PeNgiKuT sEtiA..

Tuesday, March 12, 2013

Cinta Si Ulat Buku Bab 8


Bab 8
Suasana di sekeliling bilik kuliah itu diperhatikan dari ekor matanya. Fidya kelihatan gelisah menapak dari satu meja ke satu meja untuk mencari buku rujukan yang tertinggal ketika dia dan rakan-rakan tiba-tiba bercadang menukar port untuk lokasi study group mereka.
   Kata Aleya, ingin menukar mood. Kalau belajar di gazebo yang memang disediakan khas untuk siswa-siswi menelaah pelajaran, boleh juga mereka menikmati angin malam yang sepoi-sepoi bahasa itu.
   Setuju dengan pendapat Aleya, mereka semua pantas mengemas buku-buku yang bersepah di atas meja lalu bergandingan menuju ke tempat yang dimaksudkan. Akibat terlalu gopoh, Fidya langsung tertinggal buku yang memang diperlukan untuk discussion mereka pada malam itu.
   Setakat tukar port itu memang Fidya tidak kisah. Yang dia kisah.. ada ke patut dia disuruh naik ke bangunan blok B itu seorang diri untuk mengambil buku yang tertinggal. Puas dipujuk Aleya untuk menemani. Dan bermacam-macam juga alasan yang diterima.
   “Kaki aku lenguhlah nak turun naik tangga. Kau pergilah sorang ye? Tak ada apa tu. Kau kan berani, Fidya..” Salah satu alasan yang keluar daripada mulut Aleya yang langsung tidak boleh diterima.
   Macamlah bangunan tu tinggi sangat. Kalau siang tidak apalah juga. Ini tidak.. malam-malam pula tu. Dahlah aku rasa tak sedap hati je ni. Ngomel hati kecil Fidya. Matanya kembali melilau ke kiri dan ke kanan. Cuba mencari kalau-kalau ada makhluk yang tidak diingini sedang mengintipnya. Eh, berani pulak si Fidya ni ye?
   Sampai sahaja di meja yang dia dan rakan-rakan duduki sebentar tadi, sebuah buku rujukan bersaiz sederhana besar terletak elok di penjuru meja itu. Fidya tersenyum lega kerana barang yang dicari kini ada di hadapan mata. Pantas dicapai objek itu lalu tergesa-gesa ingin menapak keluar. Suis lampu ditutup. Namun, belum sempat dia merapatkan pintu bilik kuliah itu, ada satu suara aneh menyeru namanya. Terus tegak bulu roma milik gadis genit itu. Ni dah kenapa pulak panggil-panggil nama orang guna nada ngeri macam tu? Marah Fidya di dalam hati. Tidak henti-henti dia membaca ayat Kursi yang memang dihafal itu.
    “ Fidya…. Fidya…” Suara aneh itu terus menyeru namanya. Fidya semakin tidak keruan. Suara yang nyaring dan mendayu-dayu itu membuatkan tubuhnya terus jadi lembik seperti agar-agar. Dia cuba menguatkan semangat.
   Dengan semangat yang hampir hilang, Fidya kembali menapak ke dalam bilik kuliah itu. Tangannya cuba memetik suis lampu. Namun, ada satu libasan lembut menyapa tangannya. Hmm.. hantu ni marah agaknya aku nak buka lampu. Desis hati Fidya.
   Dengan keadaan bergelap, Fidya mengekori arah suara aneh itu datang. Baru beberapa langkah, derapan kakinya mati. Tubuhnya kaku. Mulutnya melopong. Susuk tubuh yang lengkap berpakaian putih itu sedang berdiri membelakanginya. Fidya telan liur. Menyesal pula dia kerana berlagak berani. Kalaulah dia terus sahaja melangkah pergi tanpa menghiraukan suara aneh itu, tentu dia tidak perlu berhadapan dengan pemilik suara itu tadi.
    “ Kau.. kau si.. siapa?” Tergagap-gagap Fidya menyoal. Namun, bukan jawapan yang di terima. Sebaliknya hilaian panjang yang menyapa gegendang telinganya. Mengerikan!
    “ Kau ja.. jangan main-main de.. ngan aku. Aku tak.. tak kacau kau. Kau jangan nak ka.. kacau aku..” Fidya masih lagi tergagap-gagap. Dah macam terkena sindrom gagaplah pula!
   Suara aneh itu tetap mengilai panjang. Tanpa diduga, suis lampu tiba-tiba terpasang. Fidya tersentak. Dan serentak dengan itu, tubuh yang membelakanginya itu tadi sedikit demi sedikit bergerak perlahan-lahan menghadapnya. Dan sebaik tubuh itu dijamah rakus oleh sepasang mata bundar milik Fidya. Fidya terus menjerit lantang dan dia jatuh terjelopok ke lantai. Sungguh! Sungguh dia tidak pernah berjumpa dengan hantu ala-ala pondan seperti itu.
   Tubuhnya sasa seperti hantu lelaki. Dengan rambut kerinting yang kusut-masai dan panjang. Muka yang penuh dengan tompok merah. Dan giginya.. hmm.. seperti dalam siri Halimah Jongang. Siapa yang melihat, tentu sahaja akan ‘memengsankan’ diri untuk seketika. Buruk sungguh!
   Hampir sahaja mata Fidya terkatup, sempat lagi dia bermonolog. Macam pernah aku lihat aje hantu ala-ala pondan ini. Tapi, di mana ye? Dan tanpa menunggu masa yang lama, dia terus tidak sedarkan diri.

Yes! Berjaya juga kita akhirnya, Wan..” Farish yang masih lengkap dengan jubah putih yang dipinjam daripada kawannya untuk ke surau itu ketawa mengekek. Rambut palsu yang berjuntai menutup sebahagian wajahnya diselitkan ke telinga.
   “ Kan aku dah cakap, idea aku tak pernah tak berhasil tau? Kau aje yang tak percaya..” Mazwan yang menjadi ‘ tukang pemetik lampu’ itu bersuara megah. Farish masih lagi dengan senyuman lebarnya. Tubuh Fidya yang terbaring kaku itu dipandang sekilas. Kasihan pula dia melihatnya.
   “ Wan, minah senget ni macam mana? Kita nak biarkan aje ke? Kasihan pula aku tengok..” Farish bersuara sambil metanya dikerling sedikit ke arah tubuh yang terbujur kaku itu.
   “ Alah.. kau jangan risau. Kejap lagi kawan dia mesti datang punya. Takkanlah kawan dia tak sedar yang si.. hmm.. apa nama dia tadi? Haa.. si minah senget ambil buku pun lambat sampai macam ni. Mesti diorang semua pelik. Dah.. dah. Sekarang kita kena blah. Sebab aku yakin kejap lagi confirm ada yang datang tengok. Kau tak dengar macam mana dia menjerit tadi?” ujar Mazwan. Farish mengangguk-angguk mengiyakan kata-kata mastermindnya itu.
    Ye tak ye juga, kan? Dah.. jom gerak. Nanti kantoi pulak..” sela Farish yang sudah siap merungkaikan jubah putih yang dipakainya. Takkanlah dia nak keluar dengan berpakaian macam itu? Mahu histeria satu UiTM nanti. Nasib baik, dia memakai pakaian lain di dalam. Itu pun selepas diingatkan oleh Mazwan. Maklumlah, dia bukan pernah melakukan hal-hal macam ini.
   Farish dan Mazwan buru-buru ingin melangkah keluar. Namun, sebaik sahaja tombol pintu dipulas.. kelihatan beberapa pasang mata sedang memandang mereka berdua dengan pandangan aneh. Salah seorang daripada mereka pula menjerit sebaik terpandangkan tubuh kaku milik Fidya. Farish dan Mazwan pula kelihatan gugup.  Alamak! Kantoi sudah.
   “ Ya Allah.. apa dah jadi dengan kawan aku ni??” jerit satu suara yang agak terselindung di belakang. Eh, macam kenal aje suara tu? Tebak hati Mazwan. Dan sebaik sahaja empunya suara itu bergerak ke hadapan untuk mendapatkan temannya. Mazwan semakin kaku. Heryna?? Oh! Tidak!!
   “ Awak! Macam mana awak ada kat sini? Apa awak dah buat pada kawan saya hah??” marah Heryna berapi-api. Mazwan pandang wajah Farish dan Heryna silih berganti. Farish menjongketkan bahu. Aleya dan rakan yang lain pula sudah mendapatkan Fidya yang masih tidak sedarkan diri.
   “ Ni awek aku, Rish. Mati aku kali ni..” Mazwan bersuara perlahan. Farish tersentak. Manakala, semua yang ada di situ masih mengharapkan penjelasan daripada kedua-dua jejaka yang sedang kaku berdiri sambil wajah menekur ke lantai. Takutlah tu!

No comments:

Post a Comment