PeNgiKuT sEtiA..

Friday, March 8, 2013

Dia Yang Kau Pilih Bab 1


Dia Yang Kau Pilih (Mini Novel)
Oleh : Hana Efryna

BAB 1

“ Hye Rif..” Satu suara menyapa lembut gegendang telinga Izz Nufail Rifqi. Segera lelaki tampan itu berpaling. Serta-merta juga senyumannya melebar. Wajah cantik Liyana Sofea menjengah ruang mata. Dia bingkas bangun dari pangkin yang diduduki. Punggungnya dikebas berkali-kali cuba menghilangkan debu. Maklumlah, pangkin yang berada di bawah pokok mempelam itu sedikit berdebu.
    “ Fea.. cari Rif ke?” soal Rifqi dengan senyuman yang herot di bibir. Sofea angguk. Lantas, tanpa dipelawa dia duduk di atas pangkin. Melompat sedikit.
   “ Kenapa cari Rif? Ada hal penting ke?” soal Rifqi ingin tahu. Mata masih lagi menatap wajah ayu yang nampak sopan dengan baju kurung berwarna hijau. Tudung hitam juga melilit kemas pada kepala itu. Menatap wajah itu seringkali menghantar debar yang menggila dalam hati. Jantungnya berpalu tidak sekata.
   Ya, dia memang cintakan Sofea Liyana. Malah, sudah berkali-kali dia tegaskan hasrat hati pada Sofea. Namun, bagi gadis itu luahannya ibarat angin lalu. Berterbangan ditiup bayu. Langsung tak ada makna. Sofea ingat dia berguraukah?
   “ Fea nak cakap sikit ni. Memandangkan Rif ni kan kawan baik Fea kat kampung ni.” sela Sofea berwajah ceria. Ceria di wajah itu menggamit satu rasa tidak enak dalam diri Rifqi. Rasa senak di ulu hati mendengarkan perkataan ‘kawan’ ditelan dengan perit. Ya, mungkin itulah dia pada pandangan Sofea. Hanya seorang sahabat. Sedangkan, dalam hatinya.. Sofea sudah diletakkan kedudukan yang paling istimewa. Perit sungguh apabila cinta bertepuk sebelah tangan.
   “ Fea nak cakap apa? Rif dengar.” sela Rifqi berpura-pura tenang. Sofea melompat turun dari pangkinnya. Dia berdiri menghadap tubuh Rifqi yang nampak agak sasa. Wajahnya murah dengan senyuman. Jelas menunjukkan si gadis sedang dilanda bahagia.
   “ Fea dah nak kahwin, Rif. Fea dah nak kahwin. Tadi.. rombongan merisik Hadri datang ke rumah. Rif tahu kan Fea dah lama suka Hadri? Ya Allah.. tak sangka rupanya cinta Fea bersambut selama ni.” balas gadis itu sambil membuat mimik muka teruja. Rifqi tergamam. Jantungnya seakan berhenti berdetak. Ulu hatinya senak. Perit mendengarkan khabar itu. Wajahnya jatuh menekur tanah. Pucat tanpa darah dia tika ini.
   Sungguh, hatinya terluka. Cintanya ditolak. Tapi, cinta Hadri yang baru dikenali belum sampai tempoh dua tahun mudah sahaja diterima. Dugaan ini berat, Tuhanku. Kalau tidak mengenangkan dia adalah lelaki, sudah lama dia meraung di sini. Menghamburkan rasa kecewa yang menggunung tinggi. Sampai hati, Fea. Ya, ‘dia’ yang Fea pilih memang tak setaraf dengan Rif. Rif cuma anak kampung yang baru nak mengejar cita-cita. Sedangkan Hadri punya segalanya. Kereta mewah, rumah mewah dan pendidikan yang tinggi.
   Rif redha, Fea. Mungkin bukan jodoh Fea dengan Rif. Rif tak sepatutnya berharap dan terus menyimpan angan kosong ini.
   “ Rif.. Rif dengar tak Fea cakap ni?” Sofea menggawang-gawangkan tangannya di hadapan wajah tampan Rifqi. Rifqi tersentak. Pantas dia merenung suram wajah Sofea.
   Ye, Rif dengar. Err.. Fea dah setuju?” soal Rifqi sebak. Namun, cuba dikawal riaknya supaya tidak membuatkan rasa gembira Sofea padam. Melihat Sofea gembira adalah tujuan utamanya. Kerana selama ini Sofealah yang sering menemani anak yatim piatu ini. Apa yang dia ada di muka bumi ini hanyalah Sofea dan Nek Cah.
   “ Gila tak setuju? Tentulah Fea setuju, Rif. Rugi tolak lelaki macam Hadri tu.” ujar Sofea memuji Hadri. Semakin tertusuk kejam jantung Rifqi. Sedaya-upaya dia mengukir senyum lebar.
   Ye kan? Rugi betul tolak lelaki macam tu. Lainlah macam Rif ni, usia dah pun 26 tahun, tapi cita-cita belum tercapai lagi.” Rifqi bersuara dalam pilu. Sofea tarik senyum.
   “ Ada pula cakap macam tu? Rif kan budak pandai. Nanti, dah nak sambung belajar lagi kan? Phd tu. Apa yang kurangnya?” ujar Sofea dengan senyum di bibir.
   “ Tetap tak sama, Fea. Rif ni anak kampung. Anak yatim. Orang susah. Apa yang Rif ada cuma Nek Cah. Siapalah nak lelaki macam Rif ni?” sela Rifqi sayu. Ada nada getar di balik suara itu. Fea sendiri pun tak nak Rif. Sambung Rifqi di dalam hati pula.
   “ Rif ni.. suka cakap macam tu. Habis tu, Fea ni siapa pula dalam hidup Rif?” soal Sofea sudah mula hendak merajuk. Lelaki yang tua dua tahun dari usianya dipandang geram.
   Fea gadis teristimewa dalam hidup Rif. Tanpa Fea, cinta ini mati untuk gadis lain. Tanpa Fea, Rif rapuh hendak berdiri. Tapi.. hakikatnya.. ‘dia’ juga yang kau pilih. Rif cumalah iklan saja dalam hidup Fea. Rifqi menjawab dalam hati.
   “ Fea adalah sahabat Rif sampai hujung nyawa. Yang akan selalu kekal dalam hati Rif.” jawab Rifqi sebelum dia menunduk menekur rumput hijau. Cuba mengelak agar Sofea tidak mengesan tubir mata yang dah bergenang. Jemari kasarnya menyapu lembut mutiara yang hampir menitis. Beberapa kali mata dikerdipkan cuba menghalang daripada pipinya disapa air mata.
   “ Rif ni jiwanglah. Tapi.. Fea suka.” jawab Sofea dengan gelak kecilnya. Seperti selalu.. setiap luahan hatinya dianggap gurauan semata-mata. Rifqi tersenyum kelat.
   “ Fea.. bila majlis Fea?” soal Rifqi penuh debar. Perlahan. Menanyakan soalan itu, ibarat dia menjerut lehernya sendiri di tali gantung. Semakin lebar senyuman di bibir Sofea.
   “ Dua minggu lagi kami bertunang dan sebulan dari sekarang Fea akan jadi isteri orang. Haa.. Rif bila pula? Rif tu tua dari Fea tahu?” Dum! Bagaikan jantungnya direntap kejam sebaik sahaja bibir itu menutur lembut berita yang membunuh jiwanya. Hampir dia rebah ke tanah. Nek.. Rif tak kuat. Pilu hati Rifqi bermonolog.
   “ Tah.. tahniah, Fea. Dah nak jadi isteri orang dah Fea kan? Nanti, kita dah tak boleh selalu lepaklah.” Rifqi bersuara menutup rasa canggung di hati.
   “ Terima kasih, Rif. Hee.. musnah angan Fea nak tengok Rif bersanding dulu. Alih-alih Fea pula yang melangkah awal. Opss.. tu tak bermakna Fea gatal tahu? Dah sampai seru gamaknya.” Sofea berceloteh lagi. Rifqi tahan hati. Macam mana Rif nak bersanding kalau pengantin Rif sudah disunting lelaki lain? Rif tak pernah bergurau dalam meluahkan rahsia hati. Tapi.. Fea tak pernah anggap kata-kata Rif luhur sebagai seorang lelaki. Mungkin bagi Fea.. Rif tak layak. Desis hati Rifqi. Sebak bergumpul di sudut hatinya.
   “ Nanti dah jadi isteri orang, jaga tingkah laku Fea. Rif doakan yang terbaik untuk Fea.” ujar Rifqi untuk kali terakhirnya sebelum nama Sofea sudah dilaung Mak Cik Saodah. Menggamit anak daranya pulang. Lagipun, hari sudah senja.
   “ Ya, mak. Kejap..” laung Sofea pada emaknya. Seketika, wajah cantik itu berpaling menghadap Rifqi.
   “ Terima kasih, Rif. Fea juga akan doakan kebahagiaan Rif. Fea balik dulu. Emak dah membebel tu anak dara dia asyik merayap aje. Rif.. lepas ni selalu lepak dengan Fea tahu? Sebab bila Fea dah jadi isteri Hadri, kita dah tak boleh selalu jumpa.” Panjang Sofea bertutur. Rifqi tersenyum hambar tanpa menjawab. Langkah kaki Sofea yang nampak kelam-kabut itu dipandang dengan riak sayu. Tanpa dipinta.. air mata terhambur jua.
   Ya, dia yang kau pilih. Bukan insan kerdil ini. Semoga bahagia milikmu, Liyana Sofea. Ucap Rifqi dengan mata yang sudah bergenang hebat.

3 comments:

  1. jgn diiukut kata hati..kenapa dari dulu tidak menghantar tanda pada ibu sofea ..kalau hati dah berkenan..kan dah terlepas..

    ReplyDelete
    Replies
    1. btol tuh.. tp, nk wt cmne.. Rifqi xd kyakinn dr. dt pown xmmpu lg nk sara anak dara org

      Delete
  2. Fuh... nasib baik ceritanya lain. *evil laugh* Well... part I dah best...

    ReplyDelete