PeNgiKuT sEtiA..

Saturday, August 3, 2013

Please, Love Me Back (Part 1)


Please, Love Me Back! (Cerpen)
Oleh : Hana Efryna

Mariyah Fateha memandang segenap ruang bilik yang tampak suram itu. Dia tersenyum sarat dengan rasa bahagia yang datang menggebu-gebu. Jam berwarna kuning yang elok tergantung di sisi dinding dikerling sekilas. Akhirnya, sudah hampir sembilan jam empat puluh tiga minit dia bergelar isteri kepada Ahmad Raqeem Darwish, kenalan yang hanya ditemui melalui alam maya hampir setahun lalu.

   Raqeem, suami yang dinikahi atas dasar cinta meskipun dia masih ragu-ragu dengan perasaan si suami terhadapnya. Adakah sekelumit cinta buat dirinya? Ah, Fateha benar-benar tidak tahu. Tapi, atas desakan cinta.. dia sendiri yang memulakan langkah. Namun, baginya apa yang nak dihairankan andai perempuan yang melamar lelaki? Bukankah Siti Khadijah juga pernah melamar Nabi Muhammad untuk menjadi suaminya?

    Semua itu tidak pelik bahkan sesuatu yang membanggakan. Bukan mudah seorang perempuan yang memulakan sesi genting sebegini. Melamar seorang Adam untuk dijadikan zauj? Ah, memang payah untuk segelintir kaum Hawa yang lain.

   Fateha merenung inai di jari. Tanpa dipinta, senyuman mekar melatari bibir yang seperti ulas limau itu. Cantik dan nampak segar. Lama dia terleka sebelum..

   “ Assalamualaikum..” Suara parau seseorang yang amat dikenali mengejutkan Fateha. Pantas, Fateha bingkas berdiri sebelum langkah diatur laju ke arah si suami yang segak dengan baju melayu dan berkain pelikat.

   “ Waalaikumussalam.. awak pergi mana tadi? Lama Teha tunggu awak, tapi tetap tak nampak awak,” soal Fateha sopan seraya mengucup lembut tangan sasa itu. Raqeem tersenyum nipis.

   “ Saya ikut baba pergi rumah pak long. Saja berbual-bual soal lelaki sikit. Teha tunggu saya?” soal Raqeem semula. Fateha angguk sekali. Raqeem tersenyum. Satu keistimewaan milik Raqeem. Payah lelaki itu hendak marah atau melenting. Bahkan, wajah itu sentiasa menawan dengan senyuman kacaknya.

   “ Awak nak mandi?” soal Fateha saat si suami mula kelihatan seakan-akan mencari sesuatu. Raqeem berpaling ke arah isterinya. Kepala dijatuhkan tanda mengakui kata-kata Fateha.

   “ Kejap, Teha ambilkan awak tuala.” Fateha terus bergerak ke arah almari. Mencari-cari tuala di situ, namun puas dibelek.. langsung tiada. Ah, dia lupa. Mungkin umi sudah mengambilnya untuk digunakan oleh sepupu-sepupu yang bertandang. Kata umi, mak usu langsung tidak bercadang untuk bermalam di situ.  Jadi, sebarang kelengkapan tidak dibawa bersama.

   “ Awak..” Fateha teragak-agak hendak bersuara. Dia mengigit bibir bawahnya. Raqeem tahu apa yang hendak disampaikan oleh Fateha. Lantas, tanpa arahan dia mencapai tuala berwarna merah jambu yang terletak elok pada penyidai di sebelah kanannya.

   “ Saya guna yang ni pun boleh kan?” soal Raqeem lalu matanya dikenyit sebelah. Fateha sudah tersipu-sipu. Perlahan-lahan dia menunduk dengan wajah memerah. Seketika, Fateha bisa menangkap ketawa halus dari bibir suaminya. Ah, nakal betullah encik suami ni.. detik hatinya sebelum mindanya menerawang pada perihal sebulan yang lalu..

*************************************

Sebulan yang lalu..

Fateha merenung wajahnya yang terbias pada laman cermin. Kepalanya benar-benar pusing memikirkan kewarasan apa yang dia bakal lakukan kini. Telefon bimbit direnung dengan rasa bercelaru. Patutkah aku berterus-terang pada dia?

   Malas mahu bersesak memikirkan persoalan yang dia takkan temui jawapannya, terus saja nombor telefon Raqeem didail. Hanya dari seorang kawan di alam maya, mereka mula bertukar-tukar nombor telefon setelah hampir enam bulan berchatting. Itupun atas permintaan Raqeem. Kata Raqeem, ini kali pertama dia bertemu dengan seorang perempuan yang jelas memahami kariernya. Lantaran itu, dia selesa berkawan dengan Fateha.

   “ Assalamualaikum..” Fateha memberi salam dengan gugup. Dia yakin dia perlu juga muntahkan segalanya. Kalau disimpan, semakin memburuk pula. Apa yang dikhuatiri, rasa ini bakal bernanah teruk kelak. Jadi, eloklah dilepaskan segalanya.

   “ Waalaikumussalam, Teha. Ada apa?” soal Raqeem lembut. Fateha bisa membayangkan ketenangan pada wajah tampan itu. Dulu, hanya sekadar gambar yang menjadi titik tengah untuk dia mengenali wajah itu. Tapi, kini tidak lagi.

   “ Err.. saya ada benda nak cakap.” Fateha terus ke pokok pangkal. Raqeem terdiam seketika. Dari nada Fateha, seperti ada sesuatu yang penting saja ingin dikhabarkan. Tapi, apa? Benaknya membuat tanda soal.
   “ Awak nak cakap apa? Macam serius aje bunyinya..”

   “ Tapi, awak janji jangan benci saya setelah apa yang saya cakap ni. Mungkin bagi awak semua ni tak masuk akal, tapi saya tetap juga kena cakap. Kawan-kawan saya pun dah cadangkan macam ni. Jadi, saya rasa inilah yang terbaik. Meluah dari terus memendam.” Raqeem yang mendengar langsung tidak senang duduk.

   “ Awak nak cakap apa ni? Awak buat saya rasa curious ajelah. Cepatlah cakap..” Raqeem sudah tidak sabar-sabar. Fateha menarik nafas panjang. Dia pejam mata untuk seketika. Kekuatan dikumpul sebanyak mungkin.

   “ Awak..”

   Hmm..” sahut si teruna laju.

   “ Kita dah kenal berapa lama?” soal Fateha. Raqeem di hujung talian sudah berkerut kening. Entah kenapa pula Fateha menanyakan soalan sebegini. Ah, pelik.

   “ Hampir lapan bulan. Tapi, tempoh melalui alam maya lebih lama. Kita pun pernah berjumpa hanya dua kali juga kan?” balas Raqeem bersahaja. Fateha terdiam agak lama.

   “ Awak.. saya sebenarnya tak tahu macam mana nak mula.” Fateha sudah mula bagai cacing kepanasan.

   “ Kenapa, awak?” soal Raqeem turut gelisah.

   “ Kalau ada orang cakap dia suka awak hanya dengan melihat awak dua kali, awak rasa dia gila tak?” soal Fateha perlahan. Sangat perlahan. Tersentak hebat Raqeem di hujung sana.

   “ Ma.. maksud awak?” soal Raqeem tergagap-gagap.

   “ Saya sukakan awak,” ucap Fateha laju. Seketika, terdengar helaan nafas lega milik Fateha. Raqeem hampir tertonggeng juga dibuatnya. Huh??

   Wh.. what?” Sedikit terjerit suara Raqeem.

   “ Ya, saya sukakan awak. Mungkin bagi awak, saya merepek. Tapi, saya betul-betul sukakan awak. Saya tahu saya memang tak betul macam ni. Tapi, itu hakikatnya. Awak.. inilah kali pertama dalam hidup, saya mengaku suka dekat lelaki..” tutur Fateha yakin dengan kata-katanya. Raqeem terdiam lama.

   “ Awak nak saya balas suka awak tu?” soal Raqeem setelah agak lama terdiam membisu. Fateha rasakan dia bagaikan ditumbuk dengan soalan Raqeem.

   “ Err..” Fateha tergagap-gagap. Dia hilang madah bicara.

   Sorry-sorry.. saya tak ada niat nak pertikaikan apa yang awak cakap. Tapi, ini pengalaman pertama kali saya.  Awak.. awak tahu tak yang umur kita berbeza? Saya dah tua dan kita cuma berkenalan di alam maya dan baru bertemu hanya beberapa kali,” tegur Raqeem lembut.

   “ Saya tahu. Tapi, umur awak baru aje 31 tahun dan saya 23 tahun. Tak terlalu berbeza. Lagipun, apa ada pada umur? Ianya sekadar angka. Satu lagi, saya tak harapkan apa-apa daripada awak. Cuma, saya nak meluahkan supaya saya tak rasa dada ni sempit. Saya tak minta awak balas perasaan saya..” jelas Fateha panjang lebar. Dia bimbang andai Raqeem melabelkan dia sebagai perempuan terdesak.

   “ Awak.. saya tak tahu nak cakap apa..” Raqeem buntu.

   “ Saya tak kisah awak tak nak cakap apa-apa pun. Tapi, saya dah lega sekarang. Saya rasa itu pun dah cukup sebab awak sudi dengar.”

   “ Boleh saya tahu kenapa awak suka saya sedangkan kita hanya pernah berjumpa beberapa kali?” soal Raqeem pantas.

   Hmm.. sebab awak, orang yang banyak bagi semangat pada saya waktu saya susah hati. Tak kiralah dalam pelajaran, cinta atau apa saja. Awak tak pernah putus asa bagi saya semangat.” Fateha menjawab jujur.

   “ Itu aje?” soal Raqeem bagaikan tidak puas hati.

   “ Ya, itu saja.” Fateha memberikan jawapan. Ah, sesungguhnya cinta itu hadir dalam pelbagai keadaan. Unik dan ada waktunya kedengaran kurang logik.

   “ Tapi, awak tahu kan corak hidup saya bagaimana? Memang luaran saya nampak berada dan gembira dengan kehidupan saya, tapi hakikatnya hidup saya sunyi dan hambar. Saya dah melencong jauh, awak.” Ya, itulah Ahmad Raqeem Darwish. Seorang lelaki yang sering menceritakan masalahnya pada Fateha. Langsung tidak malu, bahkan dia percaya dengan sikap telus milik Fateha.

   “ Saya tak kisah. Semua tu tak penting. Bagi saya, saya tahu awak nak berubah. Saya boleh nampak dari cara awak. Err.. awak janganlah rasa tak selesa. Saya cuma meluahkan.” Fateha mula rasa serba-salah. Dia sudah buat lelaki itu hilang punca.

   “ Tak, saya hargai usaha awak untuk berterus-terang. Tapi, boleh saya minta sesuatu daripada awak?” soal Raqeem balik.

   “ Apa?”

   “ Bagi saya masa untuk fikirkannya..” Dan sebaris ayat itu, buat Fateha rasa dia bagaikan ada peluang sahaja meskipun ianya amatlah tipis. Fateha hela nafas kelegaan. Syukur.. dia berjaya juga meluahkannya.

**********************

“ Teha menung apa tu?” Soalan dari encik suami menyentakkan Fateha dari lamunan. Sepintas, dia menoleh ke arah Raqeem yang sudah lengkap dengan pijamanya. Tampak segar wajah itu pada pandangan matanya.
   “ Teha teringat kenangan lama,” balas Fateha malu-malu. Raqeem ambil tempat di sisi si isteri. Wajah manis yang masih bertudung itu ditatap dalam.

   “ Kenangan apa? Lagi satu, kalau ya pun nak berangan.. tanggallah dulu tudung tu. Tak panas ke? Meh sini saya tolong,” soal Raqeem ingin tahu sebelum tangan sasanya ligat merungkai tudung yang membelit kepala si isteri. Lembut sekali tingkahnya. Sebaik saja mahkota milik Fateha terpampang, Raqeem telan liur. Kali pertama kepala itu dilihat tanpa sebarang alas. Ah, cantik.

   “ Cantik rambut Teha..” puji Raqeem ikhlas lalu mengusap kecil rambut hitam pekat milik si isteri.

   “ Terima kasih..” sahut Fateha segan. Wajahnya memerah.

   “ Okey.. sekarang kita ke topik asal kita. Teha fikirkan apa tadi? Kenangan apa?”

   “ Err.. kenangan mula-mula Teha mengaku suka dekat awak..” Perlahan sekali ayat itu dituturkan. Fateha sudah meramas tangannya sendiri. Raqeem tergelak lucu. Pipi si isteri dicuit manja.

   “ Kenangan yang paling saya takkan lupakan. Dan lagi satu.. kenangan pada tiga bulan lepas. Hailah.. baru dua bulan saya dapat pengakuan daripada ‘orang’ tu, tup-tup dah kena lamar pula dan sekarang ni saya dan ‘orang’ tu dah jadi suami isteri pun. Sungguh percaturan DIA itu indah. Berani sungguh ‘orang’ tu kan..” sakat Raqeem dengan gelak halusnya. Fateha menjegilkan biji matanya.

   “ Awak..” marah Fateha manja sembari tangannya laju hendak mencari mangsa. Dia berpura-pura marah untuk menutup rasa hati. Aduhai.. rasa macam nak menyorok dalam almari ajelah.

   “ Okey-okey, saya tak usik dah.” Raqeem cepat saja mengalah. Fateha pula sudah diam membisu. Malu kot kena sakat macam tu. Dahlah baru berusia 23 tahun dah memandai melamar anak teruna orang. Sangatlah pelik di situ. Tapi, tak mustahil  juga bukan?

   “ Teha..” Lembut suara Raqeem seraya mencapai tangan si isteri. Fateha mendongak. Tampak wajah keanak-anakan di situ.

   “ Tak sangka orang yang saya anggap macam adik sendiri dah jadi isteri saya,” luah Raqeem tiba-tiba.

   “ Teha pun tak sangka orang yang Teha anggap macam abang kandung Teha boleh jadi suami Teha..” sahut Fateha mengulum senyum. Raqeem tersengih saja. Namun, sengihannya itu mati bila mana dia masih ada perkara penting yang hendak dibincangkan.

   “ Teha..” Kali kedua dia menyeru lembut nama itu.

   Hmm..”

   “ Teha, saya nak minta maaf andai kata-kata saya melukakan Teha. Tapi, Teha tahu kan saya.. saya..”

   “ Teha tahu awak tak cintakan Teha..” Sambung Fateha cepat bersama senyuman nipis. Perlahan-lahan, tangan kecilnya diangkat menyentuh pipi si suami. Lantas, satu kucupan singgah di situ.

   “ Teha.. saya minta maaf..” Raqeem rasa serba-salah. Fateha menggeleng.

   “ Jangan pernah minta maaf pada Teha sebab awak tak buat salah pada Teha. Dulu, kita pernah cakap kan yang Teha akan bagi awak masa untuk suka dan cintakan Teha?” soal Fateha mengerti. Raqeem angguk.

   “ Jadi, sampai bila-bila pun tempoh tu tak ada tarikh luput. Teha akan tunggu awak cintakan Teha balik. Tapi, sayang tu ada kan untuk Teha?” soal Fateha dengan memek ceria. Raqeem serba-salah. Macam mana dia nak jawab?

   “ Maksud Teha, sayang awak pada Teha sebagai seorang kawan dan adik. Ada tak?” Polos suara Fateha. Seketika, senyuman melatari bibir si suami. Kali ini, dengan yakin.. Raqeem angguk laju.

   “ Saya sayangkan Teha..” balas dia dengan kata-kata pula untuk meyakinkan si isteri.

   “ Jadi, mustahil tak andai suatu hari nanti Teha ubah rasa sayang sebagai seorang kawan atau adik tu menjadi rasa sayang seorang suami untuk isteri?” soal Fateha lagi. Mengharapkan jawapan. Raqeem menggeleng. Dia yakin rasa itu akan hadir. Dengan budi pekerti Fateha pun dia sudah terpikat. Inikan pula dengan tuan empunya badan. Dia yakin rasa itu akan hadir, cuma dia tidak tahu kapan waktunya.

   “ Masa tu, Teha dah tak perlu cakap pada awak macam ni lagi kan.. Please, love me back?” soal Fateha masih bermain kata. Raqeem melorek senyuman lebar. Pipi si isteri dipegang kedua-duanya. Anak matanya merenung wajah manis Fateha.

   “ InsyaAllah, waktu tu takkan ada lagi sebaris ayat tu. Saya akan berusaha untuk tempatkan awak di sudut hati saya. Ahaa.. bukan sebagai seorang adik atau kawan. Tapi, sebagai seorang zaujah. Pendamping hidup dan mati saya. InsyaAllah, di syurga sana sebab saya betul-betul nak berubah, Teha.” Tulus ucapan Raqeem membuai-buai hati Fateha.

   Fateha senyum segaris sebelum tanpa kata, dia dapat rasa tubuhnya ditarik ke dalam pelukan hangat si suami. Bukan dia yang mulakan, tapi Raqeem yang bertindak awal. Ah, segan pula! Bisik hati kecilnya. Malu tapi mahu!

******************

Fateha menyanyi kecil di sudut dapur itu. Ligat tangannya membancuh milo panas buat si suami. Nasi goreng cina sudah elok terhidang di atas meja bersama telur mata kerbau yang masih berasap tipis. Usai saja membancuh minuman buat suami tercinta, Fateha menghayun langkah ke tingkat atas. Dia perlu bersiap. Hari ini merupakan kuliahnya yang pertama dalam bidang Master of Science in Telecommunication and Information Engineering di UiTM, Shah Alam.

   “ Teha..” Si suami yang sudah segak dengan kemeja biru gelap dan slack hitam tercongok di hadapannya. Fateha berpaling.

   “ Ada apa, awak?” soal Fateha. Bedak kompak yang dicapai diletakkan semula di atas meja solek. Dia memberikan tumpuan sepenuhnya pada susuk tubuh sasa itu. Ah, cairnya hati melihat penampilan kemas Raqeem. Cair meleleh-leleh!

   “ Tolong saya kejap..” pinta si suami dengan memek muka ingin bermanja. Fateha jungkitkan kening.

   “ Tolong apa?”

   “ Tolong pakaikan tali leher ni..” sengih si suami nakal. Fateha tergelak kecil sebelum tali leher berbelang putih dan biru di tangan Raqeem dicapai.

   “ Boleh.. meh sini..” gamit si isteri. Pantas saja dia memulakan tugasnya. Usai saja tali leher itu tersarung pada leher tegap si suami, Fateha membetul-betulkan pula kolar kemeja yang dipakai Raqeem.

   “ Dah siap..” ucap Fateha ceria. Ceria dapat menunaikan kewajipan sebagai seorang isteri. Raqeem senyum.

   Thanks..” Dan cup! Satu ciuman melekat kejap pada pipi si isteri. Fateha tergamam. Namun, lambat-lambat dia senyum simpul. Raqeem pula sudah melangkah ke arah katil sebelum briefcasenya dicapai. Seketika, dia berdiri menghadap susuk tubuh langsing si isteri.

   “ Teha, hari ni hari pertama kuliah kan? Jadi, awak nak drive ke nak saya hantar?” soal Raqeem sambil merenung Fateha yang sibuk merapikan tudung pada laman cermin. Fateha membalas kembali renungan itu melalui biasan di hadapannya.

   “ Teha bawa kereta sendiri. Lagipun, awak sibuk kan? Awak ada cakap dengan Teha nak lawat tapak projek dekat Subang. So, Teha tak nak susahkan awak. Teha tahu kerja arkitek tak mudah.” Begitu memahami tutur kata Fateha. Raqeem tersenyum nipis. Senang dengan cara Fateha yang sentiasa tidak pernah bersikap pentingkan diri.

   “ Teha..” seru si suami. Fateha yang sudah siap merapikan tudung berpaling sebelum melangkah dekat pada Raqeem.

   “ Kenapa?” soal Fateha tatkala melihat Raqeem hanya merenung dia lama.

   “ Ada sesuatu dekat tudung Teha. Tu.. dekat atas kepala Teha..” ujar Raqeem tiba-tiba. Fateha mula menggagau bahagian kepalanya.

   “ Mana?”

   “ Tuu..” tunjuk Raqeem siap dengan mulut memuncung lagi. Fateha gagau lagi. Tapi, tak ada pun macam yang diujar oleh si suami.

   “ Tak ada pun..” sungut Fateha sedikit.

   “ Adalah.. meh sini saya tolong buangkan..” Raqeem menghulur bantuan. Tanpa bertangguh, Fateha mendekat. Dan sekali lagi.. cup!!!

   “ Awak..” Fateha bersuara malu-malu. Kali ini, kedua-dua pipinya sudah menjadi mangsa Raqeem.

   “ Hadiah..” ujar Raqeem dengan sengihan nakal.

   “ Huh?” Fateha kurang mengerti. Dia kerut kening. Raqeem usap kepala Fateha lama.

   “ Sebab memahami saya. Tapi, hari ni saya akan hantar awak. Hari pertama kan? Biarlah suami awak yang hantar..” putus Raqeem romantis. Saat ini, Fateha rasa dia bagaikan di awan-awangan. Dia terkaku.

   “ Hah.. beranganlah tu. Okeylah, saya tunggu awak dekat bawah. Turun tahu? Jangan nak jadi mat jenin pula. Tapi, kalau mat jenin apa yang dia angankan dia tak dapat. Tapi, awak lain sikit kot..” usik Raqeem dengan mata yang dikenyit sebelah. Jelas tampak nakal. Hilang saja kelibat suaminya, Fateha memegang kembali kedua-dua pipinya. Dan kali ini, alunan itu berbisik mesra.

   Please, love me back. I’m really fall in love with you, Ahmad Raqeem Darwish. Detik hati Fateha bahagia. Tak sabar dia nak mengecapi nikmat sebenar alam rumahtangga bersama si suami.
   

p/s : cerita ni ada kesinambungan dengan seorg lelaki yang hana kenal. tpi, hana ubah byk jugak. sorry kalau rasa merepek. :(

No comments:

Post a Comment