PeNgiKuT sEtiA..

Saturday, September 13, 2014

Kala Rindu Menyapa (Cerpen)


Hanif Ajmal

Kala Rindu Menyapa

Oleh : Hana Efriena


Part 1

Belakang tubuh wanita kesayangannya dipandang dengan rasa sebu. Berkali-kali pemandangan itukah yang dia harus tatap? Sudah hampir dua bulan pemergian anak bongsu mereka, Hail Hadif. Tapi, isterinya tetap begitu. Tetap berada dalam dunia khayalannya sendiri.

   Hanif hela nafas perlahan-lahan. Dulang berisi sarapan dibawa mendekat pada susuk tubuh itu. Harapannya, sudilah Aira menjamah sedikit air tangannya untuk pagi ini. Isterinya itu kalau tidak dipaksa, jawabnya memang dibiarkan saja perut itu kosong.

   “Aira.. abang dah buatkan sarapan untuk Aira. Makan sikit, sayang..” teguran lembut Hanif sekadar angin lalu. Aira tetap tegak memandang ke luar jendela.

   “Aira..”

   “Awak betul-betul seorang doktor kan?” soal suara itu yang tiba-tiba saja berpusing dengan wajah sendu. Hanif tersentak.

   Terkejut dengan soalan di luar jangkaannya itu. Takkan Aira lupa dengan kerjaya suaminya sendiri selama ini? Mereka bukannya baru kenal. Malah, sudah lebih lima tahun mendirikan rumahtangga.

   “Han.. jawab soalan saya..” desak Aira yang tiba-tiba nampak beremosi.

   Nak tak nak, Hanif terpaksa juga jatuhkan kepalanya sendiri. Melayan Aira sejak dua bulan yang lepas, memang perlu dia titipkan dirinya untuk sabar.

   “Sayang tentu tak lupa kerja suami sendiri kan?” Hanif letakkan dulang di atas meja lalu rambut isterinya yang bersepah dibetul-betulkan. Aira menepis lembut.

   “Saya tak lupa. Tapi, saya ragu-ragu..” jawab Aira lemau. Wajah yang cengkung itu terpamer seribu duka.

   “Kenapa?” Hanif beranikan diri untuk bertanya.

   “Kalau benar awak seorang doktor, kenapa nyawa anak kita awak tak mampu nak selamatkan?” Dan saat suara itu melantun untuk kesekian kalinya, Hanif hanya mampu tahan rasa pedih di ulu hati.

   Astaghfirullahalazim.. istighfarnya berulang kali. Memohon agar secebis lagi kesabaran masih tersisa untuk dirinya.

********************

Wajah kembar arwah Hail Hadif dipandang penuh kasih. Hail Hakimi nampak sangat lena. Dahi si kecil yang masih berbekas parut itu diusap dengan ibu jari kasarnya. Menatap wajah Hakimi, samalah seperti dia sedang menatap wajah arwah Hadif.

   Wajah yang serupa dan sama, hanya lesung pipit Hakimi yang membezakan pasangan kembar seiras itu sebelum ini.

   Tapi, kini tidak lagi. Tidak perlu sesiapa hendak membezakan kerana pinjaman Allah yang lagi seorang itu sudah hampir dua bulan dijemput pergi. Hanif pejam mata. Rasa rindu pada arwah Hadif seakan menusuk dada.

   “Papa..” Suara halus si kecil memanggil namanya. Hanif buka mata kembali. Merenung wajah polos yang nampak seakan sedang menahan tangisnya sendiri.

   Bingkas Hanif duduk bersila. Risau datang bertimpa-timpa.

   “Kenapa, Kimi? Anak papa sakit ke?” soal Hanif bertalu-talu. Hakimi geleng kepala dengan wajah sayu. Tak semena, leher tegap papanya itu dipeluk erat.

   “Kimi nak tidur dengan mama..” rengek si kecil bersama tangisan yang sudah mula berlagu. Jiwa Hanif tersentap. Perlahan-lahan tubuh Hakimi dijarakkan lalu pipi si anak disapu dengan telapak tangannya.

   “Mama tak sihat, sayang. Kita bagi mama rehat, ya? Malam esok Kimi dengan papa boleh masuk tidur bilik mama..” pujuk Hanif penuh sikap penyayang.

   Sedangkan dia tahu tipis harapannya untuk bawa Hakimi masuk ke dalam kamar Aira. Tiap kali dia suarakan hasrat Hakimi, pasti Aira akan membentak-bentak dengannya.

   Dia tahu punca isterinya menjadi begitu. Pastilah kerana wajah Hakimi yang seiras dengan Hadif mengingatkannya akan sebuah hakikat bahawa Hadif telah lama pergi meninggalkan mereka sekeluarga.

   “Sekarang tak boleh, papa? Kimi rindu mama..” Polos suara itu menyoal. Hanif diam membatu. Tiada jawapan mampu diberi pada si kecil yang tidak faham apa-apa itu.

   Maafkan papa, Kimi. Papa tak mampu pujuk mama.. desis Hanif bersama tubir mata yang bergenang sedikit.

************************

 Perbualan bersama bapa mertuanya bagaikan terimbau-imbau kala ini. Hanif letak gajet miliknya ke tepi. Sudah hampir seminggu dia menyerahkan tugas di klinik kepada Doktor Jehan. Mujurlah klinik itu atas perkongsian dia dan teman baiknya itu. Kalau tidak, jenuh juga hendak meminta cuti.

   Semuanya gara-gara hendak menjaga Aira. Kebetulan pula, Hakimi demam sejak dua hari yang lalu. Hanif pejam mata. Kepala disandar pada bantal lalu tangan naik ke dahi. Kusut fikirannya sejak kebelakangan ini. Tambah-tambah lagi bila memikirkan permintaan Hakimi itu.

   Berhari-hari hanya permintaan itu yang meniti di bibir anaknya. Betapa Hakimi rindukan belaian seorang ibu. Kenapa Aira masih tidak faham-faham? Kalau benar dia pernah kehilangan, kenapa Hakimi perlu juga disia-siakan? Hanif buntu. Otaknya bercelaru.

   Saat nasihat bapa mertuanya menyinggah di benak, Hanif bingkas duduk. Wajah Hakimi yang lena di sebelah dipandang dengan rasa berbuku. Lambat-lambat dia jatuhkan kaki dia ke bawah.    

   Menapak pada muka pintu lalu tombol pintu dipulasnya dari dalam. Niatnya cuma satu. Kamar yang pernah menjadi perkongsian dia dan Aira.

   Saat dia kini sudah tercegat berdiri di hadapan bilik utama, nafas disedut lama. Kekuatan cuba dikumpul. Tanpa perlu menunggu hatta sesaat, terus dia tolak daun pintu itu.

   Suram. Gelap. Hanya pemandangan itu menyapa mata. Hanif menapak masuk. Suis lampu dipetik dan sekelip mata suasana bilik yang gelap bertukar terang.

   Mata diliarkan mencari susuk si isteri. Bila dia lihat Aira sedang mengambil angin di luar balkoni, nafas lemah terhela berulang-kali di bibir. Kaki di atur hendak mendapatkan si isteri.

   “Sayang..” Hanif peluk tubuh Aira dari belakang.

   Dua bulan batin dia terdera. Sungguh dia tidak tipu kalau dia katakan berada dalam jarak sebegini dengan Aira pastilah nalurinya itu terusik. Meskipun Aira langsung tidak menggodanya.

   “Han.. saya tak selesa..”

   Hanif tahan rasa. Ke mana hilangnya ganti diri abang untuk dia? Sungguh dia rindu. Terasa semuanya seakan berubah sekelip mata.

   “Kita duduk macam ni kejap, sayang. Dah lama abang tak peluk sayang..” pinta Hanif sayu. Aira nampak sedang berusaha melepaskan diri.

   “Please, Han. Saya tak mahu..” tolak Aira dengan suara sedikit tertekan. Hanif telan rasa kecewa. Dengan berat hati, tubuh Aira dilepas bebas.

    “Abang suami sayang..” Hanif cuba nak ingatkan.

   Aira buat tak dengar lalu selamba atur langkah masuk ke dalam. Melihat respons si isteri, Hanif raup wajah sendiri lalu tubuh Aira dia ekori dari belakang.

   “Saya nak tidur..” Si isteri sedang cuba mengelak.

   “Kimi tanya abang, bila dia boleh tidur dengan mama dia macam dulu-dulu. Kimi rindukan mama dia..” Hanif dah malas nak berbual lama-lama. Terus ke pokok pangkal tujuan dia masuk mencari Aira tadi.

   Wajah Aira nampak berubah sedikit.

   “Aira dah pesan banyak kali. Aira tak boleh tengok muka Kimi..” bentak Aira agak kasar.

   “Kenyataan tetap kenyataan, Aira!” Rasa sabar kian menipis.

   “Tapi, kenyataan tu semua berpuncanya dari Han. Han penyebab Hadif mati. Semua ni salah Han!!” jerit Aira tiba-tiba.

  “Aira!” jerkah Hanif benar-benar terkejut. Matanya melotot memanah wajah sang isteri. Lama dia begitu sebelum dia bingkas bangun untuk menjauhkan diri daripada Aira. Bimbang tangan kasar ini tanpa bisa dikawal bakal singgah di pipi mulus itu.

    Pucat seketika wajah Aira. Mungkin tidak menyangka Hanif bakal meninggikan suara sebegitu.

   “Apa lagi Aira nak abang buat?” Hanif terasa lelah. Penat hendak berjuang memujuk hati seorang isteri.

   Benarkah salah dia? Benarkah dia punca Hail Hadif pergi meninggalkan mereka?

   “Aira tak nak tengok Kimi..” Aira tetap dengan kedegilannya.

   “Kimi tu anak kita, kembar arwah Hadif. Aira tak boleh buat dia macam tu. Kimi demam sebab rindukan Aira. Walhal, hakikatnya kita duduk sebumbung. Payah sangat ke Aira nak terima hakikat ni?” Bengang suara Hanif melantun keluar.

   “Han bercakap senang sebab bukan Han yang mengandungkan arwah Hadif. Hadif tu nyawa Aira. Han faham tak??” Merah mata Aira bak biji saga. Hanif mendengus kasar.

   Terasa aura-aura pergaduhan di antara mereka. Kelak dia rasa kalau dia masih berada dalam kamar ini, pasti keadaan lebih bertambah teruk.

   Tanpa kata, tanpa pamitan.. Hanif terus melangkah keluar dari kamar yang dah mula panas berbahang itu. Hanya itu jalan yang terbaik.

****************************

Kalau semalam kesabarannya teruji, kali ini dia rasa sabarnya memang tingal nyawa-nyawa ikan. Melihat Hakimi yang tertidur lesu atas lantai betul-betul di hadapan bilik Aira, semakin membuatkan rahangnya bergerak-gerak ganas.

   Nafas ditarik panjang. Iman cuba diteguhkan. Bimbang juga kalau rasa amarah ini terlepas pada si kecil polos itu.

   “Kimi.. bangun, sayang. Papa dah balik ni..” Tubuh Hakimi yang baring mengerekot itu dikejutkan oleh jemari kasarnya.

   Kelihatan si kecil sedang memisatkan matanya beberapa kali. Hanif senyum hambar pada Hakimi.

   “Papa dah balik?” Hakimi bangun lalu pinggang Hanif dipeluknya erat. Mati senyuman Hanif bila tangisan kecil Hakimi menangkap deria telinganya.

   “Hei.. kenapa ni, Kimi? Tak mahulah nangis..” pujuk Hanif gelabah.

   “Kimi mimpi adik, papa. Tubuh adik banyak darah. Kimi takut. Kimi ketuk pintu bilik mama, mama tak mahu buka..” adu si kecil menjentik rasa kasihan di sanubari. Hanif pandang wajah Hakimi lama.

   Memang Aira dah melampaui batas kali ini. Tidak dapat tidak, dia perlu bersemuka dengan Aira. Meskipun dia tahu jam sudah menginjak ke angka 10.00 malam.

   “Masuk tidur dalam bilik, kejap lagi papa masuk..” Kepala Hakimi diusap. Pipi basah Hakimi juga turut disapu bersih. Sebuah ciuman melekap pada ubun-ubun Hakimi sebelum tubuh anak kecil berusia empat tahun itu lesap dari pandangannya.  

*************************

Soalan yang memang dia hendak tanyakan dari tadi lagi. Terbuka saja daun pintu dengan menggunakan kunci perdua, tubuh Aira yang tidur membelakanginya dulu diterkam.

   “Han..” Aira bangkit segera. Terkejut bila pintu yang dia kunci elok dibuka si suami. Wajah Hanif tegang.

   “Kenapa buat anak sendiri macam tu?” soal Hanif tegas.

   Aira yang tadi nampak terkejut dengan kehadiran Hanif tayang riak kosong sudahnya. Perlahan-lahan tubuh direbahkan membelakangi suaminya itu. Selamba.

   “Abang cakap dengan Aira ni!” bentak Hanif seraya memanjat katil. Tubuh itu ditarik kasar dari belakang.

   “Sakitlah, Han..” adu Aira dengan wajah berkerut-kerut.

   Hanif terdiam. Wajah diraup seketika. Melihat riak Aira yang nampak suram itu, rasa bersalah menjalar masuk ke sudut hati.

   “Okey, abang minta maaf berkasar. Tapi jujur abang cakap abang tak suka Aira layan Kimi macam tu..” Hanif angkat kedua-dua belah tangan. Mengalah.

   “Apa Aira dah buat?” soal si isteri jelas tertekan.

   “Aira dah buat salah dan Aira masih sempat tanya abang apa Aira dah buat?” Hanif dah bengang.

   “Apa salah Aira? Cuba abang cakap!” Nampak muka Aira tidak puas hati. Hanif tarik nafas dalam.

   “Kenapa langsung tak buka pintu waktu Kimi dekat luar?”

   “Aira benci Kimi..”

   “Astaghfirullahalazim. Aira sedar tak apa Aira cakap ni?” Naik satu okatf suara Hanif.

   “Ya, Aira sedar. Aira sedar apa Aira cakap. Aira cakap Aira benci Kimi. Aira benci Kimi sebab dia punca Hadif mati. Aira benci Kimi. Aira benci Han! Han faham tak??” jerit Aira tiba-tiba naik angin.   

   Tubuh Hanif ditolak kasar sebelum dia turun daripada katil. Sempat kunci kereta yang berada di atas meja kecil itu dicapai tangan halus itu.

   Hanif sudah tercengang melihat larian si isteri yang jelas menuju ke tingkat bawah. Seakan baru tersedar dari lamunan panjang, Hanif pantas mengejar susuk itu.

   “Aira, Aira nak ke mana tu??” jerit Hanif gelabah sambil cuba mengejar langkah deras Aira. 

   Sebaik saja dia berjaya memintas Aira, pintu utama dikunci. Tangan didepangkan menghalang niat si isteri.

   “Tepi!” jerkah Aira sudah lupa siapa lelaki yang berdiri di hadapannya. Hanif ketap gigi rapat. Tangan Aira dicekup lalu kunci dirampas. Hanif baling kunci itu jauh ke ruang tamu.

   Melihat Aira hendak mendapatkannya kembali, pinggang itu pula yang disauk kemas.

   “Lepaslah! Aira tak suka!” Aira menjerit bagai orang hilang akal.

   “Suka atau tidak, abang suami Aira. Aira kena hormatkan abang. Abang tak benarkan Aira keluar dari rumah ni..” Suara celah gigi dah keluar.

   Aira tahan nafas yang beralun ganas. Berang yang pastinya. Demi melepaskan dirinya, tangan kekar itu pantas digigit kuat.

   “Aira!” Hanif spontan melepaskan pegangan pada tubuh kecil itu. Sempat lengannya dikerling sekilas. Jelas berbekas gigitan.

   “Aira buat apa ni?” soal Hanif geram. Lengannya diusap-usap. Perit!

   “Aira dah cakap jangan halang Aira..” Si isteri tidak pamer wajah bersalah. Melangkah laju ke arah ruang tamu lalu capai kunci keretanya kembali.

   “No!! Aira tak boleh pergi ke mana-mana..” Hanif tarik tubuh yang hendak berlalu melepasinya itu. Kejap dipeluk daripada belakang.


   Dada Aira tak semena bergetar hebat.

10 comments:

  1. Sambuuuuuuuuuuung pleaseeeeeeee hihihi

    ReplyDelete
  2. Best2222 sila smbung...plsss

    ReplyDelete
  3. Nak lagu nak lagi...plizzzz

    ReplyDelete
  4. kesian kimi... nape aira wat lagu tu... klo aira rindukn arwah... sygkn arwah npe xbole sygkn kimi... sob sob...die x bsalah...

    ReplyDelete
  5. kq hana smbng lg ... cecepat skit tau...

    ReplyDelete
  6. salam hangat dari kami ijin menyimak dari kami pengrajin jaket kulit

    ReplyDelete