PeNgiKuT sEtiA..

Thursday, August 15, 2013

Kasih Tak Terucap (Cerpen)

Part 2


Aku melangkah longlai menuju ke tanah perkuburan. Sudah ku pasangkan tekad agar tiada air mata yang mengiringi pemergian along. Kata-kata Mak Hasnah jelas terpahat. Tidak elok seseorang menangisi orang yang dah meninggal. Tidak tenang rohnya. Apatah lagi, andai air mata itu menitis di atas jenazah. Maka, aku tidak ingin keadaan itu berlaku pada arwah along. Nafas ku tarik berkali-kali. Cuba menguatkan diri.

   Kaki ku atur beberapa tapak sebelum langkahku mati di hadapan kelompok orang kampung. Dari sudut belakang, jelas aku dapat melihat satu susuk tubuh yang sedang menunduk di sisi keranda. Entah kenapa, melihat susuk itu dari belakang.. jantungku berdebar dengan sendiri. Malas ikutkan hati, aku mendekat pada Mak Hasnah.

   “ Ira kuat ye?” Mak Hasnah masih memupuk kata-kata semangat buat aku. Dalam hambar, aku ukirkan senyuman. Mengurangkan gusar di hati tua itu. Bahu Mak Hasnah aku peluk erat. Sedikit kasih aku dambakan pada wajah tua itu. Hanya Mak Hasnah yang aku ada kini. Along yang sering menjaga aku sudah pun jauh meninggalkan aku. Aku sedih, aku hiba. Tapi, satu hakikat perlu aku tahu. Sesedih mana pun aku, along tetap takkan kembali. Jadi, aku perlu kuat dan sentiasa ingat pada along. Sedekahkan mana-mana yang patut agar along tidak kehausan di sana. InsyaAllah.. aku memasang niat.

   “ Far.. pegang elok-elok.. kita nak turunkan jenazah ni.” Suara salah seorang orang kampung di situ menyentakkan aku. Aku mula berkalih. Nama itu menarik perhatianku. Far.. Faridzul Qaiser atau aku panggilnya sebagai Abang Far. Sehingga ke hari ini aku tidak menatap seraut wajah itu. Kenapa Abang Far bagaikan mengelak? Ah, aku buntu. Aku cuba mengintai. Namun, beberapa susuk tubuh yang berdiri di belakang Faridzul menghalang pandanganku. Lalu, aku hanya biarkan saja.

   “ Far nampak sangat kehilangan..” Suara Mak Hasnah membawa aku menoleh padanya. Aku memandang lama wajah Mak Hasnah.

   “ Dia pernah suarakan pada Mak Hasnah, dia nak lamar Aina. Tapi, tak sempat bila hayat along kamu tak panjang. Kasihan Far.. sebab tu dia nak bawa diri..” Zap.. bagaikan hati aku direntap pergi tatkala mendengar omongan Mak Hasnah. Bukan aku dengkikan along. Tapi, kenyataan bahawa Faridzul akan pergi bagaikan membuatkan aku merasai satu lagi kehilangan. Sungguh, hati aku pedih dengan sendiri.

    Namun, untuk bertanya.. bukan ini masanya. Saat ini, aku ingin menyaksikan jenazah along disemadikan. Mengingati along, tanganku menggigil. Aku sebak. Mata kupejamkan. Menghalang air mata yang berlumba-lumba mahu mengalir. Kuat Zahira, kau kena kuat.. aku membisik kata-kata semangat.

***************

Kaki yang melangkah bagaikan terasa lembik saja. Aku rasakan tubuh ini semakin lesu. Perlahan-lahan aku melorot jatuh. Terduduk di tepi jalan tar. Mak Hasnah yang beriringan denganku menjerit kecil. Ya Allah, kenapa baru kini aku rasakan diri ini rapuh? Along.. Ira rindu. Mak, ayah.. jaga along untuk Ira. Jaga along.. sendu aku sehinggakan pandanganku menjadi kelam dek sisa air mata.

    Jeritan Mak Hasnah sudah aku tidak pedulikan. Lutut kutarik rapat lalu kepalaku sembamkan pada keduanya. Baju kurung kain kapas yang sudah comot dengan tanah merah tidak menjadi masalahku. Aku hanya ingin membuang kepedihan ini. Sungguh, rasa ini terlalu perit. Along, kenapa tak bawa Ira sekali? Ira nak ikut, long.. ngongoi aku di dalam hati. Semakin menderu air mata menuruni lekuk pipiku.

   “ Kenapa, mak usu?” Suara seseorang yang menyapa jelas kedengaran. Namun, untuk mengangkat wajah bukan keinginan aku di saat ini. Aku perlukan seseorang. Aku rapuh hendak berdiri. Bayangan along ada di mana-mana.

   “ Ira ni, Far.. lemah semacam. Mak usu risau. Ira.. bangun, nak. Jangan macam ni..” pujuk Mak Hasnah lalu bahuku diramas lembut. Tanpa kata, aku sembamkan wajah pada tubuh yang hampir denganku itu. Erat aku memeluk tubuh itu.

   “ Ira rindukan along, Mak Hasnah. Ira nk ikut along. Mak Hasnah, Ira tak kuat.” Aku mula mengadu manja. Teresak-esak aku di situ bersama pelukan yang masih tidak kulepaskan. Namun, melihat tiada balasan daripada Mak Hasnah, aku jarakkan tubuh. Aku mencari wajah Mak Hasnah.

   Dan saat ini, jantungku berdegup tanpa tempo yang sekata. Bukan susuk Mak Hasnah yang aku dakap. Tapi.. seorang lelaki yang aku tak kenal. Siapa dia? Subhanallah.. indah sungguh ciptaanMu. Aku kagum dengan wajah lelaki di hadapanku. Wajah yang jelas berdarah campuran Arab itu membuatkan aku terkelu sendiri.

   “ Bangunlah, tak elok macam ni..” Lembut suara itu memujuk membuatkan air mataku semakin murah saja. Suaranya seperti biasa ku dengar.

   “ Far.. tolong bangunkan Ira. Dia lemah tu.” Kali ini, arah pandanganku terarah pada Mak Hasnah. Mak Hasnah angguk perlahan.

   “ Inilah Abang Far kamu..” jelas Mak Hasnah memahami. Lantas, anak mataku menongkah pandangan sayu mata berwarna coklat itu. Namun, warna coklatnya tidak terlalu ketara. Sedikit kehitaman juga andai diamati lama. Faridzul bagaikan melarikan anak matanya.

   “ Maafkan abang sebab waktu Ira dah boleh melihat, abang tak ada di situ.” Lelaki itu bersuara lagi. Aku masih lagi pegun. Seketika, tubuhku sudah ditarik lembut untuk bangun. Aku hanya menuruti kerana hati aku masih lagi keliru.

   “ Abang jalan dulu, kuatkan semangat. Elok-elok.. Assalamualaikum..” Faridzul sudah melangkah. Membiarkan aku bersama Mak Hasnah. Sempat dia dorongkan tubuh aku pada Mak Hasnah. Aku faham, dia menyuruh Mak Hasnah membantu aku untuk menapak. Sedikit terharu aku dengan kesudiannya untuk mengambil berat meskipun kelakuannya agak dingin.

*******************

Sudah hampir lima hari aku mengambil alih tugas along untuk menjual kuih-muih Mak Hasnah. Dalam keadaan tubuhku yang lemah, aku perlu juga teruskan kudrat ini kerana inilah sumber rezekiku. Malah, aku senang melakukan kerja ini. Bagaikan setiap langkahku ditemani arwah along. Ah, aku masih rindukan along. Hatiku membisik.

   Bekas kuih-muih yang paginya penuh kuintai sedikit. Alhamdulillah.. hampir habis jualan hari ini. Aku mengucap syukur pada Allah S.W.T. Duduk aku labuhkan apda anak tangga rumah Mak Hasnah. Ingin memberikan wang jualan kepada wanita tua itu. Lagipun, tubuh yang lesu membuatkan aku ingin merehatkan badan seketika.

   “ Ira?” Suara Mak Hasnah kedengaran dari anak tangga teratas. Aku mendongak. Peluh yang merenik aku lap perlahan. Wajah kuukir senyum mesra.

   “ Mak Hasnah, Ira nak bagi duit jualan ni..” Terus aku seluk poket seluar jeans lusuh aku lalu duit itu aku hulurkan pada Mak Hasnah. Hidungku sudah mula tersumbat. Aku yakin panas di badan sudah mula membahang. Tekakku perit. Mak Hasnah duduk. Dia meraba dahi aku. Aku terkejut. Masakan Mak Hasnah tahu aku sakit. Detik hati aku.

   “ Ya Allah, patutlah pagi tadi Mak Hasnah tengok muka kamu pucat. Kamu demam ni, Ira. Mari naik, Mak Hasnah letak kain basah dekat kepala kamu tu. Panas sangat..” Kalut orang tua itu. Aku tarik senyum hambar lalu menggeleng.

   “ Ira rehat dekat rumah aje..” tolakku perlahan. Mak Hasnah mendengus.

   “ Siapa nak jaga kamu dekat rumah tu, Ira??” soal Mak Hasnah tidak berpuas hati. Aku senyum lebar.

   “ Along..” jawab aku tanpa berfikir panjang. Langsung lupa insan yang aku sebut sudah hampir seminggu bersemadi. Mak Hasnah tersentak. Menyedari perubahan wajah itu, senyumanku mengendur. Aku lupa lagi. Air mata mula hendak menitis. Dulu, andai aku sakit demam.. alonglah yang bersusah-payah merawat aku. Kini.. pada siapa lagi aku perlu bergantung harap?

   “ Ira.. mari naik. Biar Mak Hasnah jaga kamu. Kalau dah sembuh, kamu baliklah..” Mak Hasnah sengaja melarikan aku daripada diburu kesedihan. Aku geleng lagi.

   “ Tak apa..” Bunyi hon kedengaran dari laman rumah Mak Hasnah. Aku dan Mak Hasnah spontan menoleh. Sebuah kereta Nissan Sentra berwarna hitam menjalar masuk. Menyedari Mak Hasnah mungkin ada tetamu, aku mula hendak beransur.

   “ Mak Hasnah, Ira balik dululah. Mak Hasnah nampaknya ada tetamu tu..” Aku mula meminta diri. Namun, sebaik saja aku hendak berpaling.. kakiku pegun. Wajah Faridzul menyapa ruangan mata. Dia memandang aku. Namun, tidak lama bila pandangannya dijatuhkan menunduk.

   “ Far dari mana ni?” soal Mak Hasnah. Faridzul mendongak bersama senyum di bibir.

   “ Far dari klinik Far.” Klinik? Oh, tahulah aku Faridzul rupa-rupanya mempunyai kliniknya sendiri. Aku sedikit kagum pada lelaki itu.

   “ Ira balik dulu Abang Far, Mak Hasnah..” Aku meminta diri untuk kesekian kalinya bila mana diri aku bagaikan tidak wujud di situ. Faridzul angguk sekali. Aku senyum.

   “ Betul ke Ira nak balik?” soal Mak Hasnah. Aku angguk yakin. Kali ini, Mak Hasnah terpaksa mengalah dengan kedegilanku. Sebelum pulang, sempat Mak Hasnah titipkan upah menjual pada aku. Rasa syukur aku panjatkan. Inilah rezekiku.. Alhamdulillah.

**************

Demam aku semakin teruk. Rasa pening bergayutan di kepala. Bunyi hon yang bertalu-talu dari luar memaksa jua aku menggagahkan diri untuk keluar. Aku menguak daun pintu. Di situ, jelas sesusuk tubuh yang bersandar malas pada bonet kereta. Faridzul! Kenapa dia ke sini? Aku menyoal sendiri. Suis lampu anjung aku petik menjadikan halaman rumahku terang-benderang. Kali ini, jelas susuk tubuh Faridzul yang santai dengan jeans hitam dan t-shirt sedang memandangku tajam. Aku terkelu.

   “ Abang Far..” Aku tidak tahu hendak berkata apa. Dia bangkit dari bersandar.

   “ Kemaskan baju Ira, boleh?” Lembut dia menyoal. Aku kerut kening.

   “ Kenapa?” soal aku pelik. Dia hela nafas lembut.

   “ Tidur rumah Mak Hasnah. Tapi, sebelum tu abang hantar Ira ke klinik. Masuk dalam, kemas baju dulu..” arahnya. Aku terdiam. Demi memikirkan rasa sakit yang bergayutan, aku hanya angguk. Namun, baru separuh jalan aku kembali menoleh. Wajahku serba-salah.

   “ Kenapa?” Dia soal aku lembut. Aku mula rasa teragak-agak hendak menyatakan. Lambat-lambat aku buka mulut.

   “ Ira tak ada duit nak ke klinik. Kita ke hospital ajelah..” saranku. Memang aku tidak mampu. Duit hasil upah jualan hanya mampu menampung kehidupan seharianku sahaja. Terdetik juga untuk aku mencari pekerjaan di luar sana. Tapi, aku tidak mempunyai sebarang kelulusan. Dia nampak terkejut dengan kata-kataku.

   “ Pasal tu, jangan risau. Abang ada.. masuk kemas dulu apa yang patut..” Sekali lagi dia memberi arahan. Akhirnya, aku akur saja.

Berada di dalam kereta yang sama dengan Faridzul membuatkan aku resah sendiri. Tangan kuramas satu sama lain. Gementar dan debar bercantum satu. Tanpa sedar, tingkahku itu menarik perhatiannya.

   “ Kenapa nampak tak selesa? Sejuk? Nak abang rendahkan suhu aircond?” soalnya lagi. Prihatin. Aku menoleh. Lantas, menggeleng. Bukan itu menjadi masalahku yang sebenar. Tapi, dirinya. Aura dirinya yang buat aku tidak keruan. Melihat gelengan aku, Faridzul kembali memfokuskan pada pemanduan. Sunyi sepi tanpa perbualan. Kekok dengan situasi itu, aku mencari topik.

   “ Abang Far..” seru aku lembut. Tudung yang senget, aku betulkan sedikit. Dia tidak menoleh, tapi aku mendengar dia menyahut panggilanku.

   Hmm..”

   “ Boleh Ira tanya sesuatu?” soal aku lagi. Penuh berhati-hati. Bimbang pula dicop menyibuk.

   “ Apa yang Ira nak tahu?” Dia menyoal aku balik. Aku diam sebentar. Menyusun ayat.

   “ Betul ke abang nak pergi?” Soalanku membuatkan dia terdiam lama. Lambat-lambat dia mengangguk tenang. Dan melihat anggukannya, hati aku retak seribu. Lantas, aku biarkan keadaan kami sunyi sehingga aku dan Faridzul sampai ke destinasi.

*****************

Hampir seminggu aku tidak bertemu pandang dengan wajah tampan Faridzul Qaiser semenjak aku pulih dari demam. Sedikit sebanyak rasa rindu datang mengetuk. Aku cuba usir rasa asing ini, tapi ianya tetap hendak menumpang singgah. Lantas, aku buntu hendak berbuat apa.

   Kaki aku seakan-akan mendesak untuk aku menapak ke rumah Mak Hasnah. Sebelum pulang ke rumah selepas menjual kuih tadi, aku sempat bertembung dengan kereta Faridzul di simpang jalan. Yakinlah aku dia sedang menuju ke rumah Mak Hasnah. Barangkali dia tidak perasankan kehadiran aku di situ agaknya.

   Aku duduk mengambil tempat di anjung rumah. Bibir melorek senyum. Di sinilah kenangan aku, arwah along dan Faridzul suatu ketika dulu. Kenangan di mana Faridzul galak mengusik arwah along sehingga arwah langsung geram lalu mahu mengugut untuk menyimbah kopi. Ah, along hanya bergurau. Masakan along tegar membuat seperti itu. Along penuh dengan sifat lemah-lembutnya. Rindu pada along menggamit tiba-tiba.

   “ Menangis lagi?” soal satu suara. Aku tersentak. Tangan naik melurut jantung. Hampir aku kojol di situ tadi. Melihat wajah tampan Faridzul yang tidak beriak, aku menjadi geram.

   “ Terkejutlah..” marah aku lalu air mata kusapu bersih. Dia masih statik dengan wajah kayu.

   “ Jom..” ajaknya. Aku terpinga-pinga. Jom? Ke mana? Seketika, aku pelik. Masakan aku tidak sedar kalau keretanya menjalar masuk. Aku melilau. Kosong. Dia datang dengan apa?

   “ Abang datang guna kaki..” lawaknya. Tapi, yang pelik wajahnya bukan hendak menunjuk lawak. Tapi, wajahnya bagaikan minta kaki daripada aku. Eh, aku pantas beristighfar. Apa yang aku melalut ni.

   “ Oh, patutlah. Ira tak faham. Abang Far nak ajak Ira ke mana?” soal aku padanya pula.

   “ Ke rumah Mak Hasnah. Ada makan-makan sikit..”

   “ Untuk apa?” Aku pelik. Mulut masih menyoal lagi. Faridzul senyum hambar.

   “ Ira lupa ke esok abang dah nak berangkat ke Jerman?” soalnya. Kali ini, aku terus terdiam. Perlahan-lahan hatiku bagaikan menyanyi sendu. Aku bingkas bangun.

   “ Tunggu kejap, Ira salin baju,” tuturku lalu tudung yang ditiup angin aku selimpangkan ke bahu. Langkahku mula gontai. Abang Far dah nak pergi.. bisik hatiku lirih.

**********************

“ Ira, boleh abang cakap dengan Ira kejap?” Suara Faridzul membawa aku menoleh ke sisi. Dia.. segak dengan baju melayu berwarna coklat. Menyerlahkan lagi ketampanannya itu. Aku angguk kecil.

   “ Kejap aje tau sebab nanti Ira nak balik rumah. Dah lewat, kalau lewat sangat Ira tak berani jalan sorang-sorang. Hujung kampung sana gelap.” Aku memperjelaskan. Faridzul diam tanpa menjawab. Dia hanya mengambil tempat di sisi aku.

   “ Ira ada apa-apa nak cakap pada abang sebelum abang pergi?” soalnya membuatkan aku kelu sendiri. Eh, macam terbalik aje. Bukan ke dia yang ada sesuatu nak diutarakan apda aku? Kenapa soalannya terbalik pula?

   “ Kenapa abang soal macam tu?” Aku buat muka tak faham. Dia mendongak memandang dada langit.

   “ Cantiknya bulan..” pujinya membuatkan aku turut memandang ke atas sana. Ya, seperti kata Faridzul, bulan yang penuh itu memang nampak cantik. Aku tersenyum dalam kesedihan. Kalau bukan kerana pengorbanan along, aku takkan bisa melihat keindahan ini. Terima kasih, long.. aku berbisik kecil.

   Aku masih mengamati keindahan ciptaan Tuhan. Lama, sehingga aku rasakan diri ini bagaikan diperhati. Cepat-cepat aku menoleh. Serentak Faridzul pula bagaikan melarikan pandangan. Aku diam. Kenapa perwatakannya berbeza?

   “ Abang Far nak cakap apa tadi?” soal aku kemudiannya. Faridzul tetap membisu. Aku mula rasa panas punggung. Kalau tak nak cakap apa-apa, aku nak balik. Malam pun semalin larut. Lalu, aku mula angkat punggung. Hendak pulang!

   “ Ira balik dululah. Kalau abang nak cakap apa-apa, esok sebelum abang pergi.. abang suruh Mak Hasnah sampaikan. Assalamualaikum..” Aku mula hendak berlalu.

   “ Ira tak sedih??” Soalannya tiba-tiba mematikan langkahku. Aku terpasak ke bumi. Nafas kutarik perlahan-lahan.

   “ Abang nak Ira sedih ke tidak?” soalku bermain kata. Dia angguk.

   “ Abang nak Ira sedih sebab kalau Ira sedih bermakna Ira tak nak berpisah dengan abang..” Kali ini kata-katanya mengundang debar di hati aku. Aku gamam. Aku lihat dia sudah mula berjalan merapatiku.

   “ Ira.. abang nak cakap sesuatu dengan Ira..” luahnya lembut. Kali ini, aku rasakan dirinya berbeza sama sekali.

   “ Abang nak lamar Ira, boleh?” Biji mataku melotot hebat. Tidak bermimpikah aku? Tak mungkin. Tak mungkin suara itu milik Faridzul.

   “ Abang Far bergurau ke?” soal aku dengan gelak tipis. Cuba menutup debar.

   “ Tak, abang tak bergurau.. Ira. Abang nak jaga Ira. Dan andai kata Ira setuju, abang takkan pergi esok. Abang akan batalkan semuanya. Abang nak Ira jadi isteri abang. Abang sukakan Ira..” Faridzul menambah lagi membuatkan aku langsung mati kata. Tidak pernah aku berdepan dengan situasi begini. Jadi, apa reaksi yang harus ku tonjolkan?? Sesungguhnya aku bingung dan buntu.

**************************

Sebulan berlalu..

Mata kupejamkan berkali-kali. Wajah si suami yang lena ku tatapi. Sudah seminggu aku dan Faridzul diijabkabulkan. Ternyata menjadi isteri Faridzul benar-benar membahagiakan aku. Aku rasa lengkap. Sekurang-kurangnya aku ada seorang suami untuk menumpang kasih. Penerimaan keluarga Faridzul pada aku juga tidak langsung aku jangkakan. Yelah.. masakan enggang bisa sama-sama bergandingan dengan pipit. Rambut Faridzul aku usap sayang.

   “ Sayang..” Ternyata usapanku telah mengejutkannya. Aku tersenyum.

   “ Maaf, Ira dah kejutkan abang..” Aku memohon maaf. Sedar salahku. Walhal, aku tahu si suami harus lena awal kerana esok dia perlu menghadiri satu temu janji dengan seorang pesakit. Faridzul tarik kepalaku lalu diletakkan di atas lengannya. Aku senyum. Faridzul benar-benar murah dengan kasih sayang.

   “ Kenapa tak tidur lagi ni?” soal dia lembut. Aku usap manja lengannya. Seketika, aku dapat rasakan ubun-ubunku turut mendapat usapan hangat milik tangan kekarnya.

   “ Ira tak mengantuk. Ira tak boleh tidur, abang tidurlah dulu. Esok abang nak kerja kan? Ira ni apalah sangat boleh tolong abang.. setakat jagakan makan minum abang aje.” Aku merendah diri. Faridzul senyum segaris.

   “ Janganlah cakap macam tu, sayang. Abang tak kisah. Itu pun dah cukup buat abang,” ucapnya lalu dia mula menguap kecil. Aku tersenyum. Tahulah aku si suami masih diburu rasa kantuk.

   “ Ira, abang tidur dulu eh? Mengantuklah..” adu Faridzul serak. Aku hanya angguk. Namun, sempat si suami hadiahkan ciuman kasih pada ubun-ubunku.

   “ Abang tidur dulu. Abang sayang Aina..” Zap! Dadaku bagaikan direntap kejam. Aina? Qaseh Zuraina? Seketika, dadaku mula sempit. Ku toleh ke sisi, Faridzul sudah mula lena. Dan tanpa diundang, air mataku mengalir. Along.. maafkan Ira. Ira lupa kedudukan Ira.. maafkan Ira, along. Akhirnya hanya pada insan yang tiada itu kuluahkan rasa pilu.

*****************

Semakin hari hubungan aku dan Faridzul bagaikan jauh. Aku termenung di sudut katil. Merenung susuk tubuh yang sedang sibuk mencoret sesuatu pada diari berwarna coklat. Diari yang saban hari ditatap oleh si suami sebelum lena. Perlahan-lahan aku bangkit. Senyum aku ukirkan.

   “ Abang buat apa tu?” Tanganku mula melingkar pada bahu si suami. Terkejut. Tanganku ditolak kembali. Faridzul bingkas bersama diari yang ditutup kasar. Wajahnya membahang.

   “ Ira ni kenapa terkejutkan abang, hah?” jerkah dia kuat. Aku tersentak. Terhinjut bahuku seketika. Air mata mula hendak tumpah. Tapi, kutahan kejap.

   “ A.. abang.. kenapa ni?” soal aku sebak. Tangannya cuba kugapai. Namun, Faridzul menepis kasar. Semakin remuk hatiku kala ini.

   “ Ira tu yang kenapa? Lain kali jangan nak sergah-sergah macam tu. Nak abang mati cepat ke apa?” bentaknya berang lalu dia mula hendak menapak pergi. Aku tidak memberi peluang. Dek rasa rindu yang menggebu-gebu. Aku peluk kejap tubuh itu dari belakang. Wajah kusembamkan pada belakang tubuh sasa itu. Faridzul bagaikan gamam.

   “ Ira rindu abang. Kenapa abang macam nak jarakkan diri? Apa salah Ira? Kalau ada, bagitahulah supaya Ira boleh perbetulkan..” pujuk aku lembut. Namun, hanya rentapan kasar yang aku terima. Faridzul menoleh.

   “ Memang Ira salah, sebab wujudnya Ira.. abang terpaksa buat keputusan yang langsung abang tak jangka. Dek kerana janji abang pada Aina. Kenapa bukan Ira saja yang mati? Kenapa perlu Aina?” Kali ini, Faridzul sudah mula menangis. Ya Allah.. aku tersentak kuat. Kata-kata kejam itu menghiris hati aku. Kenapa suami aku berkata begitu?

   “ Abang.. abang cakap apa ni?” soal aku panik. Faridzul yang masih menangis aku tatap hiba. Ingin sekali aku sapu air matanya meskipun air mataku sendiri masih mahu mengalir terus.

   “ Abang terpaksa kahwin dengan Ira. Kalau Ira nak tahu, abang terseksa berpura-pura sayangkan Ira. Walhal, hati abang masih pada arwah Aina. Abang dah tak kuat nak berlakon, hati abang yang sakit. Ira faham tak? Sedangkan Ira nampak gembira saja. Ira suka kan Aina mati? Entah-entah sejak dulu Ira memang sukakan abang? Ira-Ira.. kalau bukan sebab Aina.. Ira masih lagi gadis buta yang daif!” hina Faridzul terus.

   Kali ini, lututku bagaikan menggeletar. Aku mencari pohon kekuatan. Mata kupejamkan rapat. Seketika, ada sesuatu melayang pada wajahku. Spontan aku tunduk. Kertas putih yang berlipat itu aku pandang. Aku tunduk mengutipnya.

   “ Bacalah dan Ira akan faham betapa seksanya abang selama menjadi suami Ira..” dengus Faridzul lalu berlalu keluar. Kali ini, berderailah sekeping hatiku. Tidak kusangka malam ini membawa seribu duka. Lantas, aku buka lipatan kertas itu. Ku bawa diri ini ke birai katil. Meski hati tercarik luka, aku gagahi jua kerana sejak kecil diri ini diasuh untuk tabah dan kuat. Coretan di kertas itu kubaca dengan payah kerana aku masih lagi belum mahir untuk membaca dan menulis. Masih merangkak-rangkak.

 Ke hadapan insan yang tersayang,

Maafkan Aina andai surat ini mengganggu Far. Tujuan Aina menulis surat ini adalah untuk memohon ihsan daripada Far.. andai Aina tiada kelak.. tolong jaga Ira untuk Aina kerana dia sudah tiada sesiapa lagi di bumi ini. Aina sayangkan Far. Tapi, jodoh kita hanya setakat ini. Janji pada Aina.. Far. Jaga Ira untuk Aina. Kalau perlu, angkatlah dia menjadi isteri Far. Yang halal di sisi Far. Sesungguhnya dengan cara itu Aina akan lebih tenang di sana.

   Far, maafkan Aina andai kehadiran Aina hanya membebankan diri Far. Tapi, ketahuilah mengenali Far yang ikhlas membuatkan hati ini terpaut. Pernah Aina angankan akan mempunyai keluarga bahagia bersama Far. Tapi, Aina hanya mampu merancang tapi DIA yang menentukan. Sekali lagi, maafkan Aina kerana menolak perderma yang ingin menderma matanya pada Ira. Aina harap Far faham tujuan Aina. Aina ingin berbakti pada Ira sebelum Aina pergi. Hanya ini bukti kasih Aina pada Ira. Aina tahu Far marah dengan keputusan Aina. Tapi, percayalah semua ini bersebab.

   Far, mengenali Far.. dunia bagaikan indah. Tapi, ianya sementara bila Aina disahkan menghidap penyakit kanser hati. Semenjak itu, Aina mula rasa hidup ini sepi. Aina sayang Far. Tapi, apakan daya.. Aina tidak betah melawan penyakit ini. Akhirnya, Aina tahu Aina akan pergi jua. Seandainya Aina sudah tiada, kuatlah Far. Jangan rebah. Janji ye, sayang? Aina amat-amat mencintai Far. Jaga diri, jaga Ira.. Aina sayang korang berdua. Ingat Aina dalam doa Far. Akhir kata, ampunkan dosa dan khilaf Aina.

Salam sayang,

Qaseh Zuraina

Ya Allah, begitu besar pengorbanan along pada aku. Kenapa, long? Kenapa begini sudahnya? Ira tak perlukan perkahwinan ini andainya semuanya pura-pura. Ira tak pernah harapkan apa-apa, long. Long.. luluhnya hati Ira tika ini. Suami yang Ira anggap sayangkan Ira, ternyata hanya terbeban dengan janji dia pada along. Bertuahnya along memiliki cintanya.. sendu aku meratapi nasib sendiri. Maafkan Ira, bang. Kalau diri ini tak lagi abang perlukan, Ira akan pergi. Aku membuat tekad.

*************************

Aku hanya mampu tahan hati bila wajah tampan Faridzul langsung tidak mahu menjamah wajahku. Aku kuatkan hati agar tidak terus rapuh. Bangkit Ira, bangkit.. seru hatiku memujuk.

   “ Abang dah nak pergi kerja ke?” soal aku lembut. Faridzul kalih pandang sebentar lalu dia cuma sekadar mengangguk. Aku senyum. Cukuplah hanya itu sebagai jawapannya.

   “ Tak sarapan?” soal aku lagi. Faridzul mendengus.

   “ Sarapan-sarapan.. itu aje Ira tahu. Abang bosanlah. Ini agaknya kalau budak tak belajar tinggi tahu cakap kan? Hee.. bingit ajelah,” herdik dia. Ku genggam tanganku kuat. Masih lagi aku bersabar.

   “ Maafkan Ira, bang..” ucapku namun ianya sekadar angin lalu bila tubuh itu sudah mula melangkah pergi. Bergegar pintu rumah banglo milik kami dihempas. Aku pejam mata. Dan kali ini, air mataku mengalir. Lantas, aku tekad. Inilah hari terakhir aku di sini. Aku panjat anak tangga. Kamar yang dulunya indah dengan jenaka si suami aku masuki.

   Aku mengemas segala barang-barangku. Tiada satu barangan di dalam rumah ini ku ambil kerana aku sedar aku hanya menumpang. Diriku diangkat menjadi isteri kerana terpaksa. Beg lusuh yang ku usung ke sini dahulu aku genggam kemas. Aku letakkan beg itu diambang pintu lalu aku menuju ke meja yang selalu digunakan Faridzul. Laci ku buka. Niatku hanya satu. Pemergianku akan ku khabarkan walaupun si suami langsung tidak kisah.

   Seketika, mataku tertunak pada diari coklat milik Faridzul. Hati aku mendesak untuk membeleknya. Lantas, aku turutkan kehendak hati. Aku perlu tahu segalanya. Helaian pertama ku belek perlahan.

 21 April 2013

Aina, tahukah Aina Far amat terseksa dengan lakonan ni? Far tak cintakan dia, Aina. Kenapa Aina buat Far serba salah dengan permintaan Aina?

Ya Allah.. hatiku remuk berkali-kali. Ku gagahkan tangan membelek helaian kedua.

27 April 2013

Far muak dengan dia, Aina. Far tak boleh terus berlakon. Far benci dengan keadaan ni, Aina. Ya Allah, sakitnya hati Far. Far tak boleh terus berlakon, Aina. Far menyesal sentuh dia pada malam pertama kami. Kalau tak, Far tentu boleh lepaskan dia. Aina, Far menyesal..

Kali ini, aku rasakan diri ini terlalu jijik. Lantas, diari itu aku katup. Tidak mahu lagi membaca kerana aku tahu.. diri ini tidak pernah sempurna buatnya. Maafkan Ira, abang. Maafkan Ira kerana tak faham perasaan abang. Lelehan air mata kusapu perlahan.

  Lantas, kucapai sehelai kertas putih.. lalu kocoretkan kata-kata di situ. Setelah semuanya kupastikan selesai, aku melangkah pergi. Berkali-kali kutoleh kamar itu. Untuk kesekian kalinya. Sungguh, kasih Ira pada abang takkan pernah terucap dengan kata-kata semata. Luasnya hanya Ira saja yang bisa memahami. Selamat tinggal, abang..

********************

Aku kuak pintu teratak buruk yang dulu ku huni bersama arwah along. Udara nyaman ku hirup segar. Bayi yang berusia lima bulan ini kuusap penuh kasih. Selama lima bulan aku mengusung sendiri bayi ini. Hasil cinta aku dan Faridzul. Semenjak aku meninggalkan banglo itu, langsung tiada kelibat Faridzul datang menjengah.

   Dan pada hari itu juga aku menyedari kehadiran insan kecil di dalam kandunganku ini. Syukur.. kerana Allah titipkan bayi ini menggantikan Faridzul. Sedikit sebanyak aku tidak lagi keseorangan. Yakinlah aku hatinya bukan milikku. Aku mula menyarung selipar di kaki. Rutinku yang dahulu bermula kembali. Kuih-muih Mak Hasnah harus ku jual untuk mendapatkan rezeki.

    Kaki ku atur menuju ke rumah Mak Hasnah. Sampai saja di hadapan rumah itu, aku ukir senyum.

   “ Kuihnya mana, Mak Hasnah?” soal aku. Mak Hasnah senyum. Kuih yang diletak di dalam bakul berwarna merah itu disua padaku. Namun, pandangannya jelas bimbang.

   “ Ira tu dah mengandung, boleh ke buat kerja ni?” soal Mak Hasnah. Aku gelak kecil.

   “ Mak Hasnah, orang tak ada pelajaran macam Ira ni boleh buat apa lagi? Nanti kasihan baby tak dapat nak beli baju kan? Lagipun, orang lain yang mengandung pun kerja juga.” Aku membalas. Mak Hasnah hanya mengeluh kecil.

   “ Degil cakap dengan kamu ni..” rungut Mak Hasnah. Aku hanya senyum. Bakul merah itu bertukar tangan. Usai memberi salam, aku atur kaki memulakan tugasku. Harap-harap semua kuih laku hari ni.. doa aku penuh harapan. Selalunya seringkali aku mendapat duit lebih dari Mak Hasnah. Namun, yang membuatkan aku tidak selesa.. duit itu pada perkiraanku agak banyak. Mujur juga hanya beberapa kali aku menyambut huluran itu. Tidak mahu terlalu memakan budi orang lain.

Baru saja aku hendak berpaling dari rumah Mak Hasnah, terjengul wajah seseorang di belakangku membuatkan aku terperanjat kecil. Jantung yang melantun deras ku usap lembut.

   “ Ira..” Suara itu menyeru namaku lalu singgah lama pada perutku. Aku tenang. Berpura-pura tenang sedangkan hati aku bagaikan menderu-deru ingin memeluk sekujur tubuh itu.

   “ Abang sihat?” soalku tanpa mahu menyalami tangannya. Bimbang dia tidak selesa. Faridzul angguk. Aku senyum lega. Alhamdulillah..

   “ Ira dari mana?” soalnya lagi. Aku tunjuk nun ke seberang jalan.

   “ Baru pulang menjual kuih. Abang?” soal aku pula. Dia bagaikan terkejut dengan jawapanku.

   “ Ira jual kuih dalam keadaan macam ni?” soalnya separuh menjerit. Soalanku dia biarkan dibawa angin lalu. Aku kaget. Lalu, perlahan-lahan aku angguk lagi. Entah kenapa dalam hati merasa kecewa, sebaik melihat rautnya.. hatiku bagaikan disimbahi cahaya kegembiraan. Aku jadi lupa dengan perbuatannya padaku.

   “ Ira kena cari duit.” Aku menjawab. Tenang!

   “ Kan abang dah bagi duit??” Dia seolah-olah membentak. Aku terkesima. Bagi duit? Bila?

  “ Ira tak faham maksud abang. Tapi, tak apalah. Memang Ira tak nak makan budi abang lagi. Biarlah Ira berdikari. Ira penat, Ira balik dulu ye?” Aku membalas meskipun aku tidak faham mengenai soal duit yang dia sebutkan.

   “ Naik kereta abang, Ira..” Tegas kata-katanya. Kali ini, aku benar-benar terpempan. Arahankah itu? Hatiku menyoal. Lalu tak sempat aku nak melangkah lagi, tangan si dia sudah erat melelar tanganku. Aku hanya mengeluh dalam diam. Apa lagi hendakmu, abang? Kelak rasa kasih itu akan semakin bercambah.. keluh hatiku.


note : hana dah siapkan ending. tpi, hana baca balik, mcm ade yg xkena. so, lepas hana edit.. hana up ye? sila komen.. :)

12 comments:

  1. kenapakah hati lelakinya begitu..kenapa mesti menyakiti dan merendahkan hati seorg wanita yg mmg dibesarkan tanpa ilmu mmg dia sudah tahu akan kekrgan isterinya..kenapa mesti disakiti lagi..adakah kerana dia mengandungkan anaknya menyebabkan dia terpaksa mencari ira kembali kerana tidak mahu dituduh suami yg kejam membiarkan isteri yg mengandung mencari rezki sendiri sedangkan dia hidup mewah bersendirian...kalau tk sudi kenapa tak dilepaskan sahaja..kan..agar semua hati tidak akan sedih..apa pula citernya kini..dan apa pula alasannya kini..hai lelaki..adakah dia ingin mengambil anak yg dikandungya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah.. pnjgnya komen akak. dah lama hana xbce komen akak.. hehee.. thanks sudi jenguk blog hana lagi.. terima kasih luangkan masa utk komen.. akak try bce ending ye? :)

      Delete
  2. sedih... bila nak smbung ending cerpen ni.. tak sabar nak tahu kesudahan kisah ira ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kisah ni dah habis kt sini.. end siap dengan special edition. pergi dekat link sebelah ye? :)

      Delete
  3. Ish.. Nk nangis pun ad ni..., smpai hti far...

    ReplyDelete
  4. Kesian Ira... Asyik menderita saja... Nasib bail Ada baby tu.. Huhuhu

    ReplyDelete
  5. Sedihnyaaa. Tak sabar nak baca ending

    ReplyDelete
  6. Karya paling hebat saya pernah baca tak tipu akak mmg pandai buat story.btw saya rasa makin geram dgn far tu kejam sngt hati dye huhu sedeyyyy

    ReplyDelete