PeNgiKuT sEtiA..

Thursday, August 15, 2013

Kasih Tak Terucap (Cerpen)

End


Aku hanya tunduk membisu di dalam kereta mewah milik suamiku. Entah bila Faridzul menukar kereta lamanya aku sendiri tidak ambil pusing. Biarlah dia, harta dia.

   Wajah ku selambakan sehabis mungkin. Hanya itu yang mampu kutayang kerana aku kekok hendak membuka bicara. Setelah hampir lima bulan tidak bertemu, segalanya bagaikan terlalu asing. Aku menoleh ke luar tingkap. Memandang deruan ombak yang kuat menghempas pantai.

   “ Jom, turun..” Suaranya kedengaran. Aku menoleh. Seketika, dia sudah menapak keluar. Lalu, aku hanya membontoti. Aku beriringan bersama Faridzul. Duduk kami labuhkan di atas pasir putih yang beralun ditiup angin bayu.

   “ Kenapa abang ke sini?” soal aku untuk pertama kalinya setelah kami membisu. Dia tekun memandang ke tengah laut. Lama dia bagaikan termenung sebelum dia membetulkan duduk menghadap aku.

   “ Kandungan Ira dah lima bulan kan?” soalnya tiba-tiba. Wajahnya jelas tampak ceria. Aku terpana. Lambat-lambat kepalaku jatuhkan jua mengiyakan.

   “ Ya, baby dah besar dah. Tak lama lagi nak jenguk dunia..” Aku bersuara ceria. Tangan kuusap ke perut yang agak membukit itu. Tingkahku diperhatikan oleh Faridzul. Dalam hati, rasa tidak enak menyentuh sanubari. Aku bagaikan bisa menebak tujuan kehadirannya ke sini.

    “ Lepas Ira bersalin, abang nak tuntut bayi ni..” Dan seperti yang kutebak.. bicaranya membunuh jiwaku. Aku menoleh dengan wajah terkejut. Bagaikan tidak percaya, Faridzullah yang bersuara.

   “ Abang hanya nak bayi ni. Lepas tu, kita bawa haluan masing-masing..” Ya Allah, tidak berperasaankah si dia? Mataku terkedip-kedip hendak menaburkan mutiara pilu. Kucuba kuatkan hati pada kala ini.

   “ Mak.. maksud abang, apa?” soalku terketar-ketar. Dia mengeluh kecil. Wajahku dia pandang acuh tidak acuh. Sungguh, hatiku berdarah luka.

   “ Lepas Ira bersalin, serahkan bayi ni pada abang. Abang tahu Ira tak mampu nak sara bayi ni. Apalah sangat Ira boleh bagi pada dia. Setakat jual kuih macam tu, abang tak rasa anak abang boleh hidup senang..” Selamba kata-katanya menghiris lumat hatiku.

   “ Abang!!” jerkahku mulai berang. Tangisan yang kutahan pecah berderai. Aku bangkit dengan susah-payah. Senangnya dia meminta. Tidak terdetikkah rasa untuk memohon maaf padaku setelah luka yang dia taburkan untuk aku? Aku tidak sangka lelaki yang dulunya aku kagumi berubah laku seperti ini. Ah, aku kecewa! Dia turut bangkit berdiri. Memandangku tajam.

   “ Apa ni jerit-jerit? Orang pandanglah..” bentaknya kasar. Aku menggeleng-geleng.

   “ Ira tak peduli apa orang nak cakap. Tapi, Ira tegaskan yang Ira takkan serahkan anak Ira pada abang. Ini anak Ira, Ira yang usung dia ke sana ke mari. InsyaAllah, Ira akan usaha untuk tanggung dan besarkan dia dengan kudrat Ira. Abang tak perlulah susah-payah fikir tentang kami..” ujarku keras dan tegas. Wajahnya mula berubah riak. Berang mungkin.

   “ Abang tak fikirkan Ira, abang fikirkan anak abang. Hei, kalau tak ada abang.. anak tu tak ada. Ira kena serahkan pada abang juga.” Tegasnya. Aku sapu air mata yang semakin galak. Aku undur ke belakang setapak.

   “ Ira takkan serahkan dia..” Aku bersuara pilu. Seketika, aku tangkap senyuman sinis pada wajahnya.

   “ Ira tetap kena serahkan dia pada abang sebab kalau Ira berdegil.. abang akan bawa kes ni ke mahkamah. Abang tak rasa Ira akan menang kes untuk hak penjagaan bayi. Abang lebih mampu kalau dibandingkan dengan Ira..” hinanya membuatkan aku terdiam bisu. Ya Allah, takkan sehingga ke tahap itu dia berkeras hendakkan bayi yang ku kandung. Aku menongkah pandangannya.

   “ Ini anak Ira, bang. Tolonglah, hanya dia yang Ira ada. Jangan rampas dia daripada Ira..” Aku mula merayu. Tiada guna aku berkeras kerana bimbang keadaan semakin memburuk. Dia tersenyum lagi. Senyuman yang jelas sinis.

   “ Abang bukan hendak merampas. Cuma, abang nak kurangkan beban Ira. Walau macam mana sekalipun, abang akan tuntut hak abang. Dahlah.. Ira balik fikirkan dulu sama ada nak abang guna cara lembut atau kasar. Mari, abang hantarkan Ira balik. Abang masih banyak kerja di Kuala Lumpur. Abang datang pun untuk bagitahu hajat abang pada Ira saja.” Kata-katanya membuat keputusan. Aku hampir terjelopok. Dia benar-benar tekad. Tangan kulekapkan pada perut. Anak umi.. anak umi.. rintihku sendu.

   Di dalam kereta, aku hanya menangis sepanjang jalan. Namun, tiada kata pujukan daripada si suami. Sungguh, hatinya beku. Lantas, aku membuat keputusan yang bagaikan menjerut leherku sendiri.

   “ Ira akan serahkan bayi ni pada abang. Tak perlu kita bawa kes ni hingga ke mahkamah..” luahku mengalah. Aku yakin inilah yang terbaik kerana aku hanyalah wanita yang tak punya apa-apa. Aku yakin anak aku akan membesar dengan lebih sempurna bersama Faridzul. Maafkan umi, nak.. umi memang tak mampu nak sara anak umi ni. Sekali lagi perut yang membukit itu aku usap bersama linangan air mata.

   Faridzul bagaikan terkejut dengan keputusanku yang tiba-tiba. Jelas wajahnya mengukir senyuman kemenangan.

   “ Ira tak tipu abang kan?” soalnya teruja. Aku mendongak lalu menggeleng lemah.

   “ Seperti yang abang katakan pada Ira, Ira tak mampu besarkan dia. Hidup Ira bagaikan kais pagi makan pagi, dan begitu juga sebaliknya. Ira hanya wanita kampung yang daif, bang. Biarlah Ira beralah. Tapi, satu permintaan Ira. Izinkan Ira luangkan masa bersama bayi Ira hanya satu hari sebelum Ira serahkan dia pada abang. Dan sepanjang waktu ni, Ira tak nak tengok muka abang lagi..” pintaku membuat syarat. Dia nampaknya tidak keberatan. Ah, siapalah aku untuk mengharap apa-apa ihsan daripadanya.

   “ Abang setuju, abang setuju dengan syarat Ira. Ira, terima kasih..” Begitu senang dia meluahkan kata. Aku senyum hambar. Kenapa hidupku seringkali teruji? Ya Tuhan..

   Akhirnya, aku melangkah keluar dari kereta mewahnya. Teratak buruk milik aku dan arwah along kutuju dengan hati retak seribu.

********************

Aku tersenyum panjang memandang wajah permata hatiku. Bayi lelaki yang kuberi nama Muhamad Fahim Raiqal ini kuusap penuh manja. Sebentar lagi, bayi ini akan kuserahkan pada yang lebih berhak. Dalam hati, aku panjatkan rasa terima kasih pada arwah along. Long, kalau bukan dengan pemberian terbesar ini.. Ira takkan mampu tatap anak Ira, long. Terima kasih pada along. Ira sayang along, sangat.. bisikku syahdu.

   Raiqal masih leka menyusu. Memandang wajah polos itu membuatkan air mataku mengalir sendu. Raiqal.. hanya ini yang umi mampu berikan pada Raiqal. Tapi, jangan bimbang sebab nanti Raiqal akan menemui kemewahan bersama papa.  Maafkan umi, nak. Bukan pinta umi untuk lahir dalam keadaan sebegini. Tapi, umi tak pernah mengeluh. Malah umi bersyukur kerana jalan hidup umi yang berliku membuatkan umi lebih tabah. Umi harap bila Raiqal besar nanti, Raiqal akan jadi setabah umi ye?

   Aku menoleh pandang beg lusuh yang kuletak segala keperluan Raiqal. Kali ini, aku sendiri yang akan menemui Faridzul untuk menyerahkan bayi kami. Ya, aku perlu menerima hakikat bahawa dia lebih berhak untuk menjaga Raiqal kerana aku memang takkan pernah mampu. Raiqal yang sudah kekenyangan ku intai sedikit. Wajahnya bagaikan tersenyum padaku dengan mata terpejam rapat. Aku tergelak kecil. Comelnya anak umi.. pujiku ikhlas.

   Jam di dinding kulihat sepintas lalu. Hampir pukul 3.00 petang dan aku perlu segera ke sana. Aku sudah berjanji dan aku perlu tepati. Aku bangkit perlahan-lahan. Meskipun aku masih berpantang, apakan daya. Ini pilihan yang aku ada. Dalam tubuh lesu, kusangkut beg usang ke bahu lalu aku atur langkah bersama mutiara yang mula menemani. Kuatlah Zahira.. hanya insan yang terpilih saja menerima ujian sebegini.. ku bisikkan kata-kata semangat menjadi pedoman.

**************

Faridzul sudah setia menanti di hadapan rumah banglo yang pernah aku huni bersamanya. Loceng rumah yang tadi galak kutekan termati begitu saja bila langkahnya menghampiriku. Segaknya dia masih seperti dulu. Dengan kemeja dan slack hitam menambahkan lagi kekacakannya yang sedia ada. Aku tersenyum nipis. Lelaki inilah suamiku. Tapi, harus kuterima qada’ dan qadar bahawa ikatan suci ini pasti akan terlerai jua.

   “ Masuklah..” ajaknya. Aku menggeleng. Aku tidak mahu berlengah. Bimbang hati ini rapuh. Dahi yang berpeluh kuseka dengan hujung lengan baju kurung yang lusuh. Dia memadangku bersilih ganti dengan bayi di dalam kendongan.

   “ Ira nak cepat. Ira datang cuma nak serahkan Raiqal.” Aku berbicara. Namun, suaraku hampir tidak kedengaran. Aku menangis dalam diam.

   “ Err.. abang minta maaf. Bukan niat abang nak merampas. Abang cuma nak bagi yang terbaik untuk anak kita.” Aku lihat reaksinya bagaikan serba-salah. Lalu, ku capai tangannya untuk mendukung Raiqal. Aku tidak mahu berlama. Aku bimbang aku jadi tidak kuat lantas menarik balik keputusan ini. Biarlah Raiqal menemui kebahagiaannya.. itu saja keinginanku. Tentang hidupku, akan kufikirkan nanti.

   “ Jaga anak Ira baik-baik, bang. Ira serahkan dia pada abang bermakna Ira percayakan abang. Janji dengan Ira..” Kini, air mataku tumpah jua. Raiqal yang polos dengan lenanya kuusap kecil. Faridzul nampak sebak. Matanya terkedip-kedip. Tapi, aku tidak pasti kenapa dia harus bersedih kerana memang ini mahunya.

   “ Abang janji akan jaga dia..” Hanya itu yang suamiku tuturkan. Aku tayang senyum. Beg lusuh yang kusandang, kehulurkan padanya.

   “ Semua ni barang-barang Raiqal. Ira minta pada abang, letaklah nama anak kita.. Muhamad Fahim Raiqal supaya bila dia besar dia tahu uminya bukan sengaja mahu membuang dia.” Semakin lebat tangisanku. Faridzul mengangguk-angguk. Sekilas, aku rasakan ubun-ubunku dikucup bibir Faridzul. Aku terkesima.

   “ Abang akan turut kemahuan Ira.. Ira jangan bimbang. Kalau Ira nak jenguk Raiqal, abang izinkan..” tuturnya sendu. Aku memandang wajah Raiqal. Tanganku galak menyentuh setiap anggota wajah anak kecil itu. Untuk kali terakhir.

   “ Ira balik dulu, bang. Raiqal.. anak umi. Besar nanti, jadi anak yang soleh. Ingat, sayang. Bukan umi tak sayangkan Raiqal, tapi keadaan memaksa umi. Umi tetap akan ingat Raiqal sampai akhir nafas umi. Bang, Ira pergi dulu. Halalkan makan minum Ira. Ira tunggu surat cerai dari abang. Maafkan Ira andai kehadiran Ira menyusahkan abang..” Lalu, kugapai tangan sasanya sebelum ciuman hangat kulabuhkan. Sempat pipi Raiqal kucium lama. Wajah Faridzul yang menangis sudah tidak mampu kutatap. Akhirnya, aku melangkah longlai keluar dari rumah agam itu. Selamat tinggal anak umi.. rintihku.

   Kaki yang gontai ku atur gagah. Cuba ku semai semangat yang menghilang. Pandangan yang kabur kubiarkan terus. Aku melangkah dan terus melangkah hingga tanpa sedar.. dum!!

   Kurasakan tubuhku melayang kuat. Segenap tubuhku terasa sengal. Dan kali ini, aku nampak wajah along tersenyum padaku. Along.. tunggu Ira, long. Tuturku sebelum mataku mulai layu. Kesakitan mula membelit. Darah membuak-buak keluar dari hidung serta mulutku. Seketika, aku dengar satu suara menyeru namaku. Abang.. Ira sayang abang. Sayang sangat-sangat. Hanya itu yang aku sempat lafazkan sebelum duniaku kelam dengan sendiri.

***************

Dua tahun sepuluh bulan berlalu..

Aku memandang kosong bilik yang bercat kuning lembut itu. Terasa lenaku sungguh panjang. Aku memandang ke sekeliling. Kosong tidak berpenghuni. Aku di mana?? Fikirku terus. Ku toleh pada lengan yang mempunyai parut sepanjang dua sentimeter. Ku usap disitu. Dan saat itu, bayangan kejadian ngeri itu mula mengetuk mindaku.

  Prang!!

  Bunyi sesuatu yang jatuh membawa aku menoleh ke situ. Wajah polos seorang kanak-kanak menjamah ruangan mata. Aku lihat robot miliknya sudah bertaburan ke lantai. Tidak sempat aku hendak memanggil, dia sudah berlari kecil keluar dari kamar itu. Comelnya wajah itu buat aku jatuh kasih. Tapi, hatiku tertanya-tanya. Anak siapakah itu??

   “ Ira..” Kali ini, suara asing menyeru namaku. Aku kalih pandang.

   “ Ya Allah, Ira dah sedar? Syukur, Alhamdulillah. Kuasa Tuhan. Saya ingat semuanya canda budak comel ni aje,” soalnya lagi bagaikan teruja. Aku angguk dalam keadaan bingung. Dahiku berkerut seribu. Siapa wanita muda ini? Tekak yang haus memaksaku menagih segelas minuman.

   “ Air.. haus..” tuturku lemah. Segera perempuan muda itu menunag segelas air. Aku sambut lalu kuteguk rakus. Hilang saja dahaga, ku sua kembali gelas kosong itu pada perempuan muda itu.

   “ Awak siapa?” soalku pelik. Perempuan muda itu menghampiriku. Dia hulurkan senyum.

   “ Saya jururawat peribadi Ira. Panggil saya, Hawa. Suami Ira yang tugaskan saya di sini..” tuturnya membuatkan aku langsung kelu. Aku berfikir-fikir sendirian.

   “ Dah berapa lama saya macam ni?” soal aku lagi. Kepalaku yang berbalut, aku usap perlahan.

   “ Hampir tiga tahun. Selepas Ira kemalangan, Ira disahkan koma. Sebab tu saya ditugaskan untuk jaga Ira di rumah. Syukur, melalui pengamatan saya.. Ira tak mengalami sebarang kesan sampingan lain. Ira ingat semuanya kan?” soal jururawat itu. Aku berfikir lama. Ingat? Rasanya tiada apa yang tertinggal.

   “ Ingat nama suami Ira?”

   “ Faridzul Qaiser..” jawabku perlahan. Tapi, masihkah dia bergelar suami atau aku sudah diceraikan? Ah, aku tak tahu sola itu. Hawa tersenyum. Dia gamit kanak-kanak yang sedari tadi bersembunyi di sebalik pintu. Kanak-kanak itu mendekat dengan wajah resah. Aku senyum segaris pada wajah comel itu. Wajah persis kanak-kanak Arab. Anak Hawa mungkin.. desis hatiku membuat andaian.

   “ Ingat kanak-kanak ni?” soalnya lagi. Aku kerah segala mindaku. Lalu, aku geleng.

   “ Ini anak Ira, Raiqal..” Dan sebaik saja mendengar kata-kata itu, tubuhku menegak. Tak mungkin!

   “ Tapi, sewaktu saya kemalangan.. anak saya masih bayi.” Aku mengutarakan kata. Hawa tersenyum.

  “ Ira lupa? Ira dah macam ni hampir tiga tahun. Raiqal dah berusia tiga tahun. Jadi, wajarlah dia dah membesar..” jelas Hawa. Kali ini, aku ingat kembali kata-katanya tadi. Tanpa diundang, air mataku menitis laju. Tangan kugagahkan menggamit tubuhnya. Namun, dia seakan takutkan aku. Kenapa?

   “ Anak umi..” tuturku perlahan. Raiqal mula hendak menangis. Hawa pantas menenangkan.

   “ Raiqal.. tu umi, sayang. Hari-hari Raiqal masuk sini tunggu umi sedar. Sekarang umi dah sedar. Pergilah pada umi, sayang..” pujuk Hawa. Raiqal kemudain memandang aku lama. Aku gamit dia sekali lagi. Anak mata yang mirip Faridzul itu kemudian memandang kembali pada Hawa.

   “ Umi?” dia menyoal Hawa. Hawa angguk. Lalu, kulihat kaki kecil itu mula melangkah padaku. Kali ini, terus ku peluk tubuh kecil Raiqal sekuat hati. Aku rindu..

   “ Anak umi.. anak umi..” tangisku hiba.

   “ Mi.. umi..” sahutnya pula. Tangan kecil itu mula mengusap-usap pipiku. Aku tersenyum dalam tangisan. Ah, anak umi.. detik hatiku. Rasa kurang percaya kerana aku kini sedang memeluk tubuhnya.

   “ Ira.. Ya Allah, syukur Ira dah sedar..” Suara asing membuatku aku merenggangkan pelukan pada Raiqal. Dia?? Sungguh, dalam hendak aku menafi.. aku rindukan suara itu. Suara yang sering kali muncul dalam lena panjangku. Hanya suara itu!

****************

“ Macam mana isteri abang hari ni? Makin sihat?” soal Faridzul prihatin. Aku yang sedang duduk di balkoni menoleh. Seketika. Tangannya sudah membelit tubuhku. Aku menolak. Tidak selesa.

   “ Kenapa? Masih marahkan abang?” soalnya sendu. Aku geleng. Sungguh, aku tidak berdendam. Cuma, hati ini masih terasa.

   “ Ira tak marah. Malah, benci jauh sekali.” Aku membalas. Jujur.

   “ Habis tu, kenapa Ira layan abang macam ni? Dah hampir dua minggu Ira sedar, Ira langsung tak layan abang. Abang minta maaf, Ira. Abang tahu salah abang.” Ku lihat air mata Faridzul mula mengalir lesu. Aku terpempan.

   “ Abang janganlah macam ni..” Ku pujuk dia lembut. Sungguh, aku tak sanggup melihat dia menangis kerana aku. Faridzul mendekat. Pipiku dia usap lembut. Seketika, ubunku diciumnya pula.

   “ Hanya Ira yang mampu hentikan air mata abang. Abang menyesal. Sangat menyesal. Tiga tahun Ira, tiga tahun hidup abang hilang arah bila tengok Ira bagaikan jasad tanpa nyawa. Hati abang sakit. Abang sedar, abang perlukan Ira. Tapi, waktu tu dah terlambat bila doktor sahkan Ira koma. Hari-hari abang bermunajat memohon Ira sembuh. Syukur, doa abang dimakbulkan. Tapi, abang tetap tak mampu nak usir rasa terkilan abang sebab pernah buat Ira terluka. Malah, Ira jadi macam ni sebab abang..” ngongoi dia terus. Aku sebak. Lantas, aku angkat wajahnya memandang aku. Air matanya kusapu bersih.

   “ Beri Ira masa, bang. Luka ini terlalu dalam. Ira janji pada abang, Ira akan cari jawapan pada persoalan ini.” Aku meminta pengertian.

   “ Abang akan tunggu, sayang. Abang akan tunggu..” Faridzul membawa aku ke dalam pelukan hangatnya.

   “ Umi.. papa..” Suara si kecil memaksa aku meleraikan pelukan. Raiqal berjalan ke arah aku dengan botol susu di tangan.

   “ Umi.. buatkan susu..” pintanya manja. Sedikit pelat. Namun, Faridzul terlebih dulu bersuara.

   “ Biar papa buatkan. Umi baru sihat, sayang..” Terserlah kasih sayang seorang ayah di situ. Raiqal mencebik.

   “ Nak umi buatkan. Papa buat tak sedap..” Kata-kata Raiqal buat aku tergelak lucu dalam sendu. Sungguh kanak-kanak itu comel. Sebelum ni, bukankah air tangan papanya jua yang dia jamah? Ah, apalah sangat kanak-kanak seperti itu faham. Tapi, aku tahu Raiqal sedang menagih kasih dan manja dari aku. Aku senyum padanya.

   “ Biar Ira buatkan, bang..” ujarku pada Faridzul. Faridzul hanya angguk lemah.

*****************************

“ Abang, Ira ingat Ira nak balik kampung. Rindu dekat kampung. Lagi satu, Ira nak jenguk kubur arwah.” Permintaan aku lewat petang itu. Faridzul yang sedang menonton televisyen nampak tergamam. Pantas, dia memegang tangan kecilku.

   “ Ira nak balik?” soalnya cemas. Aku angguk. Raiqal yang sudah tertidur di atas paha Faridzul, Faridzul alih sedikit.

   “ Ira nak jenguk kampung. Dah lama Ira dekat sini..” ulangku lagi.

   “ Ira tak boleh ke tangguh dulu? Ira kan baru sihat. Lagipun, abang tak dapat cuti lagi. Esok abang ada temu janji dengan pesakit abang. Ira tangguh dulu ye?” pintanya penuh harapan. Namun, aku geleng kecil.

   “ Ira nak balik, bang. Ira rindu kampung Ira. Abang siapkanlah kerja abang. Ira balik dengan Raiqal saja.” Aku nekad. Kali ini, kulihat Faridzul menghela nafas lemah. Dia bangkit perlahan-lahan.

   “ Kalau itu kata Ira, abang ikut saja. Sebab dosa abang yang lalu memang buat diri abang tak layak untuk halang Ira lagi. Ira baliklah.. abang izinkan.” Sekilas, dia tunduk mencium dahiku. Setitis air mataku gugur. Maafkan Ira.. desis hatiku. Dapat kulihat wajahnya yang penuh kecewa.

*************************

Petang itu aku dikejutkan dengan kehadiran Faridzul. Wajah lelaki itu jelas membahang bila melihat aku beriringan pulang bersama Raiqal ke teratak buruk kami. Tahulah aku bahawa Faridzul benar-benar marah dengan tindakanku yang mula melakukan rutinku yang dahulu. Seminggu di sini, seminggu jugalah aku menjaja kuih-muih Mak Hasnah. Aku rindukan pekerjaan aku itu. Raiqal aku tumpangkan di rumah Mak Hasnah sementara aku siap menjual.

“ Dah lama buat kerja tu?” Soalan pertamanya sebaik saja sampai di teratak burukku. Aku toleh sekejap. Gentar sedikit melihat renungan tajamnya.

   “ Semenjak Ira keluar dari rumah abang untuk pulang ke kampung.”

   “ Rumah abang?” Dia menyoal balik. Wajahnya jelas tidak puas hati.

   “ Rumah abang sebab Ira bukan isteri..” Aku mula mengungkit perkara lama.

  “ Cukup!! Berapa lama lagi Ira nak hukum abang? Cuba cakap, berapa lama lagi? Abang penat, Ira. Penat sangat-sangat.” Pintasnya lalu aku lihat dia atur langkah ke dalam bilik yang kebiasaanya digunakannya andai dia dan aku pulang ke kampung suatu ketika dulu. Raiqal yang sibuk bermain dengan permainannya menoleh. Wajah si kecil jelas tertanya-tanya. Aku hela nafas lemah.

   “ Raiqal, duduk sini elok-elok. Umi nak jenguk papa kejap..” tuturku pada Raiqal. Raiqal angguk akur. Kanak-kanak itu meskipun kecil, dia sangat pintar.

   Pelik dengan tingkahnya, aku mengekori langkah Faridzul. Di sebalik daun pintu yang terbuka.. aku tergamam. Ku lihat Faridzul menangis. Lantas, aku tolak daun pintu itu.

   “ Abang..” seruku lembut. Dia menoleh. Pantas dia menyapu sisa air matanya. Perasaan bersalah mula mengetuk pintu hati.

   “ Kenapa menangis?” soalku. Dia tenung wajah aku. Lama.

   “ Abang minta maaf.” Sebaris kata itu buat aku terdiam sejenak. Seketika, senyuman ku hulurkan. Aku tahu dia merasa bersalah kerana dia bagaikan mungkir dengan janjinya pada arwah along.

   “ Ira maafkan..”

   “ Begitu mudah?” soalnya. Dan aku angguk. Biarlah sampai di sini saja sengketa kami.

   “ Kenapa, sayang?” Kali ini, setelah tiga tahun berlalu perkataan keramat itu kudengar lagi. 

   “ Sebab kasih Ira pada abang tak terucap..” Aku membalas lembut. Tanganku angkat sedikit demi sedikit lalu kuusap pipinya. Lama, sebelum aku mula hendak keluar dari kamar itu. Namun, langkahku terpasak ke  lantai bila dia sudah menarikku rapat ke dalam pelukan. Aku terpempan. Namun, damai meresap ke dalam jiwa bila pelukan hangat itu membelit tubuhku.

   “ Abang cintakan Ira..” Demi mendengarkan ucapan itu, aku tolak tubuhnya. Aku menggeleng-geleng.

   “ Jangan seksa hati abang, Ira tak suka..” tegahku kembali keliru. Kali ini, dia terus menangis tanpa silu. Tangannya memegang kejap pergelangan tanganku. Aku bingung.

   “ Ira, abang cintakan Ira. Malah, kasih abang pada Ira pun tak mampu abang ucapkan dengan kata-kata. Demi Allah..”

   “ Jangan-jangan.. jangan bermain dengan nama DIA, bang..” Aku sudah mula cemas. Meskipun mahu menipu, tidak perlu sampai tahap ini. Aku bimbang terbuai.

   “ Ira, tolong dengar apa abang nak cakap. Boleh, sayang?” Suaranya sudah teresak. Melihat Faridzul menangis bagaikan anak kecil, hatiku jadi sayu. Lantas, kuseka air matanya.

   “ Ira tak tahu, Ira takut tertipu lagi..” sahut aku turut sebak.

   “ Abang cintakan Ira..” Tegasnya sekaligus membuatkan aku panggung wajah.

   “ Abang.. kenapa perlu berbohong? Kasih abang masih pada arwah along. Ira tak harapkan apa-apa. Ira dah baca diari abang dan Ira faham. Ira tak salahkan abang pun,” luahku perlahan. Sebak menghunjam diri.

   “ Abang mengaku salah abang, Ira. Tapi, itu semua cuma rentak hati abang yang tak yakin. Bila abang hilang Ira, hidup abang tak lengkap. Abang jadi takut kehilangan Ira seperti arwah Aina. Waktu tu abang sedar, abang benar-benar cintakan Ira. Lagipun, semua tu dah lama.. sayang. Hampir empat tahun.” Aku bagaikan tidak percaya. Namun, itulah yang aku dengar.   

   “ Kalau benar, abang tentu akan cari Ira dulu. Abang tentu takkan minta Raiqal pada Ira dulu. Abang kejam.” Aku mula mengadu. Kini aku sudah mula menangis teresak-esak. Faridzul terhenyak. Dia menongkah pandang anak mataku. Wajahku dibawa dekat sehingga dahi kami berlabuh satu sama lain.

   “ Abang minta maaf, sayang. Tapi, abang ambil masa untuk sedarkan diri abang. Abang nak yakinkan diri abang bahawa Ira memang dah berjaya ambil tempat di hati abang. Abang tak nak sebab hati abang yang tak yakin, abang akan lukakan Ira untuk kali kedua. Percayalah.. semenjak abang tengok Ira terkulai layu tiga tahun lepas, hati abang bagaikan koyak seribu. Abang sedar, abang memang cintakan Ira. Cuma, kenangan buat abang keliru dengan hati sendiri.” Dia merayu kepercayaanku. Aku buntu. Tangannya mula mengusap kedua-dua belah pipiku yang lencun.

   “ Semua ni terlalu mendadak, abang. Berikan Ira masa, abang..” pinta aku sudahnya. Dan aku nampak Faridzul mengeluh kecewa.

   “ Abang tak nak menunggu lagi, Ira. Tiga tahun abang cari jawapan, dan kini abang yakin hati abang untuk Ira. Tiada lagi nama Aina. Memang dia cinta pertama abang, tapi hakikat yang abang perlu terima.. Aina dah tak ada. Ira tolonglah jangan buat abang macam ni, sayang..” pujuk Faridzul terus. Aku hanya mampu menggeleng sebelum kaki kuatur keluar. Aku buntu dan aku tidak boleh membuat keputusan tika ini. Aku perlukan sedikit waktu. Maafkan Ira, abang..

***************

Aku bangkit dari lena bila terdengar pintu utama teratak buruk milikku dikuak perlahan. Seketika, dahiku berkerut. Jam di dinding ku pandang. Pukul 3.00 pagi. Lantas, aku simpulkan rambutku lalu aku menapak keluar.

   Aku intai sedikit ruang tamu. Tika ini, mataku terbuntang. Kulihat suamiku sedang menyarungkan kasut bersama sebuah beg kecil yang dia usung ke mari petang tadi. Pantas aku lajukan langkah ke ambang pintu.

   “ Abang nak ke mana?” soalku cemas. Faridzul menoleh. Dia senyum hambar.

   “ Abang nak balik Kuala Lumpur. Ira pun tak perlukan abang. Tolong jaga Raiqal. Abang takkan rampas dia daripada Ira lagi,” jawabnya sebak lalu dia mula melangkah turun. Aku perasan ada air mata pada wajah tampan itu. Aku mengekori. Selipar kusarung saja. Beg kecil di tangannya kurampas kuat.

   “ Takkan waktu sekarang? Pukul 3.00 pagi, bang. Esok kalau Raiqal tanya mana papa dia, Ira nak jawab apa?” soalku kurang percaya.

   “ Abang tak nak lama-lama dekat sini. Abang takut Ira terganggu dengan kehadiran abang. Lagipun, kehadiran abang tak diundang. Katakan saja pada Raiqal, papanya ada kerja. Tentu Raiqal faham sebab dia anak yang polos,” jawabnya mudah. Lantas, aku mula kecil hati. Begnya kuletakkan di atas bonet kereta. Aku menapak masuk ke dalam rumah. Kalau itu katanya, biarlah. Aku malas hendak berbalah. Mudah saja dia menuduhku.

   “ Ira..” Dia menyeru namaku. Suaranya resah. Aku pekakkan telinga. Baru saja aku ingin memberikan jawapanku esok hari. Tapi, dia pula membuat kerja gila. Menuduhku bukan-bukan. Ah, aku betul-betul sakit hati. Kalau boleh, hendak saja aku tunjal-tunjal kepalanya. Astahgfirullahalazim.. aku mengucap.

   “ Ira, abang panggil ni..” Dia melelar tanganku. Aku hanya statik. Tidak kupandang wajahnya.

   “ Kenapa ni?” pujuknya terus. Aku masih buat-buat tak dengar. Dia mula gelisah.

   “ Nak balik sangat kan, pergilah Abang memang tak perlukan kami pun..” selaku perlahan. Kedengaran bagaikan menghalau. Tapi, sebenarnya bukan itu niat aku.

   “ Ira halau abang?” soalnya lirih. Aku ketap gigi. Lagi dia hendak menduga aku!

   “ Tadi abang juga tuduh Ira macam-macam..” Aku membentak. Lalu, kurasakan tanganku dilepas lembut. Aku cemas. Dia benar-benar berjauh hatikah. Langkah kakinya ke pintu ku pandang dengan rasa serba-salah.

   “ Abang..” panggilku. Dia menoleh dengan wajah sedih.

   “ Abang nak balik ke? Janganlah.. Ira minta maaf. Ira tak ada maksud nak halau abang.” Aku sudah mula hendak menangis. Kulihat dia selamba saja. Kelibatnya sudah menghilang. Kali ini, air mataku tumpah. Inilah padahnya kalau jual mahal.. marahku sendiri. Seketika, aku tersentak. Pintu yang ditutup membawa pandanganku ke situ. Eh??

   “ Jomlah abang temankan Ira dan Raiqal tidur..” ucapnya selamba. Kini, tahulah aku dia hanya keluar untuk mengambil begnya kembali. Lantas, dengan perasaan geram aku hentakkan kaki ke lantai. Aku lihat dia tergamam.

   Faridzul mendekat padaku. Tangannya tiba-tiba mencapai tanganku. Aku pegun.

   “ Ira nak tahu tak.. dulu hati abang terseksa kalau dengan Ira. Nak tahu kenapa dan bila?” soalnya polos. Aku diam membisu. Tiba-tiba saja topik kami melencong. Ah, gasak ajelah.

   “ Tiap kali abang pandang mata ni..” Faridzul mengucup kedua-dua belah mataku. Aku terkelu.

   “ Tiap kali abang pandang mata Ira, abang ingat pada Aina. Mata nilah yang sering abang puji padanya dulu. Sebab tu, abang jadi tak yakin sama ada abang layan Ira hanya kerana sebahagian daripada diri Aina ada pada Ira ataupun sebab abang ikhlas kerana Ira adalah Ira. Tapi, bila abang nampak Ira hentak kaki untuk pertama kalinya tadi.. abang mula nampak diri Ira. Bukan Aina meskipun itu adalah tabiat arwah yang mencuit hati abang.”

   Fikiranku mula menerawang pada kenangan lalu. Kenangan di mana Faridzul yang galak mengusik arwah along sehinggakan arwah along menghentakkan kakinya geram. Tentu comel wajah arwah along tika itu.

   “ Abang tahu sukar Ira nak percayakan abang. Tapi, itulah hakikatnya. Abang dah lama tak nampak bayangan Aina pada diri Ira. Malah, anak mata ni abang dah berani tatap lama. Kalau dulu, abang tak pernah kuat untuk tatap pandangan Ira sebab abang bimbangkan rentak hati abang.” Sambungnya lagi. Jadi, kini aku baru faham kenapa Faridzul seringkali melarikan anak matanya pabila berhadapan denganku.

   “ Abang sayangkan diri Ira kerana Ira adalah Qaseh Zahira, isteri yang abang nikahi. Bukan kerana Qaseh Zuraina.. kekasih pertama abang. Memang dia yang singgah di hati abang mendahului Ira, tapi percayalah Ira saja akan jadi yang terakhir. Abang sayangkan Ira. Abang sayangkan anak kita..” Dia kucup lagi pipiku. Lama. Aku pejam mata. Sebak mengetuk ruang hati. Kata-katanya menyentuh sudut hatiku.

   “ Tapi, abang nak Ira tahu.. abang bukan setakat sayangkan Ira dan Raiqal. Malah, kasih abang pada Ira dan anak kita takkan pernah terucap hanya dengan bicara. Andai saja nyawa abang menjadi galang ganti, abang sanggup sebab hati abang sepenuhnya milik Qaseh Zahira..” ucap Faridzul telus bersama lelehan air mata. Dahiku dia kucup sekilas pula. hampir segenap wajahku menerima kucupan kudus miliknya. Kali ini, aku tak menghalang. Aku hanya biarkan. Ingin ku dengar luahan hatinya sehingga aku menemui jawapan yang pasti.

   “ Ira masih tak percaya, bukan? Tak apa, abang faham perasaan Ira. Jangan paksa hati Ira untuk percayakan kata-kata abang. Dah lewat ni, Ira perlu tidur. Abang janji, esok pagi-pagi abang akan pergi dari sini. Izinkan abang bersama dengan Ira dan Raiqal untuk kali terakhir, sayang..” bicara Faridzul lalu dia menyapu sisa air matanya. Dia yang baru hendak melangkah ku tarik lengannya.

   “ Ira percayakan abang..” Sebaris jawapanku membuatkan Faridzul spontan berpaling. Wajahnya bagaikan terkejut dengan bicaraku.

   “ Ira percayakan abang sebab Ira yakin hanya Qaseh Zahira di hati abang. Tapi, Ira takkan halang andai nama Qaseh Zuraina tetap singgah di hati abang kerana arwah along memang layak untuk dikenang. Dia terlalu sempurna untuk Ira.” Tekanku. Dan kali ini dia mendekat padaku. Lantas, sekelip mata aku sudah lemas dalam dakapannya. Aku tersenyum. Berkali-kali ubunku menerima kucupan dari si suami. Aku yakin kini. Luahan hatinya membukakan pintu hatiku untuk menerima kembali lelaki bernama Faridzul Qaiser.

   “ Ya Allah, betul ke Ira? Betul ke Ira yang bercakap dengan abang sekarang?” Faridzul bagaikan tidak percaya. Aku angguk sekali bersama senyuman yang bergayutan di bibir.

   “ Ira dah buat keputusan. Ira akan terima abang. Lagipun, Ira tak ada sesiapa lagi selain abang dan anak kita. Ira nak anak kita rasa kasih sayang yang lengkap. Ira nak abang untuk jadi papa kepada Raiqal sampai bila-bila..” Senduku menutur kata.

   “ Abang minta maaf, sayang. Dulu abang tak hargai Ira.. maafkan abang.” Faridzul masih dihujani rasa bersalah. Tangannya kugenggam.

   “ Ira dah lama maafkan abang. Ira tahu soal hati tak boleh dipaksa. Tapi, mendengar luahan hati abang.. Ira bersyukur. Ira dah yakin yang abang benar-benar sayangkan Ira.”  Faridzul senyum lebar. Wajahnya benar-benar menampakkan kelegaan.

    “ Terima kasih sebab sudi beri abang peluang kedua. Abang janji takkan abaikan Ira lagi. Ketahuilah sayang, kasih abang tak terucap pada Ira. Takkan pernah bisa terucap hanya dengan kata-kata..” Sekali lagi suaranya menujah gegendang telingaku. Aku pegang pipinya. Lama.

   “ Kasih abang Ira terima dan kasih Ira pada abang juga sama. Takkan pernah bisa terucap seperti mana kasih arwah along pada Ira..” balasku lagi. Saat ini, hanya kebahagiaan yang aku rasakan. Sungguh, aku rindukan kasih arwah along. Tapi, dengan adanya kasih Faridzul Qaiser.. aku bagaikan bisa merasai kehadiran seseorang yang amat menyayangiku. Seperti mana arwah along mengasihiku. Terima kasih along.. terima kasih.. ucapku sendu. Dalam hati, kutitipkan doa agar arwah along ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin..

   “ Umi.. nak susu..” Baru aku hendak melayan perasaan, putera kesayanganku muncul dengan bantal busuknya dan botol susu di tangan. Aku dan Faridzul spontan menoleh. Wajah kecil dengan mata separuh terbuka membuatkan aku hampir meledakkan tawa. Raiqal yang manja.. kalau dulu, hanya pada papanya dia meminta. Namun, semenjak dia mempunyai aku dalam hidupnya.. hanya umi-umi dan seterusnya umi. Kadang-kala aku tahu Faridzul rasa tersisih dengan puteranya itu. Kasihan..

   “ Kejap, sayang..” ujarku. Lalu Raiqal angguk sebelum menghampiri kami.

   “ Papa, dukung..” pinta kanak-kanak kecil itu. Faridzul terkejut. Eh, nak pulak Raiqal didukung papanya ye? Lantas, suamiku turutkan jua permintaan kecil itu.

   “ Anak umi..” usikku mencuit pipinya. Dia senyum dalam mata yang masih layu.

   “ Pa.. nak tidur dengan papa dan umi. Raiqal kat tengah-tengah ye?” Raiqal sudah bercakap putus-putusKepalanya direbahkan pada bahu Faridzul. Mendengarkan permintaan Raiqal, aku dan Faridzul saling berpandangan.

   “ Tidur dengan abang, sayang..” Kali ini si suami galak mengusikku pula sekaligus membuatkan wajahku pantas berona merah. Sudah lama aku dan dia berpisah peraduan. Kini, debar itu mulai kembali. Bagaikan ketika awal perkahwinan kami dahulu.

   “ Ira buatkan Raiqal susu..” Aku mengelak. Aku tahu dia sengaja hendak mengusik aku. Terdengar gelak halus dari bibirnya. Raiqal sudah terlena pada bahu sasa papanya.

   “ Jangan lupa, masuk bilik abang..” laungnya. Dan dari jauh, kulihat dia kenyit mata sebelum tubuhnya dan Raiqal menghilang. Aku senyum. Senyum selebar-lebarnya. Dalam harapan, aku mendoakan kasih aku padanya akan semakin mekar dan aku turut mengharapkan perkara yang sama darinya. Abang.. kasih kita takkan bisa terucap dengan kata-kata. Ira cintakan abang, sayangkan abang dan kasihkan abang.. detik hatiku bahagia. Mulai saat ini, bermulalah lembaran baru dalam hidup Qaseh Zahira.

Tamat!

15 comments:

  1. Sedih cerita ni....best...

    ReplyDelete
  2. best alu jak,,sweet,,^^

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. terima kasih.. trus sokong hana.. :)

      Delete
  4. Yay, Akhirnya tiada lg tangisan sedih buat Ira hanya kegembiraan!!!

    ReplyDelete
  5. ya allah bestnya cerpen nih
    akak hana mmg berbakat ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah kalau sis suka. terima kasih.. :)

      Delete
  6. Pergghh! Gitu...karya akak xpernah mengecewakan..cuma nk thu apa jd dengan duit yg faridzul qaiser kirim kat qaseh zahira?kenapa ira mcm xthu apa2 pasal duit tu?

    ReplyDelete
  7. Best sangat lh story akak nih...good job:-)

    ReplyDelete