PeNgiKuT sEtiA..

Monday, December 30, 2013

Suami Untuk Dicintai (Bab 1)


BAB 1

“ Ini gila, sayang. Sangat-sangat gila!” ujar Izz Rayqal seraya bangkit berdiri. Wajah lelaki itu bergerak-gerak ganas dek rasa marah. Dipandang wajah cantik Iris dengan mata membuntang. Iris hanya tenang.

   “ Thaqif dah setuju, I cuma tunggu keputusan you..” ujar Iris selamba. Izz mendengus. Mahu tak gila? Dia.. diajak bertanding merebut cinta Iris Nadira Dato Izham? Dah sah-sah dia akan kalah. Thaqif tu suami. Dia.. cuma sekadar teman lelaki Iris. Ah, kegilaan apakah ini? Hatinya menggumam.

   “ You memang out of your mind.. Iris Nadira!” hentam Izz geram. Wajah manis itu dipandang sakit hati. Iris senyum menawan. Sekaligus mencairkan hati lelaki milik Izz Rayqal.

   “ I tak gila. I cuma nak cari lelaki yang betul-betul hargai I..” ujar Iris bermadah senang. Izz gosok dahinya tanda gelisah.

   “ Dah terang-terang I akan kalah, sayang..” rengek Izz pula. Iris gelak kecil.

   “ Sejak bila Izz Rayqal yang I kenal boleh cepat berputus asa ni?” cabar Iris. Bukan dia tak tahu Izz pantang dicabar. Pasti ego lelaki itu terjentik. Izz Rayqal sudah mencerlung anak matanya.

   “ You cabar I ke, Iris?” soal Izz dengan suara tertahan. Iris senyum. Nah.. umpan sudah mengena! Jerit hatinya. Iris kenyit mata.

   So..” Iris bangkit dari kerusi yang didudukinya. Namun, sempat pula dia menyisip sedikit minuman yang dibawa pelayan tadi. “ I kira you setujulah ye? Okeylah.. I kena balik. Thaqif balik pejabat nanti nak kena hidang nasi pula. See you later, Izz..” Iris berkata dengan suara lunaknya. Izz ketap bibir.

   “ You kata tak sayang dia. Tapi, nak pula you sediakan kelengkapa dia..” dengus Izz tak puas hati. Iris yang baru hendak melangkah berpaling. Senyuman digariskan.

   “ I tak nak tambah dosa I dengan dia. Sayang dan tanggungjawab dua perkara yang berbeza..” Penuh maksud kata-kata Iris. Izz simpan riak curiga.

   “ Jadi.. you dengan dia dah..” Izz tak jadi nak bersuara bila Iris sudah gelak halus. Kalau berbicara soal tanggungjawab, mungkin Iris sudah menjadi isteri yang sebenarnya untuk Thaqif? Hati Izz menyoal sendiri. Keliru!

   “ Izz.. hal rumahtangga I, I takkan cakap dekat you.. okey? Ambil cabaran tu kalau you betul-betul sayangkan I. Atau you kisah kalau I ni bekas dia?” ujar Iris nakal. Wajah Izz berubah. Tipu kalau dia cakap dia tidak kisah. Selama ni, begitu payah dia hendak mencuit Iris. Memang dia cemburulah andai perkara itu betul-betul berlaku.

   Tapi, sebab rasa sayang dia pada Iris.. dia tak sanggup hendak mengiyakan. Sudahnya, dia menggeleng lesu. Menipu diri sendiri.

   So.. tak ada masalahlah kan?” sakat Iris lalu dia terus melangkah pergi. Meninggalkan Izz termangu sendirian.

“ You masak?” soal Thaqif tatkala matanya sudah menangkap pelbagai jenis menu terhidang di atas meja. Iris yang baru saja menanggalkan apron itu melangkah penuh menggoda. Duduk dilabuhkan di hadapan si suami.

   “ You rasa?” Iris menjungkit kening. Thaqif diam seketika.

   “ Tapi.. you..”

   Iris yang faham perkataan selanjutnya Thaqif pantas mencelah. “ Cinta, sayang dan tanggungjawab adalah skop yang berbeza. Jadi, ini tanggungjawab I. But.. tanggungjawab yang satu lagi tu.. kita tangguh dulu, okey?” Iris menongkat dagu sewaktu berbicara. Memandang raut kacak si suami. Thaqif berdehem kecil.

   “ I pun masih tak bersedia ke arah tu. Lagi satu.. bagi I perkahwinan satu ikatan yang suci. Bukan kerana nafsu semata. Kalau you belum cintakan I, I takkan tuntut hak tu. I nak hubungan tu terjalin atas dasar cinta.” Bijak Thaqif menjawab.

   Memang dia masih tidak bersedia. Hatinya masih ragu-ragu lagi. Memang dia menipu andai dia kata hati dia kejung tidak bergetar waktu melihat Iris. Tambah-tambah tika isterinya itu usai mandi. Tapi, dia yakin apa yang dia rasai itu hanya sekadar hasutan nafsu. Bukan atas dasar cinta untuk isterinya.

   So, I announcekan mulai hari ni game bermula. You dengan Izz bersaing secara sihat untuk dapatkan I..” Lunak suara Iris meniti di halwa telinga Thaqif.

   “ Iris..” seru Thaqif perlahan sudahnya. “ You masih ingat janji you kan? I tak nak terus berdosa. Jadi..”

  “ Jangan risau, kalaupun you nampak I macam perempuan tak baik. I tak sewenang-wenangnya bagi lelaki sentuh I..” cantas Iris mengerti. Thaqif hela nafas lega.

   “ I masih berharap you tarik balik game ni..”

   No, never!” pintas Iris laju. Kepalanya tegak.

   Okey, then. I sahut cabaran you. Tiga bulan yang you janjikan, but I akan pastikan kurang dari tiga bulan you akan deadly in love with me!” ujar Thaqif penuh yakin. Iris senyum.

   Better late than never, right?” ujar Iris sengaja menghidupkan rasa tercabar dalam diri Thaqif. Sejurus dia bangkit. Nasi yang masih panas berasap diletakkan di dalam pinggan Thaqif. Thaqif menggeleng. Hubungan pelik apakah ini? Dia bermonolog.

   “ Makanlah. Nasi masih panas-panas. You nak air suam atau sejuk?” soal Iris penuh kelembutan. Thaqif  pantas mendongak.

   “ I minum apa aje yang you berikan..” Malas-malas Thaqif menjawab. Otaknya masih ligat memikirkan cara-cara untuk menambat hati Iris. Dia tidak boleh kalah!

   “ I rasa you mesti nak yang sejuk kan?” Iris soal dengan lirikan menggoda. Thaqif kecilkan biji mata.

   What do you mean?” soal Thaqif.

   “ I nampak bahang amarah dalam diri you. You nampak lebih kacak, Qif..” ujar Iris lalu ketawa kecil. Beberapa ketul ais dimasukkan ke dalam gelas berkaki tinggi itu. Jus tembikai dituang pula. Thaqif tarik nafas dalam.

   “ Jangan gunakan tone macam tu bila dengan I..” Tiba-tiba Thaqif berpesan. Iris letakkan jug kaca kembali.

   “ Kenapa?”

   “ Suara you tu simpan bila I dah dapat cinta you nanti. Waktu tu kalau you nak buat lebih pun I tak kisah..” gumam Thaqif. Namun, masih bisa didengari oleh Iris. Iris sekadar tersenyum meleret. Dia tahu Thaqif sekadar memerli dirinya. Ah, biarlah.. detik hatinya pula.

 

Suami Untuk Dicintai (Prolog)


Suami Untuk Dicintai (Mini Novel)

Oleh : Hana Efriena
 
 

 

Prolog

Iris Nadira pandang wajah tampan suaminya sambil berpeluk tubuh. Dia senyum segaris. Nak sangat kahwin dengan dia, siapa suruh? Hati Iris membentak sinis.

   “ Iris jangan nak buat gila dengan I. You  sedar tak you cakap apa ni?” soal Thaqiq Anaqi geram. Kaki melangkah dekat. Baru dia nak capai tangan Iris, Iris mengelak pantas.

   “ You nak kira deal ke tak ni?” selar Iris dengan kening terjungkit.

   “ Iris, I ni suami. Bukan koleksi teman lelaki you dekat luar sana..” bentak Thaqif tercabar. Iris senyum menggoda. Dia berjalan mengelilingi suaminya. Seketika dia berhenti sebelum bahu Thaqif diurut perlahan. Thaqif pejam mata.

   “ Qif..” Iris tiup perlahan belakang leher si suami. Thaqif rasa debaran jantung dia sudah tak menentu. “ Kalau you sayang I, cuba untuk menangi hati I. Dengan cara you sendiri. You kena bersaing dengan Izz. But, jangan main kotor.. okey?” ulas bibir menggoda itu lembut. Thaqif buka matanya luas.

   “ Iris.. I suami you..” rintih Thaqif berharap benar Iris faham. Iris pantas lekapkan jemarinya pada bibir seksi Thaqif.

   “ Kalau you sayang I.. buktikan!” ujar Iris dengan lirikan menggoda. Thaqif terngadah. Sedangkan Iris senyum kemenangan, dia yakin Thaqif takkan menang dalam permainan merebut cintanya.

    “ You yakin you nak macam ni? You tak takut soal dosa pahala? Paling penting.. you tergamak nak I nampak dayus pada pandangan orang lain?” soal Thaqif bertalu-talu. Tangan Iris dicapai lembut sebelum dia ramas tangan itu sedikit.

   “ I tak cintakan you, Qif..” selar Iris kecil. Dia renung dalam anak mata suaminya.

   “ I bukan nak kurang ajar dengan you. Tapi, hakikatnya I pun tak cintakan you.” Tenang suara Thaqif. Iris hanya menelan dengan riak selamba.

   “ Jadi, untuk apa perkahwinan ni?” soal Iris. “ Kita masing-masing tak saling mencintai. Jadi, wujud untuk apa sebuah perkahwinan tanpa cinta ni?” Iris soal dengan suara yang masih terkawal.

   “ Sebab I nakkan you..” Dahi Iris berkerut. Pelik. Tak cinta, tapi nak?

   “ You cakap apa ni, Qif?” soal Iris kurang mengerti. Thaqif raup wajahnya gundah.

   “ I pun tak tahu kenapa dengan diri I. I yakin I tak cintakan you. Tapi, I nakkan you. I cuma nak you jadi isteri I. Mungkin kedengaran kurang logik. Itu hakikatnya, Iris.” Thaqif bersuara bersungguh-sungguh. Iris menapak ke ruangan sofa. Dia langsung tak faham kata-kata Thaqif.

   “ I tak faham..” keluh Iris perlahan. Wajah tampan Thaqif dijamah dengan anak matanya.

   “ Cinta dan rasa untuk menakluki, dua perkara yang berbeza. I memang tak cintakan you. Tapi, I sayangkan you. Walaupun kita baru kenal, I dah mula selesa dengan you. Sebab tu bila mama suruh I kahwin dengan you.. I terima. Sebab hati I cakap suatu hari nanti I akan jatuh cinta dengan you. I tak nak you terlepas pada tangan lelaki lain.” Thaqif berkata dengan suara garaunya. Iris semakin keliru. “ Kita cuba, Iris. You dengan I.. cuba untuk bercinta..” ajak Thaqif pula.

   “ Ini mustahil, Qif. I dah ada Izz. You pun tahu kan?”

   “ Tapi.. I tak ada sesiapa, Iris. Selepas kehilangan arwah Melinda, you aje yang buat I kembali rapat dengan perempuan. Buat hati I kembali hidup dengan perempuan. Sebab tu I yakin you pilihan yang tepat..” sangkal Thaqif  lagi. Wajahnya mula memerah. Mungkin tatkala perihal Melinda disentuh. Iris bangun.

   “ Jadi, I cuma bagi you satu aje peluang. You kena menangi hati I. Kalau you tak berjaya, waktu tu you kena lepaskan I..” pinta Iris pula. Thaqif terhenyak.

   “ You memang hendakkan begini?” soal si suami runsing. “ Maruah I, Iris? Dosa you I yang galas..” sentuh Thaqif perihal dosa pahala pula.

   “ Hanya setuju atau tidak? Ini saja peluang you yang terakhir..” ugut Iris berkeras. Thaqif pejam mata. Cuba berfikir secara rasional. Dia sedang dicabarkah?

   Kalau benar, dia memang sangat-sangat rasa tercabar!

 

Sunday, December 29, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 7)


BAB 7

Emiera ketap bibirnya geram. Kereta mewah milik Qaiser dipandu berhati-hati. Kalau bukan kerana ugutan lelaki itu, dia takkan tergamak hendak mengguna kereta Mazda 6 Sedan ini untuk menjemput si kembar. Tapi, Qaiser dah tak bagi dia sebarang pilihan. Bagaikan tengiang-ngiang suara Qaiser sewaktu menelefonnya sebelum berangkat seketika tadi.

   “ Abang tahu kalau Miera tak guna kereta abang bagi tu, abang balik nanti abang buat kerja gila.” Qaiser mengugut. Emiera dah menceber.

   “ Memang Miera tak nak pun. Teksi ada.. tak susah..” Tanpa nada saja suara Emiera berlagu.

   “ Okey, jangan cabar abang tukar nama kereta tu terus atas nama Miera. Don’t say that I didn’t warn you, Cempaka Emiera. Bila abang suruh guna, Miera kena guna. Bukannya payah sangat arahan abang ni,” marah Qaiser perlahan. “ Okeylah.. abang dah nak masuk balai berlepas. Ingat.. guna kereta tu atau Miera akan menyesal. Take care, Miera. Abang sayang Miera..” Terus panggilan dimatikan tanpa sempat Emiera membidas. Emiera mendengus kecil.

   Dalam dia puas menolak kehadiran lelak itu, semakin Qaiser cuba untuk mengurangkan jurang antara mereka. Lantas, Emiera sudah tepu hendak berfikir apa lagi? Patutkah dia memberi ruang untuk Qaiser merebut hatinya? Sungguh dia tidak tahu!

   Melihat jam di tangan, cepat saja Emiera kembali fokus pada pemanduannya. Emiera mengeluh kecil bila mana lampu isyarat sudah menunjukkan warna merah. Lambat pulalah dia hendak menjemput si kembar. Alahai..

   Lampu isyarat yang masih merah memberi ruang untuk Emiera mengenang kembali kenangan dia dan arwah Qairel, suami yang banyak membantu dia menghadapi kebencian Datin Zetty. Suami yang banyak menjadi tongkat untuk dia meneruskan kehidupan. Mengutip dia waktu dia kesukaran. Ya Allah.. hati terasa begitu sakit dengan rasa rindu ini.

   “ Sayang sedih?” soal Qairel lembut. Tangan halus itu dia usap penuh kasih. Emiera menoleh ke sisi. Tangan kanannya kuat mencengkam stereng kereta.

   “ Kenapa soal Miera macam tu?” soal si isteri lembut. Qairel senyum nipis.

   “ Sebab Miera pandu kereta abang..” ulas bibir itu berbicara. Emiera palingkan wajah dia ke hadapan. Dia tahu Qairel faham keadaan dia. Tiap kali dia bersedih, dia pasti akan meminta izin daripada Qairel untuk memandu. Walhal, memang kepantangan Qairel untuk membiarkan si isteri memandu sedangkan dia ada di sebelah.

   “ Miera baik-baik saja, abang..” dalih Emiera menyembunyikan rasa hati. Qairel raup wajahnya dengan sebelah tangan. Riak itu nampak suram.

   “ Sayang tipu abang..” ujar dia seakan menggumam. Emiera genggam kembali tangan si suami yang masih memegang lembut jemarinya.

   “ Tipu untuk sedapkan hati abang.. Miera rasa tak salah. Miera tak nak abang sedih. Abang masih ada satu semester nak habiskan pelajaran abang. Miera tak nak kusutkan fikiran abang. Kita lupakan ye? Anggap saja kata-kata mama tak berbekas di hati Miera..” pujuk Emiera. Qairel sudah sebak.

   “ Tapi, sayang nampak terluka sangat..” Qairel sudah merintih sayu. Emiera senyum hambar.

   “ Abang ada. Selagi abang ada, Miera takkan rasa kesedihan ni Miera tanggung seorang diri. Janji dengan Miera, terus ada dengan Miera.. abang?” soal Emiera perlahan. Qairel diam lama sebelum dia mengangguk sekali.

   “ Abang takkan tinggalkan Miera. Kecuali maut saja. Abang sayang Miera, lebih dari diri abang. Terluka Miera, terlukalah juga abang. I love you, sayang..” Qairel kucup jemari itu sebelum dia rapatkan tubuhnya lalu sekilas kucupan dia hadiahkan pada pipi Emiera. Emiera pejam mata.

   Ah, kenangan. Kenapalah kenangan begitu sukar untuk dilupakan? Memang benar arwah suaminya pernah berjanji untuk tidak tinggalkan dia melainkan maut. Nampaknya arwah Qairel benar-benar mengotakan janji. Perpisahan mereka adalah perpisahan kekal. Untuk selamanya! Jiwa Emiera rapuh berkali-kali. Dia rindu.. rindu dengan setiap tutur kata arwah Qairel.

“ Kak Miera!” jerit Amni ceria bila susuk tubuhnya menjamah ruangan mata. Emiera tersenyum dari jauh sebelum dia menangkap riak pelik pada wajah si kembar.

   “ Kenapa, Amni dan Qilah pandang macam tu?” soal Emiera polos. Amni sengih sejurusnya.

   “ Abang Qais bagi akak guna kereta ni?” soal Aqilah menyampuk. Emiera angguk tanpa banyak soal. Yelah.. memang dah Qaiser yang bagi pinjam. Kenapa ye? Hatinya jadi tidak keruan.

   “ Kereta ni nyawa Abang Qais. Payah dia nak bagi orang lain guna. Amni tahu sebab hari-hari kalau boleh dia belai kereta kesayangan dia ni. Tapi.. dengan akak..” Amni leretkan suaranya. Kening terjungkit nakal.

   “ Sayang dia lebih pada akak berbanding kereta ni. Akak istimewa sangat dekat hati Abang Qais..” ujar Amni menyambung bicara. Sekaligus membuatkan jantung Emiera berpalu debar. Emiera letak tangannya ke dada. Ah, kenapa dia perlu berdebar sebegini? Rasa apa yang menyinggah ini? Emiera kurang arif dalam menilai soal hati dan perasaan.

   “ Tak adalah.. dia terpaksa tu sebab Kak Miera mana ada kereta nak jemput Amni dan Qilah. Lagipun, korang berdua kan tanggungjawab Abang Qais.. sebab tu dia sanggup pertaruhkan kereta ni dekat akak..” gelak Emiera jelas dibuat-buat. Aqilah sekadar senyum. Amni juga.

   “ Tapi, Qilah tahu abang sayangkan akak. Kami boleh nampak. Kan Amni kan?” Aqilah menjeling wajah Amni. Amni angguk bersungguh-sungguh. Mengiyakan kata-kata Aqilah.

   “ Kami dah besar untuk menilai soal cinta tahu, akak?” Giliran Amni pula bersuara. Emiera terkedu. Kalau si kembar sudah pandai menilai, kenapa dia masih dungu jika sesuatu yang melibatkan tentang cinta? Atau dia sebenarnya takut pada bayangan lalu? Tak! Dia yakin bukan kerana itu. Tapi, alasannya cuma satu. Kerana dia.. arwah Fuad Qairel.

   “ Kak Miera..” Amni sentuh sedikit lengan Emiera. Emiera tersentak. Wajah serba-salah Amni dipandang dengan senyuman.

   “ Kami minta maaf. Bukan niat kami nak suruh akak lupakan arwah Abang Arel. Tapi, sampai bila akak nak macam ni? Kami tahu Abang Qais dah lama suka akak. Tak boleh ke bagi peluang tu dekat Abang Qais?” selar Amni polos. Emiera kemam bibir.

   “ Biar Allah S.W.T tentukan segalanya ye?” ujar dia dengan jawapan paling selamat. Amni dan Aqilah mengeluh kecewa. “ Jomlah kita balik..” ajak Emiera pula. Amni dan Aqilah sekadar akur dengan riak sedih.

   Maafkan akak, Amni.. Qilah. Meluputkan sebaris nama Fuad Qairel begitu payah untuk akak lakukan. Bukan akak tak pernah mencuba. Tapi.. Keluhan dilepas kecil. Hatinya sudah penat untuk berbicara sendu.

Suasana makan malam terasa sedikit meriah dengan kehadiran si kembar. Emiera dan Dafina sibuk menghidangkan juadah. Amni dan Aqilah pula leka berbual dengan Qaiser di talian. Begitu Emiera nampak keakraban yang terjalin itu. Berebut-rebut si kembar hendak berbual dengan satu-satunya abang yang mereka punya.

   “ Kak Miera..” seru Aqilah menghulurkan telefon bimbit miliknya. Emiera terkebil-kebil. Dafina pula sekadar senyum nipis. Dia tahu pastilah gerangan jejaka kacak itu yang ingin berbual dengan Emiera. Ah, untungnya Cempaka Emiera. Desis Dafina tumpang bahagia.

   “ Siapa?” soal Emiera buat-buat tak tahu.

   “ Abang Qais..” ujar Aqilah menjawab. “ Dia nak cakap dengan akak sekejap..” Telefon bimbit masih dihulurkan. Lambat-lambat Emiera capai. Nafas dihela lemah sebelum telefon bimbit itu dipekup ke telinga. Tubuh dibawa menjauh sedikit.

   “ Amni, Qilah.. pergi makan dulu dengan Kak Fina..” suruh Emiera sebelum dia berlenggang ke ruang tamu.

   “ Assalamualaikum..” Suara Emiera kedengaran sangat perlahan. Masih tidak bersambut. Tapi, Emiera dengar helaan nafas di hujung sana. Menandakan Qaiser masih ada di talian.

    Emiera kerut kening. Kenapa Qaiser tidak mahu bercakap?

   “ Abang..” panggil Emiera pula.

   “ Abang rindukan Miera..” Sebaris kata yang bisa menggegarkan jantung Emiera. Emiera ketap bibirnya rapat.

   “ Jangan bercakap soal rindu dengan Miera..” ujar Emiera cuba mengurangkan debar di dada. Qaiser menghela nafas panjang.

   “ Kembar okey dekat sana?” soal Qaiser sepatah.

   “ Kan abang baru aje bercakap dengan mereka?” Emiera soal balik.

   “ Abang nak dengar dari mulut Miera. Abang bimbang mereka buat Miera penat. Menyusahkan Miera..” sahut Qaiser pula.

  “ Mereka dah besar, abang. Dah pandai bawa diri. Apalah sangat disusahkan Miera. Miera suka mereka dekat sini..” balas Emiera pula. Qaiser terdiam lama.

   “ Boleh abang tanya Miera sesuatu?” pinta Qaiser tiba-tiba. Emiera senyap sejurus. Bicara itu bagaikan terselit maksud yang sukar ditebak.

   Hmm..” Hanya itu balasan Emiera.

   “ Kalau abang tanya Miera rindukan abang, boleh tak Miera iyakan?” Emiera terpempan. Permintaan apakah itu?

   “ Abang cakap apa ni?” soal Emiera gundah.

   “ Abang cuma nak dengar Miera cakap Miera rindukan abang. Walaupun terpaksa sebab abang tahu kalau abang harapkannya sebagai ucapan ikhlas.. abang cuma bermimpi di siang hari..” jelas Qaiser penuh nada romantik.

    “ Mie.. Miera tak boleh..”

   “ Walaupun sekadar untuk sedapkan hati abang?” Qaiser menduga

   “ Maafkan Miera..”

   Qaiser mengeluh untuk kesekian kalinya. “ Tak apalah. Abang tahu abang tak layak. Maaf kalau abang memaksa Miera.. Assalamualaikum..”

   Emiera pandang telefon bimbit yang sudah dimatikan talian itu. Dari nada suara Qaiser, dia tahu lelaki itu berjauh hati. Ya Allah, sampai bila harus begini? Hati Emiera menggumam lagi.

Friday, December 27, 2013

Cinta Suci (End)


Tiga bulan berlalu..

Fiyrul berjalan merapati Ainul yang kusyuk mengalunkan kitab suci al-quran. Sejuk hatinya melihat perlakuan Ainul. Melihat wanita itu berada dalam telekung sembahyang sudah jelas membuatkan diri Fiyrul yang kepenatan rasa segar.

  Ainul menyudahkan bacaan terakhir. Melihat wajah Fiyrul terjengul di muka pintu bilik dengan briefcase di tangan, pantas Ainul meluru. Terus tangan Fiyrul dia salam dengan rasa hormat.

   “ Kenapa lewat?” soal si isteri sopan. Fiyrul tak terus menjawab. Sebaliknya, dia hadiahkan dahi Ainul dengan ciuman hangat.

   “ Abang banyak kerja dekat pejabat. Ain sihat?” soal Fiyrul. Walaupun setiap hari mereka bersua, soalan itu takkan dia lupa. Ainul tersenyum.

   “ Alhamdulillah, dengan izin Allah.. Ain sihat macam biasa. Suami Ain ni macam mana?” soal Ainul pula. Fiyrul sengih.

   “ Sihat, semenjak jadi suami Ainul Farahin, bertambah-tambah sihatnya..” sakat si suami. Tak sangka, dia dan Ainul akhirnya sah dan halal di sisi Islam. Itupun setelah puas dia berusaha nak tawan hati si isteri dan buktikan dia mampu untuk bimbing Ainul. InsyaAllah, menuju ke JannahNya..

   “ Alhamdulillah juga untuk kesihatan abang..” gumam Ainul lebih kepada dirinya sendiri. Briefcase di tangan encik suami dia ambil sebelum tubuh itu mula berpaling ke belakang. Fiyrul pula lebih selesa melonggarkan ikatan tali leher lalu duduk dilabuhkan di atas sofa sambil mata galak memerhatikan setiap tingkah Ainul.

   “ Sayang..” Tiba-tiba saja suara Fiyrul menyapa halwa telinga Ainul. Ainul menoleh.

   “ Ya?”

   “ Esok sayang free tak?”

   “ Kenapa?”

   “ Esok abang cuti..” Tenang suara Fiyrul. Ainul diam lama. Cuti? Habis tu, apa kena-mengena dengan dia yang free ke tidak?

   “ Jadi?” soal dia. Kening sedikit berkerut. Fiyrul dah senyum herot. Dia bangun, melangkah dengan penuh gaya sambil buka butang kemeja satu-persatu. Ainul mula rasa wajah dia berbahang. Semakin dekat langkah kakinya, semakin Ainul rasa tubuh dia ringan hendak tumbang.

    “ Abang..” Ainul rasa tak selesa pula bila pandangan Fiyrul menjelajahi seluruh tubuh dan laman wajahnya. Beberapa saat berlalu, tawa galak terhambur dari bibir seksi Fiyrul. Fiyrul kenyit mata sebelah.

   “ Gelabah sangat sayang abang ni,” sakat Fiyrul bersama gelak nipis lalu ciuman dihadiahkan di pipi Ainul.

   “ Ain malulah, abang..” Berbisik sedikit suara itu. Fiyrul gelak lantang. Terasa lucu pula.

   “ Esok sayang akan lagi malu, tahu?” ujar Fiyrul penuh makna tersurat.

   “ Kenapa?”

   “ Sebab bila abang cuti, abang nak sayang pun cuti. Sayang kena duduk rumah. Berbulan madu dengan abang dekat rumah ni esok. 24 jam..” Dan Fiyrul kenyit matanya nakal. Ainul sudah terlopong.

   “ Ain tak apply cuti lagi, bang..” sangkal Ainul gundah.

  “ Abang dah tolong Ain apply cuti pun. Hari ni abang penat. Jadi, esok bermulalah honeymoon kita dekat rumah ni..” sakat Fiyrul ditemani gelak lantang. Ainul terngadah. Memerah wajahnya tatkala ini.

   Alah, Ain.. apalah sangat. Dia tu suami kau, tahu? Satu suara berbisik positif. Ainul ukir senyum akhirnya.

******************

Sebulan berlalu..

Bahagia. Hanya itu yang mampu Ainul ungkapkan. Tapi, kebahagiaan itu bagaikan direntap pergi hari ini. Tatkala berita itu yang disajikan untuknya. Perbualan dia dan Catherina bagaikan berulang tayar di peluput telinga.

   “ Fiyrul papa kepada bayi yang I kandungkan..”

   Ainul rasa dunianya seakan berhenti berputar. Wajah dia berubah pucat.

   “ Tak.. saya tak percaya. Dia dan awak dah lama tak ada hubungan. Suami saya dah berubah..” sangkal Ainul pantas. Catherina ketawa mengejek.

   “ Dasar perempuan bodoh!” Dahi Ainul ditunjal sedikit. “ Dia tak puas dengan layanan kau, sebab tu dia cari aku!” Bagaikan panahan petir yang meresap ke hatinya. Ainul rasa dirinya kejung dengan sendiri.

   “ Awak jangan nak menfitnah suami saya, Cik Catherina!” Bergetar suara Ainul. Dia melawan pandangan tajam wanita itu. Catherina senyum mengejek.

   “ Kalau kau tak percaya, cuba kau panggil dia berdepan dengan kita..” cabar Catherina lalu dia menjauh sedikit daripada Ainul. Ainul nampak Catherina bagaikan bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit dan dia yakin tentulah Daryan Fiyrul yang dihubungi.

   “ Lima belas minit lagi dia sampai..” ujar Catherina membuatkan jantung Ainul kembali berdebar kencang. Abang.. abang takkan buat Ain macam ni kan? Abang takkan berzina kan? Ain percaya abang dah berubah.. rintih hati Ainul libang-libur.

   Ainul membawa diri ke hujung sudut. Entah kenapa, hatinya berasa tidak sedap. Dia bagaikan bisa menebak bakal terjadi sesuatu hari ni. Tidak sedar masa berlalu begitu pantas, Ainul terus diterpa sususuk tubuh tegap.

   “ Sayang, are you okay??” Cemas nada Fiyrul sembari membelek-belek tubuh Ainul. Ainul terkesima. Ciuman yang bertalu-talu hinggap di kepalanya cuba dirungkaikan. Hatinya masih memerlukan jawapan. Catherina yang melihat hanya mampu mendengus meluat.

   “ Ain okey, abang..” tolak Ainul lembut. Fiyrul matikan aksinya. Lambat-lambat dia berpaling pada Catherina yang memerhati dengan riak sinis. Tak semena tangan Catherina ditarik kasar. Ainul yang melihat terkedu sendiri.

   “ Berapa kali I perlu cakap dengan you, jangan dekati isteri I?” jerkah Fiyrul dalam nada tertahan. Catherina merentap kasar tangannya.

   “ I cuma nak pastikan you tak mungkir janji!” bentak Catherina. Fiyrul meramas rambutnya rimas.

   “ I akan tunaikan. Anak tu memang anak I. Jadi, you jangan risau. I akan tunaikan. Cuma you perlu pegang kata-kata you.. jangan dekati isteri I. I tak rela ada sedikit calar pun di tu..”

   “ Abang!!” Suara kuat seseorang yang jelas terkejut mematikan bicara Fiyrul. Fiyrul telan liur sendiri.

   “ Sayang.. dengar du..”

   “ Jadi, betullah apa Cik Catherina cakap pada Ain?” soal Ainul kecewa. Pucat lesi wajah Fiyrul. Ya Allah.. apa perlu dia buat sekarang ni? “ Sampai hati abang buat Ain macam ni..”

   Fiyrul hanya mampu menunduk lemah. Maafkan abang, Ain. Abang terpaksa lukakan Ain sebab abang sayangkan Ain sangat-sangat.. luah Fiyrul tidak tahu bagaimana untuk bereaksi.

    Masih dia ingat ugutan Catherina andai dia tidak mahu bertanggungjawab. Ainul yang bakal menjadi galang gantinya. Catherina itu jangan dibuat main. Kadang-kadang jinak dan kadang-kadang menjadi liar dan ganas tanpa bisa ditebak.

***************************

“ Sayang..” Gemersik suara Fiyrul sembari menguak rambut panjang milik Ainul. Rambut panjang dan lembut beralun itu diselit di celah telinga si isteri. Ainul mendongak. Menentang pandangan redup milik Fiyrul yang jelas menunggang terbalikkan rentak hatinya. Oh, dia berdebar!

   Do you know how much I love you?” soal Fiyrul tiba-tiba. Ainul dah tergeliat lidah.

   “ Err..” Ainul sudah garu hujung kening dia. Fiyrul senyum hambar. Tubuh Ainul yang menghadapnya dipusing ke arah depan. Lantas tangan kekarnya sudah siap memeluk kejap pinggang itu sebelum bibirnya dibawa dekat pada telinga si isteri.

   “ Sayang tentu tak tahu kan? Okey.. biar abang describe betapa banyaknya abang sayangkan Ain.” Fiyrul tarik nafas dalam sebelum senyum melatari bibir sensualnya. Ainul sudah rasa seram sejuk bila hembusan nafas encik suami berlabuh hangat di tepi telinganya. Dalam hati berdebar-debar menunggu kata bicara encik suami.

   Every time I look into your eyes, my mind whispers I love you..” Dan tubuh Ainul terus dipusing berhadapannya kembali. Anak mata si isteri ditatap dalam bersama sengihan di bibir. Ainul kejung. Semakin tidak keruan dia dibuatnya. Sungguh dia rasa cair.

   With every beat..” Tangan Fiyrul letak ke dadanya sendiri sambil pejam mata. “ My hearts shouts I love you..” Fiyrul buka mata dia kembali. Pandang Ainul yang jelas nampak terpana. Dia tahu isteri dia tak biasa suasana romantis sebegini. Jadi, dia akan cuba biasakan Ainul dengan cara dia ni.

   With every breath..” Fiyrul tiup lembut pula telinga Ainul sehinggakan mata si isteri sudah terpejam sambil menggeliat geli. Dia nampak tubuh Ainul seakan menggigil. Dalam hati, Fiyrul dah gelak nipis. Naifnya isteri abang.. “ My soul says I love you..” Terus anak mata milik Fiyrul tertancap lama pada wajah Ainul. Sekonyong pipi mulus Ainul dia pegang lembut. “ My mind, heart and soul, live for you and only you. I love you, sayang..” Sambung Fiyrul lagi sekaligus menghabiskan bicaranya. Bersama mata terpejam, ciuman dihadiahkan pada dahi si isteri.

   “ Dah tahu kan betapa banyaknya cinta abang buat Ain?” soal Fiyrul untuk kesekian kalinya. Ainul celik matanya kembali. Merenung jauh ke dalam anak mata milik Fiyrul.

“ Apa yang abang buat pada Ain terlalu melukakan..” Fiyrul sudah sebak rambutnya ke belakang. Semakin lebat air mata Ainul, semakin pedih dia rasakan sudut hatinya. Ah, kenapa dia boleh leka? Kenapa dia boleh hanyut? Bukankah dia pernah berjanji.. hanya Ainul perempuan yang ingin dia miliki.

   “ Abang tak sengaja, sayang. It just happened suddenly..” Fiyrul cuba memujuk. Diraih tangan kecil itu. Wajahnya sudah pamer riak minta simpati. Ainul senyum. Dia takkan cepat melatah.

   “ Bagaimana abang ambil Ain dan angkat darjat Ain dengan cara terhormat, begitu juga Ain nak abang pulangkan Ain pada keluarga Ain..” Terbuntang biji mata Fiyrul mendengar bait kata itu.

   “ Ain!” jerkah dia tanpa sedar. Dan bila dia lihat bahu si isteri teranjak kuat, Fiyrul meraup wajahnya kasar. Oh god, dia semakin keruhkan keadaan.

   “ Abang dah pandai tengking-tengking Ain sekarang..” Suara itu sangat sedih dan sayu meniti di halwa telinga Fiyrul. Fiyrul mendengus kasar. jelas dia nampak tertekan.

   I’m so sorry, dear. Abang tak sengaja..” Fiyrul pujuk kembali hati yang terluka itu. Ainul geleng lalu tangan si suami dia tolak perlahan.

   “ Sekali Ain serahkan hati Ain pada abang, bila abang tak pandai nak jaga.. Ain minta pulangkan kembali ia pada Ain..” Dia nampak setitis air mata mengalir di pipi mulus itu. Ainul senyum hambar lalu mengesat mutiara jernih itu. “ Ain tak patut menangis sebenarnya. Tak patut menangis untuk abang. Tapi.. itulah.. bila hati dah sayang..” luah Ainul hambar. Berpaling dan terus memulas tombol pintu.

   “ Ain.. please, sayang. Give me one more chance..” pinta Fiyrul cuba menghalang. Tapi, Ainul tetap terus melangkah.

***************

“ Abang memang dah gila!” jerkah Natasha naik angin. Fiyrul hanya diam bersama wajah yang dah lencun.

   “ Kenapa abang perlu failkan surat perceraian?” sembur Natasha lagi. Fiyrul tetap juga diam. Jadi inilah pengakhiran hubungan dia dan Ainul? Oh, Tuhan. Terlalu berat diri ini diuji. Fiyrul bangkit dari sofa. Berjalan longlai ke arah balkoni.

   “ Sebab abang tak nak tengok Ain terluka waktu persandingan abang dan Catherina..” luluh hati seorang suami. Natasha menggeleng-geleng.

   “ Catherina tak layak untuk abang!!”

   “ Dan abang tak layak untuk Ain. Langsung tak layak. Dia terlalu berharga untuk abang sedangkan abang terlalu kotor untuk mendampinginya..” jelas Fiyrul berputus asa. Natasha hampir jatuh terduduk.

   “ Sha tak percaya abang buat lagi benda terkutuk tu.. Sha memang tak percaya..” luah Natasha sebak. Fiyrul senyum hambar.

   “ Benda dah terjadi, Sha. Salah abang sebab kecewakan Ain..”

   “ Jadi, abang tak rela waktu lakukan hubungan tu?” soal Natasha sedikit pelik. Pantas Fiyrul beristighfar.

   “ Ya Allah, Natasha. Hina sangat ke abang ni hinggakan seorang isteri pun tak cukup? Abang tak rela, Sha. Abang sayangkan isteri abang. Abang tak mungkin buat macam tu pada dia. Tapi.. itulah. Abang sendiri tak tahu apa yang berlaku, Sha.. Allah!!” Fiyrul jatuh melorot ke lantai. Tersedu-sedan dia menangis bagaikan anak kecil. Ain.. abang rindukan Ain.. sayang! Abang rindu.. hatinya bermonolog hiba.

*****************

“ Tolonglah, Cate. I tak sanggup nak buat Ain macam tu. You hukumlah I apa sekalipun. I tak boleh angkat you jadi isteri I. Diri I cuma nakkan Ainul Farahin. I mohon, Cate..” rayu Fiyrul penuh emosi. Catherina sudah mencerlung wajahnya.

   “ I takkan lepaskan you, Rul! Never! You dah buat I macam ni, you nak lepas tangan? Kita sama-sama suka waktu tu. Takkan you nak I hadap seorang masalah ni??” jerkah Catherina bungkam. Fiyrul terdiam. Bayi itu memang benihnya. Jadi, dia benar-benar dilema.

   “ I tak sedar, Cate!” Geram nada Fiyrul. Catherina simpan senyum sinis. Memang Fiyrul tidak sedar dan sebenarnya.. tiada apa yang berlaku. Tapi, dia perlukan juga Fiyrul untuk menjadi kambing hitam pada bayi yang entah siapa bapanya ini.

   “ Jangan jadikan itu alasan. You dah sedap-sedap dengan I. I nak you kahwin sebelum I buat benda bodoh..” ugut Catherina lagi.

  “ Baik you bunuh aje I, Cate. I tak sanggup tengok Ain menangis siang malam sebab tahu I kena kahwin dengan you..” Fiyrul bangkit berdiri. Wajahnya jelas sudah putus semangat. Andai itu takdirnya, dia rela nyawanya diambil daripada dia perlu melukakan hati Ainul.

   “ You memang nak mungkir janji ke, Daryan Fiyrul??” Meledak suara amukan Catherina.

   “ I terpaksa, Cate. I sayangkan..”

   “ Aku bunuh Ain!!” Aku bunuh Ain!!” pekik Catherina hilang punca. Fiyrul terngadah sendirian. Jantungnya berpalu debar.

*******************

“ Cinta itu sangat unik dan indah, sayang. Sebab tu untuk melepaskannya amat perit..” Ainul mengeras tatkala tubuhnya dipeluk dari belakang. Dia hendak menolak. Tapi, entah kenapa dia bagaikan kaku untuk melawan.

  “ Ain..” Fiyrul balikkan tubuh Ainul menghadapnya. Tatkala wajah manis itu menyentuh pandangan, hatinya terasa dilapah-lapah. Ainul menangis! Dan dia lebih perit kerana terpaksa menangis bisu. Membasuh sendiri luka-lukanya.

   “ Ain, dengar sini.. sayang.” Fiyrul apit kedua-dua pipi Ainul. Ainul mendongak. Wajah tampan itu diratah penuh sayu. “ Walau apa pun pengakhiran hubungan kita, percayalah.. cinta abang pada Ain sangat suci.” Fiyrul tahan sebak. Ainul pula hanya ditemani esak kecil.

   “ Jangan pernah menangis untuk abang sebab abang tak layak. Abang dah hancurkan hati Ain. Kalaulah abang sendiri yang boleh ubah takdir abang, abang akan ubah satu aje. Abang akan ubah supaya hubungan abang dan Ain kekal untuk selamanya. Tapi, abang tak mampu..”

   “ Kenapa buat Ain macam ni, abang? Semua Ain dah serahkan, kenapa abang perlu cari dia?” soal Ainul lirih. Fiyrul geleng kepalanya berkali-kali.

   “ Maafkan abang, sayang. Semua tu berlaku dengan mendadak. Abang minta maaf. Hukumlah abang.. tapi tolong jangan benci cinta abang. Bersaksikan Tuhan yang satu, abang terlalu cintakan Ain. Nyawa abang galang gantinya, Ain..” ujar Fiyrul bersungguh-sungguh. Air mata jantannya mengalir sayu. Dua jasad itu bersatu erat. Maisng-masing menghamburkan tangisan sayu.

********************

Ainul rasa hatinya semakin berdebar-debar kali ini. Bagaikan setiap gerak-gerinya diawasi. Peluh mula merenik dengan sendiri.

    Dia mengerling ke arah luar pagar. Kereta berwarna putih itu sedari tadi terparkir di hadapannya rumahnya. Baru dia nak melangkah dekat, susuk tubuh seseorang keluar dari kereta mewah itu. Ainul terkaku ke bumi.

   Dan saat dia nampak susuk tubuh itu seakan mengacu sesuatu padanya, Ainul sudah menggigil kuat. Dia hendak berganjak, tapi kaki bagaikan digam sehinggalah..

   “ Cate, jangan!!!” jerit suara seseorang diikuti dengan bunyi sedas tembakan. Ainul kaku. Lidahnya bagaikan terpasung ke lelangit.

   Perit, pedih.. hanya itu yang dia rasa di segenap tubuhnya. Subhanallah.. malaikat sedang menjemput akukah? Hati Ainul berkata-kata. Namun, sesaat dia bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Pantas tangan meraba-raba dirinya. Tiada langsung sebarang kecederaan. Lantas, siapa yang menjadi sasaran?

   “ Ain.. Ain, sayang..” Begitu payah Fiyrul bertutur. Darah sudah berlumuran membasahi bajunya. Melihat keadaan itu, Catherina yang menggigil ketakutan pantas memecut keretanya dengan laju.

   “ Ya Allah, abang!!” Ainul meluru ke dalam dakapan Fiyrul yang tercungap-cungap menahan nafas. Kepala itu dipangku. Darah membuak-buak keluar dari dada Fiyrul. Gemuruh hati Ainul melihatnya.

   Fiyrul genggam tangan Ainul dengan payah. “ Ain..” Tersekat-sekat suara Fiyrul. Melihat wajah yang sudah menangis itu, dia jadi semakin sayu. “ Jangan menangis, Ain. Please.. jangan menangis. Biarkan abang tatap wajah Ain yang tersenyum sebelum abang pergi. Supaya abang tahu abang pernah bahagiakan Ain..” tutur suara itu dengan payahnya.

   “ Abang, Ain minta maaf. Tolonglah, jangan tinggalkan Ain. Ain rela berpisah dengan abang tapi bukan dengan cara macam ni. Tolonglah, abang..” tangis Ainul sendu. Menggila lebatnya.

   “ Ain pernah bahagia kan dengan abang?” soal Fiyrul bersama mata yang sudah hampir terpejam. Ainul gamam.

   “ Abang.. buka mata, abang. Tolonglah Ain, abang..”

   “ Ja.. jawab soalan abang, Ain..” pinta suara itu semakin mencungap.

   “ Ain pernah bahagia dengan Daryan Fiyrul. Sangat..” jawab Ainul sudahnya.

   Fiyrul senyum hambar. Dia rasakan dadanya semakin mencengkam perit. “ Terima kasih, sayang. Terima kasih kerana sudi senangkan hati abang. Abang.. terpaksa pergi dulu, Ain. Jaga diri.. abang sayang Ain. Ingat..” Tangan Ainul semakin digenggam erat. Wajah Fiyrul semakin kuat menahan perit. Berkerut-kerut sakit!

   “ Cinta abang sangat suci untuk Ain..” Dan serentak dengan itu, tangan itu sudah terkulai layu menyembah bumi. Ainul sudah meraung kuat.

   “ Jangan tinggalkan Ain!!” jerit Ainul hilang pedoman.

   “ Ya Allah..” Natasha yang baru tiba terjelopok jatuh.

*******************************

“ Semoga tenang di sana. Ain maafkan setiap dosa awak pada Ain..” ucap Ainul bersama setitis air mata. Air mawar disiram ke pusara yang masih jelas nampak merah itu.

   Begitulah lumrah seorang manusia. DaripadaNya kita datang, kepadaNya juga kita bakal kembali..

   “ Sayang..” Suara seseorang membawa Ainul berpaling ke belakang. Seketika, senyumannya melebar. Buru-buru dia membantu Fiyrul yang berjalan penuh hati-hati itu.

    “ Kesian baby tak sempat nak jenguk dunia..” ujar Fiyrul lirih. Ainul usap dada bidang itu. Di sebalik dada yang dibaluti t-shirt itu, dia tahu luka itu masih belum sembuh sepenuhnya.

   Baby dah jumpa dengan pencipta-Nya. Kita doakan yang baik-baik saja untuk dia dan arwah ibunya..” pujuk Ainul luhur. Fiyrul mengeluh berat. Langsung tidak percaya Catherina akan pergi dengan membawa bayi itu bersama. Catherina terlibat dalam kemalangan pada hari yang sama dia ditembak oleh gadis itu.

   “ Ain maafkan Cate?” soal Fiyrul lurus. Ainul senyum.

   “ Siapa Ain untuk tidak memaafkan dia, abang? Dia pun sempat jumpa Ain sebelum hembuskan nafas yang terakhir. Dia juga pesan pada Ain.. dia minta maaf pada abang..” Tulus nada Ainul berlagu lembut. “ Abang maafkan dia?” soal Ainul pula. Fiyrul hirup nafas lama.

   “ Dengan izin-Nya, DIA lembutkan hati abang untuk maafkan arwah Cate. Cuma, abang terkilan kenapa dia sanggup menipu tu anak abang..” luah Fiyrul kecewa.

   “ Benda dah berlalu, jangan dikenang lagi. Ain bersyukur abang selamat walaupun tiga hari abang koma tak sedarkan diri..” ucap Ainul lagi. “ Kita balik, abang. Hari dah lewat ni..” ajak Ainul lalu mereka berpamitan meninggalkan perkarangan tanah perkuburan itu.

*******************

Ainul leka memandang dada langit. Kerusi dan meja batu yang sengaja diletakkan di halaman rumah itu berfungsi juga di kala ini. Ainul menyandar pada kerusi sebelum dia dapat rasa pipinya disapa dengan sesuatu yang lembap. Ainul menoleh. Sesaat, bibirnya menyingkap senyum lebar. Daryan Fiyrul!

   “ Abang.. kenapa keluar ni? Kan Ain suruh rehat dekat dalam. Luka tu masih belum sembuh sepenuhnya..” tukas Ainul seraya menggapai lengan sasa itu. Fiyrul tersenyum cuma. Duduk dilabuhkan di sebelah Ainul.

   “ Abang bosanlah sorang-sorang dekat dalam. Ain boleh pula tinggalkan abang. Lepas tu lepak dekat sini. Tak sayang abanglah tu..” sakat Fiyrul lalu mencuit manja hidung isterinya. Ainul tersenyum senang.

   “ Memang tak sayang..” Sengaja Ainul hendak menyakat. Terus buntang biji mata Fiyrul.

   “ Sampai hati sayang..” rajuk Fiyrul lalu melarikan wajahnya.

   “ Ain memang tak sayang. Tapi, Ain cinta dan kasihkan suami Ain ni. Kalau dah cinta, dia merangkumi semua aspek tau? Sayang dah siap pakej sekali dekat dalam tu..” Petah sekali Ainul berbicara. Fiyrul menoleh semula. Wajahnya bercahaya.

   “ Ain tak tipu, abang?” soal Fiyrul penuh semangat. Anak mata itu menghantar rasa cinta yang sarat untuk Ainul.

    Ainul senyum. Kepala didongak ke langit. “ Bersaksikan Allah S.W.T yang melihat hubungan kita terjalin berlandaskan redhaNya, Ain sangat-sangat mencintai abang. Ain yakin abang jodoh terbaik yang DIA ciptakan untuk Ain..” Telus kata-kata itu meniti di halwa telinga Fiyrul. Bergenang tubir mata itu. Terharu!

   “ Terima kasih sebab pernah hadir dalam hidup abang. Membawa abang pulang ke jalan lurus..” Sebak Fiyrul menutur kata. Ainul menggeleng perlahan. Tangan dia dan Fiyrul disulamkan.

   “ Tugas Ain sebab kita diciptakan untuk saling membantu mana yang tergelincir. Melengkapkan mana yang masih kosong dengan rahmatNya. Dan Ain tak pernah menyesal kenal abang. Bila Ain kenal abang, Ain dapat pelajari banyak benda. Salah satunya erti kesabaran..”

   Kening Fiyrul terjongket. “ Kesabaran?” soal si suami pelik. Ainul angguk dengan wajah mengusik.

   “ Kesabaran sebab..” Ainul leretkan senyuman dia. Dia bersedia untuk bangkit.

   “ Sebab apa, sayang?”

   “ Sebab dulu suami Ain ni nakal sangat tahu? Selalu degil.. kacau-kacau Ain meskipun Ain dah puas tolak dia..” Serentak dengan itu Ainul sudah berlari kecil ke dalam rumah. Fiyrul yang baru tersedar pantas menjerit nama isterinya.

   “ Ainul Farahin! Kenakan abang eh?” teriak Fiyrul pula. Manja saja nadanya. Dia bangkit mengejar langkah si isteri.

   “ Ain bercakap fakta yang betul..” jerit Ainul dari jauh. Dia tergelak-gelak sebelum lariannya mati dengan sendiri.

   “ Ain, sayang. Aduh..” Fiyrul mengaduh di hujung sana. Tak tunggu lama, Ainul pantas berlari mendapatkan suaminya kembali. Wajahnya cemas. Riak bimbang jelas terlakar.

   “ Maafkan Ain, abang. Ain lupa luka abang masih belum sembuh..” Kalut Ainul bersama tubir mata yang bergenang. Bila-bila masa saja akan tumpah. Tambah-tambah lagi tatkala melihat wajah berkerut-kerut Fiyrul.

   Sesaat.. dua saat.. Ainul tergamam saat tangan halusnya tiba-tiba dipegang. Dia kaget. Fiyrul senyum manis sambil membawa tangan itu ke dadanya.

   “ Sakit di dada ni tak mungkin akan sesakit hati Ain waktu tahu abang pernah terlanjur dengan Cate dan waktu abang khabarkan abang akan bernikah dengan Cate kan?” selar Fiyrul tiba-tiba. Ainul terkesima. Kenapa itu pula yang dibangkitkan?

   “ Abang cakap apa ni? Kan semua tu tak berlaku..” soal Ainul perlahan.

   “ Ain tolong papah abang ke sana, boleh?” tunjuk Fiyrul ke arah bangku yang mereka duduki tadi. Ainul cepat saja mengangguk. Tubuh tegap itu dipapah seperti yang dipinta Fiyrul.

   Usai saja tubuh itu didudukkan, Ainul hendak mengambil tempatnya pula.

   “ Tak payah.. duduk sini..” arah Fiyrul lalu menepuk-nepuk ribaannya. Ainul buat muka serba-salah.

   “ Ain bukan tak nak, abang..” Ainul kemam bibir. Bimbang suaminya berkecil hati. “ Tapi, Ain takut Ain sakitkan abang. Luka tu..”

   Tak sempat Ainul nak bersuara lanjut, Fiyrul sudah tarik tubuh itu jatuh ke ribanya. Sesaat, pinggang Ainul dipeluk kejap. Fiyrul pejam mata. Terima kasih untuk kebahagiaan ini, Ya Tuhan.. sempat hatinya mendesis.

   Kepala dijatuhkan pada bahu Ainul. Manja sekali!

   “ Ain tahu kan abang sayang Ain?” soal Fiyrul memulakan bicara. Ainul tak menjawab. Tapi, Fiyrul dapat rasakan si isteri mengangguk.

   “ Ain tahu banyak mana sayang abang pada Ain?” Soalan yang sering kali Fiyrul tanya. Ainul angguk.

   “ Dulu abang pernah cakap..”

   “ Itu dulu. Sekarang abang nak bagitahu banyak mana abang sayangkan Ain..” Fiyrul angkat kepalanya dari bahu itu. Tapi, sempat dia cium kepala yang dilitupi tudung itu. Ainul yang sering menjaga aurat.

   “ Cuba Ain pandang langit..” suruh Fiyrul tiba-tiba. Ainul menoleh. Serta-merta hidung dia bertemu dengan bibir Fiyrul. Merah wajahnya sedangkan Fiyrul sekadar mengenyit mata. “ Tengok abang buat apa? Pandang atas sana..” suruh Fiyrul lagi. Ainul akur.

   “ Cantikkan ciptaanNya?” soal Fiyrul. Ainul angguk. “ Cuba sayang kira bintang di langit tu. Jangan tertinggal walaupun satu..” pinta Fiyrul. Ainul kembali jatuhkan wajahnya.

   “ Kenapa?” Sepatah Fiyrul soal.

   “ Banyak.. nanti mata Ain sakit kena tumpu satu-satu..” Polos saja nada Ainul. Fiyrul ketawa kecil.

   “ Sebab tu abang suruh Ain kira. Abang tahu Ain mesti tak mampu kan? Betapa banyaknya bintang kat langit sekarang. Betapa luasnya dada langit ni hanya Allah yang tahu. Dan begitu juga luasnya cinta abang untuk Ain..” tulus suara Fiyrul. Ainul senyum kecil.

    Teragak-agak dia menoleh ke sisi. Tangan yang membelit pinggangnya digenggam halus. “ Ain pun sayangkan abang..” ujar Ainul membuatkan hati Fiyrul bagaikan dilambung ombak. Gembira sakan.

   “ Buktikan..” suruh Fiyrul pula. Ainul sengih cuma. Tangan yang digenggam itu dibawa ke perutnya.

   “ Buktinya ada dekat sini..” Dan saat ini jantung Fiyrul melantun deras.

   “ Ain?” soal dia dengan kening terjungkit.

   “ Dah hampir dua bulan..”

  “ Subhanallah.. Maha suci Allah..” Fiyrul jelas nampak gembira.

   “ Ain nak tahu tak, sayang? Kenapa abang bangkit kembali dari koma?” soal Fiyrul sejurus kemudian. Ainul diam. Tapi, Fiyrul tetap bercerita.

   “ Waktu abang koma, abang didatangi seorang perempuan yang persis bidadari. Cantik sangat, Ain. Dia tutup wajahnya dengan niqab..”

   “ Macam mana abang tahu dia cantik andai wajahnya ditutup?” selar Ainul.

   “ Melalui sepasang matanya yang cantik.” Penuh makna jawapan Fiyrul. “ Melalui anak mata itu, abang nampak kesedihannya. Bagaikan menyuruh abang bangkit dari lena abang. Dan bila abang hendak dapatkannya, kaki abang bagaikan digam sehinggalah dia mula melangkah pergi. Tapi, saat dia melangkah.. abang nampak ada seorang kanak-kanak kecil yang berlari mendapatkan perempuan tu..”

   “ Abang rasa tu, Ain?” soal Ainul polos. Fiyrul mengangguk.

   “ Abang yakin tu isteri abang..” ujar Fiyrul yakin.

   “ Kenapa?”

   “ Melalui sepasang mata yang cantik tu. Isteri abang pun mempunyai mata yang cantik. Sesuai dengan nama, Ainul Farahin..” puji Fiyrul luhur.

   “ Ain takut sangat kehilangan abang waktu tu..” adu Ainul tiba-tiba. Dadanya sebak. Tak dapat dibayangkan andai waktu itu Fiyrul pergi meninggalkannya.

   “ Selagi Allah kata abang perlu berada di sisi Ain, abang takkan pergi.. sayang. Mungkin sebab tu Allah lanjutkan usia abang. Supaya abang dapat bersama-sama Ain besarkan anak kita. Doa abang.. semoga anak yang bakal lahir ni akan jadi anak yang soleh dan solehah hendaknya..”

   “ InsyaAllah, abang..”

   “ Terima kasih sebab sudi terima abang yang hina ni dahulu. Sudi pimpin abang ke jalan yang benar. Kalau tiada Ai..”

   Shhh.. Ain cuma perantarannya, abang. Tapi, semua tu hidayah Allah dan kehendak abang sendiri..”

   “ Maksud Ain?”

   “ Allah takkan mengubah sesuatu yang ada pada kita melainkan kita sendiri yang mahu berubah, abang..” tutur Ainul lebih mudah difahami. Fiyrul terdiam seketika.

   “ Ain nampak keikhlasan abang untuk berubah sebab tu Ain bantu..” Ainul senyum lagi. “ Dan Ain nampak sinar mata yang sering menghadirkan cinta suci untuk Ain. Alhamdulillah.. cinta kita masih berpaksikan DIA..” Ainul kerling sekilas ke dada langit. Terima kasih Allah.. ucap dia.

   “ Mudah-mudahan, sayang. Abang harap cinta ini akan membawa kita ke Jannah. Janji dengan abang, Ain.. andai abang ada tergelincir, tolong tegur abang. Abang tak nak terus hanyut..”

   “ Abang pun janji dengan Ain. Kalau Ain ada buat salah, abang tegur ye?”

   “ Tugas abang, Ainul Farahin..” Fiyrul senyum. “ Ain tanggungjawab abang, amanah abang untuk abang tambahkan bilangan penghuni wanita di syurga. InsyaAllah, selagi Ain patuh pada suami. Begitu mudah kan Allah janjikan syurga untuk hambaNya?” ujar Fiyrul menghayati kebesaran Allah S.W.T. Sekilas, tubuh itu kembali dipeluk erat.

   Sungguh jiwanya tenang. Hatinya damai ditemani rahmat yang tiada terperi. Benarlah kata orang, cinta yang bersaksikan redha Allah S.W.T itu lebih tinggi nilainya berbanding cinta yang dihiasi bisikan-bisikan syaitan.

   Fiyrul bersyukur sangat kerana Ainul adalah zaujah yang dijanjikan untuknya. Janjinya pada diri sendiri, akan dia jaga CINTA SUCI ini sebaik-baiknya. Semoga cinta ini juga yang akan dia temui di sana nanti.. InsyaAllah..

   Daryan Fiyrul, dilihat pada nama.. tentu ramai menyangka empunya nama itu berperwatakan jahat, kaki perempuan. Tapi, bagi Ainul Farahin.. mengenali seseorang itu bukan pada namanya. Bukan pada pandangan kasarnya, tapi pada hati. Ya, pada sekeping hati yang luhur. Nescaya itulah yang sebaik-baiknya. Jangan terlalu cepat membuat konklusi. Kenali hati seseorang sebelum kita menjatuhkan hukum.

   Dan dia yakin.. pemilik nama Daryan Fiyrul bin Tan Sri Darius ini adalah sebaik-baik lelaki yang dikurniakan untuknya. Ain sayang abang sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.. ujar Ainul dalam hati lalu pipi itu dia pegang kemas. Masing-masing bertatapan. Menghantarkan rasa cinta yang tidak terperi. Semoga rasa ini akan kekal buat mereka.

Tamat