebab I nakkan hak tu aje. Tapi, sebab I nak jaga you.”- Raed
“Untuk kali ke-6, I nak lamar you jadi isteri I.” - Raed

Terlalu banyak andaian muncul di benak Shazia. Benarkah apa yang Qalsum khabarkan padanya selama ini? Kalau benar, kenapa dia rasa seperti dia yang sedang dipermainkan?

Bila ditanya, jawapan Qalsum sangat mudah, semuanya kerana sebuah rancangan. Tapi, hati Shazia kata ada sesuatu yang aneh. Apa sebenarnya rancangan Qalsum? Dan benarkah lamarann Raed yang kononnya kali ke-6 itu bukan sekadar mainan?
 

HARGA :

RM25 (SEMENANJUNG)
RM28 (SABAH/SARAWAK)

_______________________________







KEDUA.. Hana dan penulis Hash Aulia berhajat hendak menerbitkan mini novel LIMITED EDITION bertajuk DAN KERANA CINTA (DKC). InsyaAllah, dalam tahun hadapan mengikut perancangan. Nanti hana update balik. Dalam DKC, kami muatkan dua buah cerita. Untuk cerita Hana, Hana berkongsi idea dengan kawan Hana iaitu, Nafiz Nasir. So, cerita ni relate dgn dia. Tapi, jalan cerita adalah REKAAN SEMATA-MATA. 

Dua buah cerita yang Hana maksudkan iaitu :

1. JIKA AKU JATUH CINTA (Kapten Nafiz Nasir) - HANA EFRIENA 

2. KU PASRAHKAN HATIKU (Naj Ilham) - HASH AULIA


Sesiapa yg nak ikuti teaser ni, boleh request group fb. Tq.






Wednesday, July 30, 2014

Bab 3-MMC


BAB 3

Kuku tangan kugigit perlahan. Mata diliarkan ke kanan dan ke kiri. Pintu yang terpampang ‘Bilik Pensyarah 3’ aku pandang dengan dada yang dah nak meletup sakan.

   “Cari siapa?”

   “Oh emak kau cari abah kau!”Aku termelatah. Hampir saja gerangan empunya suara garau itu hendak ku hempuk dengan buku tebal di tangan.

   Seketika, kedengaran suara ketawa seseorang. Tawa yang sedap didengar. Dan paling penting.. tawa yang dah berjaya mengganggu-gugatkan jiwa aku.

   Darah gemuruh mula naik menyerbu ke segenap ruang. Dia?? Ya Allah.. malunya!

  “You melatah, Thahirah?” Dia renung wajah aku dengan bahu yang masih terhinggut-hinggut menahan tawa.

    Aku senyap. Satu patah kata pun tak bisa keluar dari mulut.

   “Cari I?” Dia ajukan soalan lain pula. Mungkin sebab aku tak membalas soalan pertamanya. Tawanya juga sudah mula beransur reda.

   Aku masih lagi bagaikan disuntik ubat pelali. Tetap teguh menghalakan pandangan menatap seraut wajah yang cukup maskulin itu.

   “Sekali lagi, Thahirah. You nampak terkelu bila jumpa I. Teruknya..” Dia senyum menampakkan dagunya yang terbelah. Gigi pula elok tersusun cantik. Sempurna!

   “A.. apa dia, Dr. Raed?” Aku mula tersedar. Beg sandang yang kugalas ku betul-betulkan sedikit.

   “You cari I ke?” soal dia lagi. Untuk kali kedua soalan sama itu diajukan.

   “Err.. semalam..” Aku jadi serba-salah nak teruskan bicara.

   Lagipun, kalau boleh tak nak ungkit hal semalam sebab salam dia pun aku tak sempat jawab. Sedar-sedar saja butang merah yang aku tekan.

   Lepas tu, barulah pesanan  ringkas daripada dia yang masuk ke dalam inbox. Mengatakan hendak berjumpa dengan aku pagi ini. Jadi, patut ke dia tanya aku soalan macam tu? Dia ni agak pelik juga. Pelik bin ajaib!

   “Ohh.. I lupa I yang text you semalam suruh jumpa I. Come..” ajak dia selepas tersedar akan kealpaannya lalu daun pintu dilebarkan sedikit. Aku diam membatu.

   Dia.. tolong bukakan pintu untuk aku? Biar benar ni?

   “Thahirah.. takkan nak discuss dekat sini?” Keningnya terangkat sebelah. Aku pandang dia terus.

   “Jangan pandang I macam tu..” tegur dia serius. Tapi, entah kenapa mata aku seakan nampak dia seperti sedang menahan senyum daripada terukir.

   “Huh?”

   “Nanti jantung I tembus..”

   “Huh??” Lebih kuat suara aku kali ni. Dia ketawa.

   “Tak ada apa-apa. Come..” ajak dia lagi. Daun pintu semakin dilebarkan.

   Aku mula rasa gerun hendak masuk. Apatah lagi bilik itu cuma menempatkan dia dan Mr. Rayden. Kalau aku masuk, tak timbul fitnah ke? Tiba-tiba otak aku melencong.

   “Dr. Raed.. err..” Terketar-ketar aku nak menyoal dia.

   “Jangan bimbang, Mr. Rayden ada sekali..” Seperti bisa menyelami hati aku, dia juihkan bibir pada Mr. Rayden yang sibuk membelek kertas ujian pelajar.

   Pada masa yang sama, Mr. Rayden juga turut angkat wajah. Mungkin terasa namanya diseru oleh Raed Zayaz agaknya.

   “Hai.. Thahirah..” tegur Mr. Rayden ramah. Siap angkat tangan lagi.

   Namun, sesaat aku nampak wajah Mr. Rayden berubah bila Raed Zayaz aku nampak sedang memakukan pandangan pada Mr. Rayden.

   “Ohh.. hai, Zia..” Nama lain pula yang Mr. Rayden sebut. Aku buat muka. Apa kena dengan dua orang ni?

   “Hai.. Mr. Rayden..” Aku balas sapaan Mr. Rayden mesra.

   So.. are you coming in?” soal Raed Zayaz pada aku pula. Aku jatuhkan kepala perlahan-lahan.

   Raed Zayaz senyum melebar.

  “Duduk dulu, I ada benda nak cakap dengan Mr. Rayden..” Kerusi ditarik untuk aku.

   Sumpah, aku rasa nak pitam waktu ni juga. Ini layanan first class betul dia bagi pada aku!

Hampir sepuluh minit aku lihat Raed Zayaz bercakap-cakap dengan Mr. Rayden sebelum kaki tegap itu melangkah mendapatkan aku.

   Sesekali aku lihat Mr. Rayden melirik pada aku sebelum lelaki cina itu kalihkan matanya pada Raed pula. Senyuman mengejek pula terhias pada bibir Mr. Rayden. Dan pastilah senyuman itu untuk tatapan Raed.

   “Kenapa letak waktu I call semalam?” Soalan lurus dari si dia saat duduk sudah dilabuhkan berdepan dengan aku.

   Aku yang sibuk menelek kuku terus panggung kepala. Tak semena saja terasa bagaikan disimbah sesuatu pada wajah saat soalan jujur itu meluncur dari bibirnya.

   “Terkejut?” soal dia lagi. Kedua-dua belah tangan Raed sulamkan lalu dia bawa pada bibirnya. Mata masih galak memerhatikan aku.

   “Ada hal penting ke Dr. Raed nak jumpa saya?” Sengaja nak alih topik kami.

   “Hanya selepas you jawab soalan I..”

   “Hah?”

   “Thahirah..” Meleret nama aku diserunya. Aku mula rasa tak selesa.

   Just answer my question..” suruh dia tegas.

   “Saya ada kuliah kejap lagi..”

   “Bila I tanya you dan you tak jawab.. patut tak I gelarkan you pelajar yang no manners?” Tiba-tiba. Suara dia pun dah berubah sedikit keras. Mungkin geram akan kedegilanku.

   Huih.. sentap gila kut ayat Raed Zayaz ni.

   No manners? Bukan ke dalam Bahasa Melayu maksudnya.. tak ada adab? Ohooii.. ini dah mencabar aku nampak gayanya.

   “Dr. Raed dah menceroboh privasi saya..” Aku yang mula tercuit dengan kata-katanya mula lencong topik kami. Kalau dia boleh hentam aku, aku pun bolehlah.

    Dia herotkan bibir.

   “Maksud you?”

   “Dr. Raed curi nombor telefon saya..” Aku bidas dia balik. Wajah dengan sendiri dah mencuka.

   Paling tak menahan, aku lupa siapa dia dan siapa pula aku. Ini memang betul-betul tak ada adab. Ah, ada aku kisah?

   “I tak curi. I minta..” sahut dia tak nak mengalah. Wajahnya berkerut tika menafikan tuduhanku.

   “Tapi..” Aku nak membidas, namun dia dah bijak pula mematikan kata-kata aku.

   “Dan I minta pada Qalsum, dia yang rela hati bagi pada I. Jadi, patut ke you tuduh pensyarah you macam tu? Lagi kejam tuduhan you sebab I dapatkan nombor telefon you untuk I serahkan..”

   Bicara dia terhenti. Tangan sasa itu tiba-tiba menolak beberapa helai nota kepadaku. Aku terkebil-kebil pandang dia.

   “You cakap you tak faham taxation. I dah buatkan nota untuk you, I harap you tak ada masalah pasal subjek yang I ajar lepas ni..”

   Tak sempat aku nak proses kata-katanya, aku nampak dia dah bangkit berdiri. Muka dia pun dah berubah lain macam. Tegang!

   I’m done, Thahirah..” tukas dia serius. Aku kerutkan kening. Mendongak pandang dia yang sedang mencerun memandang wajahku.

   Dia ni dah kenapa? Tiba-tiba nak beralih angin. Muka pun dah ketat semacam. Atau.. dia terasa dengan kata-kataku sebentar tadi?

   Ya Allah, Zia! Apa kau dah buat ni?

  Dia sanggup susah-payah buatkan nota untuk kau sebab penipuan kau tu. Dan kau boleh tuduh dia macam tu? Sah sangat-sangat sekarang ni.. Raed Zayaz memang sentap dengan aku. Matilah kali ni!

   “Err.. Dr. Raed..”

   I’m leaving..” pintas dia sekali lagi.

   Aku nampak dia sambar beberapa buah fail di atas meja. Tanda dia sudah bersedia hendak memulakan kuliahnya yang lain pula pada pagi ini.

   Keluhan lemah terhela daripada bibir aku. Aku bangun perlahan-lahan.

   “Saya minta maaf kalau Dr. Raed terasa dengan kata-kata saya tadi..” Tak adil rasanya kalau aku tak minta maaf pada dia.

   Sudahlah dia bersusah-payah melayan ‘auta’ aku. Mana ada pensyarah yang begitu ‘baik hati’ macam Raed Zayaz hendak buatkan nota tangan untuk pelajar sendiri. Kalau ada pun, tak ramai. Dan dia buat nota itu semata-mata kerana aku.

   “Hmm..” gumam dia sambil berpura-pura menyibukkan diri. Sambar itu, sambar ini.

   Macamlah aku tak tahu dia sedang menunjukkan protes padaku. Tapi, patut ke? Ah.. aku sendiri dah keliru dengan gelagat dia yang berubah-ubah.

   “Saya pergi dulu. Terima kasih untuk nota ni. Dan maaf..” Aku tuturkan sekali lagi ungkapan maaf.

   Dia buat tak dengar. Usai saja aku bagi salam, aku atur langkah ke muka pintu.

   Tak sedar bila dia menyaingi langkahku, tiba-tiba terasa ada tangan yang memulas tombol pintu.

   Aku paling ke belakang. Dia suruh aku keluar dulu dengan isyarat matanya itu. Sebaik saja pintu ditutup.. dia sudah halakan kaki ke kanan, manakalah aku pula memliih arah bertentangan kerana tempat kuliah kami yang berbeza.

   Baru beberapa tapak, aku terasa namaku seperti diseru oleh suara garaunya.

   “Thahirah..”

   “Ya..” Aku kalih tubuh menghadap dia yang sedang berdiri beberapa tapak daripada aku. Wajahnya masih sama. Tapi, cuma kali ni lebih kendur. Tidak setegang tadi.

   “Jangan rasa bersalah..”

   “Huh?”

   “Jangan rasa bersalah kalau I macam ni. Sebab yang salah bukan you, tapi I..” Siap saja dia habiskan ayat, aku nampak dia tergesa-gesa pergi meninggalkan aku.

   Terkelu sekejap aku dibuatnya. Sebenarnya.. kenapa dengan seorang Raed Zayaz ni? Aku jadi pening!

Bab 2-MMC


BAB 2

Termenung panjang aku tika ini. Buku setebal kamus itu langsung tak menarik perhatian aku. Fikiran aku lebih menerewang pada insiden semalam.

   Insiden di mana aku mengikuti Dr. Raed pulang ke rumahnya. Bertemu dengan Puan Najjah, ibu Dr. Raed. Memang keputusan berani mati yang pernah aku buat sepanjang 23 tahun hidup aku di muka bumi ini.

   Memanglah Puan Najjah itu baik orangnya. Tapi, aku tetap rasa bersalah sebab tujuan aku hadir dalam keluarga kecil itu dengan niat tak elok. Dengan niat nak ‘mengajar’ seorang buaya darat bernama Raed Zayaz.

   Padanlah Raed mempunyai wajah yang cukup tampan. Wanita separuh abad itu juga ternyata masih anggun. Dan aku yakin.. Raed banyak mewarisi wajah kacukan Arab milik Puan Najjah.  

   “Zia..” Qalsum seru nama aku. Tapi, pandanganku tetap lurus ke hadapan.

   “Zia..” Sekali lagi Qalsum mencuba. Aku toleh ke sisi. Mula perasan nama aku yang sedang diseru olehnya.

   “Kenapa?” Sepatah Qalsum tanya. Riaknya nampak bimbangkan aku.

   Aku hela nafas panjang. Buku tebal di tangan aku katup lalu ku letak ke tepi. Kepala yang bersandar pada bantal aku betul-betulkan sedikit.

   “Qay.. kalau aku nak tarik diri, boleh tak?” Aku ajukan soalan yang aku pasti akan menimbulkan kemarahan Qalsum. Tegak duduk Qalsum sambil mata tajam memanah wajahku.

   “Kenapa pula?” Jelas nadanya tak puas hati. Aku sandarkan badan pada dinding. Kaki kulunjurkan lalu tangan sendiri aku ramas perlahan. Cuba menenangkan diri.

   “Aku dah jumpa Puan Najjah..”

   “Aku tahu..”

   “Dia baik..”

   “Habis tu?” Qalsum pelik dengan ayat aku gamaknya.

   “Aku tak sampai hati nak buat anak dia macam tu..” Nafas sekali lagi terhela berat. Qalsum herotkan bibir.

   “Boleh tak kau jangan nak baik hati tak kena tempat?” bidas Qalsum geram. Aku berdecit.

   “Aku baik hati bertempat tahu tak? Dr. Raed bukannya mainkan aku. Apasal kau tak suruh Nairah aje game dia??”

   Buk! Tepat satu balingan bantal mengenai wajahku.

   “Woi..” Aku mula dah rasa panas hati. Qalsum jeling aku sambil merengus.

   “Kau ni sekali-sekala bebal tu memang tak boleh disorok kan?” Qalsum bagi ayat pedas berapi.

   “Mulut kau..” Gigi kukacip kuat.

   “Dah nama Nairah tu putus cinta dengan Dr. Raed, sah-sahlah Dr. Raed tak makan umpan dia. Kalau kau, lainlah. Dia belum test market. Lagipun aku yakin abang sepupu aku tu tengah tangkap cintan dengan kau. Sayang kalau kau nak tarik diri, Zia..”

   “Kau cakap apa ni? Celah mana dia tangkap cintan dengan aku pulak?” Aku dah kerutkan kening.

   Qalsum geleng kepala tanda sebal dengan aku yang mungkin tak tangkap maksud dia.

   Tapi.. serius aku tak faham apa Qalsum cakap. Bukan sengaja aku nak buat polos.

   “Dia ingat nama penuh kau, kan?” selar Qalsum tiba-tiba.

   Soalan yang langsung tak sempat ku agak. Aku angguk perlahan. Qalsum senyum melebar.

   “Zia.. kalau kau nak tahu..” Qalsum jeda.

   “Cakap tu biar satu nafas aje, Qay. Semput aku nak tunggu..” Dada mula berdebar-debar dengan lirikan tersirat dan tersurat Qalsum.

   “Abang Raed tak pernah ingat nama penuh stok ‘geli-geli’ dia..”

   “Habis tu?” Aku buat muka berlagak.

   “Haish.. ada juga aku ketuk kepala kejap lagi. Lambat pick up!” dengus Qalsum.

   “Abang Raed ingat nama penuh kau kan?”

   “Lebih kuranglah, tapi tak ada dia sebut nama bapak aku sekali..”

   “Itu tandanya dia serius..”

   “Hah??”

   “Abang Raed tak pernah ingat nama stok geli-geli dia. Kadang-kadang tertukar-tukar. Kalau nama penuh, lagilah jauh dari angan..”

   “Kau jangan nak merepek, Qay..” Entah kenapa, aku cuak dengan kata-kata Qalsum.

   Gilalah. Takkan dia nak jadikan aku stok test market dia juga? Hellooo.. aku ni student dia kut!

   “Aku tak merepek. Paling aku salute, dia ingat nama kau tak sampai dua jam. Dia ingat nama kau lepas satu sesi kuliah kita. Kau tak pelik ke?” Qalsum jungkit kening sambil tayang riak serius.

   Okay, jujur aku cakap. Tang itu memang agak pelik. Aku sendiri terkejut bila dia sebut nama aku.. Shazia Thahirah. Tapi, itu tak mungkinlah alasan kukuh dia sukakan aku.

   Mungkin dia tu jenis mudah mengingati? Otak geniuslah katakan. Kalau tak, takkan mampu sambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah. Tak gitu?

   “Tak mungkin..” gumam aku perlahan.

   “Lagi satu, dia bawa kau jumpa Ucu Najjah..”

   “Qay.. dia ajak aku sebab dia ingatkan aku tak faham subjek dia..”

   “Abang Raed tak pernah bawa perempuan jumpa Ucu Najjah..”

   “Dia terdesak. Sebab dia sibuk..”

    Tak sempat aku nak noktahkan ayat, Qalsum dah celah terlebih dulu.

   “Abang Raed sibuk apanya? Kuliah dia hari ni cuma pukul 8.00 pagi hingga pukul 11.00 pagi. Dia ada dua kuliah aje pagi ni. Aku ada pergi pejabat Mr. Raiden.. elok aje dia duduk dekat kerusi meja dia. Siap borak-borak dengan Mr. Raiden lagi tau..” Bersungguh-sungguh sekali Qalsum sampaikan cerita.

   Aku julingkan biji mata. Masih tak dapat diterima akal.

   “Tak percaya?” soal Qalsum. Aku jungkit bahu. Dilema sama ada nak percaya atau abaikan saja momokan merepek Qalsum.

   “Susah cakap dengan kau ni..” Qalsum bangkit dari duduk. Aku nampak dia capai gajet miliknya lalu jemari runcing Qalsum menari-nari di atas skrin itu.

   Dia.. buat apa tu? Hati aku tertanya-tanya.

   “Lima minit..” Qalsum angkat jemari dia menunjukkan angka lima. Aku garu belakang kepala.

   “Apa yang lima minit?”

   “Telefon bimbit kau mana?”

   “Ni..” Aku angkat gajet milik aku pula. Kepala Qalsum terangguk-angguk.

   Minah ni.. makin lama makin menyeramkan!

   “Lima minit, Zia. Lepas tu, kau tahu sendiri betul ke tidak tebakan aku tadi..” Qalsum sengih jahat. Tarik pintu lalu keluar dari bilik kami.

   Tercengang-cengang aku dibuatnya. Lima minit kelibat Qalsum berlalu, gajet di tangan aku berdering menyanyikan lagu Bruno Mars – Marry You. Aku intai nama pemanggil.

   Eh? Private number?

   Dahi mula berlapis. Siapa pula ni? Teragak-agak aku tekan punat hijau. Dan sesaat.. suara garau milik seseorang lunak menyapa telinga aku.

   “Assalamualaikum, Shazia Thahirah. You dah tidur ke?” Lembut dan gemersik juga nada itu kedengaran.

   Erk! Terus aku tercekik liur sendiri. Mata terkelip-kelip pandang skrin telefon.

   Qay.. biar betul ni?? Hati aku menjerit dari dalam. Jantung aku mula memecut laju dari rentak asal.

   Oh.. Shazia Thahirah.. yang kau tiba-tiba berdebar sakan ni kenapa pula?

   Soalan hati yang tak mampu aku jawab. Sebab? Sebab aku sendiri sedang keliru tika ini.

 

 

 

 

Bab 1 -MMC


 
 
 
BAB 1

Kaki mula terasa memberat bila susuk tegap itu sudah semakin hampir dengan aku. Sesekali aku tertinjau-tinjau ke belakang mencari kelibat Qalsum. Kosong. Dah ke mana pula minah tu? Cemas aku dibuatnya.

   Buk! Tiba-tiba saja aku rasa pandangan aku gelap. Adoi.. apa benda aku langgar ni? Keras semacam aje. Boleh tahan sengal dahi aku dibuatnya.

   Teraba-raba tangan aku mencapai objek depan mata. Namun, sesaat mataku terbuntang luas bila sesuatu yang teramatlah janggal menjadi sajian pertama mataku.

   Butang? Butang kemeja?

   Dan pandangan aku dongakkan ke atas. Sesaat..

   Are you okay?” Suara garau seseorang mengetuk telinga. Serius wajahnya waktu menyoal.

   Oh, Tuhan. Nyaris aku nak pengsan. Kelam-kabut tangan aku tarik menjauh. Wajah tampan Raed yang sedang tersenyum aku pandang dengan tona yang tak tahu aku nak jelaskan macam mana. Segan gila kut.

   “Err.. err..” Gelisah aku tika ini. Ayat yang aku dah susun tadi habis berterbangan hilang ke langit biru.

   Are you okay, Thahirah?” Si jejaka ulang lagi soalan sama. Anak matanya yang berwarna hazel itu tajam menikam pandanganku. Membuatkan aku terkesima sekejap.

   “Shazia Thahirah..” panggil dia. Siap gawang-gawang tangan lagi.

   Aku tersentak. Baru kali pertama dia mengajar kelas aku, dia dah boleh ingat nama aku?? Mustahil ni!

    “Okay.. Okay, Dr. Raed..” jawab aku kalut. Lelaki yang berkelulusan Doktor Falsafah ini aku renung takut-takut.

   Aduhai.. apasal kau kalut sangat ni, Zia? Hampir aku nak ketuk kepala sendiri.

   Raed ukir senyum lagi.

   “You nampak kalut, Thahirah..” ujar dia lalu tubuh tegap itu bersandar pada kereta Audi A5 miliknya.

   Fuh.. terbeliak biji mata aku. Baru aku perasan jenis kereta lelaki ini. Padanlah kalau jadi buaya darat sekalipun. Cukup pakej!

   I’m talking to you, Thahirah..” Raed tekankan suara dia. Cuba mengambil alih perhatian aku.

   “Huh?” Aku pandang wajah dia dengan riak blur.

    Dia senyum lagi. Senyuman yang bisa mencairkan mana-mana wanita.

   “Kenapa kalut?” soal dia terus. Aku garu tepi telinga.

   “Err.. sebenarnya.. sebenarnya..” Entah alasan apa aku nak cekau, aku pun tidak pasti.

   Takkan nak cakap sebab Qalsum Annur yang suruh aku ke mari? Itu jawapan orang kurang waras, Zia.

   “Ada yang tak faham ke dengan subjek I ajar tadi?”

   Gilalah Raed ni. Ber I-you dengan student? Cool gila! Sempat hati aku membisik sendiri.

   Mendengarkan ayat yang Raed tuturkan, tiba-tiba akal aku mula berfungsi. Spontan aku angguk laju.

   “A’ah.. tak faham. Sebab tu Zia cari Dr. Raed dekat sini..” Buru-buru aku bagi helah pada dia. Aku nampak kening dia terjungkit naik sebelah. Jangan cakap dia tak percaya.

   “Tapi.. waktu I tanya dalam kelas, you tak angkat tangan pun cakap tak faham..” Dia ungkit hal dalam kelas pula dah. Aku terkedu.

   “Itu.. itu..” Sekali lagi, aku berubah gagap. Zia.. sejak bila kau jadi gagap, hah?

   Sejak jumpa berdepan dengan Raed Zayaz nilah! Satu suara lain pula yang tolong jawab.

   “Comel..” gumam Raed perlahan.

   Tiba-tiba aku rasa dia seakan mengatakan sesuatu pula.

   “Apa dia?” Wajah tampannya aku pandang.

   Raed bangkit dari bersandar. Dia geleng kepala.

   “Tak ada apa-apa. Tu.. kucing belakang you, nampak comel..” Muncung dihalakan pada belakang tubuh aku. Aku segera menoleh.

   Kucing? Tak ada pun!

   “I tipu..” Raed gelak-gelak lagi. Suka eh dia kenakan aku!

   Aku pandang dia dengan pandangan mencerun. Pelik. Lagak dia seolah kami sudah kenal lama pun ada. Walhal, baru dua jam dia bergelar pensyarah aku kut.

   “Tak lawak?” Dia soal aku balik bila aku langsung tak bagi respons pada lawak tak menjadi dia tu.

   Polos gila soalan dia tu. Aku geleng tanpa sedar. Tak semena, sekali lagi dia ketawa senang.

   “Opss..” Aku pekup bibir sendiri. Mulalah tersedar perilaku yang dah melampau batas. Silap haribulan, dia cop aku pelajar yang tak ada adab pula.

   So.. you nak tanya sekarang ke?” Dia alih topik kami.

   “Maksud Dr. Raed?” Aku kurang faham pula dengan bicara dia.

   “Yalah.. you datang cari I sebab tak faham subjek I ajar tadi, kan? Jadi.. I tanyalah you. You nak tanya sekarang ke sebab..” Dia melirik pada jam tangannya. Aku turut mengintai.

   Bila faham maksud dia tu, laju aku tepuk dahi.

   “Dr. Raed ada hal lain ke?” soal aku serba-salah.

   Sebenarnya bukan aku tak faham pun. Tapi, inilah salah satu taktik yang Qalsum ajar untuk tarik perhatian Raed.. terpaksalah aku menipu. Allah.. banyaknya dosa aku saja untuk hari ni.

   Actually, yes. I ada date..”

   Ya ampun! Terus-terangnya dia.

   “Ohh..” Entah kenapa, tiba-tiba saja aku rasa kecewa dengan kenyataan dia tu.

   But.. if you don’t mind.. you boleh ikut I..”

   “Hah??” Melopong bibir aku untuk seketika.

   “Yeah.. I cakap betul ni..” Dia nak aku percaya kata-kata dia.

   Aku pandang jam di tangan. Pukul 2.00 petang. Mamat ni biar betul.

   “Tapi.. Dr. Raed kan..”

   “I ada date dengan ibu. Lunch date..” Dia pintas ayat aku. Aku dah tercekik liur sendiri.

   Wanna join us? Nanti I boleh terangkan subjek tu tadi. I pun tak ada kelas dah lepas ni. You pun sama kan?”

   Eh? Dia tahu jadual aku?

   “Macam mana Dr. Raed tahu?” soal aku hendak tahu.

   It doesn’t matter..” Dia berdalih.

   “Nak ikut tak?” soal dia lalu pintu kereta pemandu dia buka. Mata masih menanti jawapan aku.

   “Tak manis nanti..” Aku mula seram-sejuk. Dia ni memang serius ke tidak?

   “Esok I sibuk. I tak rasa you sempat jumpa I. Kebetulan hari ni I free, tapi itulah.. I ada lunch date dengan ibu pula. Kalau dekat rumah I nanti, I boleh curi masa ajarkan you..” Dia bagi tawaran lagi.

   Aku terdiam seketika. Memikirkan kata setuju yang aku dah berikan pada Qalsum, aku jadi tersepit.

   Betul ke keputusan yang aku buat untuk game Dr. Raed ni? Kalau kantoi, macam mana?

   “Thahirah..”

   Aku terpinga-pinga seketika bila dia sekali lagi menyeru namaku. Sudahlah suka-suka dia aje panggil aku dengan nama Thahirah. Dekat kampus ni, dia seorang aja yang panggil aku macam tu.

   “I kejar masa ni. You nak ikut ke tak?” tutur dia. Tetap sama. Masih menanti jawapan aku.

   Aku pula sudah pening kepala. Memanglah jawapannya cuma ya atau tidak. Tapi, yang nak memilih di antara dua itu buat kepala aku hampir rasa nak tertanggal.

   Qalsum.. tugas berat apa kau bagi pada aku ni? Nak saja aku jerit dekat telinga Qalsum waktu ini juga.

    Dia nilah yang dah menyusahkan aku. Tapi, bukan ke aku sendiri yang setuju?

   Ah.. dua-dua sama aje!