PeNgiKuT sEtiA..

Friday, August 16, 2013

Kasih Tak Terucap (Special Edition)


Kasih Tak Terucap (Special Edition)
Oleh : Hana Efryna

Aku pandang wajah Faridzul dengan mata bergenang. Kulihat dia resah dengan tingkahku. Mataku sudah mula terkedip-kedip hendak memuntahkah isi. Sudahlah hari ini merupakan hari yang amat bermakna buat semua umat Islam, boleh jadi semua yang ku angankan bagaikan lebur begitu saja. Faridzul tayang wajah simpati. Aku tahu dia tidak tega melihat aku bersedih. Apakan daya, memang semuanya takkan bisa dipenuhi waktu ini juga.

   “ Sayang.. janganlah sedih-sedih..” Faridzul sudah mengambil tempat di sisi aku. Bahuku dia ramas perlahan. Air mata di pipi disekanya lembut. Anak matanya menombak pandanganku. Anak mata yang sering menghadirkan debar di dada. Aku kini sudah mula teresak-esak. Baju kurung yang sudah menjadi mangsa kenakalan Raiqal dan Raisya aku pandang sepi. Raiqal, Raisya kenapa buat umi macam ni, sayang? Aku berbisik sendu.

   “ Lepas balik Kuala Lumpur nanti, kita beli baru ye?” pujuk suamiku lagi. Namun, hanya gelengan yang dia terima menyebabkan Faridzul mengeluh lemah.

   “ Habis tu, sayang nak abang buat macam mana lagi?” soalnya lembut. Bagaikan membisik. Aku toleh pandang ke arah pintu kamar. Hanya susuk tubuh Raisya yang kelihatan takut-takut hendak menapak 
masuk. Sedangkan susuk si abang entah ke mana menghilang. Mengenangkan baju raya pertama aku yang sudah digunting Raiqal dan Raisya, air mataku semakin laju menuruni pipi. Memanglah perkara itu kecil, namun kondisi aku yang sedang hamil anak ketiga membuatkan hatiku menjadi sensitif tanpa kata.

   “ Abang pergilah rumah Mak Hasnah, Ira duduk rumah aje.” Aku mula bersuara dengan suara yang tenggelam-timbul. Faridzul sudah terbuntang biji mata. Bagaikan terkejut dengan kata-kataku.

   “ Sayang, takkan abang nak beraya dengan anak-anak aje? Habis tu, sayang tak nak ziarah kubur arwah along ke? Kan kita dah janji semalam..” Seperti yang kutebak, dia takkan mudah-mudah bersetuju. Wajahnya sudah mula cemberut.

   “ Ira tak ada baju nak pakai..” Senduku mulai kuat. Faridzul membuka songkok yang dipakai sedari tadi lalu diletakkan di atas birai katil. Kedua-dua belah pipiku dia pegang lalu dielus-elus lembut. Aku hanya menurut bila dia sudah membawa wajahku menghadapnya.

   “ Kan abang belikan sayang tiga helai baju kurung, pakailah yang lain tu. Ada lagi kan?” Faridzul masih dengan intonasinya. Memujuk! Aku diam sejenak. Dia masih menanti kata-kataku.

   “ Ira tak nak, Ira nak keluarga kita sedondon..” rengekku lagi. Ah, penangan pembawakan budak barulah ni..

   “ Sayang..” Baru dia nak melanjutkan kata, kulihat Raiqal sudah tiba dengan sehelai baju di tangan. Baju yang berwarna hijau gelap itu kutatap lama. Mana dia jumpa baju ni??

   “ Umi..” Raiqal menyeru namaku lembut. Nadanya bagaikan takut-takut. Air mata yang tadi laju, ku seka perlahan.

   “ Umi pakai baju ni, boleh? Raiqal panjat kerusi tengok almari arwah mak long, Raiqal jumpa baju ni. Warna dia sama kan, umi?” Suara Raiqal sudah mulai sebak. Aku lihat wajah anak kecil itu seakan ingin menangis. Kemudian, Raiqal talakan pandangannya pada Faridzul. Barangkali mengharapkan bantuan papanya. Namun, kulihat Faridzul hanya tenang saja di sisiku meskipun wajahnya sudah berubah serius berbanding tadi. Entah apa yang bermain di benaknya aku tidak pasti.

    Aku tidak bercakap banyak. Melihat baju peninggalan arwah along, hatiku menjadi sebak. Sudah hampir lima tahun aku tidak dapat beraya bersama arwah. Rasa rindu dan kenangan lama menggamit tiba-tiba. Baju di tangan Raiqal aku capai dengan mata yang mulai berkaca hebat. Faridzul gelisah. Pantas saja dia merampas baju di tangan aku lalu dia suakan kembali pada Raiqal. Aku terkebil-kebil. Dah kenapa? Baru aje aku berniat untuk menyarung baju itu. Lagipun, warnanya memang hampir sama dengan warna tema baju aku serta keluarga.

   “ Raiqal, simpan balik baju ni. Papa tak nak tengok..” arahnya tegas. Aku sekilas menoleh. Kenapa dengan suamiku?

   “ Abang, kenapa..” Aku belum sempat menamatkan bicara bila mana Faridzul sudah bangun lalu menapak ke arah beg pakaian kami. Sehelai baju kurung berwarna kuning keemasan ditarik keluar. Lalu, dia hulurkan padaku. Aku pandang dia dengan wajah tak percaya.

   “ Pakai baju ni..” Tegasnya. Teragak-agak aku menyambut huluran itu.

   “ Tapi, Ira nak pakai baju tadi.. abang. Warna pun sama..”

   “ Abang cakap pakai baju ni, maknanya pakai baju ni.. Ira. Boleh tak dengar cakap abang? Hari ni hari raya, janganlah lawan cakap abang. Dah, abang tunggu Ira dekat luar. Raiqal, Raisya.. kita tunggu umi dekat kereta.” Faridzul sudah berlalu dengan wajah yang masih tanpa senyuman. Dalam hati, aku tertanya-tanya akan perubahannya.

   Baju kurung di tangan ku toleh berkali-kali. Akhirnya, dengan helaan nafas lemah.. aku menyarung pakaian itu ke tubuh. Dalam hati, terdetik rasa kecewa dan sedih dengan layanan Faridzul yang berubah tiba-tiba. Sekali lagi, setitis air mataku gugur. Kenapa aku tidak diberi keizinan untuk memakai baju arwah along? Sungguh, aku rindukan arwah along. Long.. Ira rindu. Kali ini aku sudah mula teresak-esak di birai katil.

********************

 Aku mengetap bibir tanda marah. Wajah sepupu Faridzul yang bernama Azura Hasni itu ku tatap geram. Dari tadi saja dia asyik menempel pada tubuh suamiku. Menggeletis! Rungutku sendiri. Faridzul pula kulihat senang melayan. Azura hendakkan itu, dia cedokkan. Azura hendakkan rendang pun dia cedokkan. Aku isterinya, langsung dia tak pedulikan. Sudahlah aku kelihatan pelik di antara keluargaku ini. Masakan tidak, hanya aku yang tidak mengikut warna tema. Keluhan kulepaskan. Rasa kecil hati datang menyinggah. Lalu, aku bangkit dari kerusi. Hendak membawa diri.

   “ Sayang, dah kenyang?” soal Faridzul bila kerusi yang kutolak menarik perhatiannya yang leka melayan si miang keladi itu. Aku toleh dengan wajah tanpa perasaan lalu kuangguk sekali. Langkah ku atur menjauh. Faridzul tidak membiarkan. Cepat saja dia membontoti langkahku.

   “ Nak ke mana ni?” soalnya prihatin. Nadanya benar-benar membuatkan rajuk yang mahu singgah bagaikan bertebaran pergi. Aku langsung tidak pandang wajahnya. Pegangannya di tangan kecilku, aku tolak perlahan. Melihat kelibat Raiqal dan Raisya yang sibuk menghitung duit raya yang dikumpul, membawa kakiku ke situ.

   “ Sayang, kenapa ni? Abang ada buat salah ke?” Faridzul masih tidak berputus asa. Pinggangku cuba diraih. Namun, aku sudah menepis lembut tangan kekarnya. Wajahnya jelas tercengang.

   “ Jangan sentuh Iralah..” marahku kecil. Tapi, masih tidak meninggi suara. Wajah Faridzul berubah muram. Aku buat tidak tahu. Langkah kembali diatur.

   “ Hai anak-anak umi.. buat apa?” soal aku ceria pada anak-anak. Faridzul masih mengekori aku. Raiqal tarik senyum manakala Raisya sudah berlari kecil ke arah aku. Sehinggakan tubuhku sedikit terdorong ke belakang dek tidak bersedia. Cepat pula tangan sasa itu memaut. Aku terkesima.

   “ Raisya, anak papa. Jangan buat umi macam ni. Kalau umi jatuh, kasihan baby nanti..” tegur Faridzul pada puterinya. Persis bapa yang penyayang. Aku hanya pekakkan telinga. Ku buat dia bagaikan tidak wujud saja di situ. Terus aku berniat hendak mendukung Raisya.

    “ Comelnya anak umi.. siapa yang tocangkan kepala Raisya ni? Nek Hasnah ye?” soal aku perlahan lalu melaga-lagakan hidung pada hidung kecil itu. Raisya tergelak comel.

   “ Papa uatkan.. antik kan, mi?” Jawapan dari Raisya yang pelat buat senyumku mati. Takkanlah suami aku pula yang buat kerja-kerja macam ni kan? Ah, tak percayalah. Kemas pula ikatan pada rambut Raisya. Cantik.

  “ Cantik tak sayang? Abang yang tolong tocangkan rambut Raisya. Tengok Ira sibuk tolong Mak usu tadi, abang pun buatlah. Cantik kan?” Dia cuba memancing perbualanku. Wajahnya ceria bagaikan berbangga dengan hasil kerjanya.

   Hmm..” balasku acuh tidak acuh. Terus wajah cerianya mati. Aku lihat dia seakan mengeluh lemah.

   “ Meh sini Raisya, kasihan umi dukung Raisya lama. Sayang, biar abang dukung Raisya pula. Sayang rehat aje kat situ eh?” Tiba-tiba dia mula mencari topik lain. Baru saja dia hendak mengambil Raisya dari dukunganku, aku sudah mula membawa kakiku ke arah sofa. Kubiarkan dia berdiri bagaikan orang bodoh. Faridzul tercengang.

   “ Sayang, abang salah apa ni?” Suaranya sudah kedengaran seperti berputus asa. Duduknya dilabuhkan di sisi aku. Aku berpura-pura sibuk bermain dengan Raisya.

   “ Abang Far.. jom teman Zura pergi rumah sebelah. Mak usu suruh hantarkan rendang ni..” Muncul pula si miang keladi di antara kami. Terus aku jeling wajah tampan Faridzul yang tersengih. Dia bagaikan tidak tahu gelodak di hatiku.

   “ Okey Zura, kejap..” tuturnya membuatkan biji mata aku terbuntang luas.

   “ Sayang, abang teman Zura kejap eh? Dia tak biasa datang sini. Kejap tau.. nanti abang balik..” ujarnya lalu dahi aku dicium sepintas sebelum ciuman turut dihadiahkan pada pipi montel Raisya. Belum sempat dia hendak bangkit, sudah kutarik laju tangan sasanya sehingga dia terduduk kembali. Faridzul terkebil-kebil memandang aku.

   “ Nah, pegang Raisya. Biar Ira temankan Zura..” Aku memberi kata putus. Wajah terkejutnya tidak kuhirau. Faridzul sudah mula menyambut puteri kesayangannya. Tidak menunggu lama, aku atur kaki ke arah Azura Hasni.

   “ Jomlah, Kak Ira temankan..” ajak aku pada Azura Hasni. Gadis sunti itu bagaikan tidak berpuas hati.  Tapi, di benakku ada satu ayat yang melintas. Ada aku kisah?

********************

Pulang saja dari menghantar juadah ke rumah Tok Limah, aku lajukan kaki ke bilik tetamu yang disediakan di rumah Mak Hasnah atau kini aku panggil sebagai mak usu. Itupun setelah suamiku yang menegur bahasa panggilan aku terhadap orang yang sudah kuanggap seperti ibu kandungku itu.

   “ Dah balik, sayang?” soal Faridzul lalu merangkul pinggangku. Aku malu sendiri. Sudahlah Azura dan Mak Hasnah sedang menonton kami. Lalu, aku hanya mampu angguk dengan senyuman kelat.

   “ Jom sayang..” Tiba-tiba dia bersuara. Aku menoleh. Wajah kuriakkan ingin tahu. Dia senyum lalu mencuit hidung aku manja.

   “ Abang ingat nak pergi beraya rumah kawan lama abang dekat hujung kampung. Kawan sewaktu kecil. Dia call tadi, ajak beraya rumah dia. Jomlah..” ajak suamiku terus. Belum sempat aku nak bersuara, ada suara sumbang yang kedengaran.

   “ Zura nak ikut juga, abang..” Si miang keladi terlebih dahulu memberi jawapan. Aku lihat Faridzul hanya senyum saja pada sepupunya itu.

   “ Boleh. Arman pun kawan Zura juga kan..” Setuju pula suamiku. Kali ini, aku sudah mula rasa mendidih. Aku lihat Azura dan Faridzul bagaikan semut saja. Lantas, tanpa memberikan jawapan.. aku melangkah masuk ke kamar. Kubiarkan pandangan pelik Mak Hasnah pada diriku. Waktu ini, rasa sakit di hati mengatasi akal warasku.

   Tudung yang membelit makhkotaku, aku lurut lalu kuletakkan di atas kerusi. Tubuh kurebahkan ke tilam empuk itu. Baru aku hendak lelapkan mata, sudah ada susuk tubuh lain yang menempel. Ini tak lain dan tak bukan.. Faridzul Qaiser! Lantas, aku bergerak menjauh. Cepat pula dia menangkap pergelangan tangan aku. Aku termati aksi.

   “ Kenapa ni? Dari rumah arwah along lagi, Ira marah-marahkan abang. Abang buat salah apa, sayang?” Dia merenungku dengan penuh rasa cinta. Dalam pandangannya, bagaikan ternampak sinar cinta yang dia hulurkan buat aku. Serta-merta rasa berangin seketika tadi surut sedikit. Namun, tidak lama bila aku ingatkan kembali.. aku menjadi sakit hati. Ku tolak tangannya menjauh.

   “ Ira tak marah. Dahlah, abang pergilah rumah kawan abang tu.”

   “ Abang nak pergi dengan isteri abang sekali. Kenapa Ira tak nak pergi?” soalnya lembut. Rambutku dia belai-belai penuh kasih. Sedikit terleka aku dibuatnya.

   “ Zura kan ada..” Aku mula hendak menunjukkan bau-bau cemburu tanpa sedar. Faridzul tergelak kecil. Aku ketap bibir. Sukalah tu aku kenen-kenenkan dia dengan sepupunya. Tuduhku dalan hati.

   “ Tapi, dia bukan isteri abang..”

   “ Tapi, dia bakal jadi isteri abang!” Zap.. aku terdiam. Mulutku sudah lancar menuturkan. Dan kali ini aku lihat dia yang tergelak kecil tadi mula berwajah serius. Tegang tanpa senyum. Mulalah aku merasa bersalah kerana melulu dalam bicara.

   “ Ira cakap apa ni?” soalnya keras. Aku hanya tunduk membisu.

   “ Abang tanya, Ira cakap apa?” ulangnya lagi. Semakin keras dan tegas kedengaran. Aku dongak wajahku takut-takut.

   “ Ira.. Ira tak tahu..” Aku ketandusan kata. Hailah.. takkan hari raya pun kami akan bertekak. Salahku lagi.. detik aku menyesal. Aku lihat Faridzul sudah mula bangkit berdiri. Dia tersenyum hambar pada aku.

   “ Ira cemburu?” soalnya perlahan. Nadanya bagaikan kecewa dengan tingkah aku. Tapi.. aku berhak untuk cemburu, bukan? Aku jatuhkan kepala tanda mengiyakan.

   “ Dengan Zura?” soalnya lagi. Aku panggung wajah lama sebelum kali kedua kepala aku jatuhkan lagi. Dia tergelak nipis. Gelak yang memang jelas dibuat-buat.

   “ Kalau benar Ira cemburu, Ira tak patut cemburukan abang dan Zura. Tak logik, sayang. Satu lagi Ira perlu tahu, kata-kata Ira tadi menunjukkan jelas Ira tak percayakan abang. Seolah-olah abang ni jahat di mata Ira. Mungkin abang memang jahat pada mata Ira sebab dulu abang pernah lukakan hati Ira. Sebegitu ke anggapan Ira pada abang?” soalnya lirih. Matanya bagaikan bergenang. Tidak menunggu aku membalas, aku lihat Faridzul sudah mula mencapai kunci keretanya lalu berlalu keluar. Aku termangu. Merajukkah dia?

   Kata-katanya berulang-tayang di benak aku. Rasa bersalah mula mengetuk-ngetuk pintu hati. Aku mula bergegas hendak mendapatkannya.  Ya Allah, aku sudah mengguris hati suamiku. Desis aku tidak keruan.

   “ Raiqal, papa mana?” soal aku pada putera kami. Aku lihat Raiqal tuding jemarinya ke luar rumah Mak Hasnah. Spontan, aku lajukan kaki ke anjung rumah. Kereta BMW 5 Series milik Faridzul sudah menjalar keluar. Aku terdiam lesu di situ. Air mata mula hendak menitis.

   “ Dia kecil hati tu..” Suara Azura membuatkan aku berpusing 360 darjah. Aku lihat Azura sedang tersenyum pada aku.

   “ Kak Ira dah salah faham..” Mendengarkan omongan Azura Hasni, rasa ingin tahuku semakin membuak-buak. Apa yang aku salah faham?

   “ Mari sini, Zura ceritakan. Mungkin Kak Ira tak tahu..” ajaknya mesra. Dan aku hanya menuruti kerana hati aku benar-benar tertarik dengan kata-kata Azura Hasni.

*****************

Aku turun dari kereta Myvi milik Azura. Sepanjang kampung aku mencari suamiku, dan akhirnya aku lihat kereta mewah miliknya tersadai di hadapan tanah perkuburan arwah along. Mendengarkan cerita dari bibir Azura, air mata menderu-deru laju menuruni lekuk pipi.

   Fahamlah aku apa yang Faridzul cuba sampaikan. Rupa-rupanya Faridzul dan Azura Hasni adalah adik-beradik sesusuan yang di mana dilarang untuk berkahwin dalam Islam. Waktu Azura kecil, ibu bapanya sering meninggalkan Azura di rumah Faridzul. Waktu itulah mummy Faridzul yang sering menyusukan Azura. Jadi, aku sudah silap menafsir.

  Paling membuatkan aku sebak adalah mengenai baju kurung arwah along. Rupa-rupanya Faridzul tidak mahu aku berasa tersisih andai tahu baju kurung yang Raiqal jumpai merupakan hadiah pemberian terakhirnya buat kekasih hati. Dia bimbang aku berjauh hati. Ah, abang.. takkanlah Ira mahu cemburu pada arwah along sedangkan Ira tahu dia adalah yang pertama. Air mata yang menitis ku seka perlahan. Sungguh, dia kini benar-benar hendak menjaga hati dan perasaanku. Lantaran itu, dia cuba mengelakkan aku untuk memakainya.

   Menambahkan perasaan bersalah di hati aku bila Faridzul sanggup menelefon Azura andai Azura ada baju kurung yang berwarna sama dengan tema kami sekeluarga. Menurut Azura, Faridzul sempat menelefonnya pagi hari bertanyakan soal baju. Agak terkejut Azura mendengarkan permintaan itu. Sebaik saja Faridzul menjelaskan, Azura hanya mampu tersenyum. Dia berkata aku bertuah memiliki Faridzul sebagai suami. Tapi, Azura tidak dapat membantu kerana tiada warna sebegitu dalam koleksinya. Kalau ada pun sudah tentu tidak muat untuk aku yang sudah berbadan dua hampir mencecah empat bulan ini. Sebak menghunjam dadaku.

   “ Aina.. Far minta maaf. Far dah sekali lagi lukakan hati dia. Far gagal untuk kali kedua jaga Ira buat Aina. Jahatnya Far lukakan hati isteri Far..” Luahan Faridzul yang sempat aku dengari. Mungkin dia tidak perasan kewujudan aku di belakangnya. Aku pegang dada sendiri. Ya Allah, ampunkan aku kerana mengguris hatinya. Abang.. Ira minta maaf. Berkali-kali ku pohon sendu ungkapan maaf itu. Sedar khilafku sendiri. Betapa dia bersabar melayani karenahku kali ini.

   “ Aina tentu akan marahkan Far, bukan? Far tak sengaja, Aina. Dalam Far hendak menjaga hatinya, berkali-kali juga Far lukakan hatinya. Tak layak ke Far untuk dia, Aina? Dia terlalu sempurna buat Far.” Rintihan demi rintihan aku dengari. Sungguh, aku pedih. Air mata kuseka perlahan. Tidak elok menangis di tanah perkuburan.

   “ Aina, Far rasa Far dah gagal tunaikan permintaan Aina. Tapi, Far jujur dan Far berani bersumpah. Far memang cintakan dia, Aina. Peribadi dia buat Far jatuh cinta sama macam kali pertama Far jatuh cinta pada Aina. Far sayangkan dia, Aina. Macam mana Far nak tunjukkan kasih Far ni? Kasih Far tak terucap buat Qaseh Zahira, Aina. Takkan pernah bisa terucap. Hanya Far dan DIA yang tahu betapa peritnya rasa ni. Far tak sanggup kehilangan dia, Aina..” Faridzul bagaikan mengadu. Aku lihat dia menyeka air matanya. Semakin berkepuk-kepuk rasa bersalah menghantui diri. Abang.. sesungguhnya kasih kita takkan bisa terucap.. sahutku dalam hati.

   “ Aina.. Far akan jenguk Aina lagi. Satu yang Far nak Aina tahu, Far akan jaga amanah Aina dengan seluruh jiwa raga Far. Far harap Aina tenang di sana. InsyaAllah kita akan bertemu kelak di ‘sana’. Andai kata Ira sudah tidak memerlukan Far, Far akan..”

   “ Abang akan apa??” Aku cemas mendengarkan bicaranya. Pantas, aku berlari padanya. Dia spontan berdiri. Wajahnya jelas terkejut. Aku sudah mula menggenggam tangan sasanya.

   “ Abang apa? Abang nak lepaskan Ira? Sampai hati abang. Ira minta maaf, abang. Salah Ira..” Aku sudah mula meratap hiba. Kulihat dia bagaikan terkelu lidah. Dia kemudiannya mengesat tubir mataku. Tanganku dia genggam sebelum dia menoleh kembali pada kubur arwah along.

   “ Aina.. Far pulang dulu. Ada hal yang Far nak uruskan. Nanti Far akan jenguk Aina lagi. Bersemadilah dengan tenang. Assalamualaikum..” tuturnya lalu dia mengheret tanganku keluar dari tanah perkuburan. Aku sempat menoleh pada kubur arwah along yang baru pagi tadi kuziarahi.

   Along.. terima kasih hadiahkan dia buat Ira. Terima kasih, long. Al-Fatihah.. sahutku pula dalam hati.

********************

Aku dan Faridzul masing-masing diam tanpa bicara. Hanya deruan ombak menjadi teman kami. Menyerikan sedikit suasana sunyi di antara kami.

   “ Ira..”

   “ Abang..” Serentak kami ingin berbicara. Aku lihat dia tersenyum nipis.

   “ Ira cakap dulu ke abang cakap dulu?” soalnya dengan senyuman manis. Aku diam. Masih lagi terasa bersalah dengan tingkahku.

   “ Okeylah, biar abang yang cakap dulu. Pertama kalinya, abang nak marah Ira.” Kata-katanya membuatkan aku spontan berpaling. Wajahnya bagaikan sedang menyimpan senyum.

   “ Kenapa?” soal aku lembut. Cukup perlahan sekali kedengaran.

   “ Sebab Ira datang ke kubur arwah along dalam keadaan emosi tak stabil macam tu. Banyak perkara boleh berlaku tahu? Buatnya Ira tersampuk dekat situ, abang nak jawab apa nanti dengan Mak usu?” bebelnya geram. Oh, fahamlah aku kenapa dia mengheret aku keluar dari tanah perkuburan. Pernah juga aku mendengar kata-kata orang tua tentang hal itu. Tapi, benarkah begitu? Ah.. bukan itu pokok pangkalnya.

   “ Dan yang kedua.. abang nak minta maaf.” Sambungnya bila aku hanya diam mendengar leterannya. Aku terkejut. Kenapa dia yang perlu meminta maaf?

   “ Sebab abang dah lukakan hati Ira. Tengok.. kasihan isteri abang sampai bengkak mata menangis..” ujarnya dalam nada separuh mengusik. Aku terpempan. Dalam hati, sebak bertamu. Sedangkan aku yang bersalah, tapi dia masih mahu memohon kemaafan. Dia turunkan egonya hingga ke takat paling bawah. Sungguh aku sayangkan lelaki bernama Faridzul Qaiser ini. Sangat! Tangannya kucapai lalu aku cium lama.

   “ Ira.. Ira minta maaf. Ira salah sebab tuduh abang melulu..” Air mataku menitis perlahan dia atas tapak tangannya. Aku dapat rasa dia sedang mengusap ubun-ubunku.

   “ Abang maafkan..” Lembut suaranya. Aku panggung kepala. Tidak percaya.

   “ Betul ke?” soal aku kecil. Dia angguk bersama senyuman.

   “ Sebab abang tak nak isteri abang dimurkai oleh Allah. Jadi, semua kesalahan dan khilaf Ira, abang ampunkan. Ira kan isteri abang. Kalau abang tak ampunkan, tak dapatlah abang sama-sama nak bawa Ira ke JannahNYA..” Lunak suaranya menuturkan kata-kata yang bisa menyejukkan hati.

   “ Ira.. Ira..” Aku jadi kelu hendak membalas kata.

   “ Abang tahu Ira terharu kan? Tak perlu, sayang. Apa yang abang luahkan memang ikhlas dari hati abang, abang maafkan sayang sebab abang sayangkan isteri abang. Abang tak nak isteri abang terseksa kelak. Jadi, abang tak nak Ira rasa bersalah lagi. Jangan sedih-sedih sebab doktor pernah pesan pada abang, jangan buat emosi Ira terganggu. Tak elok untuk bayi kita..” Tangannya sudah melekap pada perutku. Aku tunduk memandang. Tangannya yang masih melekap aku genggam erat. Seluruh kasihku tumpah buatnya.

   “ Ira berdosa.. hari ini sepatutnya kita semua seronok-seronok. Tapi, Ira dah rosakkan mood semua. Maafkan Ira, bang. Ira sayangkan abang, sebab itu Ira tak mampu tepis rasa cemburu itu.”

   “ Sayang, dengar sini. Cemburu tu penting dalam hubungan suami isteri. Tapi, jangan melulu sebab kadang-kala ia boleh membinasakan. Abang bangga sebab isteri abang cemburu. Tandanya dia sayangkan abang. Tapi, dalam masa yang sama abang sedih sebab bila isteri abang cemburu bermakna abang dah sakitkan hati dia.” Ya Allah, tulusnya kata-kata Faridzul. Aku sebak. Tidak menunggu lama, tangisan aku hamburkan pada baju melayunya. Dapat kurasakan dadanya sudah lencun dengan sisa air mataku.

   “ Sshh.. dahlah, sayang. Jangan nangis lagi. Abang nak tengok sayang senyum. Hari ni abang tak tengok lagi sayang senyum. Cuba senyum, sayang..” Dia mengusap-usap belakang tubuhku sebelum dia jarakkan kembali. Wajahku dia panggung dengan mendongak dagu kecilku. Aku masih teresak-esak. Faridzul sudah pun menyapu bersih pipi aku. Aku terkebil-kebil.

   “ Bila abang cium kedua-dua belah mata cantik ni, abang tak nak ada air mata lagi yang mengalir..” ujarnya lantas ciuman dia labuhkan di situ. Entah kenapa, mendengarkan kata-kata itu.. aku berusaha menahan tangisan.

   “ Haa.. dengar pun kata abang. Ini yang buat abang sayang ni..” pujinya lantas dia bawa aku ke dalam dakapan. Erat.

   “ Sayang.. satu abang nak tanya sayang. Sayang dah percaya dengan cinta abang pada sayang?” soalnya luhur. Aku mendongak meskipun tubuhku masih dia peluk erat. Ini kalau orang kampung menengok, memang kami mendapat award pasangan teromantik di kampung. Fikirku terus.

   “ Ira percaya sebab Ira dah dengar semuanya. Ira tak sangka abang begitu sayangkan Ira. Kali ni, Ira janji.. Ira akan balas balik rasa sayang tu setimpal dengan rasa yang abang curahkan buat Ira. Ira janji, bang..” Aku sudah mula hendak teresak. Namun, tak sempat bila..

   “ Haa.. tak nak nangis, sayang..” tegurnya menghalang. Okey, aku tak jadi menangis. Aku pegang tangan sasanya erat. Kuusap penuh kasih tangan yang selalu membelai aku saban hari.

   “ Ira sedih, abang. Ira baru berangan nak beraya dengan abang dan anak-anak. Alih-alih jadi macam ni pula. Ira nak kita sekeluarga berkumpul..” Aku mengadu sudahnya. Dia tersenyum kecil memandangku.

   “ Ira nak macam tu?” soalnya. Aku angguk mengiyakan.

   “ Sekejap..” tuturnya pelik. Seketika, aku lihat dia mula menaip-naip sesuatu di telefon bimbitnya. Tak lama bila..

   “ Umi, papa..” jeritan Raiqal kuat kedengaran. Spontan, aku berpaling. Wajahku jelas terkejut. Di belakang ada juga wajah Mak Hasnah dan Azura. Mummy dan daddy Faridzul juga ada. Eh? Aku spontan bangun. Tangan mertua aku salami hormat.

   “ Kat sini rupa-rupanya pasangan romantik kita..” usik mummy Faridzul. Faridzul tersengih bak kerang busuk lalu menghampiri mummy dan daddynya.

   “ Selamat hari raya, mummy. Far minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki. Daddy, Far minta ampun dan halal segalanya..” Giliran Faridzul pula memohon ampun pada ibu bapanya. Aku lihat Mak Hasnah sudah membentangkan tikar mengkuang di atas pepasir pantai itu. Aku buat muka pelik.

   “ Diaorang  nak buat apa tu, bang?” soal aku pada Faridzul. Aku dengar tawa dari bibirnya.

   “ Cakap nak berkumpul bersama. Ini, yelah ni..” sahutnya membuatkan mataku terbeliak. Biar betul..

   “ Kenapa, tak percaya? Biar tak ada orang buat. Kita orang pertama pecah tradisi..” usiknya nakal. Aku sudah tergelak lucu. Tak pernah sepanjang pengalaman aku, beraya di tepi pantai. Tapi, pengalaman ini bagaikan seronok saja.

   “ Ira.. meh duduk sini. Tercegat lama buat apanya..” laung Mak Hasnah kuat. Aku senyum. Kini, yang tinggal hanya aku dan Faridzul saja. Aku pandang wajah Faridzul. Begitu cepat dia cuba merealisasikan keinginan aku.

   “ Bang, terima kasih..” ucapku tulus. Faridzul senyum.

   “ Kasih Ira, abang terima dari dulu lagi. Tapi, satu yang abang tak dapat tunaikan. Pasal baju ni..” Dia serba salah. Aku cuit pinggangnya manja.

   “ Baju dah tak penting, bang. Apa yang penting, selagi Ira boleh beraya bersama abang.. selagi tulah Ira rasa raya Ira sempurna. Abang.. selamat hari raya. Maafkan khilaf Ira selama menjadi isteri abang.. Ira sayang abang..” Aku mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf.

   “ Seperti yang abang cakap tadi.. semuanya abang maafkan. Dan abang pun sayangkan Ira..” ujarnya lalu dia tunduk mencium dahiku.

   “ Kami pun sayang umi dan papa.. Taraaa!!!” jerit kedua-dua permata kami yang entah bila menempel di sisi. Aku dan Faridzul tergelak lucu. Faridzul sudah tunduk mendukung kedua-dua permata hati kami. Dicium bertalu-talu kedua-dua pipi Raiqal dan Raisya.

   Faridzul tidak biarkan aku mendukung. Dia betul-betul menjaga aku dan kandungan. Sungguh, aku rasa disayangi dan aku sedar kini.. kasihnya benar-benar tak terucap buatku.

    Dalam aku seronok melayan rasa, perut yang tidak terlalu ketara aku usap kasih. Anak umi.. bila anak umi lahir.. tentu anak umi akan dapat rasa kebahagiaan seeprti ini juga. Mudah-mudahan sebab kasih papa pada kita takkan pernah bisa terucap. Tulus aku pada si kecil di dalam kandungan. Berharap dia bisa mengerti.

   Wajah tampan Faridzul dan anak-anak yang masih bergelak ketawa.. ku pandang bersilih ganti dengan rasa berbunga. Ketahuilah, kasih seorang Qaseh Zahira takkan terucap buat kalian. Ira sayang abang.. umi sayang anak-anak umi. Hatiku membisik lagi dan lagi. Syukur ke hadrat Ilahi dengan kebahagiaan ini. Terima kasih, Ya Allah..

note : maaf kalau tak berapa nak special.. :'( komen ye? komen.. sob3.. hehehe

Wednesday, June 12, 2013

Dia Yang Kau Pilih (Bab 4)


BAB 4

“ Kenapa Rif buat Fea macam ni, nek? Kenapa? Apa salah Fea??” Suara hiba Sofea bergema memecah kesunyian rumah kampung yang nampak meriah dengan kunjungan para tetamu. Namun, tidak pula semeriah dan seceria hati si pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinan sebentar lagi. Hatinya gundah dan sayu. Nek Cah terduduk di birai katil. Kuat tangan tuanya menggenggam tangan Sofea.

   “ Rif pergi sebab nak sambung belajar, Fea..” pujuk suara Nek Cah bergetar. Sofea menuntaskan pandangan pada wajah tua itu. Dia bangkit dari tempat yang diduduki sebelum dia melurut jatuh berlutut dekat dengan kaki Nek Cah. Tangan tua Nek Cah dicapai sebelum dia merapatkan kepalanya pada ribaan Nek Cah.

   “ Fea rayu pada nenek.. tolong bagitahu Fea perkara sebenar. Fea tahu nenek dan Rif ada sembunyikan sesuatu dari Fea. Dia tak pernah pergi tanpa kata, nek. Fea kawan baik dia. Dia takkan buat Fea macam ni tanpa sebab.” Sofea bersuara diselangi esak kecilnya. Di dalam kamar pengantin yang dihias indah itu hanya ada mereka berdua saja.

   “ Apa lagi yang Fea nak nenek cakap?” Sayu kedengaran. Sesekali Nek Cah mengelap tubir matanya. Rif.. nenek rindu Rif. Detik hati tuanya.

   “ Tolonglah nenek. Cakap dan jelaskan pada Fea semua yang nenek tahu dan sorok daripada Fea. Kenapa Rif pergi, nek??” sela Sofea sambil menggoncang lembut tangan tua itu. Nek Cah pejam mata. mutiara jernih mengalir lewat celah matanya yang terkatup rapat itu.

   Rif.. perlu ke nenek cakap perkara sebenar? Nenek tak tahu, Rif. Nenek kasihan pada Fea. Kalaulah Rif lihat keadaan dia sekarang, Rif tentu takkan pergi pada hari berbahagia dia. Tapi, nenek faham situasi Rif. Nenek faham. Hanya kerana ‘dia’ yang Fea pilih, Rif undur diri. Nenek faham.. desis Nek Cah sendu.

   “ Nek.. Fea nak tahu, nek..” Suara merayu-rayu milik Sofea menyentakkan Nek Cah. Spontan dia membuka matanya. Wajah yang lencun dek air mata itu dipandang sayu.

   “ Rif pergi sebab dia cintakan Fea.” Sebaris ayat itu menyebabkan mulut Sofea terlopong luas. Matanya terkebil-kebil menanti mulut itu bersuara meyakinkan. Perlahan-lahan Nek Cah angguk kepalanya sekali.

   “ A.. apa nenek cakap? Fe.. Fea tak faham, nek..” Tergagap-gagap Sofea memuntahkan kata. Bibirnya nyaris terkelu bisu. Nek Cah tarik nafas panjang. Pipi Sofea diusap sayang. Dia menarik Sofea bangun. Duduk di sebelahnya. Sofea menurut tanpa banyak soal. Namun, benaknya banyak inginkan jawapan pada persoalan yang muncul satu persatu.

   “ Rif cintakan Fea. Fea tahu tak?” soal Nek Cah lembut. Sekali lagi, Sofea rasa kepalanya berpinar-pinar. Jadi, selama ini kata-kata cinta yang keluar dari bibir itu semuanya benar? Bukan sekadar mainan kata? Ya Allah.. Sofea menekup mulutnya. Terkejut benar dia mendengar pernyataan itu.

   “ Fea.. Fea..” Sofea ketandusan kata. Nek Cah tersenyum hambar.

   “ Fea tak percaya kan? Fea anggap apa yang Rif luah semuanya gurauan? Nenek tahu.. nenek tahu..” Nek Cah menggumam sendiri. Sofea masih lagi dalam kondisi terkejut.

   “ Tapi, nek..” Termati terus kata-kata Sofea pabila Nek Cah sudah mencelah laju.

   “ Ya, hati Fea bukan milik dia. Dia tak dapat sentuh hati Fea. Sebab tulah Rif sedar kedudukan dia. Dia cuba terima hakikat. Tapi Fea.. Rif insan biasa. Dia tak mampu nak butakan hati dan matanya melihat saja Fea menjadi milik orang lain. Sebab tu cucu nenek yang selama ni kuat pergi juga dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran. Dia tak sanggup kehilangan orang yang dia sayang untuk kali kedua. Cukuplah ketika mak ayah Rif dijemput pemilik asalnya dulu. Rif dah tak kuat, cu..” Luluh hati Sofea mendengarnya. Ya Allah.. Rif, maafkan Fea. Maafkan Fea.. rintih hati Sofea.

   “ Nek.. sumpah Fea tak pernah tahu. Kalaulah Fea tahu Rif cintakan Fea, Fea akan cuba..”

   “ Tak, cu. Rif tak nak macam tu. Dia tahu Fea cintakan Had. Dia redha. Memang Fea bukan untuk Rif..” Nek Cah sekali lagi mencelah. Bahu Sofea diramas lembut. Tiba-tiba, Sofea bangkit.

   “ Nek.. Fea nak pergi jumpa Rif. Fea kena jumpa Rif!!” Sofea mula hendak berlari keluar. Nek Cah spontan berdiri. Tangan Sofea dipegang. Menghalang gadis itu daripada berlalu.

   “ Fea nak ke mana? Fea nak akad nikah kejap lagi.” Suara Nek Cah cemas. Wajah Sofea dipandang lama menantikan sebuah jawapan. Sofea tersenyum paksa.

   “ Fea nak batalkan, nek. Ya, memang Had yang Fea pilih. Memang Had yang Fea cinta. Tapi, Rif juga penting dalam hidup Fea. Fea kenal Rif lebih lama daripada Fea kenal Had. 24 tahun, nek. Bukan satu jangka masa yang singkat. Kami membesar sama-sama. Terlalu banyak kenangan Fea dan Rif. Fea perlu cari Rif. Nek, restuilah Fea..” Sofea menjelaskan. Tangisannya semakin lebat.

   “ Jangan, Fea. Jangan keruhkan keadaan..” Nek Cah menghalang. Sofea pegang kepalanya sendiri. Sungguh, dia buntu.

   “ Jangan malukan keluarga Fea. Kalau Rif tahu, dia akan kecewa Fea. Demi Rif.. Fea kena langsungkan perkahwinan ni. Fea baca surat Rif kan? Dia cakap pada nenek walau apa sekalipun, Fea kena jadi isteri Had. Dia tak nak kelak dia terbeban dengan kesalahan andai perkahwinan ini dibatalkan,” jelas Nek Cah merayu. Sofea terjelopok jatuh sudahnya.

   “ Kenapa Rif buat Fea rasa terbeban, nek? Rif.. sampai hati Rif..” ngongoi Sofea kuat. Nek Cah pantas memeluk Sofea. Bertindak untuk menenangkan si gadis. Bahu Sofea diusap lembut.

   “ Tunaikan permintaan Rif. Teruskan perkahwinan ni ye, cu..” Lembut kata itu menusuk hati Sofea. Lambat-lambat Sofea membalas pelukan Nek Cah.

**************

Tiga tahun berlalu..

“ Sayang..” Lembut suara Hadri memecah gegendang telinga Sofea. Sofea berpaling. Perlahan-lahan senyuman dilemparkan buat suami tercinta. Ya Allah, sekali lagi dirinya terduga. Wajah pucat Hadri dipandang sayu. Wajah yang kelak akan meninggalkan dirinya jua.

   Semenjak Hadri disahkan menghidap leukimia, hidup mereka terus berubah 360 darjah. Tiada lagi tawa mesra, yang ada cuma linangan air mata duka.

   “ Mari sini, sayang..” Suara lemah itu sekali lagi kedengaran. Sofea bangkit perlahan-lahan. Wajah yang penuh berselirat dengan wayar itu dipandang lagi. Fea.. kau kena kuat. Jangan buat suami kau semakin lemah dengan tangisan kau. Tabah, Fea. Kau boleh hadapi semua ni.. suara hati membisik semangat.

   “ Abang nak air?” soal bibir itu bersama senyuman menguntum. Senyuman yang jelas hendak mengaburkan mata si suami. Hadri tersenyum lagi.

   “ Tak nak, abang nak sayang. Boleh?” Jelas nada si suami hendak mengusik. Sofea mengulum senyum.

   “ Fea memang untuk abang..” Suara itu membalas. Hadri lebarkan senyuman.

   “ Tapi, bukan untuk selamanya. Kelak.. Fea akan jadi milik lelaki lain. Abang dah nak ‘pergi’, sayang..” Hadri bersuara dalam kepayahan. Tangan si isteri dicapai lalu digenggam lembut. Sofea sudah menarik nafas panjang. Sebak mula bertamu. Dia memalingkan wajah sebelum dia kembali menatap wajah kacak Hadri.

   “ Abang tetap suami Fea untuk selamanya..” Lembut suara Sofea mencantas kata-kata si suami. Hadri menggeleng. Tangannya yang terketar-ketar diangkat untuk menyentuh pipi si isteri.

   “ Fea perlukan seseorang untuk jaga Fea. Jaga anak kita.. abang dah tak boleh jaga Fea. Cuma tempoh tiga tahun yang dijanjikan Allah untuk abang bergelar suami kepada Sofea Liyana. Tapi, abang bersyukur. Tempoh tiga tahun itu terlalu bermakna untuk abang ‘bawa bersama’ nanti. Kenangan bersama Fea dan Haiqal merupakan kenangan terindah dalam hidup abang..” Sofea pantas meletakkan jemarinya pada bibir si suami.

   “ Tolong, bang. Jangan cakap macam tu. Fea tak sanggup dengar. Abang akan sembuh kan? Abang akan sembuh. Abang takkan kejam tinggalkan Fea dan Haiqal. Haiqal tak nak jadi yatim piatu pada usia dua tahun, bang. Tolonglah..” rintih Sofea hiba. Matanya memancarkan sinar. Berharap mungkin si suami akan mengiyakan kata-katanya. Menyedapkan hatinya. Ya Allah.. Sofea rapuh.

   “ Shhh..” Hadri kebuntuan kata. Mana mungkin dia akan menidakkan kenyataan yang satu itu. Hakikatnya hayat dia tidak lama. Perlahan-lahan tubuh Sofea dibawa ke dalam dakapan. Erat tubuh itu dipeluk.

   “ Maafkan abang kerana abang tak boleh nak mengiyakan kata-kata Fea. Takdir Allah, Fea. Redhalah, sayang..” bisik Hadri lembut di peluput telinga Sofea. Mendengarkan kata-kata si suami, semakin kuat Sofea menghamburkan tangisan.

   “ Fea tak nak abang ‘pergi’..” Sofea turut berbisik.

   “ Tunggu Rif balik. Lepas ni, abang akan serahkan Fea pada dia.” Dan serentak dengan itu, Sofea sudah merenggangkan pelukan. Tajam anak matanya memandang wajah si suami. Hadri tersenyum lebar. Kepalanya dianggukkan sekali.

   “ Abang.. abang cakap apa ni?” soal Sofea terketar-ketar. Hadri tersenyum hambar.

   “ Fea rindukan dia kan? Tiga tahu abang jadi suami Fea, abang nampak sinar rindu tu. Meskipun cinta Fea untuk abang, tapi abang yakin dia juga jodoh Fea. Sebab tu abang tak dijanjikan untuk menjadi suami Fea lagi. Abang akan dijemputNya, sayang. Abang yakin Rif lelaki yang terpilih menjadi suami Fea nanti..” Ya Allah.. peritnya jiwa. Lukanya hati. Kenapa begini kesudahannya? Jerit batin Sofea.

   “ Abang..” Sofea tidak mampu meneruskan kata. Seketika, Hadri mula mencapai sepucuk sampul putih yang diselitkan di bawah bantalnya. Sampul putih itu dihulur ke arah Sofea. Lama Sofea memandang tanpa niat untuk mencapai.

   “ Surat ni surat terakhir abang untuk Fea. Fea janji dengan abang, boleh?” Hadri menagih janji. Sofea teragak-agak mencapai surat itu. Tubir mata yang lencun sudah tidak dihiraukan.

   “ Abang nak Fea berjanji. Hanya baca surat ni selepas abang ‘pergi’ ye, sayang? Dan tolong jaga permata hati abang dengan sebaiknya. Haiqal Danish bin Hadri, abang serahkan pada Fea. Jaga dia, kasihi dia sebagaimana Fea kasihi abang. Janji dengan abang..” tagih si suami lagi. Tika ini, air mata semakin laju mencurah-curah. Fea tak nak hilang abang!! Jerit hati Sofea. Kenapa? Kenapa perpisahan ini satu rasa yang menyakitkan??? Kenapa??

   “ Fea janji, bang. Fea juga akan janji yang Fea akan jaga Haiqal melebihi nyawa Fea. Haiqal tanda cinta kita. Fea janji, bang..” Hadri terus menarik nafas lega. Sekali lagi tubuh si isteri dibawa ke dalam pelukan. Sebuah kucupan dihadiahkan pada ubun si isteri. Hadri pejam mata sesaat. Air mata jantannya mengalir jua.

   Sofea Liyana, ketahuilah sayang.. menjadi suamimu merupakan anugerah terindah dalam hidup abang. Jujur.. abang tak puas bersamamu. Banyak lagi bahagia yang abang nak kecap bersama Fea. Tapi, abang hanya mampu merancang. DIA yang menentukan segalanya.

   Fea, terima kasih untuk segalanya. Terima kasih untuk cinta, kasih dan sayang yang Fea hulurkan buat abang meskipun ianya hanya sementara. Cuma satu pinta abang.. sudikanlah hati Fea untuk sentiasa sedekahkan abang dengan alunan suci Al-Quran jika abang sudah dijemputNya nanti.

   Anak papa, Haiqal.. menyandang gelaran seoarang ayah merupakan hadiah paling bererti dalam hidup papa. Dua tahun memang singkat. Tapi, papa bersyukur kerana papa tetap diberi kesempatan. Haiqal Danish.. kelak andai anak papa sudah dewasa, jaga mama dengan baik. Jadi anak yang soleh, sayang. Papa sayang Haiqal dan mama. Tersangat sayang.. rintih hati Hadri panjang.

   Nafas dihela perlahan sebelum Hadri mula rasa dadanya semakin sempit. Akhirnya, Hadri terkulai layu dalam pelukan si isteri. Ya Allah.. sungguh tenang wajah itu beradu. Sofea yang perasan Hadri tidak memberi sebarang reaksi,  merenggangkan pelukan. Wajah Hadri dengan mata terpejam itu dipandang sebelum bibirnya diketap rapat. Sekilas, dia tunduk mencium kedua-dua belah pipi itu.

   “ Pergilah, bang. Pergilah.. bawa bersama kenangan kita. Fea cintakan abang. Mungkin sampai di sini saja jodoh kita. Fea redha.. pergilah. Semoga abang tenang di sana,” ucap Sofea lagi sebelum sampul putih itu digenggam kemas.