PeNgiKuT sEtiA..

Wednesday, August 14, 2013

Kasih Tak Terucap (Cerpen)


Kasih Tak Terucap
Oleh : Hana Efryna

 Part 1

Teratak buruk bercat kuning lembut itu menjadi teduhan kasih aku dan along yang ketandusan kasih sayang. Hilang ibu dan ayah pada usia 5 tahun menjadikan aku seorang yang berdikari dan kental meskipun kehidupan aku tak seindah kanak-kanak lain.

   Along apatah lagi. Terpaksa menggalas tanggungjawab untuk menyara aku. Hanya demi sesuap nasi, along sanggup meredah hujan nan lebat. Hanya untuk memastikan jualan kuih-muih Mak Hasnah laku. Berapalah sangat upahnya, namun along tak pernah mengeluh. Malah, seringkali bibir itu mengucap syukur atas rezeki yang dikurniakan. Kata along, bersyukur dengan apa yang Allah bagi kerana masih ada lagi insan yang tidak terpilih seperti mereka.

   Seringkali hati aku bertutur sendu, terima kasih.. along. Terima kasih kerana sudi untuk menjaga Zahira walaupun Zahira tahu Zahira cumalah beban pada along. Memang, memang aku teringin untuk membantu along. Membantu along untuk mencari secupak beras bagi mengisi perut. Tapi, apakan daya.. nikmat penglihatan yang sedari kecil tidak ku perolehi ini membantutkan segalanya. Tapi, aku tak pernah menyesal dengan keadaan begini. Malah, semakin hari aku ingatkan diri sendiri.. Zahira, kau adalah insan terpilih. Sebab itu kau diuji sebegini. Bisikan yang seringkali aku titipkan agar terus menjadi pemangkin diri.

   “ Ira.. along dah balik..” laungan satu suara membuatkan bibirku mengukir senyum. Air mata ku sapu perlahan. Aku tidak mahu membuatkan hati along gundah gulana. Dengan kudrat yang ada, aku meraba perlahan mencari kayu rotan yang along hasilkan sebagai tongkat buatku. Hanya itu yang along mampu, katanya. Tapi, aku bersyukur. Malah, ketika menerima pemberian itu, air mataku menderu-deru laju membasahi pipi. Mengucapkan dalam sendu bahwa aku teramat menghargai pemberian along. Terkial-kial aku mengatur langkah. Kalut langkahku untuk memeluk sekujur tubuh itu.

   “ Long..” seruku perlahan. Tangan yang membantu aku untuk berjalan sudah ku ketahui siapa pemiliknya. Pastilah along, Qaseh Zuraina. Along takkan pernah mahu melihat aku bersusah payah. Kalau boleh, hendak dijaganya aku setiap masa. Perbezaan umur yang jaraknya tiga tahun tidak membuatkan along merasa kekok melayaniku.

   “ Far.. nilah adik saya, Qaseh Zahira..” Tiba-tiba bicara along membuatkan langkahku pegun. Aku meraba pergelangan along. Pelik aku dengan kata-kata itu menyatakan bahawa ada insan lain turut menghuni teratak buruk kami. Aku menoleh pada along meskipun aku tahu aku takkan bisa menatap wajah itu. Tapi, aku yakin cantiknya wajah along sudah tentu secantik akhlaknya.

   “ Along, kita ada tetamu ke?” soal aku terpinga-pinga. Aku masih diburu persoalan. Kalau betul kami ada tetamu, siapa orangnya?

   “ Ya, Ira. Kita ada tetamu. Ira, mari sini along kenalkan,” Along memimpin tanganku. Aku hanya mampu menuruti. Hati bergelodak ingin tahu.

   “ Assalamualaikum..” Suara garau itu menegurku. Kali ini, aku terpana. Suaranya bagaikan menyentuh sudut hatiku yang paling dalam. Tanpa sedar, hatiku mendesak ingin menatap wajah empunya suara itu. Suara yang jelas kedengaran serak basah dan matang itu berjaya menggetarkan sukmaku. Bisa aku merasai haruman dari tubuhnya menandakan jarak kami agak dekat.

   “ Far.. inilah adik yang Aina ceritakan pada Far..” Sekali lagi terdengar suara along berceloteh dan topiknya adalah aku, adiknya.

   “ Oh.. jadi inilah Ira ye? Ira, saya Faridzul Qaiser. Boleh panggil Far aje. Banyak kali dah Aina ceritakan pasal awak pada saya.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya. Aku pegun. Namanya yang sedap telinga mendengar membuatkan aku tersenyum. Sudah pasti empunya nama itu kacak orangnya. Hatiku membuat andaian kerana itu saja yang aku mampu.

   “ Qaseh Zahira, panggil Ira. Kekasih along ke?” Giliran aku pula yang bersuara. Spontan! Gelak tawanya menghiasi teratak buruk kami. Aku kerut kening.

   “ Kenapa ketawa?” soal aku pelik.

   “ Macam mana awak tahu saya kekasih along awak?” Suaranya melantun. Menyoalku balik. Dan tika ini, aku dapat rasakan along bagaikan berdecit kecil.

   “ Far!!” marah along. Namun, kedengaran manja pada pandanganku.

   “ Laa.. betullah apa Far cakap kan, Aina?” soal Faridzul mengusik alongku. Aku senyum tiba-tiba. Terasa hidup along bahagia kini. Syukurlah.. dan aku benar-benar berharap lelaki bernama Faridzul Qaiser ini mampu menghadirkan sedikit sinar dalam hidup along kerana along berhak mengecapinya.

   “ Tak baik tau bergurau macam tu..” Suara along sekali lagi menujah gegendang telingaku.

   “ Aina malu eh? Alololo.. comelnya dia.” Faridzul masih tidak henti-henti mengusik. Kali ini, hentakan kaki pada lantai papan itu menandakan along benar-benar geram. Akhirnya, tawa aku dan si dia bergabung menjadi satu. Lucu kerana aku pasti wajah along tika ini pasti memerah.

**************

“ Ira umur berapa?” soal Faridzul tatkala aku dan dia duduk anjung rumah sementara menunggu along membancuh minuman buat tetamunya itu. Aku senyum segaris.

   “ Ira umur 21 tahun, Far. Far pula? Sama usia dengan along ye?” soal aku balik.

   “ Tak adalah, Far dah berusia. Umur Far tua enam tahun dari usia along Ira. Tua Far ni kan?” Faridzul tergelak kecil dengan kata-katanya sendiri. Aku senyum. Tak adalah tua sangat. Cuma, agak berusia dari aku. Sewajarnya dia aku gelarkan sebagai abang kerana jarak usia kami terlalu jauh.

   “ Agak berusia. Tapi, tak tua..” Aku turut mengusik. Entah kenapa, perkenalan singkat ini membuatkan aku selesa.

   “ Jadi, Ira kena panggil Far.. abanglah sebab Far tua dari Ira sembilan tahun..” Faridzul bersuara lagi. Mudahnya lelaki itu mesra. Hatiku mengaguminya dalam diam. Peribadinya bagaikan terjaga. Sesuai dengan along yang sopan.

    “ Ira pun fikir macam tu. Jadi, Ira pun tak ada abang.. maknanya Far bolehlah jadi abang Ira. Okey, Abang Far?” Aku membuat kata putus. Mataku merenung kosong di hadapan bersama senyuman manis yang tak lekang.

   “ Sangat okey!” sahutnya pula sebelum ada suara yang menyampuk perbualan kami.

   “ Apa yang okey?” soal along yang muncul. Aku senyap seketika. Memberi laluan untuk Faridzul yang menjawab pertanyaan along.

   “ Ira nak Far jadi abang dia. Tapi, Far tak nak jadi abang Aina tau? Far nak jadi.. suami Aina.” Terus terhambur kuat tawa yang aku simpan diikuti tawa Faridzul. Galaknya dia mengusik along. Tentu benar apa yang dia katakan bahawa dia adalah kekasih along.

   “ Far ni.. tak habis-habis merepek. Aina simbah kopi ni baru tahu?” Buat pertama kalinya along bergurau kasar sebegitu. Agaknya benar-benar malu kot. Fikiranku menebak lucu.

   “ Sampai hati, Aina..” Lirih suara itu membuatkan bibirku terus tersenyum dan tersenyum. Aku tahu Faridzul hanya cuba memancing simpati along.

   “ Dahlah.. cakap tadi datang nak kenal-kenal dengan Ira kan? Sekarang, jangan nak mengusik Aina pula. Far.. dah bincang dengan Ira belum?” soal along tiba-tiba. Faridzul menepuk dahinya. Kuat sehingga berbunyi. Aku menoleh mengikut arah bunyi itu datang. Dahiku berkerut.

   “ Bincang apa, along?” soal aku ingin tahu. Along mengambil duduk di sebelahku. Pipiku diusapnya manja.

   “ Ira, along lupa nak cakap pada Ira. Far ni anak saudara Mak Hasnah. Dia pakar mata. Along.. along..” Kini fahamlah aku serba-sedikit tentang bicara along. Perlahan-lahan aku bangkit. Aku tidak ingin isu ini dibangkitkan lagi. Cukuplah sebelum ini along pernah mengutarakan hasratnya agar aku bisa melihat.

   “ Ira..” Along memanggilku. Aku diam. Mataku pejam rapat. Ada titisan yang mengalir.

   “ Along, Ira tak nak..” Aku menolak sopan. Suaraku bergetar hiba. Tipulah kalau aku benar-benar tidak ingin melihat. Tapi, desakan wang yang menghimpit membuatkan aku sedar, aku tidak mampu. Bahkan kami memang tidak mampu. Cukuplah dengan kebahagiaan selama ini. Aku tidak akan meminta lagi.

   Kali ini, tidak kudengar sebarang suara dari bibir Faridzul. Barangkali dia sedar perbualan kami sudah berubah menjadi serius.  Terdengar derap langkah along menghampiriku. Bahuku dipegang lembut.

   “ Ira.. dengar dulu apa along nak cakap.” Suara itu memujuk rayu. Aku cuba bertahan. Aku tahu harapan along tinggi.

   “ Along, kita tak mampu along. Kos bedah tu bukannya sedikit. Ira tak nak bebankan along. Cukuplah apa yang Ira ada sekarang. Ira ada along.. itu dah cukup buat Ira.” Aku bersuara. Air mata sudah tidak segan-silu mengalir. Aku yakin, Faridzul memerhatikan kami.

   “ Ira tolonglah dengar cakap along kali ini. Along nak sangat Ira boleh tengok bumi yang luas ni. Along nak sangat kalau suatu hari nanti, andai along dah tak ada.. along tak bimbang nak tinggalkan Ira..”

   “ Along! Along cakap apa ni??” Tanganku terus menggagau mencari tangan along. Aku kaget. Dadaku bagaikan sempit mendengar ucapan itu.

   “ Aina.. awak cakap apa?” Suara yang tadi membisu turut kedengaran. Jelas, nadanya bimbang. Along tahan pedih.

   “ Aina tak maksudkan apa-apa. Cuma, sediakan payung sebelum hujan. Tak selamanya Aina mampu jaga Ira. Ira kena berdikari. Ajal maut di tangan Allah, Far..” Suara along hiba. Aku dapat rasakan along bagaikan menyembunyikan sesuatu. Hatiku berdenyut tidak enak.

   “ Along ada sorokkan apa-apa dari Ira?” soalku pula. Curiga. Kepalaku yang dilapisi tudung along usap perlahan. Begitu kasih along padaku. 

   “ Tak ada, Ira. Cuma, along nak adik along dapat rasa apa yang along rasa. Kalau Ira boleh melihat, tentu Ira dapat tengok muka along. Ira tak teringin ke tengok wajah kakak Ira ni? Along buat demi Ira. Sebab along sayang adik along ni.” Along masih memujuk. Kali ini, aku terdiam. Siapalah yang tidak ingin melihat wajahmu, long? Wajah yang sering Ira dambakan untuk ditatapi. Tapi, kudrat Ira menghalang. Tak pernah Ira lupa untuk mendoakan andai Ira pergi dulu, izinkan Ira untuk menatap wajah along. Hanya sekali! Sendu hati aku mengalunkan kata.

   “ Aina.. awak jangalah cakap macam tu. Far tak suka. Macam nilah, Far pujuk Ira nanti. Aina duduk dulu ye?” Lembut suara Faridzul menyentuh peluput telinga aku. Aku kagum. Kagum dengan layanannya buat along.

   “ Aina harap Far berjaya pujuk dia..” Itulah kata-kata terakhir yang aku dengar dari bibir along sebelum derap kakinya diatur menjauh. Tahulah aku.. along terasa hati dengan penolakanku.

********************

Satu bulan berlalu..

Aku tersenyum mendengar rungutan Faridzul. Sedangkan along hanya tenang. Sesekali, batuk along kedengaran. Aku bimbang. Kesihatan along bagaikan semakin memburuk dari hari ke hari. Aku mengengsot mendekati along.

   “ Far geram betullah. Hari tu dah elok-elok ada penderma, sekarang macam ni pula jadinya.” Faridzul mendengus. Aku hanya diam. Memang sedikit terkilan kerana dua minggu yang lalu, kami mendapat berita bahawa sudah ada penderma yang sesuai untuk mataku. Namun, baru sejam lalu.. keluarga si penderma menelefon Faridzul untuk membatalkan perjanjian yang dibuat.

   Alasannya sendiri aku kurang pasti kerana keluarga si penderma bagaikan mengelak pertanyaan kami. Hanya alasan bahawa mata milik arwah anaknya yang meninggal akibat penyakit kronik sudah menemui penerima yang sesuai. Jadi, aku andaikan saja bukan lagi rezekiku untuk melihat dunia fana ini. Siapalah aku untuk memaksa.

   Walhal, tidak pernah aku bermimpi bahawa aku akan bersetuju dengan permintaan along. Meskipun perbelanjaan kos pembedahan ini adalah melalui hasil penjualan tanah pusaka arwah ayah kami. Setahu aku, along sangat sayangkan tanah pusaka itu. Tapi, kenapa kali ini along bagaikan terdesak? Ah, aku bingung!

   “ Aina, awak tak rasa marah ke?” soal Faridzul pada Aina. Sekali lagi, batuk along kuat kedengaran.

   “ Aina!” Jeritan Faridzul buatkan aku terpinga-pinga. Kenapa dengan along? Aku gelabah. Tanganku menggagau mencari tangan along.

   “ Along..” seruku cemas.

   “ Aina, batuk awak dah teruk ni sampai berdarah. Kita pergi hospital ye?” Kali ini, aku mula mengengsot mencari along. Kata-kata Faridzul buatkan aku jadi bimbang. Tidak pernah kesihatan along sebegini teruk. Hampir air mataku menitis dek terlalu bimbang.

   “ Along, along sakit ke? Kenapa tak bagitahu Ira??” Aku menyoal gundah. Tangan along meramas lembut tangankku. Aku membalas.

   “ Along tak sakit. Ira jangan bimbang ye? Far saja je tu buat Ira risau.” Along menyedapkan hati aku.

   “ Along tipu Ira?” Aku curiga.

   “ Along pernah ke tipu Ira, sayang? Tak pernah, kan? Jangan tuduh along macam tu..” Sebak suara along membuatkan aku diterpa rasa bersalah.

   “ Aina..” Faridzul ingin menyampuk. Namun, suara along menyekat.

   “ Far.. biarkan saya dan Ira bercakap.. boleh?” pinta along payah. Kedengaran Faridzul mendengus sebelum lelaki itu mula menutup mulut.

   “ Ira sedih tak pernderma tu tak jadi dermakan matanya untuk Ira?” soal along lembut. Seperti biasa, tangannya membelai kepalaku. Aku senyap. Namun, lambat-lambat aku geleng.

   “ Jujurnya Ira tak kisah, along. Seperti yang Ira pernah cakap pada along, Ira cuma nak along dalam hidup Ira.” Tulus kata-kataku membuatku telingaku menangkapesakan kecil along. Along menangis?? Aku semakin pelik. Tingkah along semakin hari semakin aneh saja.

   “ Baiknya adik along.” Kata-kata along bagaikan bercanda. Aku senyum nipis.

   “ Ira sayang along.” Aku mengucap tiba-tiba. Sebetulnya, hati aku bagaikan mengasak dengan satu kenyataan pahit. Kenyataan bahawa aku dan along bagaikan semakin jauh.

   “ Along pun sayang Ira. Along yakin akan ada penderma untuk Ira nanti. Along yakin. Sabar ye? Masanya akan tiba nanti.” nasihat along sebelum tubuhku didakap erat oleh along. Bagaikan tidak mahu dilepaskan lagi. Ah, kenapa dengan along? Hatiku hiba.

******************

Hari ini duniaku seakan gelap-gelita. Hidupku bagaikan musnah. Aku terduduk lesu. Berita yang aku dengar tadi mencincang lumat jantungku. Subhanallah.. along kenapa buat Ira macam ni? Aku membentak sedikit. Geram bercampur sendu.

   “ Along sakit, Ira. Along ada kanser hati. Hayat along dah tak lama. Abang Far yang hantar along ke hospital. Along pitam depan rumah Mak Hasnah.” Kata-kata Faridzul mengetuk-negetuk telingaku. Suara lelaki itu parau bagaikan sudah berhari-hari menangis sendu.

   Ya Tuhan, rupanya ini rahsia yang along sorokkan. Kenapa along? Kenapa? Dalam keadaan along begitu, along masih gigih bekerja untuk sara hidup Ira. Sungguh Ira rasa diri Ira tak berguna. Ira tak berguna, along! Teriakku bergema di dalam hati. Aku pekupkan muka ke bantal.

   “ Ira..” teguran seseorang membawa aku ke alam nyata. Aku mendongak. Pandanganku masih kosong. Gelap-gelita. Suara Mak Hasnah.

   “ Along nak jumpa Ira. Mari, nak. Kita ke hospital. Kasihan, along. Dah dua hari Ira macam ni. Along rindu adik dia..” pujuk Mak Hasnah sebak. Aku menggeleng. Sungguh aku rasa kecil hati. Tapi, rasa rindu mencucuk-cucuk diriku. Aku.. rindu along!

   “ Ira tak nak, Mak Hasnah. Ira tak kuat. Kenapa macam ni, Mak Hasnah? Ira sayang along. Tak cukup ke kedua-dua ibu bapa Ira tak ada? Sekarang, along pulak..” ngongoiku hiba. Mak Hasnah memeluk tubuhku. Erat.

   “ Sabar, Ira. Itu namanya takdir. Jangan persalahkan takdir, nak. Tak elok, berdosa. Mari, Ira.. kita tengok along. Along sakit tenat, Ira. Kasihan along.. mari..” pujuk Mak Hasnah terus. Aku leraikan pelukan. Dengan terkial-kial aku bangun. Mak Hasnah cuba membantu. Namun, aku tepis lembut. Aku bagaikan hilang pedoman.

   “ Ira tak nak pergi..” putusku lalu aku atur kaki ke bilik dengan langkah yang payah. Maafkan Ira, Ira tak mampu berdepan dengan hakikat ni.. along. Ira perlukan along.. siapa nak jaga Ira lepas ni? Sendu hatiku masih enggan berlabuh pergi.

   “ Ira..” Suara Faridzul mematikan langkahku. Tiba-tiba Faridzul menyuakan sesuatu pada hujung telingaku yang ditutupi hijab. Aku terkesima. Suara along! Ya Allah.. aku melorot jatuh. Rindunya aku pada suara itu!!

   “ Adik along.. sihat?” Payah tutur kata itu. Aku teresak-esak kecil. Langsung sebak menghalang aku untuk bersuara.

   “ Ira tak nak cakap dengan along, sayang? Along rindu suara Ira..” Suara along lagi. Aku tutup mulutku rapat.

   “ Along tahu along salah.. maafkan along. Along tak nak Ira risaukan along..” Telefon kupegang kejap. Bimbang melorot jatuh. Tuhan, kuatkan aku. Bisik hatiku..

   “ Ira janganlah bencikan along. Along tak nak pergi dalam keadaan Ira ben..”

   “ Ira tak bencikan along!!” potongku pantas. Tegas. Aku tak pernah bencikan along. Sungguh, tak pernah. Along di hujung sana terdiam.

   “ Along..” Kali ini aku mendapat sedikit kekuatan. Air mata ku biarkan saja laju menuruni lekuk pipi.

   “ Adik along..” sahut along sebak. Aku tahu along menangis. Dan aku pun sama. Kami sama-sama menangis. Entah berapa lama lagi suara along bisa ku dengar.

   “ Ira jumpa along, ye? Nanti Ira suruh Abang Far bawakan Ira ke sana. Tunggu Ira datang, along.” Akhirnya keputusan itu aku buat. Terdengar along menghela nafas lega. Aku tahu memang itu hendaknya along.

*****************

Aku terhenyak ke kerusi. Tangan along yang sejuk aku genggam kuat. Permintaan along sangat berat.

   “ Ira, setujulah dengan permintaan along..” Tangisan along membuatkan hati aku pecah berderai. Luruh satu persatu.

   “ Along.. kenapa berat sangat permintaan along pada Ira?” soal aku pilu. Along genggam kuat tangan aku.

   “ Along nak Ira dapat tengok muka along supaya Ira takkan pernah lupa along. Ira tentu nak tengok wajah along kan? Ira tak pernah tengok wajah along. Along dah pernah tengok wajah Ira, itu dah cukup. Jadi, kali ini along nak bagi Ira kesempatan tu. Ira tak nak ke? Ira tak nak tengok wajah along Ira ni?” Soalan along membuatkan aku terduduk lemah. Memang itulah keinginanku. Ingin merakam wajah itu sebelum wajah itu langsung tidak berpeluang untuk aku tatapi. Tapi, bolehkah begini?

   “ Ira nak, along. Tapi, bukan dengan cara ni..” Aku menolak lembut. Pipinya cuba aku capai. Tersasar, namun along capai tangan aku lalu diletakkan ke pipinya yang lencun.

   “ Pipi ni, hidung ni.. Ira tak nak tengok ke? Untuk kali terakhir..” pujuk along lagi. Tangisan aku semakin lebat.

   “ Aina..” Suara Faridzul.

   “ Far.. tolong pujuk Ira. Pujuk Ira untuk terima mata saya. Tolonglah Far.. biarlah kali ini saya hadiahkan mata ni untuk dia. Sebagai tanda saya amat sayangkan dia, Far. Pujuk Ira, Far..” Bagaikan mengemis lagak along. Aku jadi rawan. Aku buntu. Pilihan apa yang aku ada?

   “ Aina.. Far.. Far tak sanggup, Aina..” Giliran Faridzul pula. Aku terdiam.

   “ Far.. kalau benarlah cinta Far pada Aina ikhlas.. tolong tunaikan. Sekurang-kurangnya nanti akan ada kenangan yang Aina tinggalkan untuk Far.” Along masih memujuk. Faridzul teresak kecil.

   “ Far suka mata Aina. Cantik.. tajam macam helang. Warna coklat lagi. Kalah mata Far.” Usikan yang sering dia nyatakan pabila memandang anak mata berwarna coklat milik Qaseh Zuraina. Cinta pertamanya ketika dia kali pertama bertandang ke rumah Mak Hasnah. Takdir Tuhan, dia terserempak dengan Aina di situ. Peribadi Aina menambat hatinya.

   Faridzul menghela nafas berat. Kata-kata Aina membuatkan dia serba-salah.

   “ Betul ke kalau Far tunaikan permintaan Aina, bermakna Far dah berjaya buktikan bahawa cinta Far pada Aina sangat telus?” soal Faridzul sudahnya. Demi mendengarkan omongan itu, tahulah aku yang along sudah ada orang yang menyokong. Lantas, pilihan kedua langsung tidak terbuka buatku. Aku tersepit.

   “ Ira.. setuju ye, sayang? Kalau Ira setuju, along akan pergi dengan tenang.” Aku benar-benar kelu. Permintaan along berlegar-legar. Akhirnya, aku hanya mampu menggenggam tangan along. Aku harap along faham maksud yang aku salurkan. Ya, aku terpaksa setuju. Hanya itu yang dapat aku katakan kerana along tekad dan aku hendak along pergi dalam keadaan tenang nanti. Hanya itu yang aku inginkan. Ira sayang along! Sangat! Air  mataku menitis lagi.

*****************

Wajah along yang kaku aku pegang lembut. Aku usap-usap penuh kasih lalu ciuman aku hadiahkan pada pipi dan dahi along. Aku redha dengan pemergian along. Dua hari mata along menjadi milikku, along akhirnya pergi jua. Aku masih bisa merakam wajah ceria along tatkala aku disorong ke katilnya. Berulang kali along menyatakan rasa gembiranya meskipun diri sendiri sudah tidak mampu melihat. Sungguh mulia hati along.

   Dalam sendu, aku senyum. Wajah lena itu bagaikan sedang tersenyum padaku. Sungguh tenang wajah along. Tidak aku sangka.. aku bisa melihat wajah itu. Dan seperti tebakanku, along sangat cantik! Walaupun wajah itu pucat, tetap nampak kecantikan along. Padanlah along berjaya menambat hati Faridzul. Dan demi mengingati nama itu, aku terdiam. Semenjak aku bisa melihat, aku langsung tidak dapat bertemu pandang dengan Faridzul. Entah ke mana lelaki itu menghilang.

   “ Ira, jenazah dah nak dikebumikan. Ira nak ikut ke? Kalau tak kuat, Ira duduk di rumah sajalah,” soal Mak Hasnah sambil mengesat tubir matanya. Aku mendongak. Wajah Mak Hasnah aku pandang. Terima kasih pada along. Kerana mata along, Ira bisa melihat wajah-wajah yang Ira sayang. Terima kasih, along.

   “ Ira ikut, Mak Hasnah. Tapi.. Ira tak nampak Abang Far. Dia ke mana, Mak Hasnah?” soal aku. Aku pelik. Tidak inginkah Faridzul menatap wajah kesayangannya? Dan aku juga ingin menatap wajah yang sudah banyak berjasa itu.

   “ Far ada. Dia ada di depan sana. Dia salah seorang yang akan bawa keranda Aina nanti. Marilah, kaum lelaki dah menunggu nak usung jenazah ke tanah perkuburan..” Mak Hasnah menggamit lagi. Akhirnya, lambat-lambat aku bangkit. Sebelum aku bangkit, kain putih aku tarik kembali menutupi wajah along. Pergilah long.. semoga nanti kita akan bertemu kembali di sana. Ira sayangkan along.. sangat! Bisik hati aku sendu. Akan kurakamkan wajah ini menemani sepanjang hayatku kerana itu tekadku andai aku diberikan peluang untuk menatap wajah along. Mata kupejamkan sekali. Cuba mencari kekuatan. Kenangan bersama along bermain-main di ruangan mata. Sungguh, kasih along padaku bagaikan tak terucap. 

note : bersambung. tinggal satu part lagi.. komen ye? :)

10 comments:

  1. terharu dengan pengorbanan along

    ReplyDelete
  2. Pengorbanan yg xterbalas. Harga kasih syg yg xboleh dibeli dgn wang ringgit - udaidzayacob

    ReplyDelete
  3. sedih sayu.. nangis je baca.. kasihnya seorang kakak.. boleh agak apa akan jadi :( hope happy ending yaa

    -mya

    ReplyDelete
  4. Sedih sangat sampai nangis
    Lagi sedih kalau kite bayangkan ianya jadi kat kite sendiri

    Wwwwwwwaaaaaaaa rase nk meraung je sob sob sedih

    ReplyDelete
  5. Kasihnya seorang kakak terhadap adiknya.... Hmm... Sayu hati bca cerpen ni

    ReplyDelete
  6. Menangis je dr awal cite ni...

    ReplyDelete