PeNgiKuT sEtiA..

Wednesday, July 24, 2013

Cinta Suci (Cerpen) Part 6


PART 6

Hari ni sudah masuk kali keempat Fiyrul mengikuti kelas agamanya bersama Ainul. Semakin hari semakin banyak yang dipelajari Fiyrul. Betapa dia kagum dengan diri Ainul yang penuh dengan ilmu agama. Kadang-kadang terasa dirinya begitu kerdil di sisi Ainul. Fiyrul mengeluh. Kali ini, dia sudah bersedia awal setengah jam di ruang tamu. Menunggu ketibaan Ainul dengan penuh sabar.

   “ Assalamualaikum..” Suara halus memberi salam membawa Fiyrul menoleh ke muka pintu berukir kayu itu. Senyumannya melebar dengan tidak semena. Ainul Farahin! Bisik hati Fiyrul sebelum membetulkan kopiahnya lantas bangkit dari duduk. Bergerak menuju ke arah Ainul yang penuh dengan buku-buku ilmiah di tangan.

   “ Nak I tolong ke?” Penuh gentleman Fiyrul menyoal sambil tangan disilang ke belakang. Wajahnya masih mengukir senyum manis. Ainul tidak selesa. Wajah ditundukkan ke bawah sebelum Ainul hanya terus melangkah tanpa kata. Seketika, langkah Ainul terhenti. Fiyrul hanya mengeluh ditinggalkan Ainul tanpa sebarang jawapan. Jual mahal betullah.. getus hati Fiyrul sedikit bersalut kecewa.

   “ Encik Fiyrul..” panggil Ainul lembut. Spontan Fiyrul berpusing. Hatinya berpalu kompang tatkala mendengar Ainul menyeru dirinya. Kening dijongketkan tinggi.

   Yes.. anything, Ainul?” soal Fiyrul sebelum mula menghampiri Ainul. Ainul mula resah. Aduh, kenapa susah sangat dia nak bereaksi di hadapan lelaki ini?

   “ Ainul..” tegur Fiyrul pabila melihat diri Ainul yang jelas gelisah dan nampak tidak selesa. Dia mengintai sedikit wajah Ainul. Tanpa kata, Ainul angkat tinggi tangannya. Sebuah bungkusan plastik tepat berada di hadapan muka Fiyrul sehingga menghalang raut wajah manis itu yang memang jelas masih menunduk. Fiyrul kerut kening.

   “ Untuk I ke?” soal Fiyrul kurang yakin. Kang kalau dia silap percaturan, mahu jatuh saham dia nanti. Perasan Ainul nak bagi dia hadiah.

   “ Ambillah.. Ain beli untuk Encik Fiyrul.” Yakin Ainul menjawab. Lambat-lambat Fiyrul menyambut bungkusan itu. Sebaik saja bungkusan itu bertukar tangan, Ainul lantas menghayun kakinya menuju ke ruang tamu. Fiyrul yang termangu ditinggalkan begitu saja.

   Ah, suka hati dialah nak fikir apa. Apa yang aku belikan tu memang berguna untuk dia juga.. desis hati Ainul sendirian.

     Thanks, Ainul..” gumam Fiyrul meskipun Ainul sudah jauh meninggalkannya di belakang. Dalam hati, Fiyrul tersenyum herot. Dan saat dia menjengah isi kandungan yang terdapat dalam bungkusan tersebut, langsung senyumannya semakin bertambah lebar.

Ainul senyum hormat tatkala Bik Nun meletakkan dulang berisi dua gelas jus oren di atas meja kecil berhadapan dengannya.

   “ Jemput minun, ya buk.. bibik duluan. Di dapur ributan sekali, kerjanya banyak mahu diberesi.” Bik Nun mempelawa. Ainul angguk bersama senyuman yang tak lekang.

   “ Terima kasih ya, bik..” Tulus Ainul bersuara sebelum kelibat Bik Nun menghilang di sebalik dapur bercat kuning cair itu. ainul mengintai kelibat Fiyrul. Tak turun lagi? Katanya kejap saja nak pergi letakkan barang. Ni dah hampir sepuluh minit tak turun-turun lagi.

   Tekak yang haus memaksa Ainul mencapai gelas berwarna jernih itu sebelum jus oren disisip perlahan. Ah, nikmatnya. Ainul mengucap syukur di dalam hati bersama senyuman di bibir.

   “ Ehem-ehem..” Suara garau seseorang langsung mematikan senyuman Ainul. Cepat-cepat Ainul berpaling dan saat itu hatinya berdenyut sesuatu tatkala pandangannya bertentang dengan anak mata berwarna coklat milik Fiyrul. Fiyrul tarik senyum. Semakin gelabah Ainul dibuatnya. Duhai hati, bertenanglah. Jangan duk kalut semacam. Ainul memujuk hati sendiri. Tanpa pamitan, Fiyrul duduk di hadapan Ainul.

   Sorry lambat.. I ambil wuduk. Tak salah kan ambil wuduk kalau nak belajar ilmu agama ni? Rasanya lebih mudah ilmu tu nak meresap ke hati. Tenang..” Fiyrul menjelaskan tanpa dipinta. Ainul senyum saja seakan mengiyakan kata-kata lelaki itu.

   Wajah Ainul yang diam membisu direnung sebelum matanya singgah pada dulang di atas meja.

   “ Wah.. bestnya. Jus oren. Bik.. terima kasih buatkan jus kegemaran Rul,” teriak Fiyrul kuat lalu tanpa kata dia mencapai gelas yang elok terletak di atas dulang. Awalnya, Ainul buat tak tahu jelah. Namun, bila diperhati gelas yang dicapai Fiyrul itu gelas yang sudah luak isinya, langsung wajah Ainul memerah dengan mulut terlopong. Begitu rakus Fiyrul meneguk. Macam tak jumpa air setahun gamaknya.

   Amboi, sedapnya dia gogok air aku. Dah tu, tayang muka selamba aje. Hailah.. macam mana nak tegur ni? Ainul kalut bercampur segan. Yelah.. kan tak semena dah berlaku indirect kiss di situ. Lagipun, dalam Islam tak elok kalau lelaki dan perempuan bukan muhrim berkongsi minuman atau makanan yang sama.

  “ En.. Encik..” Tergagap-gagap Ainul dibuatnya. Fiyrul yang masih menyisip air menjungkit kening. Ainul nampak serba-salah. Perlahan-lahan Fiyrul letakkan gelas itu di atas dulang kembali. Kening tebalnya hampir bercantum.

   Why? You ada nak cakap apa-apa ke?” soal Fiyrul bersama wajah tanpa perasaan. Ainul angkat jari telunjuknya lalu dituding pada gelas yang baru Fiyrul letak di atas dulang tadi. Dahi Fiyrul semakin berkerut. Tak faham.

   “ Gelas tu.. jus tu..” Ainul rasakan suaranya tersekat di kerongkong.

   “ Huh?” soal Fiyrul sebelum dia petik jarinya kuat. Tersentak kecil Ainul dibuatnya. Fiyrul sudah tayang sengih miang.

   “ You nak share jus ni dengan I eh? Alah.. kenapa tak cakap awal-awal? Nah..” tebak Fiyrul dengan nada blur langsung membuatkan Ainul hampir rebah tertonggeng. Gelas sudah siap terhulur pada Ainul lagi. Terbuntang biji mata Ainul. Dah ke situ pula mamat ni.. adoiyai!

    “ Err.. tak-tak..” Ainul kalut. Resah!

   “ Habis tu?” Fiyrul menyoal pelik.

   “ Tu.. jus Ain. Ain dah.. Ain dah sisip sikit tadi. Yang tu baru Encik Fiyrul punya..” Akhirnya Ainul menerangkan juga siap jari ditunding pada gelas yang tak berusik isinya itu. Fiyrul ikut pandang. Seketika, tawanya meledak sekaligus menampakkan lesung pipitnya yang dalam. Terkesima Ainul dengan tingkah tak semenggah Fiyrul.

   “ Patutlah I rasa jus ni macam terlebih manis hari ni. Rupa-rupanya dah berlaku indirect kiss, itu yang bertambah-tambah manisnya. Hai.. kalau kahwin dengan you.. jimatlah duit I tak payah nak beli gula,” sakat Fiyrul nakal. Kali ini, Ainul rasa nak menangis aje diusik begitu. Serius dia malu dan segan. Tak pernah dia berkongsi mana-mana pinggan atau gelas dengan lelaki bukan muhrim. Apatah lagi lelaki macam Daryan Fiyrul.

   “ Encik..” Bergetar suara Ainul menegur Fiyrul yang tersengih-sengih bak kerang busuk itu. Dia tak suka Fiyrul bergurau lebih-lebih sebegitu.

   “ Okey-okey, I’m sorry. I tak perasan jus tu dah luak tadi. Tapi, tak apalah sebab lepas ni bukan setakat indirect aje.. lebih dari tu I mampu buat. Waktu tu you jangan nak mengelak pula. No more excuses.” Meleret-leret suara Fiyrul. Ainul sudah rasa pipinya kebas dengan usikan keterlaluan lelaki itu. Malas nak melayan, dia terus berpura-pura membelek buku fadhu ain di hadapannya.

   Fiyrul sempat lagi gelak nipis. Dia tahu Ainul Farahin sedang menahan malu. Alah.. kalau dia usik Ainul pun, samalah macam dia usik tiang batu dekat ruang tamu ni haa.. tak ada respons.

   “ Ain.. hari ni I nak belajar tentang hukum meminum arak ye?” Fiyrul sudah menukar topik. Spontan kening Ainul terjongket.

   “ Kenapa? Ain ingat nak ajar Encik Fiyrul tentang solat fardhu dulu. Maksud Ain, cara yang tertib dalam menunaikan solat sebab solat ni nak kena tertib juga. Baru sempurna..” tutur Ainul perlahan. Wajah tampan itu dipandang sipi-sipi.

   “ Minggu lepas Ain dah ajar I, InsyaAllah I masih ingat. Lagipun, I ada ulang balik apa yang Ain ajar tu. Kalau selalu kita ulang balik apa yang kita belajar, lebih cepat dia kukuh dalam kepala kan?” soal Fiyrul sekadar meyakinkan kenyataannya. Ainul angguk kecil saja.

   “ Jadi, boleh kan?” soal Fiyrul lagi. Wajahnya penuh mengharap.

   “ Boleh.. apa yang Encik Fiyrul tak faham tentang hukum meminum arak?” soal Ainul tenang. Dia tahu kenapa Fiyrul bertanyakan soalan itu. Sudah pasti Fiyrul juga pernah menyentuh minuman syaitan itu. Ainul menggeleng kesal sedikit. Tidak percaya raut tenang di hadapannya ini begitu jauh terpesong. Itu belum kira dosa besar yang lain lagi. Mungkin sudah berkepuk-kepuk agaknya.

   Subhanallah.. aku ni pun tak sempurna. Tak layak nak menghukum orang lain. Hanya DIA yang berkuasa menghukum hambaNya.. Ainul sempat sedar diri. Dalam hati, dia beristighfar.

   “ Ain.. I nak tanya. Okey.. firstly I mengaku I memang sentuh benda haram tu..” Wajah Ainul langsung tidak terkejut kerana dia sudah tahu dari mula lagi. Tak payah Fiyrul nak mengaku pun dia tahulah.

   “ Jadi?” soal Ainul lagi. Cukup tenang. Wajah Fiyrul menunduk dengan sendirinya.

   “ Boleh I tahu hukuman minum arak dalam Islam sebelum I tanya you soalan lain?” Fiyrul menyoal lemah. Ainul menarik nafas panjang.

   “ Macam ni.. hukuman jenayah hudud bagi peminum arak telah disebutkan dengan jelas di dalam Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Orang-orang Islam yang meminum arak dan telah sabit ke atasnya hukuman tersebut wajib disebat sebanyak 80 kali sebatan. Hukuman 80 kali sebatan kali sebatan ini dikenakan ke atas peminum arak untuk kesalahan yang dilakukan berulang-ulang sehingga sebanyak 3 kali. Sekiranya kesalahan tersebut diteruskan juga dalam erti kata lain si peminum sudah ketagihan maka dalam hal ini ulama' berpendapat hukuman selayaknya dikenakan adalah hukuman pancung. Hukuman ini hanya boleh dilakukan oleh imam (pemerintah atau hakim di dalam Daulah Islamiyah).” Panjang lebar Ainul menerangkan. Fiyrul mendengar dengan penuh tekun. Sesekali wajahnya jelas menggambarkan resah.

   “ Maknanya kesalahan I memang besar kan Ain? Satu sebatan pun sudah seksa, inikan pula 80 sebatan. Khilafnya I, Ain. Bertimbun dosa I, Ain. Kesian umi dan babah. I dah menyusahkan mereka, I dah kecewakan mereka,” rintih Fiyrul mulai lirih. Ainul mula rasa simpati.

   “ Kalau betul Encik Fiyrul dah menyesal dan semua tu datang dari nurani yang ikhlas, dosa itu akan terhapus dengan izin Allah. Tapi, dengan syarat Encik tak boleh ulangi perkara tu lagi. Buat solat taubat, tapi kalau lepas tu Encik ulang balik perbuatan tu.. tak ada guna. Jadi, Encik faham tak maksud Ain?” soal Ain polos. Fiyrul merenung lama. Wajahnya jelas nampak keliru. Entah ke mana semua ilmu agama yang umi dan babah terapkan dalam dirinya dahulu. Semuanya bagaikan terlerai satu persatu dari benaknya. Bagaikan dia baru saja pulih dari amnesia. Kosong!

   “ Kalau kata I nak berubah, Allah masih terima ibadah I ke? Diri I dah kotor Ain, I pernah sentuh minuman tu, I pernah.. pernah berzina, Ain. Malah, tak terhitung berapa kali perempuan yang I usung keluar masuk hotel. Ya Allah.. besarnya dosa I. I kotor, Ain.” Fiyrul meraup wajahnya. Ainul sudah memejamkan mata. Dalam hati, berulang kali nama maha suci Allah disebut. Sampai begitu sekali Fiyrul hanyut.

   “ Encik Fiyrul..” Lembut suara Ainul menyeru nama si jejaka. Pantas, Fiyrul mendongak dan kali ini Ainul kaget. Mata itu bergenang sedikit.

   “ Dengar dulu apa yang saya nak cakap. Encik tahu kan Allah tu mempunyai banyak sifat-sifat terpuji? Dan salah satunya adalah maha pengampun. Dia juga maha penyayang. Walau sebesar mana sekalipun dosa yang hamba Dia lakukan, tapi andai hambaNya itu bertaubat dengan penuh keikhlasan.. Dia akan maafkan perbuatan tersebut. Jadi, jangan berfikiran sempit.. Encik. Seperti tipikal umat kita. Mentang-mentang dah lakukan dosa, masih berpegang dengan prinsip kolot. Alang-alang dah buat dosa kan? Tapi, prinsip tu jelas salah. Itu cuma pemikiran orang yang cetek agama dan tak menghayati agama. Islam itu indah, Encik..” nasihat Ainul lagi. Wajahnya  penuh kesungguhan.

   “ Maknanya I masih ada peluang dan peluang tu masih terbuka untuk I?” soal Fiyrul dengan wajah bersinar-sinar. Ainul angguk bersama senyuman nipis.

   “ Peluang tu sentiasa ada asalkan Encik sentiasa mengejarnya. Selagi Encik kejar dan tak berhenti, peluang tu takkan pergi jauh.” Penuh tersirat kata-kata Ainul. Fiyrul terdiam sejenak.

    “ I akan cuba Ain, macam yang you cakap. Kalau I kejar, peluang tu akan semakin hampir kan? I janji, I takkan pernah berhenti. I nak berubah, I nk buktikan pada babah dan umi yang Daryan Fiyrul akan ‘kembali’.” Fiyrul bersuara penuh tegas. Ainul mengucap syukur di dalam hati. Kesungguhan Fiyrul untuk mendekatkan diri padaNya melegakan hati Ain. Bagaikan sudah terlepas satu beban di bahunya.

   “ Ain doakan yang terbaik untuk Encik Fiyrul. Jangan pernah berputus asa..” ujar Ainul lembut sebelum matanya melirik jam di pergelangan tangan. Dah dekat pukul 6.30 petang. Dia perlu beransur sebelum maghrib. Ainul mula berkemas.

   “ Ain.. terima kasih. You dah banyak tolong I. I memang tak tahu macam mana nak balas jasa baik you.”
   “ Tak ada apalah, Encik. Dah memang jadi tanggungjawab Ain sesama saudara Islam. Ain rasa Ain kena balik dululah. Tak elok berlama di rumah orang. Apatah lagi dah nak senja ni.” Ainul meminta diri.

   “ Ain.. apa kata you makan malam dekat sini je? Lepas maghrib you balik. Boleh tak?” soal Fiyrul tiba-tiba. Ainul terpasung lidah. Matanya terkebil-kebil.

   “ Err.. rasanya tak bolehlah. Ain.. Ain..” Ainul berat hati hendak menipu. Apatah lagi, semenjak mengenali Fiyrul.. sudah beberapa kali dia mencipta alasan palsu. Wajah Fiyrul sudah mulai mendung. Dia tahu Ainul sedang mencipta alasan. Dia tahu itu.

   “ Ain apa?” Suara Puan Sri Huda jelas kedengaran. Ainul spontan bangkit sebelum tubuh tua itu dihampiri. Tangan itu disalam penuh tertib. Puan Sri Huda tersenyum. Senang dengan tingkah Ainul.

   “ Nak balik dah? Makan malam sinilah. Kesian Rul, dah banyak kali Ain tolak pelawaan kami. Makan sini ye? Malam nanti boleh solat jemaah sekali. Kita test Rul boleh tak jadi imam solat,” pujuk Puan Sri Huda pula. Tangannya mengusap lembut kepala Ainul. Ainul mula berada dalam dilema.

   “ Ain.. Ain..”

   “ Bolehlah, Ain. Kali ni aje..” Fiyrul menyampuk.

   “ Tak bolehlah. Ain rasa Ain banyak kerja nak kena siapkan dekat rumah.” Ainul berdalih. Fiyrul sudah mula putus asa. Wajahnya beriak kecewa.

   “ Alah.. kerja takkan pernah habis, Ain. Bolehlah ye?” Puan Sri Huda masih tak mengalah.

   “ Biarlah umi.. orang dah tak sudi. Rul naik dululah umi..” Suara berjauh hati Fiyrul menyebabkan rahang Ainul bagaikan jatuh ke lantai. Dah kenapa nak sentap tu? Tadi elok saja, sekarang dah berubah ragam pula. Ainul tergaru-garu kecil kepalanya.

   “ Tengok.. anak teruna auntie dah merajuk. Makan malam sinilah..” pujuk Puan Sri Huda lagi. Ainul hanya memerhatikan susuk tubuh yang sedang mendaki anak tangga itu. wajah mengharap Puan Sri Huda direnung.

   “ Err.. baiklah, auntie..” Akhirnya Ainul memberi kata putus. Puan Sri Huda tersenyum lebar. Fiyrul yang mencuri dengar di sebalik tangga sudah terlompat girang. Yes! Sorak hatinya sakan.

Ainul tersandar kenyang di atas buaian yang berdekatan dengan taman mini milik Puan Sri Huda. Sambil menikmati pemandangan di langit, bibirnya mengukir senyuman. Cepat saja jemarinya naik mendongak langit. Menghitung jumlah bintang di situ.

   “ Kira apa tu? Boleh I join?” Fiyrul menegur. Spontan Ainul menoleh. Kali ini gugup dia datang lagi. Wajah lelaki itu serius. Semenjak di meja makan lagi. Namun, seketika wajah itu berubah manis dengan senyuman nipis. Hai.. berubah-ubah lelaki ni.. detik hati Ainul.

   “ Err.. Ain kira bintang,” jawab Ainul bagaikan anak kecil. Fiyrul senyum. Namun, dia yakin Ainul tak nampak dek suasana yang agak suram itu. Fiyrul mengambil tempat di meja kecil bercat keemasan itu. Berhadapan dengan buaian yang diduduki Ainul. Ainul mula memperlahankan ayuanan buaiannya itu. Rasa tak selesa mulai singgah.

   “ Berapa?” soal Fiyrul. Ainul buat muka.

   “ Be.. berapa apa?” soal Ainul kurang mengerti. Wajahnya jelas terpinga-pinga. Comel! Fiyrul sembunyi senyum lagi.

   “ Tu.. bintang. Berapa yang you dah kira?” soal Fiyrul dengan kedua-dua tangannya ditongkatkan ke lutut. Merenung Ainul dalam cahaya suram itu.

   “ Err.. Ain lupa..” Serba tidak kena Ainul sekarang. Dia tahu pandangan helang itu mengarah padanya. Ainul tunduk mengira jemarinya sendiri yang memang jelas takkan bertambah itu.

   “ Jemari you tu lebih satu pada I ke? Ada sebelas semuanya eh?” sindir Fiyrul perlahan. Ainul ketap bibir. Akhirnya tangan di bawa ke sisi buai. Berpura-pura tenang.

   “ Ain.. Ain masuk dululah. Nak jumpa auntie. Ain dah nak balik ni..” Cepat Ainul hendak bangkit. Kalut semacam saja sampaikan segalanya nampak pincang dan tak kena.

   “ Duduk..” arah Fiyrul tegas. Ainul termati aksi. Dia merenug wajah tampan Fiyrul.

   “ I kata duduk. Ada benda I nak cakap..” suruh Fiyrul lagi. Lebih tegas. Tanpa kata, dia duduk kembali. Menurut saja. Lama suasana sepi hingga Ainul rasa tak selesa pula. Bagaikan dia kini sedang menunggu masa untuk dibaham harimau saja. Cuak dan takut.

   “ Encik nak cakap apa?” Ainul berpura-pura berani menyoal.

   “ You dah tengok kemampuan I jadi imam. So?” soal Fiyrul. Bersahaja. Ainul tarik nafas panjang.

   “ Ain bangga sebab dalam masa tiga minggu Encik Fiyrul dah mampu imamkan keluarga Encik. Ain rasa mungkin lepas ni Encik dah tak perlukan Ain sebab perkara-perkara penting dalam Islam Ain dah terangkan pada Encik,” puji Ainul ikhlas. Sungguh dia tak sangka Fiyrul mampu mengimamkan solat mereka sebentar tadi. Lunak dan penuh penghayatan alunan kitab suci al-Quran meniti di bibir sensual itu.

   “ I imamkan solat keluarga I? Bukan you termasuk sekali ke?” soal Fiyrul dengan kening terjongket tinggi. Menduga. Ainul terkelu.

   “ Dan lagi satu, kenapa you rasa I tak perlukan you dah?” Sambung Fiyrul masih menduga.

   “ Ain dah bagi Encik Fiyrul buku panduan tu, jadi Ain rasa Encik boleh belajar melalui buku tu. Andai kata Encik tak faham, Encik boleh suruh Tasha tanyakan Ain. Lagipun, sekarang dunia dah moden. Dekat internet pun ada laman web untuk bertanya tentang kemusykilan agama. Lagipun, Ain tahu semua tu masih ada dalam diri Encik. Cuma, ianya perlu digilap dan disegarkan balik dalam ingatan Encik. Encik lahir dalam keadaan seorang yang beragama Islam sejak kecil. Jadi, mustahil Encik tak tahu langsung. Lagipun, auntie dan uncle ada terapkan cuma Encik hanya terleka.” Panjang hujah Ainul membentangkan alasannya. Fiyrul terangguk-angguk.

   “ Oh.. jadi itu ke sebab you hadiahkan buku panduan fardhu ain tu pada I? Sebab you dah nak cuci tangan? Tak nak jadi guru fardhu ain I lagi?” bertalu-talu soalan mengasak Ainul. Ainul tak tahu nak jawab yang mana satu.

   “ Ain.. Ain.. bukan macam tu..”

   Well, I baru teruja dapat buku tu daripada you. But, after I knew the reason.. I rasa tak ada sebab I nak rasa macam tu lagi. Cuma, I hargai niat you sebab sudi belikan buku tu untuk I. InsyaAllah I akan guna buku tu sebaik mungkin,” cantas Fiyrul pantas. Dia melorek senyum palsu. Nampak sangat Ainul tak sudi dekat dengannya. Huh.. berhentilah berangan Daryan Fiyrul.

   “ Ain tak bermaksud..”

  Its okay, Ain. No worries at all. I tak kisah. Untung I sebab you sudi hadiahkan buku panduan tu. Memang I perlukannya, Ain.” Sekali lagi Fiyrul memintas. Sebenarnya sedang menunjukkan protes dalam diam. Ainul tahu dan sedar. Bukan dia tak faham.

   “ Ain nak balik..” Ainul bercakap tanpa diduga. Spontan. Fiyrul jungkitkan bahu.

   “ Okey..” Mudah jawapan Fiyrul.  Nampak sedang membendung marah. Tapi masih hendak berlagak cool.

   “ Ain minta maaf kalau buat Encik marah. Ain tak ada niat..”

   “ Tak apa, I tak layak nak maafkan sesiapa. Siapalah I ni kan..” sindir Fiyrul lagi. Ainul malas hendak melayan. Kalau dilayan, bertambah merepek lelaki ini. Jadi, biar tergantung sampai sini ajelah.

   “ Okeylah, Ain tetap nak minta maaf dan Ain doakan yang terbaik untuk Encik. Ain balik dulu. Assalamualaikum..” Ainul baru hendak melangkah. Namun, langkahnya mati di tengah jalan.

   “ Ain..” seru Fiyrul keras. Ainul hanya statik tanpa berpaling. Gementar.

   “ Tadi kali pertama I imamkan you. But, I will make sure itu bukan yang terakhir juga. Maybe after this I akan terus jadi imam solat you. We will see, Ainul Farahin. Waalaikumussalam..” Dan sebaik saja ayat itu terluah, Fiyrul terus angkat kaki. Ainul tercengang! Lidahnya langsung tergeliat. Apabila dia menoleh, kelibat jejaka tampan itu sudah tiada. Ainul mengeluh kecil. Dia buntu!


Bersambung.. maaf kalau rasa melalut. Hana dah cuba buat yg terbaik.. <3

11 comments: