PeNgiKuT sEtiA..

Saturday, April 27, 2013

Eh, Saya Sayang Awaklah! Bab 5



BAB 5

Zairil menggeleng mendengar cerita Aqmal. Dia nak masuk campur lebih-lebih pun bukannya dia tahu nak bagi nasihat apa. Dua-dua dia kasihan. Ulfah tu pula pekerja dia. Dia arif sangat dengan sikap pemalu Ulfah tu.

   “ Habis tu, kau nak buat apa ni? Takkan tak nak balik kot?” sela Zairil lalu menghirup sedikit air milo panas yang dihidangkan Sufi. Aqmal mengeluh. Dia sebenarnya buntu juga ni.

   “ Aku pun tak tahulah. Tadi, waktu aku lari daripada rumah pun.. aku tak sampai hati tengok dia menangis macam tu.” Aqmal serba-salah. Antara rajuk dan kasihnya pada Ulfah Jannah. Baru mereka nak menyambung perbualan, telefon bimbit Sufi berdering nyaring.

   “ Kejap, bang. Sufi nak pick up telefon tu.” Sufi meminta diri dengan sopan. Zairil angguk sekilas.

   “ Aku tak rasa tindakan melarikan diri ni bijak, Mal. Kau nak merajuk, boleh aje. Tapi, tak perlu kot sampai nak larikan diri macam ni.” Zairil memberi nasihat. Aqmal pandang wajah Zairil lama. Dia masih lagi tidak yakin apa yang dia perlu buat.

   “ Mal.. Fah call I tadi.” Suara Sufi tiba-tiba kedengaran. Aqmal mendongak. Zairil juga sama.

   “ Dia cakap apa?” soal Zairil menyampuk. Sufi hela nafas lemah. Riaknya jelas kasihan pada pasangan itu. Baru berkahwin, dah macam ni pula ragamnya.

   “ Tak ada cakap apa. Cuma, dia tanya Mal ada datang sini ke tak. Sufi ikut ajelah apa yang Mal pesan. Suruh cakap dia tak ada datang ke sini. Teruk juga menangis si Ulfah tu. Dia cakap.. dia nak keluar cari Mal. Kasihan pula Sufi tengok. Dahlah tu Mal, nak buat macam mana. Memang dia macam tu. You nak merajuk pun you merajuk dekat rumah aje. Kan buatnya jadi apa-apa kat dia sewaktu drive tu, you nak jawab apa?” Sufi bersuara.

   Mendengarkan kata-kata Sufi, Aqmal mual panas punggung. Bingkas dia bangun. Ah, dia tak nak berlaku apa-apa pada Ulfah. Mungkin betul cakap Sufi, dia boleh aje merajuk dekat rumah. Lari daripada rumah, apa pun tak dapat. Serta-merta Aqmal bangkit berdiri.

   “ Kau nak ke mana, Mal?” sela Zairil pelik. Aqmal tampak cemas.

   “ Nak balik. Aku bimbanglah dekat Fah. Ril, Sufi.. terima kasih untuk dinner tadi. Aku balik dulu.” Aqmal terus bersalaman dengan Zairil sebelum dia mencicit keluar. Zairil tersenyum. Jelas di situ rasa kasih Aqmal pada Ulfah. Sufi turut tersenyum. Tumpang bahagia untuk Ulfah kerana mendapat suami sebaik Aqmal Zarief.

Ulfah yang baru hendak menyarung sandalnya pantas mendongak wajah pabila bunyi deruman enjin kedengaran memasuki ruangan parkir banglo dua tingkat miliknya. Spontan, dia terkaku di tempatnya berdiri.

   “ Nak ke mana?” soal Aqmal dingin. Bibir Ulfah bergerak-gerak hendak menutur kata. Malang.. entah kenapa satu pun tak ada yang keluar. Aqmal senyum sinis.

   “ Hai.. saya ingat awak tak reti nak cakap sayang kat saya je, kali ni terus tak boleh bercakap langsung ye? Wah.. simpati sungguh,” sindir Aqmal lantas menonong masuk. Membiarkan Ulfah terkulat-kulat di luar. Ulfah tergamam. Sedikit sebanyak hatinya terguris mendengar sindiran si suami. Tapi, dia akur semuanya salah yang datang dari  alpa dirinya.

   Kelibat Aqmal sudah menghilang. Ulfah perlahan-lahan melepaskan keluhan. Tanpa kata, dia kembali menapak masuk ke dalam banglo mewah itu. Susuk tubuh sasa Aqmal dicari. Kosong. Hmm.. pasti Aqmal sudah naik ke bilik mereka. Langkah kaki diatur gontai menjejaki Aqmal. Dari raut wajah itu, dia tahu Aqmal merajuk. Sekilas, matanya mengerling ke arah susun atur meja yang dihias oleh Aqmal untuk menyambut hari lahirnya. Rasa sebak bertandang tiba-tiba.

  Perut yang menjerit lapar dipegang kejap. Sampai saja di muka pintu, tangan Ulfah terketar-ketar hendak menguak daun pintu yang tertutup rapat itu. Nafas ditarik beberapa kali sebelum dengan tangan terketar-ketar, dia memulas daun pintu.

   Aqmal berpaling. Dia yang baru saja selesai melucutkan baju sebelum digantikan dengan sehelai tuala menoleh pandang pada Ulfah. Tak lama apabila Aqmal larikan kembali anak matanya menghadap ke ruang jendela.

   “ A.. abang..” Ulfah menyeru lembut. Kaki diatur mendekat.

   “ Abang nak mandi,” pintas Aqmal laju lantas dia memboloskan diri ke dalam tandas. Ulfah menjeruk rasa. Dia terduduk di birai katil. Baju yang menjadi punca dia dan Aqmal bertengkar dikerling sekilas. Ulfah menarik lembut baju yang elok terdampar di atas katil itu. Perlu ke aku pujuk hatinya dengan turuti segala kemahuannya? Tapi, baju ini terlalu mendedahkan tubuh. Ulfah serba-salah.

   Dia suami kau. Tiada apa yang patut kau malukan. Bahkan, berhias di hadapan suami itu pahala yang dijanjikan olehNya. Tidakkah kau mahu beroleh pahala, Ulfah? Satu suara baik menghunjam sudut hatinya. Bingkas Ulfah bangkit dengan rasa yakin. Baju di tangan digenggam sebelum dia nekad untuk memakai baju itu. Mungkin ini yang terbaik.. detik hati Ulfah.

   Aqmal yang baru saja keluar dari bilik air tergamam. Jantungnya mula bergendang hebat. Diperhati lama susuk tubuh yang berdiri tegak di hadapannya dengan wajah tertunduk. Aqmal mula rasa tergoda. Namun, rasa itu hadir sekejap cuma bila dia rasa Ulfah tidak ikhlas melakukan semua itu.

   “ Salin baju tu, Fah. Tak perlu paksa diri kalau tak ikhlas.”

   Buk! Bagaikan satu rasa yang cukup perit. Kata-ktata itu membuatkan Ulfah mula sebak. Ya, dia memang tidak ikhlas. Tapi, dia sedang mencuba. Mencuba untuk menggembirakan hati seorang suami. Ulfah mendekat pada Aqmal yang sibuk menyarung seluar khaki berjenama Camel dan t-shirt biru gelap ke tubuh tegapnya.

   “ Abang.. Fah minta maaf.” Ulfah mencapai lembut tangan sasa Aqmal lalu dia tunduk mencium. Aqmal yang sedang menyisir rambut terkaku perbuatannya. Mata dipejam. Ikutkan hati yang sarat dengan kasih ni, memang dah lama dia peluk tubuh Ulfah seeratnya. Tambah-tambah lagi, hatinya sedang cuba menahan godaan melihat Ulfah berpakaian seksi sebegitu. Jelas, gaun yang dibeli itu tampak sangat sesuai pada tubuh Ulfah.

   “ Saya maafkan awak. Dahlah, saya penat.” Aqmal nampaknya benar-benar merajuk sehingga sudah tidak sudi menggunakan panggilan mesra mereka. Ulfah tahan rasa yang semakin membelit perit tangkai hatinya.

   “ Fah tahu abang marah. Tapi, Fah dah pakai gaun ni. Boleh tak kita teruskan rancangan abang?” Ulfah cuba memujuk lagi. Aqmal mengeluh.

   “ Dah terlambat. Hari pun dah nak pagi. Hari lahir awak pun dah lepas. Saya nak tidur, tolong faham keadaan saya. Esok saya nak ke pejabat lagi.” Aqmal terus berlalu ke katil bersaiz king itu. Tubir mata Ulfah bergenang. Ya Allah, kecil hatinya mendengar tutur kata sang suami tercinta. Ulfah dibiarkan berdiri di situ. Sebelum sempat tubuhnya direbahkan, Aqmal bersuara lagi. Sedikit tegas.

   “ Awak dah makan ke?” soal Aqmal. Ulfah yang menunduk pantas angkat wajah dengan anak mata bersinar-sinar.

   “ Abang dah makan?” Soalan dibalas dengan soalan.

   “ Dah., dekat rumah Aril. Awak?” Jawapan Aqmal menyebabkan Ulfah kecewa teruk. Perlahan-lahan kepala dijatuhkan.

  “ Fah pun dah makan,” balas suara itu perlahan. Ya, dia tahu berbohong itu salah. Tapi, seleranya untuk makan sudah mati terkubur sepi. Sampai hati Aqmal buat dia macam ni. Dia langsung tak jamah apa-apa sejak Aqmal pergi tinggalkan rumah tadi. Cuma perutnya dialas makan tengahari saja. Aqmal angguk sebelum badan direbah ke tilam lalu menarik gebar menutupi hingga ke kepala. Namun, di sebalik gebar yang menutupi wajahnya, dia megintai riak si isteri. Entah kenapa, dia yakin Ulfah sedang menipu.

   Aqmal mendengus. Gebar ditarik ke bawah. Jelas susuk tubuh Ulfah yang masih berdiri sambil tangan memegang perut. Wajah itu menangis sayu. Tanpa kata Aqmal bangkit.

   “ Jangan berbohong kalau awak tak ada bakat. Awak tak makan lagi kan? Jom.. saya temankan.” Aqmal melangkah tanpa menunggu Ulfah. Sungguh, dalam merajuk.. rasa prihatin pada si isteri tak mampu dihakis. Ulfah tetap membatu. Aqmal yang sedar Ulfah masih tidak membontotinya pantas berpaling ke belakang semula. Dia mengeluh kecil. Perlahan-lahan dia menapak kembali ke arah isteri yang sudah mula teresak-esak kecil.

   “ Dahlah.. awak tak perlu menangis. Rajuk saya mungkin sekejap aje. Mari, saya temankan awak makan.” Aqmal memujuk walaupun hatinya sendiri masih belum terpujuk. Ulfah menggeleng. Wajahnya sayu.

   “ Fah tak nak ma..” Kata-kata Ulfah mati pabila tubuhnya sudah terangkat tinggi. Aqmal sudah mencempung tubuhnya menuruni anak tangga. Ulfah gamam. Tangannya perlahan-lahan membelit leher tegap si suami. Bimbang dirinya terjatuh pula. Aqmal tetap dengan muka selamba.

   “ Duduk kejap. Saya panaskan semula makanan ni.” Aqmal mendudukkan Ulfah di atas kerusi sebelum dia mula menghilang di balik dapur mewah yang bercat putih itu.

   Ulfah mula rasa sebak. Ya Allah, dalam sedang aku sudah mengguriskan hatinya.. dia masih sudi malayani aku. Ulfah merintih. Dalam hati dia sudah tekad, dia akan cuba memujuk Aqmal sehabis daya.

   Aqmal kembali semula ke meja bersama hidangan di tangan. Chicken Black Pepper yang masih mengeluarkan asap tipis itu dipandang Ulfah tanpa berminat. Dia hanya memandang wajah tampan Aqmal yang sibuk menuang jus oren ke dalam gelas kaca.

   “ Makanlah..” suruh Aqmal lagi. Duduk dilabuhkan di depan Ulfah. Ulfah sudah menceber tanda air matanya bakal mengalir lagi. Hati Aqmal perit. Dia nak aje pujuk dan belai tubuh itu. Tapi, hati sendiri yang tak terpujuk tak mampu memberikan dia semangat untuk terus mengikut kata hati. Biarlah dulu.. detik hatinya.

   “ Makanlah. Panas lagi ni, saya baru panaskan dalam ketuhar,” gesa Aqmal lagi. Ulfah hanya tunduk membilang jari. Aqmal mula rasa geram.

   Degil! Pantas, tangannya mula memotong isi ayam itu menjadi ketulan kecil sebelum dia mencucuk sedikit isi ayam itu dengan garfu lalu dibawa ke mulut Ulfah. Ulfah tersentak. Matanya terkebil-kebil memandang Aqmal.

   “ Buka mulut tu. Saya tak suruh kita duduk kat sini semata-mata nak tengok awak pandang muka saya ni. Tahulah suami awak ni handsome yang amat.” Sempat lagi Aqmal memuji diri sendiri. Ulfah terkulat-kulat.

   “ Buka mulut, Fah. Kenapa degil sangat ni? Kalau sakit, macam mana? Last awak makan tengahari tadi kan?” Tebakan Aqmal membuatkan Ulfah terlopong. Macam mana dia tahu aku berbohong? Bagaikan tahu persoalan di benak Ulfah, Aqmal membalas lagi.

“ Hati saya yang cakap. Hati saya tak pernah berbohong bila dia kata isteri saya tak makan sejak lepas tengahari tadi. Am I right, Ulfah Jannah? Dah, nganga mulut tu.” Aqmal bersuara lagi. Ulfah terharu. Hampir menitis air matanya mendengar tutur kata yang penuh kelembutan dan kasih sayang itu.

   Aqmal langsung tidak segan untuk menunjukkan rasa cintanya agar aku tahu aku sebenarnya dihargai. Tapi, aku? Sejak mula aku kenal dia lagi tak pernah nak tunjuk penghargaan aku pada dia. Ulfah mendesis penuh kesal.

   “ Fah.. Fah minta maaf, abang..” Ulfah bersuara dalam nada tersekat-sekat cuba mengelak sebak yang bertamu. Aqmal letakkan garfu ke pinggan. Tangan naik menyapu mutiara jernih yang mula mengalir di pipi isteri. Semakin lebat pula air mata Ulfah kunjung tiba.

   “ Tak elok menangis depan rezeki. Dah, cepat makan.” Aqmal mula mencapai kembali garfu itu lalu dia menyua kembali isi ayam pada mulut Ulfah. Ulfah tahu Aqmal masih merajuk. Setiap tingkahnya masih lagi nampak dingin. Namun, melihatkan kesungguhan Aqmal.. mulutnya dibuka jua memandangkan perutnya juga seakan mencucuk sakit.

   Buat seketika, Ulfah sudah berlari laju menuju ke sinki. Memuntahkan segala isi perutnya. Aqmal terkejut. Lantas dia mengejar susuk tubuh itu. Hampir terbalik kerusi dek sikap tergesa-gesanya.

   “ Kenapa ni??” soal Aqmal panik. Ulfah sudah berkumur-kumur. Muntah yang keluar dibasuh sehingga cuci. Wajah pucatnya ditatap Aqmal.

   “ Gastrik. Fah kalau lambat makan, Fah memang macam ni. Kalau teruk, Fah akan muntah-muntah,” sela Ulfah menerangkan. Aqmal mendengus sebelum rambutnya diraup kasar. Rasa bimbang usah dicakap.

   “ Saya dah agak dah. Lain kali peram perut tu tak payah makan langsung.” Dek rasa bimbang yang melampau, Aqmal sudah terlebih aksi. Ulfah nampak terpempan. Wajah itu kembali mendung. Aqmal tarik nafas lemah. Cakap sikit, merajuk. Aku merajuk, tak ada pula dia fikir. Aqmal mengeluh dalam diam.

   “ Naik atas. Nanti saya bawa makanan naik kat atas je. Awak makan kat atas. Hmm.. ubat awak ada kat mana?” sela Aqmal mula mengubah topik. Tidak mahu Ulfah terusan bersedih.

   “ Dalam kabinet bawah sekali.” Perlahan suara Ulfah menjawab. Aqmal angguk seraya hendak berlalu. Ulfah pula sudah mula hendak melangkah. Langkah yang diatur gontai dek tubuhnya kekurangan tenaga. Sudahlah perut kosong. Bekal di dalam perut pula turut dimuntahkan sekali. Bertambahlah longlai tubuhnya itu.

   “ Biar saya bawa awak ke atas.” Terus saja Aqmal cempung tubuh Ulfah lalu dia terus mendaki anak tangga. Tidak dihiraukan wajah terkejut Ulfah. Bimbang juga Aqmal andai Ulfah pengsan di tengah jalan. Jadi, ada baiknya kalau dia sendiri yang hantar isterinya ke atas. Lepas tu, dia boleh aje turun balik siapkan makanan untuk Ulfah dan sediakan ubat. Bukan susah mana kalau nak dibandingkan kesihatan Ulfah Jannah. Satu-satunya pengarang jantung yang amat dikasihi.

   “ Abang.. terima kasih.” Ulfah bersuara penuh ikhlas tatkala tubuhnya sudah direbah ke tilam. Gaun yang dipakai Ulfah terselak ke betis menyebabkan Aqmal pantas buang pandang. Tergesa-gesa Aqmal mengatur langkah. Namun, terbalik pula andaian Ulfah. Ulfah fikir Aqmal tidak sudi hendak menatap wajahnya yang jelas sering menyusahkan ini.

  Di luar bilik, Aqmal tarik nafas berkali-kali. Tarik.. hembus. Tarik.. hembus. Relaks, Mal. Tu bukan betis. Apa yang kau nampak tu kayu balak. Tak ada kaitan dengan Ulfah. Jadi, kau jangan nak tergugat iman ke apa. Relaks.. suara hati Aqmal cuba menenangkan jiwanya yang bergelora.

   Minda Aqmal mula menukarkan betis putih melepak Ulfah kepada kayu balak. Memanglah tersangat kejam. Tapi, nak buat macam mana? Itu aje cara dia nak lupakan godaan yang menyapa ruangan mata. Kan kalau terus terbayang, mahu rajuk ke mana.. dia pula ke mana? Silap-silap esok dah sibuk bertempek dengan bini tersayang. Biasalah.. kalau dah cinta, nak merajuk lebih-lebih rasa rugi sangat.

   Pabila akalnya berjaya menepis pemandangan indah itu, Aqmal mula melangkah turun ke dapur. Huh, lega. Desis hatinya bersama langkah yang diatur.
                       
    

4 comments: