PeNgiKuT sEtiA..

Tuesday, May 21, 2013

Dia Yang Kau Pilih Bab 3


BAB 3

Rifqi duduk di birai katil. Wajahnya lesu. Bibirnya bergetar menahan sebak. Kenapa dugaan ini terlalu berat, Ya Allah? Tanpa sedar, air matanya mengalir lesu. Teresak-esak bagaikan anak keci. Tiada lagi Izz Nufail Rifqi yang gagah, yang tinggal hanyalah lelaki cengeng yang menangis kerana cinta.

   “ Menangis itu tak salah, Rif.” Suara seseorang menyapa membuatkan Rifqi tersentak. Pantas dia mengesat pipinya yang basah. Namun, Nek Cah sudah tahu dan nampak segalanya. Dia mengambil tempat di sisi Rifqi. Wajah itu ditentang dengan rasa belas.

   “ Nek.. Rif tak nangislah. Rif okey ni,” tutur Rifqi cuba menyembunyikan gelodak rasa. Wajahnya diriakkan tenang. Namun, tidak dapat disorok hatinya kini sedang luka parah. Nek Cah membelai rambut lurus Rifqi.

   “ Kenapa tak berterus-terang?” Nek Cah berteka-teki. Rifqi tersentak. Pantas, dia menoleh ke wajah tua itu dengan dahi berkerut.

   “ Apa maksud nenek?” soal Rifqi bersama jantung yang dah mula berubah rentak. Lari daripada temponya. Sudut hatinya bergetar seribu. Nek Cah senyum nipis. Bila wajah tua itu tersenyum, kedut di wajah semakin terserlah.

   “ Nenek tahu perasaan Rif. Rif tak perlu sorokkan daripada nenek. Cuma nenek nak pesan, jangan ikutkan rasa hati. Nanti kamu juga yang merana. Kalau perlu berterus-terang, pilihlah jalan itu. Kalau perlu diamkan, buang perasaan yang dah mekar tu.” Nek Cah bersuara sebelum dia bingkas bangun. Membiarkan Rifqi termangu sendirian. Lama.. barulah Rifqi faham kata-kata neneknya.

   “ Nek..” panggil Rifqi sekaligus mematikan langkah Nek Cah di sudut pintu. Nek Cah berpaling.

   “ Rifqi nak sambung belajar ke luar negara, nek. Rifqi nak lupakan dia. Nenek izinkan?” soal Rifqi bersama wajah muram.  Riaknya serba-salah. Dia bimbang juga hendak tinggalkan neneknya seorang diri di kampung.

   “ Pergilah kalau itu yang terbaik. Jangan risaukan nenek. Orang kampung ada.” Usai meluahkan kata, Nek Cah segera melangkah. Hati tuanya tidak sanggup melihat mendung di wajah cucu kesayangannya itu. Tuhan, kuatkan hati Rifqi.. cucuku. Doa Nek Cah bersama genangan air mata sayu.

Rifqi duduk termenung di atas anak tangga rumah kayu milik Nek Cah. Matanya sayu memandang ke halaman yang menghijau. Mengharapkan sedikit ketenangan. Seketika, anak matanya terasa kabur dengan linangan air mata. Ya Allah, aku seorang lelaki. Kenapa aku menjadi lemah sebegini hanya kerana seorang perempuan? Dia bukan tercipta untuk aku. Bantulah aku untuk melupakan dia, Ya Allah.. doa Rifqi penuh syahdu.

   “ Assalamualakum, Rif..” Satu suara menyebabkan Rifqi tersentak. Jantung memalu kuat. Kalut dia menghapuskan sisa jernih yang menghiasi laman matanya yang sayu itu. Spontan dia berpaling. Menatap tuan empunya tubuh yang jelas tersenyum mesra.

   Seketika senyuman Sofea mengendur. Rifqi menangis?? Detik hatinya aneh. Lantas, dia memanjat anak tangga lalu melabuhkan duduk di sebelah Rifqi. Rifqi melarikan wajah. Sofea pula menjengah sedikit. Hendak memastikan apa yang dia lihat tadi adalah benar. Plastik yang dijinjit diletakkan di atas anak tangga.

   “ Rif, Rif menangis? Kenapa? Nek Cah sakit ke?” soal Sofea kalut. Tika ini, Sofea sudah bertindak hendak mencari Nek Cah. Namun, langkahnya terbantut pabila lengannya disambar.

   “ Fea, tak. Nek Cah tak sakit. Errr..” Rifqi mula tersedar. Sofea kaget. Anak matanya tunak singgah di situ. Rifqi juga nampak terkejut. Wajahnya mula serba-salah. Walaupun berlapik, dia bimbang kelakuannya nampak jengkel pada pandangan mata Sofea.

   “ Fea, maaf..” ujar Rifqi lalu menunduk. Wajahnya jelas menunjukkan dia tak sengaja. Sofea mula melorek senyum. Dia tahu lelaki itu tidak sengaja. Malahan, boleh dipuji sikap Rifqi. Lelaki yang tidak pernah mengambil kesempatan.

   “ Tak apa, Fea tahu Rif tak sengaja. Rif.. ada masalah ke? Kalau betul bukan sebab Nek Cah, habis sebab apa? Tak nak bagitahu Fea?” Sofea kembali melabuhkah duduk. Rifqi angkat wajah. Lama wajah cantik itu ditenung.

   “ Rif okey, Fea.” Rifqi bersuara. Namun, jelas kedengaran mendatar. Sofea kerutkan kening. Dia seakan dapat menghidu ada sesuatu yang Rifqi sorokkan.

   “ Rif ada sorokkan sesuatu daripada Fea?” tebak Sofea penuh curiga. Rifqi pantas menggeleng.

   “ Ta.. tak adalah. Rif mana pernah sorok apa-apa dari Fea,” sangkal Rifqi laju. Sofea mula melorek senyum kembali. Senyum yang jelas hendak mengusik.

   “ Gaduh dengan girlfriend eh? Oh.. ada girlfriend tak nak cakap..” usik Sofea menyebabkan Rifqi semakin sebak. Fea.. dalam hati Rif tak pernah ada perempuan lain. Cuma, Sofea Liyana. InsyaAllah, akan Rif jaga hati ini untuk Fea meskipun dia yang Fea pilih. Rif dah tak ada hati untuk mana-mana perempuan, Fea.. bisik hati Rifqi sendu.

   “ Rif.. Rif.. okey ke tak ni? Tengok tu, khayal lagi.” Rifqi tersentak tatkala wajah Sofea benar-benar dekat dengan wajahnya. Dia berdehem beberapa kali cuba mengusir gusar.

   “ Err.. Rif tak ada girlfriendlah, Fea. Suka tahu tuduh Rif. Fea datang rumah ni kenapa?” soal Rifqi mula mengubah topik. Sofea tepuk dahi. Seakan mula mengingati sesuatu. Plastik yang diletakkan di belakang dicapai lalu dihulur pada Rifqi. Rifqi tercengang-cengang.

   “ Apa ni, Fea?” soal Rifqi terpinga-pinga. Namun, plastik tetap bersambut. Sofea sengih ceria.

   “ Baju untuk Rif dan Nek Cah. Masa majlis Fea nanti, Fea nak Rif dan Nek Cah pakai baju sedondon dengan tema majlis Fea. Rif dan Nek Cah kan macam keluarga Fea jugak. Pakai eh?” Suara gadis itu benar-benar ceria. Rifqi tahan hati. Bahagia Fea adalah bahagia aku juga. Tapi.. maaf, Fea. Rif takkan dapat pakai baju ni sebab waktu tu Rif akan pergi tinggalkan Fea. Tekad Rifqi.

   “ Terima kasih, Fea.” Baju melayu berwarna biru firus dan sepsang baju kurung saiz Nek Cah itu ditatap lama.

   “ Cantik tak baju  Nek Cah tu, Rif?” sela Sofea masih dengan nada ceria. Yelah.. orang nak bergelar isteri tidak lama lagi. Rifqi angguk saja. Sofea lega. Bimbang juga andai pilihannya tidak kena nanti.

    “ Kejap ye?” sela Rifqi lantas ingin bangkit. Sofea tercengang.

   “ Nak pergi mana, Rif?” sela Sofea pelik.

   “ Rif nak masuk ambil duit. Nak bayar harga baju ni..” Selamba Rifqi menjawab. Wajahnya jelas nampak hambar. Sofea mengeluh.

   “ Rif.. baju tu hadiah Fea untuk Rif dan Nek Cah. Tak perlu bayar.” Sofea menjelas. Rifqi tayang wajah tidak selesa.

   “ Tapi, Fea..” Rifqi mula hendak menyangkal.

   “ Jangan risau. Bukan duit Had. Duit Fea. Percayalah..” pangkas Sofea seakan memahami. Rifqi hela nafas lega. Kalau boleh, dia tak nak terhutang budi dengan Hadri. Dia tidak mahu mengambil ihsan orang lain. Selama ini pun dia banyak menyusahkan Sofea. Takkan kali ini bakal suami Sofea juga ingin diheret sama?

   “ Rif tak nak susahkan Fea..”

   “ Rif.. selama kita kenal, Fea tak pernah anggap Rif menyusahkan. Baiklah.. anggap pemberian Fea tu sebagai hadiah, boleh? Hari jadi Rif pun tak lama lagi kan? Lagi sebulan kan? Okey.. tu hadiah Fea untuk Rif. Boleh macam tu?” jelas Sofea penuh harapan pemberiannya diterima Rifqi. Rifqi terdiam kaku seketika. Dia mengeluh kecil.

   “ Baiklah kalau dah itu kata Fea. Terima kasih, Fea,” sela Rifqi mengalah. Sofea senyum lega sebelum dia mengamati lama wajah tidak ceria Rifqi.

   “ Rif.. kenapa Rif nampak lain? Tak ceria macam selalu?” soal Sofea jelas curiga. Rifqi senyum hambar. Ceria Rif dah hilang semenjak Rif tahu Fea bakal jadi milik orang lain. Bisik hati Rifqi. Namun, kedatangan Nek Cah seakan menyelamatkan dia.

   “ Fea, dari mana ni?” Nek Cah yang sudah lama memerhati sekadar melepaskan Rifqi dari soalan Sofea. Dia tahu Rifqi buntu untuk menjawab. Sofea berpaling lantas bangkit hendak menyalami tangan tua itu.

   “ Fea dari bandar. Nek.. ni Fea ada belikan nenek dan Rif baju waktu majlis Fea. Harap nenek suka.” Sofea bersuara ceria. Nek Cah sekadar melirik wajah Rifqi yang jelas menunduk. Kenapa Fea tak pernah sedar perasaan Rif? Nek Cah bermonolog.

   “ Oh.. terima kasihlah, Fea. Susah-susah aje.” Nek Cah berbasi-basa. Sofea tarik senyum.

   “ Nek.. Fea nak balik dululah. Dah petang ni. Rif.. Fea balik dulu ye? Jangan lupa nanti pakai baju tu waktu majlis Fea.” Sofea meminta diri. Nek Cah mengeluh dalam diam. Rifqi mendongak sebelum mengangguk kecil. Hilang saja kelibat Sofea, Rifqi bangkit dari tempat yang diduduki.

   “ Nek.. tolong simpan pemberian Fea untuk Rif.” Rifqi menghulurkan bungkusan plastik itu. Nek Cah faham maksud Rifqi. Rifqi akan pergi sebelum majlis Sofea tiba. Jadi, baju itu sudah tiada gunanya. Sebelum sempat tubuh sasa itu melewati susuk tubuh tuanya, Nek Cah memegang lembut pipi Rifqi. Bibirnya mengukir senyum tipis. Senyuman yang jelas hambar tanpa seri.

   “ Sabar, cu. Dia bukan milik Rif. Redha dan terima hakikat ye?” pujuk Nek Cah faham apa yang Rifqi alami. Rifqi genggam kembali tangan tua itu sebelum dia angguk dengan tekad yakin. Ya, Fea bukan untuknya. Fea untuk Had. Rif.. kau perlu redha. Redhalah untuk kebahagiaan Fea. Bahagia Fea adalah bahagia kau, Rif. Detik hati Rifqi bersama genangan mutiara jernih.
   

Sunday, May 5, 2013

Misi Mencari Cik Ikhlas (End)


END

Syed Amir Ridza tersengih-sengih sendiri. Wajahnya bagaikan khayal akan kenangan lalu. Sampai sepet mata dibuatnya dek sengihan yang lebar menghiasi bibir sensualnya. Seketika, dia terasa bahunya disentuh lembut.

   “ Sayang..” Meleret-leret bibir itu menyeru  isteri tercinta. Sara tersenyum nipis. Lantas, duduk dilabuhkan disebelah suaminya yang duduk menghadap televisyen. Entah cerita apa entah suaminya tengok, dia malas nak ambil tahu.

   “ Kenapa naik atas tak tunggu Ara? Penat Ara tahu layan tetamu sorang-sorang.” Sara bersuara sedikit merajuk. Amir tersenyum. Bahu Sara dipaut rapat ke tubuhnya. Seketika, tudung yang membelit kepala si isteri dirungkai perlahan. Sara hanya akur.

   “ Wanginya rambut dia..” Amir mencium lembut rambut hitam pekat milik Sara. Sara menolak tubuh suaminya sedikit menjauh. Nampak dah tanda-tanda Amir bakal hanyut kejap lagi. Jadi, lebih baik dia bertindak dulu.

   “ Abang, jangan eh? Ara tanya ni. Kenapa tinggalkan Ara kat bawah sorang-sorang? Dahlah kena layan VIP. Ara payah tahu nak sesuaikan diri tadi. Tak baik buat Ara macam ni.” Sara berpeluk tubuh. Tangan disilang satu sama lain di dadanya. Tanda protes.

   “ Hey, look at me.. my dear.” Amir pegang pipi gebu Sara. Sara mencebik. Amir tergelak lucu. Alahai.. comelnya muncung dia. Kang ada yang kena kiss nanti. Giat hati Amir nakal.

   “ Abang memang sengaja buat sayang macam tu,” sela Amir selamba. Terjegil biji mata Sara.

   What??” Sara terjerit geram.

   “ Hah.. jangan nak melenting dulu. Ara dah jadi isteri abang ni. Kalau marah-marah suami, tak baik. Berdosa..” Amir mengugut secara halus. Sara terpempan. Oh, lupa pula makhluk Allah paling tak kacak ni suami aku rupanya. Ceh, masa gaduh bolehlah cakap tak kacak. Huh!

   “ Abang suka buat Ara macam ni.” Sara tarik muncung lagi panjang dari tadi. Siap-siap boleh diikat tocang kuda.

   “ Abang buat apa, sayang? Abang tak buat apa-apa pun.” Amir masih nak mengusik. Sara mula hendak bangun. Geram. Namun, sempat Amir halang. Tangan kecil itu digenggam sebelum dikucup lembut.

   “ Okey-okey, abang mengaku memang abang sengaja. Bukan apa, sayang. Abang nak sayang belajar sesuaikan diri dengan keluarga abang. Pasal tinggalkan sorang-sorang tu, abang nak tengok keikhlasan sayang kahwin dengan abang. Tapi, dari layanan sayang pada keluarga abang, abang yakin dan pasti sayang ikhlas dengan abang. Betul tak, sayang?” Amir mengelus-elus lembut pipi Sara.

   “ Eee.. perasannya cakap orang ikhlas kahwin dengan dia,” ejek Sara tiba-tiba. Terkesima Amir dibuatnya. Eh??

   “ Ara tak ikhlas? Sampai hati, Ara. Okey, abang merajuk macam ni. Malam ni, tak ada malam pertama. Baik abang tidur dengan Mizal aje. Sampai hati..” Amir sentap. Siap ugut tak ada malam pertama lagi. Eleh, macam Sara kesah sangat kan?

   “ Okey.” Sara menjawab mudah. Kini, giliran Amir pula terlopong.

   “ Yangggg…” rengek Amir berjela-jela. Sara tahan senyum. Segera dia bangkit. Malas nak layan perangai mengada-ngada Amir.

   “ Ara nak keluar dulu, okey? Nanti apa pula kata saudara-saudara kat bawah.” Terus Sara lesap dari bilik meninggalkan Amir merajuk sendirian.

   Amir rasa macam nak menangis guling-guling aje. Boleh jadi isteri dia buat selamba tapir aje bila dia merajuk. Huh, sadisnya nasib kau, Syed Amir Ridza. Amir mengeluh sendiri sebelum iphone 5 miliknya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk. Pantas Amir mendapatkan gajet itu dengan langkah longlai.

   Sejak abang lafazkan akad untuk memiliki Ara, Ara dah lapangkan dan ikhlaskan diri Ara untuk abang. Hanya untuk Syed Amir Ridza. ~ Sara Aisyah

  Pesanan ringkas yang diterima benar-benar membuatkan Amir tersenyum lebar. Ceh, ingatkan betul-betul tak nak pujuk tadi. Bisik Amir sangat bahagia.

Sara menapak perlahan ke dalam kamar beradunya. Pintu ditutup perlahan sebaik saja kakinya sudah menjejak masuk ke dalam kamar indah itu. Seketika, jantungnya bagaikan dilambung tinggi tatkala tubuhnya sudah terawang ke udara.

   “ Arghhh..” Sara menjerit kecil. Namun, tatkala menyedari tawa halus itu datang daripada insan yang amat dia kenali, dia pantas menekup mulut.

   “ Haha.. tahu takut?” Amir bersuara lalu merebahkan lembut tubuh langsing Sara ke tilam empuk bercadar putih itu.

   “ Abang, bergurau apa ni? Terkejut Ara,” marah Sara. Namun, masih terkawal. Dijeling sekilas wajah tampan suaminya. Amir buat muka minta penampar angin.

   “ Denda sebab sayang pujuk abang guna SMS je tadi.” Amir tersengih.

   “ Eh, eloklah tu Ara pujuk guna SMS daripada tak pujuk langsung,” balas Sara tak mahu mengalah. Amir tarik hidung mancung milik Sara. Sara menepis lembut.

   “ Sakitlah..” Sara merungut kecil. Tangan naik mengusap hidungnya sendiri.

   “ Tahu..” Dan cup! Satu ciuman melekat pada hujung hidung itu. Sara terpempan. Terus dia pandang wajah Amir. Amir sengih lagi.

   “ Penawar..” balas Amir ringkas. Sara kelu tanpa kata.

   “ Marah lagi?” Amir memegang lembut tangan Sara apabila isterinya terdiam tanpa kata. Mulalah Amir rasa bersalah. Kuat sangat ke dia tarik hidung comel tu tadi? Hatinya bermonolog. Sara geleng. Amir hela nafas lega.

   “ Habis, kenapa diam aje?” soal Amir sambil mengelus rambut Sara.

   “ Tak tahu nak cakap apa.” Sara menjawab mudah sambil menunduk malu. Amir tersenyum. Dia tahu Sara segan dengan perlakuannya sebentar tadi. Tanpa kata, sekali lagi Amir mencium wajah Sara. Tapi, kali ni tepat di bibir merah itu. Terbeliak mata Sara.

   “ Gatal!” Sara menjerit kecil. Amir gelak cara macho.

   “ Haa.. kan dah tahu nak cakap apa. Oh.. abang gatal eh? Yang.. garu jap.” Amir masih nak mengusik. Sara semakin memerah muka.

   “ Jap, Ara masuk ambil berus tandas. Garu guna berus tandas lagi cepat gatal tu hilang.” Sara turut geram. Dia berpura-pura hendak bangkit. Kononnya betul-betul nak dapatkan berus tandas buat menggaru si Amir ni. Amir apa lagi. Terus terlopong luas. Kejamnya Ara.. agaknya itulah hati dia berdetik.

   “ Sayagggg..” Amir merengak bagaikan budak kecil. Wajahnya jelas nampak nak merajuk lagi. Sara terus tergelak kuat.

   “ Gurau jelah..” pujuk Sara. Amir tetap mencuka. Pantas, dia terus rebahkan badan ke tilam sambil membelakangi isterinya. Sara mula telan liur. Laaa.. gurau pun nak sentap ke?

   “ Abang..” panggil Sara lembut sambil memegang pinggang Amir. Amir tetap membatu.

   “ Orang gurau pun nak marah. Orang tak..” Sarah pujuk lagi. Tapi, kali ni tak sempat dia nak bersuara lanjut, bila tubuhnya sudah ditekan ke tilam.

   “ Kalau nak tahu, gatal abang boleh hilang dengan cara macam ni je.” Usai saja Amir berbicara, terus wajahnya dibenamkan pada wajah isteri yang jelas terkejut sakan.

   Sara tercungap-cungap mencari nafas sebaik saja bibir mongelnya dilepaskan. Ya Allah, semput juga aku karang. Omel Sara sambil menolak lembut tubuh sasa itu dari terus menindih tubuhnya. Amir tersenyum senang.

   “ Nak lagi?” soal Amir nakal. Sara menjeling.

   Pervert,” gumam Sara perlahan, masih sempat didengari Amir.

   “ Sayang.. abang buat dengan yang halal aje tahu? Jadi, gelaran pervert tu tak sesuai untuk abang. Kalau romantik tu, baru betul.” Amir memangkas sambil merenung lembut anak mata Sara.

   “ Abang romantik ke? Dulu, masa Ara kenal Ayed a.k.a Amir.. rasanya kalau sengal tu adalah kot.” Sara sengaja nak menyakat. Amir jegilkan biji mata. Seketika, dia tersenyum miang pula.

   “ Ara tak kenal abang lagi. Kalau abang romantik, naga pun boleh kalah tahu?” Ah, sudah. Apa kena-mengena romnatik dengan naga bagai pula ni? Amir-Amir.. Sara tahan senyum.

   Ye ke? Kalau macam tu, ajarkan Aralah.” Sara bagaikan mencabar. Amir naikkan sebelah keningnya.  

“ Betul nak belajar? Okey, sekarang pun abang boleh ajar.” Usai saja bertutur, terus lampu tidur di sisi katil dipadamkan. Dan tika ini, Sara hanya bersedia kerana sejak dia mengikhlaskan dirinya menjadi zaujah Syed Amir Ridza, dia adalah hak suaminya. Luar dan dalam.

   Amir membaca sepotong doa. Dalam hati, dia bersyukur sekali kerana dikurniakan seorang isteri yang ikhlas menerima dia seadanya. Kepada Mizal, ucapan terima kasih sangat-sangat dia hulurkan kerana akhirnya ‘Misi Mencari Cik Ikhlas; terlaksana jua. Datuk Syed Mustaqim pun dah tak bising-bising dah.

   Terima kasih, Mizal.. desis hati Amir penuh kebahagiaan.

Tamat