PeNgiKuT sEtiA..

Friday, December 6, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 4)


BAB 4

Emiera membetulkan tudung yang bertiup disapa angin bayu. Kelu bibirnya hendak memulakan bicara. Qaiser juga terdiam bisu. Menambahkan lagi rasa kekok yang dah mula menemani sedari tadi.

   Emiera menjeling sekilas wajah tampan yang berdiri di hadapannya dengan tangan dikilas ke belakang kepala. Tampak segak sekali tubuh itu berdiri gagah. Lama dia merenung wajah Qaiser dan dia sedar ada satu sisi yang sama pada wajah itu dengan arwah Qairel. Hidung. Ya, hidung yang mancung itu menambahkan lagi kesempurnaan wajah kacak itu.

   “ Miera..” Qaiser sudah menoleh ke belakang. Tersentak Emiera yang ralit merenung wajah Qaiser itu. Terpinga-pinga Emiera seketika. Ah, macam mana dia boleh terleka? Hati mengutuk diri sendiri.

   Qaiser berjalan rapat, duduk dilabuhkan di sisi Emiera sambil mata merenung si kembar yang ralit bermain di gigi air. “ Abang terlalu memaksa ke?” Soalan tiba-tiba yang terpancul dari bibir sensual itu.

   “ Huh?” soal Emiera bimbang andai telinganya silap mendengar. Qaiser masih nampak selamba sambil merenung ke hadapan. Langsung tidak menoleh ke sisi.

   “ Abang terlalu memaksa Miera untuk terima abang ke?” Qaiser ulang soalan sama. Kali ini, wajah itu sudah berpaling mencari wajah Emiera. Emiera terdiam. “ Jujur, Miera. Supaya abang boleh ubah cara abang. Abang tahu Miera tak selesa macam ni..” desak Qaiser agar Emiera berlaku jujur.

   “ Miera tak suka dipaksa..” Sebaris ayat yang sudah cukup untuk memahamkan Qaiser. Qaiser senyum hambar.

   “ Jadi, betullah abang memaksa..” keluh dia seakan kesal. “ Maaf, Miera. Abang terlalu ikutkan perasaan..” luah Qaiser lagi. Lemah dan gontai saja suaranya.

   “ Kenapa abang sukakan Miera? Miera nak tahu alasannya. Miera bukan sesiapa abang. Malah, tiada apa yang tersisa untuk Miera. Mama pun bencikan Miera..” luah Emiera seakan mengadu. Qaiser kemam bibir lama. Dia tahu hati wanita itu sering dilapah dengan perbuatan Datin Zetty.

   “ Maafkan mama ye, Miera? Walau apa sekalipun mama buat pada Miera, maafkanlah mama. Dia masih tak tahu hati budi Miera yang sebenarnya dan dia masih tak tahu apa yang menimpa arwah..”

   Please.. jangan ungkit..” cantas Emiera siap-siap. Ketenangan Qaiser tadi berlalu pergi bila Emiera sudah mula dengan kedegilannya. Dia mendengus sedikit.

   “ Abang tak suka Miera degil macam ni.” Kasar sikit nada Qaiser. Wajahnya mula memerah menahan geram.

   “ Miera tak pernah minta abang suka macam mana sekalipun cara Miera. Cuma kali ni satu Miera pinta, hormat apa jua keputusan Miera. Mama tak boleh tahu pasal kejadian tu.” Emiera masih bertegas. Kalau begitu katanya, dia nak Qaiser jangan buka mulut. Dia yakin lelaki itu akan berpegang pada janjinya.

   “ Kenapa dengan Miera ni?” Geram saja nada Qaiser. Emiera menoleh. Wajahnya jelas tergambar riak kesayuan.

   “ Cuba jawab soalan Miera, bang..” Emiera tarik nafas seketika. “ Andai kata Miera ceritakan semuanya pada mama, boleh ke Arel balik ke pangkuan Miera? Dan andai kata Miera ceritakan semuanya pada mama, apa perasaan mama nanti? Boleh ke mama terima hakikat sebenarnya, abang? Abang nak hilang seorang lagi yang abang sayang? Miera tak nak, abang. Kehilangan itu satu yang menyakitkan..” soal Emiera penuh maksud tersirat. Qaiser kunci bibirnya rapat. Ah, tertekannya dia dalam situasi ini.

   “ Abang tak faham kenapa hati Miera terlalu suci? Miera nak jaga hati orang lain, tapi hati Miera.. ada Miera fikir?” selar Qaiser tidak puas hati.

  “ Hati Miera tak ada yang penting, bang. Hati ni dah lama terluka. Hati ni dah lama kesunyian. Arel dah bawa separuh hati Miera pergi bersama dia..” jelas Emiera dengan tubir mata bergenang sayu. Qaiser sudah mengucap panjang.

   “ Miera, Miera tahu tak cara Miera ni seakan menyalahkan takdir? Seolah-olah Miera dah tak sanggup nak hidup semenjak kehilangan suami Miera tu??” marah Qaiser sedikit. Emiera terdiam. Mata dia kedipkan sekali sebelum wajah dia raup perlahan.

   “ Miera rindukan dia.. Allah, sakitnya dada ni..” Tangan naik memegang dadanya sendiri. Tiba-tiba emosinya berubah dengan sendiri. Qaiser yang lancang berkata-kata turut terkedu.

   “ Miera..” Qaiser ingin menyentuh tangan kecil itu. Tapi, perbuatannya terhenti. Bimbang andai Emiera tidak suka. Sudahnya dia hanya sekadar memerhatikan riak itu tanpa bisa menenangkan Emiera.

   “ Arel.. Miera rindu Arel..” rintih Emiera sembari menundukkan wajah. Qaiser ketap bibirnya rapat. Bukan kerana cemburu. Tapi, kerana hatinya turut terluka melihat betapa terseksanya Cempaka Emiera menanggung beban rindu itu sendirian. Kalaulah tubuh itu halal untuk disentuh sesuka hati, sudah lama dia tarik ke dalam pelukan.

   Qaiser bangkit. Membawa diri sedikit jauh daripada Emiera. Bimbang andai hati tidak bisa mengawal kehendaknya untuk memeluk sekujur tubuh itu. Dia perlu bertenang untuk seketika.

   “ Abang tak suka Miera macam ni, sayang..” gumam Qaiser perlahan. Mata masih merenung wajah yang tampak sedih itu dari tempatnya berdiri.

   “ Abang Qais..” Aqilah dan Amni yang berdiri tegak di hadapannya dipandang dengan riak pelik.

   “ Kenapa adik-adik abang ni, hmm?” Qaiser usap kepala si kembar. Senyuman tipis dihadiahkan pada Aqilah dan Amni yang jelas nampak sedih. Mata si kembar melirik pada wajah Emiera sebelum kembali tertancap pada wajahnya.

   “ Kak Miera..” Aqilah berjeda. “ Dia menangis, abang..” lirih suara itu turut bersimpati pada kakak iparnya. Qaiser mengeluh dalam. Dia usap kepala Aqilah perlahan bersama sebuah senyuman tipis.

   “ Amni tak suka Kak Miera macam tu..” Amni sudah mula hendak menangis. Qaiser matikan senyuman. Ubun si adik dia kucup perlahan dengan hati yang bercampur baur.

   “ Abang akan cuba pujuk Kak Miera, tak mahulah nangis.. Amni. Adik abang ni kalau menangis, macam beruang comot..” sakat Qaiser cuba meredakan riak kesedihan si kembar. Tapi, Amni dan Aqilah tetap menunduk dengan wajah sayu.

   “ Tiap kali kami tengok Kak Miera macam tu, kami rindukan arwah Abang Arel..” Aqilah pula menyampuk.

   “ Tapi, Abang Qais ada kan? Atau korang tak sayang abang?” Sengaja Qaiser menduga dan sekelip mata dia rasa pinggangnya dipeluk erat oleh Aqilah dan Amni.

   “ Kami tak nak Abang Qais pergi macam Abang Arel. Janji dengan kami, abang.. jangan tinggalkan kami..” Amni sudah teresak-esak sayu. Qaiser pejam matanya sesaat. Janganlah ada aiar mata di wajahnya kerana dia perlu kuatkan diri sendiri sebelum menasihati orang lain.

   “ Sayang-sayang abang.. mati itu pasti. Ingat.. kita dicipta daripada tanah dan ke situ jualah kita akan kembali. Jangan macam ni, Qilah.. Amni. Kalau kata ajal abang esok, lusa atau bila-bila pun, abang nak adik-adik abang ni bersedia. Jangan bersedih macam ni sebab abang yakin Arel sendiri tak suka adik-adik manja dia menangis macam ni. Percayalah cakap abang..” pujuk Qaiser penuh sikap penyayang. Aqilah dan Amni renggangkan pelukan mereka. Dicari wajah tampan si abang dan dia pandang dengan riak penuh makna.

   “ Boleh abang kembalikan Kak Miera kami?” soal Amni tiba-tiba. Kening Qaiser hampir bercantum.

   “ Maksud Amni?” soal dia lalu air mata pada wajah si kembar dia sapu perlahan. Amni pegang tangan si abang.

   “ Kembalikan Kak Miera yang kami pernah kenal. Kak Miera yang tabah, yang ceria.. bukan macam sekarang. Yang selalu nampak berduka..” Giliran Aqilah pula menambah. Qaiser terdiam lama sebelum kepala itu diangguk bersama senyuman.

   “ Dengan izin Allah, sayang. InsyaAllah Abang Qais akan cuba. Doakan yang baik-baik untuk Kak Miera..” ujar Qaiser bijak mengatur ayat.

   Qaiser menoleh pandang wajah Emiera. Dalam hati dia menyimpan tekad.. abang akan kembalikan Cempaka Emiera yang abang pernah kenal. Monolog Qaiser penuh semangat sebelum dia senyum kembali pada si kembar.

   “ Jom, kita cuba pujuk Kak Miera.. nak?” ajak Qaiser bersuara ceria. Amni dan Aqilah berpandangan sesame sendiri. Seketika, mereka sekadar mengikut langkah Qaiser menuju pada Emiera.

   “ Dah puas nangis?” Kepala Emiera menegak memandang Qaiser yang menghulur sehelai sapu tangan untuknya. Teragak-agak dia hendak mencapai. Tapi, tak sempat bila Aqilah terlebih dahulu sambar sapu tangan itu sebelum dia mengelap pipi Emiera yang basah.

   “ Jangan menangis, Kak Miera. Sebab Abang Qais cakap arwah takkan suka kalau kita bersedih macam ni..” Aqilah sudah mengambil tempat di sebelah Emiera. Mendengar tutur kata Aqilah, Emiera senyum hambar.

   Dia tidak mampu berjanji untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi, dia akan cuba untuk kurangkan kesedihan ini. InsyaAllah..

   “ InsyaAllah, Qilah..” sahut Emiera sedikit lega. Terharu hatinya dengan layanan si kembar dan juga Qaiser pada dirinya. Rupa-rupanya dia masih tidak bersendirian.

   “ Qilah, Amni.. tunggu abang dekat kereta. Kita dah nak balik ni. Dah lewat, nanti abang nak hantar korang ke kolej pula,” ujar Qaiser berbaur arahan. Pantas saja Aqilah dan Amni mengangguk. Kedua susuk tubuh itu sudah mula bangkit lalu berlalu meninggalkan Qaiser dan Emiera berduaan.

   Melihat si kembar sudah berlalu, Emiera turut bangkit dari duduknya.

   “ Miera nak ke mana?” soal Qaiser mematikan langkah Emiera. Emiera menoleh dengan riak kepelikan.

   “ Abang cakap dah lewat..”

  “ Tahu.. tapi, ada benda abang nak cakap dengan Miera. Tak payah duduk, berdiri macam ni pun tak apa. Sekejap saja.” Qaiser nampak tenang.

   “ Abang nak cakap apa?” soal Emiera sedikit serak kerana terlalu banyak menangis.

   “ Abang cuma nak cakap, abang bagi Miera masa untuk berfikir tentang lamaran abang. Ambillah seberapa banyak masa pun. Tapi, abang harap jawapannya tidak mengecewakan sebab abang memang dah lama jatuh cinta pada Miera..” ucap Qaiser penuh perasaan. Mata mereka saling beradu. Emiera seakan terpaku dengan renungan lembut itu.

   “ Abang sayang Miera. Abang nak jaga Miera.. cukup dengan alasan itu abang bagi pada Miera sebab cinta abang memang tak pernah perlukan alasan yang banyak..” selar Qaiser lagi. Terbuai hati Emiera mendengarnya. Terleka dia untuk seketika.

    Mula hati dia berbelah bagi. Apatah lagi melihat wajah penuh mengharap daripada Qaiser. Dia menunduk seketika sebelum wajahnya dipanggung untuk memandang Qaiser.

   “ Bagi Miera masa, Miera akan fikirkan..” Jawapan yang benar-benar membuatkan mata Qaiser bersinar galak. Ya Allah, hati mula mengucap rasa syukur walaupun itu bukanlah jawapan penuh kepastian.

   “ Miera nak bagi abang peluang tu?” soal Qaiser sukar untuk menyembunyikan riak terujanya.

   “ Miera akan fikirkan nanti..” jawab Emiera penuh teka-teki sebelum dia berlalu meninggalkan Qaiser yang jelas tayang wajah bahagia. Sepanjang perjalanan, Emiera benar-benar berharap.. dia bakal membuat keputusan yang tepat kelak.

 

 

 

Monday, December 2, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu (Bab 3)



 
 
BAB 3

Cempaka Emiera kerah mindanya. Berfikir mengenai kelogikan Fuad Qaiser menghadiahkan dia hadiah sebegitu rupa. Namun, langsung tiada sebarang klu yang datang menyinggah.

   Kenapa dia bagi aku semua ni? Apa maksud dia? Bermacam-macam soalan muncul di benaknya. Bagaikan meminta untuk dileraikan satu-persatu. Cincin dan sepasang stoking bayi di tangan, Emiera pandang berkali-kali. Seketika, dia pandang pula tangan kiri dia yang elok memegang patung koala itu. Cakap.. hadiah dari Australia. Kalau koala ni memang dari sana, habis tu yang dua benda alah ni? Apa maksud semuanya? Ah, dia buntu!

   Agaknya dia silap nak bagi pada orang lain kot? Mungkin untuk teman wanita dia, tapi dia silap termasuk sekali dalam paper bag hari tu? Monolog Emiera berterusan sebelum bunyi deringan telefon menganggu dia daripada tanpa henti membuat spekulasi.

   Gajet miliknya diintai. Fuad Qaiser? Kening Emiera terjongket sebelah.

   “ Assalamualaikum..” Suara di sana kedengaran cukup garau menyentuh gegendang telinga Emiera. Entah kenapa, ada debar yang mengundang tatkala suara itu menyapa. Emiera telan liur. Panjang umur sungguh mamat ni.. desis hatinya.

  “ Ya, abang ada apa call Miera?’ soal Emiera sehabis lembut. Qaiser di sana sudah terdiam sejenak. Kusut bagaimana hendak mengatur bicara agar tersusun rapi.

   “ Err.. Miera dah buka hadiah tu?” soal Qaiser sudahnya. Terkelu Emiera sejenak. Memang itu pun yang merungsingkan dia.

   “ Kenapa abang bagi semua ni pada Miera?” Emiera berpura-pura berani. Sedangkan hati dia sudah longlai semacam menanti jawapan daripada Qaiser di hujung sana.

   “ Abang yakin Miera faham maksud pemberian tu..” Qaiser bagaikan mahu bermain tarik tali. Emiera mengeluh. Sudah tidak fahamkah lelaki ini soalan melayu? Kalau dia faham, dia takkan susah-payah bertanya. Aduh!

   “ Kalaulah Miera faham..” Meleret jawapan Emiera. Sedikit menyindir.

   “ Jadi, Miera tak faham?” selar Qaiser pantas. Dahinya berkerut.

   “ Miera takkan tanya kalau Miera dah tahu, bang..” balas Emiera mulai bosan. Kedengaran Qaiser bagaikan menarik nafas panjang di sana.

   “ Abang.. abang nak kahwin dengan Miera.” Senafas Qaiser bertutur. Terpempan Emiera seketika. Begitu beranikah lelaki itu? Hampir terlepas pegangan telefon pada tangan Emiera. Bibir langsung lumpuh hendak berkata-kata. Fikir dia.. Qaiser sekadar tidak serius dengan lamaran tempoh hari.

   “ Abang.. Miera ni isteri Arel!” tekan Emiera. Mengingatkan Qaiser.

   “ Bekas, Miera. Arel dah tak ada. Tak salah kalau abang nak jaga Miera. Tolonglah, bagi abang peluang untuk jaga Miera. Miera tahu kan, abang perlukan Miera? Mama dah buang abang..” soal Qaiser meraih simpati. Emiera sudah terkedu. Dia tahu maksud Qaiser. Sudah tentu mama yang lelaki itu maksudkan.

    “ Tapi, Miera tak cintakan abang. Abang perlu sedar akan hakikat itu! Abang takkan mampu gantikan tempat arwah dalam hati Miera..” Emiera masih dengan nada yang sama.  Qaiser pula terasa dunianya seolah-olah berhenti berputar. Ya Allah, perlu ke berterus-terang macam tu? Detik hati Qaiser sebak. Tangannya digenggam kuat. Dia tak boleh cepat melatah. Dia perlu bertenang.

   “ Abang perlukan Miera dalam hidup abang..” Bagaikan mengemis cinta, luahan Qaiser pada kali ini. Emiera terdiam. Nada lelaki itu yang longlai menjentik rasa simpati di sudut hatinya. “ Arel dah tinggalkan abang. Mama dah buang abang. Pada siapa lagi Miera nak abang luahkan rasa sakit ni? I need you, Cempaka Emiera.” Sambung suara itu lagi.

   “ Abang.. Miera tak selesa kalau hubungan ni kita lebihkan batasnya. Maksud Miera, dulu abang adalah abang ipar Miera, macam mana Miera nak latih diri untuk terima abang sebagai suami Miera pula?” keluh Emiera berharap benar Qaiser bisa mengerti gelodak hatinya.

   “ Tapi.. abang nak Miera. Abang nak Miera jadi isteri abang. Abang tak nak perempuan lain. Fahamilah abang.. Miera..” rayu Qaiser terusan. Emiera mengeluh dalam.

   “ Tolonglah, abang. Jangan desak Miera..”

   “ Kita jumpa esok, Miera? Abang nak bincang dari hati ke hati. Kita jumpa esok ye?” celah Qaiser pantas. Suara itu menyimpan seribu harapan.

   “ Miera tak nak..”

   “ Miera dah tak sudi tengok abang? Miera dah benci abang sama macam mama bencikan abang?” Qaiser menggunakan cara licik. Mengumpan simpati.

   “ Abang ni..” Emiera sudah mula geram. “ Okey, kita jumpa. Tapi, pastikan Aqilah dan Amni ada sama. Kalau kembar tak ada, Miera takkan jumpa abang.” Keras saja nada Emiera. Mungkin Kesabaran sudah memuncak bila Qaiser terusan memaksa.

   “ Tapi.. abang cuma nak berdua dengan Miera..”

   “ Pilih, sama ada Aqilah dan Amni ada atau kita tak payah jumpa langsung. Abang yang buat keputusan..” Tegas Emiera tidak mahu beralah kali ni. Kalau terusan dia mendengar pujuk rayu Qaiser, tak mustahil hatinya bisa cair.

   Fuad Qaiser dan Fuad Qairel.. darah sama mengalir dalam tubuh mereka. Sudah pasti ragamnya juga sama. Bisa menawan hati mana-mana wanita. Apatah lagi, diserikan dengan kekacakan yang mereka punya.

   Fine.. abang jemput Miera esok.” Terpaksa mengalah sudahnya.

   “ Miera pergi sendiri..”

   “ Miera.. kembar ada. Abang takkan buat macam-macam dengan Miera. Teruk sangat ke abang ni pada pandangan Miera?” Suara itu sudah bertukar sayu.

   “ Bukan macam tu maksud Miera. Miera tak nak susahkan abang terpaksa jemput dan hantar Miera..”

   “ Tiada apa yang susah kalau semuanya berkaitan dengan Cempaka Emiera sebab dialah amanah abang dan abang cintakan dia. Sangat-sangat..” Emiera sudah terdiam bisu mendengar ungkapan manis itu. Tipulah kalau hatinya tidak terbuai. Apatah lagi, Qairel juga selalu membisik kata yang sama. Tapi dia harus sedar. Fuad Qaiser dan Fuad Qairel adalah dua insan yang berbeza.

   “ Kenapa diam?” soal Qaiser memecah kesunyian. Nafas Qaiser sedut lama sebelum kembali berbicara. “ Abang tahu kami tak sama. Tapi, cinta kami sama. Kami jatuh cinta pada perempuan yang sama. Dan perempuan tu adalah..”

   “ Abang, stop it! Miera tak nak dengar.” Emiera dah terjerit kecil. Dia tidak suka perkara itu diungkit-ungkit. Qiaser terdiam seketika. Terkejut dengan jeritan kecil Emiera.

   “ Miera minta maaf tinggikan suara..” ujar Emiera serba-salah. Qaiser tetap diam. Tahulah Emeira, lelaki itu terasa dengan jerkahannya. Bukan niat dia sebenarnya.

   “ Abang..” panggil Emiera perlahan. Hatinya gundah bila Qaiser memilih untuk terus berdiam diri.

  “ Cempaka Emiera.. abang nak Miera dengar baik-baik apa abang nak cakap.” Qaiser mula membuka mulut. Agak keras nadanya. Mungkin sakit hati dengan kedegilan Emiera.

   “ Abang harap abang takkan sekadar bermimpi. Suatu hari nanti, abang nak cincin yang abang hadiahkan pada Miera tu akan tersarung pada jari manis Miera..” Jeda seketika.  “ Dan abang harap stoking bayi itu juga akan bertambah suatu hari nanti. Kalau Miera tanya apa yang abang nak dalam dunia ni.. cuma dua saja Miera.” Qiaser berhenti seketika.

   “ Abang.. Miera tak nak dengar..”

   “ Miera kena dengar sebab lepas ni abang akan terus ulangnya lagi supaya Miera faham yang abang memang hendakkan Cempaka Emiera sangat-sangat. Bukan sekadar hubungan biasa, tapi hubungan yang halal di sisi Allah. Seperti yang abang cakap, perkara yang abang perlukan dalam hidup abang cuma dua, Miera. Pertama.. keredhaan seorang ibu. Kedua.. abang perlukan Cempaka Emiera. Sebagai isteri abang dan juga ibu kepada anak-anak abang. Mark my words, Emiera.” Usai saja Qaiser berkata-kata, talian terus dimatikan tanpa isyarat.

   Emiera mengeluh panjang. Sukarnya dia hendak fahamkan seorang Fuad Qaiser.

Langkah gontai dibawa keluar dari kamarnya. Kepala Emiera sudah cukup berserabut tika ini. Hati pula seakan gundah memikirkan esok bakal ada pertemuan di antara dia dan Qaiser. Bolehkah dia berpura-pura tenang berhadapan dengan lelaki itu?

   “ Miera..” panggilan seseorang mematikan langkah Emiera. Emiera menoleh. Jelas Dafina sednag tersenyum penuh makna pada dia. Kening dijungkitkan.

   “ Kenapa?” soal Emiera kurang arif. Dafina angkat gajetnya sedikit. Berkerut dahi Emiera hendak memahami bahasa isyarat Dafina.

   “ Encik Qais baru call..” Jantung Emiera spontan berdegup laju. Wajah pun mula berubah riak. Tapi, dia cuba kawal agar tidak terlalu ketara pada pandangan Dafina.

   “ Dia nak apa, Fina?” soal Emiera berdebar. Dafina sengih.

   “ Hanya nak pastikan kau okey. Hmm.. so sweet..” Dafina dah sepetkan mata dia sambil bawa gajet rapat ke dada. Terbuntang biji mata Emiera. Tentu lelaki itu bimbang dengan keadaan dia selepas apa yang diluahkan sebentar tadi. Ah, Fuaq Qaiser yang prihatin. Hatinya mendesis seketika. “ Eh, kau tak suka Encik Qais ke?” soal Dafina kepelikan. Emiera menarik nafas dalam. Mungkin Dafina lupa.

   “ Fina.. aku baru lepas edah. Aku rasa berdosa kalau aku menyukai lelaki lain sedangkan suami aku baru saja pergi..” ujar Emiera sehabis teratur. Bimbang Dafina teerasa hati dengan tegurannya. Terus hilang senyuman pada bibir Dafina.

   “ Maaf, aku lupa.. Miera. Aku minta maaf..” Kalut suara Dafina. Emiera senyum seraya menggeleng.

   “ Tak apa. Manusia sering saja lupa, Fina. Tapi aku selalu ingatkan diri aku, di mana aku berpijak sekarang. Aku harap aku takkan pernah lupa. Dengan izinNya..” Kelibat Emiera terus saja menghilang sebaik dia tuturkan kata-kata itu. Meninggalkan Dafina yang terkebil-kebil mencerna maksud kata-katanya. Dia yakin.. Dafina tentu bakal faham.

 

 

 

 

Saturday, November 9, 2013

Teaser SUAMI TAK DIRANCANG (Edited Version)



Darwisya menoleh pandang pada wajah ketat di sebelahnya. Bibir digigit perlahan seraya mata menjeling raut tampan yang nampak serius itu. 

“ Kau pandang aku buat apa? Pakai tali pinggang tu..” marah Dinzly tanpa menoleh. Darwisya juihkan bibir sedikit. Tali pinggang ditarik lalu dipasang. 

“ Dah..” ujar dia senada. Dinzly lorek senyum sinis.

“ Aku tak tanya pun dah ke tak. Tak tengok pun aku tahu kau dah siap pakai tali pinggang tu..” ujar dia sarkastik lalu mula memandu perlahan. Darwisya dah kecilkan biji mata. Mamat ni.. isu kecil macam tu dan-dan aje nak kenakan aku. Sakai betullah!

Malas nak bergaduh. Dia sandarkan tubuh pada seat lalu tangan disilang satu sama lain. Muka tak usah cakap, ketat semacam aje dengan bibir muncung sedepa. 
Seketika, akal Darwisya mula bergerak laju hendak menyakitkan hati mamat di sebelah.

“ Awak..” seru dia perlahan sambil buat muka comel. Dinzly mengeluh.

“ Apa?” soal dia dengan nada malas. Memang malas pun. Apatah lagi kalau bercakap dengan minah pembawa masalah ni.

“ Awak kerja apa eh?” soal Darwisya seakan menyindir. Kening Dinzly dah terjungkit sebelah. Apasal minah ni tanya macam tu?

“ Kenapa?” soal Dinzly lagi. Soalan Darwisya langsung tak dijawab. Darwisya dah liarkan matanya memandang kereta mewah milik Dinzly. Audi RS7? Seketika, anak matanya terhenti tatkala dia menangkap sepasang teddy bear bersaiz kecil yang elok terletak di atas dashboard. Tangan mulalah menggatal nak capai. Eee.. mamat ni main teddy bear? Hati Darwisya sudah mengejek jahat.

“ Hoi.. jangan sentuhlah!!” jerkah Dinzly bila tangan Darwisya baru nak menyentuh sepasang teddy bear kecil itu. Tersentak hebat tubuh Darwisya. Tanpa bertangguh, Dinzly capai teddy bear itu lalu dia letak di atas ribanya. Dia jeling Darwisya tajam. “ Tangan tu duduk diam-diam tak boleh ke? Karang aku campak keluar tingkap kau jangan tanya aku kenapa..” gertak Dinzly geram. Darwisya mencebik meluat.

“ Itu pun nak marah ke?” selar Darwisya rimas. Mamat ni selalu aje angin tak bertempat. “ Eh.. awak tak jawab lagi soalan saya..” Tiba-tiba Darwisya bagaikan tersedar soalannya yang masih tak berjawab.

“ Apa lagi kau ni?” Dinzly dah mula bosan.

“ Awak kerja apa?” Darwisya ulang soalan dia. Dinzly mendengus.

“ Jangan sibuklah!” marah dia.

“ Saya nak tahu aje.” Pintas Darwisya laju. Dinzly kemam bibir. 

“ Kenapa kau nak tahu sangat ni?” Geram pula dia dengan kedegilan Darwisya.

“ Sebab awak boleh pakai kereta mewah macam ni. Tentu kerja awak hebat kan?” tebak Darwisya dengan jari naik melentik.

“ Tak ada kaitan.” Malas sungguh Dinzly nak menjawab. Suka hati dialah nak kerja apa pun. Sibuk aje minah ni. Hati menggerutu sebal.

“ Hah!!” jerit Darwisya tiba-tiba. “ Awak kerja dengan mak ayam kan?? Awak gigolo eh??” Tak semena-mena itu yang terkeluar.

Streeetttt!!! Kali ni kereta mewah milik Dinzly dah elok berhenti di bahu jalan. Darwisya sudah pucat lesi. Manakala Dinzly sudah mengurut dadanya sendiri. Ya Allah.. sabar, Dinz. Sabar.. hati mengingatkan. Tali pinggang dibuka dan dia mula kalihkan badan dia memandang Darwisya yang dah diam membisu itu. Terkejut mungkin. Kaki dinaikkan sebelah ke atas seat.

“ Kau pernah tak makan kasut saiz lapan?” sindir Dinzly bersama wajah tegang. Darwisya menoleh. 

“ Oh.. kasut awak saiz lapan eh? Padanlah.. badan awak pun berketak-ketak..” Oh god, ingatkan mulut tu dah tak boleh nak berceloteh sebab terkejut. Rupa-rupanya..

Darwisya masih lagi dengan perangai menyakitkan hati Dinzly. Dinzly raup wajah dia dengan kedua-dua tapak tangan.

“ Hei, girl! I’m not kidding, okey? Tak nampak aku tengah serius ni? Don’t you??” jerkah Dinzly dengan nada tertahan-tahan. Tali leher dilonggarkan lagi. Butang teratas kemejanya dibuka kasar. Terus Darwisya tutup bibirnya rapat-rapat. Marah sangat nampak.. hatinya berdetik.

“ Sekali lagi kau cakap bukan-bukan.. aku tak teragak-agak nak sumbat kasut ni dalam mulut kau!” Dinzly bagi amaran keras. Betulkan duduk, tarik tali pinggang kembali. Kemudian sambung perjalanan yang terhenti.

“ Alah.. saya..”

“ Shut up!!” tempik Dinzly bengang. Dia jeling sekilas wajah Darwisya lalu tangan diletakkan ke bibir sendiri. Dia tak nak dengar sebarang suara dari bibir Darwisya lagi. Suka-suka hati minah tu aje cakap dia kerja tak senonoh macam tu. Huh! Darwisya angkat tangannya tanda mengalah. 

Dua minit keadaan sunyi.. bunyi mesej masuk ke dalam Iphone 5 milik Dinzly. Dinzly terkial-kial mencapai gajet berwarna hitam itu sebelum gajet itu ditekan. 

'Awak tak bagi saya cakap. Jadi, saya mesej ajelah eh? Hmm.. kita nak ke mana sebenarnya?'-Wisya

Dinzly hembus nafasnya perlahan. Ya Allah.. kenapalah hari ni hari yang menduga kesabarannya? Sekali lagi dia menjeling wajah Darwisya. Darwisya kebetulan turut menoleh pada arah dia. Siap jungkit kening lagi bagaikan menyoal dalam bahasa isyarat. ‘Apa?’

“ Kau ni memanglah menguji kesabaran aku!” bentak Dinzly lalu dia hempas Iphone 5 miliknya ke tempat asal. Lantaklah kalau nak terburai sekalipun, hatinya lebih bengkak saat ini.

note : sila komen readers sekalian. InsyaAllah kalau xde aral, STD akan ada versi full novel. <3


Saturday, November 2, 2013

Teaser Khilafku Padamu.. ms 400++




                                            SYED ADRYAN FIRDAUS


“ Khilafku padamu, ibarat tajamnya mata pedang yang menghunus jantungmu.” Jeda. “ Khilafku padamu, ibarat duri yang menusuk setiap inci tubuhmu..” Firdaus sudah teresak-esak. Merlissa pula sudah mula mengalirkan air mata jernih. “ Sakit kan, sayang?” soal Firdaus sambil menyeka air mata milik Merlissa. 

“ Jangan ada air mata untuk abang lagi. Abang tak layak..” Sambung Firdaus pula. 

“ Fir..” Merlissa hendak berkata-kata. Tapi, bila bibir Firdaus sudah lembut mengucup matanya, dia terdiam pula.

“ Untuk setiap air mata yang Lissa tumpahkan kerana abang, abang minta maaf.” Ciuman melekap di kedua-dua mata Merlissa. 



NOTE : saje je post.. KP dah hamper siap, doakan yang terbaik untuk KP. Hana hargai sokongan daripada semua readers. Love u alls.. <3

Wednesday, September 25, 2013

Order Atas Talian 'Drama Queen vs Kutu Buku' dibuka sekarang!




Sukacita Hana ingin maklumkan order untuk atas talian bagi novel pertama hana sudah dibuka sekarang. Untuk menjadi pembeli online bagi novel ini, boleh inbox ke facebook JS Adiwarna atau layari laman web ni http://www.jsadiwarna.com/

Bagi yang sudi menyokong Hana, ribuan terima kasih hana ucapkan. Segala info untuk harga berkaitan dengan novel ini, sila rujuk pada link yang telah Hana sediakan di atas. Hrp sesiapa yang sudi beli karya Hana ni terhibur dan berpuas hati dengan hasil tulisan Hana. Mudah-mudahan..

Terima Kasih..  (",)

Tuesday, September 17, 2013

SINOPSIS 'NUR' KASIH (NOVEL)


SINOPSIS ‘NUR’ KASIH (NOVEL)

OLEH : HANA EFRYNA 

Perkahwinan termeterai. Hanya kerana hubungan perniagaan yang termaktub di antara kedua-dua belah keluarga. Nasrul Haq dan Qaireen Hanania  diijabkabulkan. Masing-masing rela lantas kedua-duanya punya prinsip yang mudah tentang perkahwinan. Bagi mereka, kahwin atau tidak.. sama aje. Dek sibuk dan taksub dengan dunia perniagaan, kata sepakat diambil dan akhirnya dua hati bersatu.

Perkahwinan mereka bagaikan dingin tanpa penyeri. Langsung tiada gurau senda, tiada gelak ketawa.. kaku saja mengikut rentak bahtera. Haq dengan dunianya, dan Qaireen dengan dunianya sendiri. Masing-masing tidak punya masa bersama. Namun, perkahwinan mereka bukan seperti kahwin kontrak. Masing-masing bersedia melengkapi zahir dan batin. Cuma, satu aje yang menjadi penghalang. Anak! Ya, mereka masih tak bersedia punya anak.

Sehinggalah suatu ketika, Qaireen disahkan hamil. Ah, macam mana benih itu boleh melekat sedangkan Qaireen sudah mengambil pil perancang? Dia alpa. Memang 99 peratus menggunakan pil perancang itu boleh mengelakkan kehamilan, tapi tidak sedarkah Qaireen kebarangkalian untuk 1 peratus itu? Ya, rezeki Tuhan tiada siapa dapat menolak.

Qaireen~ Haq, I mengandung..

Haq~ What? Such that nonsense. I dah pesan kan, suruh you ambil pil tu? You tak ambil ke??

Qaireen~ Dah.. but, benih ni tetap melekat. So, what shoul we do??

Haq~ Gugurkan! I tak bersedia lagi. Dan I yakin you pun sama. So, gugurkan! We are too young te have a baby!

Jalan mudah diambil. Kandungan itu digugurkan. Hidup mereka bagaikan tiada ‘nur’. Tiada cahaya. Malap tanpa penyuluh. Kabur sehingga mereka rebah berkali-kali dalam mencari redha milikNya. Haq dengan dunia kelab malamnya, Qaireen dengan dunia hiburannya.

Dua kali Qaireen disahkan mengandung dan dua kali juga dia menggugurkan kandungan itu. Sehinggakan sampai suatu masa, Haq sudah mula bersedia untuk punyai zuriat. Qaireen juga beranggapan sama. Masing-masing sudah bersedia ke arah itu. Namun, suratan Ilahi itu tidak bisa kita ketahui. Dugaan mula melanda bila berkali-kali mereka mencuba, Qaireen masih tidak disahkan mengandung. Inilah kata orang tua, bahana bila kita menolak tuah..

Qaireen~ Kita dah cuba, kenapa hasilnya tetap sama?

Haq~ I pun tak tahu. Mungkin sebab berkali-kali kita menolak rezekinya..

Akhirnya hidup Qaireen teruji bila dia sendiri terpaksa mengambil kata putus. Si suami juga sudah mula mendesak untuk punyai zuriat. Pelik! Ketika pemeriksaan, dia dan si suami tidak punya masalah. Tapi, kenapa mereka masih tidak berpeluang untuk kali ketiga?

Qaireen~ Haq, you kahwinlah dengan perempuan lain. Dah tiga tahun kita mencuba, kita tetap tak berjaya juga. I rela.. I tahu you dah bersedia untuk gelaran ‘papa’. Carilah perempuan yang boleh bagi you anak. I dah berkali-kali gagal. Tiga tahun, Haq. Bukan singkat waktu tu..

Hidup Qaireen musnah bila si suami sudah melafaz akad untuk kali kedua. Dalam perit, dia pasrah. Inilah takdirnya. Apa yang dia harapkan, semoga nur kasih itu masih terpancar buat dirinya yang kerdil ini. Khilaf semalam, khilaf yang pernah dia lakukan.. semoga ada cara untuk dia jernihkan segalanya. Mudah-mudahan..


NOTE : Hana perlukan review pembaca hana. mudah-mudahan ada yang sudi drop comment dr sudut   nama hero, tajuk novel. jalan cerita pun ye jg.. hana hrp sgt2 ni tau? thanks bg kerjasama.. :)
 

 

 

 

Sunday, September 1, 2013

Izinkan Aku Mencintaimu Bab 2


BAB 2

Datin Zetty masih lagi menarik sekujur tubuh genit itu. Sampai sahaja di meja yang terletak di sudut kiri halaman rumah sewa Emiera, tubuh Emiera ditolak kasar. Terpana gadis itu dengan tingkah Datin Zetty yang seperti harimau nak menelan mangsanya. Datin Zetty benar-benar rasa tercabar.

   Sudah hampir lima bulan Qaiser tidak pulang ke rumah. Sangkanya anaknya itu hanya menguji dia. Tapi, jelas keputusan Qaiser tekad. Lantaran sakit hati, dia menjejakkan kaki ke sini. Dia tak boleh biarkan Emiera menang sebab dia lagi berhak untuk mempengaruhi Qaiser. Bukan perempuan tak guna ni!

   Emiera hanya mampu berdoa di dalam hati. Sedikit gentar dia melihat amukan bekas ibu mertuanya. Tangan yang berbekas perit digosok perlahan sambil matanya mencari riak tegang Datin Zetty. Rasa gerun dengan pandangan itu menyebabkan Emiera menjatuhkan wajah. Merenung rumput di kaki.

   “ Kau ni memang tak serik-serik. Apa kau dah buat pada anak-anak aku, hah??” jerkah Datin Zetty bengang. Emiera panggung kepala. Apa yang dia dah buat?

   “ Miera buat apa, mama?” soal Emiera dengan getar halusnya. Belum sempat dia nak menebak, pipinya sudah menerima habuan. Datin Zetty senyum sinis.

   “ Boleh kau pura-pura tak tahu, kan? Hei sundal, kalau bukan sebab kau.. Qais takkan keluar dari rumah aku. Qais tak pernah melawan cakap aku. Tapi, semenjak kemunculan kau dalam hidup kami, anak-anak aku semua jadi kurang ajar. Apa kau dah buat, hah? Kau guna-gunakan Qais ke??” Meledak kuat suara Datin Zetty. Emiera terpempan. Subhanallah.. sungguh dia tak pernah melakukan perbuatan terkutuk itu.

   “ Ma..”

   “ Aku bukan mama kau! Dasar anak yatim tak sedar diri!!” hina Datin Zetty. Wajahnya jelas menyatakan benci pada Emiera. Emiera telan kata-kata itu. Hinakah aku kerana yatim piatu? Miera tak minta lahir untuk jadi yatim piatu. Miera tak pernah minta, mama. Hatinya berbisik. Air mata bertakung. Baru dia nak bersuara, sudah ada suara lain menemani mereka.

   “ Mama! Enough!!” Suara seseorang membuatkan pandangan Emiera berkalih. Sebaik saja wajah lelaki yang kemas dalam pakaian pejabat itu ditatap, air mata yang tadi bertakung mula gugur satu-persatu. Fuad Qaiser!

   Dilihatnya Qaiser sudah melangkah padanya bersama wajah yang tegang.

   “ Mama tak ada hak nak tuduh Miera macam tu. Semuanya kehendak Qais..” Tegas Qaiser. Tubuh Emiera ditarik lalu di dorong untuk berdiri di belakangnya. Bimbang andai Datin Zetty akan mengasari tubuh itu pula. Emiera hanya menikus di belakang. Rasa takut yang tadi bergelodak mula surut. Dia tahu kehadiran Qaiser akan menyelamatkan dia. Terima kasih, abang.. ucap Miera tulus. Belakang susuk tubuh sasa itu direnung seketika.

   “ Qais, sampai bila Qais nak pertahankan perempuan ni?? I’m your mother! Lima bulan mama tunggu Qais datang jumpa mama, minta maaf. Tapi, sampai sekarang Qais masih sebelahkan dia??” Datin Zetty tayang wajah meluat. Qaiser raup wajahnya perlahan. Kusutnya situasi dia sekarang. Antara mama dan Emiera. Ah, mana satu dia harus pilih?

   “ Qais tahu, ma. Tapi, ini pilihan yang mama bagi pada Qais. Qais dah pilih dan Qais takkan berganjak melainkan mama terima Mi..”

   No! Takkan sesekali mama terima perempuan yang sebabkan kematian adik kau!” Emiera rasa tubuhnya hendak tumbang menyembah bumi. Tuduhan mama terlalu berat. Qaiser pejam mata. Bukan salah dia, ma.. bukan! Berapa kali Qais nak jelaskan pada mama? Bukan salah Miera. Mungkin ini masanya, ma. Qais akan jelaskan semuanya.. monolog Qaiser separuh nekad.

   “ Bukan Miera yang..”

   “ Abang..” Emiera sudah menghalang. Dia menggeleng-geleng pada Qaiser. Dia tahu apa yang Qaiser bakal sampaikan. Qaiser mendengus keras. Emiera tak habis-habis nak halang dia untuk berterus-terang!

   “ Mama should know, Miera. Sampai bila Miera nak telan semua kata-kata mama?” soal Qaiser perlahan. Bimbang suaranya bakal didengari oleh Datin Zetty. Emiera tetap geleng. Dan kali ini, Qaiser rasa nak hantuk kepalanya ke dinding. Arghh!! Dia tertekan.

   “ Qais, kalau Qais masih ada rasa hormat pada mama. Balik rumah kita dan mama nak Qais putuskan apa saja hubungan dengan perempuan ni!!” Datin Zetty masih dengan suara bongkaknya. Qaiser benar-benar serabut tika ini. Wajah mamanya dipandang diselang-selikan dengan wajah Emiera. Dia menunduk seketika sebelum mula membuka mulut.

   “ Qais takkan pulang selagi..”

   “ Baik, tapi Qais perlu serahkan Que Holding pada mama!!” ugut Datin Zetty berang. Qaiser pandang wajah mamanya dengan riak tidak percaya.

   No, Qais ada hak dalam syarikat tu. Arwah papa dah serahkan pada Qais and that was my responsibility. I have promised  to papa, ma.” Tegas Qaiser lagi. Wajahnya bersungguh-sungguh. Tak, dia takkan ikut cakap mama. Bukan kerana dia tak sanggup hidup susah. Dengan kelulusan dia ada, memang senang untuk dia mendapat pekerjaan di luar sana. Tapi, ini satu amanah. Sama seperti Emiera. Amanah yang ditinggalkan untuknya.

   “ Jadi, Qais pilih dia daripada mama??” tuding jari Datin Zetty pada Emiera setelah agak lama diam dengan kata-kata anak terunanya. Memang Qaiser berhak atas Que Holding kerana Qaiser merupakan pemegang saham terbesar di dalam syarikat itu. Dan dia memang tak punya hak untuk mengugut Qaiser. Dia sedar akan hal itu!

   Qaiser hanya diam dan tanda kebisuan Qaiser memberi satu jawapan pada Datin Zetty. Datin Zetty gelak yang jelas dibuat-buat. Sudut hatinya kecewa dengan keputusan si anak. Rasa tercabar!

   You are just too much, Qais. Qais memang pilih dia kan? Baiklah Qais, mama harap Qais tak menyesal. Ingat Qais, mama tekankan. Anak mama yang bernama Fuad Qaiser dah mati. Mati dalam hati mama! Jangan Qais berani jejak rumah kita lagi walaupun mama dah mati! Kali ni, mama takkan jejak Qais lagi. Ini juga yang Qais nak kan??” Serentak itu, Datin Zetty melangkah dengan wajah kecewa.

   Qaiser melorot jatuh ke tanah. Ya Tuhan.. sungguh dugaan ini berat. Tanpa sedar, air mata dia jatuh setitis. Emiera pula sudah teresak-esak di sisi Qaiser. Dia memang hanya membawa bala.. betul kata mama. Hati Emiera membisik sendiri.

   “ Mama, ampunkan Qais..” Sendu suara Qaiser membuatkan simpati Emiera tumpah pada wajah itu berkali-kali. Semua ni salah Miera, abang..

“ Miera minta maaf. Tapi, abang tak sepatutnya belakangkan mama sendiri. Kenapa makin keruhkan keadaan, bang?” soal Emiera tertahan-tahan. Cuba menahan sebak yang semakin bergayutan. Qaiser masih menunduk. Dapat dia lihat wajah tampan itu yang nampak berserabut. Sekilas Qaiser angkat wajah, Emiera terkaku. Masih ada air mata pada wajah itu.

   What should I do, Miera? Abang dah buntu. Abang hanya ikut kata hati abang..” rintih Qaiser. Kali ini, Emiera tidak lagi nampak Qaiser yang gagah sebagai seorang lelaki.. tapi hanyalah seorang Qaiser versi kanak-kanak yang bagaikan kehilangan seorang ibu. Ya, memang hakikatnya. Qaiser sudah kehilangan Datin Zetty.

   “ Abang.. kata hati kadang kala membinasakan. Abang tak perlu berkorban untuk Miera. Miera masih boleh teruskan hidup Miera. Pulanglah, bang. Pulang pada mama.” Emiera memujuk. Qaiser tegakkan tubuh.
   No, Miera. Miera tahu kan kesannya? Kita dah tak boleh berhubung. You. Me.. takkan boleh berhubung sampai bila-bila.” Suara Qaiser naik satu oktaf. Serius!

   “ Abang, mama lebih penting. Miera ni hanya orang luar, bang. Kalau diikutkan, tak ada sebab kenapa abang nak pertahankan Miera.”

   “ Siapa cakap?? Miera tanggungjawab abang. Have you forget enough? Arel dah amanahkan Miera pada abang. Miera, amanah orang jangan dibuat main. Abang takkan mungkir janji. Itu janji terakhir abang pada Arel. Arel pergi bukan sebab Miera. Kalau bukan sebab Miera, abang pun takkan ada di sini..” Suara Qaiser kembali sayu. Emiera tarik nafas panjang. Dia ketap hujung bibirnya. Menahan sebak.

   “ Miera tak nak abang ungkit hal tu. Miera tak nak mama tahu, abang..” celah Emiera. Qaiser duduk tersandar. Wajah yang berserabut diraup berkali-kali.

    “ Tapi, ini takdir Miera. Bukan salah Miera. Miera tahu kan??” Kasar sedikit suara Qaiser. Emiera menggeleng juga.

   Please, jangan ungkit. Miera tak nak dengar, bang. Semua tu dah tak penting.” Suara Emiera sudah merayu. Qaiser hilang punca. Here we are, Miera. Kita tak pernah akan leraikan kekusutan ni selagi Miera masih kekal dengan pendirian Miera. Oh, god!

   “ Apa Miera cakapkan ni? Tak penting? Miera tentu bergurau, bukan?” Sinis suara Qaiser. Mudahnya Cempaka Emiera bercakap!

   “ Apa pun yang abang nak cakap, Miera tetap dengan pendirian Miera. Kita dah setuju, abang..”

   “ Yeah.. memang. But, abang tak pernah setuju. Miera yang paksa abang. Kenapa nak buat abang terus rasa bersalah, Miera? Abang tak sanggup tengok orang yang tak bersalah dihukum terus,” jerkah Qaiser tanpa sedar. Terangkat bahu Emiera dibuatnya. Perlahan-lahan Emiera menunduk. Qaiser yang perasan perubahan wajah itu pantas mengeluh kesal. Wajah diraup berkali-kali.

   I’m so sorry, Miera. I didn’t mean it..” Qaiser bersuara perlahan. Wajahnya sudah berubah. Ada rasa kesal, simpati dan geram pada Emiera.

   “ Tak apa, abang. Miera letih. Miera nak masuk rehat..” Belum sempat Emiera hendak berlalu, Qaiser sudah laju bersuara.

   “ Miera!” Emiera berpaling. Wajah Qaiser direnung. Lelaki itu nampak ingin berkata-kata.

   “ Miera nak rehat, Miera pe..”

   Marry me, Miera. Biar abang jaga Miera..” Dan kata-kata Qaiser buat Emiera yang belum sempat nak habiskan kata terus rasa diri dia melayang-layang. Gila!

   “ Jangan bergurau, abang! Miera baru saja lepas edah!” Emiera jelas terkejut dengan kata-kata Qaiser. Tinggi sikit nada yang digunakan.

   Gila. Memang gila. Apa tidaknya.. baru saja dia melepasi edah kematian suami, kini dia dilamar pula? Paling tidak dapat diterima akal, oleh abang kepada arwah suaminya? Ya Tuhan..
  
   ‘ Dan mereka-mereka yang meninggal dunia di antara kamu sedang meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (bereddah) selamat empat bulan sepuluh hari.’ (Al-Baqarah 2:234)

   “ Abang tak bergurau, Miera. Abang takkan main-main soal kahwin..” Keras nada Qaiser. Wajahnya jelas serius. Emiera sudah mula rasa kepalanya berdenyut-denyut.

   “ Maaf, bang. Miera betul-betul pening sekarang. Miera nak rehat..” Baru Emiera nak melangkah, suara Qaiser berkumandang lagi.

   Then.. I will wait, Miera. I will wait until you are ready to give me a chance. I want to be your husband, Miera. Yang halal..” Sekali lagi, jantung Emiera bagai hendak tercabut dari tangkai. Qaiser benar-benar dah.. gila!!

   Are you out of your mind??” Melengking suara Emiera. Dia sudah berpusing kembali menghadap Qaiser. Matanya melotot.

   No, I’m not. Abang cintakan Miera. Sejak kali pertama Arel bawa Miera ke rumah mama. Tapi, abang sedar diri. Miera bakal jadi hak Arel. Sebab tu, abang pendam perasaan abang. Sekarang, abang nak jaga Miera. Abang buat semua ni bukan sebab amanah arwah saja. But, I do really love you.” Wajah Qaiser dah menunduk. Bagaikan sedang menahan perasaan yang bercantum seribu satu rasa.

   “ A.. apa abang cakap?” soal Emiera bagaikan tidak percaya. Qaiser tenung wajah Emiera. Renungan yang menyatakan bahawa dia memang benar-benar sukakan Emiera. Ikhlas!

   I have fallen in love with you, for the first day we met..” Ulang Qaiser lagi. Sangat tenang. Dan sesekali suaranya bagaikan berbisik halus menembusi dinding hati Emiera.

   Emiera terundur setapak ke belakang. Betul ke apa yang dia dengar? Kenapa baru sekarang dia tahu semua ni?? Lututnya mula menggigil kuat. Begitu tenang kata-kata lelaki itu. Ah, tak mungkin! Cepat sedarkan dia dari mimpi ngeri ini!

Qaiser duduk merenung langit. Badan disandarkan pada kereta Subaru BRZ miliknya. Bibir mula tersungging senyuman hambar. Kalau dulu, seringkali dia melepak di sini bersama arwah Qairel. Itu pun bila si adik yang memaksa. Puas sudah mendengar bebelan mama, memang ke sinilah tempat dia dan arwah melepaskan tekanan. Mama dari dulu lagi memang terlalu protective akan adiknya walaupun arwah agak keras kepala berbanding dia yang lebih mendengar kata. Untung badan.. memang Qairel ditatang bagai minyak yang penuh. Tapi, tak dinafikan dia dan si kembar juga mendapat perhatian sama.

   Arel.. betul ke apa abang buat ni? Soal hatinya. Terngiang-ngiang kata-kata Qairel sebelum adiknya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dan tangan inilah yang digenggam si adik sebelum tangan kekar itu terkulai layu membawa erti roh Qairel sudah berpisah dari jasad. Mata dipejam. Setitis air mata gugur.

   ‘Arel tahu a.. abang sukakan Miera. Dari mula Arel.. Arel dah tahu. Kalau Arel tak ada nanti, jaga Miera. Kalau perlu, jaga Miera lebih daripada Arel buat. Arel serahkan Miera pada abang.’      

   Kata-kata terakhir Qairel sebelum si adik menyahut seruan Ilahi setelah tiga hari bertarung dengan maut. Perginya Qairel kerana mengalami kecederaan dalaman yang teruk disebabkan kemalangan itu. Doktor sahkan jantung dan hati Qairel separuh hancur dan hayat adiknya tidak lama. Mujur dia sempat sedar setelah satu hari dia terlantar kaku di atas katil hospital.

   Kuasa Tuhan, sewaktu kemalangan.. Emiera hanya mengalami cedera ringan. Menyedari hakikat itu, bibir berkali-kali mengucap syukur kerana kalau bukan disebabkan pengorbanan Emiera, dia takkan berada di sini. Terima kasih, Miera. Hanya nyawa abang yang boleh membalas jasa Miera..

   Langit yang gelap terus direnung dengan hati yang kacau-bilau. Melihat bulan yang bersinar terang, hati yang galau tadi sedikit beransur tenang. Dia pejam mata. Dan sekali lagi kata-kata arwah bergema. Qaiser kembali membuka kelopak mata. Hati mula bermonolog.

    Miera.. abang betul-betul sukakan Miera. Izinkan abang untuk pegang hati Miera sama seperti arwah Qairel.. desis hati Qaiser lagi dan tanpa kata, dia bangkit dari bersandar.  Pintu kereta sebelah pemandu dituju. Dia perlukan tenangkan diri! Dia perlu meminta petunjuk Ilahi. Jalannya hanya satu. Menadah tangan dan teruslah berdoa. Semoga cahaya petunjuk itu akan sampai kepadanya. Mudah-mudahan..