PeNgiKuT sEtiA..

Saturday, November 16, 2013

Hak Milik Ezriq Aryan (Cerpen)


Hak Milik Ezriq Aryan (Cerpen)

Oleh : Hana Efryna

 

Nafas disedut lama, tangan aku depakan. Menghirup udara segar seolah-olah sudah bertahun aku terkurung dalam penjara. Arghh!!! Akhirnya setelah dua tahun aku menganggur, aku berjaya juga untuk mendapatkan pekerjaan.

Rezeki aku kali ni. Sekarang, aku dah pun diterima untuk bekerja di AR Holding. Sungguh aku rasa bertuah.

   “ Safi..” Terdengar namaku dilaung dari luar kamar. Safi, nama panggilan aku di rumah. Entah kenapalah ibu dan walid suka benar memanggil aku dengan nama begitu. Sedangkan nama aku bukan main cantik lagi.. Hannah Safiya. Kalau orang dengar pun, sudah boleh tebak tentu empunya nama itu jelitawan lagi rupawan. Ah, perasan sungguh aku ni. Aku ketuk kepalaku sedikit. Membawa diri ke alam nyata.

   “ Safi.. bangun ke belum?” Sekali lagi ibu melaung nama aku. Aku membetul-betulkan tudung seketika sebelum langkah ku atur untuk menguak daun pintu.

   “ Dah, ibu..” sahutku seraya tersenyum lebar. Ibuku, Puan Hajar sudah menggeleng kepala.

   “ Dua kali ibu panggil, baru nak buka pintu. Nasib tak tertanggal anak tekak ibu ni..” rungut ibu aku sedikit. Aku tetap senyum. Sudah biasa kena leter dengan ibu. Telinga pun dah lali. Bagi aku, leteran ibu itu menandakan ibu sayangkan aku.

   “ Walid mana, ibu?” soal aku sudahnya. Membawa ibu melencong dari topik kami.

   “ Dah ke pejabat. Hari ni hari pertama kamu kerja, bukan?” selar ibu aku dengan nada serius. Aku angguk. “ Eloklah.. pergi sarapan cepat. Tu, cinta hati kamu dah setengah jam duk bersidai depan rumah.” Sindiran ibu buat kepala aku yang hendak melangkah pantas berpusing kembali. Cinta hati? Jangan cakap..

   “ Ibu.. jangan cakap..” Aku dah gelabah semacam. Ibu hanya mengiyakan tanggapan aku bersama senyuman. Melihat anggukan ibu, aku dah tepuk dahi kuat. Oh, Tuhan!!

   “ Ezriq ada dekat luar tu..” Kali ni, ibu dah tak guna bahasa isyarat. Mendengarkan nama lelaki itu, pantas otak aku menggelegak nak letupkan lahar api. Mamat tu buat apa dekat sini??

   “ Dia nak buat apa datang sini, ibu?” Aku soal ibu dengan nada tak puas hati. Ibu dah jungkitkan kening.

   “ Eh, dia datang nak jenguk anak dialah..” Mendengarkan kata-kata ibu, pantas aku berlari masuk ke dalam kamar. Mencari susuk tubuh si kecil yang satu-satunya aku ada. Kosong! Ah, macam manalah aku boleh tak perasan susuk tubuh Erissa Damia sudah tiada di atas katil peraduan kami semalam. Serta-merta gigi ku ketap rapat. Dia ni dah melebih tahu tak??

   “ Hah.. nak ke mana tu Safi??” sergah ibuku bila langkah kaki aku sudah atur ke luar rumah. Targetku cuma satu. Kereta BMW M4 yang berwarna bronze itu. Yang elok terparkir di hadapan rumah aku. Lengan baju kurung aku senteng hingga ke siku. Semakin laju tapak kakiku di hala sampaikan aku rasa tak cukup tanah aku berjalan.

   Pintu kereta mewah itu aku kuak kasar. Rahang sudah bergerak-gerak ganas. Sebaik saja aku ingin menjerkah empunya kereta mewah itu, bibir aku sudah terkelu. Satu pemandangan yang indah. Si kecil Erissa yang lena tidur di atas dada bidang Ezriq. Bibir aku langsung kelu. Mata yang tadi bersinar garang mulai redup dengan sendiri. Dan perlahan-lahan satu rasa menyengat ke sudut hati aku.

   “ Sayang..” Suara serak seseorang mengejutkan lamunan aku. Pantas anak mata aku singgah pada wajah yang baru tersedar dari lena itu. Bibir sensual itu mengoyak senyuman buat aku. Langsung membuatkan aku rasa lemah seluruh tubuh. Senyuman yang sama. Senyuman yang masih mampu menggetarkan naluri aku. Oh, tidak!!

   “ Abang minta maaf ambil Rissa tak minta izin dengan sayang..” Anak mata itu sudah pamer riak simpati pada aku. Mendengarkan nama Erissa meniti di bibir sensual itu, pantas aku tersedar. Rasa marah kembali meruap.

   “ Saya tak suka awak dekat dengan Rissa!” Nada aku sudah naik satu oktaf. Ezriq mengalihkan Erissa yang tidur menyembam pada dada bidangnya. Dipangku tubuh kecil itu dengan riak serba-salah.

   “ Tapi, Rissa anak abang..” luah Ezriq memprotes. Aku hulur senyum sindir. Aku bawa tubuh masuk ke dalam kereta mewah itu. Capai Erissa kemudian aku sudah bersedia hendak berlalu. Tapi, pegangan kekar itu mula mencapai lengan aku.

   “ Ni apa hal nak pegang orang ni??” bentak aku seraya menjeling lengan yang dipegang oleh Ezriq. Ezriq tak terus lepas. Sebaliknya dia renung aku lama. Renungan yang menghantar rasa cinta sehinggakan aku sudah mula berdebar-debar.

   “ Abang rindu..” luah suara itu gemersik. Meremang bulu roma aku dibuatnya. Wajah si suami sudah mula mendekat. Aku pula bagaikan khayal. Hanya kaku menunggu. Dan sebaik saja ciuman lembut itu menyapa pipi, terus aku tolak tubuh sasa itu kembali. Pipi aku sapu kasar. Ezriq sudah terkebil-kebil pandang aku.

   “ Kalau awak rindu, awak takkan tinggalkan saya dengan Rissa dua tahun yang lepas.” Tegas kata-kata aku bersama tubir mata yang bergenang sayu. Ezriq dah menunduk. Jelas dia bagaikan mengakui salah sendiri. Ah!!

   “ Saya tak ada banyak masa nak layan awak Kapten Ezriq Aryan! Jadi, lepas ni jangan cuba-cuba datang rumah saya lagi. Kami berdua tak perlukan awak. Sama macam dua tahun yang lepas.” Aku bagi lagi kata-kata pedas. Ezriq nampak tergamam. Bibir itu hendak berkata. Tapi, aku dah angkat tangan terlebih dahulu.

   “ Saya tak nak dengar pujuk rayu awak. Saya dah muak..” ujar aku lebih tegas dan keras.

   “ Aya..” Aku pejam mata. Ah, kenapa dia perlu melemahkan aku sebegini? Sungguh aku benci dengan nama itu. Aku tak suka dia memanggil aku dengan nama manja kami berdua.

   Hati cuba kukentalkan lantas aku tetap keluar dari kereta mewah milik Ezriq. Dia pula tak tunggu lama, terus dia tolak daun pintu kereta mewah itu lantas mengejar aku yang sudah jauh ke hadapan.

   “ Aya.. please..” Ezriq sudah tarik tangan aku sekali lagi. Mulalah aku rasa nak angin satu badan.

   “ Kapten Ezriq Aryan.. tolong alihkan tangan awak sebelum saya naik angin..” Bergetar suara aku hendak memaki hamun orang. Mujurlah aku masih tidak hilang ingatan lelaki di hadapan aku ini adalah seorang suami.

   “ Kenapa layan abang macam ni, Aya? Abang masih suami Aya, kan?” desak encik suami seakan hilang sabar. Aku jeling tangan yang masih dia pegang sebelum si kecil dalam dukungan sudah mula bergerak-gerak.

   Aku pandang wajah Erissa. Erissa sudah mula menggenyeh perlahan matanya. Bibir itu mula tercebik-cebik hendak menangis. Mungkin marah kerana lenanya diganggu.

   Tak tunggu lama, tangisan Erissa sudah pecah. Rasa marah aku mula berpindah pada Ezriq. Kalau bukan sebab lelaki itu, Erissa tidak akan terjaga dan menangis kerana lenanya diganggu.

   Shh.. anak mama..” pujuk aku seraya menepuk kembali belakang tubuh Erissa. Tapi, Erissa tetap juga dengan tangisannya sebelum mata aku terbeliak luas bila Erissa dah toleh belakang. Hulur tangan pada Ezriq. Ezriq pandang aku dan aku pandang Ezriq. Eh?

   “ Bagilah abang pujuk Rissa..” luah lelaki itu cuba hendak memujuk Erissa pula. Aku jeling lagi.

   “ Kalau bukan sebab awak, Rissa tak menangis tahu tak??” marah aku sudah mula kembali. Ezriq diam. Aku pula masih berusaha nak pujuk si kecil kesayangan. Tapi, niat aku terbantut bila suara ibu sudah mula menyampuk kami.

   “ Safi.. bagilah Ez pegang anak kamu tu. Bukannya orang lain. Kamu tak kesian Rissa ke?” sampuk ibu mula hendak menangkan menantu kesayangan. Aku sudah merengus. Dengan berat hati, aku hulurkan juga Erissa pada Ezriq. Ezriq masih tayang wajah serba-salah. Tangan kekar itu nampak teragak-agak hendak capai anak kami. Aku bulatkan biji mata.

   “Ambillah. Tadi nak sangat kan? Suka tengok orang kena marah kan??” Suara aku sudah keluar dari celah gigi. Terus tangan kekar itu sambut perlahan tubuh kecil Erissa. Ibu pula sudah mula hilang di balik pintu.

   Saat tubuh kecil itu berpindah milik, bibir aku langsung terbuka sedikit. Erissa elok saja diam sambil sembamkan wajah pada bahu papanya. Mulalah aku terasa hati dengan si kecil. Ah, tak logik sungguh. Entah kenapa, merajuk dengan papanya.. tapi kerana hal kecil sebegitu aku mula rasa tersentuh. Wajah dah mulai tampak suram.

   “ Sayang..” panggil Ezriq memanah wajah aku sambil tepuk perlahan tubuh si kecil. Mungkin kerana dia perasan riak aku yang dah berubah. Ezriq kelihatan mendodoikan Erissa kembali. Aku jeling lalu bawa diri ke sudut lain sebelum suara ibu kedengaran kembali mengetuk telinga. Aduhai.. apa lagilah ibu ni? Hati merungut sedikit.

   “ Safi.. ni telefon kamu asyik berdering aje..” laungan ibu membawa langkah kaki aku menuju ke muka pintu.

   “ Siapa, ibu?” soal aku sembari cuba mengubah riak wajah. Ibu jungkit bahu lalu anak matanya tertancap pada wajah Ezriq.

   “ Ez..masuk dululah.. sarapan sekali..” pelawa ibu pada menantu kesayangannya. Sekali lagi, Ezriq pandang aku bagaikan meminta izin. Aku buat tak nampak pandangan milik lelaki tampan itu. Telefon kupekupkan ke telinga.

   “ Hello.. Assalamualaikum..” Dan baru sempat aku memberi salam, berita yang aku dengar di hujung sana dah buat jantung aku berdegup pantas. Tak tunggu lama, kaki aku sudah sedia terpacak di hadapan susuk tubuh itu. Tangan aku kepal kuat. Sabar, Hannah Safiya.. sabar! Aku titipkan nasihat buat diriku . Tapi, tetap tak boleh bila suara aku sudah terlebih dahulu memekik kuat.

   “ Kapten Ezriq Aryan!!!” jerkahku hilang sabar. Kalau bukan kerana lelaki ini, aku tentu tidak akan lewat ke AR Holding. Dan kalau bukan kerana lelaki ini, kerja yang baru aku dapat hari ini tentu takkan hilang macam tu aje. Ya Allah, macam manalah aku tidak sedar jam dah pun menginjak angka 8.40 pagi??? Ezriq nampak terpinga-pinga seketika.

***********************

“ Dah-dahlah tu, Safi. Anggap saja tak ada rezeki..” pujuk ibu sambil merenung wajahku yang dah menunduk. Ezriq di sebelah sudah diam membisu.

   “ Safi baru aje dapat kerja, ibu. Kenapalah malang sangat nasib Safi ni..” Terdengar keluhan kecil dari bibir aku. Bukan aku tak tahu mengeluh itu tidak elok. Tapi, aku memang sedang resah tika ini. Takkanlah aku hendak menjadi penganggur terhormat lagi kot?

   Tiba-tiba aku dapat rasa tanganku bagaikan diramas lembut dari bawah meja. Spontan mataku tunak menjeling wajah tampan yang nampak selamba di sebelah. Hendak merentap tangan itu, bimbang perlakuan kami ditebak oleh ibu. Lantas, aku hanya biarkan saja bersama ketapan gigi yang kuat.

   “ Ibu dah sudah ni. Ibu nak ke depan sekejap, bersihkan halaman rumah.” Ibu sudah bersiap-sedia hendak bangkit bersama pinggan di tangan. “ Ez.. makan kenyang-kenyang..” pesan ibu pada Ezriq pula. Aku jeling. Aku nampak Ezriq mengangguk bersama senyuman tipis.

   Hilang saja kelibat ibu, terus aku rentap tangan yang tadinya elok dipegang Ezriq.

   “ Awak ni kan..” Wajahku sudah memerah menahan marah. Ezriq mengeluh seketika. Pinggan nasi yang baru terusik sedikit dia tolak ke depan. Wajah itu berpaling pada aku. Untuk sesaat, aku terpaku. Anak mata redup itu sekali lagi menjamah wajah aku. Dekat.

   “ Abang tahu salah abang sebab buat Aya hilang kerja. Tambah-tambah hari ni hari pertama Aya kerja..” Luahan pertama Ezriq. Aku pantas tersedar. Buru-buru wajah aku palingkan ke depan. Tindakan Ezriq langsung tak terduga. Tangan kekar itu sudah mula memaut dagu aku. memaksa aku kembali menatap wajahnya. Aku mulalah rasa jantung sudah tergelincir dari tempo asalnya.

   “ Abang pernah cakap kan, kalau boleh abang tak suka Aya kerja..” Lelaki itu masih sama. Masih pandai memujuk dengan suara seksinya itu.

   “ Siapa awak untuk tentukan saya boleh kerja atau tidak??” sahut aku cuba mencabar dia. Aku perasan wajah dia sudah berubah sedikit. Mungkin terkejut dengan kata-kataku.

   I’m your husband, Hannah Safiyah. And you are mine. Hak milik Ezriq Aryan. Aya tentu takkan lupa. Don’t you?” Suara encik suami jelas nampak tercabar. Aku mencebik.

   “ Bukan lagi semenjak awak pergi dua tahun yang lepas, Kapten Ezriq Aryan!” Masih lagi menyindir. Ezriq lepaskan pautannya pada dagu aku lalu meraup wajahnya.

   Don’t call me by that name again.” Amaran keras dari bibir itu. Aku nampak dia bangkit sebelum tubuh itu sudah mula hendak menapak ke muka pintu.

   “ Kenapa? Sebab takut dengan salah sendiri?” Air mataku sudah mula bertakung. Kaki tegap Ezriq terpasak ke lantai. Dia menoleh padaku. Aku nampak dia menggeleng-geleng seketika.

   “ Aya.. kenapa tak cuba faham abang?” selar dia seakan merintih. Wajah itu jelas nampak kusut. Aku bangkit. Membawa diri berhadapan dengannya.

   “ Sebab saya tak suka kerjaya awak!” bentak aku hilang sabar. Ezriq terdiam.

   “ Tapi, dulu Aya okey aje. Aya tahu kerja abang dari awal, bukan? Kenapa bila abang cuba nak ubah hidup kita, Aya nak halang? It almost two years, Aya. Tak boleh ke Aya lupakan semuanya? Bukannya abang tak balik waktu Aya bersalinkan Rissa..” pujuk Ezriq lagi. Nadanya perlahan tapi masih mampu untuk aku dengar. Mungkin dia bimbang ibu bakal dengar pertelingkahan kecil kami. Aku mendengus.

   “ Awak tak pernah faham saya, Kapten Ezriq Aryan!” marah aku sudah tidak terkawal. Ezriq ketap bibir. Sudah pasti tidak suka aku menggelarnya begitu.

   Then, please try to make me understand you better. Bagitahu abang, apa yang abang tak faham?” selar Ezriq keras. Pipi aku dia pegang. Aku tepis lembut pegangan itu. Mataku yang berkaca mula merenung wajah dia.

   “ Sebab saya tak nak kehilangan awak macam Abang Hamka. Ya, hanya kerana itu..” Lirih suara aku sudah cukup buat wajah tampan itu nampak terkejut. Perlahan-lahan aku menapak meninggalkan Ezriq yang jelas nampak tergamam.

   Begitu sukarkah si dia hendak memahami gelodak perasaan aku ini? Sungguh aku tidak mahu merasai kehilangan lagi. Sudah cukup ketika Hamka Syarif, satu-satunya abang yang aku punya pergi menghadap Ilahi tiga tahun yang lepas. Aku tidak mahu pengalaman pahit berulang kembali. Aku bimbang aku tidak cukup kuat andai ada perpisahan kekal buat kali kedua.

***************************

Erissa yang berada di pangkuan sudah lena dibuai mimpi. Aku perlahan-lahan bangkit hendak mengatur langkah ke kamar. Seketika, langkahku pegun.

   “ Ez datang nak jumpa Rissa sebelum dia terbang pagi esok..” Ibu terlebih dahulu memaklumkan bila dia lihat aku seakan tergamam melihat kehadiran Ezriq di rumah kami.

   “ Buat apa nak jumpa saya?” soal aku hambar lalu aku atur langkah ke kamar. Naik kematu bahu aku hendak mendukung lama tubuh Erissa. Ezriq tak tunggu lama, dia tetap mengekori langkah aku.

   Sampai saja di dalam kamar, tak sempat aku nak rebahkan tubuh Erissa.. Ezriq sudah mencapai Erissa daripada aku lantas dia baringkan tubuh si kecil kami di atas katil milik Erissa. Sempat aku lihat Ezriq tunduk cium wajah Erissa sebelum dia mula kembali berdiri menghadap aku.

   “ Awak nak apa datang jumpa saya?” Aku ulang lagi soalan yang belum dia jawab. Ezriq bergerak semakin hampir. Tapi, bukan kepada aku. Dia sedang elok pergi ke muka pintu, tarik daun pintu lalu tutup rapat. Aku dah terbuntang biji mata.

   “ Kenapa awak tutup pintu tu?” marah aku sedikit cemas.

   “ Abang datang jumpa Aya dan Rissa untuk buat bekal dekat sana nanti..” Aku dah mendengus.

   “ Saya tanya, kenapa awak tutup pintu tu?” Ezriq tetap buat wajah selamba.

   “ Abang jawab soalan pertama Aya dulu sebab dah dua kali Aya tanya. Sekarang, abang jawab soalan kedua Aya. Sebab abang nakkan privasi. Nanti ibu dan walid nampak..” Tenang. Ya, hanya ketenangan yang aku dengar dalam setiap tutur katanya.

   “ Tolong keluar..” ujar aku keras. Dia buat tak dengar. Kaki dah melangkah pada aku. Sekejapan.. pinggang aku dia paut lembut. Aku dah ketap gigi. Beraninya mamat ni!

   Why should I, hmm?” soal dia menggumam lembut di tepi telinga aku. Badan aku dah menggigil sambil cuba lepaskan diri.

   “ Kapten Ezriq Aryan!!” Aku guna lagi nama yang dia jelas tidak suka. Telinga aku dah dapat menangkap dengusan kasar dari bibir sensual itu. Wajah encik suami jelas ketat. Seperti kutebak, dia memang tak suka aku gelar dia begitu. Ah, ada aku kisah?

   “ Aya panggil abang lagi sekali macam tu, jangan cakap abang tak bagi warning dekat Aya..” Suara garau itu bergetar keluar dari celah gigi. Aku jungkit kening. Sekali rentapan, tangan kekar itu sudah terlucut. Mata Ezriq dah terbuntang.

   “ Awak ingat saya kisah sangat ke? Ni rumah sayalah. Awak bukan boleh buat apa pun, Kapten Ezr.. Ahhhh!!!” Bibirku sudah terjerit kuat sebelum aku rasa jeritanku mati dengan sendiri bila bibir sensual milik Ezriq sudah lembut menyapu bibirku. Terbeliak biji mataku. Aku nampak kening Ezriq bagaikan terjungkit mencabar padaku.

   “ Abang dah cakap.. Aya cabar abang juga..” ujar dia selepas ciuman kami lepas bebas. Aku kesat bibir aku kasar. Mata sudah mencerun pada wajah Ezriq.

   “ Awak!!” Merah padam wajah aku tika ini.

   “ Apa? Aya nak lempang abang? Silakan.. tapi ingat, sekali tangan Aya naik ke pipi abang, abang takkan maafkan Aya. Aya nak masuk neraka ke?” ugut Ezriq buat kesabaran aku mula menipis. Ya Allah!! “ Dahlah nafkah batin lama dah Aya tak ba..”

   “ Ezriq Aryan bin Affandi!!” Kali ni, aku dah sebut nama penuh dia. Tangan aku sudah ku kepal kuat. Tiba-tiba saja air mata rasa hendak menitis. Sampai hati dia!

   “ Aya..” panggil dia lembut bila dia lihat aku sudah mula menyapu air mata di pipi.

   “ Saya benci awak! Benci sangat..” ujarku dalam nada sebak. Seketika, aku sudah melorot di tepi katil.

   “ Aya, abang minta maaf. Abang tak ada niat, sayang..” Dia sudah melutut di sisi aku. Aku tolak tubuh dia menjauh. Tapi, seperti biasa.. Ezriq Aryan mana pernah kenal erti kalah. Dia capai tangan aku lalu dia kucup kembut.

   “ Abang minta maaf, sayang..” Ulang dia lagi seraya menarik aku ke dalam pelukan. Bagaikan dipukau, aku tidak membantah kali ni. Rasa sebak sudah bersilih ganti menjadikan aku memerlukan dia untuk menenangkan aku kembali. Tanpa sedar juga, tubuh sasa itu aku balas pelukannya. Terasa kehangatan tubuh kami yang bersatu.

   “ Abang sayang Aya..” Ezriq mula menutur kata romantis. Ubun aku dia kucup sekilas. Dan semakin lama aku rasakan ciuman itu semakin meliar pula. Terus kepalaku panggung. Memerhatinya dalam keadaan terpinga-pinga.

   “ Abang rindu Aya, sayang. Esok abang dah nak terbang ke Australia..” ujar dia berharap aku memahami. Bibir aku langsung kelu. Serta-merta juga kepalaku berdengung. Lantas aku tolak tubuh dia kuat sebelum aku berlari keluar dari kamar. Dia masih tak faham-faham. Aku tidak suka kerjayanya! Aku benci!

**************

“ Jaga diri Aya, sayang. Minggu depan abang balik, abang jenguk Aya dan Rissa..” Aku nampak wajah dia seakan berat hendak meninggalkan aku. Aku paling wajah ke sisi lain. Air mata mulai hendak tumpah. Dia tak pernah cuba salami hati aku seperti dua tahun yang lepas. Kenapa? Hati mula merintih.

   “ Jangan datang jenguk saya dan anak lagi.” Keras juga nada aku yang terlontar. Ezriq mengeluh. Tak meminta izin aku, dia bawa bibir dia berlabuh pada dahi aku. Tersentak aku dibuatnya. Pantas mata mula mencerun bagaikan helang hendak menerkam mangsa.

   “ Siapa izinkan awak??” soal aku geram. Dia senyum. Senyuman yang jelas menggoda pandanganku.

   “ Tak perlukan izin Aya sebab Aya hak milik Ezriq Aryan. Jadi, suka hati abanglah kan?” luah dia lalu dia capai tangan aku pula. Dikucup lembut dan lama sebelum tangan aku dia jatuhkan kembali. Aku sudah sesak nafas. Semakin aku marah, semakin dia suka hendak membuat jantung aku bergetar seribu.

   “ Ez.. tak sempat sarapanlah ni kan?” soal ibu aku bila dia lihat kami masih tercegat di muka pintu. Ezriq toleh lalu geleng lembut.

   “ Tak kot, bu. Flight Ez pukul 10.00 pagi. Tak sempat pula nanti..” balas Ezriq. Aku mula rasa ada duri yang menusuk ke hati bila mendengarkan topik perbualan mereka. Baru aku hendak berpaling, tangan aku Ezriq pegang. Renungannya singgah ke laman wajahku.

   “ Abang akan pergi dan pulang dengan selamat. Aya jangan risau, sayang..” pujuk dia lembut. Aku buat muka selamba. Tolak tangan dia lalu terus melangkah. Langsung aku tak kucup tangan dia. Memikirkan hati yang lebih sakit. Dosa pahala aku tolak ke tepi.

********************

Aku duduk memeluk lutut di penjuru katil. Potret arwah Abang Hamka, aku tatap lama. Sungguh rasa rindu menggamit sanubari. Tanpa aku sedar, ada air mata yang menitis. Walaupun sudah hampir tiga tahun Hamka Syarif pergi meninggalkan aku, aku masih tidak dapat melupakan kenangan lama.

   Hamka Syarif, abang yang aku jadikan sandaran kasih akhirnya pergi menghadap Ilahi bila pesawat yang dibawa terhempas. Paling aku tidak dapat terima, mayat Abang Hamka dibawa pulang dalam keadaan yang sangat meluluhkan jiwa. Mayat Abang Hamka rentung separuh tubuh. Lantas, disebabkan insiden itulah aku mula membenci kerjaya seorang pilot.

   Ya, aku tahu memang Ezriq Aryan juga seorang pilot malah perkenalan kami juga bermula kerana persahabatan dia yang akrab dengan Abang Hamka. Abang Hamkalah yang memperkenalkan kami berdua. Tapi, selepas kejadian ngeri itu.. aku pernah cuba memujuk dia untuk meninggalkan kerjayanya. Ternyata sia-sia juga kerana Ezriq begitu menyenangi pekerjaannya itu.

   Paling buat aku mengamuk sakan bila Ezriq sanggup meninggalkan aku ketika Erissa baru berusia lima bulan di dalam kandungan. Semata-mata untuk menghadiri kursus kenaikan pangkat di Filipina selama hampir dua tahun. Betapa dia lebih mementingkan pangkat berbanding kami berdua. Itu pada pengamatan aku. Kenangan lama mula terbias.

   “ Abang.. Aya nak abang tinggalkan profesion abang tu..” Aku cuba gapai tangan kekar dia yang membelakangi aku.

   Terkejut bukan kepalang aku bila Ezriq khabarkan berita bahawa dia akan ke Filipina selama dua tahun bagi mendapatkan Airline Transport Pilot License (ATPL). Satu jawatan tertinggi lesen juruterbang komersial. Membolehkan Ezriq untuk menjadi Pilot-in-Command sebagai kapten kapal terbang komersial.

   “ Sayang.. peluang sekali aje, Aya. Abang pergi tak lama..” pujuk si suami lagi. Aku menoleh dengan linangan air mata.

   “ Aya tak suka kerja abang..” bantah aku sedikit beremosi.

   “ Sebelum ni memang pilot kerjaya abang.. kenapa tak dulu aje Aya bangkang?” Ezriq sudah nampak tertekan. Aku panggung kepala. Langkah kubawa mendekat.

   “ Aya tak suka kerjaya ni lepas dia ragut satu nyawa yang Aya sayang. Abang Hamka.. abang dah lupa ke??” Aku balas soalan Ezriq dengan soalan kembali. Ezriq mengeluh. Pipi aku dia pegang lembut.

   “ Hannah Safiya, ajal maut di tangan Tuhan. Kalau kata dia hendak abang mati, kita tak boleh nak lawan. Kerjaya abang langsung tiada kaitan, Aya. Banyak cara lagi DIA boleh cabut nyawa abang. Tu semua ketentuanNYA.” Nasihat Ezriq bagaikan angin lalu. Langsung tak berbekas.

   “ Tapi, kita masih boleh cuba elak, abang..” sangkalku pantas.

   “ Aya..” Dia hendak terus memujuk, tapi aku sudah mencelah laju.

   “ Kalau kata abang tak dapat terima alasan Aya yang tadi, abang tolong fikir demi kandungan Aya. Aya dah lima bulan. Abang dekat sana hampir dua tahun..” Aku cuba guna helah lain. Mata kuredupkan pada Ezriq.

   “ Abang bukannya tak balik, sayang. Nanti Aya bersalin tentu abang balik..” Dia masih tak nak mengalah. Serta-merta hati aku rasa tersiat. Dia lebih pentingkan kerjayanya!

   “ Jadi, abang lebih pentingkan kerjaya abang?” soal aku mula hilang sabar. Ezriq sudah raup wajah.

   “ Jangan buat abang tersepit, Aya. Jangan bagi abang buat pilihan sebab Aya pun penting dalam hidup abang..” luah dia jelas nampak berserabut. Aku senyum sinis.

   “ Tapi, abang pilih kerjaya abang berbanding Aya.” Aku melawan. Melotot anak mata Ezriq menikam wajahku.

   “ Aya!” jerkah dia sedikit. Aku dah mula mengalirkan air mata. Jadi, jelas sudah dia memilih kerjayanya berbanding aku.

   “ Abang tak faham perasaan Aya. Abang pentingkan diri. Aya benci abang. Kalau tu pilihan abang, abang lupakan Aya. Aya benci abang!” luah aku lagi sambil teresak-esak menangis. Dadanya aku pukul berkali-kali. Penat dengan tingkahku sendiri, aku mula berundur.

    “ Aya..” panggil Ezriq perlahan. Masih cuba hendak memujuk. Aku geleng lalu aku bawa diri ke kamar. Pedihnya hati. Tiada seorang pun yang faham!

   “ Hannah Safiya!” Suara kalut seseorang mengejutkan aku. Pantas aku sapu sisa air mata lalu aku mula menapak ke pintu yang sudah hampir roboh diketuk oleh ibu. Sebaik saja pintu terkuak, aku nampak wajah ibu sudah pucat.

   “ Kenapa, ibu?” soal aku pelik. Bibir ibu sudah kebiruan. Seketika aku nampak wajah walid pula di belakang. Walid juga nampak menunduk dengan riak serba-salah. Perasaan tidak enak mula menyinggah. Ada apa sebenarnya?

   “ Walid, kenapa dengan ibu? Apa dah jadi?” soal aku tidak sabar-sabar. Walid angkat wajah.

   “ Ezriq..” Hanya satu patah kata dari bibir walid. Tapi, sudah mula buat lutut aku menggeletar. Sejenak, anak mata aku tertancap pada kaca televisyen. Berita yang masih terpampang itu aku tatap dengan hati yang libang-libur.

   “ Ya Allah.. abang!!” jerit aku lalu jatuh melorot. Namun, masih sempat dipaut oleh ibu.

   “ Sabar, Safi.. sabar..” pujuk ibu bagaikan mengerti perasaan aku kala ini. Aku sudah terkaku. Bibir sudah tidak mampu bergerak hatta sedikit.

   “ Safi, ingat Tuhan.. ingat Tuhan, nak..” pujuk ibuku lagi. Seketika aku tersedar bila tangisan Erissa mengetuk halwa telinga. Tapi, tidak pula aku bangkit hendak mendapatkan si kecil. Apa yang aku tahu, perasaan resah aku kala ini.

   “ Aya dah cakap dekat abang. Aya dah cakap. Aya dah pujuk. Tapi, abang tetap tak nak dengar!!!” jerit aku tiba-tiba sebelum aku rasakan kepalaku mula terasa berbalam-balam. Sekejapan duniaku terus gelap-gelita.

*********************

“ Aya..” panggilan seseorang menggamit halwa telingaku. Suara yang sudah biasa kudengar. Suara yang pernah membuai lenaku. Suara yang sama pernah buat aku jatuh cinta. Ya, hanya suara dia.. Ezriq Aryan!

   Terasa sentuhan lembut pada lenganku. Hangat. Mata aku cuba gagahkan untuk memandang sekeliling. Pandangan masih berbalam-balam.

   “ Aya.. Aya okey, sayang?” Kali ni terasa hembusan nafas seseorang begitu dekat dengan telinga aku. Pantas aku menoleh. Sekelip mata, aku terasa bagaikan sedang bermimpi.

   “ Abang selamat, sayang. Abang selamat..” ujar suara itu lagi lantas tarik senyum nipis. Tak menunggu lama, aku bangkit dari pembaringan. Wajah itu aku tatap dengan linangan air mata. Ya Allah, kalau kata aku sedang bermimpi.. jangan kejutkan aku dari mimpi ini.

   Menggigil-gigil tangan aku hendak menyapa wajah tampan itu. Hendak memastikan memang aku sedang berada di dunia realiti waktu ini.

   “ Ini abang, sayang..” Ezriq meyakinkan aku. Aku pandang dia dengan rasa bercelaru. Bukankah semalam? Ah, sungguh hati aku buntu dan serabut.

   “ Abang?” soal aku lagi bersama suara yang bergetar hiba. Tak semena-mena tubuh aku sudah ditarik ke dalam dakapan tubuh sasa itu. Ubun aku dikucup bertalu-talu. Sejenak, aku sudah mula mampu melepaskan nafas lega. Memang dia. Memang dia. Hangat tubuh yang sama. Aku masih ingat.. detik hati aku dengan rasa syukur. Tubuh tegap itu aku balas pelukannya.

   “ Aya takut..” luah aku tanpa sedar. Ezriq renggangkan pelukan. Wajah aku dia tatap lama. Dia senyum dalam tangisan. Air mataku dia sapu bersih. Pipi aku dia pegang lembut lantas dia bawa wajah kami rapat. Dahi aku dan dahi dia sudah bertemu.

   “ Abang ada ni, sayang. Abang tak pergi tinggalkan Aya. Abang takkan tinggalkan Aya sebab abang tahu Aya masih perlukan abang..” luah suamiku tulus. Aku ketap bibir. Menahan sebak dari terus terhambur. Dalam hati, rasa syukur aku panjatkan kerana Allah masih pulangkan dia ke sisi aku dan Erissa.

******************

Pemandangan yang indah sekali lagi aku tatap. Ezriq dan Erissa yang enak lena di ruang tamu aku hampiri. Perlahan-lahan duduk aku labuhkan di sisi Ezriq. Mengusap lembut rambut sedikit keperangan milik sang suami. Mata kupejam seketika. Cuba menahan betapa kuatnya detak jantungku mengalun nama Ezriq Aryan.

   Menyedari ada usapan lembut pada kepalanya, aku nampak Ezriq sudah bergerak-gerak kecil. Seketika pandangan kami beradu. Aku hulur senyum dan dia turut membalas.

   “ Sayang..” Ezriq sudah mula bangkit. Erissa yang tidur berbantalkan lengannya dikalih lalu diletak di atas comforter. Ezriq sudah menggamit aku. Tak menunggu lama, aku mengengsot mendapatkannya.

   “ Kenapa tak tidur lagi ni?” soal dia. Tanpa paksaan, kepala aku sembamkan pada dada bidangnya. Jemari pula sudah gatal menari-nari pada dada bidang itu. Ezriq senyum dan aku nampak senyumannya bila aku mendongak memandang wajah itu.

   “ Aya nak tanya abang..” Aku mula teringat kembali persoalan yang berlegar dalam kepala. Ezriq masih lagi galak mencium ubun-ubunku.

   “ Abang..” seru aku menyedarkannya.

   “ Ya, Aya.. Aya nak tanya apa?” soal Ezriq bernada romantis. Aku jarakkan tubuh kami. Pipi dia aku pegang.

   “ Macam mana abang boleh terselamat?” soal aku lembut. Ezriq diam menarik nafas panjang.

   “ Abang tak bawa pesawat tu..” Jawapannya mengejutkan aku. Aku menoleh.

   “ Tapi.. bukan ke flight abang hari tu?” soal aku pelik.

   “ Abang silap bagitahu ibu jadual penerbangan abang. Abang dah sampai Malaysia sehari sebelum tu,” balas Ezriq tenang. Mata aku dah membuntang. Kurang percaya dengan apa yang aku dengar.

   “ Kenapa tak bagitahu Aya?” marah aku sedikit. Dia hela nafas lagi.

   “ Kalau kata abang cakap pada Aya, abang tetap tak boleh datang jenguk Aya dan Rissa. Aya sendiri dah pesan pada abang kan?” Sedih saja suaranya. Tapi, alasannya tetap aku tak boleh terima pakai.

   “ Kenapa tak bagitahu ibu? Ibu pun ingat abang yang ada dalam pesawat tu. Walid pun.. jantung Aya macam nak berhenti waktu tu, abang..” Aku sudah dipengaruhi emosi.

   “ Aya.. dengar ni. Janganlah macam ni, sayang..” pujuk dia cuba melembutkan hati aku. Aku jeling dia lagi.

   “ Okey-okey, memang salah abang. Tapi, bukan abang tahu apa nak jadi kan? Lagipun, abang sendiri tak tahu pasal berita tu. Cuma bila kawan abang telefon cakap ada pesawat terhempas baru abang dapat tahu. Lepas tu, abang terus telefon ibu. Waktu tulah ibu cakap Aya pengsan. Ibu pun terkejut bila abang telefon ibu malam tu..” jelas Ezriq cuba menenangkan aku. Aku melirik sedikit pada wajah itu.

   “ Aya pernah cakap kerja ni bahaya..” sahut aku perlahan. Cuba membuatkan dia faham. Ezriq mengeluh dalam.

   “ Aya.. kenapa Aya yang abang kenal boleh berfikir macam ni?” pujuk Ezriq lagi. Aku mendongak.

    “ Maksud, abang?” soal aku kurang mengerti.

   “ Abang pernah cakap pada Aya kan, ajal maut di tangan Allah. Banyak cara dia nak cabut nyawa mahkluk DIA. Bukan kerana kerjaya ni, Aya. Tapi, kerana semua tu dah tersurat. Sama juga seperti arwah Hamka. Kalau Aya salahkan kerjaya ni, sama macam Aya tak boleh terima takdir. Sebelum kita tercipta lagi, segala kejadian kita dekat bumi dah tercatat di Loh Mahfuz.” Ezriq jeda seketika. “ Dan kalau betul Aya nakkan keselamatan abang, Aya tolong doakan abang. InsyaAllah kalau masih belum sampai masa abang, abang akan terus ada di sisi Aya. Dah lapan tahun abang dalam bidang ni, Aya. Tapi, abang masih ada depan Aya kan?” soal dia sedikit berbisik. Aku terdiam lama. Benarkah aku seakan menyalahkan takdir?

   “ Aya cuma takut abang pergi macam Abang Hamka..”

   “ Baiklah, biar abang cuba fahamkan Aya.” Ezriq terhenti seketika sebelum menyambung kata. Nafas encik suami tarik dalam. Mata sudah merenung aku.

  “ Hannah Safiya, selagi Allah kata Aya tanggungjawab abang, hak milik abang.. dan abang memang perlu jaga Aya.. selagi tu abang akan berada di sisi Aya.Tapi, andai suatu hari nanti kalau Allah nak ambil nyawa abang, itu bermakna hubungan kita cuma terhenti takat itu dekat dunia ni. Tapi, Aya tentu tak lupa kan? Kalau amal ibadat kita cukup.. tak mustahil abang akan tunggu Aya dekat ‘sana’. Jadi, selagi Allah kata Hannah Safiya hak milik Ezriq Aryan, selagi tulah Aya akan rasa dekat dengan abang. Jangan pernah salahkan takdir, sayang. Hamka pergi sebab dah sampai seruan dia. Aya faham tak abang cakap ni?” Sekali lagi, Ezriq sudah panjang berjela cuba meyakinkan aku. Aku menunduk. Kata-katanya ada benarnya.

   “ Maksud abang, selagi Allah tetapkan Aya hak milik abang.. selagi tu kita akan selalu dekat walaupun cinta kita terhenti setakat itu saja dekat dunia?” Tanpa sedar, aku sudah menyoalnya kembali. Ezriq senyum lantas mengangguk.

   “ Pandai pun isteri abang. Sama juga macam arwah Hamka. Walaupun dah tiga tahun dia pergi, pernah tak Aya rasa dia dekat dengan kita?” soal Ezriq pula. Lambat-lambat aku angguk. Kadang-kadang bagaikan ternampak di ruangan mata bila kepulangan Abang Hamka bersama seragamnya di muka pintu. Saat itu, akulah insan yang terlebih dahulu mendapatkan Abang Hamka untuk menuntut cenderahati yang dibawa pulang olehnya. Sungguh, kenangan itulah yang sering menemani aku.

   “ Itu maksudnya juga yang Allah dah tetapkan Hamka Syarif memang abang kandung Aya sampai bila-bila. Walaupun dia dah tak ada, dia tetap abang Aya, kawan baik abang merangkap abang ipar abang. Dia pernah bersama kita, Aya..” Ezriq menerangkan lagi. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Hamka Syarif, Safi rindu Abang Hamka.. hatiku mula sayu.

   “ Jangan menangis, sayang. Abang yakin Hamka tak nak tengok adik dia menangis macam ni. Kalau kata Aya rindu dia, sedekah mana yang patut. Itulah yang terbaik untuk arwah.. bukan menangis, meratap macam ni..” Ezriq dah belai kembali rambut aku. Bagaikan memujuk kanak-kanak kecil saja.

   “ Aya minta maaf, abang. Selama ni Aya tak sedar..” Aku mula rasa bersalah. Padahal sepanjang pemergiannya selama dua tahun itu, dia seringkali pulang menjenguk aku. Aku saja yang terlebih marah kerana bimbangkan kerjaya itu juga bakal turut membawanya pergi daripada aku. Langsung aku lupa tentang ketentuanNYA. Siapa aku hendak melawan andai itu telah tersurat. Ah, naifnya aku waktu itu. Pemikiran yang cetek sekali.

   “ Abang dah lama maafkan Aya. Selagi Aya hak milik abang, selagi tu abang halalkan setiap dosa Aya pada abang. Abang sayang sangat isteri abang ni..” ucap dia penuh rasa cinta sebelum tubuh aku dia tarik kembali. Erat kami berdakapan meluahkan rasa rindu yang selama ini dipendam rapi.

**********************

Morning, Kapten Ezriq Aryan..” sakatku pada sang suami yang masih enak beradu. Langsir kuselak sedikit. Serta-merta cahaya pagi menerobos memasuki kamar kami. Ezriq bangkit dengan wajah mamai. Tangan kekar itu sudah mula terhulur pada aku. Aku sengih. Tangan itu aku capai dan sekelip mata, aku sudah berada dalam pelukan kejapnya.

   “ Awalnya kejut abang bangun..” Suaranya sudah menggumam di tepi telinga aku. Aku sengih. Tangannya yang melingkar pada pinggang aku pegang kejap. Bahunya yang terdedah dilapisi singlet hitam aku kucup sekilas.

   “ Kan pagi esok abang dah nak fly. Jadi, hari ni Aya nak lepaskan rindu dulu dengan abang. Tiga hari abang dekat sana kan?” soal aku. Ezriq geleng. Eh?

   “ Bukanlah, sayang. Abang ke sana empat hari..” sangkalnya. Aku sudah muncungkan bibir tanda berfikir. Macam manalah aku boleh lupa ni? Selalunya jadual penerbangannya jelas aku ingat dengan rapi.

   “ Empat hari pun empat harilah yang penting suami Aya pulang dengan selamat. Baju dah kemas?” soal aku padanya. Dia geleng lalu dagunya dilabuhkan pada bahu aku.

   “ Nanti Aya tolong kemaskan. Pakaian seragam abang pun nanti Aya gosokkan ye?” Aku toleh dia sekejap lalu mata kukenyit perlahan. Ezriq gelak nipis. Hidungnya digeselkan pada pipi aku.

   “ Sayang.. nak tahu tak? Selalu sangat pramugari-pramugari dalam flight cakap dekat abang.. Kapten, you look smart and handsome in that uniform..” Kata-kata Ezriq buat kepala aku pantas tegak. Tanpa sedar, kepala aku sudah berlanggar dengan hujung hidungnya.

   “ Auch!!” jerit Ezriq sembari pegang hidungnya yang mula memerah penangan aku tadi. Aku pula dah terkedu. Err..

   Sorry-sorry.. sakit ke?” tanya aku kalut lalu cuba alih tangannya yang masih pegang hujung hidung itu. Ezriq terdiam lantas dia pandang aku dengan pandangan yang sukar aku mengertikan.

   “ Sakit..” jawab dia sepatah. “ But, the pain will go away once you have kissed me here..” sakat dia sembari tuding hidung mancungnya sebelum bibir itu terus gelak lantang. Aku dah pincingkan mata. Main-main pulak dia!

   “ Main-mainkan Aya eh? Sekali Aya patahkan hidung mancung dia tu baru tahu..” Aku dah ketap bibir. Ezriq tetap senyum.

   “ Kalau kata sayang patahkah pun, abang tetap Kapten Ezriq Aryan yang digilai ramai.” Dan kali ni tangan aku sudah mengetip kuat lengan sasanya. Suka buat aku cemburulah dia ni!

   “ Abang!!” marah aku sedikit. Tapi, manjalah pula pada pendengaran encik suami. Dia dah senyum herot tengok aku.

   Jealous, huh?” soal dia. Aku jeling lagi. Lagi mahu tanya ke?

   “ Tak naklah main-main macam ni..” rungut aku sedikit. Seketika, aku pandang kembali wajah tampan Ezriq. Ada sesuatu yang merunsingkan aku. “ Hmm.. tapi Aya nak tahu memang ramai ke stewardess yang mengorat abang? Dorang tahu tak abang dah kahwin?” soal aku tanpa dapat dikawal lagi. Ezriq jungkitkan kening lalu aku perasan anak matanya bagaikan mencari sesuatu.

   “ Abang cari apa?” soal aku sedikit pelik. Bukan dia nak jawab soalan aku. Sengajalah tu nak mengelak!

   “ Erissa Damia mana?” soal dia pada aku. Aku dah kerutkan kening.

   “ Dengan nenek dan atuk dia. Why?” balas aku tak mengesyaki apa-apa. Aku nampak dia senyum lebar.

   Good! Sekarang ni masa Aya dengan abang pula.” Terus dia tarik aku rebah di sisi. Aku sudah mula terbuntang biji mata. Dadanya aku pukul lembut.

   “ Abang.. we are not done yet. Ubah topik eh?” Ezriq gelak nakal. Hidung aku dia cuit lembut.

   “ Hannah Safiya.. kalau kata abang nak jelaskan, dalam keadaan macam ni pun boleh kan?” Aku dah terkebil-kebil dah pandang dia. Ezriq elok mengiring pada aku sambil tangan ditongkat ke kepala. Tubuh aku pula sudah elok terdampar di sisinya. Ezriq paut pinggang aku agar mula menghadapnya.

   “ Apa sayang nak tahu tadi?” soal dia kembali bila wajah aku elok terpampang di hadapan wajahnya. Aku senyap seketika sebelum bibir mula mengulang kembali soalan aku tadi. Dada mula berdetak bila usapan tangan kekar itu menjalar ke belakang pinggang. Oh, tangan yang nakal! Desis hati aku.

   “ Abang.. tangan tu..” marah aku sedikit. Dia sekali lagi jungkit kening.

   “ Tak ada masalah pun kan? Abang jawab soalan Aya guna mulut. Tangan, biarkan ajelah kalau dia nak berjalan..” sakat Ezriq terusan. Aku mula malas nak berbalah. Suka hati dialah.

   “ Okey.. suka hati abang. Aya nak tanya ramai ke pramugari dekat tempat abang kerja tu mengorat abang? Dorang tahu tak abang dah kahwin?” Ezriq sengih dengar soalan aku. Seketika wajah itu menggeleng sebelum mengangguk. Aku dah pening, mana satu ni?

   “ Mana satu ni? Angguk ke geleng?” soal aku geram. Dia gelak nipis.

   Both..” jawab dia. Mulalah aku rasa macam nak gigit orang.

   “ Main-mainkan Aya lagi.” Aku mula hendak bangkit sebelum tangan kekar itu sudah kejap menghalang di pinggang.

   “ Bila abang main-mainkan Aya ni?” soal dia pelik. Kali ni giliran aku pula terkedu.

   “ Tadi tu..” Aku muncungkan sedikit bibir seraya mendongak ke atas. Dan.. cup! Bibir aku sudah dikucup kemas. Terbeliak biji mata aku.

   “ Abang!!”

   “ Laa.. kenapa pula ni? Abang ingat Aya minta abang cium tadi..” sakat dia lagi dan lagi. Aku hela nafas panjang. Geram sungguh dengan perangai menyakat Ezriq Aryan.

   “ Kapten Ezriq Aryan..” Meleret suara aku menyebut namanya. Ezriq dah sengih. Dia tahu bila aku sebut nama penuh dia, ada dua kemungkinan. Sama ada aku hendak menyakat ataupun aku tengah geram. Tapi, situasi sekarang memang aku yakin dia faham aku sedang kegeraman yang melampau.

   “ Okey, abang tak usik dah. Tapi, betullah abang cakap. Both.. geleng then angguk..” Dia cuba meyakinkan aku. Aku dah kerut kening.

   “ Aya tak faham..” sahut aku blur.

  “ Aya bagi abang dua soalan kan? The first one.. ramai ke yang mengorat abang? So, abang geleng sebab abang ni bukannya artis, sayang. Then.. yang kedua.. dorang tahu ke tak abang dah kahwin, abang angguk. Sebab memang abang tak pernah sorokkan status abang pada dorang..” jelas Ezriq panjang lebar. Aku dah terkedu. Aku salah faham rupanya. Fikir dia main-main tadi.

   “ Aya ingatkan abang rahsiakan. Biasalah lelaki kadang-kadang dah ada, cakap tak ada..” luah aku sedikit. Ezriq dah gelak kuat pula.

   “ Hannah Safiya.. pandang mata abang and tell me apa yang Aya nampak?” Dia menyoal serius.

   “ Anak mata warna coklat..” Aku jawab main-main. Dah memang itu yang aku nampak. Kali ni giliran dia pula ketap bibir. Aku simpan senyum. Tahu marah..

   I’m serious, Mrs Ezriq Aryan..” Dia dah keluarkan suara celah gigi.

   “ Memang itu yang Aya nampak, abang..” sangkalku konon-kononnya serius. Wajah Ezriq dah mengendur.

   “ Jadi, Aya tak nampaklah betapa banyaknya cinta yang abang salurkan tiap kali abang pandang muka Aya?” soal dia dah berubah emosi. Aku dah simpan senyum. Wajah itu mula hendak merajuk, aku tahu.

   Alololo.. dia usik kita tak apa. Kita usik sikit, dah merajuk..” sakat aku. Ezriq diam sambil kemam bibir.

   “ Aya ni nakal kan?” Tiba-tiba itu yang terluah dari bibirnya.

   “ Ikut abanglah ni. Suka menyakat orang..” Aku bagi dia sedas. Sekali lagi bibir Ezriq terdiam sebelum tubuh yang mengiring itu sudah mula direbahkan. Memandang siling. Nampak sangat Kapten kita dah merajuk.

   “ Tak perlu abang cakap abang cintakan Aya sebab Aya tahu Aya memang hak milik Ezriq Aryan.” Luahan pertama untuk memujuk. Dan ternyata berhasil bila lelaki itu sudah menoleh pada aku. Aku mula mengengsot dekat. Dagu ku jatuhkan pada dada bidangnya.

   “ Maksud Aya?” soal dia mula berminat.

   “ Kan abang pernah cakap.. Aya hak milik abang. Atau lebih tepat.. Hannah Safiya hak milik Ezriq Aryan..” ujar aku seketika.

   So?” Dia soal lagi.

   “ Jadi.. selagi Aya ni milik abang dan abang milik Aya, kita berdua akan kongsi rasa yang sama. Hannah Safiya cintakan Ezriq Aryan dan Ezriq Aryan..”

   “ Dan Ezriq Aryan cintakan Hannah Safiya lebih dari segalanya..” Sambung dia tak sempat aku nak habiskan. Aku nampak bibir sensual itu sudah mengoyak senyuman.

   “ Jadi, kita akan tetap kongsi rasa yang sama ni kan?” soal dia nakal sekali. Aku angguk.

   “ Sampai bila?” Dia masih hendak menduga. Aku jawab juga walaupun aku tahu dia sudah punya jawapan itu.

   “ Selagi Aya milik abang dan abang milik Aya..” balas aku. Lembut. Ezriq senyum puas hati.

   “ Puas hati dah?” Nakal aku menyoal. Serta-merta juga senyumannya mati. Eh?

   “ Kenapa?” soal aku pelik. Dia dah mula dekatkan wajah. Dekat semakin dekat dan tiba-tiba suara dia berbisik lembut di tepi telinga aku.

   “ Belum sehingga Aya tolong abang dapatkan adik untuk Rissa..” Terus aku rasa tercekik tulang ikan. Tak sempat aku nak jawab, aku dengar suara garau itu sudah mula membaca sepotong doa. Dan kali ini aku hanya merelakan kerana aku tahu dia punya hak ke atas aku. Atau lebih tepat kerana Hannah Safiya adalah milik Ezriq Aryan. InsyaAllah dulu, kini dan selamanya.. bisik hati aku sendiri.

 

Tamat

28 comments:

  1. ada suka dan duka cerpen ni,pengakhiranya sweet sngat,sya sukeeeeeeeeeee

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks anony sudi bce. terus sokg hana ye? ;)

      Delete
  2. terlampau sweet sampai dah nak kena diabetes, kalau cerpen ni panjang sikit lagi, boleh koma. Haha *kidding* Btw, awesome

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks sis sudi bce.. heee..boleh koma? oh tidak. sampai mcm tu sekali? xpe.. nnti suruh kapten kejutkan dr koman. ehehehe

      Delete
  3. aya? kita nama sama! Bestlaaaa crta ni. asyk sengih je baca. Gudluck writer :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha. kn kebetulan nama sama. hehe.. btw thanks. nnti boleh req masuk group sebab ape2 info update bru punya hana war2kan di situ.. link ade dekat blog. have a look oke. ;)

      Delete
  4. I love it kaq hana

    ReplyDelete
  5. Hana: always love romantic stories....

    ReplyDelete
  6. MEMANG SWEET CERITA NI...
    AJAL DAN MAUT X KIRA TEMPAT AYA..

    ReplyDelete
  7. Sweet sgt.. akak suka.. hehehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks sista! terus support hana ya? insya-Allah.. lepas ni akan terus bt cerpen yg sweet2 mcm ni.. hee

      Delete
  8. very good... hehe... cogrates. dunno if u oredi have ur novel. try it out la...mana tau ada rezeki... malay sudh pass. y not try improve english skill supaya bole buat dialogue speaking yg bombastic. gud luck writer.bye...

    ReplyDelete
  9. best dan terbaik !!!!!!!!!!!!!! :)

    ReplyDelete
  10. apa maksud nama EZRIQ tu ye?? ade sapa2 tau??

    ReplyDelete
  11. comelnya lahai cite niii... seronok baca! nk pilot sorang please! hikhik

    ReplyDelete
  12. Menangis baca cerpen nie..huwaaa..sweet gile..best gile... Keep it up yea cik Hana... :)

    ReplyDelete