PeNgiKuT sEtiA..

Thursday, November 21, 2013

Cinta Si Mamat Sotong (Part 5)

PART 5
 
“ Nanti kita datang hantar baju awak eh, Zhil..” sahut Mirza sebelum tubuh itu sudah lolos ke dalam kereta yang dipandu Selvarani. Zhildan hanya diam tanpa menjawab. Baru tiga hari dia bawa diri, hari ni dia dah tercampak balik dekat rumah tu.

   “ Zhil, aku nak cakap sikit..” panggil Selvarani seketika. Zhildan panggung kepala.

   “ Apa?” soal dia. Selvarani angkat jari telunjuk sambil menggamit Zhildan untuk mendekatinya. Zhildan dah hela nafas lemah.

   “ Nah.. ambil ni..” Tiba-tiba Selvarani hulur satu helai kertas yang elok berlipat. Zhildan dah berkerut kening.

   “ Aku rasa sesi mengubah kau tamat sampai sini aje. Kalau kau rasa perlu, sila rujuk kertas tu. Aku dah senaraikan semuanya..”

   “ Kita malaslah..” Selvarani dah menggumam keras.

   “ Nasib baik aku tak bawa lastik dan marshmallow hari ni. Kalau tak, tahulah nasib kau. Langkah pertama, ubah dulu bahasa kita-kita kau tu..” Marah sungguh Selvarani nampaknya. Zhildan mencebik.

   “ Tengoklah nanti.” Zhildan menyahut lemah. Raisya yang berdiri di sisinya dijeling sedikit. Amboilah.. main jeling-jeling pula sekarang. Hati Raisya menggumam.

   Zhildan menapak dekat pada Mirza. Seketika.. ditonyoh kepala itu sedikit sebelum bibir tersenyum nipis.

   “ Adoi, nyah. Sakit kita tau?” marah Mirza sembari mengusap-usap dahinya sedikit.

   “ Terima kasih, Mirza sebab niat awak baik nak tolong kita. Tapi.. hmm..” Zhildan seakan kecewa dengan dirinya sendiri.

   “ Selva, jomlah kita balik. Kita tak nak tengok muka tak sempat siap Zhil nanti. Tu.. ada tanda-tanda nak buat drama dah tu..” ujar Mirza separa mengusik. Zhildan ketawa halus. Pandangan mula beralih pada Selvarani.

   “ Selva..” seru Zhildan lembut. Wajahnya suram.

   “ Apa hal?”

   Hmm.. walaupun pertemuan kita singkat, tapi kita suka bekerjasama dengan awak. Awaklah perempuan paling garang yang pernah kita jumpa..” Zhildan sengih senget. Selvarani tolak bahu Zhildan kuat sebelum tawanya meledak garang.

   Akhirnya susuk tubuh Selvarani dan Mirza hilang setelah pacuan empat roda itu bergerak merentasi jalan raya.

    Baru Zhildan nak melangkah, tangan halus milik Raisya sudah siap memegang lengan kekarnya. Dia diam tanpa menoleh.

  “ Kenapa buat macam ni, Zhil?” soal Raisya sambil mengusap lembut tangan itu. Zhildan menceber. Kita buat semua ni sebab awaklah! Hati membentak keras.

   “ Kita nak masuk..” Sombong saja nadanya.

   “ Zhil.. tak sudah lagi ke merajuk?”

   “ Jangan cakap dengan kita!” Mendengarkan nada suara Zhildan, Raisya mula rasa menyesal tak sudah. Ni nasib baik Selvarani tak ada. Kalau tak mahu lastik dan peluru marshmallow itu bertubi-tubi mengenai wajah tampan itu.

   “Apa kau cuba buat, Zhil? Kenapa perlu nak berubah daripada diri kau yang sebenar?” Soalan Raisya berulang lagi.

   “ Kita buat macam tu, awak pun tahu sebabnya. Puncanya kerana cinta awak tu memerlukan sebab. Awak nak suami yang sempurna. Cinta awak tak sama macam cinta kita. Kalau kita, satu sebab pun kita tak perlu untuk suka awak. Tapi, awak..” Zhildan tak habiskan kata. Pantas pegangan di tangannya ditolak perlahan dengan wajah yang jelas nampak merajuk. Raisya yang terkesima dengan nada suaminya cepat saja akur. Sekelip mata, tubuh Zhildan sudah lenyap daripada pandangan.

**************

Wajah yang lena diulit mimpi itu Raisya usap perlahan. Wajah yang kacak. Wajah yang tenang. Wajah yang sama telah dia robek hatinya. Ah, Raisya. Kenapa terlalu mengikut perasaan waktu tu? Kalau dia tak perlukan sebab untuk suka kau, kenapa kau tidak begitu? Hati mula bermonolog dalaman.

   Raisya duduk menyelesakan diri. Tubuh direbah perlahan di sisi Zhildan. Tiga hari tidurnya tanpa teman. Sungguh dia rindukan Zhildan. Sejenak Raisya rasa tubuhnya mengeras bila tubuh Zhildan sudah mengiring padanya. Buru-buru dia pejam mata. Berpura-pura tidur.

   Sesaat berlalu.. Raisya dapat rasa ada ciuman hangat melekap ke pipinya sebelum dia rasa kepalanya dialihkan sebelum diletak di atas tangan sasa itu. Terasa ubun-ubunnya bagaikan dibelai.

   “ Kita nak berubah, awak. Kita nak jadi macam yang awak nak. Tapi, perubahan ni perlukan masa. Bukan mudah..” Hembusan hangat milik Zhildan tepat mengenai dahinya. Menyatakan betapa dekatnya dia dan suami tika ini. “ Kita minta maaf sebab naikkan suara. Kita.. sayang awak dan baby..” Tangan lelaki itu sudah menjalar ke perut Raisya. “ Bagi kita masa untuk berubah. Kita akan cuba, awak. Sebab kita sayang awak, kita akan cuba..” Sambung lelaki itu lagi sebelum suara itu berganti dengan dengkuran halus.

   Cepatnya dia terlena kembali. Hati Raisya berkata-kata. Perlahan-lahan mata dibuka dengan hati yang sebak. Begitu tulus cinta Emir Zhildan buatnya. Apa lagi yang kau nak, Raisya? Hati mula memarahi diri sendiri. Tangan Zhildan yang masih melekap ke perutnya digenggam. Diusap lembut sembari menatap raut tampan yang sudah lena kembali.

   “ Aku pun sayangkan kau..” Gemersik suara Raisya bersama satu azam di hati. Dia senyum sebelum kelopak mata itu tertutup menyeru lena.

*****************

Zhildan pandang kertas di tangan berkali-kali. Gila agaknya Selvarani ni. Berkali-kali petua Selvarani diulang baca dengan rasa tidak percaya.

Langkah pertama- Tukar bahasa panggilan. Abang, sayang.. lagi digalakkan.

Langkah kedua- Kau dilarang memasak untuk dia.

Langkah ketiga- Jangan terlalu berlembut. Gunakan suara jantan kau bila perlu. Aumm!

Langkah keempat- Kau fikirlah sendiri. Hahahaha.. J

Kalau setakat nak bagi petua macam ni, baik tak payah. Cakap ke mainlah pung pang-pung pang. Kononnya petua tu macam beratus-ratus. Alih-alih.. aduhai! Rengus hati Zhildan. Kertas yang diberikan Selvarani dia lipat lalu diletakkan di atas meja. Badan disandarkan malas ke sofa sambil memejam mata. Tangan naik ke dahi. Runsing sungguh dia tika ini.

   Baru dia nak berfikir lebih jauh, terasa ada haruman yang menusuk ke rongga hidung. Sepantas kilat matanya tercelik luas. Dan sesaat.. dia sudah terlopong.

   “ Dah makan?” soal Raisya lembut sambil mengelap rambutnya yang basah. Tanda dia baru usai mandi. Senyuman manis dihadiahkan buat suaminya.

   “ Zhil.. saya tanya ni, dah makan belum?” soal Raisya lagi. Kali ni, nyaris Zhildan nak tergolek dari sofa. Saya mana? Sejak bila isterinya bahasakan diri dia begitu? Tubuh sasa itu mula berpeluh-peluh. Dari lenggok Raisya, dia tahu ada sesuatu yang isterinya rencanakan.

   “ Kertas apa ni?” Anak mata Raisya mula tertancap pada kertas yang diberi oleh Selvarani. Baru dia nak mencapai, Zhildan dah terlebih dahulu mencapai sebelum menyorok di belekang tubuhnya. Raisya dah kerut kening.

   “ Tengok..” pinta Raisya sambil tadah tangan. Zhildan geleng bersungguh-sungguh.

   “ Tak boleh!”

  “ Ala.. tengoklah. Selva bagi hari tu kan? Bagilah saya tengok..” Raisya masih cuba-cuba hendak mencapai kertas tersebut sebelum tubuhnya mula tersadung kaki Zhildan dan sekelip mata.. Raisya sudah tarik senyum nakal. Wajah malu-malu Zhildan dia tatap. Elok saja dia terduduk di riba lelaki itu. Dia nampak bibir sensual milik Zhildan terbuka seakan terkejut.

   Perlahan-lahan tangan Raisya naik ke leher tegap itu. Tuala yang digunakan untuk mengelap rambut sudah jatuh entah ke mana. Zhildan panik. Tak pernah-pernah Raisya seberani ini. ketar lutut dia dibuatnya.

   “ Aw.. awak turunlah. Kita nak naik mandi ni..” Kalut suara encik suami. Raisya buat tak endah. Tangan mula menjangkau ke belakang. Dalam keadaan Zhildan leka sebegitu, inilah kesempatan dia untuk mendapatkan kertas yang menarik perhatiannya tadi.

   “ Awak! Bagi balik dekat kita..” Raisya sudah terlompat kegirangan dari riba Zhildan bila mana kertas itu berjaya juga dia rebut dari encik suami. Zhildan dah buat muka geram. Wajah lelaki itu kemerahan.

   Wow.. hebat juga Selva ni! Siap bagi petua lagi..” puji Raisya bersama senyuman yang menguntum. Zhildan yang berdiri bercekak pinggang dipandang sayang.

   “ Selalu sangat sakitkan hati kitalah!” Zhildan marah manja. Wajah itu sudah mula nampak semakin merah bila Raisya membaca setiap coretan cakar ayam milik Selvarani.

   “ Langkah pertama.. hmm, sound nice..” sakat Raisya terus. Zhildan kemam bibir. Apasal tingkah si isteri berbeza benar ni? Dia pula yang kepelikan.

   So.. bila kita nak praktiskan panggilan macam tu?” soal Raisya lalu menapak dekat. Tangan Zhildan dicapai dan ternyata.. sejuk! Aduhai.. bukan ke semua tu biasanya berlaku pada perempuan? Ah, sungguh istimewa lelaki bernama Emir Zhildan ini. Bisik hati Raisya geli hati. Zhildan tayang wajah tidak selesa.

   “ Awak kenapa ni?” soal suara itu tersekat-sekat. Raisya sudah mula bermain-main dengan dada bidang Zhildan.

   “ Kalau kata, saya nak minta maaf.. awak sudi maafkan tak?” Sekilas, ciuman nipis melekap di dada bidang yang dilapisi t-shirt itu. Zhildan dah terkesima. Raisya pula masih dengan aktiviti menggodanya. Lirikan manja dipamer untuk menarik perhatian Zhildan. Rasa geli hati singgah juga bila nampak wajah yang jelas seakan terpinga-pinga itu.

8 comments:

  1. Mtk2 la si zhil dpt berubah jd mamat sejati ...

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. suka suka sukaB-):-);-) cepat2 continue,x Sbrg nk tnggu next2 part.All the best;-)

    ReplyDelete
  4. Novel mcm cermin diri i je.... Hata and Zhildan...

    ReplyDelete
  5. akak lanjut lah lagi menulisnya

    saya rindu

    ReplyDelete