PeNgiKuT sEtiA..

Monday, March 4, 2013

Cinta Si Ulat Buku Bab 6


Bab 6
Dari jauh, Encik Abdullah sudah nampak senyuman manis yang melatari bibir anak gadis yang merangkap anak tunggalnya. Sambil mengorak langkah, anak gadisnya itu sempat melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Spontan, tangan tua miliknya turut sama membalas lambaian tangan tersebut.
   Atas desakan rindu seorang ayah kepada anaknya, maka dia segera bergegas ke universiti yang merupakan tempat anaknya belajar. Hati yang sarat dengan rasa rindu sedikit terubat tatkala tubuh anaknya sudah tegak berada di hadapannya. Wajah itu kelihatan ceria. Encik Abdullah lantas mengangkat tangan tuanya lalu membelai-belai manja kepala Fidya yang dilitupi tudung itu. Fidya tersenyum comel.
   “ Ayah, kenapa ayah datang sini? Rindu Dya ye? Seronok sangat bila ayah call Dya cakap yang ayah dah ada kat sini. Dya rindu sangat kat ayah..” Fidya bersuara manja sambil merangkul lengan Encik Abdullah. Di rumah, ‘Dya’ merupakan nama manja Fidya yang diberikan sendiri oleh Encik Abdullah. Katanya, nama singkatan ‘Dya’ itu lembut sahaja didengar dan nampak keanak-anakan.
   “ Ayah pun rindu kat Dya, sebab tu ayah dah tak sabar-sabar nak jumpa anak ayah ni..” sela Encik Abdullah lantas hidung separa mancung milik anaknya dicuit manja. Fidya tergelak lagi.
    “ Ayah nak ajak Dya keluar. Nak tak, sayang? Hari ini ayah gaji. Jadi, ayah ingat nak bawa Dya jalan-jalan kat Bandar Terengganu ni..” ucap Encik Abdullah sambil tangannya melekap di atas kepala anaknya. Kepala itu diusap sayang lagi.
    Fidya sudah serba salah. Dia tahu gaji ayahnya tidak seberapa. Mana mungkin dia sanggup menghabiskan duit ayahnya meskipun ayahnya sendiri yang menawarkan. Wajah tua yang sudah berkedut itu dipandang dengan perasaan sayu. Hanya Encik Abdullah sahaja tempat dia bermanja sekarang.
    “ Eh, anak ayah ni dah kenapa? Tadi gembira sangat tengok ayah datang. Sekarang muka dah macam tertelan biji durian aje..” usik Encik Abdullah cuba mengusir mendung yang bertamu di wajah polos anaknya itu. Dia tahu apa yang membelenggu fikiran Fidya.
    “ Dya takut ayah tak ada duit ye?” duga Encik Abdullah. Fidya mengangguk lemah. Dia tidak pernah kisah selama dia bernafas di bumi Allah ini, dia tidak pernah berkesempatan untuk merasai kemewahan. Dia tidak peduli. Baginya, kasih sayang daripada ayahnya lebih mencukupi dari segala-galanya. Dia tidak akan meminta lebih. Cukup sekadar perhatian dan kasih sayang.
   “ Dya tak nak susahkan ayah. Dya tahu gaji ayah cuma cukup untuk tampung perbelanjaan harian sahaja..” Fidya menuturkan kata dengan perasaan sebak. Wajahnya ditundukkan menekur lantai. Encik Abdullah tersenyum lebar. Dia bertuah kerana mempunyai anak semulia Fidya. Dagu Fidya diangkat dengan hujung jarinya.
   “ Dahlah tu. Tak payah sedih-sedih. Ayah pun dah sedih ni. Jangan buat drama jejak kasih pula kat sini. Pasal duit, Dya jangan risau. Ayah dapat gaji lebih sikit bulan ni. Ayah potong semak-samun kat rumah Tuk Penghulu. Dapatlah upah sikit..” terang Encik Abdullah cuba menceriakan anaknya. Namun, wajah itu tetap sayu.
   “ Tak payahlah bazir untuk Dya. Ayah simpan aje duit tu, ye?” luah Fidya sambil cuba mengukir senyuman.
   “ Tak boleh macam tu, Dya. Semalam birthday Dya, kan? 17 Februari. Ayah dah tekad birthday Dya tahun ni, ayah nak sambut walaupun ala-kadar. Dah bertahun-tahun kita tak sambut birthday Dya. Sebab tu ayah sanggup datang sini di samping nak lepaskan rindu tengok wajah manis anak ayah ni..” pujuk Encik Abdullah lagi.
   “ Tapi, ayah..” Belum sempat Fidya menghabiskan kata, Encik Abdullah terlebih dulu mencelah.
   “ Tak ada tapi-tapi lagi. Sekarang, Dya naik ke bilik, tukar pakaian. Ayah tunggu kat bawah ni.  Jangan lambat pula..” arah Encik Abdullah sambil menolak lembut bahu anaknya.
   Hmm.. yelah ayahku yang tersayang. Dya naik tukar baju dan solat asar. Nanti kita keluar, ye?” Fidya akhirnya menurut kemahuan ayahnya. Lantas, dia menonong ke biliknya yang berada di blok Sutera, aras dua. Encik Abdullah kembali melabuhkan punggungnya di kerusi rotan yang tersedia di ruang menunggu itu. Surat khabar yang berada berhampiran rak di sebelah kanannya dicapai.

Hampir 20 minit menunggu, Fidya melangkah ke arah Encik Abdullah dengan senyuman lebar. Encik Abdullah kembali melipat surat khabar yang berada di tangannya. Matanya masih lagi tertancap ke wajah anak gadisnya yang kelihatan segar-bugar dan berseri-seri. Mungkin setelah berwuduk untuk menunaikan solat asar tadi. Lagipun, bukankah berwuduk itu akan menambahkan seri wajah seseorang?
   “ Dah siap dah puteri ayah ni?” soal Encik Abdullah. Anaknya memang mempunyai raut wajah yang menawan. Wajah yang dimiliki itu ada iras-iras arwah isterinya, Puan Rahila.
    Malah, sepasang mata yang beralis lentik itu turut mengingatkannya kepada arwah isterinya. Tidak hairanlah ketika arwah isterinya masih muda dahulu, ramai pemuda-pemuda kampung yang gila bayang. Malah ada di kalangan mereka yang berjawatan besar. Namun, akhirnya dia juga yang terpilih walaupun ketika itu dia hanya bekerja sebagai tukang kebun. Dan pekerjaan itu masih kekal hingga sekarang. Jodoh Tuhan, kita sebagai hamba hanya mampu berserah.
   Ye.. kita nak pergi mana ni, ayah?” soal Fidya manja. Dia kelihatan anggun dengan blaus berwarna merah hati dipadankan dengan seluar jeans hitam. Tudungnya juga digayakan mengikut trend terkini.
    “ Kita pergi beli kek. Lepas tu, kita sambut belate birthday anak ayah ni kat KFC. Dya suka tak?” Encik Abdullah bersuara ceria. Fidya semakin teruja. Dia mengangguk-angguk laju. Kecur air liurnya membayangkan ayam goreng KFC yang sudah lama tidak dinikmati itu. Maklumlah, save budgetlah katakan.
   Fidya lantas mengekori ayahnya ke arah kereta Perodua Kancil berwarna keemasan itu. Kereta yang agak usang itu meluncur perlahan menuju ke destinasi yang telah dipersetujui.

“ Terima kasih ayah sebab sudi bawa Dya keluar hari ni. Dya seronok sangat.” luah Fidya tatkala mereka sudah sampai di hadapan Kolej Kerawang. Terasa masa berlalu begitu pantas.
   “ Sama-sama, sayang. Dya kan anak ayah. Tak payahlah nak berterima kasih bagai..”
   “ Dya tetap nak ucap terima kasih sebab Dya hargai apa yang Dya lalui hari ni. Ayah, terima kasih juga sebab belikan Dya baju kurung ni. Macam mana ayah tahu Dya suka baju kurung ni?” soal Dya lagi ketika dia dan ayahnya sedang berada di pintu masuk Kolej Kerawang.
   “ Naluri seorang bapa kuat mengatakan bahawa Dya suka baju kurung ni. Lagipun, masa kita lalu kat depan kedai First Lady tadi, Dya ralit sangat perhati baju kurung ni. Tapi, Dya tak sampai hati nak bagitahu ayah sebab Dya takut ayah tak mampu, kan?” duga Encik Abdullah lagi sambil mencuit manja hujung hidung anaknya. Fidya sudah serba-salah. Perlahan-lahan kepalanya dianggukkan.
   Sebetulnya, dia amat tertarik dengan baju kurung berwarna ungu muda itu. Namun, harga yang ditawarkan membataskan niatnya. Daripada dia berhabisan duit, lebih baik dia berjimat untuk perbelanjaan hariannya sepanjang bergelar siswi di UiTM ini.
   Lagipun, koleksi baju kurungnya juga masih ada yang boleh dipakai. Dia harus sedar bahawa dia bukan datang daripada keluarga berada yang sewenang-wenangnya boleh menghabiskan duit untuk perkara yang tidak terlalu penting.
   “ Dya tak bermaksud langsung nak ayah belikan. Lagipun, harga baju ni mencecah dua ratus ringgit ayah..” luah Fidya lagi. Ada baur kesal terselit pada nadanya.
   “ Dahlah tu.. ayah tak kisah pun. Bukan selalu kan ayah belikan Dya baju baru. Jangan difikirkan lagi. Sekarang, Dya naik atas. Dah nak masuk waktu maghrib ni..” arah Encik Abdullah lagi.
   “ Kalau macam tu. Dya naik dulu ye, ayah? Ayah jaga diri tau nanti. Dya sayang ayah. Assalamualaikum..” Fidya mencium tangan ayahnya. Sebuah ciuman turut singgah di pipi tua itu. Dia kemudian mengorak langkah sambil melambai-lambaikan tangan ke arah Encik Abdullah.


No comments:

Post a Comment