PeNgiKuT sEtiA..

Monday, March 4, 2013

Kerana Dirinya 1 (Cerpen)


Kerana Dirinya..
Oleh : Hana Efryna

Carl Rayyan memandang sekeliling. Wajahnya nampak bengis dan tajam sekali menghadap satu susuk tubuh di hadapannya. Lelaki campuran  yang berdarah kacukan itu masih lagi tekun memerhati tingkah konco-konconya yang kejam itu. Hatinya puas. Perasaan geramnya mula terhakis. Dengan rasa geram yang memuncak, dia mara ke hadapan. Dan..
   Buk!
   Satu tendangan tepat mengenai perut lelaki yang masih terbaring kaku itu. Darah menyembur keluar membasahi jalan tar di belakang bangunan lama itu. Kawasan yang sedikit terlindung daripada orang ramai.
   “ Angkat dia! Campak aje kat mana-mana gaung!” arah lelaki sasa yang mengetuai kumpulan Ah long itu. Konco-konconya yang lain segera mengikut arahan. Sebelum tubuh itu diangkat, sempat lagi mereka menendang muka dan seluruh tubuh lelaki yang sudah lembik itu.
   “ To.. tolong, Carl. Bagi aku masa, aku akan ganti duit kau. Aku jan.. janji. Jangan bunuh aku, Carl.” rayu lelaki yang dikenali sebagai Mikael itu. Kedengaran tawa berdekah-dekah. Dia melangkah dekat. Dagu Mikael dicengkam kuat. Wajahnya sinis. Walaupun ini baru beberapa kali dia bertugas dalam kumpulan haram itu, tapi dia sudah nampak mahir mengendalikan hal-hal begini.
   “ Bodoh! Kau terlambat. Aku dah bagi kau masa lebih daripada enam bulan, tahu tak? Sorry to say.. aku terpaksa ikut arahan daddy aku. So, kau siap sedia ajelah.” Langsung pecah lagi ketawa Carl. Mikael memejam mata. Mungkin sudah sampai masanya. Ya Allah.. dia benar-benar berserah. Saat tubuhnya terasa diseret ke arah sebuah kereta, sempat lagi dia mengingati seseorang. Seseorang yang amat penting dalam hidupnya. Hanya ‘seseorang’ itu yang dia ada selama ini semenjak kematian walid dan uminya.
   ‘ Mai.. abang dah tak dapat jaga Mai. Mai jaga diri Mai. Jadi orang yang berguna ye? Abang sayang Mai. Abang pergi dulu.’
   Luahan terakhirnya sebelum dia dapat rasa tubuhnya sakit dihumban kasar. Darah mula mengalir di sekitar kepala dan badan-badannya yang dah luka teruk. Bibir itu pecah dek tumbukan yang berpadu-padu. Belum sempat pintu kereta mewah itu dikatup rapat, ada satu suara halus kedengaran.
   “ Nanti dulu!!” jerit seorang gadis yang muncul dalam keadaan tidak terurus. Tudungnya nampak sedikit senget di kepala. Baju pula seolah-olah tidak sempat dirapikan. Wajah itu juga pucat sekali. Mikael dapat lihat wajah adik kesayangannya itu.
  ‘Ya Allah.. kenapa Mai boleh datang ke sini?’ Hatinya menjerit bimbang. Bimbang adiknya menjadi mangsa pula. Lagipun, Carl sendiri sudah menggunakan adiknya untuk mengugutnya saban hari. Jadi, dia benar-benar takut semua itu berlaku hari ini.
   Ah, mungkin Maisarah terbaca mesej Carl. Dia terlupa membawa telefon bimbit buruknya itu.
   Carl tersentak. Dia yang baru hendak melangkah ke arah kereta sport Ferrari merah miliknya terhenti. Pantas dia berpaling. Tika itu, dia tergamam. Tubuhnya kaku tidak bergerak. Dia dapat lihat keadaan gadis yang mungkin berusia belasan tahun itu sedang melangkah dengan gaya tergopoh-gapah. Wajah pucat itu ditatap penuh aneh. Siapa pula ni?
   Segera konco-konconya bergerak hendak menahan gadis itu. Namun, kali ini Carl bertindak pelik. Dia mengangkat tangan agar konco-konconya berhenti. Dengan langkah penuh macho sambil tangan diselukkan ke dalam poket. Dia melangkah menghampiri gadis yang misteri itu.
   Maisarah Qistina melangkah dengan penuh debar. Sungguh, tubuhnya benar-benar sakit kala ini. Tapi, demi nyawa insan yang amat penting itu.. dia akan cuba bertahan. Wajah Carl dipandang dengan rasa gerun.
   Sayang.. wajah tampan itu langsung nampak tidak layak bergelumang dalam aktiviti haram sebegini. Bisik hatinya memuji lelaki yang mungkin berusia hampir sebaya dengan abangnya yang tua tujuh tahun daripadanya itu.
  “ Kau siapa??” Carl menyoal garang. Tersentak Maisarah dek sergahan kasar itu. Dia cuba mengangkat wajah dengan pandangan gementar. Tuhan.. semoga hari ini bukan menjadi hari yang malang buat dirinya terus. Doanya penuh kudus. Air mata bergenang tanpa disedari.
   Carl tergamam lagi. Air mata yang terbit itu sedikit menyentuh hatinya. Wajah polos itu benar-benar buat dia rasa satu perasaan asing. Ya.. dia rasa kasihan pada raut wajah yang jelas penuh duka itu. Carl berdiri sambil berpeluk tubuh. Konco-konconya yang lain masih berdiri di sekeliling seperti menunggu arahan sahaja.
   Tangan kecil itu terketar-ketar sambil menghulurkan sesuatu. Carl kerut kening. Dia tunduk pandang sampul berwarna coklat yang berada ditangan kanan gadis itu.
    “ Lepaskan abang saya. Tolong, lepaskan abang saya. Ini wang awak. Lepaskan dia. Hanya dia yang saya ada. Tolonglah..” ucap gadis itu tiba-tiba sebelum jatuh melutut. Kaki Carl dipegang sembari ditemani air mata yang mencurah-curah mengalir. Carl terpana lagi dek aksi gadis itu yang tak diduga. Tubuhnya mara ke belakang. Tidak selesa dengan tingkah gadis itu. Tangan halus itu masih lagi menyuakan sampul yang nampak berisi itu.
   Dengan teragak-agak, Carl menyambut sampul kecil itu. Sampul tersebut terus dilempar pada konconya. Faham akan maksud ketuanya, Ah Lim segera mengira duit tersebut.
   “ Bos, duit ni tak cukup. Kurang lima ribu. Abang dia hutang kita itu dalam sepuluh puluh ribu. Campur itu bunga sudah kira lima belas ribu maa..” Maklum Ah Lim lantang. Carl mendengus kasar. Dia duduk menunduk menghadap gadis itu. Wajahnya tetap diriakkan tajam.
   “ Hutang abang kau dengan daddy aku lima belas ribu. Kau bayar sepuluh ribu. Macam mana aku nak lepaskan abang kau??” Carl menyoal kasar. Wajah Maisarah didongak dengan hujung jarinya. Seketika, pandangan mereka beradu. Dia sekali lagi terpana melihat mata jernih yang hebat bergenang itu. Sungguh, dia rasa benar-benar bersalah. Tidak tahu atas dasar apa. Semua itu mucul tanpa dipinta.
   Maisarah mengengsot sambil merayu-rayu. Tubuh yang sakit tak dihiraukan. Tangisannya bergema memecahkan suasana yang sedikit hening. Lutut Carl dipegang kuat sambil tubuhnya hebat berlawan dengan sendu yang menggila.
   “ Saya.. saya akan bayar. Tolong bagi saya masa tiga hari. Awak ambil dulu duit tu. Saya janji akan ganti. Kalau saya tak mampu, awak ambil saya sebagai galang ganti. Tapi, tolong lepaskan abang saya.” rayu dia lagi. Carl terdiam agak lama. Dia cuba mencerna maksud gadis itu. Tanpa bertangguh, dia terus bengun lalu laju menapak ke arah kereta sportnya semula.
   Dia tidak betah hendak menghadap wajah itu. Hatinya seperti disengat sesuatu. Sakit sangat melihat wajah mendung itu. Ah, kenapa dengan aku ni? Carl marah dirinya sendiri.
   “ Lim, lepaskan Mika!” arahnya tegas sebelum tubuh dia menghilang di sebalik pintu kereta sport itu. Maisarah mengucap syukur mendengar arahan itu.

****************

Carl Rayyan termenung di bilik mewah banglo tiga tingkat daddynya. Kehadiran adik perempuan Mikael benar-benar mengganggu lenanya. Dia lelah. Kenapa otaknya sibuk memikirkan gadis polos yang baru satu kali bertemu itu??
   Kepala dipegang kuat sebelum tubuh direbah kasar di atas katil empuk bersaiz king itu. Seketika, rambutnya ditarik kuat menjelaskan dirinya yang sarat dihujani tekanan.
   “ Carl, kenapa dengan kamu?” soal Bernard, daddynya. Wajah lelaki tua itu direnung. Tersentak juga dia dek teguran yang tiba-tiba itu.
  Ah, daddy ni masuk bilik aku tak reti ketuk pintu ke?? Bentak hatinya memarahi ayah angkatnya itu.
   Nothing, daddy. Just thinking about something.” balas dia malas. Wajah Bernard ditentang sekilas sebelum dia bangun lalu merebahkan duduk di atas sofa empuk di penjuru bilik. Bilik itu dijelajah dengan mata kasarnya. Bilik yang tampak mewah hasil kegiatan haram daddy. Memang dia seorang Muslim meskipun daddynya masih beragama Kristian.
   Yelah.. Bernard itu cuma ayah angkatnya sahaja selepas mummynya, Lucia Aisyah Abdullah meninggal dek kanser paru-paru hampir 23 tahun yang lepas. Setahu dia, mummynya adalah gadis Ireland berkahwin dengan papa kandungnya yang memang melayu tulen. Selepas mengenali papa baru mummynya memeluk Islam.
   Tapi, belum sempat dia nak kenal papa sendiri, papanya meninggal dek satu kemalangan kapal terbang. Maklumlah, papanya adalah seorang pilot. Oleh kerana itulah, mummynya menyerahkan dia pada Bernard. Iaitu sepupu mummy sendiri ketika dia berumur tiga tahun.
   “ Daddy bangga dengan kamu, Carl. Kamu dah buat apa yang daddy suruh. Kamu dah buktikan yang usaha daddy besarkan kamu selama ini tidak sia-sia.” ujar Bernard tiba-tiba dengan senyuman lebar. Carl tersenyum hambar. Buat kerja haram macam tu pun bangga ke? Detik hatinya.
   Sebetulnya, dia melaksanakan tugas ini bukan kerana rela. Tapi, didesak oleh Bernard. Kata Bernard, sudah tiba masa dia membalas jasa baik lelaki tua itu. Pantang dicabar, Carl terus menyahut cabaran itu. Tapi baru sekali sahaja dia terlibat membelasah orang, hatinya sudah rasa tepu dengan dosa. Mangsa pertamanya adalah Mikael.
   Ya Tuhan, apa yang perlu aku lakukan? Bisik hatinya bingung sambil fikiran menerawang ke arah lain. Kepalanya berdenyut sakit. Wajah Bernard mula dicari. Teryata, lelaki tua itu masih tersenyum bangga. Bangga kerana anak terunanya mengikut jejak langkah dia!
   “ Daddy, Carl nak ke club.” ujar dia sepintas lalu sebelum mengatur langkah.
   Enjoy your night, Carl” laung Bernard lalu ketawa berdekah-dekah.

**************************

Carl duduk di meja yang terdapat dalam kelab malam itu. Suasana bingit dengan muzik yang kuat terpasang. Di tengah pentas, kelihatan ramai muda-mudi rancak menari sambil meneguk air syaitan. Dia juga tidak ketinggalan. Meskipun nama yang tertulis dalam surat beranak adalah Carl Rayyan bin Rahimi. Tapi, air itu sudah menjadi kebiasaannya.
   Carl meneguk air itu sedikit. Apalah sangat kalau setakat seteguk dua itu? Dia memang takkan mabuk sebab dia dah biasa sangat dengan air syaitan itu. Mata mula meliar memerhati gadis-gadis di tengah pentas yang meliuk-lentok menari rancak. Seketika, matanya jatuh pada sesusuk tubuh yang berada di luar kelab. Segera dia bangun untuk ke pintu utama.
   “ Tolong, encik. Saya perlukan duit. Kalau saya bagi layanan saya kali ini, saya cuma nak lima ribu sebagai bayaran.” Kedengaran keji ayat itu dilontarkan. Tapi, apakan daya? Dia tak ada pilihan lain. Wajah lelaki melayu yang hitam manis itu ditatap penuh harap.
   “ Cantik.. saya tak ada masalah nak langgan awak. Tapi, biasanya kalau setakat gadis-gadis macam awak ni..” Lelaki berkulit hitam manis itu menjeling pemakaian Maisarah yang lengkap berbaju kurung lusuh. Dia tersenyum mengejek.
   “ Dalam seribu setengah, bolehlah.” Dia sambung lagi. Maisarah kelu. Kalau boleh, cukuplah dia memperhambakan tubuhnya pada dua orang lelaki sahaja. Kalau lelaki dihadapannya ini membayar dia dengan harga sebanyak seribu setengah, ini bermakna dia terpaksa mencari pelanggan lain untuk genapkan wang itu menjadi lima ribu. Ya Allah!
   “ Tolonglah, encik. Saya janji akan bagi layanan yang terbaik. Saya perlukan wang.” Subhanallah.. sungguh dia rasa hina dengan merayu-rayu sebegini agar lelaki ini meniduri dirinya demi sejumlah wang!
   Carl yang masih berdiri tidak jauh dari susuk tubuh itu masih memerhati. Dia rasa macam kenal wajah itu.
   Lelaki berkulit hitam manis itu masih lagi merenung tubuh Maisarah. Seolah-olah cuba menimbang tawaran itu.
   Alah.. tak luak kot duit kau setakat lima ribu tu. Lagipun, nampak macam bagus aje servis budak macam ni. Yelah.. dah namanya pun terdesak. Getusnya sambil tersenyum sinis.
   Tak pernah dia jumpa gadis yang sanggup merayu untuk ditiduri dengan gaya sebegini. Kebiasaannya, gadis-gadis yang pernah dia nodai datang kepadanya dengan lenggok gedik dan mengancam. Tapi, gadis di hadapannya nampak polos. Tiba-tiba.. dia rasa bersemangat nak meratah tubuh itu.
   “ Okey.. saya setuju. Saya bayar awak lima ribu. Jom, ikut saya. Kita ke hotel sana.” Tunjuk lelaki berkulit hitam manis itu seraya menunjukkan hotel murah tidak jauh dari mereka. Bukan dia tidak mampu hendak menyewa hotal mewah. Tapi, dia tak nak tingkahnya dapat dihidu oleh klien-klien pentingnya. Nanti jatuhlah reputasi syarikatnya. Ah, dia kena bijak!
   Carl tersentak hebat melihat anggukan si gadis. Dia nampak wajah itu terpaksa. Darah langsung naik membuak-buak. Dia marah dengan sikap bodoh gadis itu. Bersama langkah yang laju, dia mengatur sambil cuba menahan amarah yang menggila. Eh, yang aku naik angin ni dah kenapa? Sempat lagi Carl terfikir bersama langkah yang masih diatur rakus.
  Lengan Maisarah yang mula dibawa pergi oleh lelaki asing tadi direntap kasar. Disebabkan rentapan kuat itu, Maisarah terpaling memeluk tubuh sasa yang lengkap berjeans hitam dan t-shirt hijau gelap. Jaket kulit hitam juga tersarung kemas pada tubuh tegap itu.
    Hidungnya tepat berlabuh pada dada bidang itu. Seketika, dia terlopong. Dan lelaki berkulit hitam manis itu pula pandang Carl bersama renungan tajam.
   Bro, apa hal ni?” marah lelaki itu. Carl beriak selamba sebelum bersuara.
   This lady is mine. I dah booked dia awal-awal. So, you better stay away before I panggil konco-konco I!!” gertak Carl menyebabkan lelaki tadi mula kecut perut. Yelah.. kalau dah begitu Carl mengugutnya, memang dia seram jugalah. Lagipun, badan sasa Carl yang nampak gagah itu memang tak terlawan oleh tubuhnya yang sedikit kering itu.
   “ Oh.. sorry, bro. Aku ingat gadis cantik ni tak ada orang ‘cop’ lagi. Kau ambiklah. Aku chow.”  ujar lelaki itu tergopoh-gapah. Maisarah tahan hati. Rasa macam barang dagangan apabila ditukar-tukar sebegitu. Ah, dia memang sudah lama terjual! Terjual harga dirinya! Allah!!
   Air mata mengalir lagi. Namun, tak lama apabila dia dapat rasa tubuh dia diseret ke arah sebuah kereta. Badan mula menggigil kuat. Dia nak buat apa ni? Hatinya cemas.
   “ Masuk!!” arah Carl marah. Maisarah terkejut. Mata merah lelaki yang pernah memukul abangnya langsung tidak berani ditentang.
   “ Aku kata masuk!!!” Bergema lagi suara itu seraya menolak kasar tubuh Maisarah. Maisarah pejam mata. Dia benar-benar takut.
   Carl ambil tempat pemandu. Dia menarik nafas kuat. Perasaan marah yang entah kenapa singgah dek melihat aksi Maisarah tadi cuba diusir jauh. Bimbang kalau dia memandu dalam keadaan begini, lain jadinya nanti. Sedar-sedar.. ada dalam rumah bertiang dua pula.
   Ah, kenapa dengan aku ni?? Kenapa aku perlu rasa sakit hati?? Jeritnya sebelum wajah polos itu ditatap dengan anak mata yang mula berubah redup. Tidak setajam tadi. Kasihannya gadis ini.. detik hatinya lalu pedal minyak ditekan.

***********************

Maisarah berdiri kaku di hujung penjuru katil hotel mewah itu. Tangan diramas satu sama lain. Carl yang duduk bersandar pada dinding memandangnya tajam membuatkan duduknya tak selesa.
   “ Kenapa kau buat macam tu??” Satu suara melengking kuat menarik pergi sedikit semangat Maisarah. Sikap berdiam diri Maisarah menaikkan darahnya. Segera dia menapak mendekati. Maisarah dapat rasa tubuh sasa itu menjejakinya. Dia mula rasa seram-sejuk.
   “ Kau dengar tak aku tanya??” Carl menunjal dahi Maisarah dek rasa geram yang mula hangat kembali. Sesungguhnya, hatinya pedih melihat cara Maisarah hendak melacurkan diri tadi. Dia memang tidak rela tubuh itu disentuh lelaki tadi. Hatinya menggelegak panas apabila teringat akan insiden baru sejam lalu.
   “ Saya.. saya buat macam tu sebab nak bayar duit awak. Saya nak abang selamat. Tu je cara yang saya ada.” balas Maisarah terketar-ketar.
   “ Bodoh!!” tempik Carl marah. Marah pada diri juga terselit sama kerana dia punca Maisarah jadi hilang akal sebegitu. Tiba-tiba ada hasutan jahat menjengah dirinya yang tengah membahang itu.
   “ Kau nak sangat bayar hutang aku kan?? Kau nak sangat kan??” herdik Carl lagi. Tangisan Maisarah pecah dek rasa takut yang menebal. Kenapa lelaki ini perlu marah dia sedangkan mereka bukannya kenal rapat? Detik Maisarah mula geram. Tapi, dia tak berani nak melawan. Kang penampar makan dia!
   “ Kau nak sangat ke, perempuan??” tempik Carl sambil menumbuk dinding. Dia tertekan. Sangat tertekan. Ini semua salah daddy. Daddy yang paksa dia buat kerja haram ini. Dan dia sekarang rasa bersalah yang teramat. Maisarah masih menunduk takut dengan tangisan yang mula berlagu. Carl mendengus keras.
   “ Okey.. kalau kau nak sangat langsaikan hutang abang kau tu. Kalau kau nak sangat jadi adik mithali dengan korbankan diri kau tu, kau layan aku macam yang kau tawarkan pada jantan keparat tadi. Lepas tu, aku akan kira hutang abang kau langsai. Nah, ni duit tambahan aku bagi pada kau. Kau terdesak sangat kan??” perli Carl sinis. Beberapa not RM50 dicampak ke muka Maisarah. Maisarah pejam mata. Hinanya diri ini, Tuhan. Dia menangis lagi.
   Carl merentap kasar baju Maisarah. Perasaan marah memaksanya bertindak di luar kawalan. Sesungguhnya, dia tidak pernah berzina. Dan mungkin kali ini merupakan pengalaman pertamanya. Maisarah menahan sakit apabila kuku Carl yang merentap kasar tubuhnya membuatkan bahunya berdarah kecil.
   Tubuh Maisarah ditolak kasar. Carl naik menindih tubuh itu. Kedua-dua paha itu dikunci dengan kedua-dua belah pahanya. Dia mula mencumbui kasar wajah itu. Maisarah hanya mampu meraung. Sakit sekitar lehernya dek cumbuan kasar lelaki gila seperti Carl.
   “ Allah.” Tanpa sedar, Maisarah terlafaz kalimah indah itu. Perbuatan Carl terhenti dengan serta-merta. Dia mula tersedar akan sesuatu. Wajah gadis yang tidak diketahui nama itu dipandang. Sayu wajah itu dengan mata terpejam ditemani tubuh yang menggeletar ketakutan.
   Maisarah terkejut apabila tubuhnya yang kasar digomol itu mula terasa sedikit ringan apabila beban tubuh Carl mula berkalih. Carl mencapai t-shirt hijau gelapnya semula lalu menyarung pada tubuh kembali. Maisarah bangun. Baju yang dah tersingkap ke atas ditarik perlahan menutupi tubuh. Hmm.. nasib baik tudungnya masih berada pada kedudukan yang sepatutnya.
   “ Apa nama kau?” soal Carl yang mula nampak tenang lalu duduk bersandar pada sofa berangkai tiga itu. Maisarah tercengang-cengang.
   “ Maisarah Qistina.” jawab gadis itu menunduk dengan wajah takut. Air mata disapu perlahan.
  “ Umur?” soal dia lagi.
   “ 19 tahun.” Carl terkejut. Muda. Detik hatinya.
   “ Kau tak perlu bayar hutang tu. Anggap saja dah selesai!” ujar Carl bersahaja. Tiba-tiba pula mulutnya melancarkan ayat itu. Maisarah terlopong. Wajahnya bersinar riang.
   “ Be.. betul ke?” soal dia kurang percaya. Carl angguk.
   “ Terima kasih. Terima kasih. Saya terhutang budi pada awak.”
   “ Tapi, dengan syarat.” ujar Carl pula. Maisarah matikan senyuman yang mula terbit.
   “ Err.. apa syarat awak? Saya akan cuba turuti.” ujar dia kurang yakin. Mampu ke dia laksanakan sebarang syarat yang lelaki ini tetapkan?
   “ Kahwin dengan aku. Ajarkan aku pasal agama!!” Tegas suara Carl. Dan saat itu, Maisarah rasa nak pitam!!

************************

Mikael yang berjalan terjingkit-jingkit itu mula rasa tidak sedap hati apabila wajah Carl muncul depan matanya. Dia merenung penuh debar wajah anak kongsi gelap yang agak tersohor itu.
   “ Mai.. mari kat abang.” arah Mikael Qaiyum. Patuh arahan abangnya, Maisarah bergerak perlahan. Mikael manarik lengan adiknya agar menyorok di belakangnya. Dia tak nak Maisarah diapa-apakan.
   Cukuplah sekali dengan peristiwa hitam hanya untuk selamatkan dia. Semua kerana dia yang kalah berjudi. Dia fikir dengan duit yang dipinjam itu dia mampu menang perjudian. Tapi, sebaliknya pula. Dan, Maisarah yang menjadi mangsa. Niatnya hendak menyenangkan adiknya. Tapi, adik dia pula yang menanggung susah. Dia sayu!
   “ Aku datang bukan dengan niat jahat. Aku datang nak minta sesuatu.” ujar Carl tenang sambil tangan diselukkan dalam poket. Terserlah gaya macho wajah tampan itu apabila berlagak sebegitu. Mikael kerut kening. Maisarah pula diam membisu bersama linangan air mata.
   “ Err.. aku akan bayar duit tu.” ujar Mikael cemas. Wajah berpeluh sakan.
   “ Tak. Bukan itu maksud aku. Aku tak nak duit.” Tersentak Mikael mendengar luahan Carl.
   “ Apa maksud kau?” soal Mikael takut-takut. Dadanya bergetar hebat. Bimbang Carl meminta sesuatu yang dia takkan mampu bagi dan tunaikan.
   “ Aku nak kahwin dengan Maisarah. Dan dia dah setuju. Niat aku ikhlas. Aku nak belajar agama. Sumpah, aku tak ada niat buruk.” Sebaik sahaja ayat itu meluncur laju, Mikael tergamam tanpa kata. Adiknya setuju? Biar betul?

********************

Setelah dijelaskan tentang status dia pada Mikael. Akhirnya Mikael bersetuju sahaja. Lagipun, dia mula rasa Carl adalah lelaki baik. Lagipun, Carl juga yang selamatkan adiknya daripada menjadi mangsa nafsu lelaki untuk kali kedua.
   Kata Carl, dia rela tinggalkan harta mewah hasil kegiatan haram itu hanya untuk Maisarah. Dia nekad hendak mengenali Allah S.W.T. Maklumlah, daripada berumur 3 tahun, dia dididik oleh daddynya yang beragama Kristian. Sudah tentu, dia tidak ada ilmu agama tentang Islam.
   Mengenai cerita Carl juga, dia sebenarnya dipaksa oleh daddynya untuk melakukan kerja haram itu. Mikael hampir tak percaya apabila tahu Carl juga mempunyai Master dalam bidang engineering dan berkelulusan luar negara. Amat jauh berbeza dibandingkan dirinya dan Maisarah yang hanya belajar setakat SPM. Meskipun keputusan SPM Maisarah dan Mikael agak cemerlang dengan memperoleh 9A dan 10A. Tapi, faktor kewangan menjadi punca.
   “ Dad.. I want to quit!” tegas dia pada Bernard.
   Don’t make a joke, son!!” tengking Bernard marah. Carl raup wajah. Meskipun rasa sayang itu tetap ada buat lelaki yang telah mengasuhnya itu. Tapi, dia perlu berundur sebelum segala-galanya terlambat.
   “ Saya serius, daddy. Daddy, duit yang kita makan ni duit haram. Saya tak nak. Tolonglah, jangan libatkan saya dalam bisnes kotor daddy. I want to have a new life!”
   Pang!
   Pipinya terasa pijar. Kuat tangan Bernard melekap pada wajahnya.
   “ Jangan kurang ajar dengan daddy. Daddy yang besarkan kau!!!” tengking suara itu lagi. Wajahnya memerah menahan marah.
   I need to be rude, daddy. Kalau harta yang daddy banggakan, Carl tak nak. Dan lagi satu, Carl akan kahwin tak lama lagi. Dengan adik Mikael!!” Luahan ayat itu membuatkan Bernard naik gila. Terus dia menerpa pada Carl. Wajah itu ditumbuk laju. Carl terjelopok jatuh. Dia diam tak melawan. Dia masih hormatkan lelaki tua itu sebagai daddynya. Bibir yang berdarah dikesat pada hujung lengan baju.
   “ Kamu tak guna, Carl. Baik, daddy akan lepaskan kamu. Tapi, ingat. Jangan berani kamu balik ke sini lagi. Bawa semua barang-barang kamu. Dan get out!!!” Serentak dengan itu, Bernard melangkah laju. Dia memang sayang pada Carl. Tapi, anaknya sudah belot. Dan prinsipnya, dia takkan menyimpan pembelot. Kalau tak dihalau, dia akan bunuh anaknya itu nanti.
   Carl terduduk memeluk lutut. Ini adalah sebuah pengorbanan. Desis hatinya sambil melangkah dengan gontainya.

********************

Sebulan kemudian..

   “ Awak.. ada sesuatu yang perlu saya bagitahu awak sebelum kita bernikah malam esok.” ujar Maisarah ingin berterus-terang. Carl hanya pandang tanpa perasaan.
   “ Apa?” soal dia malas. Tika itu dia lebih sibuk meratah wajah Maisarah. Wajah cantik itu ditatap penuh minat. Maisarah tarik nafas. Rasa gementar mula menular di dalam hati. Dia bimbang memikirkan penerimaan lelaki itu. Dapatkah Carl terima apa yang akan dia sampaikan ini?
   “ Apa yang Mai nak cakap pada saya?” Carl mula memberikan perhatian apabila dilihatnya Maisarah seolah-olah nampak gelisah dan tak selesa.
   “ Saya.. saya..” Dia masih lagi teragak-agak.
   “ Apa ni, Mai? Cakap ajelah. Saya dengar.” sela Carl lagi. Dia membetulkan duduk sedikit.
   “ Saya.. saya dah tak suci.” Mendengarkan sebaris ayat itu, dunia seperti berhenti berputar. Carl Rayyan tergamam. Hati seolah-olah ditusuk duri. Pedih sungguh hingga dia rasa seperti sesak nafas. Ngilu dan senak ulu hatinya.
   Duduk pantas ditegakkan. Dia memandang wajah Maisarah yang masih menunduk. Apa dia tak silap dengarkah? Mana mungkin gadis seperti Maisarah sudah tidak suci? Ada sesuatu yang dia lambat tahukah? Hatinya bertalu-talu menyoal.
   “ Mai jangan bergurau. Saya tak suka.” Suaranya tegas. Maisarah mula rasa pandangannya dah berkaca-kaca.
   “ Saya.. saya tak tipu. Saya memang dah tak suci. Saya bagitahu semua ni bukan nak menjatuhkan maruah diri sendiri. Tapi, saya tak nak awak menyesal kemudian hari memperisterikan saya. Sekurang-kurangnya kalau awak nak berundur, awak masih sempat.” Maisarah bersuara perlahan sambil menahan sebak.  
   Carl Rayyan tersandar lemah. Kepalanya tiba-tiba terasa berat. Seolah-olah ada batu besar yang jatuh menghempap. Dia mengeluh kasar. Pandangannya sarat  dengan rasa kecewa.
   “ Macam mana boleh berlaku??” soal dia sedikit melengking. Bukan niat dia sebenarnya. Tapi, dia tak dapat terima hakikat bahawa bunganya dah disedut oleh lebah lain. Arghhh!!
   “ Mai terpaksa, Carl.”
   “ Apa yang buat Mai terpaksa sangat, hah?? Mai bodoh ke nak fikir semua tu??” Suara naik mendadak dek geram dengan jawapan tenang daripada gadis itu. Tersentak Maisarah dibuatnya. Dia perlahan mengurut dada. Mata yang hangat bertakung terus menghamburkan air mata. Carl tersedar yang dia baru saja menaikkan suaranya. Dan dia nampak gadis itu terkejut dengan reaksinya. Tapi, dia pun ada hak nak rasa marah kan?
   “ Kalau Carl nak tahu sangat.. Mai terpaksa gadaikan maruah Mai untuk wang sepuluh ribu. Untuk duit yang Mai bayar pada Carl. Maruah Mai hanya dibayar dengan harga sepuluh ribu, Carl. Cuma sepuluh ribu! Bodohkan, Mai?” Dia bersuara tegas. Hatinya robek mengenangkan reaksi Carl yang jelas menunjukkan kononnya dia yang rela hati berbuat begitu. Tidakkah Carl tahu dia terseksa selama ini?
   Ya allah.. Carl terpana. Rupanya dia punca semua ini?? Dia yang sebabkan Maisarah terpaksa menjual diri. Dia meraup muka. Jelas dia nampak terbeban akan rahsia itu. Perlahan-lahan dia bangkit.
   “ Carl tetap akan kahwin dengan Mai. Ini keputusan muktamad Carl.” ujarnya sebelum dia berlalu. Maisarah menangis kuat. Nampak sangat Carl tak mampu nak tenangkan dia. Carl hanya berlagak tenang. Pedih hati Maisarah memikirkannya.
   Di sudut yang berbeza, air mata Carl jatuh setitis. Sesungguhnya dia berdosa pada Maisarah. Dia khilaf!

**********************

Carl teragak-agak hendak menapak masuk. Lama dia berdiri tegak di hadapan bilik yang tertutup rapat itu. Dia termenung sebelum dia membuat keputusan untuk menapak masuk sahaja. Rumah banglo setingkat itu dibeli olehnya menggunakan wang simpanannya sendiri ketika bekerja sambil belajar di Australia dulu. Yelah.. masakan dia hendak menggunakan wang haram hasil daddynya itu untuk menyara isterinya. Memang dia takkan ambil satu sen pun duit  haram itu. Lagipun, semenjak dia meninggalkan kerja haram itu.. rezeki datang melimpah ruah. Halal pula tu.
   Dia sudah mendapat tawaran sebagai seorang engineer di salah sebuah syarikat terkemuka. Dan gaji yang ditawarkan memang agak lumayan sesuai dengan kelulusan dia daripada luar negara. Alhamdulillah. Desis hatinya penuh kudus.
   Pintu dikuak perlahan. Matanya tertancap pada wajah Maisarah yang mengangkat muka sebelum wajah itu ditundukkan kembali menyambung bacaan kitab suci Al-Quran.
   Carl ambil tempat di birai katil membelakangi isterinya. Sejuk hatinya melihat si isteri yang taat pada Allah S.W.T. Dalam hati, lafaz syukur diulang berkali-kali. Semenjak dia mengenali Maisarah, dia telah pelajari banyak ilmu agama. Kini, dia juga sudah tahu solat. Semuanya pertolongan Maisarah yang memberikan dia buku panduan solat dahulu.
   Memikirkan tentang solat, tiba-tiba dia rasa geram dan berjauh hati. Kenapa Maisarah tak tunggu dia untuk solat? Ah, dia baru aje nak praktik untuk menjadi imam untuk solat isterinya hari ini. Dek rasa geram yang mula bercambah, dia bergerak menghampiri Maisarah yang juga sudah usai menghabiskan bacaan.
   Maisarah kaget melihat suaminya terpacak di hadapan.
   “ Err..” Maisarah tak tahu macam mana nak mulakan perbualan.
   “ Kenapa tak tunggu Carl?” soal Carl tanpa bertangguh. Maisarah kelu.
   “ Tu.. tunggu apa?” Kedengaran Carl mengeluh kasar. Eh, dia tak faham ke soalan aku?
   “ Tunggu Carl imamkan solat Mailah. Mai ni sengaja kan nak buat Carl marah?” soal dia sedikit protes. Maisarah tersenyum. Oh.. pasal tu rupanya. Alhamdulillah.. suaminya nampak bersungguh-sungguh benar untuk berubah.
   “ Mai ingat Carl dah solat. Esok Carl imamkan solat Mai ye? Sekarang, Carl dah solat belum? Kalau belum, Carl solat dululah.” soal dia lembut sambil menanggalkan telekung. Rambutnya yang ikal disanggul tinggi. Carl spontan terpana. Dia telan liur. Cantiknya rambut dia. Puji hati Carl ikhlas. Langsung rasa geram mula beredar pergi meninggalkan satu rasa indah di ruang hati.
   Lagipun, perihal kesucian Maisarah sudah dia tak mahu ingat lagi. Sebab dia rasa semua itu salah dia juga. Dia punca segalanya. Kalaulah semua itu dapat diundur, tentu Maisarah takkan terseksa. Dia yang bersalah. Sedangkan Maisarah cuma mangsa keadaan. Jadi, dia dah buat keputusan yang dia akan bahagiakan Maisarah supaya isterinya takkan ingat lagi kenangan pahit itu. Dia tekad!
   “ Carl, Mai nak ke dapur. Carl nak minum?” soal Maisarah lembut apabila Carl hanya diam tak menjawab soalannya tadi. Carl tersentak. Segera juga dia berlagak tenang.
   “ Err.. Carl tak dahaga.” jawab dia.
   “ Oh.. okeylah kalau macam tu. Mai keluar dulu.” ujar gadis itu sebelum dia melintasi susuk tubuh suaminya untuk menapak keluar.
   “ Mai.” panggil Carl secara tiba-tiba. Langkah Maisarah terhenti sebelum sempat dia nak pulas tombol pintu. Dia berpaling sambil kerut kening.
   “ Apa?” soal dia polos. Carl merapati.
   “ Mai temankan Carl. Carl tak nak duduk sorang-sorang. Tak best.” pinta suaminya langsung menyebabkan Maisarah lembik lutut. Faham sangat dengan maksud renungan redup suaminya itu. Ah, takkan nak menolak pula? Akhirnya.. dia hanya mengikut langkah kaki Carl yang memimpinnya ke arah katil yang dihias indah.
   “ Tunggu Carl solat dulu. Jangan ke mana-mana.” arah Carl lalu berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduk. Maisarah hanya patuh.
*********************

Empat bulan kemudian..

“ Sayang..” Carl mencium pipi isterinya di kiri dan kanan. Maisarah tergelak kecil. Rasa bahagia mula membanjiri taman hatinya. Pelukan suaminya yang melingkar dari arah belakang di pinggangnya dipaut menggunakan tangan kiri. Tika itu dia sibuk melumurkan kunyit pada ayam yang dah dipotong kecil-kecil.
   Pelukan semakin erat. Dan dia rasa damai berada dalam pelukan itu.
   “ Tak nak cium Carl? Asyik Carl aje yang cium Mai.” sungut Carl agak manja. Maisarah tersenyum comel. Wajah suami yang masih bersongkok hitam tanda baru usai solat itu direnung penuh sayang. Wajah yang mula mengambil tempat di hatinya. Dia mengusap perlahan pipi Carl.
   “ Malam nanti Mai bagi kiss banyak-banyak. Sekarang, Mai nak masak dulu. Carl lapar kan?” Dia bersuara memujuk. Si suami tarik muka masam.
   “ Alah.. nak kiss pun kena tunggu malam. Itu lain punya, sayang. Sekarang.. cepat kiss Carl. Kalau tak..” Carl sengaja meleretkan ayatnya. Maisarah jongket kening seperti mencabar.
   “ Kalau tak apa?” soal Maisarah main tarik-tali.
   “ Kalau tak.. Carl gigit pipi comel Mai tu.” ugut Carl mengada-ngada. Maisarah jegil mata pura-pura terkejut. Seketika, dia tergelak kuat.
   “ Hee.. ada pula macam tu. Okeylah.. meh sini Mai kiss.” ujar Maisarah perlahan penuh agenda. Carl tersenyum menang. Wajah cepat sahaja disuakan pada si isteri.
   Serentak, Maisarah mencuit sedikit kunyit yang dilumurkan pada ayam itu lalu dicoretkan pada pipi suaminya. Carl menjerit kecil dek terkejut. Dia berniat hendak membalas balik.
   Belum sempat Carl nak membalas, Maisarah dah cabut lari sambil ketawa sakan. Suka kerana dapat mengenakan suaminya. Gamat banglo dua tingkat itu dengan gurau-senda pasangan suami-isteri sambil mereka berkejaran.
   “ Sayang.. jangan lari. Carl dapat, siap sayang nanti.” Carl menjerit lagi sambil terus-terusan mengejar Maisarah.
   Hmm.. semoga rumahtangga mereka akan kekal bahagia seperti ini selalu.

**********************

 Berita yang dia dapat pada tengahari tadi memang mengejutkannya. Tak sangka, kegiatan haram Bernard tumpas akhirnya. Daddynya kini ditahan di lokap kerana telah memukul seorang lelaki sehingga koma. Ya Allah.. sampai begitu daddynya sanggup buat semata-mata hendak mendapatkan wang. Hanya kerana wang??
   Carl termenung sedih. Walaupun dia geram mengenangkan sikap daddynya, tapi lelaki itulah yang dah besarkan dia selama 24 tahun. Justeru, wajarlah kalau dia tetap rasa ada satu perasaan sayang masih kekal untul Bernard.
   “ Carl.. kenapa ni?” soal si isteri. Dia merangkul manja leher tegap milik Carl yang masih berteleku di atas sejadah. Carl diam.
   “ Carl sedih ye pasal berita tadi?” soal Maisarah apabila Carl hanya diam walaupun bibir itu tetap tersenyum manis. Di tangan suaminya jelas ada seutas tasbih. Mungkin digunakan untuk berzikir tadi. Nampak ketara perbezaan lelaki itu. Jauh lebih baik. Malah, boleh dikatakan suami mithali.
   “ Carl sedih. Tapi, perasaan kecewa lebih kuat. Carl kecewa daddy cari duit dengan cara macam tu. Mai tahu tak? Carl dapat panggilan daripada peguam, rupa-rupanya arwah mummy dan papa Carl ada wasiatkan harta mereka pada Carl. Dan Carl langsung tak tahu yang mummy Carl anak orang kenamaan di Ireland. Dia datang dari golongan berada.” Carl menjelaskan.
   Wajah Carl berubah mendung. Kalaulah wasiat itu lebih awal dia ketahui, tentu dia rela memberikannya pada daddy agar daddy tidak terlibat dalam kegiatan seperti itu. Dia rela berhabis harta asalkan nikmat akhirat dia dapat kecapi.
   Setahunya, daddynya sudah dibuang daripada antara nama pemegang harta keluarga mummy yang melimpah-ruah itu dek satu salah faham. Tapi, dia sendiri tak tahu dengan lebih jelas puncanya. Mungkin gara-gara tidak berjaya mendapatkan harta itu daddy terlibat dalam kegiatan seperti ini. Jalan mudah untuk mendapatkan wang.
   “ Betul ke?” soal Maisarah kurang berminat soal harta. Dia dah biasa hidup susah. Jadi, duit ada ke tak ada.. sama aje. Carl angguk.
   “ Lebih kurang setengah billion harta yang mummy wasiatkan. Carl terkejut sangat. Bukan sikit jumlah tu, Mai. Banyak. Boleh tanggung berapa keturunan.” luah Carl. Maisarah tersentak. Tak dapat dia membayangkan duit sebanyak itu.
   “ Kalaulah masa boleh diundur, Carl sanggup bagi daddy harta Carl. Apa yang Carl nak, kehidupan macam orang lain.” Carl bersuara sayu. Maisarah jatuh kasihan. Perlahan-lahan tangan suaminya dicapai. Dikucup sekilas.
   “ Carl.. itu namanya aturan Allah S.W.T. Carl tak boleh menyesal. Carl kena redha sebab semua ini ada hikmah. Dan yang paling nyata ialah perubahan Carl. Lagi satu, Carl nampak tak yang Allah nak tunjukkan bahawa kita boleh dapat rezeki yang lebih berlipat ganda kalau betul pada caranya. Dulu Carl pernah jadi ketua gangster, bila Carl dah berubah dan bertaubat.. Allah limpahkan Carl dengan rezeki lain.” ujar Maisarah panjang lebar. Carl merenung tepat wajah si isteri.
   “ Maksudnya?” soal Carl kurang faham.
   “ Maksudnya, wasiat arwah mummy Carl tu juga salah satu rezeki yang dia kurniakan. Jawatan Carl sekarang juga salah satu daripada rezekiNya. Carl nampak tak semua tu?” Carl angguk macam kanak-kanak kecil. Kini baru dia faham. Rezeki halal lebih terasa nikmatnya. Dia dapat rasa hidup dia lebih tenang dan bermakna setelah  mengenali Islam dengan lebih mendalam. Semua ini kerana jasa Maisarah.
   “ Mai.. terima kasih sebab sedarkan Carl.” ucap Carl lalu mencium dahi licin itu. Maisarah tersenyum manja.
   “ Bukan Mai yang  sedarkan Carl. Tapi, itu semua usaha Carl. Carl yang nak berubah. Dan itu semua hidayah daripadaNya. Mai cuma menjadi perantaraan. Tapi, selebihnya adalah Allah S.WT. dan diri Carl sendiri.” ujar Maisarah merendah diri. Carl sebak. Dia tak dapat membalas kata-kata Maisarah. Tanpa isyarat, terus dia tarik Maisarah ke dalam pelukan.
   “ Carl sayang Mai. Sayang sangat. Kerana diri Mai, Carl kenal apa itu Islam. Carl beruntung punya Mai sebagai isteri Carl.” pujinya penuh syahdu.
   “ Mai pun sayang Carl. Cintakan Carl.” balas Maisarah sarat dengan rasa cinta.
   “ Carl.. ada lagi satu rezeki yang Dia kurniakan pada kita.” ujar Maisarah berteka-teki setelah merenggangkan pelukan. Wajah suami ditatap penuh mendalam. Carl kerut kening.
   “ Apa?” soal Carl ingin tahu.
   “ Mai mengandung, Carl. Dah dua bulan.” ucapnya sebelum dia dapat lihat riak lelaki tampan itu tersenyum lebar bersama linangan air mata gembira.
   “ Ya Allah.. syukur.” Carl terharu. Mereka berdakapan lagi. Dakapan yang menyatukan dua insan yang jelas dulunya datang dari dua latar belakang yang berbeza. Sesungguhnya, tiada apa yang mustahil di dunia ini sekiranya Allah menginginkannya. Sekali Dia berkata ‘Kun fayakun’.. maka jadilah ia.
    Ya Allah, semoga Kau kekalkan hubungan mereka hingga ke syurga. Amin..

~ Tamat ~

5 comments: