PeNgiKuT sEtiA..

Friday, April 26, 2013

Isteriku Brutal (Cerpen) Part 2


PART 2

Wafiq perlahan-lahan menapak masuk ke dalam bilik. Tika ini, matanya meliar mencari susuk tubuh si isteri. Seketika, matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang belingkar di atas katil. Wajah itu tampak lena dibuai mimpi. Wafiq tersenyum kecil. Pantas dia menghampiri susuk tubuh kecil itu.

   Wafiq mengambil tempat di birai katil. Kakinya dinaikkan sebelah, manakala sebelah lagi dibiarkan berjuntai. Tangan naik mengelus pipi Riyana yang tampak segar. Menandakan si isteri baru saja selesai mandi. Hmm.. rambut pun basah lagi. Mata Wafiq tertancap lama di bibir mungil isterinya. Tangan mula gatal mengusap bibir itu. Seketika, Wafiq sudah mengaduh sakit.

   “ Aduh, sayang. Kenapa ganas sangat ni?” Wafiq mengusap-usap lengannya yang dikilas Riyana tadi. Riyana memincingkan biji mata. Tangannya naik menggenyeh-genyeh matanya yang silau. Laa.. suami aku rupanya. Bisik hati Riyana yang menyangka suaminya adalah penceroboh tadi.

   “ Ray mana tahu tu bro.” Riyana tersilap lagi membahasakan dirinya dan Wafiq. Wafiq jegilkan biji mata. Ya ampun, bilalah isteri dia nak jadi lemah-lembut.

   “ Hee.. abang dah penatlah nak bebel. Ray-Ray.. entah tang mana sedap sangat nama tu. Bro? Hee.. geramnya abang,” sungut Wafiq geram. Riyana menceber bibir.

   “ Ray tak biasalah, bro. Dahlah.. Ray nak turun tengok TV. Nak join?” sela Riyana lalu bingkas bangun. Riyana masih lagi sama dengan pemakaiannya. Hanya mengenakan seluar track bottom dan t-shirt tanpa lengan. Rambut yang tadi tidak bersanggul dirapikan sebelum rambut itu disorok ke dalam topi hitam miliknya. Baru beberapa langkah dia mara, Riyana berundur semula ke arah Wafiq. Wafiq tarik muka. Riyana menjengah wajah suaminya. Entah kenapa, dia rasa seperti ada sesuatu yang tak kena pada suaminya. Wafiq kerut kening. Dah kenapa pula isteri aku ni?

   “ Kenapa?” soal Wafiq terpinga-pinga. Riyana masih lagi dengan tingkahnya membelek-belek tubuh suaminya.

   “ Ray rasa macam ada sesuatu yang.. tak kena???” jerit Riyana pada hujung ayatnya tatkala kolar baju si suami sudah dipegang kejap. Seketika, dadanya berombak kencang. Wajahnya berona merah. Memang bukan sebab malu. Tapi, sebab gunung berapi nak meletus.

   Wafiq jeling kolar bajunya. Mula-mula dia rasa cuak juga bila tengok wajah mencuka Riyana. Lepas tu, mengingatkan kata Amsyar.. dia teruskan lakonan. Ditepis tangan si isteri lembut. Kemudian dia bingkas bangun.

   “ Apa ni, bro? Main-mainkan Ray ke??” Riyana bersuara tidak puas hati. Walhal, dia sudah tahu jawapannya. Kan tadi dia juga pergi intip si Wafiq. Tapi, dia langsung tak menjangka sampai ke tahap ini. Ini sudah lebih!

   “ Bila pula abang mainkan Yana?” sela Wafiq selamba. Riyana mendengus. Kolar baju suaminya dicekak.

   “ Jangan main-main dengan Ray, bro. Ni apa ni?? Love bite??” sela Riyana betul-betul naik angin. Wafiq mengeluh. Love bite apa ke bendanya buat dekat kolar baju. Hish, memanglah si Riyana ni sengal tahap gaban. Tangan si isteri di lehernya digenggam sebelum dijatuhkan ke bawah.

   “ Jangan nak bersikap macam lelaki boleh tak, Yana? Awak tu perempuan, isteri orang lagi.” Wafiq menegur lembut sebelum tubuh itu melangkah mencapai tuala.

   Bro tak jawab lagi soalan Ray. Tu apa benda tu??” sela Riyana mengekori tubuh sasa suaminya. Wafiq buat muka minta kaki. Dia jeling sekilas kolar bajunya. Seketika, wajah comel Riyana dipandang.

   “ Ni ke?” soal Wafiq sambil memegang hujung kolar kemejanya. Riyana angguk sambil bercekak pinggang. Huh, dah macam gangster bini aku ni. Detik hati Wafiq.

   “ Gincu.” Wafiq membalas sepatah lalu terus menghilang ke dalam bilik air. Riyana terlopong. Sekejapan dia rasa tubuhnya menggigil marah. Dia jawab mudah macam tu je??? Arghh!!!!

   Bro memang melampau. Apa, cantik sangat ke perempuan tu? Bro tunggulah! Ray bukti kat bro nanti siapa paling cun. Bro tunggu aje!!” Riyana bersuara geram. Wafiq yang berada dalam tandas sudah ketawa sakan sambil tekan perut. Bro tunggu aje, Ray.. jawab Wafiq sinis. Jelas mengejek bahasa panggilan isterinya. Yana-Yana.. seketika Wafiq menggeleng lucu pula.

****************

Riyana mengacu-acu beberapa helai pakaian ke tubuhnya.  Pakaian  uminya, Puan Roziah ketika muda dahulu. Riyana berlegar-legar di kawasan biliknya. Matanya menjeling pakaian umi yang jelas nampak seperti perempuan melayu terakhir itu. Riyana ingat dia nak ke kolej dengan memakai salah satu pakaian yang terdampar di situ. Tapi, dia rasa macam pelik je. Ah, ni semua sebab Wafiqlah ni. Grrr..

   Mata dikerling pula pada jarum jam. Hah, dah dekat pukul 7.15 pagi? Pukul 8.00 pagi kuliahnya dah bermula. Wafiq pula sudah menghilang ke bawah. Mungkin sedang menyediakan sarapan. Yelah.. nak harapkan si isteri memang taklah. Masak air bolehlah kot?

   Pantas Riyana mencuba baju kebaya milik Puan Roziah yang kainnya sedikit terbelah di belakang. Riyana menggeleng. Huh, baju apa macam ni? Ladies sangat kot? Tukar-tukar.. hatinya berdetik.

   Dari sehelai hinggalah lima helai pakaian sudah dicubanya. Akhirnya, Riyana duduk bersandar pada bucu katil. Kesemua baju yang dia pakai nampak tersangat ayu. Dia rasa macam dah tukar jantina aje bila pakai baju tu semua. Macam mak nyah. Riyana-Riyana.. mengarut sungguh. Dah Tuhan ciptakan jadi perempuan, itulah hakikatnya. Satu suara berbisik. Riyana kerling lagi baju yang terdampar di sisinya. Lantas, dengan langkah longlai dia memilih sehelai jeans hitam yang mengikut potongan kaki baru saja dibeli semalam dipadankan pula dengan blaus berwarna kuning berbunga biru gelap. Tampak sesuai sangat dengan tubuhnya.

   Hmm.. yang ni tak nampak perempuan sangat kot? Jeans.. kira okeylah. Cuma yang ni potongan perempuan. Yang biasa aku pakai pula jenis hip-hop. Ah, redah aje.. Ray oii.. bisik satu suara.

   Riyana berdiri di hadapan cermin. Dicapai topi hitam untuk menutupi kepalanya. Seketika, tangannya mencapai pula pemerah pipi yang dibeli semalam dan juga gincu. Tangannya nampak kekok hendak mencalit pemerah pipi itu sehingga akhirnya rupa Riyana pun dah nampak macam badut. Gincu pula sudah tersasar dari bibir comelnya. Comel kot? Riyana menyapu kedua-dua tapak tangannya. Tanda tugasnya sudah selesai. Bibir meloret senyum kecil. Mesti comel ni. Dia perasan lagi.

   Sejenak, Riyana pandang wajahnya pada cermin. Namun, figura yang dia lihat benar-benar membuatkan dia terpempan. Bibirnya mula menceber. Kenapa tak cantik? Sela hatinya hendak menangis. Akhirnya, Riyana melorot jatuh di tepi meja solek itu. Dengan perasaan geram, gincu di bibir disapu rakus. Itulah.. kalau dah tomboy tiba-tiba nak jadi perempuan, memang tak cantik punya. Ray-Ray.. ada hati kau nak lawan perempuan cantik tu. Muka dah macam tapir pakai mekap dah. Satu suara jahat berbisik. Hati Riyana sayu. Nampaknya memang sahlah lepas ni Wafiq suka dengan perempuan tu. Riyana bertambah sedih.

   Pintu yang dikuak dari luar menyebabkan Riyana pantas menyorok wajahnya rapat ke celah lutut. Dia malu kalau Wafiq tengok muka dia sekarang. Wafiq terkesima. Susuk tubuh yang dia lihat itu benar-benar membuatkan dia terlopong. Riyana? Pakai baju perempuan? Oh Tuhan.. bisik Wafiq lantas dia mendekat pada susuk tubuh yang jelas terhinggut-hinggut itu.

   “ Yana.. hei, kenapa nangis ni?” soal Wafiq lembut. Riyana tetap membatu. Dia malu nak angkat muka. Tentu wajahnya buruk tika ini. Mata Wafiq masih lagi mengerling pada tubuh yang tersarung blaus kuning lembut itu.

   “ Ray.. Ray malu. Bro keluarlah. Ray malu ni. Ray tak cantik..” sela Riyana sambil menangis kecil. Wafiq tersentak. Tak cantik apa pula? Selama ni aku tengok dia comel aje. Cuma, perwatakan tu yang kasar.

   “ Dah.. meh abang tengok tang mana yang tak cantik tu.” Wafiq paut dagu Riyana. Mula-mula, Riyana nampak mengelak juga. Namun, Wafiq berdegil. Dan sebaik wajah itu menyapa mata.. Wafiq hanya mampu beristighfar panjang. Kalau dah gini rupanya, memang kerbau tengok pun lari lintang pukang. Ya Allah, Yana-Yana.. Wafiq tahan gelak.

   “ Hah, gelaklah. Gelak-gelak..” Riyana geram lantas dia menyiku perut Wafiq. Wafiq mengaduh. Tangan diangkat tanda mengalah.

   “ Dahlah, Ray nak tukar baju. Entah hape-hape pakai baju ni. Eee.. rimas!!” Riyana mula hendak bangkit. Dia sebenarnya cuba nak cover malu. Kalau dah begitu memek muka Wafiq, jelaslah wajah dia tika itu sangat lucu. Riyana mula rasa sebak.

   “ Yana.. merajuk?” Wafiq sudah melelar tangan si isteri. Matanya merenung lembut wajah tersayang itu. Riyana menepis sambil mendengus keras. Tanpa kata, Wafiq tarik tubuh Riyana ke arah meja solek.

   Bro nak buat apa ni?” soal Riyana terpinga-pinga. Wafiq mengeluh. Bro lagi?

   “ Yana ada masalah ke kalau nak sebut, abang?” sela Wafiq lagi. Namun, nadanya masih lembut. Riyana mendongak.

   “ Err.. Ray tak tahulah, bro. Lidah Ray ni tergeliat nak..” Cupp! Sebuah ciuman sekaligus menyebabkan Riyana terdiam. Matanya terbuntang luas. Wafiq senyum nipis.

   “ Cuba sebut.. a.. bang. Sebut jap..” sela Wafiq. Riyana yang masih terkejut perlahan-lahan membentuk bibirnya membentuk perkataan keramat itu.

   “ Abang..” Riyana mengikut bagaikan lembu dicucuk hidung. Wafiq tersengih nakal. Hujung hidung isterinya dicuit.

   “ Kan boleh sebut tu? Agaknya kalau nak suruh lancar, kena buat macam tu kot?” sela Wafiq lagi. Keningnya terjungkit-jungkit nakal. Riyana sudah menunduk. Ah, malunya! Tak suka-tak suka.

   “ Meh sini ikut abang jap..” Wafiq mengheret tubuh Riyana tegak di hadapan cermin. Riyana hanya membontoti.

   “ Cuba pandang cermin tu. Kejap eh..” Wafiq mencapai tisu di atas meja solek. Lantas tanganya pantas saja mengesat gincu yang sudah berconteng di bawah bibir Riyana. Riyana pegun. Tangannya spontan menjadi sejuk. Erk??

    Wafiq masih dengan tugasnya. Pemerah pipi yang terang itu disapu bersih. Seketika, dia memandang wajah si isteri. Bibirnya tersenyum.

   “ Abang rasa sayang kalau tak mekap pun nampak cantik dah. Cuma, kena sapu gincu sikit je supaya bibir comel tu nampak segar. Meh abang tolong. Aaa.. buka mulut tu sikit.” Lantas, Wafiq mencalitkan sedikit gincu pada bibir Riyana. Tidak terlampau terang dan tidak terlampau lembut gincu itu dioles. Sesuai saja dengan Riyana.

   “ Ray.. Ray..” Riyana jadi tergagap-gagap.

   “ Okey, dah. Dah cantik macam ni. Hmm.. satu lagi yang kurang.” Wafiq berjalan di belakang Riyana. Seketika, tubuhnya tegak berhenti di belakang tubuh si isteri. Perlahan-lahan tangannya naik memegang topi yang Riyana pakai di kepalanya.  Topi itu ditarik keluar. Serentak, rambut Riyana yang bergulung-gulung itu jatuh mengurai. Topi diletakkan di atas meja. Tangan kekar itu terus saja melurut-lurut rambut Riyana agar nampak lebih teratur.

   “ Cuba Yana tengok kat cermin.. cantik kan?” sela Wafiq dekat di cuping telingan Riyana. Riyana perlahan-lahan mendongak. Sekejapan, dia terpana. Wajah yang terbias itu benarkah miliknya? Wafiq tersenyum kacak. Dagunya dilabuhkan pada bahu si isteri lantas sebuah ciuman dilepaskan di situ. Tangan naik memeluk pinggang si isteri.

   “ Cantik kan? Cuma, topi ni yang buat kecantikan sayang terlindung. Tapi, abang rasa sayang lagi nampak cantik kalau mahkota yang satu ni bertutup. Hanya simpan untuk abang..” luah Wafiq lembut lalu mencium pipi Riyana. Riyana mula terketar-ketar. Bibirnya lumpuh hendak bersuara. Wafiq sedar akan keadaan isterinya itu. Pantas, dia menjarakkan tubuh.

   “ Dah, Yana dah lewat ni nak ke kolej. Abang tunggu kat bawah eh?” sela Wafiq lantas dia beredar ke tingkat bawah. Hilang saja kelibat Wafiq, Riyana mula boleh bernafas laju. Tangan naik menyentuh dada yang hebat berpalu gendang. Ya Allah, kenapa aku rasa macam ni? Dan seketika, tangannya naik meraba wajahnya. Bibir tersenyum lebar. Terima kasih, Ammar Wafiq.. ucapnya dalam senyuman kecil.

*********************

Amsyar terlopong. Seketika, dia rasa bagai nak tumbang. Benarkah apa yang dia lihat? Ya Allah.. buruknya perangai. Pakai baju dah elok dah macam perempuan. Tapi, bila tengok langkah kaki.. mak aih.. terkangkang-kangkang macam jantan.

   “ Am!!” Riyana menegur ceria. Amsyar yang tidak dapat menahan gelak lantas tergelak habis-habisan. Riyana tercengang. Seketika, dia meluku kepala si Amsyar.

   “ Ray ke ni?” soal Amsyar jelas mengejek. Riyana mendengus. Wajahnya mulai mencuka.

   “ Kau memang kan? Selalu gelakkan aku. Aku tahulah aku ni tak sesuai nak jadi perempuan. Dahlah.. aku blah dulu.” Riyana terasa hati. Pantas Amsyar mengejar langkah gadis itu.

   “ Weh, Ray.. kau janganlah ambil hati. Tapi kan.. sejak bila hati kau macam perempuan ni?” sela Amsyar mengusik. Riyana berhenti melangkah. Tangan naik bercekak pinggang.

   “ Aku memang perempuanlah, bro!!” marah Riyana geram.

   “ Okey-okey.. salah lagi. Apa mimpi ni tiba-tiba datang kolej pakai baju ladies?? Mana seluar menggelebeh kau yang ala-ala hip-hop tu?” sela Amsyar lagi.

   “ Am, cantik tak aku pakai macam ni? Wafiq cakap cantik. Cantik tak, weh?” Riyana mula nampak teruja. Dia menepuk-nepuk bahu Amsyar. Amsyar kerut kening. Tangan naik menyentuh bibir seakan sedang berfikir. Riyana masih lagi menunggu jawapan Amsyar.

   Hmm.. not badlah. Tapi, ada kurang sikit..” sela Amsyar sambil tergelak kecil. Serta-merta senyuman di bibir Riyana mati. Dia memandang tajam wajah kacak Amsyar.

   “ Apa yang kurang?” sela Riyana pelik.

   “ Cara kau berjalan tu. Dah macam..”

   “ Dah macam apa, weh???” sergah Riyana kurang sabar. Amsyar masih lagi tergelak kecil.

   “ Dah macam.. king kong. Terkangkang-kangkang. Macam ni hah..” Amsyar terus membuat langkah seperti king kong. Terjegil biji mata Riyana. Amsyar sudah mencicit lari. Riyana pula terus mengejar sahabatnya itu. Uih.. geram betullah!!

***************

   Riyana mengeluh untuk kali ke 1001 kali. Wajahnya mendung. Dikerling sekilas wajah temannya itu. Amsyar duduk sambil menongkat dagu.

   “ Am, betul ke aku jalan macam king kong?” soal Riyana sedih. Amsyar gelak nipis mendengar soalan Riyana.

   “ Sikitlah..” sela si teman pula. Riyana mengeluh lagi.

   “ Habis tu, aku nak buat macam mana, bro?” Riyana mengadu. Mendengarkan omelan si Riyana, cepat saja tubuh Amsyar berkalih.

   “ Jadi, kau nak berubah tak? Kau nak jadi perempuan tak?” soal Amsyar. Namun, seketika dia mengaduh kecil bila perutnya disiku Riyana. Mencuka wajah comel itu.

   Bro, aku memang perempuanlah!!” bidas Riyana geram.

   “ Okey, maksud aku perwatakan macam perempuan. Kau nak berubah macam tu tak?” soal Amsyar lagi. Lambat-lambat Riyana mengangguk. Terus melebar senyuman Amsyar.

   “ Boleh aku tanya lagi? Apa yang buat kau berubah secepat ni eh?” soal Amsyar berpura-pura tidak tahu. Riyana tersentak. Wajahnya mula berona merah. Malu kot nak mengaku..

   “ Ray.. cakaplah..” desak Amsyar lagi. Riyana nampak serba-salah. Wajahnya mula berpeluh.

   “ Aku.. Aku takut. Aku takut abang long kau tinggal aku nanti. Dahlah aku ni tak serupa bini orang. Sebab tu aku nak berubah. Aku nak jadi lagi cantik macam perempuan tak gu.. adoi!!” Kali ni Riyana pula mengaduh. Dipandang tajam wajah tampan Amsyar.

   Bro, apa hal ni luku kepala aku??” sergah Riyana sambil menggosok lembut kepalanya. Amsyar mencebik.

   “ Kau jangan berani-berani nak cakap perempuan tu tak guna eh? Aku backhand kau nanti,” marah Amsyar geram. Riyana kerut kening. Hailah.. cantik sangat ke perempuan tu sampai dua beradik ni sanggup bermadu?? Amsyar masih mencuka. Sentap betullah orang cakap awek dia macam tu. Heee!!

   “ Kau pun sebelahkah perempuan tu ke, Am? Sampai hati kau dan abang long kau buat aku macam ni. Dahlah waktu dia balik, aku jumpa kesan gincu kat kolar baju dia. Ni mesti sebab perempuan tu.” Riyana bersuara sedih. Amsyar mula rasa bersalah. Riyana perlahan-lahan bangkit lalu berlari anak meninggalkan Amsyar.

   “ Ray, tunggulah.” Amsyar cuba mengejar namun kelibat si gadis sudah hilang. Amsyar mengeluh. Ray-Ray.. kalau dah perempuan tu.. memanglah cepat merajuk kan? Desis hatinya lagi.

******************

   Riyana baru saja hendak melangkah. Seketika, tubuhnya dihadang seseorang. Melihat raut wajah Amsyar, dia mendengus.

   “ Kau nak apa?” sergah Riyana geram. Amsyar buat muka selamba. Namun, hatinya pelik juga melihat susuk tubuh yang kembali dengan pakaian brutalnya.

   “ Aku nak tolong kau jadi perempuan.” Amsyar membalas.

   “ Tolong? Huh, tak payah. Lebih baik aku macam ni je,” sela Riyana yang sudah berbalik pada perwatakan asalnya.

   “ Ray.. aku nak kenalkan kau dengan seseorang. Niesya.. come.” Amsyar menggamit seseorang. Sebaik saja terlihatkan sesusuk tubuh itu, mata Riyana terbuntang. Terus dia menerpa laju pada Niesya. Niesya panik. Ah, sudah!

   “ Eh, Ray. Kau jangan nak jadi jantan sangat boleh tak? Aku tak habis cakap lagi ni.” Amsyar sudah memaut lengan Riyana. Riyana merentap kasar lengannya.

   “ Aku memang jantan, so apa masalah kau? Kalau abang long kau nak sangat perempuan ni, suruh je dia lepaskan aku.” Riyana sudah naik geram. Amsyar mendengus marah.

  “ Itulah kau.. nak sentap aje. Niesya ni, girlfriend aku. Buka telinga kau tu luas-luas.. girlfriend okey??” Terus tebuntang biji mata Riyana tika ini.

   “ Hah??”

   “ Okey, macam nilah. Biar saya jelaskan. Saya cuma tolong Am untuk jalankan plan dia supaya awak ada keinginan untuk berubah. Saya dengan abang long Am tak ada apa-apa pun.” Niesya mula menyampuk. Riyana kerut kening.

   “ Berubah? Berubah untuk apa?” soal Riyana pelik.

   “ Beruba untuk jadi perempuan.” Amsyar pula menjawab.

   “ Jadi, semua ni lakonan? Dan.. abang long kau pun terlibat sama? Habis tu, gincu tu apa benda?” sela Riyana lagi. Dia sukar untuk percaya.

  “ Aku yang buat. Untuk buat kau rasa tercabar.” Amsyar membalas selamba.

   “ Am.. sampai hati kau.” Riyana mula hendak menangis.

   “ Hei, Ray.. dahlah nak cengeng saja tu. Aku datang ni nak bagi offer kat kau. Terpulang kalau kau nak ke tak.”

   Offer apa?” Riyana tak jadi nak menangis.

   “ Untuk buat kau jadi macam perempuan. Untuk ubah jalan ala-ala king kong kau tu. Dan aku dah dapatkan khidmat seseorang untuk bantu kau. Kau nak ke tak?” Amsyar menyoal serius. Riyana mencebik.

   “ Tak payah sebab sekarang ni aku dah tahu yang korang cuma berlakon. Jadi, aku tak perlu kot rasa tercabar. Lagipun, kalau Wafiq tu curang.. aku backhand aje dia.” Riyana bersuara lagi. Kuk! Amsyar ketuk kepala Riyana.

   Bro!!” marah Riyana.

   “ Asyik nak backhand orang aje dia nilah. Kau kira bernasib baik sebab semua tu lakonan. Kalau tiba-tiba semuanya kenyataan macam mana?” sela Amsyar membuatkan Riyana terpinga-pinga.

   “ Yana.. saya cuma nak jelaskan maksud Am. Okey, sekarang ni memang semua tu lakonan. Tapi, tak mustahil di kemudian hari semuanya jadi kenyataan. Wafiq mesti nak tengok isterinya macam isteri orang-orang lain juga. Kalau ada wanita yang lebih cantik datang pada dia, tentu dia cair kan? Awak tak takut ke semua tu terjadi? Saya bukan nak cakap awak tak cantik sebab awak memang cantik, Yana. Itu hakikatnya. Cuma, perwatakan tu aje.” Niesya menjelaskan. Riyana terkesima. Dadanya mula berdebar-debar. Ah, no one can ‘rampas’ Wafiq dari dia. Sela Riyana bengang.

   “ Kami cuma nak tolong kau, Ray. Lagipun, kau tentu tahu kan berdosa apabila seorang perempuan menyerupai lelaki dan begitu juga sebaliknya.” Amsyar pula memberi nasihat. Riyana mula terdiam. Ada benarnya kata temannya itu.

   “ Takpelah, kami tak paksa awak, Yana. Kalau awak perlukan pertolongan, awak tahu mana nak cari saya kan? Abang, jom kita balik. Mama saya dah tunggu kat rumah.” Niesya bersuara lagi. Riyana masih lagi terdiam. Namun, baru beberapa langkah Niesya dan Amsyar berlalu, suara Riyana kedengaran.

   “ Niesya.. saya perlukan pertolongan awak.” Dan sebaris ayat itu membuatkan Niesya dan Amsyar senyum gembira. Abang long.. kejap lagi tentu kau pengsan tengok isteri kau. Hehe..

3 comments: