PeNgiKuT sEtiA..

Saturday, November 23, 2013

Cinta Si Mamat Sotong (Part 6)

PART 6


Apron yang baru hendak dikenakan di pinggang terasa direntap seseorang dari arah belakang. Pantas Zhildan berpaling dengan wajah terpinga-pinga. Raisya selamba saja pakaikan apron itu ke pinggangnya sendiri tanpa peduli renungan pelik dari sepasang anak mata milik Zhildan.

   “ Awak nak buat apa tu?” soal Zhildan kepelikan. Raisya sengih sambil berlalu menuju ke arah peti sejuk. Daging, ayam dan sayur-sayuran dibawa keluar. Bila Raisya tak menyahut soalannya, cepat saja Zhildan bontoti langkah milik sepasang kaki cantik itu.

   “ Hari ni biar saya masak, abang duduk diam-diam aje dekat meja tu. Lagipun, abang long nak datang petang nanti..” Raisya berbicara sambil muncungkan bibirnya ke arah meja berwarna putih di sudut dapur.

   “ Tapi, awak kan mengandung. Mana boleh buat kerja sangat..” Zhildan hendak membantah. Wajahnya masam. Kembang-kuncup hati Raisya mendengar patah bicara itu. Dalam diam, hatinya mengucap rasa syukur. Betapa beruntungnya dia memiliki Zhildan sebagai suami. Kelembutan lelaki itu ada kebaikannya.

   “ Saya mengandung baru tiga bulan, abang. Belum sarat lagi dan masih kuat untuk buat kerja. Abang janganlah risau sangat..” Raisya cuba memujuk lelaki itu. Senyuman turut dihadiahkan untuk suaminya.

   Zhildan garu tepi telinganya mendengarkan panggilan mesra dari bibir comel itu. Bukan dia tak pernah cakap dekat Raisya, dia tak nak guna panggilan sebegitu. Tapi, Raisya berdegil juga. Dia bukan apa, dia segan. Lebih selesa guna panggilan mereka yang lama. Aduh, ini semua gara-gara tips Selvaranilah ni. Hati menggumam kesal.

   “ Ni kenapa mengelamun ni?” Raisya cuit hujung hidung mancung milik Zhildan. Tersentak lelaki tampan itu untuk seketika. Mata terkelip-kelip jamah wajah cantik di hadapannya.

   “ Awak.. tak perlulah panggil kita.. abang..” Perlahan suaranya diiringi nada tersekat-sekat. Bimbang Raisya berkecil hati. Muka pun tayang riak serba-salah. Raisya jungkitkan kedua-dua belah kening.

   “ Kenapa, tak boleh? Itu kan tips Selva untuk abang juga..” Meleret nada Raisya. Sekali dengara, kedengaran begitu menggoda pula. Zhildan dah mula rasa dahinya berpeluh-peluh. Dia seakan tidak selesa dengan tingkah Raisya.

   “ Err.. kita ke depan dululah. Ada kerja sikit..” Kalut Zhildan nak melepaskan diri. Tapi, tak sempat juga bila tangan halus itu minat benar hendak menyambar tangannya.

   “ Temankan saya, boleh? Abang tak perlu buat apa-apa pun. Cuma duduk dekat sana dan tunggu saya siap masak. Tak susah kan? Kalau perlu, buat kerja abang dekat sini..” Masih lagi lembut kedengaran walaupun dia arif sangat lelaki itu sebenarnya hendak melarikan diri.

   “ Err.. kita buat kat depanlah. Lebih selesa..” Tergagap-gagap suara Zhildan. Adoi, Zhil.. sejak bila awak gagap ni? Hati masih membuat monolog dalaman sebelum dia rasakan naluri kelelakiannya bagaikan terusik tatkala jari telunjuk Raisya sudah melekap pada dada bidangnya.

   Perlahan-lahan tubuhnya terundur ke belakang bila Raisya sudah melangkah ke hadapan bersama jari telunjuk yang lincah menari pada dada bidangnya. Peluh yang merenik dia biar tanpa diseka.

   “ Awak.. ki.. kita takut ni. Awak kenapa lain sangat? Awak memang isteri kita kan?” soal Zhildan bila tubuhnya sudah terperangkap di sisi kabinet. Raisya gelak kecil.

   Tangan kekar milik Zhildan, Raisya capai sebelum tangan itu dilekapkan ke pinggangnya sendiri. Zhildan dah terpempan habis. Dalam dia terkelu, dia cuma menurut saja perlakuan si isterinya bagaikan dipukau.

   “ Kat sini tak cukup selesa ke, hmm?” Raisya menggumam nakal. Mata dikenyitkan sekali sebelum Zhildan cepat-cepat rungkaikan pegangannya pada pinggang Raisya. Kecut jantungnya.

   “ Awak kena sampuk ni. Kita yakin ni bukan isteri kita. Isteri kita tak macam ni..” Zhildan sudah nampak cemas hendak melepaskan diri. Raisya dah mengeluh lemah. Spontan tangannya yang melekap atas tapak tangan Zhildan dilepaskan. Tubuh dibawa menjauh tiba-tiba.

   “ Kalau saya ni bukan isteri awak, siapa lagi awak harap jadi isteri awak?” Kedengaran rajuk suara Raisya sambil melangkah. Langsung tidak menoleh ke belakang. Zhildan dah terpempan. Ada kelainan pada suara isterinya. Merajuk ke? Hatinya mula berbisik risau. Teragak-agak kaki Zhildan mengikuti langkah Raisya dari belakang. Raisya sudah sibuk bertenggek di hadapan sinki.

   “ Kita tak maksudkan macam tu..” Nada suara bersalah meniti di bibir sensual itu. “ Cuma kita pelik sebab awak tiba-tiba macam ni. Awak berubah macam ni sebab nak minta maaf aje kan? Kan kita dah cakap, kita maafkan awak. Awak jadilah diri awak sendiri. Tak perlu berubah sebab kita..” Suara itu masih lagi berbicara. Seakan tidak puas hati. Raisya menoleh.

   “ Kalau saya tak perlu berubah, kenapa awak perlu berubah? Kenapa awak perlu dapatkan pertolongan Mirza semata-mata untuk ubah awak jadi lelaki yang lebih nampak kelelakiannya??” Raisya balas balik setiap kata-kata Zhildan.

   “ Tapi, awak yang merungut pasal kita. Awak yang nampak ketidaksempurnaan diri kita.”

   “ Saya tak suruh awak berubah. Ada ke saya suruh awak ubah diri awak?” Bahasa panggilan dah bertukar kembali.

   “ Kalau kita masih Emir Zhildan yang dulu, awak akan terima kita ke?? Kita buntu dah sekarang ni. Kita dah penat nak bertekak dengan awak!” Zhildan sudah menunduk lemah.

   Raisya sudah terdiam bisu. Memang salah dia pun. “ Awak dah tak nak kita jadi suami awak ke?? Kalau betul awak tak nak.. kita..” Suara Zhildan tiba-tiba menyoal lemah. Raisya dah buntang biji mata. Cepat-cepat dia mencelah sebelum Zhildan lebih mengarut nanti.

   “ Apa awak merepek ni??” jerkah Raisya naik angin. Zhildan yang sugul dia pandang dengan rasa marah.

   “ Awak tak sayang kita. Kita tak nak terus seksa awak.” Tutur kata itu berbaur sebak.

   “ Siapa yang cakap saya tak sayang awak??” Naik angin Raisya dengan tuduhan melulu tersebut. Pantas Zhildan panggung kepala. Terkebil-kebil mata dia mencerna makna dalam kata-kata Raisya tadi. Seketika Zhildan mengeluh lemah. Dia yakin dia silap dengar. Raisya buat muka melihat wajah itu. Dalam hati dia membuat andaian. Tentu suaminya tak percaya dengan apa yang dia luahkan.

   “ Awak tak payahlah nak paksa diri awak cakap macam tu. Hmm.. awak nak masak, awak masaklah cepat. Nanti abang long datang tak sempat nak makan apa-apa pula. Kita ke depan dulu..” pamit Zhildan gontai. Meninggalkan Raisya yang jelas nampak geram bila susuk tubuhnya menonong pergi. Dia tak yakin dengan kata-kata Raisya.

****************************

Raisya mengambil tempat di sisi Zhildan usai saja mereka makan tengahari sebentar tadi. Secawan teh dia hulurkan pada Zhildan. Prof Raiqal yang memerhati terasa lapang dada. Yakin hubungan suami isteri itu bahagia.

   “ Kandungan Raisya okey ke?” Soalan pertama yang muncul dari bibir pensyarah muda itu. Raisya panggung kepala bersama senyuman nipis. Kepala dijatuhkan mengiakan kata-kata si abang.

    Sengaja dia mengambil peluang menghimpit tubuh milik Zhildan di sisi. “ Baby okey. Lagipun, Zhil jaga Raisya tahap first class, abang long.” Ceria saja wajah Raisya. Langsung lupa perdebatan kecil mereka sebelum ketibaan Prof Raiqal pagi tadi. Zhildan di sebelah tarik senyum paksa.

   “ Baguslah macam tu, Zhil.” Segaris senyuman dihadiahkan buat adik iparnya. “ Kan abang long dah cakap, Zhil memang suami yang terbaik untuk Raisya..” puji Prof Raiqal pula. Raisya sekadar tersenyum sebelum dengan muka tidak malu dia jatuhkan kepala dia pada dada bidang itu. Seakan bersandar.

     “ Manjanya adik abang long ni..” usik Prof Raiqal nakal. Merah muka Zhildan tika ini sedangkan Raisya sekadar gelak kecil. Suka pula dia dengan usikan Prof Raiqal.

   “ Raisya, abang long nak tumpang solat dulu, boleh?” soal Prof Raiqal tiba-tiba.

   “ Boleh. Abang long masuk bilik kedua selepas bilik Raisya. Situ semua dah ada. Sejadah dengan songkok. Memang kami jadikan surau untuk tetamu yang datang..” Pantas saja Raisya menjawab.

   “ Abang long naik solat dulu. Kamu berdua jangan lupa solat..” Senpat lagi dia berpesan. Hilang saja kelibat Prof Raiqal, Raisya pantas angkat kepalanya dari bersandar pada dada bidang itu. Wajah tampan milik Zhildan dicari. Sekejapan mereka sudah beradu pandang. Masing-masing sudah menjiwai debar yang hadir.

   Tak bertangguh, Zhildan terus bangkit dari duduk. Lama-lama berada dekat dengan Raisya, boleh merah padam wajahnya. Perangai si isteri sukar ditebak tika ini.

   “ Abang nak ke mana?” Okey.. Raisya dah kembali ke perangai peliknya. Mula memanggilnya dengan panggilan mesra kembali.

   “ Err.. kita nak naik solat. Awak belum solat lagi kan? Nak solat sekali ke? Kita boleh imamkan..” Sedaya-upaya Zhildan mengatur bicara. Raisya cepat saja angguk.

   “ Kita solat sekali.” Putus suara halus itu.

   *********************

Melihat Raisya sedang mengambil angin malam di luar, Zhildan cepat saja melangkah ke arah susuk tubuh itu. Kepala sudah menggeleng-geleng.

   Raisya menoleh ke belakang bila dia rasa belakang tubuhnya sudah diselimuti sesuatu.

   “ Pakai ni. Nanti sejuk..” Hanya itu yang Zhildan utarakan sebelum tubuh sasa itu berpaling ke belakang. Hendak berlalu pergi. Baru dua langkah, terasa dirinya sudah diseru.

   “ Abang nak ke mana?” soal Raisya perlahan. Zhildan tuding jarinya ke dalam rumah.

   “ Masuk..” jawab Zhildan lurus.

   “ Kita sembang-sembang, nak?” ajak Raisya penuh harapan. Zhildan kemam bibir. Menimbang baik permintaan isterinya.

   “ Okey..” Putus dia mudah. Langkah dibawa kembali ke arah Raisya. Baru dia nak labuhkan duduk di atas kerusi, Raisya dah terlebih dahulu sambar tangan dia sebelum memimpin dia untuk duduk di atas rumput hijau di halaman rumah mereka.

   “ Kita duduk bawah. Kebas asyik duduk atas kerusi dari tadi..” Alasan dicari. Zhildan sekadar mengangguk saja.

   Elok saja punggung masing mendarat di atas rumput, jaket milik Zhildan yang tersarung di atas tubuh, Raisya alih.

   “ Awak.. pakailah. Nanti sejuk.. kesian baby..” halang Zhildan sedikit tegas. Raisya senyum nipis. Betapa hatinya suka setiap kali Zhildan risaukan dia dan kandungannya. Jelas terserlah sikap penyayang lelaki itu.

   “ Kita kongsi jaket ni. Abang pun sejuk kan?” Nakal sekali Raisya berbicara. Tubuh didekatkan di sisi encik suami sebelum mereka turut berkongsi jaket berwarna coklat itu.

   “ Awak nak sembang apa dengan kita?” Zhildan cuba mengusir rasa kekok. Apatah lagi bila Raisya sudah manja melentokkan kepala pada bahunya.

   “ Pasal Emir Zhildan dan Raisya Humaira..” selar Raisya penuh maksud tersirat. Spontan Zhildan kalih pandang ke sisi. Memerhati wajah manis milik Raisya. Keningnya hampir bercantum.

   “ Maksud awak?”

   “ Abang cintakan saya?” Tiba-tiba saja Raisya menyoal. Zhildan terus kejung. Tak sangka, soal hati dan perasaan yang dibangkitkan Raisya. Wajah tampan miliknya mula kemerahan. Perlahan-lahan Zhildan angguk. Raisya senyum. Comel sungguh encik sotong dia ni.

   “ Kenapa tak jawab?” Raisya soal sambil memalingkan wajah ke hadapan. Dia tak nak andai dia pandang saja wajah itu, Zhildan semakin tidak keruan pula.

   “ Kan kita dah jawab tu? Tadi kita angguk..” balas Zhildan pula.

   Hmm..” sahut Raisya lemah. Mendengarkan nada isterinya, Zhildan intai wajah itu sedikit. Terketar-ketar tangan kekarnya hendak menyebak rambut milik si isteri.

   “ Awak tak percayakan kita ke?” soal Zhildan tenang.

   “ Percaya..”

   “ Habis tu, kenapa awak tak cakap apa-apa pun?”

  Raisya angkat kepalanya dari bahu si suami. Matanya merenung dalam wajah kacak Zhildan. Nafas ditarik dalam. “ Sebab kita rasa diri kita bodoh.”

   “ Kenapa cakap macam tu?” Zhildan seakan tidak suka dengan tutur kata Raisya.

   “ Sebab saya buta menilai betapa ikhlasnya cinta si mamat sotong saya ni..” jawab Raisya nampak tenang benar. Terus berubah air muka Zhildan. Nampaknya Raisya masih nampak kekurangan dia yang satu itu.

  “ Awak masih nampak kekurangan kita tu rupanya..” Lirih nada encik suami. Jantung Raisya tersentap. Bukan itu maksudnya.

   “ Bukan itulah maksud saya..” sangkal Raisya cemas. Zhildan dah pincingkan biji mata.

  “ Habis tu?” Laju saja dia menyoal. Raisya dah suramkan raut wajahnya. Perlahan-lahan tangan sasa Zhildan dicapai.

   “ Boleh saya pegang tangan abang?” soal Raisya. Zhildan semakin aneh.

   “ Awak dah pegang pun tangan kita.” Raisya sengih sendiri. Malu. Elok dah pegang, baru nak minta izin. Adoi!

   Sorry.. saya tak perasan.” Raisya dah malu-malu kucing dengan wajah memerah. Zhildan senyum tanpa bisa dikawal. Geli hati pula dia dengan cara Raisya hari ni.

   “ Tak apa. Awak dan kita halal bersentuhan.” Zhildan bersuara tenang. “ Awak ada apa-apa nak cakap dengan kita ke?” soal Zhildan untuk kesekian kalinya. Raisya diam sebelum kepalanya dijatuhkan seketika.

   “ Apa dia?” soal Zhildan berminat.

   “ Saya tak nak abang berubah kalau abang rasa terpaksa.” Tiba-tiba itu yang terluah dari bibir Raisya. Zhildan nampak terpempan. Bukan sekali Raisya bangkitkan isu sebegitu.

   “ Bukan ke itu yang awak nak? Awak nak cari kesempurnaan dalam diri kita kan?” selar dia balik. Raisya dah mengeluh lemah.

   “ Tapi, saya tak minta abang ubah diri abang. Kalau betul abang nak berubah, abang kena ikhlas. Jangan berubah sebab saya..” sangkal Raisya pantas. Zhildan menggeleng kesal.

   “ Kita cuma tak nak maruah kita kena injak dengan isteri sendiri lagi..” ungkit Zhildan tanpa sedar. Terus tersiat hati Raisya.

   “ Itu ke abang anggap saya ni?”

   “ Kita tak anggap. Tapi, awak yang dah buktikan dengan kata-kata awak..” Zhildan tiup tangannya yang sejuk disapa dingin malam. “ Awak.. kita nak masuklah. Sejuk..” ujar Zhildan untuk seketika. Sengaja dijadikan alasan sejuk untuk melepaskan diri. Walhal sebab utama bukan kerana itu.

   “ Duduk dulu.” Raisya sudah tarik tangan suaminya kembali. Zhildan hela nafas lemah.

   “ Kita penat sangat awak..” Akhirnya terlepas sebuah keluhan dari bibir sensual itu. Jauh anak mata Zhildan merenung ke hadapan. “ Kita dah tak tahu nak buat apa dah. Kita cuma takut..”

   “ Abang takut apa?” cantas Raisya awal-awal lagi.

   “ Kita.. kita cuma takut kalau kita terus macam ni, awak akan ting..”

  Shh.. saya takkan tinggalkan abang!” Raisya tutup bibir sensual itu dengan jarinya. Terkedu Zhildan untuk sesaat.

   “ Walau siapa pun abang, saya takkan tinggalkan abang.” Yakin sekali lagi suara itu berpuput lembut.

   “ Tapi.. kita..”

   “ Kalau abang tak perlukan sebarang sebab untuk suka saya, saya pun boleh macam tu kan?” soal Raisya langsung mematikan kata-kata Zhildan.

   “ Saya tak maksudkan apa saya cakap dengan kawan-kawan saya hari tu. Saya tahu hati abang terluka. Tapi, saya memang tak maksudkannya. Mungkin waktu tu saya rasa tercabar bila mereka provoke sampai macam tu..” Jelas nada kesal di bibir Raisya.

   “ Kita tak ambil hati kalau orang lain yang cakap macam tu. Tapi, awak isteri kita..”

   “ Saya tahu. Sebab tu saya nak minta maaf. Abang maafkan tak?” soal Raisya sambil merenung dalam anak mata Zhildan.

   “ Kita dah lama maafkan awak..”

   “ Cinta abang masih ada untuk saya?” Zhildan kerut kening. Pelik sungguh soalan isterinya itu.

   “ Kenapa?”

   “ Hanya jawab soalan saya.” Lama Zhildan terdiam sebelum buka mulut.

   “ Cinta si mamat sotong tetap ada untuk awak. Kita tak pernah suka perempuan lain. Awak yang pertama dan mungkin akan jadi yang terakhir.” Tulus sekali ucapan Zhildan. “ Tapi, kenapa awak tanya kita macam tu?” Zhildan soal dengan riak pelik.

   “ Supaya saya boleh balas cinta si mamat sotong.” Dan kali ni bibir Zhildan terbuka sedikit. Raisya ambil kesempatan. Wajah didekatkan dan dengan dada bergetar kuat, dia sapa bibir Zhildan dengan bibirnya. Buat kali pertama dia yang memulakan. Melihat wajah terkejut Zhildan, Raisya tahan senyum.

    Mamat sotong yang pemalu!

  

Thursday, November 21, 2013

Cinta Si Mamat Sotong (Part 5)

PART 5
 
“ Nanti kita datang hantar baju awak eh, Zhil..” sahut Mirza sebelum tubuh itu sudah lolos ke dalam kereta yang dipandu Selvarani. Zhildan hanya diam tanpa menjawab. Baru tiga hari dia bawa diri, hari ni dia dah tercampak balik dekat rumah tu.

   “ Zhil, aku nak cakap sikit..” panggil Selvarani seketika. Zhildan panggung kepala.

   “ Apa?” soal dia. Selvarani angkat jari telunjuk sambil menggamit Zhildan untuk mendekatinya. Zhildan dah hela nafas lemah.

   “ Nah.. ambil ni..” Tiba-tiba Selvarani hulur satu helai kertas yang elok berlipat. Zhildan dah berkerut kening.

   “ Aku rasa sesi mengubah kau tamat sampai sini aje. Kalau kau rasa perlu, sila rujuk kertas tu. Aku dah senaraikan semuanya..”

   “ Kita malaslah..” Selvarani dah menggumam keras.

   “ Nasib baik aku tak bawa lastik dan marshmallow hari ni. Kalau tak, tahulah nasib kau. Langkah pertama, ubah dulu bahasa kita-kita kau tu..” Marah sungguh Selvarani nampaknya. Zhildan mencebik.

   “ Tengoklah nanti.” Zhildan menyahut lemah. Raisya yang berdiri di sisinya dijeling sedikit. Amboilah.. main jeling-jeling pula sekarang. Hati Raisya menggumam.

   Zhildan menapak dekat pada Mirza. Seketika.. ditonyoh kepala itu sedikit sebelum bibir tersenyum nipis.

   “ Adoi, nyah. Sakit kita tau?” marah Mirza sembari mengusap-usap dahinya sedikit.

   “ Terima kasih, Mirza sebab niat awak baik nak tolong kita. Tapi.. hmm..” Zhildan seakan kecewa dengan dirinya sendiri.

   “ Selva, jomlah kita balik. Kita tak nak tengok muka tak sempat siap Zhil nanti. Tu.. ada tanda-tanda nak buat drama dah tu..” ujar Mirza separa mengusik. Zhildan ketawa halus. Pandangan mula beralih pada Selvarani.

   “ Selva..” seru Zhildan lembut. Wajahnya suram.

   “ Apa hal?”

   Hmm.. walaupun pertemuan kita singkat, tapi kita suka bekerjasama dengan awak. Awaklah perempuan paling garang yang pernah kita jumpa..” Zhildan sengih senget. Selvarani tolak bahu Zhildan kuat sebelum tawanya meledak garang.

   Akhirnya susuk tubuh Selvarani dan Mirza hilang setelah pacuan empat roda itu bergerak merentasi jalan raya.

    Baru Zhildan nak melangkah, tangan halus milik Raisya sudah siap memegang lengan kekarnya. Dia diam tanpa menoleh.

  “ Kenapa buat macam ni, Zhil?” soal Raisya sambil mengusap lembut tangan itu. Zhildan menceber. Kita buat semua ni sebab awaklah! Hati membentak keras.

   “ Kita nak masuk..” Sombong saja nadanya.

   “ Zhil.. tak sudah lagi ke merajuk?”

   “ Jangan cakap dengan kita!” Mendengarkan nada suara Zhildan, Raisya mula rasa menyesal tak sudah. Ni nasib baik Selvarani tak ada. Kalau tak mahu lastik dan peluru marshmallow itu bertubi-tubi mengenai wajah tampan itu.

   “Apa kau cuba buat, Zhil? Kenapa perlu nak berubah daripada diri kau yang sebenar?” Soalan Raisya berulang lagi.

   “ Kita buat macam tu, awak pun tahu sebabnya. Puncanya kerana cinta awak tu memerlukan sebab. Awak nak suami yang sempurna. Cinta awak tak sama macam cinta kita. Kalau kita, satu sebab pun kita tak perlu untuk suka awak. Tapi, awak..” Zhildan tak habiskan kata. Pantas pegangan di tangannya ditolak perlahan dengan wajah yang jelas nampak merajuk. Raisya yang terkesima dengan nada suaminya cepat saja akur. Sekelip mata, tubuh Zhildan sudah lenyap daripada pandangan.

**************

Wajah yang lena diulit mimpi itu Raisya usap perlahan. Wajah yang kacak. Wajah yang tenang. Wajah yang sama telah dia robek hatinya. Ah, Raisya. Kenapa terlalu mengikut perasaan waktu tu? Kalau dia tak perlukan sebab untuk suka kau, kenapa kau tidak begitu? Hati mula bermonolog dalaman.

   Raisya duduk menyelesakan diri. Tubuh direbah perlahan di sisi Zhildan. Tiga hari tidurnya tanpa teman. Sungguh dia rindukan Zhildan. Sejenak Raisya rasa tubuhnya mengeras bila tubuh Zhildan sudah mengiring padanya. Buru-buru dia pejam mata. Berpura-pura tidur.

   Sesaat berlalu.. Raisya dapat rasa ada ciuman hangat melekap ke pipinya sebelum dia rasa kepalanya dialihkan sebelum diletak di atas tangan sasa itu. Terasa ubun-ubunnya bagaikan dibelai.

   “ Kita nak berubah, awak. Kita nak jadi macam yang awak nak. Tapi, perubahan ni perlukan masa. Bukan mudah..” Hembusan hangat milik Zhildan tepat mengenai dahinya. Menyatakan betapa dekatnya dia dan suami tika ini. “ Kita minta maaf sebab naikkan suara. Kita.. sayang awak dan baby..” Tangan lelaki itu sudah menjalar ke perut Raisya. “ Bagi kita masa untuk berubah. Kita akan cuba, awak. Sebab kita sayang awak, kita akan cuba..” Sambung lelaki itu lagi sebelum suara itu berganti dengan dengkuran halus.

   Cepatnya dia terlena kembali. Hati Raisya berkata-kata. Perlahan-lahan mata dibuka dengan hati yang sebak. Begitu tulus cinta Emir Zhildan buatnya. Apa lagi yang kau nak, Raisya? Hati mula memarahi diri sendiri. Tangan Zhildan yang masih melekap ke perutnya digenggam. Diusap lembut sembari menatap raut tampan yang sudah lena kembali.

   “ Aku pun sayangkan kau..” Gemersik suara Raisya bersama satu azam di hati. Dia senyum sebelum kelopak mata itu tertutup menyeru lena.

*****************

Zhildan pandang kertas di tangan berkali-kali. Gila agaknya Selvarani ni. Berkali-kali petua Selvarani diulang baca dengan rasa tidak percaya.

Langkah pertama- Tukar bahasa panggilan. Abang, sayang.. lagi digalakkan.

Langkah kedua- Kau dilarang memasak untuk dia.

Langkah ketiga- Jangan terlalu berlembut. Gunakan suara jantan kau bila perlu. Aumm!

Langkah keempat- Kau fikirlah sendiri. Hahahaha.. J

Kalau setakat nak bagi petua macam ni, baik tak payah. Cakap ke mainlah pung pang-pung pang. Kononnya petua tu macam beratus-ratus. Alih-alih.. aduhai! Rengus hati Zhildan. Kertas yang diberikan Selvarani dia lipat lalu diletakkan di atas meja. Badan disandarkan malas ke sofa sambil memejam mata. Tangan naik ke dahi. Runsing sungguh dia tika ini.

   Baru dia nak berfikir lebih jauh, terasa ada haruman yang menusuk ke rongga hidung. Sepantas kilat matanya tercelik luas. Dan sesaat.. dia sudah terlopong.

   “ Dah makan?” soal Raisya lembut sambil mengelap rambutnya yang basah. Tanda dia baru usai mandi. Senyuman manis dihadiahkan buat suaminya.

   “ Zhil.. saya tanya ni, dah makan belum?” soal Raisya lagi. Kali ni, nyaris Zhildan nak tergolek dari sofa. Saya mana? Sejak bila isterinya bahasakan diri dia begitu? Tubuh sasa itu mula berpeluh-peluh. Dari lenggok Raisya, dia tahu ada sesuatu yang isterinya rencanakan.

   “ Kertas apa ni?” Anak mata Raisya mula tertancap pada kertas yang diberi oleh Selvarani. Baru dia nak mencapai, Zhildan dah terlebih dahulu mencapai sebelum menyorok di belekang tubuhnya. Raisya dah kerut kening.

   “ Tengok..” pinta Raisya sambil tadah tangan. Zhildan geleng bersungguh-sungguh.

   “ Tak boleh!”

  “ Ala.. tengoklah. Selva bagi hari tu kan? Bagilah saya tengok..” Raisya masih cuba-cuba hendak mencapai kertas tersebut sebelum tubuhnya mula tersadung kaki Zhildan dan sekelip mata.. Raisya sudah tarik senyum nakal. Wajah malu-malu Zhildan dia tatap. Elok saja dia terduduk di riba lelaki itu. Dia nampak bibir sensual milik Zhildan terbuka seakan terkejut.

   Perlahan-lahan tangan Raisya naik ke leher tegap itu. Tuala yang digunakan untuk mengelap rambut sudah jatuh entah ke mana. Zhildan panik. Tak pernah-pernah Raisya seberani ini. ketar lutut dia dibuatnya.

   “ Aw.. awak turunlah. Kita nak naik mandi ni..” Kalut suara encik suami. Raisya buat tak endah. Tangan mula menjangkau ke belakang. Dalam keadaan Zhildan leka sebegitu, inilah kesempatan dia untuk mendapatkan kertas yang menarik perhatiannya tadi.

   “ Awak! Bagi balik dekat kita..” Raisya sudah terlompat kegirangan dari riba Zhildan bila mana kertas itu berjaya juga dia rebut dari encik suami. Zhildan dah buat muka geram. Wajah lelaki itu kemerahan.

   Wow.. hebat juga Selva ni! Siap bagi petua lagi..” puji Raisya bersama senyuman yang menguntum. Zhildan yang berdiri bercekak pinggang dipandang sayang.

   “ Selalu sangat sakitkan hati kitalah!” Zhildan marah manja. Wajah itu sudah mula nampak semakin merah bila Raisya membaca setiap coretan cakar ayam milik Selvarani.

   “ Langkah pertama.. hmm, sound nice..” sakat Raisya terus. Zhildan kemam bibir. Apasal tingkah si isteri berbeza benar ni? Dia pula yang kepelikan.

   So.. bila kita nak praktiskan panggilan macam tu?” soal Raisya lalu menapak dekat. Tangan Zhildan dicapai dan ternyata.. sejuk! Aduhai.. bukan ke semua tu biasanya berlaku pada perempuan? Ah, sungguh istimewa lelaki bernama Emir Zhildan ini. Bisik hati Raisya geli hati. Zhildan tayang wajah tidak selesa.

   “ Awak kenapa ni?” soal suara itu tersekat-sekat. Raisya sudah mula bermain-main dengan dada bidang Zhildan.

   “ Kalau kata, saya nak minta maaf.. awak sudi maafkan tak?” Sekilas, ciuman nipis melekap di dada bidang yang dilapisi t-shirt itu. Zhildan dah terkesima. Raisya pula masih dengan aktiviti menggodanya. Lirikan manja dipamer untuk menarik perhatian Zhildan. Rasa geli hati singgah juga bila nampak wajah yang jelas seakan terpinga-pinga itu.

Wednesday, November 20, 2013

Cinta Si Mamat Sotong (Part 4)




PART 4

“ Kau nak pergi mana tu dengan beg?” soal Raisya sudah mula gelisah. Dia nampak Zhildan masih lagi ralit memunggah pakaiannya masuk ke dalam beg sederhana besar yang berwarna hitam. Zhildan toleh sekejap sebelum bagi jelingan tajam. Atau lebih tepat, jelingan orang tengah merajuk.

    Raisya nak soal kali kedua, tapi niatnya mati bila telefon Zhildan dah berbunyi nyaring. Dia nampak lelaki itu capai telefon sebelum menjauh sedikit. Raisya tak tunggu lama. Terus dia ekori jejak si suami. Hendak mencuri dengar.

   Ye.. kita dah siap kemas ni. Hmm.. kejap lagi awak datang ambil..” Suara Zhildan kedengaran. Raisya dah kerut kening. Ambil? Pergi mana? Jangan kata.. Ya Allah, hati Raisya dah berdebar-debar.

   “ Okeylah, Mirza. Kita nak sambung kemas ni..” Mirza? Jantung Raisya mula mengepam laju. Zhildan dah berpusing kembali. Jelas wajah tampan itu nampak terkejut bila susuk tubuh si isteri elok berada di belakangnya. Zhildan pandang wajah Raisya lama. Seketika, keluhan dilepaskan sebelum dia elak sedikit tubuh Raisya dan terus melangkah pergi.

   “ Zhil.. kau nak ke mana dengan beg tu?” soal Raisya untuk kesekian kalinya. Zhildan tetap buat tak endah. Tangan masih ligat dengan kerjanya. Usai saja memunggah pakaian, Zhildan tarik tutup beg miliknya.

   “ Aku cakap dengan kau ni..” Raisya semakin cemas bila Zhildan masih tak menyahut.

   “ Apa dia, awak?” soal Zhildan lemah. Erk! Raisya dah tergigit lidah. Aduhai, gemalainya suara.

   “ Kau.. kau nak pergi mana dengan beg tu?” Zhildan tak terus jawab. Cuma bebola matanya saja bersilih ganti pandang wajah Raisya dan beg di tangan.

   Hmm..” Zhildan masih lagi jual mahal.

   “ Zhil, please. Aku tanya ni..” Merayu.

   “ Kita turun bawah dulu. Mirza dah nak sampai tu..” ujar Zhildan akhirnya buka mulut. Raisya dah bulatkan biji mata. Belum sempat Zhildan nak melangkah, berdesup Raisya peluk sekujur tubuh tegap itu dari belakang.

   “ Kau tak boleh pergi!!” Meledak suara Raisya sebelum dia meluru ke arah encik suami. Kemas dia peluk tubuh Zhildan dari terus melangkah. Zhildan pula dah terkedu habis sampai beg di tangan pun melurut jatuh ke bawah. Jantung mula berdegup tidak sekata. Erk!

   “ Apa pula tak boleh?”

   “ Aku cakap tak boleh tu, maknanya tak boleh!!” Suara Raisya dah serak. Dek rasa takut, tanpa sedar tubir mata dia dah bergenang sayu. Suara pun dah berubah sebak. Zhildan tersentap. Dia perasan sangat suara milik si isteri dah lain macam. Pantas dia mengintai. Raisya pula larikan wajah. Dia pekupkan kemas wajahnya ke dada bidang Zhildan. Menghalang Zhildan untuk mengesan riak wajahnya. Malu!

   “ Lepaskan kitalah, awak..” Nada suara Zhildan kedengaran hambar. Raisya menggeleng-geleng di dada bidang itu.

   “ Kau janganlah pergi. Aku betul-betul tak ada niat nak cakap macam tu.” Tangis Raisya sudah mula kedengaran. Tak mampu nak kawal, tak mampu nak halang. Semua tu tanpa dipinta. Dia rasa sesuatu yang asing tika ini. Dia rasa.. dia takut untuk kehilangan Zhildan.

   “ Kita yang nak pergi ke awak yang nak kita pergi ni?” Mendengarkan soalan Zhildan, Raisya dah terdiam.  

    “ Kita memang sayangkan awak. Tapi, awak yang dah tak perlukan kita..” Sambung suara itu lagi. Langkah dibawa ke birai katil. Dia duduk di situ. Merenung jauh wajah Raisya. Zhildan menunduk. Tubir mata mula bergenang. Ah, manja!

   “ Aku minta maaf..” Raisya bersuara dengan mata yang dikerdip-kerdipkan. Melihat wajah suram encik suami, rasa sayu menyengat hatinya.

   “ Zhil..” Lembut suara Raisya. Dia mula melangkah dekat pada Zhildan. Raisya jatuhkan kedua lututnya. Tangan menggigil hendak menyentuh pangkal paha encik suami.

   “ Aku minta maaf. Ya?” pinta Raisya penuh ikhlas. Zhildan panggung kepala. Direnung wajah cantik milik Raisya. Mungkin betul kita tak layak untuk awak.. hati menggumam.

   “ Awak.. kita cuma nak tahu. Betul ke apa awak cakap dengan kawan-kawan awak tu? Memang awak maksudkannya ke?” Zhildan menanti jawapan Raisya penuh sabar. Hujung tangan milik si isteri dia sentuh perlahan. Raisya tarik nafas panjang.

   “ Aku tak maksudkannya..” Dahi Zhildan berkerut dengar kata-kata si isteri.

   “ Maksud awak?”

   “ Aku tak maksudkannya da aku tak nak kau pergi. Cukup dengan jawapan tu aje.” Tegas. Zhildan mengeluh.

   “ Tak apalah, kita tak paksa awak jelaskan.” Zhildan senyap seketika. “ Kita nak ke bawah dulu..” Zhildan tolak perlahan tangan Raisya.

   “ Tolonglah jangan pergi, Zhil. Aku betul-betul minta maaf ni..” Tangan Zhildan kembali diraih.

   “ Bila awak rasa awak perlukan kita, awak bagitahu kita. Nanti kita balik ke sini..” ujar Zhildan lirih. Raisya dah panik.

   “ Zhil, aku mengandung.. kau dah lupa ke??” Mendengarkan jeritan milik Raisya, kaki Zhildan terpasak ke bumi. Perlahan-lahan dia letakkan kembali begnya di muka pintu. Berpaling dan melangkah pada Raisya.

   “ Jangan pergi.. hmm?” pujuk Raisya lagi bila susuk tubuh itu sudah menghadapnya kembali. Zhildan diam. Kedua-dua lutut dia jatuhkan dengan tiba-tiba.

   “ Anak papa..” Lembut suara Zhildan. Raisya mula terpana. Tangan kekar milik Zhildan dah elok mendarat pada kulit perutnya yang dilapisi baju t-shirt itu. “ Jangan nakal-nakal ye? Papa kena pergi ni. Dia duduk elok-elok, jaga mama. Nanti papa balik lagi..”  luah Zhildan sayu. Sekilas perut milik Raisya dicium. Kemudian dia bangkit kembali. Raisya mula rasa rahang dia jatuh.

   “ Kita pergi dulu awak.” Zhildan luah dengan tenang. Raisya dah pejam mata. nampanya Zhildan tekad.

   “ Zhil..” Suara dia sudah meleret.

   “ Awak kena ingat, sayang. Kita seorang suami. Selembut mana pun kita, selemah mana pun kita.. kita tetap rasa terhina bila awak kata kita macam tu. Kita pun ada maruah, awak. Tapi, awak jangan risau. Kita dah lama maafkan awak. Kita tak nak awak terbeban. Sepanjang ketiadaan kita, awak cari jawapan pada hati awak..”

   “ Aku tak nak kau pergi..”

   “ Dengar dulu kita cakap..” Zhildan pegang pipi Raisya. Nafas ditarik perlahan. “ A flower cannot blossom without sunshine, and man cannot live without love. Macam tu juga kita. Kita tak boleh hidup tanpa cinta awak. Tapi.. kita tak nak hanya kita yang cintakan awak. Kita tak nak sebab kita, awak rasa terpaksa.” Zhildan jeda lagi.

   “ Aku tak pernah rasa terpaksa.” Raisya menyangkal pantas.

   “ Tapi, dekat mereka awak cakap macam tu..” Zhildan bagaikan mengunkit. Raisya terkesima.

   “ Jaga dia untuk kita.” Mata Zhildan melekap pada perut Raisya.

   “ Kau memang nak pergi ke?” soal Raisya gontai. Zhildan angguk.

   “ Nanti kalau kata awak rindukan kita, awak cari kita ye? Kita tunggu awak. Tapi kita yakin, kita pasti rindukan awak dan anak kita ni.” Zhildan bersuara lagi. Raisya dah termati kata. Hendak bersuara, bibir pula dah lumpuh. Hendak dibuka hatta seinci pun dia tak mampu.

   “ Zhil.. please, don’t go..” pinta Raisya bila tapak kaki itu sudah berdiri di muka pintu. Entah bila Zhildan melangkah, dia tidak sedar. Zhildan berpaling. Senyum hambar ditarik sebelum langkah terus diatur pergi. Meninggalkan Raisya yang jelas nampak tergamam. Kali ni, hatinya benar-benar rasa terpukul!

   Benarkah lelaki sotong seperti dia tidak layak untuk dicintai? Hati Zhildan terluka.

******************

“ Mirza, awak ni dah gila ke apa??” Mata Zhildan dah mencerun pandang wajah teman baiknya. Mirza pula nampak terpinga-pinga.

   “ Awak kenapa, Zhil?” soal Mirza balik dengan suara gemalainya itu. Kening dah berkerut-kerut sambil tempek bedak Silky White dekat muka. Untung-untung nampak makin cantik. Boleh juga tutup parut jerawat yang naik sebutir ni.

   “ Awak bawa siapa dekat sebelah awak tu?? Awak saja nak buat kita marah kan??” Rahang Zhildan dah bergerak-gerak sambil tangannya dituding ke arah bersebelahan dengan Mirza. Mirza jungkit kening sebelum menoleh ke sisi.

   “ Oh, ni ke? Okey.. kejap kita perkenalkan pada awak.” Mirza sengih. Baru dia nak buka mulut, makhluk di sebelah dah menghalang.

   “ Hah, tak payah, nyah. Mak Jemah boleh perkenalkan diri sendiri. Nyah pergilah tempek bedak tu sampai sepuluh inci. Serahkan dia pada Mak Jemah.” Tiba-tiba. Zhildan mula rasa kepala dia berpusing. Perempuan?? Oh, ini tidak lawak, Mirza!

   “ Mak Jemahlah sangat..” sahut Mirza meluat. Dia jeling makhluk di sebelahnya sedikit.

   “ Zhil, aku serahkan kau pada Selva..” Mirza terus angkat kaki dan berlalu pergi. Zhildan dah terlopong. Baru dia nak melangkah, suara itu dah bergema kuat. Ya Allah, sikit lagi tiang rumah ni nak bergegar penangan suara itu.

   “ Eh-eh.. nak ke mana tu?? Berdiri dekat situ!” jerkah suara Selvarani kuat. Zhildan dah terkedu. Habislah dia kali ni!

    “ Mak Jemah nak buat apa dengan kita ni?” Zhildan dah gugup. Dia memang alah kalau jumpa dengan spesies garang macam ni. Teringat-teringat dengan Jidin and the geng.

   “ Jangan panggil aku, Mak Jemah.” Tiba-tiba lagi.

   “ Tapi.. tadi kan Mak Jemah..”

   “ Nama aku Selvarani. Panggil aku Selva. Kalau nak sedap lagi panggil aku, honey. Eh, macam tak ada kaitan aje?” Selvarani garu tepi kepalanya sedikit. “ Hmm.. kau ni kan..” Selvarani dah mula mengelilingi tubuh tegap itu. Zhildan mula rasa tidak selesa. Turut terpusing tubuh dia mengikut gerak langkah Selvarani.

   “ Kacak juga orangnya..” sambung Selvarani lagi lalu tersengih. Zhildan dah terpinga-pinga.

  “ Tapi, tu bukan tujuan aku datang ke mari. Tujuan aku..” Selvarani dah mula leretkan suara dia sambil kecilkan biji mata. Jantung Zhildan dah mula berdetuk-detak hilang tempo. Pandangan Selvarani itu boleh membunuh. Dan dia dapat rasa kejap lagi dia bakal dikerjakan oleh Selvarani secukupnya. Matilah kita! Desis Zhildan sambil tepuk dahi.

*******************

“ Langkah pertama!” Selvarani dah mula terjerit macam Pontianak hilang anak. Zhildan yang duduk di atas kerusi itu tersentak sedikit. Ini perempuan ke lelaki ni? Kita yang lelaki pun boleh kalah. Zhildan mengomel sedikit.

   “ Selva, kita rasa kan..” Pap! Tak semena-mena mulutnya sudah dilastik oleh Selvarani dengan menggunakan Marshmallow sebagai peluru berpandu. Zhildan dah merungut. Kalau lastik masuk mulut kita tak apalah juga. Aci kita kunyah-kunyah masuk dalam perut. Wajah Zhildan dah berkerut. Disapu hujung bibirnya yang dilastik itu.

   “ Patutlah bini tak takut. Kita-kita.. hei, tu panggilan budak umur lima tahun aje tahu?? Dengan bini pun cakap kita. Tak pernah lagilah aku jumpa..” bebel Selvarani siap bercekak pinggang. Mirza di hujung sana yang masih ralit tempek bedak gelak sedikit.

   “ Habis, kita nak guna bahasa apa lagi, Selva??” Zhildan mula hilang sabar. Peluh di dahi dia seka perlahan.

   “ Ikut kesesuaian.” Mudah Selvarani jawab. “ Maksud aku, kalau dengan isteri.. guna panggilan romantik-romantik sikit. Kalau dengan kawan-kawan, guna nama kau. Ikut kesesuaianlah. Kalau aku terangkan, mahu sebaldi air liur aku pun tak cukup.” Sempat lagi Selvarani menyindir. Zhildan dah hela nafas dalam. Dekat manalah Mirza kutip Selva ni? Hati berdesis kecil.

   Yelah.. nanti kita..” Pap! Sekali lagi kena penangan Marshmallow. Zhildan dah ketap gigi.

   “ Kita lagi?” selar Selvarani separuh menjerit.

   Yelah.. nanti Zhil cuba.” Selvarani nampak berfikir-fikir sedikit.

   Hmm.. Zhil tu lagi okey daripada kita. Okey, sekarang langkah kedua. Serangan psikologi!” jerit Selvarani lagak komander.

   “ Serangan psikologi?” soal Mirza mula menyampuk. Selvarani angguk.

   “ Ya, serangan psikologi.”

   “ Macam mana?” Serentak Mirza dan Zhildan menyoal. Selvarani dah kecilkan biji mata.

   “ Nak tahu?” soal Selvarani sambil jungkit-jungkit kening. Serentak kedua-duanya angguk.

   “ Kalau nak tahu, diam!” Erk! Kedua-duanya dah telan liur. Ada juga yang kena gulai ni karang.

   “ Awak ni kan, Mak Jemah..” Mirza pula yang nak naik angin. Bedak Silky White di tangan dia katup kemas. Sempat dia jeling wajah selamba Selvarani.

   “ Zhil, sekarang aku nak tahu apa masalah kau. Kau ada masalah split personaliti ke?” soal Selvarani mulai serius. Zhildan terdiam. Lama dia berfikir sebelum dia menjawab.

   “ Zhil tak adalah pula rasa split personaliti. Cuma, Zhil ni jenis lembut sikit. Payah nak marah. Kalau marah pun, marah ala-kadar aje. Tak pandai nak bertumbuk. Bahasa pun lembut-lembut. Itu aje kot. Tapi, naluri masih kepada seorang lelaki tulen.” Petah Zhildan menjawab. Selvarani nampak terangguk-angguk.

   “ Payah nak marah eh?” selar Selvarani. Zhildan angguk lagak bendul.

   “ Okey.. kita tengok takat mana kau payah sangat nak marah orang tu..” Selvarani sudah mula dengan agendanya.

*******************************

   “ Sekarang, kau rasa nak marah tak?” selar Selvarani seakan memerli. Dia nampak anak mata Zhildan dah bergerak-gerak memerhatikan dua susuk tubuh yang sedang elok berada di hadapan banglo mewah itu. Zhildan angguk.

   “ Kalau marah, apa pasal kau tercegat dekat sini? Pergilah bagi sebiji dekat lelaki tu..” hasut Selvarani yang masih menyorok di balik pohon itu. Zhildan kemam bibir.

   “ Zhil tak pandai bertumbuk..” Lemah suara Zhildan. Selvarani mula rasa nak pitam.

   “ Apa yang payah sangat nak bertumbuk?” Selvarani cuba tahan sabar. “ Kepal tangan, angkat dan macam ni..” Dush! Serentak tangan Selvarani dah elok bertenggek dekat pipi Zhildan.

   “ Adoi!!” jerit Zhildan sambil pekup pipinya. Matanya sudah mencerun ke arah Selvarani.

   “ Apa pasal tumbuk Zhil??” soal dia bengang.

   “ Aku bagi demo macam mana nak bertumbuk ajelah.” Selamba jawapan dari Selvarani. Zhildan mula rasa kepala dia berdengung.

   “ Kalau ye pun, janganlah demo dekat Zhil. Sakit tahu tak? Dahlah, Zhil nak balik.” Zhildan mula membentak. Elok kaki dia nak pusing, dia dah terdengar jeritan nyaring di hujung sana. Spontan dia menoleh dan ssat ini kakinya terpasak ke bumi. Satu saat. Dua saat. Tiga saat.. dan..

   “ Hoi!!” jerkah Zhildan sambil berlari anak ke arah dua susuk tubuh itu. Ditarik kuat baju lelaki yang sedang cuba mengheret isterinya pergi. Tak semena-mena lelaki yang membelakanginya itu jatuh tersembam ke belakang. Sebaik saja wajah itu menyapa ruangan mata.. Zhildan dah terpempan.

   “ Mirza??” soal Zhildan kurang percaya. Mirza yang elok pakai sweater bersama topi di kepala itu panggung kepala sambil sengih sumbang. Nasib baik tak buat gaya ‘peace’ aje.

   “ Zhil?” Giliran Raisya pula yang terkejut. Ditarik lengan sasa itu untuk menghadapnya. Dan buat seketika, pandangan mereka beradu. Zhildan dah terkelu.

   “ Ki.. kita tak intip awak. Sumpah!” Akhirnya itu pula yang terluah dari bibir Zhildan. Selvarani yang baru tiba dan Mirza yang cuba dibangunkan oleh Selvarani dah tepuk dahi. Kita lagi?? Nampaknya Zhildan ni memang sukar dah nak dibentuk. Ah!! Rancangan gagal! Detik hati mereka berdua.