PeNgiKuT sEtiA..

Monday, March 4, 2013

Kerana Dirinya 2 (Bab 9)


Bab 9
   Maisarah dan Carl masih lagi berada dalam kondisi terkejut. Mahu tidaknya, bayi mereka tiba-tiba sahaja demam panas. Sedangkan menurut Maisarah, pagi tadi Ziqin elok-elok sahaja. Suhu Ziqin sudah mencecah 39 darjah celcius. Carl duduk di kerusi yang ditempatkan di ruangan hospital itu. Wajahnya kusut. Masih jelas terdengar-dengar tangisan Ziqin yang menangis kuat. Apatah lagi bila tubuh kecil itu disuntik dengan jarum kecil. Tidak sanggup rasanya hendak mendengar raungan itu.  Rambut ditarik kasar ke belakang.
   Dia berpaling pula ke kiri. Wajah kusut Maisarah turut meresahkannya. Yelah.. sekarang ni apa-apa pun boleh jadi pada Ziqin. Suhu bayi mereka terlampau tinggi dan di tahap membimbangkan. Carl bangun daripada duduknya. Dia menghampiri si isteri yang leka termenung jauh.
   “ Sayang.. kenapa ni? Jangan macam ni. Ziqin takkan apa-apa. Abang yakin.” pujuk Carl sembari membalikkan tubuh itu menghadapnya. Kepala Maisarah diusap sayang. Maisarah tersenyum hambar.
   “ Mai takut Ziqin tinggalkan Mai. Macam-macam boleh berlaku, bang. Mai tak nak kehilangan dia macam Mai pernah kehilangan abang.” Sayu suara Maisarah kedengaran.
   “ Dah, jangan fikir bukan-bukan. Abang yakin anak kita takkan apa-apa. Kita kena yakin pada Allah. Banyakkan berdoa ye?” Maisarah hela nafas lemah sebelum kepalanya diangguk perlahan. Carl tersenyum melihat reaksi si isteri. Lega hatinya kerana Maisarah mendengar nasihat.
   “ Abang..” panggil Maisarah lembut. Carl pandang wajah Maisarah. Melalui pandangan itu, rasa cinta dan rindu disalurkan mengalir. Berharap Maisarah dapat merasainya.
   Hmm.. kenapa, sayang?” tanya Carl.
   “ Abang boleh tak temankan Mai kat sini? Teman Mai jaga Ziqin?” pinta Maisarah bagai anak kecil. Carl menggeleng bersama senyuman terpaksa.
   “ Tak boleh, sayang. Abang kena balik. Kalau tak, daddy akan perasan. Abang tak nak dia tahu abang berjumpa dengan Mai. Nanti, lebih teruk pula bala yang datang. Sayang faham abang kan?” soal Carl lembut. Maisarah mengeluh hampa. Sudah diagak jawapan yang bakal diterima. Ah, dia perlu memahami. Dia tidak boleh mendesak. Kasihan suaminya nanti. Bukannya itu niat Carl yang sebenar.
   Yelah.. Mai faham. Tapi, esok abang datang tak?” soal Maisarah polos.
   “ Err.. abang tak janji, sayang. Kalau abang boleh elakkan diri daripada daddy dan konco-konconya, abang akan usaha untuk datang tengok sayang dan Ziqin.” jawab Carl tidak memberi jawapan tepat kerana dia sendiri tidak pasti. Dia tidak mahu Maisarah berharap dan apa yang penting dia tak nak beri harapan palsu.
   “ Kalau macam tu, tak apalah. Mai kena faham situasi kita sekarang. Abang, jom kita masuk dalam. Dah lama kat luar ni. Abang Mika tentu dah nak balik. Kasihan Abang Mika, dia cemas betul tadi.” luah Maisarah mengubah topik. Carl hanya angguk kecil. Mereka kemudian serentak memasuki bilik yang menempatkan Raziqin.

Wajah Raziqin yang nyenyak tidur Carl tatap penuh rasa kasih. Tadi, ketika dikejarkan Raziqin ke hospital, dia berkesempatan untuk memangku tubuh kecil itu. Perasaan sebak dan terharu saling bercampur baur. Sebak kerana dia agak terlambat untuk memangku tubuh kecil itu. Terharu kerana akhirnya impian yang jauh di awanan kini menjadi kenyataan apabila tubuh itu kemas berada dalam kendongannya tadi. Fikir dia, dia takkan berkesempatan lagi untuk menatap dan merasai hangat tubuh kecil itu.
   Carl berjalan merapati katil kecil yang menempatkan anaknya. Satu-satu anak pengikat kasih antara dia dan Maisarah.
   “ Carl.. Abang Mika ingat nak minta diri dulu ni sebab ada pembekal baru datang ke kedai abang. Nak ke sana uruskan perkara penting sikit. Budak-budak tu tak tahu sangat nak kendalikan hal-hal stok baru ni. Carl duduklah dulu ye?” pinta Mikael serentak bangun daripada duduknya. Carl tersenyum kecil. Wajah tampan Mikael ditatap.
   Yelah. Carl pun tak boleh lama. Abang pergilah, nanti tertunggu-tunggu pula supplier abang tu.” ujar Carl sopan.
   “ Kalau macam tu, abang pergi dululah. Mai, kalau ada apa-apa telefon abang segera.” pesan dia pada Misarah pula. Maisarah angguk sahaja. Usai bersalaman dengan Maisarah dan Carl, Mikael segera angkat kaki.
   Hilang sahaja kelibat Mikael, Carl terus merapati tubuh kecil Raziqin. Diusap kecil pipi mulus yang sedikit tembam itu. Hatinya benar-benar sudah jatuh kasih pada anak yang satu itu. Tenang wajah itu beradu setelah hampir satu jam menangis. Maisarah hanya memerhati.
   “ Anak papa.. kenapa boleh jadi macam ni, sayang? Sayang sepatutnya kena kuat tahu? Tak boleh buat mama risau. Cukuplah papa aje yang selalu risaukan mama. Sayang kena cepat sembuh. Tak boleh macam ni terus. Sayang kena kuat macam mama. Macam papa. Kena kuat supaya kita semua sempat berkumpul nanti, InsyaAllah. Papa sayang anak papa ni.” ujar Carl seolah-olah anaknya itu faham dan mendengar tutur katanya. Maisarah mula sebak. Wajahnya menunduk sayu.
   “ Ziqin.. cepat sembuh ye sayang? Sayang perlu sembuh sebab sayang adalah kekuatan mama. Kalau papa tak ada, sayang boleh temankan mama. Anak lelaki papa kan kuat? Janji dengan papa, cepat sembuh. Papa tak sanggup tengok sayang terlantar macam ni.” Sambung Carl lagi. Air mata setitis menitik mengenai jari kecil Ziqin.
   Seketika, dia tunduk mencium kedua-dua belah pipi tembam Ziqin. Seolah-olah memahami sentuhan si ayah, Ziqin tersedar daripada lena. Anak kecil itu merengek-rengek kecil. Cepat pula Carl  bertindak menepuk-nepuk tubuh kecil itu supaya lena kembali. Tapi, lain pula reaksi Ziqin.
   Mata bulat anak kecil itu yang sedikit bergenang hanya terkebil-kebil memandang wajah papanya. Rengekan yang tadi kedengaran bertukar sunyi. Carl tersenyum. Comel wajah Ziqin sambil mata bulat itu terus memandangnya. Ya Allah, seolah-olah anak kecil itu faham akan situasi papa dan mamanya yang penuh dugaan. Carl berdetik sayu.
   Esakan kecil di sebelahnya menyedarkan Carl. Untuk kali terakhir sebelum berpisah, Carl tunduk mencium dahi Ziqin. Tubuh itu didodoikan lagi. Dan sekejapan pula Ziqin sudah lena kembali. Kemudian, dia beralih melangkah pada Maisarah.
   “ Sayang.. abang pergi dulu. Tolong jagakan Ziqin macam mana sayang pernah jaga abang bila abang sakit dulu. Sayang ingat tahu, abang selalu dekat di hati sayang walaupun kita terpaksa berjauhan. InsyaAllah, abang yakin sayang boleh hadapi semua ini.” ujar Carl hiba. Maisarah akur. Dia tunduk mencium tangan kanan si suami. Setelah medapat sebuah ciuman kecil di dahi daripada si suami, tubuh Carl terus melangkah pergi. Dan Maisarah hanya mampu melihat tanpa mampu menghalang.

No comments:

Post a Comment