PeNgiKuT sEtiA..

Wednesday, April 17, 2013

Mencari Damai Bahagia (Cerpen) Part 1


Mencari Damai Bahagia (Cerpen)
Oleh : Hana Efryna  


 PART 1

Irfan Nazhan hanya mampu beristighfar panjang. Dia jatuh terduduk di tepi pintu biliknya. Ya Allah, benarkah apa yang dia lihat? Air matanya hampir menitis. Melihat tubuh adiknya yang masih liat tidur di atas katil bersama seorang lelaki yang langsung dia tidak kenali membuatkan jantungnya bagaikan direntap. Perlahan-lahan dia bangkit. Dadanya mula bergumpal dengan rasa marah.

   “ Aisyah, bangun!! Subhanallah, kamu buat apa ni hah??” tempik Irfan bengang. Seketika dia nampak lelaki yang berada di sisi Aisyah tergesa-gesa bangun dari pembaringan. Wajah itu pucat lesi.

   “ Kau keluar sekarang!! Kau keluar!!” tempik dia pada lelaki yang masih sibuk mengenakan pakaian itu. Irfan beristighfar dalam hati. Ikutkan rasa marahnya, sudah lunyai lelaki ini dia kerjakan. Tapi, dia masih punya iman. Bukan caranya begitu. Dia perlu lebih rasional.

   “ Aisyah!! Cakap pada abang sekarang, apa Ecah dah buat??” Marah Irfan berpindah pada Aisyah Qalesya yang hanya membuat muka selamba sambil menarik comforter rapat pada tubuhnya. Sejak bila Aisyah berubah?? Ya Tuhan..

   “ Apa Ecah dah buat tak ada kena-mengena dengan abang punlah! Abang tu siapa??” tengking Aisyah balik. Irfan menggenggam penumbuk. Rahangnya bergerak-gerak marah.

   “ Hei, kau tu adik aku! Adik aku, faham tak? Dah berapa jantan kau angkut ni hah??” Irfan masih mengamuk. Nada panggilan sudah bertukar kasar. Seketika, matanya sempat menangkap darah merah yang melekat pada cadar. Kini, tahulah dia lelaki tadi adalah yang pertama. Dia hampir ingin pitam. Ke mana akal bernas Aisyah Qalesya??

   “ Nampak tu kan? Tu maknanya kali pertama Ecah buat. Dahlah, keluar.” Aisyah tarik comforter rapat ke mukanya. Irfan semakin berang. Rasa dirinya tercabar.

   “ Sejak bila kau jadi tak guna ni? Umi dengan baba pergi luar negara untuk uruskan bisnes, ini pula kau buat dekat rumah? Nasib baik aku tergerak hati untuk balik ke Villa. Kau kenapa, Ecah???” Irfan sepak kerusi yang berdekatan. Aisyah mendengus geram. Anak matanya melotot.

   “ Hei, kau apa hal nak sibuk-sibuk hal aku?? Kau cuma abang angkat aku. Aku bukan darah daging keluarga ni. Aku ni anak pelacur. Anak pelacur tahu tak? Jadi, memang sesuai sangatlah kalau anak perlacur pun nak jadi pelacur kan??” Aisyah bercakap bagaikan hilang pedoman. Irfan terhenyak. Subhanallah.. rasa kecewanya usah dicakap lagi. Kalaulah umi dan baba tahu..

   Akhirnya Irfan hanya mampu melangkah keluar dengan perasaan berkecamuk hebat. Pintu ditutup kasar. Berdentum bunyinya. Hilang saja kelibat Irfan, Aisyah menangis pilu. Teresak-esak dia menangis sambil matanya menangkap tompokan darah kecil yang melekat di atas cadar berwarna biru lembut itu.

************

 “ Weh.. anak sundal dah datang. Anak sundal dah datang dah.” Satu suara gedik kedengaran bergelak tawa bersama beberapa orang temannya. Aisyah pantas berjalan laju sambil wajahnya tertunduk ke bawah. Tiba-tiba, ada sepasang tangan sedang menghalang laluannya.

   “ Hei.. nak pergi mana ni laju-laju sangat?” soal Hareez dengan suara sinisnya. Aisyah menepis kasar tangan lelaki itu. Matanya melotot geram. Kalau bukan sebab mulut puaka lelaki ini, berita yang memalukan dirinya tidak akan tersebar.

   “ Kau nak apa lagi? Tak puas lagi kau malukan aku?” Aisyah bersuara dalam getarnya. Hareez tersenyum sinis. Tangan naik mengusap pipi Aisyah. Aisyah sudah rasa hendak meludah wajah tampan itu. Kurang ajar!

   “ Itu balasan untuk orang yang dah tolak cinta aku. Aisyah-Aisyah.. jangan nak berlagak sucilah. Semua masa silam kau, ada dalam tangan aku. Kau ingat anak pelacur macam kau boleh berlagak baik?” sindir Hareez lagi. Aisyah naik angin. Tangannya naik tergawang tinggi hendak menampar pipi lelaki itu. Namun, Hareez lebih cepat. Tangan itu dikilas ke belakang.

   “ Sakitlah!! Hei, lepas,” jerit Aisyah lantang. Kawan-kawan Hareez yang lain sudah ketawa sakan.

   “ Wei.. kalau korang nak tahu.. perempuan ni dah tak ada dara lagi. ‘Ayam’ yang dah ditebuk. Bulan lepas, kau ingat tak kawan kita.. si Fuad cakap dia dah rasmi dah. Woo.. woo.. dara lagi kot masa tu..” Terus Hareez gelak sakan sambil diikuti dengan teman yang lain. Aisyah sudah rasa martabatnya jatuh merudum. Tapi.. biarlah. Alang-alang dah rosak, biar rosak terus. Biar malu terus!

   “ Kau jangan nak kurang ajar, Reez!!” Aisyah bertempik kuat. Dek rasa geram, terus tangannya mencapai batu kecil sebelum batu itu dihempap kasar ke dahi Hareez. Terjerit lelaki itu seketika. Teman-teman yang lain sudah terlopong.

   “ Kurang ajar! Dasar anak sund..” Buk!! Tak sempat Hareez nak habiskan kata, satu tumbukan sudah membuatkan dia tersungkur. Hareez mendongak. Seketika, anak matanya beradu dengan anak mata Irfan. Rahang Irfan bergerak-gerak menahan marah. Wajahnya memerah.

   “ Jangan kau berani panggil adik aku, macam tu. Dah.. berambus korang sebelum aku buat lebih lagi. Berambus!!” herdik Irfan. Segera Hareez dan teman-temannya lintang-pukang bawa diri. Aisyah mendengus. Tanpa kata, dia terus hendak melangkah. Namun, tangannya terbih dahulu direntap.

   “ Ada abang suruh Ecah pergi??” soal Irfan bengis. Aisyah merentap tangannya. Sakit memang sakit. Tapi, dia tak suka Irfan menyibuk hal dia.

   “ Kau apa hal??” sela Aisyah. Sudah tiada lagi bahasa hormat buat Irfan. Irfan melotot garang.

   “ Ikut abang balik. Sekarang!” arah Irfan tegas. Aisyah senyum sinis.

   “ Kau rasa aku nak dengar cakap kau ke?” soal Aisyah menyindir. Irfan sudah hilang sabar. Dia melonggarkan tali leher yang dipakai sebelum tubuh itu diseret kasar ke arah Mitsubishi Lancernya.

************

   Irfan menghentak stereng dengan kuat. Wajahnya keruh. Langsung tiada ketenangan seperti selalu pada wajah tampan itu. Aisyah berpeluk tubuh. Rasa sakit hati diheret kasar masih berbekas.

   “ Ecah.. cuba cakap dengan abang, kenapa Ecah jadi macam ni? Tak kasihan pada umi dan baba ke?” Irfan cuba berdiplomasi. Dia cuba menggunakan cara lembut untuk menyelami hati Aisyah.

   “ Mereka bukan umi dan baba aku. Umi aku seorang pelacur. Baba aku dah lama mati. Mereka bukan umi dan baba aku..”

   “ Ecah!!!” tengking Irfan kuat. Aisyah tersentak. Namun, dia masih cuba kawal riak wajahnya agar nampak berani.

   “ Cuba bawa mengucap sikit. Kenapa Ecah boleh berubah sampai macam ni?” Irfan naik angin. Aisyah berpaling. Dia menghadap wajah tegang Irfan.

   “ Kau nak tahu, kenapa?? Kau nak tahu ke??” soal Aisyah lantang. Irfan merenung tajam.

   “ Ya, abang nak tahu. Kenapa adik abang berubah sampai macam ni??” sela Irfan tegas. Aisyah ketawa dalam tangisan.

   “ Sebab aku ni darah kotor. Aku anak pelacur. Mak aku pelacur. Kau faham tak? Nama aku dah tersebar dekat kampus. Nak tahu mereka gelarkan aku apa? Anak sundal! Kau tahu apa makna anak sundal?? Kau tahu ke??” Aisyah emosi. Irfan terhenyak. Subhanallah.. mulut siapakah yang menabur fitnah?? Kalau ye sekalipun Aisyah anak pelacur, siapa mereka untuk mengejek Aisyah??

   “ Aku dah cuba untuk sabar bila mereka ejek aku. Kau tak faham apa aku rasa sebab keturunan kau baik-baik. Aku dah puas ingatkan diri aku. Tapi, aku tak boleh. Aku jadi tercabar. Jadi, jalan mudah aku ambil.. aku nak buktikan aku memang sundal. Sebab bila mereka gelarkan aku sundal sedangkan aku tidak, hati aku menangis. Hati aku perit yang amat. Sekurang-kurangnya bila aku memang dah terbukti sundal, aku tak rasa sakit bila mereka terus mengejek sebab itu memang aku.” Sambung Aisyah sambil ketawa yang jelas dibuat-buat. Irfan menggeleng kesal.

   “ Mudahnya jalan yang Ecah ambil. Ecah tahu tak Ecah dah musnahkan masa depan Ecah? Maruah Ecah??” Irfan geram. Ikutkan rasa hati, memang pipi Aisyah sudah menerima habuan. Tapi, bukan jenis dia untuk berkasar.

   “ Hei, ada apa dengan maruah aku? Mereka percaya ke aku ni masih bermaruah? Tak, mereka takkan pernah anggap aku bermaruah sebab mak aku, pelacur! Kau faham tak pelacur ni macam mana? Dia dah tidur dengan ramai jantan.. dan aku ni salah seorang dari benih lelaki-lelaki durjana tu. Aku ni sundal!!” Serentak sebuah tamparan kuat mengenai pipi Aisyah. Hilang sudah sabar Irfan. Dia menggigil menahan marah. Aisyah tersenyum sinis sambil meraba pipinya.

   “ Puas hati kau sekarang? Puas? Baik kau bunuh aje aku. Biar aku dan anak tak guna dalam perut ni mati terus.” Kata-kata Aisyah membuatkan pembuluh darah Irfan berhenti serta-merta. Irfan terkesima. Apa maksud Ecah??

   “ Apa.. apa maksud E.. Ecah?” Irfan tergagap-gagap.

   “ Aku mengandung. Anak jantan tu. Ternyata aku memang sundal akhirnya.” Usai mengucapkan kata itu, Aisyah terus membuka pintu kereta lalu berlari keluar. Irfan terhenyak. Bibirnya lumpuh hendak menghalang. Langkahnya rapuh hendak menghalang pemergian Aisyah. Akhirnya dia hanya mampu menghantuk-hantukkan kepalanya pada stereng kereta. Ya Allah.. dugaan apakah ini? Detik hatinya.

*******

Datuk Nasir dan Datin Imani merenung aneh wajah Irfan yang hanya kelihatan kosong. Nampak seperti menonton televisyen, tapi fikiran lelaki itu entah melayang ke mana. Datin Imani menyoal suaminya. Datuk Nasir angkat bahu tanda tidak tahu.

   “ Fan.. kenapa ni?” soal Datin Imani. Namun, Irfan masih hanyut dalam dunianya. Datin Imani menyentuh paha anaknya. Irfan tersentak. Pantas, dia menoleh pada wajah uminya.

   “ Kenapa, umi?” soal Irfan terpinga-pinga. Tangan Datin Imani naik menyentuh dahi Irfan. Hmm.. tak panas pun.

   “ Irfan tak sihat? Umi tengok muka Irfan pucat aje.” Datin Imani bersuara gusar. Irfan menggeleng.

   “ Taklah.. I’m okey, umi. Irfan penat sikit.” Irfan berdalih.

   Hmm.. banyak sangat ke kerja dekat pejabat, Fan?” Datuk Nasir pula menyoal. Irfan angguk saja.

   “ Ecah mana eh? Sejak petang tadi, umi tak nampak dia,” soal Datin Imani pelik. Biasanya, anak perempuannya itu pasti akan menempel bersama waktu-waktu begini. Irfan kelu. Dia pasti Aisyah benci dan marahkan dirinya perihal insiden petang tadi.

   “ Err.. Ecah.. Oh, ye. Ecah ada kat atas, umi. Solat agaknya. Nak Fan panggilkan?” soal Irfan kalut. Datin Imani dan Datuk Nasir kerut kening. Tingkah Irfan lain sekali. Nampak seperti menyembunyikan sesuatu.

    Hmm.. panggilkan kejap. Umi dah jarang boleh jumpa dia sekarang. Asyik tak lekat kat rumah aje.” Datin Imani mengeluh. Irfan segera bingkas bangun. Dia terus menuju ke tingkat dua Villa Dahlia milik keluarganya.

Aisyah memegang perutnya yang terasa mual. Sudah hampir empat kali dia berulang-alik ke tandas memuntahkan isi perut. Kepalanya terasa berpinar seketika. Ketukan pintu memaksa Aisyah bingkas bangun untuk membukanya.

   “ Kau nak apa?” soal Aisyah bosan. Tangannya masih lagi memegang perut.

   “ Umi panggil turun bawah.” Irfan bersuara malas. Tapi, dia perasan wajah pucat itu seperti sedang sakit.

   “ Aku tak larat. Aku tak nak turun.” Aisyah berdegil. Irfan naik geram.

   “ Ecah kena turun juga. Umi dah tanya kenapa Ecah selalu tak ada kat rumah. Ecah turun sekarang.” Irfan sudah memaksa. Aisyah mendengus.

   “ Aku cakap tak naklah!!” Aisyah terus ingin menutup pintu. Namun, tangan sasa Irfan sudah menghadang. Irfan mengetap gigi.

   “ Jangan nak degil. Ikut abang turun bawah.” Irfan terus menarik tangan Aisyah. Namun, seketika dia rasa bagaikan nak pitam apabila tubuh itu sudah jatuh tersembam ke dada bidangnya. Irfan kaget. Dia cuba mengintai wajah yang kemas tersembunyi di sebalik dadanya.

   “ Ecah.. jangan bergurau, Ecah.” Irfan sudah menyebak rambut Aisyah yang menutupi wajah. Tika ini, dia rasa nak pitam segera. Ya Allah, kenapa dengan Ecah ni?

   “ Ya Allah.. Ecah, bangun. Umi.. baba, tolong Fan..” jerit Irfan dari tingkat atas. Dia mencempung tubuh Aisyah untuk segera ke tingkat bawah. Dadanya sudah berpalu debar. Dalam hati, dia tak henti-henti berselawat meminta ketenangan.

********

   “ Tahniah, Encik Irfan bakal jadi papa. Isteri encik mengandung dua minggu.” Suara doktor muda yang masih mengucapkan tahniah padanya bagaikan terngiang-ngiang. Dia fikir.. Aisyah Cuma bergurau tentang berita kehamilan itu. Irfan menacri wajah umi dan baba. Jelas wajah itu lencun dek air mata.

   “ Apa salah umi dan baba? Kenapa anak yang dulunya cukup terjaga akhlaknya boleh berubah laku? Apa salah umi, Fan? Mana umi nak letak muka ni?” Datin Imani mengongoi di bahu suaminya.

   “ Ani.. sabar. Abang pun tak sangka semua ni boleh jadi rumit macam ni. Baba ni tak layak ke untuk didik Ecah? Tergamak dia conteng arang ke wajah kita.” Datuk Nasir pula merintih. Hati Irfan pedih melihat wajah itu. Ecah.. lihatlah. Ecah dah lukakan hati umi dan baba. Irfan mengomel kecil. Tubir matanya bergenang.

   “ Fan masuk tengok Ecah, umi.. baba.” Irfan minta diri. Datuk Nasir dan Datin Imani hanya diam saja. Hati mereka terluka.

Pintu wad ditolak perlahan. Irfan melangkah masuk. Aisyah yang menyedari ada seseorang yang menapak ke arahnya lantas mengesat air mata. Dia yang berbaring mengiringi membelakangi Irfan menyukarkan lelaki itu untuk mengesan ada air mata yang bertamu di pipi mulus Aisyah.

   “ Ecah dah puas lukakan hati umi dan baba? Lepas ni, Ecah nak buat apa pula?” Irfan duduk bersandar pada dinding bercat putih itu. Tangannya diseluk ke dalam poket jeans hitamnya.

   “ Kalau kau nak sakitkan hati aku, kau keluar.” Aisyah bersuara dalam getarnya.

   “ Sakit hati? Habis, hati umi dan baba yang terluka macam mana? Mana umi dan baba nak letak muka dengan kandungan tanpa bapa ni??” herdik Irfan bengang. Aisyah bangkit duduk. Bibirnya diketap.

   “ Aku akan gugurkan bayi ni. Aku akan buang dia. Jadi, kau tak perlu nak fikir maruah keluarga kau bakal tercalar. Kalau kau nak, aku boleh keluar dari Villa Dahlia. Umi dan baba takkan malu. Lagipun, aku bukan anak mereka.” Suara Aisyah bagaikan satu rasa yang menyakitkan hati Irfan. Menyentap pergi rasa tenang yang dia cuba kumpul tadi.

   “ Ecah dah gila? Tak cukup nak berzina, sekarang nak bunuh nyawa yang tak berdosa pula??” marah Irfan geram.

   “ Kau nak aku buat apa lagi? Kalau aku simpan dia, umi dan baba akan malu. Kau nak malu disebabkan anak sundal macam aku?”

   “ Abang akan suruh dia bertanggungjawab.” Putus Irfan dengan tangannya digenggam membentuk penumbuk. Aisyah tergelak kecil. Mustahil.. dia kenal siapa Fuad. Dia sangat-sangat kenal. Lelaki itu bukan jenis bertanggungjawab. Apatah lagi.. memilih dia yang hanya akan merosakkan keturunan Syed-Syarifah lelaki itu.

   “ Jangan mimpi untuk dia bertanggungjawab.” Aisyah duduk menyandar kembali. Wajahnya tanpa perasaan.

   “ Habis, nak lepaskan dia macam tu aje??” Irfan hilang sabar. Aisyah menoleh pandang.

   “ Itu yang sepatutnya. Kalau kau terus melutut merayu pun, kau takkan mampu ubah Fuad untuk terima aku. Aku kenal dia macam mana.”

   Then, abang akan bertanggungjawab. Abang akan kahwin dengan Ecah. Untuk maruah keluarga kita. Maruah Ecah juga.” Mendengarkan kata Irfan, Aisyah terpempan. Sudah gilakah abangnya itu? Dunianya seakan berhenti berputar. Dia dan Irfan masing-masing tergamam. Irfan langsung tidak sedar apa yang dia ucapkan.

5 comments:

  1. Best2! Sambung lg please.. :) btw ni ke ecah from essa tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha.. xd kaetan. tu ecah bek.nmnye je sama. :)

      Delete