PeNgiKuT sEtiA..

Monday, August 19, 2013

Suami Klon (Cerpen) Part 1


SUAMI KLON
OLEH : HANA EFRYNA


Arian Ashraf                         Arian Ammar

Part 1

Wajah Arian Ashraf, Hanin Afya pandang dengan perasaan geram yang menggunung. Siapa sangka perkenalan yang hanya berputik selama enam bulan akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin. Takdir Tuhan itu maha indah. Hanin Afya hanya mampu menadah tangan tanda kesyukuran. Tapi, itu sebelum. Sebelum dia tahu hakikat yang sebenar. Dan saat ini, rasa ingin ditempeleng aje lelaki yang dah bergelar suami ini. Dia rasa diperbodohkan. Rasa dipermainkan dan yang paling nyata rasa diri ini tertipu.

   “ Fya..” seru Ashraf takut-takut. Cuba diraih tangan Afya namun hanya tepisan kasar menjadi hidangan. Melotot anak mata beralis lentik itu menjamah wajahnya dan sungguh dia katakan.. dia gerun. Perlahan-lahan wajah berdarah kacukan Filipina itu menunduk. Semuanya salah dia! Kalaulah dia berterus-terang, tentu malam ini mereka takkan bertekak.

   “ Abang minta maaf, Fya..” Sekali lagi Ashraf mencuba nasib. Wajahnya diriakkan tenang meskipun hati sudah berpalu gendang.

   “ Mudahnya meminta maaf..” Sinis Afya geram. Wajahnya masih membahang. Tanda marahnya masih belum surut.

   “ Fya.. abang tahu salah abang sebab berbohong pada Fya. Tapi, abang tak ada niat apa-apa.. sayang. Abang cuma..” Abang cuma terlalu sayangkan Fya. Abang takut nak berhadapan dengan Fya sebab tu abang guna Arian Ammar untuk pikat hati Fya. Abang tak tahu mengambil hati perempuan, Fya. Abang kosong pasal soal hati dan perasaan. Sambung hatinya merintih. Dia tahu alasannya tidak cukup kuat dan agak tidak relevan. Tapi, itulah hakikatnya.

   Semenjak kecil hidupnya tidak pernah mendapat kasih sayang seorang wanita. Apatah lagi seorang ibu. Lantaran itu, dia terasing. Selama 25 tahun, dia dibesarkan oleh atuknya, Tok Kamil.

   “ Cuma apa???” tengkingan Afya buat Ashraf tergamam. Ya Allah, sesungguhnya dia telah memaafkan Afya yang meninggikan suara. Dia tahu rasa marah sedang menguasai isterinya.

   “ Fya benci awak!” Sambung bibir comel itu lagi. Ashraf pejam mata.

   “ Fya.. janganlah cakap sesuatu yang lukakan hati suami. Berdosa, sayang..” pujuk Ashraf namun hanya menerima tempelak kasar dari si tubuh kecil itu. suara lembut si suami langsung tak dapat menyejukkan hatinya yang sedang panas.

   “ Habis, hati saya yang terluka siapa nak tanggung? Siapa nak rawat?” jerkah Afya semakin berang. Ashraf meraup wajahnya. Lantas, perlahan-lahan dia bangkit lalu pintu kamar mandi dituju. Dia perlu menenangkan diri dalam mencari penyelesaian memujuk Afya. Mudah-mudahan jalan keluarnya terbentang terang. Doanya di dalam hati.

***************************

Arian Ammar pandang wajah kembarnya yang bermuram. Dia turut merasa tempias. Apatah lagi, mereka adalah kembar. Ibarat cubit paha kanan, terasa paha kiri. Sudah tiga tahun mereka bersua muka setelah hampir dua puluh dua tahun mereka terpisah oleh jarak dan waktu. Itupun tanpa pengetahun ibu bapa mereka.

   “ Mummy sihat? Daddy?” soal Arian Ashraf membuka bicara. Arian Ammar pandang wajah abang kembarnya. Sekilas, si adik mengangguk. Wajahnya dan wajah si abang jelas seiras. Cuma dari gaya penampilan saja yang berbeza. Dia agak mengikut arus moden kalau dibandingkan dari segi pemakaian. Manakala, si abang lebih bergaya kasual dan matang. Satu lagi perbezaan yang memisahkan mereka adalah lesung pipit si abang sedangkan Arian Ammar tidak memiliki lesung pipit, hanya tahi lalat di pipi kirinya yang menambahkan kekacakan yang sedia ada.

   “ Mereka sihat, Ash..” balas Ammar melalui bicara pula. Ashraf mengangguk-angguk kepalanya.

   “ Aku rindu mereka..” Ashraf bagaikan mengadu. Ammar terdiam. Dia tahu perasaan Ashraf. Tangan dilekapkan ke bahu si abang lantas bahu tegap itu ditepuk-tepuk menyalur kekuatan. Kasihan Ashraf, detik hatinya.

   “ Sabarlah Ash, nanti aku bawa diorang balik ke Malaysia..” janji Ammar pada Ashraf. Ashraf tersenyum kelat. Dia tidak akan menyimpan harapan. Dua puluh dua tahun dia ditinggalkan bersama Tok Kamil menjadikan dia seorang yang lebih tabah. Dia tahu keadaan memaksa ibu bapanya meninggalkan dia pada Tok Kamil. Tapi, tahukah orang tuanya bahawa sewaktu dia ditinggalkan dia masih lagi kecil, masih dahagakan kasih seorang yang bergelar daddy dan mummy. Waktu itu dia hanya berumur enam bulan. Enam bulan!

   “ Aku tak simpan harapan, Am..” Lemah suara Ashraf menutur kata. Badannya direhatkan pada kerusi rotan yang disediakan di laman rumah Tok Kamil.

   “ Ash.. kau kena tahu mummy dan daddy terpaksa tinggalkan kau. Mereka bukan sengaja, Ash..” si adik cuba memujuk luka di hati Ashraf. Namun, Ashraf hanya tersenyum pahit. Katalah apa sekalipun, tapi dia yang menanggung derita.

   “ Am.. kau takkan faham sebab kau tak rasa apa yang aku rasa. Kau dipilih dan aku disisih. Bukan oleh orang luar, Am. Tapi, mummy dan daddy aku sendiri. Kalau bukan kau yang cari aku di Malaysia, kita tentu takkan kenal satu sama lain bukan?” sela Ashraf memintas. Dia jadi beremosi bila isu ini dibangkitkan. Ammar terdiam. Ada benarnya juga kata-kata Ashraf.

   Rivera Adlina binti Abdullah.. wanita Filipina yang dikahwini oleh daddynya, Ahmaq Aqil. Perkenalan di zaman universiti menerbitkan bibit-bibit cinta di antara pasangan itu. Namun, malang bila Tok Kamil bagaikan tidak merestui hubungan mereka kerana perbezaan agama. Baginya, Adlina manganut Agama Islam hanya kerana status mereka untuk menjadi suami isteri semata. Lantaran itu, kehadiran Adlina dalam keluarga tidak dialu-alukan sehinggalah Ahmad Aqil mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Filipina dalam jurusan Master.

   Berkahwin pada usia muda tentu amat payah. Kehadiran dua permata hati sekaligus menyebabkan mereka terpaksa menyerahkan seorang daripada mereka. Sulit andai kedua-duanya ingin dibawa bersama. Apatah lagi, kerjaya Adlina sebagai pemangku syarikat turun-temurun keluarga menyebabkan masa mereka terhad untuk menguruskan kedua-dua kembar itu. Keputusan diambil dan akhirnya Arian Ashraf menerima nasib malang. Bayi kecil berusia enam bulan itu ditinggalkan bersama ayah mertuanya.

   “ Aku minta maaf, Ash. Tapi, sampai bila keluarga kita nak berpecah macam ni? Kita kena satukan balik, Ash. Kau dan aku dah besar, boleh fikir jalannya. Aku nak keluarga kita bersatu balik. Kau tolong aku, Ash..” Sayu suara Ammar penuh harapan. Sememangnya, itulah harapan mereka. Ashraf mengeluh kecil. Wajahnya jelas bermasalah. Memikirkan Afya semakin berat kepalanya hendak menampung. Rasa nak tumbang aje sekarang ni.

   “ Aku tak tahu, Am. Kepala aku betul-betul berserabut. Tu.. dalam bilik tu lagi satu hal. Mengamuk dengan aku tak ada nak surutnya..” Tiba-tiba Ashraf melencong dari topik. Mendengarkan kenyataan si abang, Ammar lorek senyum kecil.

   “ Itulah kau.. dulu aku dah suruh kau tackle sendiri. Kau gunakan aku juga sebagai orang tengah. Mentang-mentanglah muka kita sama. Sekarang.. apa dah jadi?” bebel si adik dengan ketawa kecil. Ashraf terdiam. Menyesal pun sudah tiada gunanya. Hati Afya sedang mendidih. Ini kalau Tok Kamil tahu, memang dia digulaikan hidup-hidup.

   “ Aku cuma pinjam kau untuk jadi klon aku. Bukan klon hati aku. Hati aku pada dia memang tak menipu, Am..” pintas Ashraf kemudiannya. Bersemangat. Wajah si adik ditatap tajam.

   “ Masalahnya, hati orang tu dah terluka..” Ammar pula menjawab. Terus Ashraf zipkan mulutnya.

   “ Am.. temankan Fya keluar kejap..” Satu suara menyampuk di antara mereka. Spontan kedua-duanya berpaling. Kening Ammar terjongket sedangkan Ashraf sudah tayang wajah pelik. Bingkas dia bangun.

   “ Fya nak pergi mana, sayang?” soal Ashraf cuba hendak berbaik. Malang, hanya jelingan tajam yang dia terima.

   “ Am, boleh tak ni?” soal Afya tanpa mempedulikan si suami yang elok berdiri di sebelah. Rasa geram masih bertamu. Ashraf terasa hati. Ammar sudah simpan senyum melihat wajah cemberut si abang. Mahu tak cemberut, si isteri elok aje ajak lelaki lain keluar. Walhal adik ipar sendiri pun. Tetap tak masuk akal sedangkan si suami elok tercegat di sebelah.

   “ Fya nak ke mana?” soal Ammar balik. Lembut bersama senyumannya. Afya senyum lalu mendekat. Ashraf ketap bibir. Amboi.. dengan Ammar siap boleh senyum meleret lagi.. desis hati jantannya cemburu. Dia mengekori langkah Afya.

   “ Nak ke rumah mama kejap. Ada barang yang tertinggal..” ujar Afya menjelaskan.

   “ Barang apa?” soal Ammar balik.

   “ A’ah.. barang apa, sayang? Kan ke tadi kita dah bawa semua ke rumah Tok Kamil?” soal Ashraf menyampuk. Afya berpaling bersama pandangan tajam. Erk! Ashraf kelu lidah terus.

   “ Jangan menyampuk, boleh?” soal Afya perlahan bila mana dia nampak kelibat Tok Kamil sedang melintas bersama sebatang rokok di mulut. Hailah.. Tok ni betul-betul tak sayang nyawalah.

   Yelah.. abang minta maaf..” Mengalah jua akhirnya. Ammar bangun berdiri di hadapan pasangan penganti baru itu.

   “ Am rasa elok Ash yang bawa Fya. Nanti kan apa pula orang tua Fya cakap? Am tak nak kena tempias. Okeylah, Am masuk dulu. Nak sembang-sembang dengan Tok. Ambil hati dia sekejap..” ujar Ammar berura-ura mahu berlalu. Dia masih dalam usaha membaikpulihkan hubungan dia dan Tok Kamil. Maklumlah, Tok Kamil memang tidak menyukai profesionnya sebagai seorang artis. Tapi, dia tahu lambat-laun hati tua itu pasti cair.

   “ Am.. tolonglah hantarkan..” rayu Afya lembut. Panas telingan Ashraf dibuatnya. Selama berbulan-bulan Arian Ammar rupanya yang melayan dia di laman sosial. Patutlah ayat berbunga-bunga. Rupa-rupanya si Ammar yang menjadi orang tengah. Kenyataan itu hanya dia tahu empat hari sebelum mereka menikah. Itupun bila dia terserempak dengan kembar itu di hadapan Jusco. Kalau tak.. entahlah. Hendak ditangguhkan perkahwinan, memang dah terlewat. Lagipun, Ashraf ada kata yang dia memang nak berterus-terang sebelum menikah. Tapi, Afya dulu yang terlebih tahu. Ah, itulah kuasa Tuhan. Dia nak bantu aku yang tertipu ni.. bisik hati Afya geram.

   “ Abang hantarkan Fya..” sampuk si Ashraf lagi. Afya mula rasa bengang. Tangan ditadah. Terkebil-kebil Ashraf dibuatnya.

   “ Fya nak apa?” soalnya lembut. Ammar sudah menghilangkan diri di sebalik mereka. Sengaja hendak memberi peluang untuk Ashraf memujuk si isteri yang merajuk manja.

   “ Kunci..” Sepatah dijawab. Berkerut dahi Ashraf.

   “ Abang hantarkanlah.. Fya dengar cakap abang ye?” Ashraf bertegas. Afya sudah mula bercekak pinggang.

   “ Fya nak kunci. Bukan nak awak hantarkan!” tegasnya.

   “ Abang..”

   “ Ash.. tolong hantarkan Fya. Tadi Am bagitahu tok, Fya nak balik rumah mak ayah dia. Lewat malam ni, jangan biarkan Fya memandu. Tak elok.. kamu tu darah manis lagi..” laungan Tok Kamil buat pasangan ini terdiam. Ashraf berpaling. Manakala Afya sudah mula menapak ke arah kereta si suami. Di sebalik pintu, Ashraf nampak wajah Ammar yang tersengih kelat bersama ibu jari yang diangkat tinggi.

   Tahulah dia bahawa Ammar yang menyerupai suara Tok Kamil tadi. Ah, masakan Fya tak perasan ye? Agaknya itulah kehebatan seorang artis. Pendai melakonkan. Detik hati Ashraf lucu. Terima kasih Arian Marocco.. nama glamour adiknya di Filipina. Marocco nama yang diambil dari keturunan mummynya. Rivera Marocco, nama asal mummynya sebelum menganut Islam.

   “ Yang duk sengih-sengih tu kenapa? Orang nak cepat ni..” sahut Afya mencicit geram. Ashraf mula tersedar. Pantas dia bergerak ke arah Subaru BRZ miliknya.

   “ Kejaplah, sayang. Abang sarung kasut..” tukas Ashraf  kelam-kabut. Dalam hati, dia tersenyum lucu. Wajah mencuka Afya ada kalanya nampak manis dan comel. Alahai Hanin Afya abang.. detik hatinya lagi.

5 comments:

  1. Best jugak ceritanya, Hana ni masih remaja yg masih belajar, bgmana Hana membahagikan masa? tersangat kak nak tgk aktiviti Hana dlm jarak dekat....

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks akak. hana pun xtahu macm mana hana bhagikan masa. biasanya hana mmg xpernah abai pelajaran. menulis novel cuma sampingan bila hana perlukan ketenangan, penat belajar hana akan mula menulis. cuma, bt mse skrg hana terpaksa kurgkan sikit sebab sem ni hana padat sikit. still kena kekalkan gpa dan final exam. :)

      Delete
  2. Bestnya..Teringin nak jd mcm kak hana.. Ada masa singgah lah blog sy http://luahankutintaku.blogspot.com/ tak paksa :)

    ReplyDelete