PeNgiKuT sEtiA..

Tuesday, May 21, 2013

Dia Yang Kau Pilih Bab 3


BAB 3

Rifqi duduk di birai katil. Wajahnya lesu. Bibirnya bergetar menahan sebak. Kenapa dugaan ini terlalu berat, Ya Allah? Tanpa sedar, air matanya mengalir lesu. Teresak-esak bagaikan anak keci. Tiada lagi Izz Nufail Rifqi yang gagah, yang tinggal hanyalah lelaki cengeng yang menangis kerana cinta.

   “ Menangis itu tak salah, Rif.” Suara seseorang menyapa membuatkan Rifqi tersentak. Pantas dia mengesat pipinya yang basah. Namun, Nek Cah sudah tahu dan nampak segalanya. Dia mengambil tempat di sisi Rifqi. Wajah itu ditentang dengan rasa belas.

   “ Nek.. Rif tak nangislah. Rif okey ni,” tutur Rifqi cuba menyembunyikan gelodak rasa. Wajahnya diriakkan tenang. Namun, tidak dapat disorok hatinya kini sedang luka parah. Nek Cah membelai rambut lurus Rifqi.

   “ Kenapa tak berterus-terang?” Nek Cah berteka-teki. Rifqi tersentak. Pantas, dia menoleh ke wajah tua itu dengan dahi berkerut.

   “ Apa maksud nenek?” soal Rifqi bersama jantung yang dah mula berubah rentak. Lari daripada temponya. Sudut hatinya bergetar seribu. Nek Cah senyum nipis. Bila wajah tua itu tersenyum, kedut di wajah semakin terserlah.

   “ Nenek tahu perasaan Rif. Rif tak perlu sorokkan daripada nenek. Cuma nenek nak pesan, jangan ikutkan rasa hati. Nanti kamu juga yang merana. Kalau perlu berterus-terang, pilihlah jalan itu. Kalau perlu diamkan, buang perasaan yang dah mekar tu.” Nek Cah bersuara sebelum dia bingkas bangun. Membiarkan Rifqi termangu sendirian. Lama.. barulah Rifqi faham kata-kata neneknya.

   “ Nek..” panggil Rifqi sekaligus mematikan langkah Nek Cah di sudut pintu. Nek Cah berpaling.

   “ Rifqi nak sambung belajar ke luar negara, nek. Rifqi nak lupakan dia. Nenek izinkan?” soal Rifqi bersama wajah muram.  Riaknya serba-salah. Dia bimbang juga hendak tinggalkan neneknya seorang diri di kampung.

   “ Pergilah kalau itu yang terbaik. Jangan risaukan nenek. Orang kampung ada.” Usai meluahkan kata, Nek Cah segera melangkah. Hati tuanya tidak sanggup melihat mendung di wajah cucu kesayangannya itu. Tuhan, kuatkan hati Rifqi.. cucuku. Doa Nek Cah bersama genangan air mata sayu.

Rifqi duduk termenung di atas anak tangga rumah kayu milik Nek Cah. Matanya sayu memandang ke halaman yang menghijau. Mengharapkan sedikit ketenangan. Seketika, anak matanya terasa kabur dengan linangan air mata. Ya Allah, aku seorang lelaki. Kenapa aku menjadi lemah sebegini hanya kerana seorang perempuan? Dia bukan tercipta untuk aku. Bantulah aku untuk melupakan dia, Ya Allah.. doa Rifqi penuh syahdu.

   “ Assalamualakum, Rif..” Satu suara menyebabkan Rifqi tersentak. Jantung memalu kuat. Kalut dia menghapuskan sisa jernih yang menghiasi laman matanya yang sayu itu. Spontan dia berpaling. Menatap tuan empunya tubuh yang jelas tersenyum mesra.

   Seketika senyuman Sofea mengendur. Rifqi menangis?? Detik hatinya aneh. Lantas, dia memanjat anak tangga lalu melabuhkan duduk di sebelah Rifqi. Rifqi melarikan wajah. Sofea pula menjengah sedikit. Hendak memastikan apa yang dia lihat tadi adalah benar. Plastik yang dijinjit diletakkan di atas anak tangga.

   “ Rif, Rif menangis? Kenapa? Nek Cah sakit ke?” soal Sofea kalut. Tika ini, Sofea sudah bertindak hendak mencari Nek Cah. Namun, langkahnya terbantut pabila lengannya disambar.

   “ Fea, tak. Nek Cah tak sakit. Errr..” Rifqi mula tersedar. Sofea kaget. Anak matanya tunak singgah di situ. Rifqi juga nampak terkejut. Wajahnya mula serba-salah. Walaupun berlapik, dia bimbang kelakuannya nampak jengkel pada pandangan mata Sofea.

   “ Fea, maaf..” ujar Rifqi lalu menunduk. Wajahnya jelas menunjukkan dia tak sengaja. Sofea mula melorek senyum. Dia tahu lelaki itu tidak sengaja. Malahan, boleh dipuji sikap Rifqi. Lelaki yang tidak pernah mengambil kesempatan.

   “ Tak apa, Fea tahu Rif tak sengaja. Rif.. ada masalah ke? Kalau betul bukan sebab Nek Cah, habis sebab apa? Tak nak bagitahu Fea?” Sofea kembali melabuhkah duduk. Rifqi angkat wajah. Lama wajah cantik itu ditenung.

   “ Rif okey, Fea.” Rifqi bersuara. Namun, jelas kedengaran mendatar. Sofea kerutkan kening. Dia seakan dapat menghidu ada sesuatu yang Rifqi sorokkan.

   “ Rif ada sorokkan sesuatu daripada Fea?” tebak Sofea penuh curiga. Rifqi pantas menggeleng.

   “ Ta.. tak adalah. Rif mana pernah sorok apa-apa dari Fea,” sangkal Rifqi laju. Sofea mula melorek senyum kembali. Senyum yang jelas hendak mengusik.

   “ Gaduh dengan girlfriend eh? Oh.. ada girlfriend tak nak cakap..” usik Sofea menyebabkan Rifqi semakin sebak. Fea.. dalam hati Rif tak pernah ada perempuan lain. Cuma, Sofea Liyana. InsyaAllah, akan Rif jaga hati ini untuk Fea meskipun dia yang Fea pilih. Rif dah tak ada hati untuk mana-mana perempuan, Fea.. bisik hati Rifqi sendu.

   “ Rif.. Rif.. okey ke tak ni? Tengok tu, khayal lagi.” Rifqi tersentak tatkala wajah Sofea benar-benar dekat dengan wajahnya. Dia berdehem beberapa kali cuba mengusir gusar.

   “ Err.. Rif tak ada girlfriendlah, Fea. Suka tahu tuduh Rif. Fea datang rumah ni kenapa?” soal Rifqi mula mengubah topik. Sofea tepuk dahi. Seakan mula mengingati sesuatu. Plastik yang diletakkan di belakang dicapai lalu dihulur pada Rifqi. Rifqi tercengang-cengang.

   “ Apa ni, Fea?” soal Rifqi terpinga-pinga. Namun, plastik tetap bersambut. Sofea sengih ceria.

   “ Baju untuk Rif dan Nek Cah. Masa majlis Fea nanti, Fea nak Rif dan Nek Cah pakai baju sedondon dengan tema majlis Fea. Rif dan Nek Cah kan macam keluarga Fea jugak. Pakai eh?” Suara gadis itu benar-benar ceria. Rifqi tahan hati. Bahagia Fea adalah bahagia aku juga. Tapi.. maaf, Fea. Rif takkan dapat pakai baju ni sebab waktu tu Rif akan pergi tinggalkan Fea. Tekad Rifqi.

   “ Terima kasih, Fea.” Baju melayu berwarna biru firus dan sepsang baju kurung saiz Nek Cah itu ditatap lama.

   “ Cantik tak baju  Nek Cah tu, Rif?” sela Sofea masih dengan nada ceria. Yelah.. orang nak bergelar isteri tidak lama lagi. Rifqi angguk saja. Sofea lega. Bimbang juga andai pilihannya tidak kena nanti.

    “ Kejap ye?” sela Rifqi lantas ingin bangkit. Sofea tercengang.

   “ Nak pergi mana, Rif?” sela Sofea pelik.

   “ Rif nak masuk ambil duit. Nak bayar harga baju ni..” Selamba Rifqi menjawab. Wajahnya jelas nampak hambar. Sofea mengeluh.

   “ Rif.. baju tu hadiah Fea untuk Rif dan Nek Cah. Tak perlu bayar.” Sofea menjelas. Rifqi tayang wajah tidak selesa.

   “ Tapi, Fea..” Rifqi mula hendak menyangkal.

   “ Jangan risau. Bukan duit Had. Duit Fea. Percayalah..” pangkas Sofea seakan memahami. Rifqi hela nafas lega. Kalau boleh, dia tak nak terhutang budi dengan Hadri. Dia tidak mahu mengambil ihsan orang lain. Selama ini pun dia banyak menyusahkan Sofea. Takkan kali ini bakal suami Sofea juga ingin diheret sama?

   “ Rif tak nak susahkan Fea..”

   “ Rif.. selama kita kenal, Fea tak pernah anggap Rif menyusahkan. Baiklah.. anggap pemberian Fea tu sebagai hadiah, boleh? Hari jadi Rif pun tak lama lagi kan? Lagi sebulan kan? Okey.. tu hadiah Fea untuk Rif. Boleh macam tu?” jelas Sofea penuh harapan pemberiannya diterima Rifqi. Rifqi terdiam kaku seketika. Dia mengeluh kecil.

   “ Baiklah kalau dah itu kata Fea. Terima kasih, Fea,” sela Rifqi mengalah. Sofea senyum lega sebelum dia mengamati lama wajah tidak ceria Rifqi.

   “ Rif.. kenapa Rif nampak lain? Tak ceria macam selalu?” soal Sofea jelas curiga. Rifqi senyum hambar. Ceria Rif dah hilang semenjak Rif tahu Fea bakal jadi milik orang lain. Bisik hati Rifqi. Namun, kedatangan Nek Cah seakan menyelamatkan dia.

   “ Fea, dari mana ni?” Nek Cah yang sudah lama memerhati sekadar melepaskan Rifqi dari soalan Sofea. Dia tahu Rifqi buntu untuk menjawab. Sofea berpaling lantas bangkit hendak menyalami tangan tua itu.

   “ Fea dari bandar. Nek.. ni Fea ada belikan nenek dan Rif baju waktu majlis Fea. Harap nenek suka.” Sofea bersuara ceria. Nek Cah sekadar melirik wajah Rifqi yang jelas menunduk. Kenapa Fea tak pernah sedar perasaan Rif? Nek Cah bermonolog.

   “ Oh.. terima kasihlah, Fea. Susah-susah aje.” Nek Cah berbasi-basa. Sofea tarik senyum.

   “ Nek.. Fea nak balik dululah. Dah petang ni. Rif.. Fea balik dulu ye? Jangan lupa nanti pakai baju tu waktu majlis Fea.” Sofea meminta diri. Nek Cah mengeluh dalam diam. Rifqi mendongak sebelum mengangguk kecil. Hilang saja kelibat Sofea, Rifqi bangkit dari tempat yang diduduki.

   “ Nek.. tolong simpan pemberian Fea untuk Rif.” Rifqi menghulurkan bungkusan plastik itu. Nek Cah faham maksud Rifqi. Rifqi akan pergi sebelum majlis Sofea tiba. Jadi, baju itu sudah tiada gunanya. Sebelum sempat tubuh sasa itu melewati susuk tubuh tuanya, Nek Cah memegang lembut pipi Rifqi. Bibirnya mengukir senyum tipis. Senyuman yang jelas hambar tanpa seri.

   “ Sabar, cu. Dia bukan milik Rif. Redha dan terima hakikat ye?” pujuk Nek Cah faham apa yang Rifqi alami. Rifqi genggam kembali tangan tua itu sebelum dia angguk dengan tekad yakin. Ya, Fea bukan untuknya. Fea untuk Had. Rif.. kau perlu redha. Redhalah untuk kebahagiaan Fea. Bahagia Fea adalah bahagia kau, Rif. Detik hati Rifqi bersama genangan mutiara jernih.
   

5 comments:

  1. Oh sedihnya ,tapi kan saya suka lelaki macam ni.nak lagi boleh tq.

    ReplyDelete
  2. Oh,sungguh menyayat hati.. :'(

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, kak hana. Queen sebnarnya mmg suka sgt dgn cerpen kak hana. Tp, ni first time Queen comment.
    Queen nk mintak tolong akak bleh x? Queen cuma nk akak tolong Queen macammana nak letak ruangan comment di blog dan letakkan older pst dan newer post macam blog kak Hana ni...

    ReplyDelete