PeNgiKuT sEtiA..

Monday, March 4, 2013

Cinta Si Ulat Buku Bab 5


Bab 5
Farish berasa sedikit tenang tatkala berada di dalam perpustakaan UiTM Chendering itu. Suasana yang sedikit lengang tanpa kehadiran ramai siswa-siswi memberikannya sedikit privasi untuk terus menelaah pelajaran. Buku setebal 437 muka surat itu ditatap penuh minat.
    Farish meregangkan sedikit tengkuknya yang mula berasa kebas. Kemudian, dia memerhatikan suasana sekeliling lalu pandangannya tertancap pada seorang lelaki pertengahan 30-an yang berkumis nipis. Pembantu perpustakaan yang bertugas pada hari itu. Senyuman manis dilemparkan. Lelaki yang dikenali sebagai Encik Ishak itu turut membalas senyuman lalu terus menghadap komputernya. Farish pula berniat untuk kembali menyambung bacaannya yang terbantut tadi.
   Baru dia hendak memulakan bacaannya, matanya terpaku pula pada seraut wajah munafik di hadapannya. Huh! Meluat betul aku tengok muka perempuan ni. Dengus hati Farish.
   Gadis yang dimaksudkan itu lantas menghadiahkan senyuman manis. Namun, sebuah jelingan yang diterima bersama dengusan kasar. Terkedu dia dibuatnya. Sepatutnya, dia sudah mengagak bahawa lelaki itu tidak akan membalas senyumannya. Kepalanya ditundukkan menekur lantai. Sedih, sebak saling bercampur baur. Akhirnya, langkah terus diatur meninggalkan sesusuk tubuh yang langsung tak menghiraukannya.
   Farish melepaskan nafas kelegaan. Hampir sahaja dia tewas melihat wajah mendung itu. Malas mahu melayan perasaan, buku yang dipegang menjadi perhatian.
   Biarlah apa orang nak kata sekalipun, dia tetap tidak boleh menidakkan hobinya yang satu itu. Tidak lengkap rasanya jika dia tidak membaca dalam satu hari. Minatnya terhadap bahan membaca bermula sejak dia berumur lima tahun lagi. Mama dan papanya yang memang arif akan minatnya itu tidak pernah lupa untuk membelikan bahan bacaan yang terbaru agar anaknya dapat terus menjalankan hobinya.
   Malahan, di kediaman mereka juga terdapat perpustakaan mini yang memuatkan pelbagai jenis bahan bacaan. Daripada melakukan perkara lain yang tidak berfaedah, ada baiknya Farish mempunyai hobi seperti itu. Boleh juga menambahkan ilmu di dada.
   Perasaan rindunya terhadap kedua-dua orang tuanya berlegar-legar di ruang minda. Sudah hampir dua minggu dia tidak pulang ke Villa Inspirasi kerana jadual kuliahnya yang padat serta tugasan-tugasan yang diserahkan oleh pensyarah.
   Villa Inspirasi diberi nama kerana menurut papanya, rumah itu bakal membawakan seribu satu inspirasi kepada seluruh penghuninya kelak. Selain itu, rumah itu juga banyak menjadi inspirasi terhadap mereka sekeluarga dalam membentuk keluarga yang bahagia dan harmoni berlandaskan syariat yang telah digariskan oleh Allah S.W.T.
   Minggu ni aku nak balik ke rumahlah. Rindunya pada mama dan papa. Farish berfikir-fikir sebentar lantas poket seluarnya diraba. Sebuah telefon bimbit berjenama Sony Ericsson sudah berada di genggaman. Nombor telefon seseorang didail. Tidak lama kemudian panggilan sudah disambungkan.
    “ Assalamualaikum, Pak Brahim..” sapa Farish penuh sopan. Pak Brahim merupakan pemandu papanya yang sudah hampir 10 tahun berkhidmat. Maka, hubungannya dengan Pak Brahim amat rapat. Seperti roti dengan mentega. Langsung tak dapat dipisahkan. Akrab sungguh, kan?
    “ Walaikumussalam.. Rish, ada apa ni?” salam bersambut mesra.
    Hmm.. Pak Brahim sihat? Semua yang ada kat Villa Inspirasi sihat ke?” soal Farish prihatin.
    “ Alhamdulillah.. semuanya sihat. Rish pulak? Ada apa ni call Pak Brahim?” Orang tua itu bertanya lagi. Musykil kerana tiba-tiba anak majikannya itu menelefon. Kedengaran tawa kecil di hujung talian.
     “ Dah dua kali Pak Brahim tanya soalan sama. Pelik sangat ke kalau Rish call? Hmm.. sebenarnya Rish ingat nak balik ke Villa hujung minggu ni. Pak Brahim datang jemput Rish ye? Rish dah rindu sangat pada penghuni-penghuni Villa Inspirasi tu..” Farish berbalik kepada tujuan asal dia menelefon pemandu papanya itu.
    “ Eh, budak ni! Bukan macam tulah. Pak Brahim cuma bimbang. Manalah tahu ada apa-apa yang mustahak. Kalau macam tu, lepas Rish habis kuliah, Pak Brahim terus ke sana hujung minggu nanti..” balas Pak Brahim senang hati. Sesungguhnya dia turut merindui anak majikannya yang rendah diri itu. Walaupun lahir dalam keluarga berada, namun anak muda itu tidak pernah meninggi diri dengan kemewahan yang ada. 
      Farish merupakan anak bongsu pasangan Tan Sri Tengku Fatimi dan Puan Sri Amira. Keturunan kerabat Diraja Pahang. Manakala, anak sulung pasangan itu, Tengku Faremy Adam kini sedang menuntut dalam ijazah sarjana muda di UiTM Shah Alam dalam jurusan undang-undang. Anak muda itu juga tidak sombong dan bongkak. Malahan sering membantu pekerja-pekerja di Villa itu membersihkan halaman rumah apabila kelapangan waktu. Bertuah sungguh siapa yang memiliki mereka berdua sebagai anak.
    “ Baguslah kalau macam tu, Pak Brahim. Rish kena letak telefon dulu ni sebab Rish ada kat dalam library. Titipkan salam Rish buat semua yang ada di Villa ye?” Usai memberi salam, Farish kembali menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket seluar. Bibirnya mengukirkan senyuman kerana bakal bertemu dengan dua insan yang amat dirindui kala ini. Lama dia tersenyum sehinggalah ada satu suara sumbang yang mengganggu angannya. Pantas matanya melilau mencari pemilik suara itu. Hish! Dia lagi.. detik hati Farish sebal.
    “ Hai.. dah jadi sewel ke? Senyum sorang-sorang. Terlepas dari Hospital Bahagia ek?” perli Fidya yang kebetulan baru menapak masuk ke dalam perpustakaan itu. Sebaik terpandangkan wajah Farish yang sedang senyum-senyum seperti orang sedang angau bercinta, timbul satu hasutan agar dia terus mancari ‘pasal’ dengan mamat perasan bagus itu.
    Farish mengetap gigi menahan amarah. Rasa hendak ditempeleng aje minah senget yang suka cari pasal dengannya ini.
   “ Shuh.. shuh.. dari mana pulak langau besar ni datang? Eh, dia ni tak faham ke tempat ni bukan tempat dia? Tempat dia bukan kat longgokan sampah-sarap ke? Mengganggu ketenteraman aje. Shuh.. shuh..” Farish berpura-pura menghalau. Harap Fidya sedar akan sindirannya itu. Fidya pula sudah tarik muka ketat. Alah, macam seluar jean ketat yang sering dipakai oleh wanita zaman sekarang tu.
   “ Eh.. eh.. sedapnya bahasa kau, ek? Aku yang cun-melecun ni kau samakan dengan langau? Tak ada kelas tau..” Fidya bercakap angkuh sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya. Cuba membakar perasaan lelaki bongkak di hadapannya. Farish menceber bibir. Tanda meluat. Sikit lagi dia nak termuntah mendengar omelan gadis itu. Naik motor, bonceng sendiri. Huh!
    “ Aku ada sebut nama kau ke minah senget? Tak ada, kan? Jangan nak perasanlah ye? Dah.. pergi main sana. Tak nampak aku nak membaca ni?” Halau Farish lagi sambil mengangkat tinggi buku yang dipegangnya.
   Fidya tersenyum sinis. Tak habis-habis dengan buku dia tu. Rajin sangatlah tu. Eh, aku pun rajinlah. Tengok ni hah.. banyak buku aku pinjam dari perpustakaan tau.. bebel Fidya. Sebetulnya niat dia datang ke perpustakaan adalah untuk memulangkan buku ilmiah yang dipinjam minggu lepas untuk dijadikan bahan rujukan.
    “ Aku tahulah siapa yang kau maksudkan tu..”
   “ Wah.. sejak bila kau jadi dukun ni? Pandai baca fikiran orang. Hebatlah kau..” sindir Farish tajam. Fidya yang sudah naik angin tanpa menunggu sesaat terus angkat kaki. Baru beberapa langkah, kakinya dihentak-hentakkan. Cuba melepaskan rasa marah. Farish yang memandang dari jauh hanya tersenyum geli hati. Huh! Orang macam tu pun ada kat muka bumi ni? Detik hati Farish bersama senyuman geli hati.

Tidak cukup dengan insiden di perpustakaan, mereka kembali ‘berperang’ ketika ingin pulang ke kolej masing-masing.
   Fidya mendapat panggilan telefon daripada ayahnya. Kata ayahnya, dia sekarang sedang berada di ruang menunggu Kolej Kerawang. Fidya yang bergegas ingin beredar langsung terlanggar sesusuk tubuh sasa. Hampir tergolek dia dibuatnya dek perlanggaran itu. Namun, mujur sempat ditangkap oleh tangan sasa itu. Fuh! Selamat. Kalau tak, dah jadi scene hindi pulak nanti. Tergolek-golek kat tengah alam ni.
   Fidya bersyukur di dalam hati kerana Allah sudi mengirimkan ‘penyelamat’ kepadanya untuk membantu. Bagi menyatakan ucapan berterima kasih, lantas Fidya panggung kepala dengan senyuman nipis.
   Namun, senyumannya langsung mati dan darahnya berderau sebaik sahaja terpandangkan seraut wajah kacak yang sedang merenungnya dengan senyuman nakal melatari bibir. Cepat-cepat pegangan tangan lelaki itu di pinggangnya dileraikan.
    “ Eh, apa ni? Main pegang-pegang pulak. Bukan muhrim, tahu?” sembur Fidya marah. Lain yang sepatutnya diluahkan, lain pula yang telah terluah.
   Sepatutnya dia berterima kasih kepada lelaki yang telah menjadi penyelamatnya. Namun, niatnya mati tatkala wajah yang sering dimusuhi menjamah pandangannya. Aduh! Rasa nak lari pecut aje. Meluat betullah tengok muka mamat ni. Omel Fidya dalam hati.
   Farish tersenyum sumbing. Eleh, bukan muhrim konon. Tadi, dia juga yang paut lengan aku dengan kejap. Sekarang, nak salahkan aku pulak? Memanglah sah minah senget ni dah tercabut wayar dalam kepala otak dia tu. Desis hati Farish bersama senyuman mengejek.
    “ Bukannya nak berterima kasih. Marah kita pulak? Memang manusia tak tahu beradab..” sindir Farish. Mata Fidya sudah terbuntang. Apa dia kata? Manusia tak beradab? Kurang ajar!!
    “ Apa kau cakap? Aku tak beradab? Memang mulut macam longkanglah kau ni. Busuk..” luah Fidya sambil berpura-pura menutup hidung.
    “ Woi, minah senget! Cakap boleh sebarang cakap ye, makan jangan sebarang makan..” luah Farish tanpa sedar peribahasa yang digunakan sudah tunggang-terbalik. Erk!
    Ketawa daripada bibir Fidya meletus kuat. Farish terpinga-pinga. Minah ni dah kenapa? Aku marah, dia gelak pulak. Takkan tension sampai dah tak siuman kot.. tebak hati Farish bermonolog. Kepalanya digaru-garu lagak orang utan.
    “ Apa pasal kau gelak hah??” soal Farish garang. Fidya masih lagi ketawa terbahak-bahak sambil perutnya ditekan-tekan. Senak kerana terlampau banyak ketawa.
    “ Kau dah salah cakap tu. Makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap..” Fidya memperbetul sambil bibirnya masih lagi ketawa nipis. Farish sudah merah muka. Ya Allah.. malunya!!
    “ Ah.. samalah tu..” Farish cuba menutup malu. Tanpa banyak cakap, dia terus pecut dari situ. Malu untuk berhadapan dengan Fidya yang jelas masih mentertawakan dirinya.
    “ Mana sama. Baca buku bagai nak rak, tapi peribahasa pun dah tunggang-langgang. Malulah tu..” Sayup-sayup kedengaran suara Fidya menyindir. Farish mengetap bibir. Siap kau, minah senget. Akan aku ajar kau secukupnya kerana berani mentertawakan Tengku Farish Naufal! Tekad hati Farish bersama rasa geram yang teramat.
   Fidya yang masih ketawa terus mati ketawanya. Baru teringat akan kunjungan ayahnya. Lantas, buru-buru dia menapak ke Kolej Kerawang.
   Dari jauh, ada seseorang yang memerhatikan pertengkaran kecil itu. Dia mengumpul nekad untuk menjejaki Fidya demi sebuah pertolongan. Lama dia menatap wajah tampan lelaki itu dari jauh sebelum sebuah keluhan dilepaskan.
   Matanya tiba-tiba bergenang mengenang perhubungan yang makin suram itu. Namun, perlahan-lahan kakinya diatur menjauh. Bimbang empangan mutiaranya pecah lebih teruk.

No comments:

Post a Comment