PeNgiKuT sEtiA..

Friday, December 27, 2013

Cinta Suci (End)


Tiga bulan berlalu..

Fiyrul berjalan merapati Ainul yang kusyuk mengalunkan kitab suci al-quran. Sejuk hatinya melihat perlakuan Ainul. Melihat wanita itu berada dalam telekung sembahyang sudah jelas membuatkan diri Fiyrul yang kepenatan rasa segar.

  Ainul menyudahkan bacaan terakhir. Melihat wajah Fiyrul terjengul di muka pintu bilik dengan briefcase di tangan, pantas Ainul meluru. Terus tangan Fiyrul dia salam dengan rasa hormat.

   “ Kenapa lewat?” soal si isteri sopan. Fiyrul tak terus menjawab. Sebaliknya, dia hadiahkan dahi Ainul dengan ciuman hangat.

   “ Abang banyak kerja dekat pejabat. Ain sihat?” soal Fiyrul. Walaupun setiap hari mereka bersua, soalan itu takkan dia lupa. Ainul tersenyum.

   “ Alhamdulillah, dengan izin Allah.. Ain sihat macam biasa. Suami Ain ni macam mana?” soal Ainul pula. Fiyrul sengih.

   “ Sihat, semenjak jadi suami Ainul Farahin, bertambah-tambah sihatnya..” sakat si suami. Tak sangka, dia dan Ainul akhirnya sah dan halal di sisi Islam. Itupun setelah puas dia berusaha nak tawan hati si isteri dan buktikan dia mampu untuk bimbing Ainul. InsyaAllah, menuju ke JannahNya..

   “ Alhamdulillah juga untuk kesihatan abang..” gumam Ainul lebih kepada dirinya sendiri. Briefcase di tangan encik suami dia ambil sebelum tubuh itu mula berpaling ke belakang. Fiyrul pula lebih selesa melonggarkan ikatan tali leher lalu duduk dilabuhkan di atas sofa sambil mata galak memerhatikan setiap tingkah Ainul.

   “ Sayang..” Tiba-tiba saja suara Fiyrul menyapa halwa telinga Ainul. Ainul menoleh.

   “ Ya?”

   “ Esok sayang free tak?”

   “ Kenapa?”

   “ Esok abang cuti..” Tenang suara Fiyrul. Ainul diam lama. Cuti? Habis tu, apa kena-mengena dengan dia yang free ke tidak?

   “ Jadi?” soal dia. Kening sedikit berkerut. Fiyrul dah senyum herot. Dia bangun, melangkah dengan penuh gaya sambil buka butang kemeja satu-persatu. Ainul mula rasa wajah dia berbahang. Semakin dekat langkah kakinya, semakin Ainul rasa tubuh dia ringan hendak tumbang.

    “ Abang..” Ainul rasa tak selesa pula bila pandangan Fiyrul menjelajahi seluruh tubuh dan laman wajahnya. Beberapa saat berlalu, tawa galak terhambur dari bibir seksi Fiyrul. Fiyrul kenyit mata sebelah.

   “ Gelabah sangat sayang abang ni,” sakat Fiyrul bersama gelak nipis lalu ciuman dihadiahkan di pipi Ainul.

   “ Ain malulah, abang..” Berbisik sedikit suara itu. Fiyrul gelak lantang. Terasa lucu pula.

   “ Esok sayang akan lagi malu, tahu?” ujar Fiyrul penuh makna tersurat.

   “ Kenapa?”

   “ Sebab bila abang cuti, abang nak sayang pun cuti. Sayang kena duduk rumah. Berbulan madu dengan abang dekat rumah ni esok. 24 jam..” Dan Fiyrul kenyit matanya nakal. Ainul sudah terlopong.

   “ Ain tak apply cuti lagi, bang..” sangkal Ainul gundah.

  “ Abang dah tolong Ain apply cuti pun. Hari ni abang penat. Jadi, esok bermulalah honeymoon kita dekat rumah ni..” sakat Fiyrul ditemani gelak lantang. Ainul terngadah. Memerah wajahnya tatkala ini.

   Alah, Ain.. apalah sangat. Dia tu suami kau, tahu? Satu suara berbisik positif. Ainul ukir senyum akhirnya.

******************

Sebulan berlalu..

Bahagia. Hanya itu yang mampu Ainul ungkapkan. Tapi, kebahagiaan itu bagaikan direntap pergi hari ini. Tatkala berita itu yang disajikan untuknya. Perbualan dia dan Catherina bagaikan berulang tayar di peluput telinga.

   “ Fiyrul papa kepada bayi yang I kandungkan..”

   Ainul rasa dunianya seakan berhenti berputar. Wajah dia berubah pucat.

   “ Tak.. saya tak percaya. Dia dan awak dah lama tak ada hubungan. Suami saya dah berubah..” sangkal Ainul pantas. Catherina ketawa mengejek.

   “ Dasar perempuan bodoh!” Dahi Ainul ditunjal sedikit. “ Dia tak puas dengan layanan kau, sebab tu dia cari aku!” Bagaikan panahan petir yang meresap ke hatinya. Ainul rasa dirinya kejung dengan sendiri.

   “ Awak jangan nak menfitnah suami saya, Cik Catherina!” Bergetar suara Ainul. Dia melawan pandangan tajam wanita itu. Catherina senyum mengejek.

   “ Kalau kau tak percaya, cuba kau panggil dia berdepan dengan kita..” cabar Catherina lalu dia menjauh sedikit daripada Ainul. Ainul nampak Catherina bagaikan bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit dan dia yakin tentulah Daryan Fiyrul yang dihubungi.

   “ Lima belas minit lagi dia sampai..” ujar Catherina membuatkan jantung Ainul kembali berdebar kencang. Abang.. abang takkan buat Ain macam ni kan? Abang takkan berzina kan? Ain percaya abang dah berubah.. rintih hati Ainul libang-libur.

   Ainul membawa diri ke hujung sudut. Entah kenapa, hatinya berasa tidak sedap. Dia bagaikan bisa menebak bakal terjadi sesuatu hari ni. Tidak sedar masa berlalu begitu pantas, Ainul terus diterpa sususuk tubuh tegap.

   “ Sayang, are you okay??” Cemas nada Fiyrul sembari membelek-belek tubuh Ainul. Ainul terkesima. Ciuman yang bertalu-talu hinggap di kepalanya cuba dirungkaikan. Hatinya masih memerlukan jawapan. Catherina yang melihat hanya mampu mendengus meluat.

   “ Ain okey, abang..” tolak Ainul lembut. Fiyrul matikan aksinya. Lambat-lambat dia berpaling pada Catherina yang memerhati dengan riak sinis. Tak semena tangan Catherina ditarik kasar. Ainul yang melihat terkedu sendiri.

   “ Berapa kali I perlu cakap dengan you, jangan dekati isteri I?” jerkah Fiyrul dalam nada tertahan. Catherina merentap kasar tangannya.

   “ I cuma nak pastikan you tak mungkir janji!” bentak Catherina. Fiyrul meramas rambutnya rimas.

   “ I akan tunaikan. Anak tu memang anak I. Jadi, you jangan risau. I akan tunaikan. Cuma you perlu pegang kata-kata you.. jangan dekati isteri I. I tak rela ada sedikit calar pun di tu..”

   “ Abang!!” Suara kuat seseorang yang jelas terkejut mematikan bicara Fiyrul. Fiyrul telan liur sendiri.

   “ Sayang.. dengar du..”

   “ Jadi, betullah apa Cik Catherina cakap pada Ain?” soal Ainul kecewa. Pucat lesi wajah Fiyrul. Ya Allah.. apa perlu dia buat sekarang ni? “ Sampai hati abang buat Ain macam ni..”

   Fiyrul hanya mampu menunduk lemah. Maafkan abang, Ain. Abang terpaksa lukakan Ain sebab abang sayangkan Ain sangat-sangat.. luah Fiyrul tidak tahu bagaimana untuk bereaksi.

    Masih dia ingat ugutan Catherina andai dia tidak mahu bertanggungjawab. Ainul yang bakal menjadi galang gantinya. Catherina itu jangan dibuat main. Kadang-kadang jinak dan kadang-kadang menjadi liar dan ganas tanpa bisa ditebak.

***************************

“ Sayang..” Gemersik suara Fiyrul sembari menguak rambut panjang milik Ainul. Rambut panjang dan lembut beralun itu diselit di celah telinga si isteri. Ainul mendongak. Menentang pandangan redup milik Fiyrul yang jelas menunggang terbalikkan rentak hatinya. Oh, dia berdebar!

   Do you know how much I love you?” soal Fiyrul tiba-tiba. Ainul dah tergeliat lidah.

   “ Err..” Ainul sudah garu hujung kening dia. Fiyrul senyum hambar. Tubuh Ainul yang menghadapnya dipusing ke arah depan. Lantas tangan kekarnya sudah siap memeluk kejap pinggang itu sebelum bibirnya dibawa dekat pada telinga si isteri.

   “ Sayang tentu tak tahu kan? Okey.. biar abang describe betapa banyaknya abang sayangkan Ain.” Fiyrul tarik nafas dalam sebelum senyum melatari bibir sensualnya. Ainul sudah rasa seram sejuk bila hembusan nafas encik suami berlabuh hangat di tepi telinganya. Dalam hati berdebar-debar menunggu kata bicara encik suami.

   Every time I look into your eyes, my mind whispers I love you..” Dan tubuh Ainul terus dipusing berhadapannya kembali. Anak mata si isteri ditatap dalam bersama sengihan di bibir. Ainul kejung. Semakin tidak keruan dia dibuatnya. Sungguh dia rasa cair.

   With every beat..” Tangan Fiyrul letak ke dadanya sendiri sambil pejam mata. “ My hearts shouts I love you..” Fiyrul buka mata dia kembali. Pandang Ainul yang jelas nampak terpana. Dia tahu isteri dia tak biasa suasana romantis sebegini. Jadi, dia akan cuba biasakan Ainul dengan cara dia ni.

   With every breath..” Fiyrul tiup lembut pula telinga Ainul sehinggakan mata si isteri sudah terpejam sambil menggeliat geli. Dia nampak tubuh Ainul seakan menggigil. Dalam hati, Fiyrul dah gelak nipis. Naifnya isteri abang.. “ My soul says I love you..” Terus anak mata milik Fiyrul tertancap lama pada wajah Ainul. Sekonyong pipi mulus Ainul dia pegang lembut. “ My mind, heart and soul, live for you and only you. I love you, sayang..” Sambung Fiyrul lagi sekaligus menghabiskan bicaranya. Bersama mata terpejam, ciuman dihadiahkan pada dahi si isteri.

   “ Dah tahu kan betapa banyaknya cinta abang buat Ain?” soal Fiyrul untuk kesekian kalinya. Ainul celik matanya kembali. Merenung jauh ke dalam anak mata milik Fiyrul.

“ Apa yang abang buat pada Ain terlalu melukakan..” Fiyrul sudah sebak rambutnya ke belakang. Semakin lebat air mata Ainul, semakin pedih dia rasakan sudut hatinya. Ah, kenapa dia boleh leka? Kenapa dia boleh hanyut? Bukankah dia pernah berjanji.. hanya Ainul perempuan yang ingin dia miliki.

   “ Abang tak sengaja, sayang. It just happened suddenly..” Fiyrul cuba memujuk. Diraih tangan kecil itu. Wajahnya sudah pamer riak minta simpati. Ainul senyum. Dia takkan cepat melatah.

   “ Bagaimana abang ambil Ain dan angkat darjat Ain dengan cara terhormat, begitu juga Ain nak abang pulangkan Ain pada keluarga Ain..” Terbuntang biji mata Fiyrul mendengar bait kata itu.

   “ Ain!” jerkah dia tanpa sedar. Dan bila dia lihat bahu si isteri teranjak kuat, Fiyrul meraup wajahnya kasar. Oh god, dia semakin keruhkan keadaan.

   “ Abang dah pandai tengking-tengking Ain sekarang..” Suara itu sangat sedih dan sayu meniti di halwa telinga Fiyrul. Fiyrul mendengus kasar. jelas dia nampak tertekan.

   I’m so sorry, dear. Abang tak sengaja..” Fiyrul pujuk kembali hati yang terluka itu. Ainul geleng lalu tangan si suami dia tolak perlahan.

   “ Sekali Ain serahkan hati Ain pada abang, bila abang tak pandai nak jaga.. Ain minta pulangkan kembali ia pada Ain..” Dia nampak setitis air mata mengalir di pipi mulus itu. Ainul senyum hambar lalu mengesat mutiara jernih itu. “ Ain tak patut menangis sebenarnya. Tak patut menangis untuk abang. Tapi.. itulah.. bila hati dah sayang..” luah Ainul hambar. Berpaling dan terus memulas tombol pintu.

   “ Ain.. please, sayang. Give me one more chance..” pinta Fiyrul cuba menghalang. Tapi, Ainul tetap terus melangkah.

***************

“ Abang memang dah gila!” jerkah Natasha naik angin. Fiyrul hanya diam bersama wajah yang dah lencun.

   “ Kenapa abang perlu failkan surat perceraian?” sembur Natasha lagi. Fiyrul tetap juga diam. Jadi inilah pengakhiran hubungan dia dan Ainul? Oh, Tuhan. Terlalu berat diri ini diuji. Fiyrul bangkit dari sofa. Berjalan longlai ke arah balkoni.

   “ Sebab abang tak nak tengok Ain terluka waktu persandingan abang dan Catherina..” luluh hati seorang suami. Natasha menggeleng-geleng.

   “ Catherina tak layak untuk abang!!”

   “ Dan abang tak layak untuk Ain. Langsung tak layak. Dia terlalu berharga untuk abang sedangkan abang terlalu kotor untuk mendampinginya..” jelas Fiyrul berputus asa. Natasha hampir jatuh terduduk.

   “ Sha tak percaya abang buat lagi benda terkutuk tu.. Sha memang tak percaya..” luah Natasha sebak. Fiyrul senyum hambar.

   “ Benda dah terjadi, Sha. Salah abang sebab kecewakan Ain..”

   “ Jadi, abang tak rela waktu lakukan hubungan tu?” soal Natasha sedikit pelik. Pantas Fiyrul beristighfar.

   “ Ya Allah, Natasha. Hina sangat ke abang ni hinggakan seorang isteri pun tak cukup? Abang tak rela, Sha. Abang sayangkan isteri abang. Abang tak mungkin buat macam tu pada dia. Tapi.. itulah. Abang sendiri tak tahu apa yang berlaku, Sha.. Allah!!” Fiyrul jatuh melorot ke lantai. Tersedu-sedan dia menangis bagaikan anak kecil. Ain.. abang rindukan Ain.. sayang! Abang rindu.. hatinya bermonolog hiba.

*****************

“ Tolonglah, Cate. I tak sanggup nak buat Ain macam tu. You hukumlah I apa sekalipun. I tak boleh angkat you jadi isteri I. Diri I cuma nakkan Ainul Farahin. I mohon, Cate..” rayu Fiyrul penuh emosi. Catherina sudah mencerlung wajahnya.

   “ I takkan lepaskan you, Rul! Never! You dah buat I macam ni, you nak lepas tangan? Kita sama-sama suka waktu tu. Takkan you nak I hadap seorang masalah ni??” jerkah Catherina bungkam. Fiyrul terdiam. Bayi itu memang benihnya. Jadi, dia benar-benar dilema.

   “ I tak sedar, Cate!” Geram nada Fiyrul. Catherina simpan senyum sinis. Memang Fiyrul tidak sedar dan sebenarnya.. tiada apa yang berlaku. Tapi, dia perlukan juga Fiyrul untuk menjadi kambing hitam pada bayi yang entah siapa bapanya ini.

   “ Jangan jadikan itu alasan. You dah sedap-sedap dengan I. I nak you kahwin sebelum I buat benda bodoh..” ugut Catherina lagi.

  “ Baik you bunuh aje I, Cate. I tak sanggup tengok Ain menangis siang malam sebab tahu I kena kahwin dengan you..” Fiyrul bangkit berdiri. Wajahnya jelas sudah putus semangat. Andai itu takdirnya, dia rela nyawanya diambil daripada dia perlu melukakan hati Ainul.

   “ You memang nak mungkir janji ke, Daryan Fiyrul??” Meledak suara amukan Catherina.

   “ I terpaksa, Cate. I sayangkan..”

   “ Aku bunuh Ain!!” Aku bunuh Ain!!” pekik Catherina hilang punca. Fiyrul terngadah sendirian. Jantungnya berpalu debar.

*******************

“ Cinta itu sangat unik dan indah, sayang. Sebab tu untuk melepaskannya amat perit..” Ainul mengeras tatkala tubuhnya dipeluk dari belakang. Dia hendak menolak. Tapi, entah kenapa dia bagaikan kaku untuk melawan.

  “ Ain..” Fiyrul balikkan tubuh Ainul menghadapnya. Tatkala wajah manis itu menyentuh pandangan, hatinya terasa dilapah-lapah. Ainul menangis! Dan dia lebih perit kerana terpaksa menangis bisu. Membasuh sendiri luka-lukanya.

   “ Ain, dengar sini.. sayang.” Fiyrul apit kedua-dua pipi Ainul. Ainul mendongak. Wajah tampan itu diratah penuh sayu. “ Walau apa pun pengakhiran hubungan kita, percayalah.. cinta abang pada Ain sangat suci.” Fiyrul tahan sebak. Ainul pula hanya ditemani esak kecil.

   “ Jangan pernah menangis untuk abang sebab abang tak layak. Abang dah hancurkan hati Ain. Kalaulah abang sendiri yang boleh ubah takdir abang, abang akan ubah satu aje. Abang akan ubah supaya hubungan abang dan Ain kekal untuk selamanya. Tapi, abang tak mampu..”

   “ Kenapa buat Ain macam ni, abang? Semua Ain dah serahkan, kenapa abang perlu cari dia?” soal Ainul lirih. Fiyrul geleng kepalanya berkali-kali.

   “ Maafkan abang, sayang. Semua tu berlaku dengan mendadak. Abang minta maaf. Hukumlah abang.. tapi tolong jangan benci cinta abang. Bersaksikan Tuhan yang satu, abang terlalu cintakan Ain. Nyawa abang galang gantinya, Ain..” ujar Fiyrul bersungguh-sungguh. Air mata jantannya mengalir sayu. Dua jasad itu bersatu erat. Maisng-masing menghamburkan tangisan sayu.

********************

Ainul rasa hatinya semakin berdebar-debar kali ini. Bagaikan setiap gerak-gerinya diawasi. Peluh mula merenik dengan sendiri.

    Dia mengerling ke arah luar pagar. Kereta berwarna putih itu sedari tadi terparkir di hadapannya rumahnya. Baru dia nak melangkah dekat, susuk tubuh seseorang keluar dari kereta mewah itu. Ainul terkaku ke bumi.

   Dan saat dia nampak susuk tubuh itu seakan mengacu sesuatu padanya, Ainul sudah menggigil kuat. Dia hendak berganjak, tapi kaki bagaikan digam sehinggalah..

   “ Cate, jangan!!!” jerit suara seseorang diikuti dengan bunyi sedas tembakan. Ainul kaku. Lidahnya bagaikan terpasung ke lelangit.

   Perit, pedih.. hanya itu yang dia rasa di segenap tubuhnya. Subhanallah.. malaikat sedang menjemput akukah? Hati Ainul berkata-kata. Namun, sesaat dia bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Pantas tangan meraba-raba dirinya. Tiada langsung sebarang kecederaan. Lantas, siapa yang menjadi sasaran?

   “ Ain.. Ain, sayang..” Begitu payah Fiyrul bertutur. Darah sudah berlumuran membasahi bajunya. Melihat keadaan itu, Catherina yang menggigil ketakutan pantas memecut keretanya dengan laju.

   “ Ya Allah, abang!!” Ainul meluru ke dalam dakapan Fiyrul yang tercungap-cungap menahan nafas. Kepala itu dipangku. Darah membuak-buak keluar dari dada Fiyrul. Gemuruh hati Ainul melihatnya.

   Fiyrul genggam tangan Ainul dengan payah. “ Ain..” Tersekat-sekat suara Fiyrul. Melihat wajah yang sudah menangis itu, dia jadi semakin sayu. “ Jangan menangis, Ain. Please.. jangan menangis. Biarkan abang tatap wajah Ain yang tersenyum sebelum abang pergi. Supaya abang tahu abang pernah bahagiakan Ain..” tutur suara itu dengan payahnya.

   “ Abang, Ain minta maaf. Tolonglah, jangan tinggalkan Ain. Ain rela berpisah dengan abang tapi bukan dengan cara macam ni. Tolonglah, abang..” tangis Ainul sendu. Menggila lebatnya.

   “ Ain pernah bahagia kan dengan abang?” soal Fiyrul bersama mata yang sudah hampir terpejam. Ainul gamam.

   “ Abang.. buka mata, abang. Tolonglah Ain, abang..”

   “ Ja.. jawab soalan abang, Ain..” pinta suara itu semakin mencungap.

   “ Ain pernah bahagia dengan Daryan Fiyrul. Sangat..” jawab Ainul sudahnya.

   Fiyrul senyum hambar. Dia rasakan dadanya semakin mencengkam perit. “ Terima kasih, sayang. Terima kasih kerana sudi senangkan hati abang. Abang.. terpaksa pergi dulu, Ain. Jaga diri.. abang sayang Ain. Ingat..” Tangan Ainul semakin digenggam erat. Wajah Fiyrul semakin kuat menahan perit. Berkerut-kerut sakit!

   “ Cinta abang sangat suci untuk Ain..” Dan serentak dengan itu, tangan itu sudah terkulai layu menyembah bumi. Ainul sudah meraung kuat.

   “ Jangan tinggalkan Ain!!” jerit Ainul hilang pedoman.

   “ Ya Allah..” Natasha yang baru tiba terjelopok jatuh.

*******************************

“ Semoga tenang di sana. Ain maafkan setiap dosa awak pada Ain..” ucap Ainul bersama setitis air mata. Air mawar disiram ke pusara yang masih jelas nampak merah itu.

   Begitulah lumrah seorang manusia. DaripadaNya kita datang, kepadaNya juga kita bakal kembali..

   “ Sayang..” Suara seseorang membawa Ainul berpaling ke belakang. Seketika, senyumannya melebar. Buru-buru dia membantu Fiyrul yang berjalan penuh hati-hati itu.

    “ Kesian baby tak sempat nak jenguk dunia..” ujar Fiyrul lirih. Ainul usap dada bidang itu. Di sebalik dada yang dibaluti t-shirt itu, dia tahu luka itu masih belum sembuh sepenuhnya.

   Baby dah jumpa dengan pencipta-Nya. Kita doakan yang baik-baik saja untuk dia dan arwah ibunya..” pujuk Ainul luhur. Fiyrul mengeluh berat. Langsung tidak percaya Catherina akan pergi dengan membawa bayi itu bersama. Catherina terlibat dalam kemalangan pada hari yang sama dia ditembak oleh gadis itu.

   “ Ain maafkan Cate?” soal Fiyrul lurus. Ainul senyum.

   “ Siapa Ain untuk tidak memaafkan dia, abang? Dia pun sempat jumpa Ain sebelum hembuskan nafas yang terakhir. Dia juga pesan pada Ain.. dia minta maaf pada abang..” Tulus nada Ainul berlagu lembut. “ Abang maafkan dia?” soal Ainul pula. Fiyrul hirup nafas lama.

   “ Dengan izin-Nya, DIA lembutkan hati abang untuk maafkan arwah Cate. Cuma, abang terkilan kenapa dia sanggup menipu tu anak abang..” luah Fiyrul kecewa.

   “ Benda dah berlalu, jangan dikenang lagi. Ain bersyukur abang selamat walaupun tiga hari abang koma tak sedarkan diri..” ucap Ainul lagi. “ Kita balik, abang. Hari dah lewat ni..” ajak Ainul lalu mereka berpamitan meninggalkan perkarangan tanah perkuburan itu.

*******************

Ainul leka memandang dada langit. Kerusi dan meja batu yang sengaja diletakkan di halaman rumah itu berfungsi juga di kala ini. Ainul menyandar pada kerusi sebelum dia dapat rasa pipinya disapa dengan sesuatu yang lembap. Ainul menoleh. Sesaat, bibirnya menyingkap senyum lebar. Daryan Fiyrul!

   “ Abang.. kenapa keluar ni? Kan Ain suruh rehat dekat dalam. Luka tu masih belum sembuh sepenuhnya..” tukas Ainul seraya menggapai lengan sasa itu. Fiyrul tersenyum cuma. Duduk dilabuhkan di sebelah Ainul.

   “ Abang bosanlah sorang-sorang dekat dalam. Ain boleh pula tinggalkan abang. Lepas tu lepak dekat sini. Tak sayang abanglah tu..” sakat Fiyrul lalu mencuit manja hidung isterinya. Ainul tersenyum senang.

   “ Memang tak sayang..” Sengaja Ainul hendak menyakat. Terus buntang biji mata Fiyrul.

   “ Sampai hati sayang..” rajuk Fiyrul lalu melarikan wajahnya.

   “ Ain memang tak sayang. Tapi, Ain cinta dan kasihkan suami Ain ni. Kalau dah cinta, dia merangkumi semua aspek tau? Sayang dah siap pakej sekali dekat dalam tu..” Petah sekali Ainul berbicara. Fiyrul menoleh semula. Wajahnya bercahaya.

   “ Ain tak tipu, abang?” soal Fiyrul penuh semangat. Anak mata itu menghantar rasa cinta yang sarat untuk Ainul.

    Ainul senyum. Kepala didongak ke langit. “ Bersaksikan Allah S.W.T yang melihat hubungan kita terjalin berlandaskan redhaNya, Ain sangat-sangat mencintai abang. Ain yakin abang jodoh terbaik yang DIA ciptakan untuk Ain..” Telus kata-kata itu meniti di halwa telinga Fiyrul. Bergenang tubir mata itu. Terharu!

   “ Terima kasih sebab pernah hadir dalam hidup abang. Membawa abang pulang ke jalan lurus..” Sebak Fiyrul menutur kata. Ainul menggeleng perlahan. Tangan dia dan Fiyrul disulamkan.

   “ Tugas Ain sebab kita diciptakan untuk saling membantu mana yang tergelincir. Melengkapkan mana yang masih kosong dengan rahmatNya. Dan Ain tak pernah menyesal kenal abang. Bila Ain kenal abang, Ain dapat pelajari banyak benda. Salah satunya erti kesabaran..”

   Kening Fiyrul terjongket. “ Kesabaran?” soal si suami pelik. Ainul angguk dengan wajah mengusik.

   “ Kesabaran sebab..” Ainul leretkan senyuman dia. Dia bersedia untuk bangkit.

   “ Sebab apa, sayang?”

   “ Sebab dulu suami Ain ni nakal sangat tahu? Selalu degil.. kacau-kacau Ain meskipun Ain dah puas tolak dia..” Serentak dengan itu Ainul sudah berlari kecil ke dalam rumah. Fiyrul yang baru tersedar pantas menjerit nama isterinya.

   “ Ainul Farahin! Kenakan abang eh?” teriak Fiyrul pula. Manja saja nadanya. Dia bangkit mengejar langkah si isteri.

   “ Ain bercakap fakta yang betul..” jerit Ainul dari jauh. Dia tergelak-gelak sebelum lariannya mati dengan sendiri.

   “ Ain, sayang. Aduh..” Fiyrul mengaduh di hujung sana. Tak tunggu lama, Ainul pantas berlari mendapatkan suaminya kembali. Wajahnya cemas. Riak bimbang jelas terlakar.

   “ Maafkan Ain, abang. Ain lupa luka abang masih belum sembuh..” Kalut Ainul bersama tubir mata yang bergenang. Bila-bila masa saja akan tumpah. Tambah-tambah lagi tatkala melihat wajah berkerut-kerut Fiyrul.

   Sesaat.. dua saat.. Ainul tergamam saat tangan halusnya tiba-tiba dipegang. Dia kaget. Fiyrul senyum manis sambil membawa tangan itu ke dadanya.

   “ Sakit di dada ni tak mungkin akan sesakit hati Ain waktu tahu abang pernah terlanjur dengan Cate dan waktu abang khabarkan abang akan bernikah dengan Cate kan?” selar Fiyrul tiba-tiba. Ainul terkesima. Kenapa itu pula yang dibangkitkan?

   “ Abang cakap apa ni? Kan semua tu tak berlaku..” soal Ainul perlahan.

   “ Ain tolong papah abang ke sana, boleh?” tunjuk Fiyrul ke arah bangku yang mereka duduki tadi. Ainul cepat saja mengangguk. Tubuh tegap itu dipapah seperti yang dipinta Fiyrul.

   Usai saja tubuh itu didudukkan, Ainul hendak mengambil tempatnya pula.

   “ Tak payah.. duduk sini..” arah Fiyrul lalu menepuk-nepuk ribaannya. Ainul buat muka serba-salah.

   “ Ain bukan tak nak, abang..” Ainul kemam bibir. Bimbang suaminya berkecil hati. “ Tapi, Ain takut Ain sakitkan abang. Luka tu..”

   Tak sempat Ainul nak bersuara lanjut, Fiyrul sudah tarik tubuh itu jatuh ke ribanya. Sesaat, pinggang Ainul dipeluk kejap. Fiyrul pejam mata. Terima kasih untuk kebahagiaan ini, Ya Tuhan.. sempat hatinya mendesis.

   Kepala dijatuhkan pada bahu Ainul. Manja sekali!

   “ Ain tahu kan abang sayang Ain?” soal Fiyrul memulakan bicara. Ainul tak menjawab. Tapi, Fiyrul dapat rasakan si isteri mengangguk.

   “ Ain tahu banyak mana sayang abang pada Ain?” Soalan yang sering kali Fiyrul tanya. Ainul angguk.

   “ Dulu abang pernah cakap..”

   “ Itu dulu. Sekarang abang nak bagitahu banyak mana abang sayangkan Ain..” Fiyrul angkat kepalanya dari bahu itu. Tapi, sempat dia cium kepala yang dilitupi tudung itu. Ainul yang sering menjaga aurat.

   “ Cuba Ain pandang langit..” suruh Fiyrul tiba-tiba. Ainul menoleh. Serta-merta hidung dia bertemu dengan bibir Fiyrul. Merah wajahnya sedangkan Fiyrul sekadar mengenyit mata. “ Tengok abang buat apa? Pandang atas sana..” suruh Fiyrul lagi. Ainul akur.

   “ Cantikkan ciptaanNya?” soal Fiyrul. Ainul angguk. “ Cuba sayang kira bintang di langit tu. Jangan tertinggal walaupun satu..” pinta Fiyrul. Ainul kembali jatuhkan wajahnya.

   “ Kenapa?” Sepatah Fiyrul soal.

   “ Banyak.. nanti mata Ain sakit kena tumpu satu-satu..” Polos saja nada Ainul. Fiyrul ketawa kecil.

   “ Sebab tu abang suruh Ain kira. Abang tahu Ain mesti tak mampu kan? Betapa banyaknya bintang kat langit sekarang. Betapa luasnya dada langit ni hanya Allah yang tahu. Dan begitu juga luasnya cinta abang untuk Ain..” tulus suara Fiyrul. Ainul senyum kecil.

    Teragak-agak dia menoleh ke sisi. Tangan yang membelit pinggangnya digenggam halus. “ Ain pun sayangkan abang..” ujar Ainul membuatkan hati Fiyrul bagaikan dilambung ombak. Gembira sakan.

   “ Buktikan..” suruh Fiyrul pula. Ainul sengih cuma. Tangan yang digenggam itu dibawa ke perutnya.

   “ Buktinya ada dekat sini..” Dan saat ini jantung Fiyrul melantun deras.

   “ Ain?” soal dia dengan kening terjungkit.

   “ Dah hampir dua bulan..”

  “ Subhanallah.. Maha suci Allah..” Fiyrul jelas nampak gembira.

   “ Ain nak tahu tak, sayang? Kenapa abang bangkit kembali dari koma?” soal Fiyrul sejurus kemudian. Ainul diam. Tapi, Fiyrul tetap bercerita.

   “ Waktu abang koma, abang didatangi seorang perempuan yang persis bidadari. Cantik sangat, Ain. Dia tutup wajahnya dengan niqab..”

   “ Macam mana abang tahu dia cantik andai wajahnya ditutup?” selar Ainul.

   “ Melalui sepasang matanya yang cantik.” Penuh makna jawapan Fiyrul. “ Melalui anak mata itu, abang nampak kesedihannya. Bagaikan menyuruh abang bangkit dari lena abang. Dan bila abang hendak dapatkannya, kaki abang bagaikan digam sehinggalah dia mula melangkah pergi. Tapi, saat dia melangkah.. abang nampak ada seorang kanak-kanak kecil yang berlari mendapatkan perempuan tu..”

   “ Abang rasa tu, Ain?” soal Ainul polos. Fiyrul mengangguk.

   “ Abang yakin tu isteri abang..” ujar Fiyrul yakin.

   “ Kenapa?”

   “ Melalui sepasang mata yang cantik tu. Isteri abang pun mempunyai mata yang cantik. Sesuai dengan nama, Ainul Farahin..” puji Fiyrul luhur.

   “ Ain takut sangat kehilangan abang waktu tu..” adu Ainul tiba-tiba. Dadanya sebak. Tak dapat dibayangkan andai waktu itu Fiyrul pergi meninggalkannya.

   “ Selagi Allah kata abang perlu berada di sisi Ain, abang takkan pergi.. sayang. Mungkin sebab tu Allah lanjutkan usia abang. Supaya abang dapat bersama-sama Ain besarkan anak kita. Doa abang.. semoga anak yang bakal lahir ni akan jadi anak yang soleh dan solehah hendaknya..”

   “ InsyaAllah, abang..”

   “ Terima kasih sebab sudi terima abang yang hina ni dahulu. Sudi pimpin abang ke jalan yang benar. Kalau tiada Ai..”

   Shhh.. Ain cuma perantarannya, abang. Tapi, semua tu hidayah Allah dan kehendak abang sendiri..”

   “ Maksud Ain?”

   “ Allah takkan mengubah sesuatu yang ada pada kita melainkan kita sendiri yang mahu berubah, abang..” tutur Ainul lebih mudah difahami. Fiyrul terdiam seketika.

   “ Ain nampak keikhlasan abang untuk berubah sebab tu Ain bantu..” Ainul senyum lagi. “ Dan Ain nampak sinar mata yang sering menghadirkan cinta suci untuk Ain. Alhamdulillah.. cinta kita masih berpaksikan DIA..” Ainul kerling sekilas ke dada langit. Terima kasih Allah.. ucap dia.

   “ Mudah-mudahan, sayang. Abang harap cinta ini akan membawa kita ke Jannah. Janji dengan abang, Ain.. andai abang ada tergelincir, tolong tegur abang. Abang tak nak terus hanyut..”

   “ Abang pun janji dengan Ain. Kalau Ain ada buat salah, abang tegur ye?”

   “ Tugas abang, Ainul Farahin..” Fiyrul senyum. “ Ain tanggungjawab abang, amanah abang untuk abang tambahkan bilangan penghuni wanita di syurga. InsyaAllah, selagi Ain patuh pada suami. Begitu mudah kan Allah janjikan syurga untuk hambaNya?” ujar Fiyrul menghayati kebesaran Allah S.W.T. Sekilas, tubuh itu kembali dipeluk erat.

   Sungguh jiwanya tenang. Hatinya damai ditemani rahmat yang tiada terperi. Benarlah kata orang, cinta yang bersaksikan redha Allah S.W.T itu lebih tinggi nilainya berbanding cinta yang dihiasi bisikan-bisikan syaitan.

   Fiyrul bersyukur sangat kerana Ainul adalah zaujah yang dijanjikan untuknya. Janjinya pada diri sendiri, akan dia jaga CINTA SUCI ini sebaik-baiknya. Semoga cinta ini juga yang akan dia temui di sana nanti.. InsyaAllah..

   Daryan Fiyrul, dilihat pada nama.. tentu ramai menyangka empunya nama itu berperwatakan jahat, kaki perempuan. Tapi, bagi Ainul Farahin.. mengenali seseorang itu bukan pada namanya. Bukan pada pandangan kasarnya, tapi pada hati. Ya, pada sekeping hati yang luhur. Nescaya itulah yang sebaik-baiknya. Jangan terlalu cepat membuat konklusi. Kenali hati seseorang sebelum kita menjatuhkan hukum.

   Dan dia yakin.. pemilik nama Daryan Fiyrul bin Tan Sri Darius ini adalah sebaik-baik lelaki yang dikurniakan untuknya. Ain sayang abang sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.. ujar Ainul dalam hati lalu pipi itu dia pegang kemas. Masing-masing bertatapan. Menghantarkan rasa cinta yang tidak terperi. Semoga rasa ini akan kekal buat mereka.

Tamat

6 comments:

  1. Gud job sis.....best sgt2....diolah dan di blend dgn ckp bgs....romantic, sedih duka kecewa suka gembira semua ada....and bab ni yg plg best dlm story ni....and ur karya pun semakin byk improvement....keep it up ur good work....hopefully lps ni byk lg karya2 menarik dr sis.... -jumay jue

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih.. alhamdulillah..syukur2.. hee.. thanks akak sudi jenguk dn bce karya2 hana.. :)

      Delete
  2. the best st0ry yg prnah d'baca oleh saya..so r0mantic, sweet n everything lerr..nk komen satu2 pom sapai ujung thun pom x abis ag..ehehehe...karya smakin ari tgk smakin ada bnyak peningkatan...h0pefully akan ada lg karya terbaru yg lbh interesting ag...keep it up n gud luck sis

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah sis.. terima kasih utk pujian tu. Hana sekadar mencuba yg terbaik. syukur andai boleh diterima readers.. terima kasih juga sudi jenguk dn bce.. :)

      Delete
  3. u're the best sis.. kipidappp..!!

    ReplyDelete