PeNgiKuT sEtiA..

Friday, December 6, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 5)


BAB 5

“ Qilah.. dari mana ni?” Suara garang Datin Zetty sudah kedengaran di pelosok banglo mewah itu. Langkah Aqilah dan Amni terhenti di muka pintu kamar mereka. Datin Zetty lebih memilih Aqilah untuk menjawab soalannya memandangkan Aqilah merupakan kakak kembar kepada Amni.

   “ Err.. kami..” Aqilah tergagap-gagap hendak menjawab. Melihat langkah Datin Zetty semakin mendekat, hati Aqilah semakin gerun. Amni juga.

   “ Mama tanya, korang dari mana??” Bergema suara itu meniti di halwa telinga si kembar. Hampir hendak pecah gegendang telinga mereka. “ Hei.. mama tanya ni!!” bentak Datin Zetty berang bila si kembar masih membisu.

   “ Kami.. kami.. jumpa Abang Qais..” Dan serentak dengan jawapan dari bibir Aqilah, tangan tua Datin Zetty cepat saja hinggap pada pipi Aqilah. Tergamam kedua-dua suduk si kembar.

   “ Mama!!” marah Amni terkejut. Aqilah pula sudah tergamam sambil memegang pipinya yang terasa berdenyut.

   “ Berapa kali aku nak cakap dengan korang berdua.. jangan jumpa Abang Qais korang lagi! Aku dah buang dia, berapa kali aku perlu cakap?? Kalau ada Qais, tentu perempuan sial tu ada!!” jerkah suara itu meninggi. Melotot biji mata Datin Zetty benar-benar boleh menggegarkan jantung sesiapa yang melihat.

   “ Tapi.. kami rindu abang. Bukan salah Kak Miera, mama..” Amni sudah mula tumpang rasa perit yang dirasai kembarnya. Datin Zetty dah mendengus kasar.

   “ Fuad Qaiser tu bukan abang korang lagi. Semenjak aku dah buang dia! Jadi, tak ada sebab untuk korang rindu dia. Aku tak suka korang rapat dengan perempuan sial tu. Kenapa masih degil, hah??” Berapi-api kata-kata Datin Zetty. Aqilah menggeleng-geleng kepalanya.

   “ Mama tak pernah berubah. Semenjak arwah Abang Qairel ada, mama juga macam ni. Qilah kecewa dengan mama. Mama dah berubah!!”

   “ Qilah!!” Tangan tua itu sudah terangkat tinggi. Tapi.. Amni terlebih dahulu memeluk tubuh tua itu. Menghalang dari tangan milik Datin Zetty sekali lagi hinggap pada pipi kakak kembarnya.

   “ Jangan, mama..” rayu Amni bersama tangisan hambar. Datin Zetty keraskan hatinya. Tipu kalau dia tidak rasa tersentuh, tapi kabus hitam sudah membelit tangkai hatinya. Membutakan hatinya dalam menilai erti kasih sayang yang sebenar.

   “ Kalau mama rasa puas dengan tampar Qilah, buatlah mama. Tapi, tolong jangan halang kami untuk jumpa Abang Qais. Dia satu-satunya abang yang kami ada. Abang Qairel dah pergi dan tolong jangan buat kami terasa kehilangan sekali lagi..” Begitu berani Aqilah berkata-kata. Bukan niatnya hendak berkurang ajar. Tapi, kerana sayangnya dia pada Qaiser mengatasi segala rasa takut untuk berdepan dengan kemarahan Datin Zetty.

   “ Menjawab kau sekarang, Qilah..” Datin Zetty senyum sindir. Tanpa kata.. tubuh Aqilah dan Amni dia seret kasar.

   “ Mama.. mama nak buat apa ni??” Panik Amni. Sedangkan Aqilah hanya tenang mengikuti langkah Datin Zetty. Sampai saja di muka pintu, tubuh kedua-dua itu ditolak keluar.

   “ Nak sangat jumpa Abang Qais korang kan? Baik.. pergi! Pergi dan jangan balik ke rumah ni lagi. Aku dah tak ada anak-anak macam korang semua!” Sebaik saja kata-kata itu diluncurkan tanpa sedar, Datin Zetty menutup pintu dengan kuat. Langsung tidak memberi ruang untuk si kembar membalas kata-katanya.

   Aqilah dan Amni sudah terjelopok jatuh. Tangisan mereka bersatu. Kenapa sampai begini perubahan mama? Hati mereka merintih pilu.

“ Abang..” Jelas riak terkejut terpamer pada wajah Emiera tatkala pintu utama rumahnya dibuka perlahan. Kelihatan tiga susuk tubuh sedang berdiri dihadapannya. Qaiser dengan wajah kusut. Manakala si kembar dengan wajah yang jelas nampak sedih sambil menekur lantai.

   Qaiser memandang wajah Emiera dengan seribu satu perasaan. Kusut hatinya tatkala ini. Apatah lagi baru sejam dia menghantar si kembar pulang ke banglo mewah milik keluarganya, Amni sudah menelefonnya kembali untuk menjemput mereka. Dan puncanya sudah tentu Datin Zetty.

   “ Maaf abang ganggu Miera. Miera dah tidur ke?” soal Qaiser serba-salah. Emiera yang masih diburu persoalan menggeleng perlahan. Walhal, dia baru saja berura-ura untuk beradu tadi. Qaiser memandang wajah si kembar sebelum pandangan dihala kembali pada wajah cantik di hadapannya.

   Dalam hati terselit rasa kagum pada Emiera. Mahkota yang satu milik wanita itu sering saja dilitupi tudung. Sepanjang Emiera menjadi isteri arwah Qairel juga dia tidak pernah melihat kepala itu tanpa hijab.

   “ Qilah, Amni.. kenapa ni?” Emiera mula menyoal si kembar bila dia lihatAqilah dan Amni seakan membisu dari tadi. Amni mengangkat wajah dengan riak sedih, manakala Aqilah terusan menunduk. Seakan menyembunyikan sesuatu.

   “ Boleh abang tumpangkan Qilah dan Amni dekat sini tak? Dekat rumah abang ada Fatah. Tak manis nanti..” Tiba-tiba Qaiser menyoal. Emiera sudah mengerut kening. Bagaikan bisa menghidu sesuatu yang tidak enak.

   “ Kenapa?” soal Emiera sepatah.

  “ Boleh atau tidak, Miera?” Suara Qaiser seakan merayu pula. Lambat-lambat Emiera angguk.

  “ Boleh. Lagipun, tak perlu tanya macam tu pun abang tentu tahu Miera akan izinkan. Qilah dan Amni dah macam adik kandung Miera. Tapi, Miera pelik kenapa mereka ada dekat sini? Bukan ke abang cakap nak hantar mereka ke kolej tadi?” Mendengarkan soalan Emiera, Qaiser mengeluh lemah. Perlahan-lahan dia menapak pada Aqilah. Dagu si adik diangkat dan saat ini, mata Emiera seakan ingin terjojol keluar. Ya Tuhan..

   “ Kenapa dengan pipi Qilah?” soal Emiera kalut dan risau. Terus dia menerpa pada Aqilah yang sudah mengalirkan air mata. Tak tunggu lama, Aqilah memeluk sekujur tubuh kecil milik Emiera. bagaikan sedang meluahkan rasa sedih dan kecewanya.

   “ Mama tampar Qilah..” Sebaris ayat daripada Qaiser yang bisa meremukkan hati Emiera. Terus Emiera tersandar pada dinding batu itu. Tangan yang ralit membelek pipi Aqilah melorot jatuh perlahan-lahan. Dia yakin. Malah, sangat yakin bahawa Aqailah menerima habuan sebegitu rupa tentu kerana dirinya. Ah, Miera! Apa kau dah buat pada Qilah? Hatinya membidas geram.

“ Miera rasa abang patut jarakkan diri abang daripada Miera. Kalau tak, makin ramai mangsa untuk mama lepaskan kemarahan dia. Abang tahu kenapa mama jadi macam tu? Semua kerana Miera, abang..” Emiera duduk bersandar pada pintu pagar. Jelas wajah cantik itu nampak suram dan sendu.

  Tubuh Qaiser yang santai bersandar pada pintu kereta pantas tegak.  Tajam anak matanya menyoroti wajah Emiera. Rasa geram mula hadir. “ Miera cakap apa ni?” Keras suaranya membidas kata-kata Emiera. Emiera panggung kepala.

   “ Miera bercakap pasal Qilah sekarang ni. Abang tak nampak macam mana keadaan adik abang tu??” Naik satu oktaf suara Emiera. Qaiser mendengus.

   “ Miera sekarang sedang meminta sesuatu yang sukar untuk abang tunaikan.” Qaiser senyum hambar sebelum menggeleng kepalanya. “ Sorry, I can’t.. Cempaka Emiera. Hidup tanpa kehadiran Miera memang satu perkara yang abang takkan pernah mampu buat. Miera boleh minta apa saja daripada abang, tapi bukan untuk meninggalkan Miera..”

   “ Habis tu, abang nak mama terus bencikan Miera?” jerkah Emiera sedikit. Qaiser menapak dekat.

   “ Sebab tu abang nak mama tahu perkara sebenar..”

   No! Abang dah janji pada Miera..” halang Emiera gelabah. Qaiser raup wajahnya. Tertekan!

   “ Tak habis-habis dengan janji. Campak ke longkang saja janji abang tu. Sampai bila Miera nak tanggung kesalahan yang bukan Miera buat? Cuba cakap, Cempaka Emiera!” Giliran Qaiser pula naik angin. Terangkat bahu Emiera. Terkejut. Wajah lelaki itu benar-benar nampak bengis.

   “ Miera..” Qaiser cuba sentuh tangan si gadis. Tapi, pantas Emiera mengelak. Wajahnya sudah berubah keruh. Emiera kemam bibir.

   “ Abang takkan faham perasaan Miera..” ujar Emiera kecewa. Qaiser mula dihujani rasa bersalah. Dek tertekan dengan tingkah Emiera, bonet hadapan kereta mewahnya dihentak kuat dengan tangan.

   “ Miera pun tak pernah faham perasaan abang. Miera yang tak habis-habis nak seksa diri Miera sendiri..” selar Qaiser tanpa memandang ke belakang. Menatap waima sedikit pun wajah yang dia cinta itu.

   “ Miera masuk dulu. Abang baliklah.. Miera akan jaga kembar..” Emiera sudah penat berbalah. Kaki mula dipusing untuk melangkah, namun tak sempat bila tangan kekar itu dengan beraninya dah rentap tangan kecil miliknya.

   Qaiser pandang wajah Emiera dengan riak buntu. Jujur Emiera katakan, dia kasihan melihat kondisi Qaiser. Lelaki itu nampak benar kehilangan. “ Tak boleh ke Miera tenangkan hati abang untuk seketika? I need you, Cempaka Emiera. I really-really need you..” Lemau suara itu bertutur. Emiera terpana.

   “ Abang..” Emiera cuba menolak tangan kekar itu. Tak susah untuk dia mengatasi tenaga Qaiser kerana lelaki itu sendiri yang mengalihkan tangannya. “ Miera dah cakap, bagi Miera masa kan?” pujuk Emiera pabila dia lihat tubir mata lelaki itu bergenang.

   “ Tapi.. abang perlukan sokongan Miera. Tak sangka sampai macam ni keluarga abang boleh berpecah-belah..” sungut Qaiser perlahan. Wajah itu menunduk sayu.

   “ Inilah namanya takdir, abang. Tak selalunya bahagia itu akan muncul. Sesekali Allah S.W.T akan uji kita juga untuk tengok betapa kuatnya kita dalam mengharungi dugaanNya. Abang kena kuat. Kalau betul abang kata abang nak jaga Miera, abang tak boleh macam ni..” Emiera masih menggunakan ayat memujuk. Dia bimbang juga andai Qaiser pulang dalam keadaan bercelaru sebegitu.

   “ Abang sayang Miera. Abang sayang Qilah dan Amni dan abang sayang.. mama..” Perlahan perkataan ‘mama’ itu meluncur dari bibir Qaiser. Emiera pegang dadanya yang terasa ngilu. Kasihannya Qaiser.. lelaki itu ‘kehilangan’ kerana dirinya. Kerana wujudnya nama Cempaka Emiera!

   “ Memang kita diciptakan untuk berkasih sayang, abang. Tapi, jangan disebabkan kasih sayang itu membunuh semangat abang. Kalau betul abang sayang, cuba untuk bangkit. Rebut kembali kasih sayang tu agar ia tak bisa menjauh. Hubungan darah daging takkan terpisah lama, abang. Percayalah cakap Miera..” Kata-kata positif yang Emiera titipkan untuk Qaiser. Qaiser mengangguk lemah. Dia alpa tika ini. Terlalu mengikut kata hati.

   “ Abang minta maaf..” pinta Qaiser tiba-tiba.

   “ Tak ada apa yang nak dimaafkan..”

   “ Abang akan tunggu jawapan Miera..” Qaiser mendongak pandang. Emiera senyum. Senyuman yang benar-benar ikhlas.

   “ Kalau benar jodoh kita..” Hanya itu yang Emiera balas. Sebagai penyedap hati Qaiser.

   Qaiser hela nafas panjang. “ Boleh abang jenguk Qilah tak?” soal Qaiser melencong. Emiera pandang ke dalam rumahnya sebelum pandangan kembali dihala pada Qaiser.

   Emiera angguk. “ Boleh, tapi sekejap aje. Nanti jiran-jiran tengok tak manis..” putus Emiera memberi izin. Qaiser angguk pantas.

Qaiser menapak perlahan ke dalam bilik yang menempatkan Aqilah dan Amni. Jelas si kembar sudah lena dibuai mimpi. Perlahan-lahan kaki tegap itu duduk berjuntai kaki di birai katil.

   “ Kesian adik abang..” tutur Qaiser perlahan. Pipi Aqilah yang sedikit lebam disentuh hangat. Entah kenapa, dia memang dikurniakan sifat penyayang yang sukar dicari pada lelaki lain. Fuad Qaiser.. lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab. Segala-galanya sempurna tentang lelaki itu.

   Emiera yang duduk di muka pintu hanya mampu mengukir senyum. Melihat panorama kasihnya seorang abang. Begitu beruntung Aqilah dan Amni punya abang seperti Qaiser. Hatinya memuji.

   “ Abang janji abang akan kembalikan keluarga kita.. Qilah, Amni..” Suara itu masih beralun lembut. Walaupun sedikit garau dan serak, merdunya masih ada. Menyentuh hangat tangkai hati Emiera. Membuatkan Emiera yakin dengan gerak hatinya sendiri.

   Qaiser bangkit. Bergerak dekat pada Aqilah dan Amni sebelum bibir itu lembut mengucup dahi si kembar. “ Abang balik dulu. Qilah dan Amni jaga diri, sayang. Nanti abang akan jemput korang. Tidur lena, adik-adik abang..” Qaiser tuturkan kata-kata itu perlahan. Seolah-olah si kembar bisa mendengar. Lama Emiera lihat Qaiser berdiri menatap wajah si kembar sebelum tubuh tegap itu berpaling untuk melangkah ke arahnya.

   “ Dah?” soal Emiera. Qaiser angguk dalam senyuman. Hatinya terasa sedikit tenang kini.

   “ Tolong jaga adik-adik abang. Nanti abang jemput mereka untuk hantar ke kolej. Tak menyusahkan Miera kan?”

   Emiera menggeleng dengan soalan Qaiser. “ Abang jangan risau. Miera sayang mereka, tak mungkin Miera nak aniaya adik-adik abang..” Janji Emiera membuatkan Qaiser berasa lega. Lelaki tampan itu sudah mampu bernafas dengan sempurna. Dada yang sempit juga mula lapang. Yakinlah dia bahawa dirinya memang menginginkan Cempaka Emiera dalam hidupnya.

   Sampai mati abang tetap akan tunggu Miera.. hati Qaiser berlagu indah.

No comments:

Post a Comment