PeNgiKuT sEtiA..

Saturday, May 4, 2013

Eh, Saya Sayang Awaklah! Bab 6


    
BAB 6

Ulfah bangkit perlahan-lahan dari lena. Jarum jam sudah tepat menunjukkan pukul 3.30 pagi. Ulfah meliarkan pandangan ke sebelah. Ternyata susuk tubuh suaminya begitu jauh berbaring lena. Ulfah mengeluh. Dia yakin lelaki itu masih merajuk. Kalau tak, masakan tidur pun jauh sebatu. Kebiasaannya lemas Ulfah dipeluk tubuh sasa itu

   Ulfah mengengsot mendekati. Wajah tampan Aqmal dipandang bertemankan suram cahaya lampu tidur. Ulfah tersenyum nipis. Begitu lena wajah Aqmal seakan bayi yang sedang tidur. Langsung tidak berkutik. Seketika, tunak anak mata Ulfah jatuh pada tubuh Aqmal yang tak berbaju. Gulp! Liur mula laju menuruni anak tekak.

   Eh, tak pernah-pernah abang tidur tak pakai baju? Hmm.. panas kot. Ulfah berandaian sendiri.

   Melihat Aqmal seperti menggigil kecil, cepat saja comforter yang menutupi tubuhnya ditarik sedikit agar suami tercinta dapat berkongsi sama. Siku ditongkat ke tilam. Dia masih merenung wajah Aqmal yang tidur meneletang. Tanpa diduga, struktur tubuh itu mula berkalih. Tepat berhadapan dengannya yang sedang mengiring. Hampir hidungnya dan Aqmal bertembung. Paluan jantung Ulfah sudah tidak senada.

   Kacaknya dia.. Ulfah telah terpuji suaminya tanpa sedar. Seperti dipukau, Ulfah membaringkan kepalanya pada lengan sasa Aqmal yang jelas timbul urat-urat kental itu. Ulfah tarik senyum. Pipi Aqmal dielus lembut sebelum tangan kecilnya sedikit teragak-agak mendarat pada pinggang Aqmal.

   Aqmal seolah tersedar akan sesuatu apabila lengannya terasa dihempap batu besar. Perlahan-lahan mata dicelikkan. Seketika, hampir luruh jantungnya melihat Ulfah sudah bersiap sedia untuk lena dengan mata mula terpejam. Langsung tidak sedar suaminya sudah terjaga.

   “ Apa ni?” Aqmal merungut dalam serak-serak suaranya yang garau. Ulfah yang baru hendak terlena pantas membuka matanya. Direnung wajah Aqmal yang seakan tidak berpuas hati dengan mata terpisat-pisat. Pantas juga kepalanya diangkat sedikit.

   “ Maaf kalau Fah ganggu abang tidur.” Ulfah nampak canggung. Aqmal jelas tunjuk riak tidak puas hati.

   “ Berat tahu?” Aqmal mengetuk-ngetuk lengannya yang terasa kebas. Walhal belum cukup sepuluh minit kepala Ulfah berlabuh selesa di situ. Ulfah tersentak. Perlahan-lahan rasa sebak menjalar di segenap ruang. Matanya sudah berkaca. Bibirnya tercebik-cebik menahan tangis. Aqmal perasan akan hal itu.

   “ Hah, jangan nak menangis. Dah pukul 3.30 pagi dah ni. Esok saya ada mesyuarat penting kat ofis. Kang terlajak tidur payah pula.” Aqmal memberi arahan seakan menghalang tangisan Ulfah daripada terhambur. Semakin terkesan Ulfah dengan sikap suaminya. Kenapa Aqmal jauh berubah? Inikah balasan yang dia perlu terima apabila diri Aqmal tidak diendah olehnya dahulu? Ya Allah.. peritnya. Ulfah bermonolog hiba. Aqmal sudah berkalih membelakanginya.

   “ Fah minta maaf. Fah tak sengaja nak kejutkan abang tidur. Abang tidurlah. Fah janji tak ganggu abang lagi.” Ulfah bersuara hiba. Jelas menahan sebak. Aqmal hanya mendengar tanpa mahu memujuk. Kini, giliran Ulfah pula yang perlu memulakan segalanya. Ulfah berkalih membelakangi suaminya. Seketika, dia berpusing semula menghadap tubuh sasa itu. Pesanan Nek Zaharah jelas terpahat. Kalau tidur, jangan membelakangi suami. Tak baik, Fah. Berdosa ya, cu.

   Ulfah menelan kata-kata itu di dalam hati. Tanpa sedar, esakan halus tetap keluar dari bibir mongelnya. Aqmal tahan rasa. Mata lantas dipejam sebelum lena disambung. Membiarkan Ulfah membawa rajuk sendirian. Ah, biarlah. Nanti okeylah tu. Desis hati Aqmal Zarief mudah.

Ulfah bangkit melangkah dengan ceria menyambut Aqmal yang baru saja melangkah turun dari tingkat atas. Wajahnya jelas tersenyum lebar. Aqmal buat-buat tak nampak meskipun hatinya berasa pelik dengan perubahan isterinya.

   “ Selamat pagi, abang. Jom sarapan.” Ulfah mencapai kot dan briefcase di tangan Aqmal. Tanpa kata, Aqmal menonong ke meja makan. Membiarkan Ulfah terkedek-kedek di belakang.

    Aqmal mengeluh melihat menu yang terhidang. Tanpa kata dia melangkah semula ke arah Ulfah yang jelas nampak terpinga-pinga.

   “ Kenapa, bang? Tak nak sarapan?” soal Ulfah lembut. Aqmal mendengus.

   “ Bak kot dengan briefcase saya. Awak dah lupa atau awak memang tak tahu eh?” Aqmal bersuara penuh sindiran. Ulfah kerutkan dahi sehingga keningnya bercantum rapat.

   “ Fah tak faham,” sela Ulfah bingung.

   “ Itulah.. ada isteri bukannya nak ambil tahu pasal suami kan? Buat pengetahuan awak, suami awak ni tak boleh makan telur. Kalau makan juga, perut boleh sakit dan macam mana saya nak attend mesyuarat dengan Tan Sri Abbas tu kalau perut saya meragam?” pedas Aqmal menyembur. Ulfah terpempan. Tak makan telur? Ya Allah, kenapa aku tak pernah tahu? Salah aku. Ya, salah aku kerana sering buat tak endah dengan suamiku. Ampunkan aku, Ya Allah.. Ulfah sendu dengan sendiri.

   “ Fah minta maaf, bang. Salah Fah.. salah Fah..” Ulfah mula menunduk. Aqmal menggeleng lemah. Terlalu banyak abang bersabar selama ni, Fah. Detik hatinya sayu. Tangan dihulurkan tiba-tiba. Faham makna huluran itu, terus Ulfah kucup tangan sasa itu penuh kelembutan. Aqmal menahan tangannya dari mengusap ubun milik Ulfah.

   “ Abang dah nak pergi? Abang tak nak sarapan? Fah masakkan mee goreng untuk abang. Abang tunggu sekejap kat sini.” Ulfah baru hendak melangkah kalut sebelum Aqmal mula mencelah.

   “ Tak perlu, saya dah lambat.” Terus Aqmal menghilang di balik pintu utama. Ulfah terduduk di kerusi kayu itu. Dadanya dihujani sebak yang maha hebat. Abang.. maafkan Fah. Sayu hatinya memohon keampunan.

 Ulfah duduk termenung di mejanya. Jauh lamunannya sehinggakan kelibat Sufi yang sudah tercegat di hadapannya tidak disedari. Sufi mengetuk permukaan meja Ulfah. Ulfah tersentak. Didongakkan wajahnya seketika.

   “ Su.. Sufi?” Ulfah bingkas berdiri. Sufi tersenyum kecil. Tangan dituding ke arah pintu bilik suaminya. Menyoal bisu bertanya suaminya ada di dalam atau tidak.

   “ Encik Aril tak ada. Dia pergi tengok site. Baru aje. Tapi, Encik Aril pergi tak lama. Sufi nak tunggu?” soal Ulfah lembut. Sufi angguk.

   “ Tapi, sebelum tu boleh kita berbual sekejap?” Sufi meminta persetujuan. Lambat-lambat Ulfah angguk saja.

   “ Jom kita ke pantri.” Sejurus Ulfah dan Sufi bergandingan menuju ke pantri.

   “ Macam mana hubungan awak dengan Mal? Maaf, saya bukan nak menyibuk. Tapi, saya tak nak rumahtangga awak terus berantakan.” Sufi memulakan mukadimah selepas Ulfah usai menghidangkannya milo panas. Mereka duduk berdepan di atas kerusi yang terdapat di ruangan pantri tersebut.

   Ulfah menggeleng lemah. “ Dia tetap sama. Malahan, hubungan kami makin dingin. Teruk betul dia merajuk. Fi.. saya perlu buat apa?” sela Ulfah mulai buntu. Sufi terdiam agak lama.

   “ Awak dah cuba pujuk dia?” soal Sufi prihatin. Dengan mata bergenang, Ulfah angguk.

   Hmm.. payah juga kalau lelaki merajuk. Aril tu pun sama. Pernah dia merajuk dengan saya sampai sebulan. Jenuh saya nak pujuk. Tapi, kes awak dengan Aqmal ni mudah aje rasanya. Dia merajuk dengan awak sebab dia rasa awak tak endahkan dia kan? Tak luahkan perasaan awak pada dia? Jadi, dia tak tahu apa sebenarnya perasaan awak pada dia. Senang cerita, awak jenis malu tak bertempat. Betul tak?” sela Sufi benar-benar tepat. Ulfah terdiam agak lama. Sufi mula rasa serba-salah.

   “ Err.. maaf kalau..” Sufi teragak-agak hendak bersuara. Direnung wajah Ulfah yang sudah berubah riak.

   “ Tak, apa yang Sufi cakap tu betul. Fah tak marah. Fah memang malu tak bertempat. Sebab tu Mal tak pernah rasa diri dia dihargai. Fah tak tahu lagi macam mana nak pujuk Mal. Sufi, tolong bantu Fah.” Ulfah memintas laju di samping meminta pertolongan temannya itu. Sufi mengeluh kecil. Lega juga.

   “ Setiap yang berlaku ada caranya. Kalau Mal tak pernah rasa Fah tunjukkan kasih sayang Fah pada dia, jadi Fah perlu buat semua tu. Tunjukkan pada dia betapa dia penting dalam hidup Fah. Luahkan segalanya. Buang rasa malu tu jauh-jauh. Sufi tahu Fah boleh. Benda ni terlalu mudah.” Sufi menasihati. Ulfah merenung wajah Sufi.

   “ Fah akan cuba, Sufi. Tapi.. macam mana?” Persoalan Ulfah membuatkan Sufi mulai tersenyum lebar. Ya, dia sudah ada idea untuk Ulfah memujuk suaminya. Berjalan atau tidak, tawakal saja pada Allah S.W.T.

Ulfah melirik pada cermin meja solek. Melihat penampilan dirinya yang jelas nampak anggun. Lantas, rambutnya yang panjang mengurai disanggul tinggi. Jelas menampakkan lehernya yang putih gebu. Seketika, dia menutup suis lampu. Bilik dibiarkan bergelap.

  Aqmal menapak masuk ke dalam banglo miliknya. Hatinya dijentik rasa aneh. Eh, kenapa gelap aje ni? Lampu tak pasang. Fah tak ada kat rumah ke? Tapi, kereta dia ada je kat garaj. Aqmal bermonolog.

   Tangannya mula memetik suis lampu. Seketika, tangannya teraba sesuatu. Pantas suis dipetik. Keadaan ruang tamu mula cerah. Aqmal merenung sehelai nota kecil berbentuk hati yang dilipat dua  jelas melekat di tepi kotak suis. Nota itu dilekatkan menggunakan selotape. Lipatan itu dibuka.

   Abang.. maafkan Fah. Fah teramat rindukan abang. Setiap nadi Fah menyebut nama abang.

Aqmal terlopong. Benarkah ini tulisan tangan isterinya. Dipagut rasa aneh, Aqmal mula menyambung langkah. Sampai saja di tingkat dua, keadaan turut bergelap. Pantas tangannya hendak menyentuh suis. Dan kali ini perkara yang sama berlaku. Sehelai nota kecil berwarna kuning berbentuk hati itu dicapai.

   Abang, maafkan Fah. Fah teramat sayangkan abang. Setiap paluan jantung Fah menyeru nama abang. Kembalikan suami Fah yang dulu.

   Aqmal bertambah-tambah pelik. Tanpa dapat ditahan lagi, dia terus merempuh kasar biliknya. Bilik yang gelap itu langsung bercahaya sebaik saja suis dipetik. Di tangan Aqmal jelas ada nota ketiga. Berwarna ungu muda.

   Abang.. maafkan Fah.  Fah cintakan abang. Di hati Fah cuma ada abang, Aqmal Zarief.

   Aqmal mendengus kecil. Mata dihalakan ke depan menentang sesusuk tubuh yang jelas tampak anggun. Aqmal mendekat. Ulfah menanti penuh debar. Tanpa kata, bibirnya terus mencari leher putih gebu milik Ulfah. Ternyata Ulfah terkejut. Namun, untuk menolak takkan sesekali dia lakukan. Lantas, dia pejam mata merelakan perlakuan suaminya.

   “ Mal nak dengar dari mulut Fah. Fah cintakan Mal?” sela Aqmal selepas melepaskan leher Ulfah yang dah mula bertanda. Ulfah membuka mata dengan laju. Terkejut dia dengan soalan Aqmal. Bibirnya mulai lumpuh untuk berbicara. Seketika, Aqmal mencapai tangan kanan Ulfah. Ulfah tampak terpinga-pinga.  Aqmal tersenyum sinis melihat riak wajah pucat Ulfah yang nyata terkejut. Sempat matanya mengerling tanda yang dia tinggalkan pada leher jenjang itu.

   Ketiga-tiga nota itu diletakkan di atas tapak tangan Ulfah. Ulfah menurut. Cuma, hatinya tertanya-tanya jua. Apa maksud Aqmal?

   “ Mal tak perlukan untuk berkomunikasi dengan nota-nota ni. Apa yang Mal perlu Mal nak dengar suara Fah sendiri yang tuturkan kata RSC. Rindu, sayang dan cinta pada Mal. Mal boleh terima kepentingan nota ni andai isteri Mal bisu. Tapi, Fah sempurna bukan? Jadi, kenapa perlu gunakan pendekatan sebegini? Mal tahu Fah masih lagi sama macam dulu. Kalau tak, kenapa tak terus jawab soalan Mal. Sudahlah, jangan pujuk Mal lagi. Mal nak mandi,” jelas Aqmal dingin.

   Hilang saja kelibat Aqmal ke kamar mandi, Ulfah terduduk lesu di atas katil. Dia merenung nota-nota kecil itu. Hampir dia berjaya. Tapi, kenapa langkah terakhir yang diajar Sufi dia tidak mampu buat?

   Bila Mal tanya Fah cintakan dia ke tak.. jawab dengan yakin. Jangan ada ragu-ragu. Begitulah arahan Sufi padanya. Tapi, kenapa dia masih tidak mampu? Ahhh!!! Ulfah tertekan. Mulutnya dipegang.

   Kenapa kau begitu payah hendak bertutur? Ulfah kecewa pada dirinya sendiri. Leher yang bertanda dipegang. Tahu tujuan Aqmal cuma hendak menduga reaksinya. Dan dia yakin Aqmal semakin kecewa kerana reaksinya sangat dingin tadi. Dia tidak tahu untuk membalas. Hanya beku tanpa menyulam kembali setiap sentuhan itu dengan belaiannya.

   Aqmal keluar dari kamar mandi hanya dengan bertuala. Ulfah yang baru hendak panggung wajah mula memerah muka. Aqmal cuma bertuala separas lutut.

   “ Abang.. Fah..”

  “ Saya nak tidur. Boleh tak Fah berhenti pujuk rayu saya untuk malam ni? Saya dah jemu.” Aqmal membidas lantas memanjat katil. Mujur juga dia sudah solat Isyak di pejabat tadi. Ulfah tahan rasa.

   “ Abang.. Fah nak cakap kejap aje.” Ulfah masih memujuk. Aqmal pejamkan mata. Lengan diletakkan di atas dahinya.

   “ Abang..”

   “ Fah, boleh faham tak? Saya penat. Saya nak tidur. Dahlah, awak pergi tidur. Lagi satu saya nak pesan, tak perlu nak susah payah buat apa yang awak dah buat tadi sebab cuma satu je caranya yang saya nak. Saya nak tahu dan dengar dari mulut awak sendiri.” Aqmal terus saja rebahkan tubuhnya ke tilam usai menghambur rasa marah. Ulfah terkedu. Dia mengeluh kecil akhirnya.

   “ Fah cintakan abang. Sangat cintakan abang..” gumam Ulfah sendirian. Tapi, sayang. Aqmal langsung tak sempat nak dengar kerana dia sudah pun lena dibawa mimpi.
  
  
  

  
  
  
  



  
   


   

3 comments:

  1. Hahahaha malu yg tak hengat......
    Merajuk yg melampau , habis leeee rumahtangga tu

    ReplyDelete