PeNgiKuT sEtiA..

Monday, March 4, 2013

Kerana Dirinya 2 (Bab 2)


Bab 2
Keesokannya..

Tingkah laku Carl semakin pelik pada pandangan mata Maisarah. Dia nampak suaminya seolah-olah sengaja hendak menjarakkan hubungan mereka. Maisarah gelisah. Dia khuatir andainya dia ada melakukan kesilapan tanpa sedar sehingga Carl berubah laku sebegitu. Maisarah termenung di birai katil memerhatikan suaminya solat Isyak.
   Bertambah aneh sudut hatinya apabila Carl langsung tidak menunggu dia untuk solat berjemaah tadi. Dek rasa kecil hati, Maisarah mengheret kaki ke bilik tamu untuk solat. Tapi, rasa terkilan dibuang jauh-jauh memikirkan perubahan lelaki itu. Dia perlu dapatkan jawapan. Sejak semalam lagi Carl menunjukkan sikap aneh. Dan sebagai isteri, dia wajib untuk mengambil tahu.
   Maisarah masih sabar menunggu suaminya usai solat. Diperhatikan tingkah suaminya dengan rasa sayang dan kagum yang menebal. Semenjak Carl bergelar suaminya, tidak pernah dia nampak Carl meninggalkan atau melambatkan solat sekalipun. Sesungguhnya hidayah Allah S.W.T itu sentiasa ada untuk hambaNya. Detik hati Maisarah.
   Carl memberi salam kanan dan kiri. Usai sahaja meraup wajah dengan kedua-dua belah tapak tangan, dia tersentak tatkala matanya menjamah sesusuk tubuh tegak berdiri di sebelah. Carl berpura-pura melipat sejadah. Maisarah dengan bersusah-payah cuba mencapai lengan suaminya. Ingin diajak berbincang di birai katil. Tanpa diduga, sentuhan itu seolah-olah tidak menyelesakan Carl. Carl menepis. Walaupun hanya dengan tepisan lembut, ianya tetap menyentakkan hati kecil Maisarah.
   Carl perasan riak isterinya berubah. Tapi, dia sengaja buat tidak tahu. Dia perlu melakukan semua ini. Ya, dia perlu melatih diri agar melupakan Maisarah. Demi keselamatan Maisarah dan anak yang bakal menjengah dunia.
   Air mata mula bertakung. Diperhatikan batang tubuh suaminya yang dah bergerak meninggalkannya. Segera dia mengekori. Bersama perut yang sarat, dia terpaksa mengumpul kudrat yang lebih untuk menyaingi si suami.
   “ Abang.. tunggu Mai.” panggil Maisarah. Tapi, Carl pekakkan telinga. Hatinya perih mengenangkan layanan yang diberikan buat si isteri. Carl tarik nafas berat. Maafkan abang. Desis hati Carl bersama langkah yang masih diatur. Sengaja dia hendak mengelakkan diri. Menjarakkan hubungan yang selama ini bertaut dan tersimpul mati.
   Sampai di muka pintu, langkah Maisarah terhenti. Akalnya mula terfikirkan sesuatu.
  “ Arghh..” Maisarah mengerang sakit. Serta-merta langkah Carl kaku. Tanpa bertangguh, dia berpaling mendapatkan isterinya yang sempat berpaut pada ambang pintu. Tubuh itu tampak tak stabil. Wajah Carl tampak panik. Dia segera mendapatkan Maisarah dengan langkah terkocoh-kocoh.
    “ Kenapa sayang??” soal dia cemas. Maisarah memegang kejap bahu si suami. Seketika, dia tersenyum comel. Tahu pun nak berhenti. Hehe.. detik hati Maisarah nakal.
   Dahi Carl berkerut seribu. Tadi nampak macam sakit? Sekarang boleh senyum pulak? Dia tak tahu ke aku tengah risau ni? Bebel hati Carl sedikit geram. Bibir diketap. Sabar, Carl Rayyan.
    “ Tahu pun risau. Kalau risau, kenapa jalan laju sangat? Tak takut Mai jatuh tergolek ke?” ujar Maisarah sedikit manja. Carl hela nafas lega. Faham isterinya hanya berpura-puara sakit tadi. Huh, sikit lagi jantung dia nak terlompat keluar.
   “ Mai ni serius sikit, boleh tak??” marah Carl sedikit bengang. Wajah Maisarah yang tadinya tersenyum nakal mula berubah kelat. Erk!
   “ Abang marah Mai?” soal suara itu terketar-ketar menahan sebak. Carl berpaling. Ya Allah, dia tak tega untuk melihat mendung wajah itu. Kenapa begini sekali pengorbanan yang harus dilakukan? Jerit batin Carl. Tangan naik meramas rambut. Tertekan!
   Reaksi suaminya yang langsung tak menghiraukan pertanyaannya memaksa Maisarah menarik lengan sasa itu.
   “ Abang.. abang marah Mai? Mai tak ada niat pun nak main-mainkan abang. Mai minta ampun.” ujar Maisarah sambil berkali-kali mengucup tangan sasa itu. Carl masih tak berpaling. Maisarah sebak. Kenapa abang berubah sampai macam ni? Abang cakap abang sayang Mai? Sekarang, wajah Mai pun abang tak nak pandang? Monolog Maisarah sayu. Dia sudah mula teresak-esak.
   Carl serba-salah. Dengan teragak-agak, dia berpaling jua menghadap tubuh si isteri. Wajah Maisarah sudah basah dicemari titisan jernih. Carl rasa pedih. Senak ulu hatinya. Kemudian, anak matanya jatuh pula pada perut Maisarah yang memboyot. Papa sayang baby. Maaf sebab papa terpaksa buat mama macam ni. Detik hati Carl lagi.
   Kedua-dua belah pipi Maisarah dipegang. Carl tersenyum nipis. Tangan naik menyapu air mata wanita yang amat dicintai itu. Mungkin dia tak perlu berlakon sebegini. Ada baiknya dia bahagiakan Mai untuk malam terakhir mereka ini. Ya.. itu yang perlu dia lakukan.
   “ Shh.. jangan nangis sayang. Abang tak marah. Abang sayang Mai, jangan fikir bukan-bukan.” ujar suara itu memujuk pula.
   Maisarah mendadak panggung kepala. Yeayay.. abang tak marah. Air mata disapu rakus.
   “ Betul tak marah Mai? Habis tu, kenapa tinggi-tinggi suara tadi?” Maisarah sudah berhenti menangis. Dia goncang-goncangkan lengan si suami mengharapkan jawapan.
   “ Tak adalah. Abang mana ada tinggi-tinggi suara. Mai ni..” dalih Carl lagi lalu tangan Maisarah dipimpin menuju ke katil mereka. Maisarah hanya mengikut bagaikan dipukau.
   Carl membaringkan tubuh Maisarah di atas katil besar itu. Maisarah hanya mampu terpinga-pinga. Aik, berubah-ubah kelakuan suaminya ini. Pelik betullah!
   “ Mai tidur ye? Abang ada kerja nak buat kat bilik bacaan. Tidur, sayang.” ujar Carl untuk menutup persoalan yang diajukan. Dia sebetulnya tidak ada jawapan untuk soalan isterinya. Dia tak tahu bagaimana  hendak menjawab. Dia bingung!
   Terkelip-kelip mata Maisarah memandang suaminya.
   “ Abang tak nak tidur dengan Mai? Temankan Mai macam abang selalu buat? Bacakan surah Yusof untuk Mai sebelum tidur?” soal Maisarah lembut. Langsung Maisarah lupa akan pertanyaannya tadi. Tambahan pula, tubuhnya juga cepat penat sejak kebelakangan ini. Jadi, elok juga Carl suruh dia tidur. Hmm.. nikmat!
   Carl tersenyum mendengar permintaan yang agak polos kedengaran itu.
   “ Kejap lagi abang temankan sayang. Tidurlah.” ujar Carl lalu menarik selimut membaluti tubuh itu. Lama dia menatap wajah Maisarah yang dah mula memejamkan mata. Carl tunduk mencium dahi isterinya lalu dia terus melangkah keluar ditemani perasaan sebak yang berkecamuk hebat.
   Mungkin ini malam yang terakhir abang dapat tengok Mai. Allah, pedihnya hati!! Carl menangis lagi di sebalik dinding yang menghala ke tingkat bawah. Air mata tanpa jemu mengalir. Dia benar-benar lemah. Lemah memikirkan hakikat itu!

No comments:

Post a Comment