PeNgiKuT sEtiA..

Wednesday, July 30, 2014

Bab 3-MMC


BAB 3

Kuku tangan kugigit perlahan. Mata diliarkan ke kanan dan ke kiri. Pintu yang terpampang ‘Bilik Pensyarah 3’ aku pandang dengan dada yang dah nak meletup sakan.

   “Cari siapa?”

   “Oh emak kau cari abah kau!”Aku termelatah. Hampir saja gerangan empunya suara garau itu hendak ku hempuk dengan buku tebal di tangan.

   Seketika, kedengaran suara ketawa seseorang. Tawa yang sedap didengar. Dan paling penting.. tawa yang dah berjaya mengganggu-gugatkan jiwa aku.

   Darah gemuruh mula naik menyerbu ke segenap ruang. Dia?? Ya Allah.. malunya!

  “You melatah, Thahirah?” Dia renung wajah aku dengan bahu yang masih terhinggut-hinggut menahan tawa.

    Aku senyap. Satu patah kata pun tak bisa keluar dari mulut.

   “Cari I?” Dia ajukan soalan lain pula. Mungkin sebab aku tak membalas soalan pertamanya. Tawanya juga sudah mula beransur reda.

   Aku masih lagi bagaikan disuntik ubat pelali. Tetap teguh menghalakan pandangan menatap seraut wajah yang cukup maskulin itu.

   “Sekali lagi, Thahirah. You nampak terkelu bila jumpa I. Teruknya..” Dia senyum menampakkan dagunya yang terbelah. Gigi pula elok tersusun cantik. Sempurna!

   “A.. apa dia, Dr. Raed?” Aku mula tersedar. Beg sandang yang kugalas ku betul-betulkan sedikit.

   “You cari I ke?” soal dia lagi. Untuk kali kedua soalan sama itu diajukan.

   “Err.. semalam..” Aku jadi serba-salah nak teruskan bicara.

   Lagipun, kalau boleh tak nak ungkit hal semalam sebab salam dia pun aku tak sempat jawab. Sedar-sedar saja butang merah yang aku tekan.

   Lepas tu, barulah pesanan  ringkas daripada dia yang masuk ke dalam inbox. Mengatakan hendak berjumpa dengan aku pagi ini. Jadi, patut ke dia tanya aku soalan macam tu? Dia ni agak pelik juga. Pelik bin ajaib!

   “Ohh.. I lupa I yang text you semalam suruh jumpa I. Come..” ajak dia selepas tersedar akan kealpaannya lalu daun pintu dilebarkan sedikit. Aku diam membatu.

   Dia.. tolong bukakan pintu untuk aku? Biar benar ni?

   “Thahirah.. takkan nak discuss dekat sini?” Keningnya terangkat sebelah. Aku pandang dia terus.

   “Jangan pandang I macam tu..” tegur dia serius. Tapi, entah kenapa mata aku seakan nampak dia seperti sedang menahan senyum daripada terukir.

   “Huh?”

   “Nanti jantung I tembus..”

   “Huh??” Lebih kuat suara aku kali ni. Dia ketawa.

   “Tak ada apa-apa. Come..” ajak dia lagi. Daun pintu semakin dilebarkan.

   Aku mula rasa gerun hendak masuk. Apatah lagi bilik itu cuma menempatkan dia dan Mr. Rayden. Kalau aku masuk, tak timbul fitnah ke? Tiba-tiba otak aku melencong.

   “Dr. Raed.. err..” Terketar-ketar aku nak menyoal dia.

   “Jangan bimbang, Mr. Rayden ada sekali..” Seperti bisa menyelami hati aku, dia juihkan bibir pada Mr. Rayden yang sibuk membelek kertas ujian pelajar.

   Pada masa yang sama, Mr. Rayden juga turut angkat wajah. Mungkin terasa namanya diseru oleh Raed Zayaz agaknya.

   “Hai.. Thahirah..” tegur Mr. Rayden ramah. Siap angkat tangan lagi.

   Namun, sesaat aku nampak wajah Mr. Rayden berubah bila Raed Zayaz aku nampak sedang memakukan pandangan pada Mr. Rayden.

   “Ohh.. hai, Zia..” Nama lain pula yang Mr. Rayden sebut. Aku buat muka. Apa kena dengan dua orang ni?

   “Hai.. Mr. Rayden..” Aku balas sapaan Mr. Rayden mesra.

   So.. are you coming in?” soal Raed Zayaz pada aku pula. Aku jatuhkan kepala perlahan-lahan.

   Raed Zayaz senyum melebar.

  “Duduk dulu, I ada benda nak cakap dengan Mr. Rayden..” Kerusi ditarik untuk aku.

   Sumpah, aku rasa nak pitam waktu ni juga. Ini layanan first class betul dia bagi pada aku!

Hampir sepuluh minit aku lihat Raed Zayaz bercakap-cakap dengan Mr. Rayden sebelum kaki tegap itu melangkah mendapatkan aku.

   Sesekali aku lihat Mr. Rayden melirik pada aku sebelum lelaki cina itu kalihkan matanya pada Raed pula. Senyuman mengejek pula terhias pada bibir Mr. Rayden. Dan pastilah senyuman itu untuk tatapan Raed.

   “Kenapa letak waktu I call semalam?” Soalan lurus dari si dia saat duduk sudah dilabuhkan berdepan dengan aku.

   Aku yang sibuk menelek kuku terus panggung kepala. Tak semena saja terasa bagaikan disimbah sesuatu pada wajah saat soalan jujur itu meluncur dari bibirnya.

   “Terkejut?” soal dia lagi. Kedua-dua belah tangan Raed sulamkan lalu dia bawa pada bibirnya. Mata masih galak memerhatikan aku.

   “Ada hal penting ke Dr. Raed nak jumpa saya?” Sengaja nak alih topik kami.

   “Hanya selepas you jawab soalan I..”

   “Hah?”

   “Thahirah..” Meleret nama aku diserunya. Aku mula rasa tak selesa.

   Just answer my question..” suruh dia tegas.

   “Saya ada kuliah kejap lagi..”

   “Bila I tanya you dan you tak jawab.. patut tak I gelarkan you pelajar yang no manners?” Tiba-tiba. Suara dia pun dah berubah sedikit keras. Mungkin geram akan kedegilanku.

   Huih.. sentap gila kut ayat Raed Zayaz ni.

   No manners? Bukan ke dalam Bahasa Melayu maksudnya.. tak ada adab? Ohooii.. ini dah mencabar aku nampak gayanya.

   “Dr. Raed dah menceroboh privasi saya..” Aku yang mula tercuit dengan kata-katanya mula lencong topik kami. Kalau dia boleh hentam aku, aku pun bolehlah.

    Dia herotkan bibir.

   “Maksud you?”

   “Dr. Raed curi nombor telefon saya..” Aku bidas dia balik. Wajah dengan sendiri dah mencuka.

   Paling tak menahan, aku lupa siapa dia dan siapa pula aku. Ini memang betul-betul tak ada adab. Ah, ada aku kisah?

   “I tak curi. I minta..” sahut dia tak nak mengalah. Wajahnya berkerut tika menafikan tuduhanku.

   “Tapi..” Aku nak membidas, namun dia dah bijak pula mematikan kata-kata aku.

   “Dan I minta pada Qalsum, dia yang rela hati bagi pada I. Jadi, patut ke you tuduh pensyarah you macam tu? Lagi kejam tuduhan you sebab I dapatkan nombor telefon you untuk I serahkan..”

   Bicara dia terhenti. Tangan sasa itu tiba-tiba menolak beberapa helai nota kepadaku. Aku terkebil-kebil pandang dia.

   “You cakap you tak faham taxation. I dah buatkan nota untuk you, I harap you tak ada masalah pasal subjek yang I ajar lepas ni..”

   Tak sempat aku nak proses kata-katanya, aku nampak dia dah bangkit berdiri. Muka dia pun dah berubah lain macam. Tegang!

   I’m done, Thahirah..” tukas dia serius. Aku kerutkan kening. Mendongak pandang dia yang sedang mencerun memandang wajahku.

   Dia ni dah kenapa? Tiba-tiba nak beralih angin. Muka pun dah ketat semacam. Atau.. dia terasa dengan kata-kataku sebentar tadi?

   Ya Allah, Zia! Apa kau dah buat ni?

  Dia sanggup susah-payah buatkan nota untuk kau sebab penipuan kau tu. Dan kau boleh tuduh dia macam tu? Sah sangat-sangat sekarang ni.. Raed Zayaz memang sentap dengan aku. Matilah kali ni!

   “Err.. Dr. Raed..”

   I’m leaving..” pintas dia sekali lagi.

   Aku nampak dia sambar beberapa buah fail di atas meja. Tanda dia sudah bersedia hendak memulakan kuliahnya yang lain pula pada pagi ini.

   Keluhan lemah terhela daripada bibir aku. Aku bangun perlahan-lahan.

   “Saya minta maaf kalau Dr. Raed terasa dengan kata-kata saya tadi..” Tak adil rasanya kalau aku tak minta maaf pada dia.

   Sudahlah dia bersusah-payah melayan ‘auta’ aku. Mana ada pensyarah yang begitu ‘baik hati’ macam Raed Zayaz hendak buatkan nota tangan untuk pelajar sendiri. Kalau ada pun, tak ramai. Dan dia buat nota itu semata-mata kerana aku.

   “Hmm..” gumam dia sambil berpura-pura menyibukkan diri. Sambar itu, sambar ini.

   Macamlah aku tak tahu dia sedang menunjukkan protes padaku. Tapi, patut ke? Ah.. aku sendiri dah keliru dengan gelagat dia yang berubah-ubah.

   “Saya pergi dulu. Terima kasih untuk nota ni. Dan maaf..” Aku tuturkan sekali lagi ungkapan maaf.

   Dia buat tak dengar. Usai saja aku bagi salam, aku atur langkah ke muka pintu.

   Tak sedar bila dia menyaingi langkahku, tiba-tiba terasa ada tangan yang memulas tombol pintu.

   Aku paling ke belakang. Dia suruh aku keluar dulu dengan isyarat matanya itu. Sebaik saja pintu ditutup.. dia sudah halakan kaki ke kanan, manakalah aku pula memliih arah bertentangan kerana tempat kuliah kami yang berbeza.

   Baru beberapa tapak, aku terasa namaku seperti diseru oleh suara garaunya.

   “Thahirah..”

   “Ya..” Aku kalih tubuh menghadap dia yang sedang berdiri beberapa tapak daripada aku. Wajahnya masih sama. Tapi, cuma kali ni lebih kendur. Tidak setegang tadi.

   “Jangan rasa bersalah..”

   “Huh?”

   “Jangan rasa bersalah kalau I macam ni. Sebab yang salah bukan you, tapi I..” Siap saja dia habiskan ayat, aku nampak dia tergesa-gesa pergi meninggalkan aku.

   Terkelu sekejap aku dibuatnya. Sebenarnya.. kenapa dengan seorang Raed Zayaz ni? Aku jadi pening!

Bab 2-MMC


BAB 2

Termenung panjang aku tika ini. Buku setebal kamus itu langsung tak menarik perhatian aku. Fikiran aku lebih menerewang pada insiden semalam.

   Insiden di mana aku mengikuti Dr. Raed pulang ke rumahnya. Bertemu dengan Puan Najjah, ibu Dr. Raed. Memang keputusan berani mati yang pernah aku buat sepanjang 23 tahun hidup aku di muka bumi ini.

   Memanglah Puan Najjah itu baik orangnya. Tapi, aku tetap rasa bersalah sebab tujuan aku hadir dalam keluarga kecil itu dengan niat tak elok. Dengan niat nak ‘mengajar’ seorang buaya darat bernama Raed Zayaz.

   Padanlah Raed mempunyai wajah yang cukup tampan. Wanita separuh abad itu juga ternyata masih anggun. Dan aku yakin.. Raed banyak mewarisi wajah kacukan Arab milik Puan Najjah.  

   “Zia..” Qalsum seru nama aku. Tapi, pandanganku tetap lurus ke hadapan.

   “Zia..” Sekali lagi Qalsum mencuba. Aku toleh ke sisi. Mula perasan nama aku yang sedang diseru olehnya.

   “Kenapa?” Sepatah Qalsum tanya. Riaknya nampak bimbangkan aku.

   Aku hela nafas panjang. Buku tebal di tangan aku katup lalu ku letak ke tepi. Kepala yang bersandar pada bantal aku betul-betulkan sedikit.

   “Qay.. kalau aku nak tarik diri, boleh tak?” Aku ajukan soalan yang aku pasti akan menimbulkan kemarahan Qalsum. Tegak duduk Qalsum sambil mata tajam memanah wajahku.

   “Kenapa pula?” Jelas nadanya tak puas hati. Aku sandarkan badan pada dinding. Kaki kulunjurkan lalu tangan sendiri aku ramas perlahan. Cuba menenangkan diri.

   “Aku dah jumpa Puan Najjah..”

   “Aku tahu..”

   “Dia baik..”

   “Habis tu?” Qalsum pelik dengan ayat aku gamaknya.

   “Aku tak sampai hati nak buat anak dia macam tu..” Nafas sekali lagi terhela berat. Qalsum herotkan bibir.

   “Boleh tak kau jangan nak baik hati tak kena tempat?” bidas Qalsum geram. Aku berdecit.

   “Aku baik hati bertempat tahu tak? Dr. Raed bukannya mainkan aku. Apasal kau tak suruh Nairah aje game dia??”

   Buk! Tepat satu balingan bantal mengenai wajahku.

   “Woi..” Aku mula dah rasa panas hati. Qalsum jeling aku sambil merengus.

   “Kau ni sekali-sekala bebal tu memang tak boleh disorok kan?” Qalsum bagi ayat pedas berapi.

   “Mulut kau..” Gigi kukacip kuat.

   “Dah nama Nairah tu putus cinta dengan Dr. Raed, sah-sahlah Dr. Raed tak makan umpan dia. Kalau kau, lainlah. Dia belum test market. Lagipun aku yakin abang sepupu aku tu tengah tangkap cintan dengan kau. Sayang kalau kau nak tarik diri, Zia..”

   “Kau cakap apa ni? Celah mana dia tangkap cintan dengan aku pulak?” Aku dah kerutkan kening.

   Qalsum geleng kepala tanda sebal dengan aku yang mungkin tak tangkap maksud dia.

   Tapi.. serius aku tak faham apa Qalsum cakap. Bukan sengaja aku nak buat polos.

   “Dia ingat nama penuh kau, kan?” selar Qalsum tiba-tiba.

   Soalan yang langsung tak sempat ku agak. Aku angguk perlahan. Qalsum senyum melebar.

   “Zia.. kalau kau nak tahu..” Qalsum jeda.

   “Cakap tu biar satu nafas aje, Qay. Semput aku nak tunggu..” Dada mula berdebar-debar dengan lirikan tersirat dan tersurat Qalsum.

   “Abang Raed tak pernah ingat nama penuh stok ‘geli-geli’ dia..”

   “Habis tu?” Aku buat muka berlagak.

   “Haish.. ada juga aku ketuk kepala kejap lagi. Lambat pick up!” dengus Qalsum.

   “Abang Raed ingat nama penuh kau kan?”

   “Lebih kuranglah, tapi tak ada dia sebut nama bapak aku sekali..”

   “Itu tandanya dia serius..”

   “Hah??”

   “Abang Raed tak pernah ingat nama stok geli-geli dia. Kadang-kadang tertukar-tukar. Kalau nama penuh, lagilah jauh dari angan..”

   “Kau jangan nak merepek, Qay..” Entah kenapa, aku cuak dengan kata-kata Qalsum.

   Gilalah. Takkan dia nak jadikan aku stok test market dia juga? Hellooo.. aku ni student dia kut!

   “Aku tak merepek. Paling aku salute, dia ingat nama kau tak sampai dua jam. Dia ingat nama kau lepas satu sesi kuliah kita. Kau tak pelik ke?” Qalsum jungkit kening sambil tayang riak serius.

   Okay, jujur aku cakap. Tang itu memang agak pelik. Aku sendiri terkejut bila dia sebut nama aku.. Shazia Thahirah. Tapi, itu tak mungkinlah alasan kukuh dia sukakan aku.

   Mungkin dia tu jenis mudah mengingati? Otak geniuslah katakan. Kalau tak, takkan mampu sambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah. Tak gitu?

   “Tak mungkin..” gumam aku perlahan.

   “Lagi satu, dia bawa kau jumpa Ucu Najjah..”

   “Qay.. dia ajak aku sebab dia ingatkan aku tak faham subjek dia..”

   “Abang Raed tak pernah bawa perempuan jumpa Ucu Najjah..”

   “Dia terdesak. Sebab dia sibuk..”

    Tak sempat aku nak noktahkan ayat, Qalsum dah celah terlebih dulu.

   “Abang Raed sibuk apanya? Kuliah dia hari ni cuma pukul 8.00 pagi hingga pukul 11.00 pagi. Dia ada dua kuliah aje pagi ni. Aku ada pergi pejabat Mr. Raiden.. elok aje dia duduk dekat kerusi meja dia. Siap borak-borak dengan Mr. Raiden lagi tau..” Bersungguh-sungguh sekali Qalsum sampaikan cerita.

   Aku julingkan biji mata. Masih tak dapat diterima akal.

   “Tak percaya?” soal Qalsum. Aku jungkit bahu. Dilema sama ada nak percaya atau abaikan saja momokan merepek Qalsum.

   “Susah cakap dengan kau ni..” Qalsum bangkit dari duduk. Aku nampak dia capai gajet miliknya lalu jemari runcing Qalsum menari-nari di atas skrin itu.

   Dia.. buat apa tu? Hati aku tertanya-tanya.

   “Lima minit..” Qalsum angkat jemari dia menunjukkan angka lima. Aku garu belakang kepala.

   “Apa yang lima minit?”

   “Telefon bimbit kau mana?”

   “Ni..” Aku angkat gajet milik aku pula. Kepala Qalsum terangguk-angguk.

   Minah ni.. makin lama makin menyeramkan!

   “Lima minit, Zia. Lepas tu, kau tahu sendiri betul ke tidak tebakan aku tadi..” Qalsum sengih jahat. Tarik pintu lalu keluar dari bilik kami.

   Tercengang-cengang aku dibuatnya. Lima minit kelibat Qalsum berlalu, gajet di tangan aku berdering menyanyikan lagu Bruno Mars – Marry You. Aku intai nama pemanggil.

   Eh? Private number?

   Dahi mula berlapis. Siapa pula ni? Teragak-agak aku tekan punat hijau. Dan sesaat.. suara garau milik seseorang lunak menyapa telinga aku.

   “Assalamualaikum, Shazia Thahirah. You dah tidur ke?” Lembut dan gemersik juga nada itu kedengaran.

   Erk! Terus aku tercekik liur sendiri. Mata terkelip-kelip pandang skrin telefon.

   Qay.. biar betul ni?? Hati aku menjerit dari dalam. Jantung aku mula memecut laju dari rentak asal.

   Oh.. Shazia Thahirah.. yang kau tiba-tiba berdebar sakan ni kenapa pula?

   Soalan hati yang tak mampu aku jawab. Sebab? Sebab aku sendiri sedang keliru tika ini.

 

 

 

 

Bab 1 -MMC


 
 
 
BAB 1

Kaki mula terasa memberat bila susuk tegap itu sudah semakin hampir dengan aku. Sesekali aku tertinjau-tinjau ke belakang mencari kelibat Qalsum. Kosong. Dah ke mana pula minah tu? Cemas aku dibuatnya.

   Buk! Tiba-tiba saja aku rasa pandangan aku gelap. Adoi.. apa benda aku langgar ni? Keras semacam aje. Boleh tahan sengal dahi aku dibuatnya.

   Teraba-raba tangan aku mencapai objek depan mata. Namun, sesaat mataku terbuntang luas bila sesuatu yang teramatlah janggal menjadi sajian pertama mataku.

   Butang? Butang kemeja?

   Dan pandangan aku dongakkan ke atas. Sesaat..

   Are you okay?” Suara garau seseorang mengetuk telinga. Serius wajahnya waktu menyoal.

   Oh, Tuhan. Nyaris aku nak pengsan. Kelam-kabut tangan aku tarik menjauh. Wajah tampan Raed yang sedang tersenyum aku pandang dengan tona yang tak tahu aku nak jelaskan macam mana. Segan gila kut.

   “Err.. err..” Gelisah aku tika ini. Ayat yang aku dah susun tadi habis berterbangan hilang ke langit biru.

   Are you okay, Thahirah?” Si jejaka ulang lagi soalan sama. Anak matanya yang berwarna hazel itu tajam menikam pandanganku. Membuatkan aku terkesima sekejap.

   “Shazia Thahirah..” panggil dia. Siap gawang-gawang tangan lagi.

   Aku tersentak. Baru kali pertama dia mengajar kelas aku, dia dah boleh ingat nama aku?? Mustahil ni!

    “Okay.. Okay, Dr. Raed..” jawab aku kalut. Lelaki yang berkelulusan Doktor Falsafah ini aku renung takut-takut.

   Aduhai.. apasal kau kalut sangat ni, Zia? Hampir aku nak ketuk kepala sendiri.

   Raed ukir senyum lagi.

   “You nampak kalut, Thahirah..” ujar dia lalu tubuh tegap itu bersandar pada kereta Audi A5 miliknya.

   Fuh.. terbeliak biji mata aku. Baru aku perasan jenis kereta lelaki ini. Padanlah kalau jadi buaya darat sekalipun. Cukup pakej!

   I’m talking to you, Thahirah..” Raed tekankan suara dia. Cuba mengambil alih perhatian aku.

   “Huh?” Aku pandang wajah dia dengan riak blur.

    Dia senyum lagi. Senyuman yang bisa mencairkan mana-mana wanita.

   “Kenapa kalut?” soal dia terus. Aku garu tepi telinga.

   “Err.. sebenarnya.. sebenarnya..” Entah alasan apa aku nak cekau, aku pun tidak pasti.

   Takkan nak cakap sebab Qalsum Annur yang suruh aku ke mari? Itu jawapan orang kurang waras, Zia.

   “Ada yang tak faham ke dengan subjek I ajar tadi?”

   Gilalah Raed ni. Ber I-you dengan student? Cool gila! Sempat hati aku membisik sendiri.

   Mendengarkan ayat yang Raed tuturkan, tiba-tiba akal aku mula berfungsi. Spontan aku angguk laju.

   “A’ah.. tak faham. Sebab tu Zia cari Dr. Raed dekat sini..” Buru-buru aku bagi helah pada dia. Aku nampak kening dia terjungkit naik sebelah. Jangan cakap dia tak percaya.

   “Tapi.. waktu I tanya dalam kelas, you tak angkat tangan pun cakap tak faham..” Dia ungkit hal dalam kelas pula dah. Aku terkedu.

   “Itu.. itu..” Sekali lagi, aku berubah gagap. Zia.. sejak bila kau jadi gagap, hah?

   Sejak jumpa berdepan dengan Raed Zayaz nilah! Satu suara lain pula yang tolong jawab.

   “Comel..” gumam Raed perlahan.

   Tiba-tiba aku rasa dia seakan mengatakan sesuatu pula.

   “Apa dia?” Wajah tampannya aku pandang.

   Raed bangkit dari bersandar. Dia geleng kepala.

   “Tak ada apa-apa. Tu.. kucing belakang you, nampak comel..” Muncung dihalakan pada belakang tubuh aku. Aku segera menoleh.

   Kucing? Tak ada pun!

   “I tipu..” Raed gelak-gelak lagi. Suka eh dia kenakan aku!

   Aku pandang dia dengan pandangan mencerun. Pelik. Lagak dia seolah kami sudah kenal lama pun ada. Walhal, baru dua jam dia bergelar pensyarah aku kut.

   “Tak lawak?” Dia soal aku balik bila aku langsung tak bagi respons pada lawak tak menjadi dia tu.

   Polos gila soalan dia tu. Aku geleng tanpa sedar. Tak semena, sekali lagi dia ketawa senang.

   “Opss..” Aku pekup bibir sendiri. Mulalah tersedar perilaku yang dah melampau batas. Silap haribulan, dia cop aku pelajar yang tak ada adab pula.

   So.. you nak tanya sekarang ke?” Dia alih topik kami.

   “Maksud Dr. Raed?” Aku kurang faham pula dengan bicara dia.

   “Yalah.. you datang cari I sebab tak faham subjek I ajar tadi, kan? Jadi.. I tanyalah you. You nak tanya sekarang ke sebab..” Dia melirik pada jam tangannya. Aku turut mengintai.

   Bila faham maksud dia tu, laju aku tepuk dahi.

   “Dr. Raed ada hal lain ke?” soal aku serba-salah.

   Sebenarnya bukan aku tak faham pun. Tapi, inilah salah satu taktik yang Qalsum ajar untuk tarik perhatian Raed.. terpaksalah aku menipu. Allah.. banyaknya dosa aku saja untuk hari ni.

   Actually, yes. I ada date..”

   Ya ampun! Terus-terangnya dia.

   “Ohh..” Entah kenapa, tiba-tiba saja aku rasa kecewa dengan kenyataan dia tu.

   But.. if you don’t mind.. you boleh ikut I..”

   “Hah??” Melopong bibir aku untuk seketika.

   “Yeah.. I cakap betul ni..” Dia nak aku percaya kata-kata dia.

   Aku pandang jam di tangan. Pukul 2.00 petang. Mamat ni biar betul.

   “Tapi.. Dr. Raed kan..”

   “I ada date dengan ibu. Lunch date..” Dia pintas ayat aku. Aku dah tercekik liur sendiri.

   Wanna join us? Nanti I boleh terangkan subjek tu tadi. I pun tak ada kelas dah lepas ni. You pun sama kan?”

   Eh? Dia tahu jadual aku?

   “Macam mana Dr. Raed tahu?” soal aku hendak tahu.

   It doesn’t matter..” Dia berdalih.

   “Nak ikut tak?” soal dia lalu pintu kereta pemandu dia buka. Mata masih menanti jawapan aku.

   “Tak manis nanti..” Aku mula seram-sejuk. Dia ni memang serius ke tidak?

   “Esok I sibuk. I tak rasa you sempat jumpa I. Kebetulan hari ni I free, tapi itulah.. I ada lunch date dengan ibu pula. Kalau dekat rumah I nanti, I boleh curi masa ajarkan you..” Dia bagi tawaran lagi.

   Aku terdiam seketika. Memikirkan kata setuju yang aku dah berikan pada Qalsum, aku jadi tersepit.

   Betul ke keputusan yang aku buat untuk game Dr. Raed ni? Kalau kantoi, macam mana?

   “Thahirah..”

   Aku terpinga-pinga seketika bila dia sekali lagi menyeru namaku. Sudahlah suka-suka dia aje panggil aku dengan nama Thahirah. Dekat kampus ni, dia seorang aja yang panggil aku macam tu.

   “I kejar masa ni. You nak ikut ke tak?” tutur dia. Tetap sama. Masih menanti jawapan aku.

   Aku pula sudah pening kepala. Memanglah jawapannya cuma ya atau tidak. Tapi, yang nak memilih di antara dua itu buat kepala aku hampir rasa nak tertanggal.

   Qalsum.. tugas berat apa kau bagi pada aku ni? Nak saja aku jerit dekat telinga Qalsum waktu ini juga.

    Dia nilah yang dah menyusahkan aku. Tapi, bukan ke aku sendiri yang setuju?

   Ah.. dua-dua sama aje!

 

 

 

 

Prolog -MMC


 
 
PROLOG

Dahi kukerut untuk beberapa saat. Wajah cantik Qalsum aku pandang penuh sabar. Minah ni biar betul? Takkanlah mamat playboy aka buaya darat yang dia maksudkan tu..

   “Som..”

   Pap! Tak sempat aku nak berbicara terus, bahuku sudah pun menerima habuan daripada Qalsum. Boleh tahan perit, okay?

   “Kau ni apahal? Sakit, tahu?” Bahu yang masih lagi terasa perit aku usap halus. Qalsum bagi jelingan maut.

   “Berapa kali aku nak pesan ni?” Qalsum dah cekak pinggang. Wajah cantik berketurunan Cina ini pun dah berubah merah.

   Minah ni.. kalau marah, tona wajah pun berubah sekali. Maklumlah, muka putih melepak macam tu. Tak macam aku. Aku ni bukanlah dalam kategori hitam. Tapi, kurang sikit cerah daripada Qalsum. Tapi, ramai puji cakap aku lawa. Tambah-tambah dengan lesung pipit yang aku ada ni.

   Opss.. kau orang jangan salah sangka pula. Kecantikan anugerah Allah ni tak pernah lagi aku gunakan untuk mempermainkan mana-mana kaum Adam. Setakat nilah. Esok-esok belum tahu sebab..

  “Mengelamun!” sergah Qalsum. Terangkat sedikit bahu aku.

   “Mana ada..” dalih aku cepat. Qalsum tayang senyum sindir. Senyuman yang sangat menjengkelkan.

   “Apa? Tak puas hati?” Aku soal dengan riak tak bersalah.

   Aku nampak tangan Qalsum dah mula bergerak laju nak mencari mangsa. Tapi, silaplah dia kalau kali ni aku nak biarkan aje mana-mana anggota tubuh aku menjadi mangsa dia.

   “Tangan tu behave sikit..” Jari naik melentik. Qalsum berdecit.

   “Panggil aku, Qay. Diulang, Qay..” Suara serius Qalsum menujah telinga aku. Aku terpana untuk seketika sebelum senyuman mula merekah di bibir.

   Pasal nama rupanya.

   “Kau ni tak reti bersyukur, tahu? Mak bapak bukan main letak nama elok-elok.. Qay juga yang kau minat..” bebel aku lalu duduk ku labuhkan pada bangku. Qalsum jeling aku lagi. Tak lama, dia turut labuhkan punggung di sebelah aku.

   “Sekarang ni kau nak cakap pasal nama aku ke kau nak cakap pasal mamat hujung sana nun?” Qalsum muncung bibir pada sesusuk tubuh tegap yang sedang bercakap dengan seseorang. Aku talakan pandangan pada arah muncung Qalsum.

   Raed Zayaz.. lelaki kacukan Melayu-Arab itu memang tampak sempurna sekali. Ini kali pertama aku melihat dia. Itu pun setelah dikenalkan oleh Qalsum aka Qay. Kononnya..

   “Som..”

   “Qay!” jerkah Qalsum masih terkawal. Aku tarik muncung sedepa.

   “Ya-ya.. Qayyyy..” Sengaja aku leretkan suara. Memerli dia yang pastinya. Qalsum senyum bangga selepas itu. Sukalah tu orang panggil dia macam tu.

   “Haa.. nak cakap apa tadi?” soal Qalsum kemudiannya. Aku hela nafas yang mula terasa tersekat-sekat.

   “Betul ke nak buat macam ni?” Aku soal Qalsum dengan pandangan serba-salah.

   Qalsum pandang aku penuh curiga.

   “Jangan cakap kau nak tarik balik. Kau dah setuju tadi..” Wajah cuak Qalsum tayang depan aku. Aku kebam bibir sendiri. Bukanlah macam tu..

   “Tak adalah sampai nak mungkir janji. Tapi..”

   “Tapi, apa?”

   “Aku tak sampai hatilah, Qay..” Aku luahkan rasa yang sedang menular dalam hati. Qalsum herotkan bibir.

   “Kau dah tangkap cintan ke?” Kening Qalsum terjungkit tinggi. Tanda dia sedang menduga aku.

   Aku jegilkan biji mata. Jatuh cinta? Dalam masa tak sampai satu jam? Gila!

   “Gila!” Terluah kata-kata itu di bibir aku. Qalsum gelak lucu.

   “Tahu.. kau tu kan hati beku..” sindir Qalsum sedas. Aku mulalah rasa panas. Huih.. ini dah lebih.

   “Kau pernah tak makan penampar aku sebelum ni?” Aku soal dia lagak kak long. Qalsum mencemik.

   “Kalau tak pernah pun, kau sanggup ke nak letak tangan dekat pipi kawan baik simpul mati kau ni?” Qalsum masih tak habis menguji. Sesekali kening dia terjungkit-jungkit.

   Huh, sakit jiwa aje tengok!

   “Sanggup ke tak sanggup belakang kira. Kalau aku dah marah, aku pakat langgar aje..” Aku bagi amaran. Tapi, senyuman sinis masih bergayutan pada bibir Qalsum.

   Sahlah.. dia tak percaya omongan aku.

   So.. Shazia Thahirah.. kau masih nak teruskan ke tak ni?” Suara Qalsum masih lagi bertanyakan soalan sama.

   Aku toleh wajah Qalsum. Bersilih ganti dengan wajah si dia yang sedang kusyuk berbual di hujung sana.

   “Tak kira kerja gila ke ni?” Aku tetap ragu-ragu. Qalsum hela nafas panjang.

   “Lagipun, aku tengok dia macam baik aje..” tukas aku lagi. Kali ni, aku nampak Qalsum dah mendengus tak puas hati.

   Yalah.. aku puji orang yang dia tengah sakit hati.. memanglah saja cari nahas jawabnya.

   “Luaran buaya darat memang macam tu. Baik, sweet talker, penyayang.. lembut gigi daripada lidah..” cemuh Qalsum dalam nada geram. Aku nampak dia siap kacip gigi lagi.

   “Kenapa kau benci sangat dekat dia tu?” Soalan cepumas untuk Qalsum. Serta-merta pandangan Qalsum berkalih pada aku.

   “Dia tu sepupu aku..”

   “Sebab sepupu lagilah tak logik kalau kau nak kenakan sepupu kau sendiri..” Aku ingatkan dia.

   “Memang patut pun. Semua perempuan dia nak test market. Menyampah, tahu?” Tangan Qalsum genggam kuat.

   “Ni kes dia main-mainkan Nairah ke?”

   Qalsum angguk.

   “Sebab dia tulah, tak pasal-pasal aku dapat simbahan percuma daripada minah tu. Manalah aku tahu Abang Raed tu tak serius lagi kali ni..” Qalsum dah mula pada sesi luahan perasaan.

   “Habis.. aku tak ada pilihanlah ni?” soal aku untuk kesekian kalinya.

   “Zia.. kalau kau sanggup game Abang Raed aku tu, aku tanggung belanja kau dekat kampus untuk dua bulan ni. Deal?”

    Aku gigit bibir sendiri. Tawaran yang menarik. Lagipun poket aku memang tengah kering. Nak meminta pada along, aku rasa tak tergamak. Lagipun, along sendiri ada keluarga yang perlu ditanggung.

   Nak minta pada umi dan abah? Lagilah aku tak sanggup. Umi dan abang tu kerja apalah sangat. Harapkan hasil kebun getah kami aje.

   Kepala yang masih bertudung aku garu perlahan. Benar-benar tersepit.

   “Dia bakal lecturer kita, Qay..” Aku nak Qalsum berfikir dua kali.

   Memang Raed itu bakal menggantikan kelas Dr. Zahra yang mula cuti bersalin mulai minggu depan. Bermakna selama dua bulan aku bakal berjumpa dengan Raed ini di dalam kelas. Sebagai seorang pelajar dan pensyarah!

   Tapi, nampaknya Qalsum tetap takkan berganjak kali ni. Nampak jelas muka dia mencerut bila aku ungkit pasal title seorang Raed Zayaz dalam kampus kami ini.

   “Aku tak nak jawapan negatif, Zia..” Qalsum sekali lagi bagi amaran.

   Bahuku yang tegak sudah mengendur. Aku memang tak ada pilihan!

   “Yalah-yalah.. aku setuju..” putus aku akhirnya. Tak sampai seminit, tubuh aku dah lemas dalam dakapan Qalsum.

   Bukan main kejap lagi dia peluk aku. Sampai terkapai-kapai aku dibuatnya. Qalsum ni memang otak gila-gilalah!