YANG PERNAH TERLUKA - VERSI RAYA
(SHOPPING RAYA)
Bahu yang terasa kebas diurut
perlahan. Sudah hampir satu jam dia memangku Adzfal. Heronya itu mengalahkan
orang yang sedang berpuasa saja lagaknya.
Firdaus heret kaki yang mula terasa lenguh. Giliran untuk mencari
pakaian anak daranya pula.
“Kenapa, abang?” soal Merlissa bila dia perasan wajah berkerut-kerut
milik Firdaus. Firdaus mendongak.
Bibir dimuncungkan pada Adzfal. Faham maksud si suami, Merlissa senyum nipis.
“Penat sangat ke?” soal Merlissa prihatin.
“Sikitlah..” Menyeringai Firdaus tatkala menjawab soalan si isteri. Mata
Merlissa terhala pula pada beberapa paper
bag yang berada di tangan Firdaus.
“Lissa tolong bawakanlah..” Merlissa sudah bersedia hendak menarik
beberapa paper bag itu. Tapi, cepat
pula Firdaus halang.
“Tak apalah, sayang. Tu.. dekat tangan sayang pun ada lagi..”
“Habis tu, muka abang nampak pucat dah tu..” omel Merlissa. Firdaus
diam.
“Lissa bagi abang sepuluh minit, boleh tak?” Tiba-tiba.
“Kenapa?”
“Abang nak duduk dekat bangku sana. Kaki dah lenguh semacam dah ni. Bahu
pun..” Firdaus terpaksa juga meminta sedikit ehsan daripada Merlissa.
“Kalau macam tu, abang duduk sana ajelah. Lissa masuk pilih baju dengan
Nia..” cadang Merlissa pula.
Mendengarkan permintaan Merlissa, Firdaus segera mencari wajah anak
daranya.
“Nia okay ke macam tu?” soal Firdaus serba-salah. Rania senyum comel.
“Nia okay, papa. Papa dengan adik duduk sini. Biar Nia dengan mama aje masuk
dalam..”
Entah kenapa, daripada suara si kecil.. Firdaus bagaikan bisa menebak
pasti Rania agak terkilan juga kalau dia tidak bersama.
“Betul ni, Nia?” Firdaus nakkan kepastian. Rania angguk.
Firdaus terdiam lama. Cuba berfikir-fikir.
“Kalau tunggu papa rehat sepuluh minit, boleh? Lepas tu, kita jalan
sama-sama..”
“Pula dah?” Merlissa menyampuk.
“Tak sampai hati, sayang. Kesian Nia..” omel Firdaus.
Merlissa geleng kepala. Dimanjakan sangat anak-anak, bimbang pijak
kepala pula nanti.
“Nia tak kisah. Kalau penat sangat, kita balik dululah. Esok-esok boleh
datang lagi..” Rania yang petah itu memberi usul.
“Sepuluh minit, Nia..” Tegas Firdaus.
“Okay.. papa..” Cepat saja anak daranya akur. Firdaus sudah berjalan
menuju pada sebuah bangku yang diletakkan di sudut pusat membeli-belah itu.
Sebaik saja duduk dilabuhkan, pinggangnya diregang-regangkan sedikit.
Bahu pula dipicit-picit lembut.
Melihat aksi si suami, senyuman senget terukir di bibir.
“Kenapa senyum macam tu?” Firdaus muncung. Sedia maklum, pastilah
Merlissa sedang mengejek dirinya.
Baru ada anak dua, dia dah macam ni. Belum lagi tiga, empat dan
seterusnya.
“Tak nak menyerah kalah lagi, abang?” Soalan luar biasa Merlissa.
Firdaus dah kerut kening.
“Tak fahamlah abang..”
“Sungguh tak faham ni?” Merlissa masih lagi senyum. Sesekali mata
melirik pada Rania yang sibuk mengintai pakaian-pakaian yang dah dibeli si
adik.
“Itu baru dua tau, bangg..” Leret Merlissa penuh makna.
“Apa yang dua?” Firdaus masih buat-buat tak faham. Namun, saat dia lihat
si suami sedang simpan senyum.. tahulah Merlissa yang suaminya sengaja nak
mengelat.
“Abang ni kan..” Tangan dah bersedia nak berjalan.
“Sayang.. abang pegang Adzfal ni..” Firdaus mengelak bila hampir saja
tangan halus itu hendak hinggap pada lengan sasanya. Karang ada juga yang
tergolek dekat bawah.
“Suka sangat kenakan Lissa..” bebel Merlissa tak puas hati.
“Habis sayang tu ragu-ragu dengan kemampuan abang..”
“Huh?”
“Jangankan dua, sepuluh orang pun abang mampu.. sayang..” Dan bibir
Merlissa terus terkatup rapat. Baru dia faham arah tuju ayat Firdaus tadi.
Syed Adryan Firdaus.. awak ni biar betul??
(MALAM RAYA)
Hampir tersembur air kopi yang baru
nak dihirup bila jeritan lantang Adzfal sedang menangis mengetuk gegendang
telinga. Segera dia bingkas.
“Yaya!” jerit Muzammil yang turut mengejar Milya. Milya pula seronok
menghambat Adzfal dengan bunga api di tangan.
“Kejar dia.. kejar dia..” omel Milya sambil terus mengejar langkah kecil
Adzfal. Lencun pipi Adzfal dek ketakutan.
Mahu tidak.. hendak bermain bunga api pun anak lelakinya itu tidak
berani. Ini pula kalau dah dihambat Milya dengan bunga api yang elok berada di
tangan si comel itu.
“Yaya.. jangan usik Adzfal..” Kedengaran lagi suara Muzammil sambil cuba
menangkap tubuh Milya yang lincah itu.
Firdaus geleng kepala. Betullah cakap Datin Aisyah, Milya ni suka sangat
mengusik orang.
“Papa!!” Adzfal masih tak henti-henti menjerit namanya. Sempat Firdaus
mengerling pada Rania yang sibuk ketawakan adiknya itu. Datuk Musa yang baru
nak membantu Rania menyalakan bunga api turut bangun.
“Tok papa tak nak dah bagi Yaya main bunga api..” Datuk Musa dah melaung
kuat. Cuba menggertak cucu merangkap zuriat kepada anak sulungnya itu.
Meriah banglo tiga tingkat miliknya. Itu belum lagi tambah dengan
kepulangan Zarief dan keluarga.
Lagi beberapa tapak Adzfal nak meluru ke dalam dakapannya, dia nampak si
kecil itu dah elok tersembam menyembah lantai. Membulat terus mata Firdaus.
Kaki yang gontai tadi terus diatur laju.
“Allah!” Muzammil pun turut cemas. Spontan langkah kaki Milya terhenti.
Bunga api juga sudah melurut jatuh ke tanah.
“Yaya.. kan daddy dah pesan tadi jangan usik Adzfal!” Dapat saja tubuh
Milya, punggung si kecil terus dipukul lembut. Milya dah tercebik-cebik.
“Luka tak, Fir?” soal Datuk Musa cemas.
Firdaus tarik tubuh Adzfal lalu tubuh kesayangannya itu dibelek
seketika.
“Papa.. tengok ni..” Adzfal masih menyeru namanya dengan tubir mata yang
dah menderu-deru memuntahkan isi. Lengan disua pada Firdaus.
Tak ada luka pun? Ini sah sebab nak mengada-ngadalah ni. Detik hati
Firdaus sedikit lucu.
“Tak luka pun, papa..” jawab Firdaus. Tubuh Adzfal dibawa ke dalam
kendongan.
“Masuk dalam minta mama buatkan susu, nak?” Firdaus soal Adzfal. Terasa
Adzfal menggeleng laju pada bahunya.
“Tengok apa Yaya dah buat. Nasib Adzfal tak luka tahu tak?” bebel Muzammil
tak henti.
“Abang Mil.. tak ada apalah, Adzfal ni manja sangat..” Firdaus halang
Muzammil daripada terus memarahi Milya.
“Cepat minta maaf, kalau tak daddy nak bagitahu mummy dan adik.. jangan
kawan Yaya..” Muzammil dah mula mengugut.
“Daddy..” Milya pandang wajah Muzammil dengan riak simpati.
“Abang Mil..”
“Biar, Fir. Sekali-sekala kena tegas..” Muzammil pintas awal-awal.
“Uncle Fir..” Milya seru nama Firdaus dengan suara tersekat-sekat.
Segera Firdaus bertinggun.
“Hmm..”
“Yaya sorry..” Si kecil tunduk
menekur lantai.
“Bukan pada Uncle Fir, pada Adzfal sekali..” Muzammil sogok dari
belakang.
“Nak minta maaf pada Adzfal?” soal Firdaus bila dia perasan anak mata
hazel Milya melekat pada belakang tubuh Adzfal yang masih tersedu-sedan itu.
Milya angguk.
Firdaus anjakkan kepala mencari wajah Adzfal.
“Yaya nak minta maaf..” ujar Firdaus.
“Adik tak nak sorry Yaya!”
Adzfal menjerit. Firdaus dah berkerut. Sikit lagi rasa gegendang telinga dia
nak pecah.
Aduhai anak papa. Kut ya nak jerit, janganlah dekat telinga papa ni..
Ini kalau Merlissa ada, mahu Adzfal dimarahi juga sebab tinggikan suara.
Mujurlah Merlissa masih di dalam menemankan Fakhirah.
“Adzfal, esok hari apa?” Firdaus dah mula ke sesi nak melembutkan hati Adzfal.
Adzfal terkebil-kebil.
“Papa cakap esok raya..”
“Raya kena buat apa?”
“Kena maaf-maaf, salam-salam..”
“Tadi, Yaya minta apa?”
“Tak nak!” Tiba-tiba lain pula jawapan Adzfal. Firdaus garu hujung
kening.
“Adik.. Ustazah Sarinah cakap kalau tak maafkan orang yang minta maaf,
dosa..” Rania dah mula menyampuk.
“Kalau dosa, kena apa.. Nia?” Sengaja Firdaus soal Rania.
“Kalau dosa, tak boleh raya!” Bersungguh Rania menjawab.
“Haip!” Firdaus jegil biji mata. Ada pula macam tu.
Muzammil dan Datuk Musa dah kejap tahan senyuman.
“Salah eh, pa?” Rania soal polos.
“Salahlah tu..”
“Ohh.. Nia lupa, pa. Kalau dosa, Allah marah..” Rania bagi jawapan versi
lain pula.
“Haa.. itu baru betul..” tukas Firdaus.
“Nia pandai kan, pa..”
“Nia.. jangan riak..” Firdaus menegur. Rania pekup mulut.
“Baik, pa.”
“Jadi.. sekarang Adzfal nak maafkan Yaya ke tak?” Tumpuan dialih pada
Adzfal pula. Dia nampak anak terunanya diam saja.
Rania dah capai tangan Milya. Dibawa dekat pada tangan Adzfal.
“Adik, salamlah..” pujuk Rania. Adzfal kejung.
“Nampaknya ada yang tak boleh raya esok ni..” Tak dapat tidak.. Firdaus
guna alternatif lain pula.
“Siapa?” Adzfal mula berminat dengan kata-kata Firdaus.
“Adzfallah..”
“Kenapa adik?” Rania tukang soal.
“Sebab hari raya orang tak boleh gaduh-ga..”
“Salam cepat!” Tiba-tiba Adzfal dah tarik tangan Milya dengan muncung
sedepa.
Firdaus senyum. Umpan mengena!
“Macam tulah anak papa..” Firdaus cuit hujung hidung Adzfal. Milya pula
dah mula senyum melebar.
“Yaya janji tak buat lagi..” Milya seakan berikrar.
“Hmm..” sahut Adzfal malas.
“Dah-dah.. sekarang dah lewat, esok kena bangun awal. Semua masuk tidur..”
Datuk Musa tiba-tiba bagi arahan.
“Nia.. jom ikut tok papa..” ajak Datuk Musa. Segera dia memimpin tangan
Rania.
“Fir.. Abang Mil masuk dululah..” Giliran Muzammil pula.
Tubuh Milya didukungnya erat. Milya nampak keras saja. Mungkin si kecil masih
terasa hati. Firdaus yakin kejap lagi pasti Muzammil akan memujuk Milya
kembali.
Marah seorang bapa, setakat manalah sangat. Apatah lagi, anak itu masih
setahun jagung.
Baru kaki hendak diatur ke tingkat atas, suara rengekan Adzfal
kedengaran.
“Papa.. nak susu..” Adzfal sembamkan wajah pada bahu Firdaus.
“Nak susu?”
“Hmm.. nak susu..” Adzfal iakan.
“Kejap..” Kaki bersedia nak diputar ke arah dapur, tapi sebotol susu pula
sudah elok terhidang depan mata.
“Sayang ni macam tahu-tahu aje..” ungkap Firdaus lalu botol susu itu
dicapai.
Merlissa senyum. Sebenarnya sejak Adzfal menangis lagi dia dah menjadi
penonton setia. Cuma malas nak masuk campur. Nanti mulalah ngada-ngada Adzfal
bertingkat-tingkat.
“Nia.. bawa adik masuk bilik dulu. Kejap lagi papa naik..” Tubuh Adzfal
diturunkan dari dukungan. Kebetulan Rania dan Datuk Musa baru nak mendaki ke
tingkat atas.
“Baby dah tidur ke?” Firdaus
maksudkan anak kedua Muzammil yang baru lahir itu.
“Dah.. mummy baby pun dah
tidur..” sahut Merlissa. Firdaus sengih.
“Sayang..” Tiba-tiba.
“Kenapa?”
“Buatkan abang kopi, lepas tu teman abang kat depan kejap..”
“Pula dah?”
“Tadi tak sempat nak minum habis, anak awak tu dah mengamuk..”
“Anak siapa?”
“Anak abang..” Firdaus garu belakang kepala lepas tu tayang senyum
senget.
“Tadi dengar macam cakap anak awak. Ohh.. waktu anak-anak buat hal, jadi
anak Lissa. Kalau waktu anak-anak baik, anak abanglah ya?” Merlissa cekak
pinggang. Buat-buat marah.
“Tersasul sikit pun tak boleh..” Firdaus dah merungut.
“Sajalah usik abang..” Merlissa ketawa lepas.
“Abang tunggu kat depan tau..” Firdaus sempat ingatkan.
“Dah pukul 10.15 malam ni..”
“Pukul 11.00 malam abang bagi Lissa tidur. Dalam bilik dah ada bodyguard tak bergaji tu..”
“Eh.. kata nak anak sepuluh?” Merlissa kenakan Firdaus. Menyeringai
encik suami seketika.
“Haish sayang ni..” Baru dia nak picit hidung Merlissa, si isteri dah
segera angkat kaki.
“Lissa.. abang tunggu kat depan ni..” laung Firdaus separa kuat.
“Ya.. lima minit..” Merlissa balas dalam ton sama.
Firdaus senyum melebar. Kaki dihalakan ke ruang tamu. Remote control dicapai lalu butang On ditekan. Lagu raya mula berkumandang
dari siaran televisyen yang ditayangkan. Alahai.. syahdu pula.
(HARI
RAYA)
Adzfal dah melompat keluar dari kereta sebaik saja
kereta Firdaus terparkir di ruangan garaj banglo mewah Datuk Musa.
“Lissa
masuk dulu, nak jenguk mama dengan Kyra..” pamit Merlissa. Wajah tampan Firdaus
yang segak berbaju melayu warna ungu muda itu ditatap dalam.
Firdaus
tarik songkok dari kepala. Maklumlah, baru saja pulang dari masjid. Masih
tengiang-ngiang betapa syahdunya takbir raya sebentar tadi.
“Nia,
Yaya.. masuk tukar baju dulu. Kejap lagi nak beraya dengan tok papa dengan tok
mama..” laung Muzammil yang sedang berdiri di sisi Datuk Musa.
“Kejap,
daddy. Yaya nak main dengan Nia..” Si kecil Milya angkat tangan tanda sekejap.
Muzammil cekak pinggang.
“Ya..
daddy. Yaya masuk sekarang..” Dengan langkah yang diseret-seret, Milya akur jua
pada Muzammil. Kalau dah Muzammil cekak pinggang, jangan harap dia nak menang.
Muzammil itu dalam penyayang, tegasnya ada juga.
“Adzfal
mana?” soal Firdaus tatkala Rania sudah pun mencapai tangannya. Mengajak dia
untuk turut masuk ke dalam banglo. Rania jungkit bahu.
Melilau
mata Firdaus mencari kelibat si kecil, sesaat matanya dah terbuntang. Sejak
bila Adzfal masuk tukar baju ni? Siap berkaca mata hitam pula tu. Amboi!
“Adik!”
Rania lepaskan tangan Firdaus lalu meluru pada Adzfal.
“Adik
nampak handsome macam papa tak,
along?” Adzfal betulkan kaca mata hitam pada wajahnya. Baju raya yang dah
tersarung pada tubuh ditelek sendiri.
Memang Adzfal
nampak sangat comel!
“Mana dapat
ni?” Rania tarik keluar kaca mata hitam yang melekat pada batang hidung Adzfal.
“Along..
janganlah..” Si adik dah tarik muka. Terus rampas balik kaca mata hitam itu
lalu dilekatkan kembali pada wajahnya.
Firdaus
geleng kepala. Memang sah Adzfal cekau kaca mata hitam yang dia letak dekat dashboard kereta miliknya. Tapi, masa
bila si kecil seludup bawa keluar pun dia tak sedar. Alahai..
“Ambil papa
punya, ya?” Firdaus pura-pura jegil mata. Adzfal tayang sengih.
“Adik
pinjam, pa. Nanti nak tangkap gambar..” Walaupun agak pelat, Firdaus masih
faham ayat yang Adzfal tuturkan.
“Yalah..”
akur Firdaus lalu kepala Adzfal dia usap perlahan.
Firdaus
tunduk ke bawah bila dia rasa baju melayunya ditarik seseorang.
“Kenapa,
Nia?”
“Ada satu
aje ke?” soal Rania sambil mata tak lepas daripada pandang Firdaus. Jari
telunjuk turut diangkat menunjukkan angka satu.
Dahi Firdaus dah berlapis.
“Apa yang
satu?”
Bibir Rania
muncung pada Adzfal. Firdaus dah gelak-gelak bila dia faham maksud anak daranya
itu. Aduhai.. Nia pun nak bergaya sakan juga ya? Hati berbicara sendiri.
“Masuk
dalam, tanya mama. Kut-kut mama bawa mama punya..”
“Kalau tak
ada?”
“Uncle Mil
atau tok papa mesti ada punya. Masuk tanya dulu..” suruh Firdaus. Tak tunggu
lama, Rania dah berlari anak masuk ke dalam sambil dibontoti Adzfal.
“Adzfal nak
pergi mana tu?” Firdaus panggil nama heronya.
“Adik nak
tunjuk baju baru dekat tok papa dengan tok mama..”
Dengar saja
jawapan Adzfal, melebar senyuman Firdaus. Karenah budak-budak di pagi raya
agaknya. Dia waktu kecil pun macam tu juga dulu.
Sebaik saja
kaki dihala pada ruangan dapur yang riuh-rendah, kelibat Merlissa langsung
tiada. Tadi dekat ruang tamu pun tak ada. Dah ke mana pula isteri dia ni?
“Cari Lissa
ke, Fir?” soal Datin Aisyah memahami.
Firdaus sengih segan lalu angguk. Malu juga
kalau orang kata dia tak boleh berenggang dengan isteri langsung.
“Dekat
atas. Katanya nak salin baju..” Datin Aisyah senyum segaris.
“Fir naik
atas dulu, mama..” Sopan Firdaus meminta diri. Tatkala dia nak putarkan tubuh,
terpampang wajah mengejek Muzammil depan mata.
Itu tak
lain tak bukan, pasti nak bahankan dia.
“Macam
pengantin baru..” perli Muzammil. Kan dah cakap!
Tawa Firdaus
terhambur. Bahu abang iparnya ditumbuk mesra.
“Fir naik
dulu..” Malas Firdaus nak melayan usikan Muzammil. Nanti makin lambat dia boleh
tatap wajah si isteri.
“Yalah..”
sahut Muzammil bersama senyuman. Dalam hati Muzammil benar-benar berharap bahagia
akan kekal menjadi milik Merlissa.
***********
Pintu kamar ditolak perlahan dari luar. Sebaik saja
dia masuk, pandangan pertama yang menyapa mata ialah susuk tubuh isteri yang
terdampar di atas katil. Eh?
Firdaus
mendekat usai saja pintu kembali ditutup. Semakin berkerut dahinya bila melihat
Merlissa tidur lengkap dengan berbaju kurung moden berwarna merah hati.
Menyerlahkan lagi kulit si isteri yang putih melepak.
Duduk
dilabuhkan di birai katil. Sebelah kaki dibawa naik ke atas. Lena sungguh
nampaknya Merlissa sampaikan kehadiran dia pun si isteri masih tak berkutik.
Merlissa yang tidur mengiring itu diamati sebelum pandangannya singgah pada
belakang tubuh isterinya yang terdedah.
Laa..
kenapa pula tak tarik zip ni? Firdaus dah bermonolog di dalam hati. Tangan
dibawa menjalar pada belakang tubuh Merlissa. Tak sempat dia nak tarik zip ke
atas, Merlissa dah bangkit daripada lena.
“Abang?”
soal Merlissa. Tak jadi Firdaus nak teruskan niatnya. Wajah mamai Merlissa
direnung kasih.
“Orang
sibuk nak beraya, sayang boleh tidur ya?” Firdaus senyum lalu tangan ringan
melurutkan rambut Merlissa yang nampak sedikit berserabai. Penangan baru
bangkit tidur.
“Terlelap..” sahut Merlissa.
“Kes abang
bagi tidur lambat ke?” Firdaus menyoal.
“Tak
adalah. Bukannya lambat mana pun semalam..” sanggah Merlissa tidak mahu Firdaus
rasa bersalah.
“Tu..
kenapa tak zip lagi baju kurung? Nak goda abang ke apa ni?” Firdaus
jungkit-jungkit kening pula. Merlissa pantas meraba belakang tubuhnya.
“Zip
tersekat tadi..” Wajah si isteri berubah tona. Firdaus dah gelak-gelak.
“Sini..”
gamit dia. Badan didekatkan sedikit pada Merlissa.
“Pusing
sana..” suruh Firdaus pula. Merlissa ikut saja.
Saat jemari kasar Firdaus hinggap pada
belakang tubuhnya, dia dah kejung dengan sendiri. Apatah lagi, bila jemari
Firdaus sekadar statik saja di belakang tubuhnya.
“Abang..
kenapa?” soal Merlissa perlahan. Firdaus tersentak. Alahai.. macam mana dia boleh
hanyut ni?
“Tak ada
apa-apa, sayang..” Zip terus ditarik hingga ke atas. Sempat juga dia
betul-betulkan baju kurung Merlissa supaya nampak lebih kemas.
Merlissa
pusing tubuh pandang wajah Firdaus. Turun naik bebola mata dia memerhatikan
Firdaus yang dah tayang wajah lain macam itu.
“Abang
jangan nak mengada ya?” Merlissa bagi arahan. Seketika, gamat bilik mereka
dengan tawa lantang Firdaus.
“Otak
selalu ke lain ya, sayang?” Firdaus picit kedua-dua belah pipi Merlissa.
Merlissa masih pandang suaminya dengan pandangan curiga.
“Hei..
kenapa pandang abang macam tu?” Jari dipetik di hadapan wajah Merlissa.
“Abang
jangan macam-macam..” Merlissa ulang ayat sama. Firdaus sengih lalu kedua-dua
belah tangan diangkat separa dada.
“Ya.. abang
tak macam-macam ni. Kalau tak nak abang macam-macam, baik Lissa turun dari
katil ni cepat. Pergi pakai selendang siap-siap, semua dah tunggu kat bawah
tu..” Bahu Merlissa ditarik lembut. Membantu si isteri untuk berdiri.
“Hmm.. baju
abang, Lissa dah gosokkan..” Langkah diatur pada almari. Sehelai kemeja
berwarna sama dengannya ditarik keluar. Seluar jeans berwarna hitam juga
dihulur pada Firdaus. Firdaus sambut.
“Terima
kasih, Lissa..” Lantas ciuman dihadiahkan pada dahi seorang isteri. Tanda dia
menghargai setiap apa yang Merlissa buat padanya.
“Lissa nak
bersiap kejap. Nia belum salin baju lagi kan? Adzfal dah siap dah..” tukas
Merlissa. Firdaus yang sedang sibuk menyalin pakaian menoleh.
“Kacak
sangat anak kita tu, sayang. Sekali dengan abang punya glasses pun dia cekau. Masa bila dia seluduplah agaknya..” omel
Firdaus bersama senyum lucu di bibir.
“Ikut
perangai abanglah tu. Adzfal kan memang suka bergaya. Apa abang pakai, kalau
boleh dia nak juga ada..”
“Ikut
abang eh? Kira anak bapaklah ni..” Firdaus ketawa. Usai saja dia sarung pakaian
ke tubuh, duduk dilabuhkan ke birai katil. Menunggu si isteri siap merapikan
diri.
Entah
kenapa, timbul pula rasa ingin bermanja. Perlahan-lahan langkah diatur mendekat
pada Merlissa. Gel rambut dan sikat dicapai lalu dia hulur pada Merlissa.
“Nak buat
apa?” Merlissa dah kepelikan. Namun, tangan tetap menyambut huluran si suami.
“Tolong..”
Firdaus tunjuk pula kepala dia. Tanda dia mahu Merlissa yang tolong sikatkan
rambutnya. Merlissa dah kulum senyum.
“Duduklah.
Lissa tak sampai, abang tu tinggi..” suruh Merlissa. Firdaus senyum melebar.
Sebelum dia
labuhkan duduk, sempat dia betul-betulkan selendang yang dipakai Merlissa.
“Isteri
abang memang cantik..” puji dia ikhlas. Merlissa tersipu-sipu.
Bila
Firdaus dah mula duduk di atas kerusi, dia mulakan tugasnya menyapu gel pada
rambut encik suami. Firdaus pula lebih berminat memerhatikan dia. Kedudukan
mereka sekarang ni menyebabkan Firdaus terpaksa mendongak.
“Lissa
sayang abang?” Soalan tiba-tiba.
“Kenapa
tanya macam tu?”
“Sajalah
abang tanya..”
“Hmm..
sayang..” sahut Merlissa perlahan.
“Abang pun
sayang Lissa..” balas Firdaus pula.
Ralit dia
perhatikan tingkah Merlissa. Sesaat, matanya yang bersinar mulai redup bila
parut sejengkal hasil perbuatan kejam dia itu singgah di mata. Tangan pantas
menangkap pergelangan tangan Merlissa. Merlissa tersentak.
“Abang..
tak siap lagi ni..” Merlissa menegur perbuatan suaminya.
Hairan dia
dengan perangai Firdaus. Anak mata Firdaus seakan berminat memandang sesuatu.
Saat dia faham hala tuju pandangan itu, buru-buru dia tarik lengan baju kurung
yang tersingkap menutupi parut itu.
“Sayang
tutup pun, tetap takkan mampu sorok kejahatan abang pada sayang dulu..” Sayu
saja suara Firdaus.
Merlissa
hela nafas panjang. Sikat yang berada di tangan diletak ke atas meja. Si suami
dah mula dah dengan perangai ‘kenang benda yang lepas’ dia tu.
“Kenapa
tiba-tiba ni?” Lembut suara seorang isteri. Pipi Firdaus dipegang.
“Abang tak
tahu kenapa abang sanggup buat Lissa macam tu dulu. Abang jahat kan?”
“Memang
abang jahat..”
“Sayangg..”
Firdaus nampak berkaca-kaca matanya.
“Tapi, itu
dulu. Tujuh tahun yang lepas..” celah Merlissa tegas.
“Abang..”
“Kalau
Lissa boleh buang parut ni, dah lama Lissa buat. Lissa tak suka tengok abang
sedih tiap kali pandang parut ni. Boleh tak abang jangan rasa apa-apa kalau
pandang parut ni? Kalau nampak pun, tolong buat macam abang tak pernah
nampak..”
“Macam mana
abang nak buat macam tu, Lissa? Sedangkan memang abang yang tinggalkan parut tu
pada Lissa..” Firdaus tunduk menekur lantai.
“Ini yang
malas cakap dengan abang ni. Kalau abang nak ingat semua benda tu,
dipersilakan. Tapi, Lissa tak nak sambut hari raya dengan keadaan macam ni.
Lissa tunggu abang dekat bawah..” Merlissa dah lepas pipi Firdaus. Wajah dah
berubah masam.
Nak
bernostalgia pun, tolonglah bukan pada hari raya ni! Lagipun, dia malas nak
kenang benda yang dah lama berlalu.
Badan
dipusing untuk beredar. Baru dia nak melangkah, kejap Firdaus paut pinggang dia
lalu pipi si suami elok melekap pada perutnya.
“Pergi
macam tu aje? Marah abang ya?” soal Firdaus tanpa melepaskan Merlissa. Pelukan
diperketatkan.
“Memang
marah..”
“Tak baik
tau? Hari ni hari raya.. Lissa pun tak salam abang lagi hari ni. Tak minta maaf
lagi dengan abang..”
“Memang
Lissa nak buat pun. Tapi, abang tu..”
“Ya-ya..
abang tak ungkit dah. Sorry,
sayang..” Firdaus mendongak menyebabkan dagu dia pula yang berlabuh pada perut
itu.
“Maafkan abang ya?” Firdaus pandang dengan
wajah mengharap. Merlissa mengeluh dalam. Perlahan-lahan tangan naik mengelus
rambut encik suami.
“Jangan ungkit lagi..”
“Okay, sayang. Abang janji..” Firdaus angkat
sebelah tangan.
Tak terduga oleh Merlissa bila encik suami
tarik dia duduk di riba. Lepas tu, peluk pula dia dari tepi.
“Laa.. kenapa pula ni? Tadi, cakap ramai dah
tunggu kat bawah..”
“Kejaplah, Lissa. Lima minit pun tak apa..” Pipi
diletak manja pada bahu Merlissa.
“Nia macam mana?”
“Nanti Nia masuk, abang lepas..”
“Hmm..” gumam Merlissa.
“Selamat hari raya, isteri abang..” Suara
garau Firdaus kedengaran berbisik pada telinganya. Merlissa menoleh ke sisi.
“Abang nak minta maaf kalau sepanjang
perkahwinan kita abang ada sakitkan Lissa, ada buat hati Lissa terguris dan
abang juga nak ucapkan terima kasih pada Lissa. Terima kasih sebab sudi terima
abang semula dan sudi lahirkan zuriat untuk abang. Terima kasih juga sebab
Lissa langsung tak ungkit zaman silam abang..”
Pipi
Merlissa dikucup sekali. Merlissa senyum manis.
“Selamat hari raya juga, suami saya..” sahut
Merlissa pula. Tangan kanan Firdaus yang lepas bebas dicapai.
“Lissa minta ampun kalau ada guriskan hati
abang selama ni. Lissa minta ampun kalau Lissa banyak kekurangan. Tapi, Lissa
harap ni bukan hari raya yang terakhir untuk kita sebab Lissa nak bersama abang
sampai hujung nyawa Lissa. Ampunkan salah silap Lissa, ya abang?” Bibir rapat
mencium telapak tangan Firdaus.
Waktu-waktu macam nilah dia nak sensitif.
Tiba-tiba saja air mata murah saja mengalir. Firdaus dah terkedu. Cepat saja
dia intai wajah si isteri.
“Alaa.. abang baru melankolik sikit, Lissa
dah drama air mata. Nampaknya abang kalahlah ni..” gurau Firdaus. Merlissa
tergelak sedikit.
“Orang
nak syahdu-syahdu, dia buat lawak..” Merlissa cubit bahu Firdaus.
“Sayang ni klise tau.. asal hari raya aje
nak sedih-sedih. Tak naklah macam ni..” leter Firdaus pula.
“Manalah Lissa tahu nak jadi macam ni. Abang
yang mula dulu..”
“Haip.. tadi baru minta maaf dengan abang..”
Mata dijegilkan pada Merlissa.
“Lissa tak tinggi suara, okay?”
“Melawan tu pun tak boleh.. sayang..”
“Yalah.. suami saya, Syed Adryan Firdaus..”
Leret saja nada Merlissa. Firdaus gelak-gelak.
“Jadi, maafkan ke tak ni?” Merlissa soal
Firdaus kembali.
“Ada syaratnya..”
“Tak ikhlas..” cebik Merlissa.
“Ikhlas ni.. abang nak bagi sayang pahala
siap..”
“Syarat apa?”
“Cium pipi abang sekali..”
“Eh?”
“Sekali aje..” Pipi disua pada Merlissa. Nak
tak nak, Merlissa akur jua.
“Thanks,
sayang..” tutur Firdaus usai saja bibir Merlissa jauh dari pipinya.
“Sayang nak abang cium balik tak?”
Merlissa dah terngadah. Darah menyerbu naik
ke muka dengan soalan cepumas Firdaus. Tak sempat otak nak mencerna, laju saja
bibir sensual Firdaus hinggap pada pipinya.
“Hadiah.. sebab abang sayang Lissa...”
Firdaus tayang senyum senget. Pinggul si isteri ditepuk supaya bangkit.
“Dah lebih lima minit ni, jom kita turun
bawah..” ajak Firdaus pula. Merlissa yang masih dihambat segan statik
ditempatnya berdiri.
“Sayang.. nak malu kena bertempat tau?
Dengan suami sendiri, tak ada istilah malu..” Firdaus tarik pipi Merlissa.
Merlissa tepis lembut.
“Dah.. jom turun..” Sekali lagi Firdaus
mengajak.
Sebaik saja langkah diatur, muncul wajah
Rania di muka pintu. Di sebelah pula Adzfal yang sesekali terdongak-dongak
menghalang kaca mata hitam daripada melurut jatuh.
“Tok mama suruh salinkan baju Nia..” maklum Rania,
tapi mata lebih memandang pada Firdaus.
“Lepas tu, Nia nak pakai ni..” Rania angkat
sebelah tangan yang memegang kaca mata hitam. Merlissa dan Firdaus berpandangan
sesama sendiri sebelum masing-masing ketawa.
“Uncle Mil bagi pinjam. Nanti ambil gambar
cantik-cantik tau, papa.. mama..” Rania bersuara lagi.
“Kalau nak tangkap gambar, meh sini tukar
baju..” Tangan Rania dipimpin masuk ke dalam bilik.
Adzfal yang masih terdongak-dongak didukung
Firdaus lalu Firdaus juga turut masuk ke dalam bilik.
Sepuluh minit sudah cukup untuk merapikan
Rania.
“Pergi tengok dalam cermin, lawa tak?”
Merlissa turunkan Rania dari katil. Rania dah berlari anak menuju pada meja
solek. Dipusing-pusing tubuhnya di hadapan cermin.
Merlissa nampak senyuman Rania yang melebar.
Sukalah tu. Itu salah satu gaun labuh yang dipilih Firdaus sendiri.
“Comelnya, mama..” omel Rania lalu dia
melangkah kembali mendapatkan orang tuanya.
“Adik lagi comel..” Adzfal menyampuk. Rania
jeling.
“Dengkilah tu..”
“Papa-papa..” Adzfal tepuk pipi Firdaus.
Firdaus tunduk pandang.
“Apa, sayang?” soal Firdaus.
“Adik dengan along, siapa lagi comel?” Si
kecil terkelip-kelip pandang Firdaus. Firdaus terkedu.
“Dua-dua anak mama ni comel. Tak mahu
dengki-dengki, hari raya kena baik-baik dengan along..” Merlissa seperti biasa
bijak mengawal keadaan.
“Tok papa cakap hari raya kena salam mama
dengan papa. Jadi.. Nia nak salamlah sekarang..” Rania hulur tangan pada
Firdaus. Adzfal pula meloncat turun dari ribaan Firdaus.
“Papa.. Nia minta maaf, pa. Selamat hari
raya..” ucap Rania ringkas tapi sudah cukup buat hati Firdaus kembang-kuncup.
Tangan kekar Firdaus disalami. Bersilih ganti dengan Adzfal.
Adzfal bukannya tahu nak cakap apa. Aci
salam pun dah cukup bagi heronya itu.
“Nia minta maaf mama kalau Nia degil, buat
mama pening..” Giliran Merlissa pula. Merlissa tarik Rania rapat lalu ciuman
dihadiahkan pada Rania.
“Selamat hari raya, anak mama..” ucap
Merlissa.
Selesai saja sesi bersalaman, pintu bilik
diketuk dari luar.
“Pergi buka pintu, Nia..” suruh Firdaus.
“Pa.. Yaya ni..” bagitahu Rania.
“Kita dapat duit raya dengan daddy..”
Kedengaran suara Milya yang pelat sambil sampul duit raya dilayang-layang di hadapan
Rania.
“Duit raya? Uncle Mil dah bagi duit raya
ya?” soal Rania teruja. Kejap lagi turn
dia ‘pau’ bapa saudara dia tu pula. Belum cukup kuota lagi sehinggalah Zarief
dan Husna ada sekali.
“Daddy dah kasi waktu Yaya salam. Ni..”
Milya angkat pula dua lagi sampul raya.
“Siapa bagi tu?”
“Tok papa dengan tok mama..” Milya sengih
menampakkan beberapa batang giginya. Rania diam seketika.
“Uncle Fir bagi duit raya tak?” Milya soal.
Memang cerdik sungguh lagak Milya.
Rania jenguk ke dalam. Memerhatikan Firdaus
dan Merlissa yang leka melayan Adzfal.
“Jom ikut Kak Nia..” Rania tarik tangan
Milya.
Sebaik saja tiba di hadapan Firdaus, Rania
pandang Firdaus dengan riak yang sukar dimengertikan.
“Hai, Yaya..”
“Hai, Uncle Fir. Nak duit raya..” Tangan
ditadah di hadapan Firdaus. Firdaus terdiam sekejap sebelum bibir tiba-tiba
melorek senyum.
“Nak duit raya, kena salam dan cium Uncle
Fir dulu..” beritahu Firdaus.
“Bolehhh..” Milya dah terlompat-lompat.
“Nia tak dapat ke papa?” Rania soal dengan
suara sedih.
“Laa.. kenapa pula Nia tak dapat?” Merlissa
pelik dengan soalan puterinya itu.
“Sebab tadi Nia salam tak dapat pun. Papa
dengan mama tak bagi pun..”
Firdaus tepuk dahi.
“Papa lupa, Nia. Jadi, Nia kena salam sekali
lagi. Siapa nak duit raya, cepat beratur..” laung Firdaus separa kuat. Adzfal
yang terlebih sudu dari kuah. Habis ditolaknya Milya ke belakang.
“Eee..” Milya berdecit.
“Ini papa kita..” Adzfal jeling maut dekat
Milya. Milya muncung mulut.
“Tak nak gaduh-gaduh, Adzfal.. Yaya..” tegur
Firdaus.
“Papa.. adik nak dua..” Adzfal angkat
jemarinya menunjukkan angka dua.
Firdaus geleng kepala. Namun, permintaan si
kecil diturutkan jua.
Kalau tadi sesi bersalaman dah selesai, kini
sesi berbagi duit raya pun dah selesai.
“Yaya nak turun bawah dulu..” jerit Milya.
Sampul duit raya diselit masuk ke dalam poket gaunnya. Silap masuk, satu sampul
melayang jatuh ke lantai.
“Yaya.. ni sampul Yaya jatuh. Nah..” Rania
tolong hulur. Milya geleng kepala.
“Bukan Yaya punya tu. Yaya dah masuk dalam
poket dah. Ni..” Dia tepuk-tepuk poketnya yang penuh.
“Tapi, Kak Nia..”
“Daddy kata tak baik ambil hak orang. Tu
bukan Yaya punya..” Milya masih bersungguh-sungguh. Melenggang kangkung dia
turun ke bawah.
Rania pandang Merlissa.
“Yaya ni naif sungguh..” Merlissa
gelak-gelak. Sampul duit raya Milya yang tercicir dicapai.
“Kejap lagi mama bagi Uncle Mil..” ujar
Merlissa. Dah Milya tak nak ambil, kononnya bukan dia punya. Terpaksalah dia
serah dekat Muzammil kejap lagi.
“Okay, ma. Nia turun bawah dulu..” pamit
Rania.
“Adzfal turun dengan papa. Jatuh nanti..”
halang Firdaus saat dia lihat Adzfal sudah pasang langkah hendak mengejar kelibat
Rania.
Adzfal berlari mendapatkan Firdaus kembali.
Tangan dihulur agar Firdaus mendukungnya. Elok saja Adzfal berada dalam
dukungannya, pinggang Merlissa dipaut rapat.
“Jom turun bawah..” bisik Firdaus seraya
tersenyum.
Merlissa balas senyum encik suami. Lengan
Firdaus dipaut erat.
Sampai saja di tingkat bawah, lagu raya
bergema memeriahkan suasana. Adzfal diturunkan dari dukungan.
“Tok daddy!!” jerit Adzfal saat ternampakkan
kelibat Datuk Syed Abbas. Riuh-rendah ruang tamu dengan suara-suara yang ada.
Paling mengejutkan bila keluarga Firdaus juga turut berada di situ.
Dan saat ini, tiada apa yang mampu Firdaus
ungkapkan dengan kata-kata. Hanya senyuman yang sentiasa menghiasi bibirnya.
Alhamdulillah, Syawal tiba lagi.. detik hatinya
penuh rasa syukur. Syukur kerana dia masih diberi peluang untuk menyambut bulan
Syawal bersama keluarga tersayang. Moga-moga hari raya tahun ini lebih bermakna
untuk mereka semua..
Dengan izin-Nya..
TAMAT
sgt comel karenah budak2 berhari raya ... gaya x menahan adzfal berkaca mata hitam ,heheee . .. best la kak hana
ReplyDeletebestt sangattt...
ReplyDeleteso sweet kan... yang lepas jadikan pengajaran... pandanglah kehadapan...
Bestttttt
ReplyDeleteBest dan sweet..
ReplyDeleteMenarik...
ReplyDeleteRindu kt depa..
seronoknyer rayyyyyaaaaaaaaaa............Selamat Hari Raya utk cik Hana.......
ReplyDeletedear sweet hana
ReplyDeleteThanks untuk SE raya YPT ni.. at least terburai rindu mencengkam naluri akak pada mereka..
akhirnya luka derita disaluti plaster bahagia...
good job my dear
lots of love
kak ita